Thursday, April 30, 2009

Kerjasama Umno-Pas: Antara Polemik dan Kesungguhan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SEANDAINYA Pas dan Barisan Nasional benar-benar serius menubuhkan Kerajaan Perpaduan (Unity Government) mereka tidak harus berpolemik atau membenarkan polemik menjadi penghalang.

Kalau sekadar berpolemik dan melepas batuk di tangga ia tidak akan sampai ke mana-mana.

Kali terakhir Pas dan BN bergabung dalam “kerajaan perpaduan” adalah selepas peristiwa 13 Mei, 1969. Pas menjadi anggota BN apabila Parti Perikatan diperbesarkan dan ditukar menjadi Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Waktu itu rakyat jelata dan kepemimpinan politik negara dalam kejutan dan demokrasi digantung berikutan peristiwa pertumpahan darah kaum di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum 10 Mei, 1969.

Ketika itu Pas memenangi Kelantan dan Terengganu dan hampir-hampir mengalahkan Perikatan di Kedah. Turut sama menyertai BN adalah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang berjaya menakluki Pulau Pinang.

Tetapi pada tahun 1977 Pas dipecat daripada BN oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn. Salah satu sebabnya adalah kebimbangan Umno terhadap perkembangan pesat Pas, khanya di Rancangan Tanah Felda.

Pendapat umum pada waktu itu ialah Pas, melalui Menteri Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas, Allahyarham Mohamed Asri Muda, telah mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk membuka ranting-ranting Pas di projek-projek penempatan Felda.

Tetapi ada juga pendapat mengatakan Hussein, sebagai pemimpin dari Johor, tidak mempunyai pandangan serupa dengan birasnya Abdul Razak mengenai perpaduan Melayu dan kerjasama dengan Pas.

Sejak itu, cakap-cakap mengenai kerjasama Umno-Pas menjadi isu bermusim. Setiap Perdana Menteri dan setiap Presiden Pas mempamerkan wajah (facade) yang mereka bersedia menimbangkan kerjasama.

Alasan utama adalah perpaduan orang Melayu dan keamanan negara. Ia muncul apabila salah sebuah daripada parti Melayu/Islam itu mengalami kelemahan.

Selepas pilihan raya umum 2008 adalah giliran Umno menjadi lemah setelah kalah kepada Pas dan sedikit sebanyak kepada Parti Keadilan Rakyat di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Kejayaan besar Pas dan kegagalan Umno berpunca daripada kelemahan Umno di bawah Abdullah Ahmad Badawi dan kejayaan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, merundingkan pakatan pilihan raya di antara PKR, Pas dan DAP.

Sampai hari ini pun ia masih berupa pakatan tidak rasmi. Ia belum disahkan oleh keahlian parti-parti yang terbabit justeru itu belum didaftarkan.

Sejak itu, perbezaan fundamental di kalangan tiga parti PR itu menjadi semakin ketara. Pas terus dicabar untuk menegakkan dasar Negara Islam dan Hukum Hudud manakala DAP terus menentang kedua-dua gagasan itu dan sebaliknya mahu Malaysia diisytiharkan negara sekular berdasarkan “Malaysian Malaysia.”

PKR pula, sebagai parti campuran pelbagai kaum dan tergesa-gesa meluaskan sayapnya pada PRU lalu kini mengalami pelbagai masalah dalaman.

Sejak kejayaan besar dalam PRU lalu, PKR mengalami masalah demi masalah daripada pemilihan pucuk pimpinan kepada pemberhentian ahli, peletakan jawatan Adun, skandal seks, pemecatan Timbalan Ketua Menteri, pertuduhan rasuah ke atas bekas Adun dan pertuduhan liwat terhadap Anwar sendiri.

Perkembangan-perkembangan ini menyebabkan pembabitan Pas dengan DAP dan PKR semakin bermasalah kerana mencemarkan imej Pas sebagai parti Islam dan parti yang bermaruah.

Sementara itu krisis politik Perak tidak membantu mewujudkan gambaran positif terhadap kewibawaan Pas dalam PR apabila ia dilihat sebagai telah diperalatkan oleh DAP semata-mata kerana mahu memegang jawatan Menteri Besar.

Kerajaan PR Perak runtuh apabila dua Adun PKR dan seorang Adun DAP keluar parti dan memihak kepada BN.

Walaupun Pas berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil 7 Mac lalu, namun undi Melayu yang diperolehnya merosot berbanding PRU tahun lalu. Ia menang kerana undi bukan Melayu.

Selain itu, Pas juga boleh menggunakan ura-ura rundingan dengan Umno/BN sebagai cara memperkukuhkan tuntutannya untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dan jawatan lebih baik dalam kabinet bayangan PR yang sedang dirangka oleh Anwar.

Soalnya adakah Umno benar-benar berminat merundingkan gagasan ini dengan Perdana Menteri baru, Mohd Najib Abdul Razak, di mercu kuasa?

Seperti kita maklum, cadangan kerajaan perpaduan Pas-BN ini tercetus hasil pertemuan sulit antara Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri yang lalu.

Persoalannya adakah Mohd Najib yang sedang hebat mengenakan copnya ke atas Umno dan pentadbiran negara berminat dan bersedia untuk memperkenalkan dimensi baru dengan duduk semeja secara serius dengan Abdul Hadi?

Dilihat daripada aspek Melayu dan Islam, memanglah perpaduan Umno-Pas melalui BN ada sebab dan logiknya yang tersendiri.

Dalam PRU lalu, walaupun Umno/BN kalah teruk, tetapi Pas tidaklah pula menang besar. Yang menang besar adalah DAP dan PKR.

Pas hanya memenangi Kelantan dan Kedah manakala di negeri-negeri PR yang lain – Pulau Pinang, Perak dan Selangor -- Pas hanya menduduki tempat ketiga selepas DAP dan PKR. Di Parlimen, Pas menduduki tempat ketiga juga dengan 23 kerusi selepas DAP (28) dan PKR (31).

Daripada aspek politik nasional dan perpaduan kaum, kerjasama Pas-Umno melalui BN adalah lebih logik kerana BN mempunyai perwakilan kaum dan wilayah yang lebih besar dan teruji daripada PR.

Dalam mana-mana gagasan atau pakatan pun, kesahihan dan kewibawaannya tidak dapat diwujudkan jika semua kaum tidak diwakili secara bermakna.

Namun, buat masa ini, ura-ura kerajaan perpaduan Pas-Umno atau Pas-BN ini masih di peringkat awal. Atau lebih tepat di peringkat polemik yang semestinya akan mencetuskan pelbagai pendapat, pandangan dan andaian.

Seperti kata Naib Presiden Pas, Husam Musa, Pas sendiri tidak mempunyai pendirian rasmi mengenai ura-ura kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Abdul Hadi itu.

“Oleh sebab tiada ikatan rasmi, maka jalan yang lebih munasabah ialah memperkuatkan parti dan mendapatkan kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh UMNO,” katanya.

Ini adalah pendirian yang sangat logik bagi orang cerdik seperti Husam.

Dia pasti sedar bahawa jika Umno berjaya memulihkan dirinya, ramai ahli dan penyokong parti itu yang berpaling tadah dan mengundi Pas dalam PRU lalu akan kembali semula kepada Umno pada PRU akan datang.

Monday, April 27, 2009

Buang DEB Tapi Apa Gantinya?

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SEMALAM, hari Ahad atau dalam loghat Kedah kemaghin (kelmarin) saya ambil bahagian dalam perbincangan panel ‘Memperkasa Budaya Korporat Dalam Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah Darul Aman’.

Majlis itu diadakan bersempena ulang tahun ke-100 Perkhidmatan Tadbir Awam Negeri Kedah atau lebih terkenal dengan Kedah Civil Service (KCS).

KSC ni adalah antara perkhidmatan awan tertua di negara kita. Ia diasaskan oleh kesultanan Kedah lama sebelum British kononnya membawa sistem pentadbiran awam ke Tanah Melayu.

Sebab itulah taat setia kepada Raja menjadi tonggak KCS. Kalau zaman saya lepas sekolah dulu, jadi pegawai KSC gerenti dapat bini cantik. Semua nak jadi DO, ADO dan “Raja Tanah” – Pegawai Pemungut Hasil Tanah.

Jadi dalam posting kali ini saya nak cakap yang mudah saja. Sana sini saya nak guna bahasa yang senang dan gaul (gui, kata orang Kedah) sikit dengan loghat Kedah. Minta maaf la. Saya kalau tak cakap atau tulis bahasa Melayu baku, loghat Kedah mai balik.

Pasai (fasal) guna budaya korporat dalam perkhidmatan awam tu, saya dari awal-awal lagi bagi amaran ada percanggahan di antara dasar dan matlamat budaya korporat dengan budaya perkhidmatan awam.

Satu tujuannya buat untung paling besar walaupun susahkan pelanggan manakala yang satu lagi bagi khidmat paling baik dengan percuma atau pada harga paling rendah kepada pelanggan.

Tapi saya kata, ada ciri-ciri budaya dan amalan korporat macam ikut waktu, cepat, jimat sumber dan kepuasan pelanggan boleh disesuaikan dan diguna pakai.

Macam mana pun, kenyataan saya yang nampaknya dapat reaksi luas dan spontan adalah tentang kelancaran peralihan pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah daripada Barisan Nasional kepada Pas selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

Ini pun ada kena mengena dengan prinsip KCS yang taat kepada Raja, berkhidmat kepada rakyat dan patuh kepada kerajaan yang memerintah.

