Saturday, August 15, 2020

Tanda Tanya Majoriti Muhyiddin di Parlimen

 

A Kadir Jasin

 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.

Ahil Bersatu mula tinggalkan parti
 

CAKAP-CAKAP di kalangan pemerhati politik yang diperkuatkan oleh laporan dan analisis media arus perdana serta perbualan media sosial memberi gambaran cemas mengenai kedudukan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

 

Antaranya mengatakan yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

 

Sejak pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 2 Mac lagi sudah timbul tanda tanya berkenaan bilangan sebenar ahli Dewan Rakyat yang menyokong beliau.

 

Daripada aspek teknikal, memang benar ada masanya kerajaan PN tidak mempunyai majoriti di Dewan.

 

Contohnya apabila kehadiran ahli kerajaan dalam Dewan lebih sedikit berbanding pembangkang. Mengikut maklumat seorang Ahli Dewan dari PH inilah yang terjadi pada hari Khamis lalu apabila beberapa orang MP Umno “absent”.

 

Hal ini tidak dapat dielakkan kerana PN bukan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya sebaliknya ditubuhkan melalui pemungkiran janji oleh sebahagian ahli yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei 2018.

 

Mereka terdiri daripada tiga kelompok, iaitu Bersatu yang menyokong Muhyiddin, PKR yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan parti-parti yang kalah PRU 2019, khususnya Umno dan Pas.

 

Muhyiddin hanya mendakwa mempunyai sokongan lebih besar dalam Dewan berbanding Pakatan Harapan yang menang PRU 2018.

 

Tetapi beliau tidak berani mengesahkan dakwaannya itu melalui undi Dewan. Sebaliknya perbahasan usul tidak percaya yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mei lalu sama ada gagal diadakan atau sengaja dilambat-lambatkan.

 

Apa yang berlaku ketika perbahasan mengenai penggantian Yang di-Pertua Dewan pada 13 Jun lalu tentunya menambah ketakutan Muhyiddin.

 

Beliau hanya menang dengan kelebihan dua undi, iaitu 111 lawan 109. Secara tidak langsung, pengundian itu memberi gambaran berkenaan kekuatan atau kelemahan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan PN.

 

Sejak beberapa hari lalu, timbul cakap-cakap bahawa kerajaan Muhyiddin amat bimbang dan keberatan untuk membuka sebarang usul atau rang undang-undang kepada pengundian kerana takut apa yang berlaku pada 13 Jun itu akan berulang atau menjadi lebih teruk.

 

Tetapi ada pihak mengatakan pengundian tidak dapat dielakkan kerana ada rang undang-undang penting bersabit perbelanjaan dan kewangan negara terpaksa diluluskan segera.

 

Pada hemat saya, wakil-wakil pembangkang akan menyokong rang undang-undang ini bagi mengelak negara daripada mengalami krisis belanjawan.

 

Rasanya yang lebih membimbangkan Perdana Menteri adalah pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 29 Julai lalu yang parti itu tidak akan menyertai PN walaupun “masih menyokong kerajaan”.

 

Sebaliknya beliau menekankan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

 

Pengutamaan MN dan peminggiran PN oleh Umno terserlah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Chini, Pahang 4 Julai lalu dan di Slim River, Perak sekarang di mana Umno dan Pas meletakkan seorang calon sahaja.

 

Walaupun Bersatu tidak bertanding demi memberi laluan kepada Umno dan Pas, ia juga tidak dilayan sebagai rakan kongsi yang setaraf. Ikut cerita, wakil Bersatu tidak pun dijemput ke majlis memperkenalkan calon PRK Slim River.

 

Di Chini, feksyen Bersatu yang disingkirkan menyokong calon bebas, Datuk Seri Tengku Zainul Hisham. Walaupun kalah, bilangan undi yang beliau peroleh lebih baik daripada calon-calon bebas sebelum ini.

 

Pada 12 Ogos, Dr Mahathir telah mengumumkan penubuhan parti baru, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan meletakkan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi untuk bertanding di Slim River.

