Tuesday, June 25, 2019

Anjakan Besar Ke Arah Penubuhan Majlis Media Malaysia


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Konsultasi pelbagai pihak bagi menubuhkan Majlis Media
 PENUBUHAN Majlis Media Malaysia sebagai instrumen pengaturan sendiri (self-regulation) mendapat anjakan besar pada 21 Jun lepas setelah dibangkitkan buat kali pertamanya 45 tahun lalu.

Kali ini, usaha menubuhkan majlis tersebut menjadi lebih realistik dan mendesak kerana ia adalah sebahagian daripada aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mencapai matlamat kebebasan dan kebertanggungjawaban media.

Konsultasi yang melibatkan wakil organisasi berkaitan media massa, persatuan wartawan, akademik kewartawanan dan wakil kerajaan dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Pejabat Peguam Negara itu diadakan di KKMM, Putrajaya.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Menteri KKMM, Gobind Singh Deo, dalam kenyataannya selepas konsultasi itu, antara lain berkata:

“Kami mengadakan perbincangan hampir dua jam. Kami mencapai persefahaman bahawa majlis tersebut perlu ditubuhkan melalui Akta Parlimen dan rang undang-undang yang dicadangkan akan digubal dengan tumpuan pada masa ini kepada lima bidang utama."

Lima bidang tersebut adalah (1) Objektif dan fungsi majlis, (2) Perlembagaan dan keahlian, (3) Kod tatalaku, (4) Kaedah penyelesaian pertikaian, dan (5) Peruntukan umum termasuk mengkaji undang-undang semasa yang perlu dimansuhkan atau dipinda apabila majlis itu dibentuk.

Saya hanya bertindak sebagai penyelaras dan pemudah cara di antara industri dan pengamal media dengan pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara tugas saya sebagai Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri adalah membantu penubuhan Majlis Media Malaysia.

Menurut Datuk Dr Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), yang hadir konsultasi itu, idea Majlis Media ini dicetuskan seawal tahun 1974 oleh Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein.

Tetapi kita semua tahu bahawa walaupun banyak percubaan dibuat tetapi tidak berjaya kerana kerajaan dahulu tidak bersedia memansuhkan atau meminda undang-undang yang mengongkong kebebasan media.

Terpenting adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Sebagai bukti kesungguhannya, kerajaan PH telah membentangkan rang undang-undang pemansuhan Akta Berita Palsu dan memberi komitmen memansuhkan Akta Mesin cetak dan Penerbitan serta memansuhkan atau meminda undang-undang lain yang menghalang kebebasan bersuara.

Yang hadir dalam konsultasi itu adalah pengarang dan pemilik media, Institut Akhbar Malaysia (MPI), Pusat untuk Kewartawanan Bebas (Centre for Independent Journalism (CIJ)), Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), Sabah Journalists Association, Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak, Journalism Academics & Eminent Journalists Group, National Press Club (NPC) dan Foreign Correspondence Club.

Kita menerima serahan, cadangan dan komen daripada banyak pihak - antaranya pengarang dan pemilik media (cetak dan atas talian), kumpulan akademik kewartawanan, wartawan veteran, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Gabungan Wartawan (Journalism Alliance) yang terdiri daripada NUJ, Institute of Jounalists  (IoJ), Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Sabah Journalist Association (SJA), Federation of Sarawak Journalists Association (FSJA), Kuching Division Journalist Association (KDJA) dan Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM).

Jadi kita bolehlah anggap jumlah dan skop cadangan yang diterima sebagai memuaskan dan memadai sebagai asas rujukan oleh Jabatan Peguam Negara yang bertanggungjawab merangkan rang undang-undang yang diperlukan bagi mewujudkan Majlis Media yang disokong oleh undang-undang negara.

Apa yang kita alami ini mungkin hikmah di sebalik hakikat bahawa kita adalah antara negara terakhir atau terkebelakang di dunia membentuk Majlis Media. Kita mempunyai banyak contoh dan pengalaman luar untuk memandu kita.

Jadi marilah sama-sama kita berpakat dan bermuafakat membentuk Majlis Media Malaysia yang unggul, konstruktif dan praktikal.

Kesimpulannya, kita telah bersetuju menerima cadangan menubuhkan Majlis Media Malaysia.

Majlis itu akan diberi “legal standing” melalui Akta Parlimen yang akan dirangka oleh Jabatan Peguam Negara dengan mengambil kira cadangan yang kita kemukakan.

Matlamat kita ialah supaya Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia dapat dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober ini dan Majlis Media ditubuhkan tidak lama selepas itu.

Wallahuaklam.

Sunday, June 23, 2019

The Litmus Test of the “Sandakan Video”


A Kadir Jasin


PREAMBLE: Views expressed herein are entirely mine. I am writing in my personal capacity as a blogger. It has nothing to do with whatever position I may hold.