Bagi saya, nak senang cakap macam ni sajalah. Umno perintah ka atau Pas perintah ka pada dasarnya sama saja. Kalau nasib, kepentingan dan hak kaum majoriti, iaitu Melayu dan Bumiputera diabai, lambat laun bencana akan timpa.

Bencana kepada Perlembagaan, kepada ekonomi, kepada parti yang memerintah dan yang kita sangat-sangat takut bencana ke atas keamanan macam peristiwa 13 Mei, 1969.

Maaf cakap. Bukan nak takutkan sesiapa, tapi kita kena ambil yang baik buat teladan dan yang buruk buat sempadan. Kalau kita lupa sejarah, kita akan ulang kesilapan kita.

Saya tak kata tak boleh buka pasaran atau amal liberalisasi, globalisasi dan macam-macam “si” lagi. Meritokrasi pun buatlah. Hapuskanlah kuota 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam 27 sektor kecil (sub sectors) perkhidmatan atau bukalah lagi sektor perbankan kepada pelabur asing.

Tapi kalau hapus satu, kenalah ganti dengan yang lain. Tak kan kaum Bumiputera yang terdiri daripada 60 peratus penduduk Malaysia ni tak ada apa-apa lagi.

Kalau nak keadilan untuk semua macam PKR atau Satu Malaysia macam Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, logiknya Bumiputera kenalah dapat 60 peratus juga.

Tapi Bumiputera tak tuntut pun. Tak buat tunjuk perasaan macam pertubuhan haram Hindraf. Tak buat demo macam reformasi. Mereka terima 30 peratus yang Allahyarham Tun Abdul Razak bagi bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dekat 40 tahun lalu.

Orang Melayu dan Bumiputera hati mereka baik . Tak banyak mintak. Tak banyak tuntut. Asyik tolak ansur saja. Mereka sokong Umno. Mereka sokong BN sampai ke hari ini. Tengok hasil pilihan raya kecil Batang Ai baru-baru ini.

MP dan Adun BN dari MCA, Gerakan dan MIC itu pun menang fasal undi Melayu. Dalam pilihan raya umum lalu mereka kalah teruk pasai pengundi Cina dan India tolak mereka. Sampai hari ni pun Cina dan India lebih rela sokong calon Pas daripada BN macam di Bukit Gantang.

Ini bukan kenyataan perkauman atau cauvinis. Ini realiti. Ini keputusan pilihan raya. Tapi PM Mohd Najib bagi juga jawatan kabinet, exco negeri dan timbalan menteri. Ada yang bertambah pun.

Tapi bila kementerian yang jadi payung dan sumber ilham peniaga kecil Bumiputera, iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dibubarkan dan kuota saham Bumiputera dihapuskan secara sistematik, kita wajib tanya apakah pemerintah tidak peduli lagi tentang matlamat DEB dan tentang perasaan orang Bumiputera?

Kalau tersilap tutup MECD, tak apa buat flip flop yang positif dengan menghidupkannya balik. Lagi pun Mohd Najib kata bukan semua kerajaan tahu. Sekarang Bumiputera dah bagi tahu. Mereka marah MECD dibubar.

Boleh bubarkan MECD dan boleh batal pemilikan saham Bumiputera, tapi apa gantinya? Kita boleh tolak ansur, tapi kenalah tolak ansur secara adil, telus dan mudah. Kalau ada habuan biarlah boleh dirasa oleh semua kaum, khasnya kaum majoriti Bumiputera.

Selain pelancaran skim baru saham amanah PNB dan janji-janji pembangunan seimbang, mana program untuk perkasa ekonomi Bumiputera yang semakin tenat sejak akhir-akhir ini?

Pemerintah sendiri akui yang jurang pendapatan antara kaum semakin meluas. Bumiputera, khasnya di Sarawak dan Sabah, semakin jauh ditinggal oleh Cina daripada aspek pendapatan isi rumah. Hatta India pun lebih tinggi pendapatan puratanya berbanding Bumiputera.

Ini bukan angka saya, tapi angka Unit Perancang Ekonomi dan angka Bank Dunia.

Tak apalah kalau Mohd Najib rasa sistem kuota tak bagus atau tak berjaya. Tak apalah kalau Mohd Najib hendak perluas meritokrasi. Bukankah la ni zaman liberalisasi, globalisasi dan meritokrasi dan macam-macam “si” lagi?

Tetapi boleh ka kita capai Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan kalau 60 peratus rakyat Malaysia tercicir dan berasa kurang yakin dengan nasib mereka sekarang dan pada masa depan?

Perlembagaan adalah tonggak kekuatan orang Melayu dan kaum Bumiputera walaupun hak kaum-kaum lain tetap dijamin.

Allahyarham Tun Abdul Razak perkasakan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan ini dengan melancarkan DEB.

Kalau DEB tidak berjaya 100 peratus, bukan salah Tun Abdul Razak atau salah DEB. Itu salah pelaksana dan penerima. Tapi kita kena ingat, kejayaan DEB yang sikit itu pun dah cukup banyak naikkan taraf ekonomi dan maruah orang Melayu dan kaum Bumiputera.

Tak apalah kalau nak tuduh Melayu suka tongkat atau mentaliti subsidi. Tak pa kalau nak kutuk usahawan Bumiputera fasal dapat kontrak dan penswastaan. Memang kita suka kutuk bangsa sendiri pun.

Tapi apa pula halnya dengan monopoli gula yang sampai hari ini dibagi kepada Robert Kuok? Atau lesen judi kepada Goh Tong, Vincent Tan dan Ananda Krishnan?

Atau lesen penjana bebas, kontrak hospital dan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada Yeoh Tiong Lay dan konsesi balak kepada Tiong Hiew King dan Ting Pek Khiing?

Orang Melayu dan Bumiputera bukan saja kena tahu apa yang mereka dapat, tapi kena juga tahu apa yang orang lain dapat. Jangan berebut sama sendiri saja fasal apa yang ada di tangan mereka sangat kecil.

Dalam dok tengok gelagat politik ni, saya tanya diri saya sendiri, kalau Umno hancur macam banyak orang dok ramal sekarang, boleh ka atau mahu ka Pas jadi parti yang pertahan Melayu?

Atau Pas juga sanggup bertolak ansur kerana hendak berkuasa sampai kedudukan Islam dan orang Melayu dipersenda dan dipersoal?

Seperti saya kata dalam posting 22 April “Perdana Menteri boleh buat apa sahaja dengan peruntukan DEB. Tetapi seandainya dalam tindakan beliau itu orang Melayu, kaum-kaum Bumiputera dan Orang Asli yang berupa rakyat majoriti terus miskin dan terpinggir, matlamat Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan mustahil tercapai.”

Tentang pelantikan tambahan dan pembahagian jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno, saya tak mahu ulas panjang. Yang nampak berat ialah pesalah politik duit dan kayu reput terus ada tempat dalam MT.

Alahai.

Saturday, April 25, 2009

Unsolicited Views For The PM

A Kadir Jasin

[ANONYMOUS comments with not be entertained. When commenting, your real identity is preferred. But a suitable pseudonym is accepted. If you have to use anonymous, please print your name or pen name at the bottom of your message. Please avoid seditious, defamatory and libelous statements. Unrelated comments will not be given priority.]

IT has been a while since I wrote about the new cabinet, which I simply described as “interesting”. Note the word interesting was deliberately put in inverted commas.

Some had criticized me, thinking that I fully endorsed it because of the description. They had missed the point.

Others had criticized me for wanting to wait six months before making any comment – other than “interesting” – on Mohd Najib’s cabinet.

There were those who went as far as to accused me of wanting bodek or suck up to the Prime Minister.

I thought it was fair to wait. Six months isn’t such a long time. Come October we can all subject him to our set of Key Performance Indicators – things like political stability, food prices, the incidence of crime, employment and toll rates.

But since many have expressed their opinions – including my kopitiam Umno veterans -- I think it’s only fair that I collate some of these views and comments.

Who knows, the PM or his media and political handlers may read our views and react positively to our feedbacks, though unsolicited.

Since these are not directly my views, I’ll endeavour to be as truthful and as accurate as I can in capturing the mood and essence of the commentators’ view and opinions.


One said Najib will be judged by his cabinet and its performance. Let us judge him. He calls his cabinet the “People’s Cabinet”. If it is People’s Cabinet, why ignored the people’s opinion?


People (the voters) have rejected “chicken” Koh Tsu Koon, Shahrizat Abdul Jalil and Awang Adek to mention a few. How do you reconcile your People’s Cabinet with the wishes of the people?

People like Tsu Koon should have self-respect and some decency to reject the cabinet posts? Hey, people have rejected you. Have some shame and some principle. Think of the party. Stop thinking of yourselves. You think you will starve if you don’t get salary and perks as Cabinet Ministers?

If Najib continues to keep these rejects, the rakyat will continue to reject them and them and him too.

Another said, Najib is not bothered about clean government. He talked of integrity, loyalty, etc., but I can’t remember him talking about corruption and clean government. Obviously he can’t. As Dr. M said some unsavoury characters are still in the Cabinet.

What happened to 600-page report against Nor Mohd Yackop? Pak Lah said the report was being investigated. Don’t tell me Najib is not aware. This man has a role in causing the government to lose RM30 billion and through Valuecap another couple of billions, and now Najib wants him to plan our economy? He will take us down the drain. Najib please open your eyes. What is this I hear about the Lamborghini affair?

