Friday, June 05, 2020

Demokrasi Pseudo: Bersatu Pecah Umno Mencelah




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.

Gambar hiasan: Burung hering (vultures) menunggu lembu mati

CERITANYA mudah saja. Pemimpin yang mengepalai gerakan tidak demoktratik menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat jelata, tidak akan mampu bersikap demokratik terhadap parti mereka sendiri.

Itulalah yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh sebahagian besar kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memihak kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Mereka telah merancang kejatuhan kerajaan yang dipilih oleh rakyat jelata dengan menarik Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari lalu.

Untuk mempertahankan rampasan kuasa mereka itu, mereka terpaksa bersikap tegas dan keras ke atas pemimpin Bersatu yang tidak sebulu dengan mereka.

Yang telah, sedang dan akan mereka hukum dengan sewenang-wenangnya adalah ahli Bersatu. Manakala yang ditimang dan ditatang adalah ahli Umno dan Pas.

Umno dan Pas diutamakan kerana menyertai mereka dalam kerajaan pintu belakang atau, mengikut takrifan Presiden Pas Abdul Hadi Awang, kerajaan tebuk atap.

Justeru itu, tidak hairanlah kalau Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat orang lagi pemimpin kanan Bersatu telah disingkirkan pada 28 Mei lalu hanya menerusi surat yang ditandatangani oleh Kapt. (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Bagi menghalalkan tindakan tidak berpekerti itu, sidang Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah dipanggil semalam untuk mengesahkan pemecatan Dr Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Turut dikenakan tindakan ialah Datuk Marzuki Yahaya yang dipecat daripada jawatan Ketua Badan Perhubungan Pulau Pinang dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi yang digugurkan daripada MPT. Tetapi Akhramsyah berkata, tindakan itu ditarik balik semalam.

Adalah tidak mustahil ramai lagi akan dikenakan tindakan kerana menentang hegemoni Muhyiddin dan feksyennya dalam Bersatu.

Muhyiddin juga boleh menggunakan kuasa eksekutif beliau bagi mempengaruhi Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memberikan “cop getah” kepada apa saja tindakan Bersatu.

Apatah lagi Menteri yang bertanggungjawab ke atas ROS, Datuk Hamzah Zainuddin, adalah penyokong kuat Muhyiddin dan antara arkitek utama Perikatan Nasional.

Kuasa Eksekutif

Tetapi kuasa eksekutif sahaja tidak akan membantu menyelesaikan kekusutan yang sedang berlaku di dalam Bersatu.

Rasanya majoriti ahli dan penyokong asal Bersatu tidak menyetujui pemecatan Dr Mahathir. Sebaliknya mereka terus mengiktiraf beliau sebagai Pengerusi parti.

Di sini patut diulang sebut bahawa Dr Mahathir telah pun dipilih semula sebagai Pengerusi tanpa dicabar sementara di pihak lain pula, Muhyiddin yang mengaku memangku jawatan Pengerusi sedang dicabar oleh Mukhriz untuk jawatan Presiden.

Cabaran oleh Mukhriz ini adalah antara sebab Muhyiddin dan konco-konconya dalam MPT mahu feksyen yang menyokong Dr Mahathir ditendang keluar.

Jadi, adalah tidak mengejutkan kalau umum berkata bahawa buat masa ini Bersatu berpecah dua. Yang satu menyokong Dr Mahathir dan satu lagi bersama Muhyiddin.

Tetapi saya rasa kita jangan lupa kemungkinan wujud dua “sub-faction” yang tidak semestinya menyokong salah seorang daripada dua watak ini.

Besar kemungkinan Hamzah dan konco-konconya yang melompat masuk Bersatu daripada Umno selepas PRU ke-14 lalu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan geng PKRnya sedang bermain “watching game” – tunggu dan tengok.

Untuk mereka terus relevan dalam Bersatu, mereka wajib bersama “the winning side” – pihak yang menang – dan buat masa ini tidak semestinya feksyen Muhyiddin.

Burung Hering

Permainan ini sedang diperhatikan oleh Umno seperti burung hering bercangkung di atas pokok kelapa menunggu lembu nazak mati.

Rasa saya inilah faktor yang menjadi pemangkin kepada deklarasi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada 3 Jun lalu bahawa “kami sudah siapa siaga untuk PRU15”.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan bossnya, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, di rumah beliau pada hari tersebut.

Umno mempunyai kepentingan langsung dalam apa yang sedang berlaku dengan Bersatu. Ia akan menyokong Bersatu selagi Bersatu boleh memberikannya kebaikan – termasuk jawatan Menteri dan lantikan GLC.

Kita kena ingat, Muhyiddin telah memberikan Umno (dan Pas) talian hayat setelah kalah PRU 9 Mei 2018. Daripada pembangkang, Umno balik menjadi kerajaan.

Bagi ahli dan penyokong Umno ini adalah rahmat. Mereka tidak peduli tentang prinsip, maruah dan perjuangan. Bangsa, agama dan negara hanyalah tebu di pinggir bibir. Yang mereka fikirkan adalah habuan. Jadi dengan ihsan Muhyiddin, Umno kembali relevan.