The beautiful Christine Keeler ended political career of Lord Prufumo
WHEN you are a writer and are as old as I am, you carry with you the benefit of knowledge and the baggage of history.

You can choose to be arrogant and reckless because you know other people’s skeletons or be humbled by the fact that you are yourself a human being.

[Anonymous comments will not be published. Please use real or pseudonym. Thank you.]

It was the latter that discourages me from commenting on the Sandakan video.

Quite a number of people asked about my silence. One even posted in the Facebook, questioning my silence and that of fellow commentator, Tamrin Abdul Ghafar.

Less than a week ago, a very senior member of the Pakatan Harapan (PH) leadership, who represents the Parti Keadilan Rakyat (PKR), also commented on my silence.

I told him that I had been badly burnt for taking position on a similar incident a very long time ago – 1997-98 to be precise.

My reputation as a journalist and editor was put into question and the newspapers I edited suffered.

Although I no longer have a newspaper – not since I resigned as Group Editor-in-Chief of the New Straits Times Press (NSTP) in 2000 – a fair number of readers still pay some attention to my comments.

For that reason I feel that I should not abrogate my responsibility. As such I continue to take position on matters of national interest.

The following is my stand and my views on the Sandakan video:

1. It is a test to the promise of the PH government to be open, transparent and accountable;

2. It is a test to the professionalism, independence and impartiality of the Royal Malaysian Police (PDRM) under the leadership of the new Inspector General, Datuk Seri Abdul Hamid Bador;

3. It is a test to the promise of PH to respect the rule of law and uphold the Constitution;

4. It is a test to the ability of the PH leadership to stay above the fray and to put the interest of the country above personal likes and dislikes;

5. It is a test to the humanity, humility, morality and dignity of PH leaders collectively and individually.

6. The question that every PH leader must ask is, do I use my party and my government position to shield me from my wrongdoing or I shield my party and my government from shame by doing the right thing?

The news from far far away lands: Last year, the UK Small Business Minister, Andrew Griffiths, resigned over the expose that he sent sexual messages to female constituents. That's all.

In India, also last year, the Junior Foreign Minister, Mobashar Jawed Akbar, resigned despite not doing anything wrong. He stepped down simply because he is embroiled in a defamation suit against a journalist.

Over in Canada, Economic Development Minister for the state of Ontario, Jim Wilson, resigned (also last year) over sexual misconduct allegations.

Of course I could never forget the Prufomo Affair when the British Secretary of State (Junior Minister) for War, Lord John Dennis Prufumo, was sacked and later jailed for having an affair with a call girl, the beautiful Christine Keeler.

He was jailed not because he slept with Keeler but because in doing so he jeopardised the security of the UK because she was a girlfriend to a UK-based Soviet spy. It was my favourite Utusan Melayu report for many months.

Wallahuaklam.

Sunday, June 16, 2019

Lima Puluh Tahun Menulis Membina Negara Cara Saya


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Mempelopori pelancaran akhbar Business Times tahun 1976
HARI ini, 16 Jun 2019 genaplah 50 tahun saya menjadi wartawan. 

Begitu cepat masa berlalu, seolah-olah semalam saya mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa, kakak dan adik-adik saya pada petang 15 Jun 1969 untuk memulakan “kebangsatan” saya.

Dalam loghat Kedah, “membangsat” adalah sinonim dengan mengembara ke tempat asing untuk mencari makan.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

“Dia orang bangsat”, ertinya dia orang yang mengembara. Tidak ada kehinaan pada ungkapan itu sebaliknya orang seperti itu dianggap berani dan gigih.

Apatah lagi apabila orang yang membangsat selalunya lebih berjaya daripada yang menetap di satu tempat.

Berbekalkan duit kocek RM25, doa daripada ayah dan surat pengakuan watak daripada bekas Ahli Perlimen Kota Setar Selatan, Dr Mahathir Mohamad, saya menaiki bas Mara ke Alor Setar.

Dari Alor Setar menumpang bas United Transport Company (UTC) ke Butterworth bagi menaiki kereta api mel malam ke Kuala Lumpur.

Saya tidak menoleh ke belakang kerana tidak sampai hati melihat linangan air mata emak dan tangisan kakak dan adik-adik.

Untuk segala maksud dan tujuan, perjalanan petang itu adalah perjalanan yang tidak ada istilah undur. Tidak ada pilihan melainkan berjaya atau malu yang tidak terhingga.

Sampai hari ini terus terngiang di telinga pesanan ayah: “Ingat Tuhan. Kerja kuat. Jangan bagi malu keturunan. Hantar duit balik kampung.”