Yet another said Najib talked of efficiency and “pembaharuan”. Where is the change and the renewal? Najib only recycled. Some believe 50% of Cabinet members were recommended by Tun M and the balance by Rosmah. Bad talk but people believe. Good luck to Najib.

Another asked why so many senators? Is it because elected MPs are useless? If they are useless, why were they picked to contest in the elections in the first place? Maybe Najib did not have the power then to stop them.

Yet another commented you dropped an elected MP as Minister for Federal Territory and replaced him with a Senator who is an Umno division head. In the last election his division failed to defend the BN seat. Then you have a rejected candidate and a division head who can’t help to win the seat for BN as minister. So from same division (Lembah Pantai) we have two Ministers.

Another commented if Tsu Koon can be made a Senator, why not Samy Vellu? He is the head of MIC and he too lost the election. He was a long time Minister of Works and will know why the Indians support the Oppositions.

Another said if Shahrizat, who won the Wanita Chief, can be made Senator and a Minister, why leave out Khairy, the Youth Chief? Is wanita now more important than Pemuda? We are all confused.

One more, Mukhriz said if he won Umno Youth post, he won’t accept Cabinet post. It is ok to accept a deputy minister post after losing the contest? Why Najib included him? To please Tun M or Dr. M wants him to look after Aps at the Trade Ministry?

Gerakan after poor showing in the election, got back to Cabinet. MCA got one extra seat. Najib is sending the signals that it does not matter whether you win or lose. There will always be Cabinet seats waiting.

Muhyiddin is only good to be Minister of Education? Cousin (Hishammuddin) must take care of the more sensitive home affairs. People wonder. Rakyat wonder Najib keeps the Ministry of Finance after the alleged scandals in Mindef. Why allow people to speculate? And why are the Ministries concerned with of Education are all in the hands of Johorians. Johore monopolises education.

Najib where is the change? Change, change, change. Otherwise, rakyat will do the changing.

Najib now asked Khazanah to handle KPI. Being very efficient, Khazanah needs 6 months. Ministers can sleep in the 6 months. Tsu Koon has no idea about KPI. Najib gets Khazanah’s help. Tsu Koon gets gaji buta.

Dato’ you still want to wait 6 months? So no KPI. What do you want to comment on?

Muhyiddin gave government two years to change and deliver. Six months are wasted for KPI. Then 6 months for Ministers to deliver, leaving one. So Dato’ you think this government is serious?

If Najib can and reduce by a few more Ministers, it will give good impression he loves smaller government. Surely he could have merged a few Ministries and reduce size of government.

Do you need Minister for Parliament, Religious affairs and Federal Territory? Can’t he do away with MOF2 and Minister in charge of EPU?

People want to see a leader with clear thinking who thinks logically. They want a leader with clear vision. They want clean, efficient and honest government that delivers its promises.

These are among the many the feedbacks from those who dare to comment, either via this blog or in my kopitiam conversations with them.

I will reserve mine. I will still wait for six months to give the verdict. I hope by then, we see good performance from Mohd Najib and his ministers.

In the meantime, I will comment, whenever possible, on the various actions he takes in line with his One Malaysia vision and his people first, performance now slogan.

Wednesday, April 22, 2009

Nota, Anekdot dan Ucapan Terima Kasih

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[UPDATE, 25 April] -- RAMAI minta komen saya mengenai pemansuhan syarat-syarat DEB. Perasaan awal saya lebih kurang begini (dengan izin).

Unless Mohd Najib and his media handlers come up quickly with a more plausible explanation as to how the Umno-led government proposes to offset the negative effects of these major economic decisions and compensate the Bumiputera majority, the son of the NEP creator could stand accused as the destroyer of his own father's shining legacy.

But the destruction of Tun Abdul Razak’s legacy is nothing compared to the destruction of the hopes and aspirations of the Bumiputeras. Unless they can be convinced that these radical policy changes will benefit them as much as the non-Bumipueteras business community, the prospects do not look good for his people first government.

[UPDATE, 23 April] -- PERDANA Menteri boleh buat apa sahaja dengan peruntukan DEB. Tetapi seandainya dalam tindakan beliau itu orang Melayu, kaum-kaum Bumiputera dan Orang Asli yang berupa rakyat majoriti terus miskin dan terpinggir, matlamat Satu Malaysia, Rakyat Diutamakan dan Prestasi Sekarang mustahil tercapai.]

[Posting Asal]

SEKALI-SEKALA
elok kita menyimpang dan membuat lencongan daripada isu serius macam politik dan ekonomi. Kita cakap hal-hal yang lebih mudah, tetapi tidak kurang pentingnya.

Mula-mula sekali terima kasih kepada pembaca dan pembahas yang terus melawat blog kita ini. Terima kasih kepada pembahas kerana berbahas dengan saya dan sesama sendiri.

Malangnya masih ada yang menghantar komen menggunakan “anonymous” tanpa sebarang nama (sebenar atau samaran) pada penghujung pesanan. Komen seperti itu, walaupun bagus, tidak akan disiarkan. Susah bagi saya dan pembahas hendak membezakan antara seorang anon dengan anon yang lain.

Ada juga yang hantar bahan secara ‘potong dan tampal’ (cut and paste) tanpa sebarang komen. Pun saya tidak akan siarkan. Atau yang sekadar memaklumkan mengenai blog dan yang bertujuan perniagaan seperti menjual tonik, pelaburan dan seumpamanya.

Terima kasih kepada pengikut (followers) blog ini yang sudah melebihi 400 orang. Baik budi saudara dan saudari membuat pautan kepada blog saudara dan saudari sangat-sangat saya dihargai.

Saudara dan saudari pasti sudah fahami yang saya tidak membuat posting baru setiap hari dan ada waktunya terlambat menyiarkan komen para pembahas.

Saya sengaja berbuat begitu untuk memberi lebih masa kepada saudara dan saudari berbahas. Kedua, saya kena juga buat kerja cari makan. Walaupun sudah lama melepasi umur pencen, saya masih kerja, masih mencarum kepada KWSP dan masih bayar cukai pendapatan.

Satu hal lagi, saya menderita masalah Cervical Spondylosis yang agak serius, yang menyebabkan kesakitan dan kesukaran bergerak. Kalau ikut istilah P Ramlee, ia adalah reput tulang: “berehat sebentar isteri dah meradang, kerja kuat takut reput tulang.”

Tapi tidaklah seteruk itu. Namun apabila kesakitan ini terjadi, saya terpaksa mengurangkan penggunaan komputer yang boleh memburukkan keadaan.

Doktor kata akibat kemalangan kereta yang saya alami pada tahun 1974 dan diburukkan oleh “repetitive injury” akibat terlalu banyak menggunakan mesin taip dan kini komputer. Apatah lagi tabiat saya menggunakan komputer di mana saja yang sempat – di kedai kopi, dalam kereta, kapal terbang dan atas katil.

Jadi yang muda-muda tu, jagalah badan, jaga kesihatan, jaga posture jangan bongkok dan jangan terlalu lama guna komputer pada satu-satu masa. Kesihatan amat penting.

Namun saya bertuah. Pada usia saya, boleh kata tidaklah banyak sangat penyakit. Ayah saya dah 85 tahun dan emak 80 tahun. Mereka dikurniakan lapan orang anak, 31 orang cucu dan lebih 19 orang cicit. Alhamdulillah mereka terus dalam keadaan yang memuaskan. Sakit tua sikit-sikit tu biasalah.

Baru-baru ini saya balik kampung dan berasa cukup bertuah apabila empat generasi duduk di bawah satu bumbung – ayah dan emak saya, saya, anak perempuan saya dan dua orang anaknya (cucu saya).

Kepada yang muda-muda tu janganlah lupa ibu bapa, nenek dan datuk. Orang tua-tua ni, kalau kita peluk cium mereka atau bagi duit RM50 pun mereka seronok bukan kepalang. Mereka cerita satu kampung. Bukan sangat kerana duit, tetapi kerana kasih sayang dan ingatan kita.

Baru-baru ini ketika memberi ceramah di sebuah agensi kerajaan, seorang pegawai memberitahu yang dia sudah lama tidak baca akhbar kerana katanya, terlalu banyak berita politik yang berat sebelah dan berita sensasi yang melalaikan.

Saya kata, tak elok kalau disebabkan benci berita politik dan berita sensasi kita tidak baca akhbar, kita juga yang rugi kerana kita masih perlukan berita lain yang tidak sensasi.

Saya cadangkan dia buat macam saya. Sejak lapan sembilan tahun ke belakangan ini, saya baca akhbar bermula dari belakang. Bila sampai kepada berita politik, saya berhenti membaca kalau berita itu mengganggu fikiran saya.

Sebenarnya banyak berita lain yang berguna seperti sukan, ekonomi, berita dunia, berita daerah dan surat pembaca sebelum sampai kepada berita politik. Lebih kurang macam masuk rumah jiran ikut pintu belakang.

Saya ada seorang kawan bekas Ahli Parlimen dan Adun Umno. Dia langsung tak baca akhbar atau tonton berita TV. Setiap kali saya ceritakan kandungan akhir, dia berkata: “Aduh, jangan aku tak tahan!” Dia mendapat berita daripada anak-anaknya yang melayari Internet.