 

PRK ini akan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai persaingan baru politik. Kawasan ini lebih bersifat pelbagai kaum berbanding Chini yang merupakan kubu Melayu.

 

Calon Umno akan disokong oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu. Calon bebas (Pejuang) akan disokong oleh sebahagian atau semua parti-parti PH.

 

Walaupun jurucakap dan strategis Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memperlekeh penubuhan Pejuang, saya yakin Muhyiddin tahu bahawa sokongan terhadap Bersatu sedang terhakis.

 

Hamzah yang menang PRU 2018 atas tiket BN telah melompat menyertai Bersatu dan menjadi antara penggerak utama penubuhan kerajaan PN. Beliau dipetik sebagai berkata: “Enam orang meninggalkan Bersatu, 20,000 memohon menyertainya.”

 

Dengan latar belakang di atas dan banyak lagi perkembangan yang kurang positif dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi, tidak hairanlah kalau Muhyiddin takut untuk mendedahkan kedudukannya kepada sebarang bentuk pengundian.

 

Tetapi beliau tidak boleh mengelak diri daripada menghadapi kemungkinan itu buat selama-lamanya. Hari penentuan akan tiba juga lambat-laun.

 

Wallahuaklam.

 

8 comments:

OKJ said...

Salam DAKJ

Alhamdulillah. Tulisan Dato’ dah nampak nak kembali kepada asal. Lebih focus, lebih seimbang dan lebih dynamic. Sebenarnya, Dato’ memang sesuai menulis bila tiada kecenderongan politik. Tahniah sekali lagi Dato’. Sekian TQ.

p/s: ada projek sikit pagi ni, tak sempat nak tulis artikel. Ada masa nanti saya join Dato’ ye.

Quantum Metal Consultant said...

Saya berpendapat banyak pihak yang kurang bersetuju dengan Muhyiddin akhirnya akur dengan alasan tersendiri.

Mereka termasuk Dato' sering "bercakap besar" dan berdegar degar hakikatnya sendiri terkial kial.

Kalau tanpa Tun, semuanya sudah kesipuan beratur menunggu untuk bersalam kalaupun tidak bercium tangan Muhyiddin.

Inilah lakonan orang politik.

RD. said...

"Dengan latar belakang di atas dan banyak lagi perkembangan yang kurang positif dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi, tidak hairanlah kalau Muhyiddin takut untuk mendedahkan kedudukannya kepada sebarang bentuk pengundian. Tetapi beliau tidak boleh mengelak diri daripada menghadapi kemungkinan itu buat selama-lamanya. Hari penentuan akan tiba juga lambat-laun."

Ehmm... bukan setakat 'takut untuk mendedahkan kedudukannya kepada sebarang bentuk pengundian'... nak berdepan dengan wartawan jawab soalan pun Muhyiddin nampak jelas, takut.
Yang beliau berani, hanyalah buat perutusan di TV dan kemudiannya, bacaan doa beliau diulang-ulang oleh RTM & TV3.

Harap-harap... PM8 tidak digelar sebagai 'Bapak Perutusan'.

wansee c said...

Tak ingin nak tengok dan dengar sebarang kisah politik tanah air lagi. Sudah terlalu muak dan meloyakan. Macam-macam perangai buruk dan angkuh dapat kita lihat menerusi kerenah politikus yang senantiasa mengambil kesempatan untuk meraih publisiti murahan demi kepentingan diri. Mereka ini termasuklah peliwat, penzina, penyamun, perasuah, pengkhianat... masih tak segan-silu mengangkat diri ke langit kononnya dialah yang tersuci dan terbaik. Bodohlah mereka nak mengaku kesilapan dan kekurangan diri. Inilah semangat laungan slogan bodoh sombong 'lawan tetap lawan' walaupun sudah disah dan dijatuhi hukuman. Memang tak malu punya spesies entah apa.