Najib dan Ahmad Zahid memerlukan pihak yang berkuasa memandangkan nasib mereka umpama telur dihujung tanduk dalam kes-kes mahkamah yang sedang mereka hadapi. Buat masa ini, Muhyiddin adalah pilihan lebih baik bagi mereka berdua.

Tetapi seandainya mereka nampak bahawa sampan Muhyiddin akan tersadai di tengah sungai atau karam terus, mereka akan terjun menyelamatkan diri.

Jika mereka terjun dan sebuah kerajaan baru tidak dapat dibentuk maka besar kemungkinan Dewan Rakyat terpaksa dibubarkan dan PRU diadakan seperti yang diuar-uarkan oleh Ahmad Zahid.

Akhir kalam, izinkan saya menyatakan tanpa keraguan bahawa dalam semua ini, saya adalah di sebelah MPT Bersatu yang, pada mesyuarat 23 Februari lalu, tidak menyokong penarikan diri daripada PH.

Saya berpegang kepada rayuan Dr Mahathir agar beliau tidak dipaksa mengorbankan prinsip dan janji beliau kepada PH dan persetujuan MPT memberi masa kepada beliau untuk berfikir dan bertindak. Itu prinsip saya.

Wallahuaklam. Terima kasih.

Thursday, May 28, 2020

Bersatu Ada Pilihan, Cuma ....




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.

Makan malam yang mengkhianati mandat rakyat jelata
PERDANA Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, orang Johor. Dr Maszlee Malik pun orang Johor. Nor Jazlan Mohamed orang Johor. Dan Khalid Nordin pun orang Johor. Semuanya orang Johor.

Muhyiddin yang menang pilihan raya umum 9 Mei 2018 atas tiket Pakatan Harapan (PH) mengetuai rampasan kuasa yang menumbangkan kerajaan PH.

Maszlee yang digugurkan oleh Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri PH) daripada jawatan Menteri Pendidikan terus menyokong bekas Perdana Menteri itu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Nur Jazlan adalah Timbalan Pengerusi Umno Johor dan bekas Timbalan Menteri Barisan Nasional (BN) zaman Mohd Najib Abdul Razak.

Khalid Nordin, salah seorang Naib Presiden Umno adalah juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor.

Muhyiddin kata, langkah membawa Bersatu keluar PH adalah untuk mengukuhkan parti itu dan menjadikannya parti Malayu nombor satu.

Maszlee tidak pasti jika ada masa depan untuk Bersatu dalam suasana sekarang. Nur Jazlan kata, Umno tidak berhasrat menjalin kerjasama kekal dengan Perikatan Nasional (PN) ciptaan Muhyiddin.

Katanya, Memorandum Persefahaman PN 17 Mei adalah semata-mata untuk memperjelaskan sokongan bagi persidangan Parlimen 18 Mei sahaja. Untuk jangka masa panjang yang membawa kepada PRU ke-15 Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Penyertaan dalam kerajaan PN adalah sementara saja sehingga PRU ke-15.

Khalid pula menyertai beberapa orang panglima perang Umno lain mengalu-alukan Muhyiddin membawa Bersatu masuk Umno.

Cakap-cakap seumpama ini tidak boleh dipandang remeh dalam keadaan di mana pemerintahan kerajaan PN semakin berkecamuk dan usaha sedang dibuat bagi mendisiplinkan kumpulan yang tidak sebulu dengan Muhyiddin di dalam Bersatu.

Jadi, apa akan berlaku kepada Bersatu dari sekarang hingga PRU ke-15?

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad bersama empat orang Ahli Dewan Rakyat Bersatu duduk di sebelah pembangkang manakala Presidennya, Muhyiddin dan konco-konco beliau duduk di sebelah kerajaan.

Kalau diukur semata-mata daripada tindak-tanduk Muhyiddin dan konco-konconya sejak mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari lalu maka adalah tidak mustahil lambat-laun Bersatu akan terkubur.

Pertimbangan

Muhyiddin mengenepikan keputusan MPT memberi masa dan tidak mamaksa Dr Mahathir mengorbankan prinsip dan janjinya. Dr Mahathir akan kekal Perdana Menteri sehingga selepas Persidangan Kemuncak APEC November ini.

Malam itu juga dia membawa Bersatu keluar PH dan menubuhkan PN melalui persekongkolan dengan feksyen Mohamed Azmin Ali dari PKR, Umno/Barisan Nasional, Pas, Gabungan Parti-parti Sawarak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Perlu ditekankan di sini bahawa kuasa penentu dalam penubuhan kerajaan PN adalah Umno bukan Bersatu. Kalau Umno tidak setuju, PN tidak akan tertubuh dan Muhyiddin tidak akan menjadi Perdana Menteri.

Maka tidak hairanlah kalau yang mendapat habuan paling besar dan ketara dalam kerajaan PN bukan Bersatu tetapi Umno. Umno yang kalah PRU 2018 kembali memerintah.