Saya rasa kita kena faham dan kena adil. Bukan media massa arus perdana saja yang memihak. Akhbar seperti Harakah, Suara Keadilan dan Rocket pun berat sebelah. Begitu juga media pro-pembangkang yang lain.

Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, tidak mahu lagi gambar beliau dan anggota Kabinetnya terpampang dalam iklan dan billboard. Tapi pejabat beliau sendiri maklum tentang adanya gambar beliau terpampang di sana sini.

Ini kerja kaki ampu dan kaki sabotaj yang tidak ambil kisah bahawa perbuatan mereka itu membuat rakyat jelata jelak dan muak, apatah lagi apabila duit pembayar cukai digunakan.

Di Damansara Utama, berhampiran Kampung Kayu Ara ada sebuah papan iklan besar yang dulunya memuatkan gambar Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Khir Toyo. Habis dibaling dan dilastik oleh budak-budak kampung.

Sekarang ia sudah diambil alih oleh Kerajaan “Pakatan Rakyat” dan disiarkan sebuah iklan berbunyi “kembalikan hak air kepada Kerajaan Selangor.”

Di Jalan Syed Putra pula, gambar Abdullah yang dipasangkan di sebuah gerbang raksasa beberapa minggu sebelum dia bersara turut diturunkan. Harap Mohd Najib tidak membazirkan duit rakyat dengan menampalkan gambarnya pula.

Jimatkan duit rakyat. Jangan pasang poster dan papan tanda jenis “masuk bakul angkat sendiri.” Simpan duit itu untuk buat pilihan raya kecil dan besar kerana itu hak asasi rakyat jelata. Jangan kerana kalah sikit dah nak boikot pilihan raya.

Monday, April 20, 2009

Tidak Wajar Boikot Pilihan Raya Kecil

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

WALAUPUN Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, “tidak ketepikan apa juga kemungkinan,” termasuk memulaukan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang, saya rasa adalah amat merugikan jika Barisan Nasional mengaku kalah sebelum bertarung.

Sekiranya BN memulaukan PRK itu atas apa jua alasan, ia adalah tindakan yang tidak demokratik, cetek fikiran dan merugikan pengundi.

Sebagai sebuah pertubuhan yang mendakwa sedang melakukan penambahbaikan dan restorasi, Umno wajib meyakinkan parti-parti komponen BN yang lain bahawa BN wajib bertanding di DUN Penanti.

Sikap menyerah kalah atau defeatist akan menyebabkan lebih ramai pengundi hilang keyakinan BN dan parti-parti komponennya. Umno dan BN perlu mempamerkan tahap keyakinan dan semangat juang yang tinggi.

BN mungkin tidak berjaya merampas semula kerusi itu daripada Parti Keadilan Rakyat tetapi ia masih mempunyai penyokong yang ramai yang pasti kecewa jika ia tidak bertanding.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) mendapat 7,346 undi manakala Abdul Jalil Abdul Majid (BN) memperoleh 5,127 undi memberikan kelebihan 2,219 undi kepada Mohammad Fairus.

Lagipun, kalau betul analisis yang mengatakan semakin ramai pengundi Melayu di Bukit Gantang dan Bukit Selambau kembali menyokong BN pada PRK baru-baru ini, adalah sangat tidak bijak bagi BN memulaukan PRK Penanti.

Orang Melayu yang ingin kembali menyokong Umno dan BN kerana bertambah yakin dengan kepemimpinan Umno dan negara sekarang akan kecewa dan hilang semangat.

Memanglah Anwar Ibrahim akan menanti untuk mendera BN kerana Penanti adalah salah sebuah daripada tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen beliau, Permatang Pauh.

Lagipun, Penanti adalah satu-satunya DUN yang dipegang oleh PKR. Dua yang lain iaitu Permatang Pasir dipegang oleh Pas dan Seberang Jaya oleh BN.

Bagi Ketua Umum PKR itu, Penanti wajib dipertahankan dengan apa cara jua kerana kontroversi di sekitar peletakan jawatan Mohammad Fairus cukup mengaibkan PKR.

Mohammad Fairus adalah salah seorang aktivis muda reformasi yang menjadi harapan Anwar. Dia begitu dipercayai sehingga pada usia yang sangat muda – 33 tahun -- dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 dan diberikan portfolio agama.

Malangnya, dia menjadi sasaran dakwaan rasuah oleh penggiat PKR sendiri sehingga ditangkap dan disiasat oleh dan disiasat oleh Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia.

Dia meletakkan jawatan sebagai TKM1 dan Ahli Majlis Kerja Negeri (Exco) pada 21 Mac walaupun sebelum itu penafian demi penafian dibuat oleh kepemimpinan PKR dan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Merumitkan lagi suasana bagi kepemimpinan PKR, khasnya Anwar, adalah kata dua Mohammad Fairus melalui sebuah akhbar Cina yang dia akan mendedahkan “skandal” PKR dan kerajaan negeri jika kepemimpinan parti tidak menolong membersihkan namanya.

Jadi tidak timbul langsung soal ketidakwajaran BN bertanding kerusi itu. Malah BN wajib bertanding. Soal wajar atau tidak PRK itu diadakan pun tidak timbul.

Asalkan peletakan jawatan Mohammad Fairus sah, PRK wajib diadakan kerana tempoh hidup DUN Pulau Pinang masih panjang.

Lagipun, dengan krisis demi krisis yang melanda PKR dan wakil-wakil rakyatnya, adalah tidak mustahil bahawa lebih banyak kekosongan kerusi akan berlaku yang memaksa PRK diadakan.

Sebelum Mohammad Fairus, dua Adun PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang, Perak) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering, Perak) berpaling tadah, seorang – V Arumugam, Bukit Selambau, Kedah -- meletakkan jawatan dan seorang lagi, Elizabeth Wong (Bukit Lanjan, Selangor) menghantar surat peletakan jawatan tetapi ditolak oleh Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim.

Kalau BN menarik diri, yang menang adalah PKR dan yang kalah adalah rakyat jelata yang menyokong Umno dan BN.

Friday, April 17, 2009

Satu Malaysia Tidak Nafi Rancangan Afirmatif:PM

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

KEKELIRUAN mengenai gagasan Satu Malaysia atau One Malaysia sepatutnya memberi pengajaran kepada Perdana Menteri baru, Mohd Najib Abdul Razak, bahawa pengurusan pengaliran maklumat adalah sangat penting.

Jelas daripada kekeliruan ini bahawa beliau telah tidak merancang pengaliran maklumat atau perancangannya tidak cukup berkesan.

Sehinggalah 15 April apabila beliau menemui pengarang media massa arus perdana dan transkripnya disiarkan barulah muncul gambaran yang agak jelas mengenai konsep Satu Malaysia itu.

Antara lain, Satu Malaysia, mengikut penjelasan Mohd Najib, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia membawa makna:

1. Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

2. Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan; dan

3. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.

Saya tidak bercadang mengulas lebih lanjut hal ini kerana saya kurang yakin yang saya memahami sepenuhnya gagasan ini atau setuju dengannya.

Memadailah buat sementara waktu kalau saya katakan bahawa tidak ada dasar, pendekatan, label atau slogan akan sah dan sempurna jika hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak dihormati.

Begitu jugalah jika hak dan kepentingan kaum-kaum lain diketepikan. Sebaliknya gagasan ini memperkukuhkan komitmen kepada semangat dan pengertian Perlembagaan.

Tetapi setinggi mana pun hasrat Kerajaan hendak berlaku adil dan nampak berlaku adil, hak kaum majoriti jangan sekali-kali dinafikan.

Kita boleh berfikir dan bertindak di luar kotak dan lingkungan perkauman, tetapi hakikatnya tidak ada kaum dan bangsa di Malaysia yang mahu atau boleh dipaksa mengenepikan hak dan kepentingan mereka.

Dalam erti kata yang mudah, Perlembagaan adalah agung – supreme.

Dasar Ekonomi Baru sebagai pemangkin kepada dasar afirmatif dengan jelas mengatakan bahawa Kerajaan komited membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Ia juga komited menyusun semula masyarakat melalui pembahagian kekayaan dan peluang pekerjaan yang lebih saksama agar kaum-kaum di Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan kegiatan ekonomi dan pekerjaan yang mereka ceburi.

Oleh kerana Bumiputera berupa penduduk majoriti dan paling ramai anggotanya yang miskin, maka sebarang dasar yang menjurus ke arah membasmi kemiskinan dan membahagikan kekayaan negara dengan lebih saksama wajib dirangka agar sampai kepada mereka.

Selebihnya, izinkan saya meringkaskan transkrip perbualan Perdana Menteri dengan pengarang media itu yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

“SAYA telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama pagi ini (15 April). Antara perkara yang saya telah tekankan pada mesyuarat pagi ini, supaya barisan Jemaah Menteri yang baru dapat memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi, di mana Jemaah Menteri perlu menepati apa yang diharapkan rakyat.

Saya menggariskan empat perkara. Integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan. Kabinet perlu berteraskan kepada Kabinet yang dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Saya telah nyatakan dalam persekitaran politik hari ini, rakyat semakin kritikal. Oleh itu, kita tak boleh anggap ini sebagai perkara biasa tetapi mesti mempamerkan barisan kepimpinan yang sanggup melakukan perubahan dan pembaharuan.