Apa sekalipun akan terjadi kepada persada politik negara nanti, lantaklah sama ada Bersatu diboo, dibuli, dilesing, dikubur atau apa-apa sahaja; pasti ramai di luar sana bertepuk riuh kegembiraan. Saya cuma berdoa dan berharap agar Tun dapat menang dalam Undi Tak Percaya terhadap PM8 dan Parti Perjuang akan menang julung sekali dalam PRK Slim pada 29 Ogos kelak.

Kelmarin sempat mengikuti perbahasan secara langsung antara Dr Mujahid dan MP Baling. Kualiti kedua-dua pembahas itu bagai bumi dan langit. Tatkala Dr Mujahid menghujani pihak lawannya dengan hujah dan fakta yang padat lagi jitu, kelihatan tin kosong seorang lagi terpinga-pinga sementara terkial-kial syok sendiri bermain politik dan sentimen. Sah low class and no class. Berbanyak-banyak tahniah dan puji-pujian harus dilimpahkan kepada Dr Mujahid yang arif tentang amanah yang pernah dipertanggungjawabkan.

OKJ said...

Salam Dato Kadir

Izinkan saya berbahas sedikit mengenai TSMY sekarang. Sebenarnya TSMY berada dikedudukan yg kuat dikalangan rakyat jelata mengatasi Tun Mahathir dan Anwar. Tok Guru Hj Hadi dan PAS menyokong kuat TSMY. Sebahagian besar pemimpin UMNO dan akar umbi UMNO pun menyokong TSMY sekarang. Kalau ada PRU sekarang, kemungkinan besar PN menang 2/3 majority rasanya.

Maaf cakaplah ye jika saya berpendapat begini. Masalah yg timbul adalah dari sebahagian kecil pemimpin2 UMNO yg berdepan kes makhkamah, yg kalah PRU dulu atau tidak dicalonkan dulu dan juga yg telah dibuang parti. Saya boleh namakan mereka tapi rasanya semua orang dah tahu pun. Mereka ini menggunakan politik untuk diri sendiri bukannnya menggunakan politik untuk berkhidmat kepada rakyat. Contohnya bersumpah kata tak tahu pun duit masuk bank tapi lepas 3 hari kemudian kata tahu pulak duit tu hanya untuk kegunaan charity je. Rakyat sekarang bukannya bodoh la.

Disebabkan TSMY hanya ada majority yg amat tipis di parlimen seperti kata Dato’, mereka-mereka yg terdesak ini akan cuba mengunakan peluang yg ada utk diri mereka untuk menggugut TSMY.

Macamnilah. Islam mengajar kita taat kepada pemerintah selagi mereka mengikut syariat Islam. Majority ahli UMNO termasuk saya sendiri pun mengambil pendirian tersebut. Cuma Islam mengajar seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Jadinya, peranan TSMY sekarang adalah membuktikan mereka-mereka ini memang bersalah di mahkamah dan seterusnya bolehlah parlimen dibubarkan. Harap Tindakan TSMY cepat sikit ye. Sekian TQ.

Unknown said...

Belajar la mènerima kenyataan. Makin lamà makin bodoh pula...tempias sumpah laknat kot..

faizul said...

Bye bye Bersatu.


Kepada bukan ahli, perkara ni dah di jangka. Baik parti bersatu, warisan, pkr dan lqin lain.


Kenapa budaya tingalkan UMNO besar besaran tidak berlaku dan UMNO masih steady?

Malah 5 pilihanraya terkebelakang menunjukkan sokongan dari pengundi kekal kuat?

Sebab UMNO adalah platform yang diyakini.

Yang buat onar adalah manusia didalam parti tersebut. Bukan parti yang bermasalah.

kusufian write said...

Katakanlah kpd YAB TunDrM apabila beliau meletak jawatan maka luputlah haknya selaku wali pemerintah. MY diangkat bukan dijulang. Syahid n Wajib Tun mendamaikan Sunni Shia. Jadilah 'Cease Fire for 10 years' pungggg cukup rakyat marhaen seluruh dunia Islam nengangkat boboi ke persada perdana.
X yahlrrrr PETAI POM POM..
UMM-I lebih meyakinkan..

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).