Umno begitu yakin dengan kedudukannya dalam PN sehingga ia boleh berkata berulang kali dan secara terbuka bahawa PN adalah sementara sahaja sehingga PRU ke-15. Perkongsiannya yang kekal adalah dengan Pas dalam MN.

Ketua de facto Umno, Mohd Najib Abdul Razak memperlekeh PN sebagai pakatan yang tidak sah dan tidak berdaftar.

Jadi dalam PRU Ke-15 nanti, Bersatu akan berpakat dengan siapa? Atau Muhyiddin dan konco-konconya begitu yakin bahawa mereka mampu bersendirian menentang MN dan PH?

Senario

Berlatarbelakangkan analisis di atas, ahli-ahli Bersatu, khususnya yang masih percaya dan berpegang kepada perjuangan asal, iaitu menjatuhkan kerajaan kleptokrasi BN dan menyelamatkan Malaysia, terpaksa memikirkan dan membuat pilihan seperti berikut:

1. Kembali kepada PH;
 
2. Menyertai MN jika diterima Umno dan Pas;
 
3. Menubuhkan pakatan baru; atau

4. Bersendirian menghadapi PRU akan datang.

Dalam rakaman video mesyuarat MPT 23 Februari itu, Muhyiddin berjanji bahawa "walaupun Bersatu keluar daripada PH, ia akan terus memerintah dan mengetuai kerajaan."

Umno dan Pas kini menguasai kerajaan PN
Ya, betul Muhyiddin mengetuai kerajaan, tetapi Bersatu tidak lagi mengetuai atau menentukan agenda kerajaan. Kerajaan PN telah jatuh ke tangan Umno dan Pas.

Jadi amat penting bagi ahli-ahli Bersatu yang percaya kepada idealisme perjuangan menentang kleptrokasi dan menyelamatkan negara berusaha mengambil balik Bersatu daripada mereka yang khianat dan mabuk kuasa.

Kita jangan hairan dan terperanjat jika Muhyiddin sedang memikirkan satu lagi opsyen, iaitu balik semula kepada Umno.

Kita kena ingat, Muhyiddin tidak keluar daripada Umno. Dia dipecat oleh Najib. Sedangkan Dr Mahathir keluar Umno secara sukarela. Maka adalah tidak mustahil atau memeranjatkan sekiranya Muhyiddin melakukan perjalanan pulang ke pangkuan Umno.

Seperti yang pernah saya tulis, alasan Muhyiddin dan konco-konconya beria-ia hendak membawa Bersatu keluar daripada PH adalah orang Melayu menolak Bersatu kerana bersama dengan DAP dan tidak setuju Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Persoalannya sekarang, adakah lebih ramai orang Melayu menyokong Bersatu kerana tidak lagi bersama DAP dan adakah penubuhan kerajaan PN mengukuhkan kedudukan Bersatu?

Kita mesti selalu ingat janji Muhyiddin iaitu “...walaupun Bersatu keluar daripada PH, ia akan terus memerintah dan mengetuai kerajaan.”

Serah Negeri

Tapi adakah itu yang berlaku? Adakah dengan menyerahkan Johor kepada Umno, Kedah kepada Pas dan menjadi melukut di tepi gantang di Perak, Melaka dan negeri-negeri lain bukti bahawa Bersatu memerintah dan menguasai kerajaan?

Muhyiddin bermurah hati serahkan Johor kepada Umno dan Kedah kepada Pas, tetapi apakah balasan yang Umno dan Pas berikan kepada Bersatu di negeri-negeri yang mereka perintah?

Adakah ini faedah dan manfaat yang Muhyiddin janjikan dengan membawa Bersatu keluar daripada PH?

Jelas daripada tindak-tanduk Umno, sama ada sebagai sebuah parti atau individu, bahawa tujuannya sekadar memperalatkan PN untuk mengukuhkan kedudukannya dan dan kembali berkuasa.

Umno mabuk kuasa. Ia tidak boleh hidup tanpa kuasa dan Muhyiddin memberikan candu yang ia perlukan. Apabila mabuk, siapa yang dibelasah? Jawabnya, Bersatu. 

Bagi Umno dan Pas mereka tidak rugi apa-apa. Mereka kalah PRU ke-14 tetapi kembali berkuasa dengan ihsan Muhyiddin dan konco-konconya. Umno dan Pas sekadar menjadikan kerajaan PN batu loncatan untuk MN.

Malah mereka boleh mencetuskan krisis, seperti undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, supaya kerajaan PN jatuh dan dengan itu memaksa pembubaran Parlimen dan mengadakan PRU lebih awal. 

Kalau Umno boleh dengan mudah membuang Muhyiddin pada tahun 2016, sedangkan ketika itu dia Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, kita jangan hairan atau terperanjat kalau dia sekali lagi dipermainkan oleh Umno.

Jadi ahli-ahli Bersatu yang masih berpegang kepada prinsip perjuangan kena faham mainan politik Muhyiddin dan konco-konconya yang merugikan Bersatu.

Wallahuaklam. Terima kasih.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).