Sehubungan ini, saya telah menyatakan betapa pentingnya Jemaah Menteri untuk berurusan dengan semua lapisan masyarakat. Kita tak boleh anggap kerajaan tahu segalanya. Kita perlu membuka pintu kepada dialog dan perbincangan dengan pelbagai kumpulan supaya keputusan yang dibuat kerajaan nanti merupakan keputusan yang benar-benar bersandarkan kepada kehendak rakyat.

Saya juga ingatkan ahli Kabinet supaya tidak dianggap sebagai kerajaan yang memihak kepada mana-mana kumpulan istimewa khusus (special interest group) atau mana-mana badan korporat.

Walaupun amat penting untuk melaksanakan dasar-dasar yang mesra kepada sektor swasta tetapi kesudahannya kita mesti ambil apa-apa keputusan bersandarkan kepentingan rakyat pada keseluruhan.

Saya juga telah menyebut tentang pencapaian yang diharapkan oleh rakyat bahawasanya rakyat tidak mahu mendengar sesuatu yang kita janjikan atau sesuatu diumumkan. Rakyat mengharapkan pelaksanaan secepat mungkin.

Oleh itu, pendekatan KPI akan dilaksanakan di mana pihak Khazanah telah ditetapkan sebagai badan untuk membantu kerajaan menggubal KPI dalam tempoh sebulan. Saya telah berjumpa Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azman Mokhtar untuk menempatkan bilangan tenaga yang mencukupi untuk melaksanakan penggubalan KPI ini dalam tempoh tersebut.

Semua menteri akan dinilai prestasi masing-masing dalam tempoh enam bulan. Saya telah tetapkan pada bulan November nanti kita akan lakukan proses penilaian atas prestasi dan pencapaian setiap menteri dan kementerian.
Dengan adanya sistem KPI ini, saya percaya prestasi kerajaan, pencapaian kerajaan, insya-Allah akan bertambah baik dan berkesan lagi.

Saya juga mengingatkan, bahawa rakyat hari ini mengharapkan pendekatan yang berbeza. Dan kita tidak perlu kepada pendekatan yang terlalu mementingkan luaran (ritual) ataupun kedudukan kita sebagai anggota pentadbiran. Tetapi kita mesti sensitif dengan pandangan rakyat dalam apa juga yang kita lakukan.

Saya bagi contoh, kalau kita hendak promosi pelancongan misalnya Pulau Langkawi. Apabila kita buat papan iklan, tak payahlah kita letakkan gambar Perdana Menteri dan menteri berkenaan sebagai sebahagian daripada kandungan papan iklan tersebut.

Dan kalau ada hari-hari tertentu kita buat sepanduk, banting dan sebagainya, tak payahlah gambar menteri atau Perdana Menteri ditonjolkan.

Kita nak tunjukkan yang kita tak penting kepada perkara seperti ini. Yang penting ialah untuk menunjukkan bahawa kita sebuah kerajaan mesra rakyat dan pentingkan kepentingan rakyat lebih daripada kedudukan dan jawatan yang ada pada kita.

Saya sudah buat keputusan dan JPM akan keluarkan kenyataan. Tidak ada masalah apabila sesuatu kementerian dibubarkan. Misalnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Ini kerana agensinya tetap tidak dibubarkan. Ia ditempatkan di bawah kementerian lain yang akan melaksanakan tugas seperti biasa.

Seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga. Ketika zaman Tun Ghafar Baba, Mara di bawah kementerian berkenaan.

Dan, Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal). Takkan dia tak boleh kita harap, untuk laksanakan program Mara umpamanya. Jadi, saya tak nampak polemik tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien.

Saya komited kepada rakyat untuk bawa pembaharuan dan saya serius untuk bawa perubahan.”

Wednesday, April 15, 2009

Boikot DUN Terengganu Tindakan Dangkal

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[UPDATE, 16 April] – BEKAS Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, hari ini meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti.


Sementara itu Mahkamah Persekutuan memerintahkan supaya penggantungan 18 bulan ke atas Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir, dan 12 bulan ke atas enam Exco Barisan Nasionalnya dibatalkan.


Dalam keputusan sebulat suara panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Allaudin Mohd Sheriff, memerintahkan yang V Sivakumar, Speaker DUN Perak, bertindak melampaui kuasanya apabila menggantung mereka pada 18 Februari lalu.


[UPDATE, 15 April] -- KHAZANAH Nasional Berhad diarahkan merangka Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators -- KPI) untuk dilaksanakan ke atas Menteri. Penilaian pertama pertama November ini. Soalnya, adakah Khazanah dengan imejnya yang ada sekarang berupa pihak terbaik untuk merangka KPI ahli jemaah menteri?

[Posting Asal]


PEMULAUAN
sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu oleh 10 wakil rakyat Barisan Nasional (Umno) minggu ini adalah tindakan dangkal dan hambar.

Ia boleh membantutkan usaha kepemimpinan baru Umno dan negara memperbaiki imej dan prestasinya.

Apa pun alasan 10 Adun BN dari Umno itu – termasuk kononnya “takut dibunuh”—ketidakcerdikan dan kecetekan pemikiran mereka sangatlah memalukan Umno.

Sepuluh Adun itu adalah itu adalah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd. Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Din Adam (Bukit Besi), Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd. Pehimi Yusof (Kota Putera).

[Peringatan Penting: Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Masih ada yang tidak mematuhi syarat ini.]

Jelas bahawa 10 wakil rakyat itu tidak dapat membezakan antara pokok dan hutan, antara isu dan tindakan. Ada dua isu yang berlainan di sini.

Pertama tidak setuju dengan Menteri Besar, Ahmad Said. Tidak kiralah tidak setuju yang biasa atau tidak setuju yang teruk sehingga mahu dia digantikan. Kedua memboikot sidang DUN.

Adalah amat menyedihkan dan buruk alamatnya kepada Umno jika 10 Adun itu, termasuk bekas seorang Menteri Besar (Idris Jusoh) terlalu dangkal sehingga tidak dapat membuat perbezaan ini.

Tidak setuju dengan MB adalah isu dalaman Pentadbiran Kerajaan Terengganu dan parti Umno. Masalah ini sepatutnya diselesaikan dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri dan Umno bukannya dengan memboikot DUN.

Memboikot DUN menjejaskan prinsip demokrasi dan konsep perwakilan yang menghubungkan wakil rakyat dengan rakyat jelata yang memilih mereka.

Dalam konteks ini, kita mahu tahu adakah rakyat jelata yang memilih mereka merestui pemberontakan mereka terhadap Ahmad Said atau setuju dengan perbuatan mereka memboikot sidang DUN?

Tindakan mereka dan reaksi Ahmad Said adalah sangat buruk dan amat memalukan.

Justeru itu, adalah tidak memadai bagi Presiden baru Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, setakat mengarahkan mereka kembali menghadiri sidang DUN.

Nasib baiklah pembangkang tidak kuat dalam DUN Terengganu. Kalau kuat, kerajaan BN boleh tumbang. Daripada 32 kerusi DUN, BN mengusai 24 kerusi dan Pas lapan.

Itu pun, menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, ketiadaan mereka ketika sesi soal jawab pagi semalam telah membolehkan lapan Adun Pas menguasai dewan.

Walaupun 10 Adun yang dangkal itu sudah menghadiri semula persidangan DUN hari ini seperti yang dilaporkan oleh The Star Online, kes ini tidak boleh disapu ke bawah tukar begitu sahaja.

Mohd Najib dan timbalannya Muhyiddin Yassin wajib bertindak tegas mendisiplinkan para pemboikot itu dan mengatasi isu Terengganu agar imej Umno sebagai parti yang lemah dan sedang menuruni cerun ke arah kemusnahan dapat diatasi.

Kalau Ahmad Said gagal atau kurang berkesan sebagai Menteri Besar dan pemimpin Umno negeri, dia wajib beri dia tunjuk ajar dan kalau tak makan ajar, parti wajib bertindak tegas ke atasnya, termasuk menggantikan dia dengan orang lain.

Bukankah ini janji Mohd Najib melalui penilaian key performance index (KPI) dan ikrar rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?

Mohd Najib dipetik sebagai berkata keadaan di Terengganu bukanlah “krisis yang teruk” (full-blown political crisis). Tetapi apakah beliau akan menunggu sehingga nasi menjadi bubur baru hendak bertindak tegas?

Dakwaan 10 Adun Umno yang dangkal itu bahawa nyawa mereka dalam bahaya mengingatkan kita alasan yang serupa yang diajukan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim, apabila dia lari berlindung di Kedutaan Turki tidak berapa lama dulu.

Janganlah pembesar politik kita, tidak kira daripada BN, PKR, Pas atau DAP, sengaja mengada-adakan alasan bagi menghalalkan tindakan mereka yang dangkal dan bacul sehingga memalukan bangsa dan negara.

Mengenai dakwaan bahawa Setiausaha Agong Pas, Kamaruddin Jaafar, membandingkan situasi di Perak dengan Negeri Thai dan berkata yang huru-hara boleh terjadi di Perak sekiranya DUN tidak dibubarkan dan pilihan raya baru diadakan, saya kurang pasti.

Tidak kiralah siapa yang membuatnya, tetapi kenyataan seperti ini seolah-olah cuba menghalalkan tindakan keingkaran sivil seperti tunjuk perasaan dan rusuhan macam yang berlaku di Kuala Kangsar Februari lepas.

Setelah lama memeras otak dan mencari petunjuk, Kerajaan PKR Selangor yang hari ini menolak surat peletakan jawatan Adun dan Exco Elizabeth Wong Keat Ping yang gambar bogelnya disebar luas oleh bekas kekasihnya, Hilmi Malik, yang juga penggiat penting PKR. Hilmi sedang dicari Polis.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, berkata Cik Wong akan disuruh mengekalkan jawatan Exco dan Adun Bukit Lanjan dan kembali bertugas serta merta.

Sementara itu, di Pulau Pinang pula Ketua Menteri DAP, Lim Guan Eng, berkata jawatan Timbalan Ketua Menteri (1) akan kekal kosong “untuk memberi peluang kepada Anwar menyelesaikan masalah dalaman partinya.”

Jawatan itu kosong apabila Adun PKR Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin, meletakkan jawatan 8 April lalu setelah didakwa menerima rasuah daripada seorang pengusaha kuari di negeri itu. Dia sedang disiasat oleh Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia.

“Anwar tidak dapat menyetujui permintaan saya untuk membuat perakuan siapa akan mengisi kerusi Exco dan dilantik Timbalan ketua Menteri (1),” Malaysiakini memetik Guan Eng.

Monday, April 13, 2009

Sepak Terajang Berlaku Dalam Semua Parti

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SAYA tertarik dengan komen Sdr Sinbad (anonymous) yang dihantar kepada posting saya pada 8 April yang bertajuk “Status Quo Di Sungai dan Bukit.”

Saya sudah pun menyiarkan ulasan itu dalam ruangan komen rencana berkenaan. Terima kasih kepada Sdr Sinbad dan semua para pembahas.

Namun, saya rasa ada baiknya saya memetik keseluruhan komen beliau itu dan menyiarkannya sebagai sebahagian daripada posting kali ini.

Benar seperti kata Sdr Sinbad “tendang terajang dan tikam belakang” bukan berlaku dalam Umno dan Barisan Nasional sahaja. Ia berlaku dalam semua parti politik.

Izinkan saya menyiarkan semula komen Sdr Sinbad dengan penuh dan tanpa sebarang suntingan:

Datuk, Itulah akibatnya kalau kita asyik menulis dan berbincang mengenai UMNO dan Barisan Nasional sahaja. Datuk kena lebih kerap menulis mengenai parti-parti lain terutama parti PAS dan DAP. Orang-orang muda sekarang ini ramai yang hanya tahu pasal sepak terajang politik UMNO dan Barisan Nasional sahaja. Mereka tak tahu bahawa dalam parti PAS dan DAP pun banyak juga sepak terajang dan tikam belakang.

Datuk kena perbanyakkan menulis mengenai bagaimana Lim Kit Siang tendang keluar pesaing-pesaing politiknya dalam DAP. Datuk kena bagitahu pada orang-orang muda apa Lim Kit Siang sudah buat pada Lee Lam Thye dan Wee Choo Keong. Datuk kena ceritakan bagaimana Lim Kit Siang buat komplot untuk ketepikan Kerk Kim Hock untuk menaikkan anaknya Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP. Datuk kena kisahkan semula kenapa Lim Kit Siang ini kena singkir dari jawatan Setiausaha Agung sebab ramai ahlinya pada masa itu sudah muak dengan sikap kuku besi dan dominannya hingga DAP tewas teruk dalam PRU10.

Datuk juga kena ceritakan bagaimana sepupu sepapat Ngeh dan Nga menjadi terlalu berkuasa dalam DAP Perak hinggakan ahli Parlimen Batu Gajah, Foh Poh Kuan pun hampir tersingkir dari bertanding dalam PRU12 dahulu. Dikhabarkan juga bahawa ADUN Jelapang, Hee Yit Foong bertindak keluar parti DAP pun kerana terlalu bosan dengan sikap gila kuasa Ngeh dan Nga ini.

Datuk, tolonglah ceritakan siapa Kamaruddin Jaafar, Hassan Ali, Khalid Ibrahim, Azmin Ali dan lain-lain ini semasa mereka dalam UMNO dulu. Ceritakan apa peranan mereka, apa sejarah hidup mereka dan kemewahan yang mereka kecapi dalam UMNO ini. Ramai orang-orang muda yang mengaku sangat bijak pandai dan memuji muja mereka ini ingin tahu perkara yang sebenarnya dari Datuk.

Tolonglah Datuk. Saya dah muak dengan cerita UMNO dan Barisan Nasional.”

Terima kasih Sdr Sinbad.

Saya tidak akan mengulas mengenai semua watak yang Sdr Sinbad sebutkan. Saya hanya ingin berkongsi fakta ringkas mengenai watak yang saya kenal dan fakta yang saya tahu. Antaranya:

1. DAP adalah jelmaan Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party) Singapura. Ia mengambil alih peranan PAP di Malaysia apabila Singapura keluar Malaysia pada tahun 1965;

2. DAP diasaskan pada tahun 1967 dan sejak itu Lim Kit Siang menjadi supremo -- orang kuatnya -- dengan memegang pelbagai jawatan, menjadikannya ketua parti yang paling lama memegang jawatan;

3. Dialah juga ideologue yang menentukan ideologi, dasar dan kepemimpinan parti itu;

4. Dia adalah kata pemutus. Ambil contoh gesaan Pengerusi DAP Karpal Singh baru-baru ini supaya Anwar Ibrahim berhenti menjadi ketua de facto gabungan tidak rasmi Pakatan Rakyat. Kit Siang menyangkalnya dan berkata itu hanya pendapat peribadi Karpal;

5. Ramai aktivis DAP yang tidak sebulu dengan beliau atau yang lebih karismatik seperti Lee Lam Thye, Kirk Kim Hock dan Wee Choo Keong disingkirkan;

7. Akhirnya, anak beliau, Lim Guan Eng menjadi Setiausaha Agong iaitu jawatan nombor satu DAP dengan Karpal Singh sebagai ketua pada nama “figurehead” sahaja;

8. Kamaruddin Jaafar adalah orang kanan Anwar dalam Abim dan Yayasan Anda. Dia ikut Anwar masuk Umno pada awal tahun 1980an dan melalui Umno membina landasan politik arus perdananya. Seorang yang baik, waras dan intelek;

9. Apabila Anwar disingkir daripada Umno dan Kerajaan pada tahun 1998, dia keluar Umno. Dia tidak menyertai reformasi sebaliknya masuk Pas dan menjadi Ahli Parlimen sejak 1999;

10. Dr Hassan Ali mencipta nama sebagai pakar motivasi keluarga yang berjaya di segi populariti dan kewangan. Dia mencipta nama hasil promosi media massa arus perdana, khasnya radio dan TV.;

11. Mohamed Azmin Ali adalah petugas peribadi Anwar yang paling rapat dan akrab dengan Ketua Pembangkang itu. Pada 1 Okt. 1987, ketika berusia 23 tahun dia dilantik Pegawai Khas Anwar dan seterusnya sebagai Setiausaha Sulit. Azmin amat akrab dengan bosnya sehingga keluarganya dianggap sebagai sebahagian daripada isi rumah Anwar;

12. Abdul Khalid Ibrahim adalah eksekutif korporat yang amat rapat dengan bekas Pengerusi PNB, Allahyarham Tun Ismail Ali. Dia menjadi kaya raya apabila dianugerahkan “golden handshake” berbentuk lima peratus saham Kumpulan Guthrie dan hak menguruskan firma perladangan raksasa itu;

13. Dia didakwa tidak menguruskan Guthrie dengan baik dan pada tahun 2004 dipecat sebagai ahli lembaga pengarah dan ketua eksekutif. Guthrie adalah syarikat kawalan PNB;

14. Tidak lama selepas itu dia menyertai PKR dan bertanding pilihan raya kecil DUN Ijok, Selangor bagi pihak Parti Keadilan Rakyat tetapi tidak menang;

15. Abdul Khalid pernah bergiat cergas dalam Umno tetapi gagal mendapat jawatan di peringkat bahagian lagi. Dia adalah antara pemikir ekonomi bagi Umno dan Kerajaan; dan

16. Sepanjang mengenai sepupu DAP Perak, Ngeh dan Nga, mereka, bersama-sama dengan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar adalah kuasa sebenar di belakang Kerajaan PR walaupun bekas Menteri Besarnya daripada Pas.

Itulah sedikit sebanyak mengenai watak-watak yang Sdr Sinbad sebutkan dalam ulasannya sepanjang yang saya ingat. Terima kasih.

Friday, April 10, 2009

Jemaah Menteri: Kita Akan KPIkan PM

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[Versi Yang Dirombak]

SAYA
ambil maklum komen yang para pembahas hantar mengenai kabinet baru Malaysia di bawah Perdana Menteri Baru, Mohd Najib Abdul Razak ke post yang terdahulu. Terima kasih.

Buat sementara waktu ini, seperti saya sebutkan dalam rancangan “Analisis” di stesen satelit Astro Awani semalam, saya hanya akan mentakrifkannya sebagai menarik -- “interesting.”

Saya akan memberikan masa enam bulan sebelum membuat kesimpulan yang lebih kukuh kerana itulah masa yang “diperlukan” oleh Mohd Najib sendiri untuk menilai prestasi kabinetnya melalui Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Index) – KPI.

Kata Mohd Najib dalam siaran langsung TV ketika mengumumkan Kabinetnya semalam:

“Saya akan terlibat secara peribadi dan langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.”.

Bagi kita rakyat jelata, selepas enam bulan kita akan membuat kajian KPI kita sendiri bukan sahaja ke atas menteri yang seramai 28 orang dan timbalan menteri seramai 40 orang itu, tetapi yang lebih utama, kita akan KPIkan Mohd Najib sendiri.

Itu janji kita kerana Mohd Najib sendiri sudah memberi berikrar yang “era kerajaan yang bertindak mengawal secara keterlaluan” dan mengamalkan sikap “kerajaan lebih mengetahui” (government knows best) SUDAH BERLALU.

Terima kasih dan syabas Datuk Seri.

Saya katakan menarik dengan mengambil kira apa yang tersurat dan tersirat dalam pengumuman Perdana Menteri itu, termasuk ucapan khasnya kepada Media sebelum mengumumkan senarai kabinet. Antaranya:-

1.Bilangan kementerian yang lebih kecil – 25;

2. Bilangan menteri yang lebih kecil – 28;

3. Pelantikan lima menteri baru;

4. Ada menteri yang tidak dilantik semula;

5. Ada watak tertentu yang tidak dipertimbangkan untuk dilantik, termasuk yang akrab dengan Mohd Najib tetapi dianggap bermasalah;

6. Pelantikan semula beberapa orang yang pada jangkaan umum perlu digugurkan;

7. Pesalah politik wang tidak dilantik ke mana-mana jawatan;

8.PM nampak “desperate” untuk penuhi “kuota” parti komponen dan wanita;

9. Parti komponen yang tidak berjaya pada pilihan raya sebenarnya tidak berhak menuntut atau mengharap mereka diberi layanan yang serupa;

10. Mereka tidak berhad menuntut kuota kalau mereka sendiri gagal menyumbang kepada kuota kemenangan Barisan Nasional;

11. Parti komponen BN tidak boleh jadi talam dua muka dengan terus menuntut kuota walaupun mereka tidak “perform” dan ditolak oleh kaum mereka tetapi pada masa yang sama menuntut meritokrasi;

12. Ada menteri yang tidak “perform” tetapi dikekalkan. Ini boleh jadi kerana Mohd Najib mahu mengikat mereka untuk mendapatkan maklumat serta rahsia tindak tanduk mereka ketika dalam kabinet lama;

13. Selepas enam bulan, jika KPI mereka tidak memuaskan atau taubat serta komitmen mereka tidak meyakinkan, Mohd Najib perlu menyingkirkan mereka.
Sementara itu beliau perlu memerhatikan dengan rapi gerak-geri “musang-musang berbulu ayam” ini;

14. Pengekalan jawatan Menteri Kewangan oleh Mohd Najib wajib dengan alasan dan matlamat yang sangat kuat atau seelok-eloknya untuk sementara sahaja kerana gabungan jawatan Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan terlalu “explosive” apatah lagi jawatan Menteri Kewangan Kedua diberikan kepada penjawat "junior" yang tidak teruji. Takut-takut kemelut MK2 yang lalu berulang kembali;

15. Pemberian jawatan Menteri Pelajaran kepada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, penting kerana pendidikan sekolah perlu diperkuatkan dan segala pertikaian mengenai pendidikan ditangani dengan lebih berkesan;

16. Penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi (Council of Economic Advisers) yang diketuai oleh seorang pengerusi bertaraf menteri amat dialu-alukan; dan

17. Ikrar memperbaharui ekonomi negara dengan berpaksikan konsep satu Malaysia, rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan adalah sangat wajar.

Kesimpulannya, oleh sebab Mohd Najib memberikan anggota kabinetnya tempoh percubaan enam bulan, maka dengan mengguna pakai piawaian yang sama kita memberikan beliau enam bulan juga untuk membuktikan kepada kita yang beliau menunaikan janji.

Oleh sebab kerajaan tidak lagi berhasrat mengawal kita secara keterlaluan dan mengakui bahawa kerajaan tidak tahu semua, maka kita wajib terus memberi maklum balas kepada beliau.

Meminjam ungkapan daripada pakar spin era Perdana Menteri yang baru berlalu --- kita maklumkan kepada beliau apa yang beliau perlu tahu bukan apa yang beliau suka dengar.

Justeru itu, sebaik yang mungkin kita akan bekerjasama dengan beliau kerana beliau wajib bekerja untuk kita.

Wednesday, April 08, 2009

Status Quo Di Bukit dan Sungai

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

BARISAN Nasional gagal menawan kembali dua bukit –Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah – dalam pilihan raya kecil semalam.

Pas dengan mudah mempertahankan Bukit Gantang manakala Parti Keadilan Rakyat berjaya mengekalkan Bukit Selambau, tetapi gagal merampas DUN Batang Ai, Sarawak.

Keputusannya – BN satu, Pas satu dan PKR satu. Bagi BN, ini adalah kekalahan pilihan raya kecil keempat sejak pilihan raya umum 2008. Sebelum ini, BN kalah kerusi Parlimen Permatang Pauh (kerusi PKR) dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu (kerusi BN).

Peralihan kuasa negara daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Abdul Razak pada 3 April lalu belum meyakinkan majoriti pengundi bahawa BN, khasnya Umno, sudah berubah.

Untuk berlaku adil kepada Mohd Najib, kita perlu mengakui bahawa adalah mustahil bagi beliau memperbaiki keadaan kucar-kacir selama lima tahun lima bulan di bawah kepemimpinan Abdullah, dalam masa lima hari.

Malangnya, Mohd Najib tidak mempunyai lima tahun untuk memperbaiki keadaan. Paling lama dia hanya ada empat tahun sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Dalam ucapan dasar di Malam Wartawan Malaysia pada 6 April, Mohd Najib menjanjikan ketelusan dan prestasi – transparency and performance.

Di manakah ketelusan dan prestasi lebih penting kalau tidak dalam pembentukan Kabinet?

Jadi dalam bahasa yang mudah, kita mintalah Mohd Najib memilih barisan yang berwibawa dan bukan yang popular. Jangan sekali-kali dipertimbangkan mereka yang menang kerana politik wang.

Daripada angin yang bertiup kencang, suasana masih tegang. Lembaga Disiplin Umno masih meneropong, menyelak dan menimbang. Manalah tahu kalau ada banyak lagi musang dan petualang.

Pilih yang berintegriti bukan yang hanya pandai ambil hati Perdana Menteri suami-isteri. Atau yang berkata, wahai YAB Datuk Seri akulah yang paling setia, pilihlah aku demi agama, bangsa dan negara.

Kaki ampu memang banyak. Dulu asak bertubi-tubi. Tapi sekarang kalau cakap hanya yang enak-enak. Datuk Seri sana, Datuk Seri sini. Biasalah tu, kaki pengampu memang tak tahu malu.

Tengok apa jadi dengan Mantan Perdana Menteri. Bukan yang terbaru, tetapi yang sedikit terdahulu. Sebulan dua lalu dibenci dicaci keji.

Sekarang bila dah masuk Umno kembali, diberi pintas terus oleh TV maka banyaklah yang nak cium kaki. Macam geng-geng yang dengar Dr Mahathir senegeri.

Kaki ampu ibarat pagar yang makan padi, haruan yang makan anak dan tikus yang perbaiki labu – dalam bahasa yang mudah, satu sen pun tak laku.

Tentang integriti, tak payahlah pasang potret tinggi-tinggi. Apa mesejnya potret Perdana Menteri, Timbalan dan Menteri Pelancongan di papan iklan Zoo Negara?

Kalaupun politik macam zoo, takkanlah itu pun nak bagi rakyat jelata tahu? Pakailah gambar orang utan atau ungka. Budak-budak tengok tentulah suka.

“Mak, jom pi Zoo Negara. Kita tengok orang utan dan ungka!”

Tak payahlah habiskan duit rakyat jelata letak muka pada iklan Zoo Negara walaupun ada menteri diberi jolokan badak, gajah dan kera.

Kata orang putih, “no self-aggrandizement please.” Melayu kata, lebih kurang, “tak payahlah masuk bakul angkat sendiri.” Orang benci.

Orang keliru. Potret Perdana Menteri, lirik lagu Negaraku. Apa kena mengena Perdana Menteri dengan lagu kebangsaan ibu pertiwi? Pakai gambar Seri Paduka barulah kena. Menteri janganlah asyik syok sendiri.

PM dah mulakan jalan-jalan (walkabout) di ibu negara. Teruskan. Rakyat di desa, di rancangan tanah, di rumah panjang Sarawak dan di desa pedalaman Sabah pun tentu nak berjumpa juga.

Jangan jadi hangat-hangat tahi ayam. Macam dulu-dulu tu. Serbu Pejabat Imigresen sekali lepas tu senyap sepi.

Bila Perdana Menteri pergi jalan-jalan, janganlah pula dibuat sarkas media atau upacara untuk kakitangan awam bermuka-muka. Tak payah bagi tahu media dan jangan benar pengilat epal buat kacau sampai rakyat jelata terpulau.
Ini kesempatan Perdana Menteri bersama rakyat jelata, berbual mesra dari hati ke hati. Bukan untuk orang politik dan korporat tumpang sekaki cari populariti.
Rakyat jelata tidak ada wang berjuta. Tidak pun pandai melakar cerita. Tetapi di tangan mereka ada undi yang menentukan siapa hidup dan siapa mati.

Sunday, April 05, 2009

"I'm Never Not Ok"

A Kadir Jasin

[ANONYMOUS comments with not be entertained. When commenting, your real identity is preferred. But a suitable pseudonym is accepted. If you have to use anonymous, please print your name or pen name at the bottom of your message. Please avoid seditious, defamatory and libelous statements. Unrelated comments will not be given priority.]

WHEN friends and acquaintances ask me how I am, I’ll always tell them “I’m never not okay.” It means I’m always okay.

I sometimes wonder if I’m telling them the truth. But I always come to the conclusion that I was not telling them a lie.

Either I’m being practical, cynical or philosophical, that answer sums up my general attitude towards life.

I’ve lived long enough not to believe that my sadness and uncontrollable anger will change anything. So, if I’m angry or dislike something, I make a point of not saying too much about it. Or, better still, not saying anything at all.

So, when I did not comment in this blog about the personalities in the new Umno Supreme Council line-up, a long time friend remarked: “So you’re not to happy with the line-up.”

Well, does it matter whether I am happy or not? Supposing I’m not, would the delegates care? Would the Umno President care? Would the Supreme Councilors themselves care?

The chances are they don’t. So what do I do? First, I don’t sing praises for them. Not all of them of course. Many are fine gentlemen. Good enough to be country squires.

I can’t say much about the ladies because there aren’t that many of them. Despite the importance of the Wanita Wing to the party, the delegates seemed not to place too much importance to electing them to the Supreme Council.

So, with a solitary Supreme Councilor and the Wanita and Puteri Chiefs as ex-officio members, there are only three women in the council, if I am not mistaken. I think the new party president, Mohd Najib Abdul Razak, should appoint few more to the council.

Second, I damned them. When I was asked on RTM’s TV1 on April 3 if Mohd Najib has enough capable people in the Supreme Council to fill his Cabinet, I said (in bahasa Melayu):

Ada sesetengah mereka kalau mandi limau, mandi bunga dan mandi sintuk sekalipun masih tidak layak dilantik menganggotai Kabinet.”

I can’t possibly translate that literally into English. The statement is too Melayu (Malay) and, probably, too harsh.

But I did not damn them to purgatory either. I said they could be used for partisan purposes like out-shouting the oppositions and defending Umno’s partisan agenda like the special rights and privileges of the Malays.

Rightly so because Umno has to respect the dichotomy between being the dominant party in the Federal Government and the party that represents the interest of the Malays. The two do not always go together.

In short, I am never not okay with the delegates’ choice but I have my reservations about the integrity and ability of some of the Supreme Councilors to be appointed to government posts.

Cabinet appointment is the Prime Minister’s rights and prerogative. He can bring in non-council members. He can even bring in non-politicians. That’s what he should do to. But he should be careful not to bring in people of questionable reputation.

A small lesson history is always useful. Politics is full of surprises and ironies. Take Tun Dr Mahathir Mohamad’s application to rejoin Umno.

To whom did he hand over his application? To Mohd Najib on the morning after he was sworn in. Very symbolic.

But if we look back into history, we could feel a sense of déjà vu. It’s like we’ve been there before and seen it.

In the post-May 16, 1969 racial riots, Dr Mahathir wrote a stinging letter to Tunku Abdul Rahman Putra, blaming the marginalisation of the Malays and the rising chauvinism of the non-Malays as causing the Alliance’s dismal performance. That letter precipitated Tunku’s downfall.

Who benefited from it? Not Dr Mahathir because he was promptly branded Malay Ultra and sacked from Umno.

The beneficiary was the late Tun Abdul Razak Hussein, Mohd Najib’s father. Dr Mahathir’s rebellion hastened Tunku’s retirement and speeded up Abdul Razak’s ascent.

As a sign of gratitude and respect for his action, Abdul Razak reinstated Dr Mahathir’s membership of Umno, made him a Senator and soon after appointed him Education Minister. The rest is history.

Fast forward to 2008. Disillusioned with Tun Abdullah Ahmad Badawi’s leadership of Umno, Dr Mahathir left the party.

Months earlier, in the aftermath of the general election, his son, Mukhriz wrote an equally stinging letter to Abdullah blaming him for the Barisan Nasional’s disappointing performance.

His letter precipitated the opposition against Abdullah, forcing him to schedule his retirement to 2010 but was later brought forward to this year.

This time around, the beneficiary of the father-and-son rebellion against an Umno President is Mohd Najib, the son of the second Prime Minister.

So what Mr Mahathir did four decades ago to speed up Abdul Razak’s ascent to power, he and his son did it again four decades later to hasten and ensure Mohd Najib’s rise to the same power spot.

But the role of the new Umno Deputy President, Muhyiddin Yassin, has to be given full recognition too. It was he who gave the Umno face to the rebellion.

He was the most senior party leader to risk his future to save the party from further deterioration by speaking up and, in doing so, incurring Abdullah’s wrath.

In the end he prevailed in a contest that pitched him against two Abdullah’s diehards – the money politics offender, the Malacca Chief Minister, Mohd Ali Rustam and the National and Regional Development Minister, Muhammad Muhammad Taib.

In the process, Muhyiddin has “regained” Dr Mahathir’s confidence and respect. Muhyiddin is expected to play key role in rebuilding the party, starting with leading the charge in the three ongoing by-elections.

As for Mohd Najib’s walkabout in the City on his second day in office, I hope it will not be another case of “hangat-hangat tahi ayam.”

The people are watching and many of them remember his late father’s famous walkabout more than four decades ago. They are sure to make comparison. I will.

Thursday, April 02, 2009

Beban Mohd Najib Amat Berat

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PADA hari Jumaat 3 April bersamaan 7 Rabiulakhir (1430) kepemimpinan negara bertukar tangan daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Abdul Razak.

Beberapa tahun lalu, seorang penyokong tegar dan kawan akrab Abdullah memberitahu sebuah seminar di Universiti Malaya bahawa sebagai pengamal tasawuf, dia nampak “nur” Abdullah.

Katanya, sesiapapun yang mengamalkan tasawuf pasti nampak cahaya itu dan sedar bahawa apa sahaja yang berlaku kepada Abdullah atau dilakukannya mempunyai petunjuk dan petanda yang jelas dan istimewa.

Lantas dia menyebut tarikh lahir Abdullah, tarikh pelantikannya sebagai Perdana hatta tarikh kepulangan Datin Seri Endon Mahmood ke rahmatullah sebagai membawa erti bercahaya.

Saya agak terperanjat kerana sepanjang yang saya tahu dan saya difahamkan, seorang pengamal tasawuf selalunya tidak menghebahkan hal itu apatah lagi berbangga dengan pengetahuannya alam ghaib.

Umumnya tasawuf atau sufi difahami sebagai dimensi dalaman atau roh yang tersembunyi, ghaib dan penuh misteri.

Tidak seperti sahabat Abdullah yang mengaku mengamalkan tasawuf itu, saya tidak berani membuat sebarang kesimpulan mengenai sama wujud atau tidak “nur” atau cahaya pada pemilihan tarikh 3 Mac itu.

Yang saya berani kata, doa dan harapan kita semua adalah agar peralihan kuasa itu akan membawa kebaikan. Yang tidak mahu kebaikan berlaku hanyalah penentang tegar Mohd Najib dan kerajaan yang dipimpinnya.

Di Malaysia ini, bukan orang Islam sahaja yang berdoa. Semua rakyat dan penduduk Malaysia yang beragama dan berkepercayaan berdoa.

Saya ingat lagi pada tahun 1971, apabila doa makan sebelum diamalkan secara meluas oleh Muslim di Malaysia, orang Kristian sudah pun mengamalkan lafaz “grace” sebelum makan yang berbunyi lebih kurang begini:

Bless, O Lord, this food for thy use, and make us ever mindful of the wants and needs of others. Amen.”

Waktu itu saya menumpang di rumah seorang paderi Anglican di pekan kecil di New Zealand bernama Levin. Jadi, manakala mereka berdoa atas nama Tuhan mereka, saya berdoa atas nama Allah.

Saya juga pernah menumpang di perkampungan Maori bernama Jerusalem di tebing Sungai Wanganui yang didiami ramai pengikut hippie. Saya ke situ untuk mengenali dan menemu ramah penyair New Zealand yang terkenal James K Baxter.

Jadi kita semua, dalam agama dan kepercayaan masing-masing, sentiasa berdoa agar bumi kita ini terus makmur, aman dan damai.

Dengan suasana ekonomi dunia yang sangat muram dan ramalan ekonomi Malaysia yang negatif, tugas dan tanggungjawab Mohd Najid sangatlah berat.

Tidak seperti Abdullah yang mengambil alih ketika ekonomi teguh dan politik negara stabil, Mohd Najib mewarisi ekonomi yang lemah dan politik yang kucar-kacir.

Kalau Mohd Najib berjaya menstabilkan ekonomi, mengurangkan kesan kemelesetan ke atas rakyat jelata dan mengembalikan kewarasan politik, dia akan dikenang sebagai penyelamat.

Tidak ada Perdana Menteri sebelum ini yang mengambil alih pemerintahan dalam suasana yang serba tidak kena seperti yang akan terbeban di atas bahu Mohd Najib.

Yang pasti adalah setiap gerak-geri, tindak-tanduk dan amalan Mohd Najib akan diteliti, dianalisis dan diadili, khasnya pemilihan anggota Kabinetnya nanti.

Era “kekebalan” Perdana Menteri, anak-bini, menantu, suku sakat, kroni dan orang senegeri sudah berlalu. Turut berlalu adalah era kekuasaan luar bidang dan manipulasi apa yang dikenali sebagai "Budak Tingkat Empat."

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).