Bergambar ramai bersama keluarga sebalum berpisah "membangsat"
Keturunan yang ayah mahu saya pertahankan itu siapa pun tidak tahu. Keturunan yang tidak ada darjah dan darjat namun tidak ternilai harganya bagi ayah. Nama baik keluarga – biar sekecil mana – wajib dijaga.

Perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur yang mengambil masa lebih lapan jam sarat dengan emosi; bercampur-aduk di antara ketakutan dan harapan.

Walaupun saya pernah sekali-sekala berjauhan dengan keluarga ketika bersekolah, tetapi perpisahan kali ini kekal sifatnya.

Tiba di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur awal pagi 16 Jun, saya terus menaiki teksi ke ibu pejabat Bernama di Jalan Tun Abdul Razak yang ketika itu masih dikenali sebagai Circular Road atau Jalan Pekeliling.

Bermula di Bernama

Ibu pejabat Bernama sekadar sebuah banglo dua tingkat yang diperbuat daripada bata dan kapur peninggalan Inggeris dengan beberapa pohon rambutan memayunginya. Jelas ia bekas kediaman pegawai Inggeris sebelum merdeka.

Ia dikawal oleh beberapa orang belia berpakaian seragam tanpa senjata yang kemudiannya saya kenali sebagai pelatih Pusat Belia Dusun Tua di Hulu Langat.

Mereka dikerah untuk mengawal pejabat Bernama dan beberapa bangunan awam yang lain berikutan peristiwa pergaduhan kaum 13 Mei.

Ketika melalui Jalan Campbell yang kini dikenali sebagai Jalan Dang Wangi dan Kampung Baru, saya lihat banyak bangunan yang dibakar ketika pergaduhan sebulan sebelumnya.

Ketika itu Bernama baru berusia lebih sedikit setahun. Ia diasaskan pada 20 Mei 1968. Saya adalah daripada kumpulan kedua pemberita kadet yang diambil bekerja.

Kumpulan kami terdiri daripada pelbagai kaum, latar belakang dan taraf pendidikan. Turut melaporkan diri pada hari yang sama adalah Hashim Makaruddin (kini Tan Sri dan bekas Setiausaha Akhbar Tun Dr Mahathir), Mervin Nambiar (bekas Pengurus Besar AFP, Hong Kong) dan Tan Jooi Long.

Tan adalah rakan sedarjah saya di Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC), Alor Setar. Ketika di Tingkatan Enam Atas, dia menjadi pengarang bahasa Inggeris majalah sekolah dan saya pengarang bahasa Melayu.

Majoriti kami lulus Sijil Tinggi Pelajaran atau ketika itu dikenali dengan nama Inggerisnya Higher School Certificate (HSC) dan Sijil Pelajaran Seberang Laut yang nama Inggerisnya Overseas School Certificate.

Saya memohon menyertai Bernama setelah lulus HSC, tetapi gagal memasuki universiti. Ketika itu ada sebuah universiti sahaja, iaitu Universiti Malaya dan pengajian memerlukan bayaran. Yang tidak mempunyai sokongan biasiswa selalunya tidak mampu.

Walaupun saya gemar menulis dan cergas dalam kegiatan bahasa tetapi menjadi wartawan atau penulis bukanlah pilihan utama.

Pilihan pertama adalah menjadi pegawai tadbir kerajaan Kedah – KCS – dan kedua, guru. Waktu itu, KCS dianggap kerjaya paling terjamin manakala guru dianggap bawah sedikit daripada Penolong Pegawai Daerah (ADO) dan di atas kerani atau penghulu.

Menjadi wartawan atau penulis tidak diketahui ramai, justeru itu tidak dianggap kerjaya yang menjamin masa depan.

Memang benar. Ramai wartawan ketika itu bekerja sambilan tanpa gaji tetap. Kerja berat, skim gaji tidak menarik dan peluang kenaikan pangkat terhad.

Tetapi bagi saya, apa saja kerja adalah lebih baik daripada mengikut jejak ayah menjadi petani dan peniaga sambilan.

Dalam loghat Kedah, ayah sering berkata: “Kalu hang tak mau ikut pungkoq kerbau macam aku, hang mengaji pandai-pandai.”

Mengaji dalam loghat Kedah bermaksud belajar. Saya belajar hingga darjah lima di Sekolah Melayu Pendang, lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael dan dua tahun di SAHC, Alor Setar.

Menungkat dagu dan bersongkok di Sekolah Menengah Saint Michael
Mesti Berjaya

Saya tidak ada pilihan melainkan berjaya. Untuk berjaya, saya terpaksa bersusah-susah menumpang saudara-mara di kawasan setinggan Kampung Kerinchi dan Kampung Pandan.

Mandi air tadahan atau di anak sungai yang mengalir di antara Lebuh Raya Persekutuan dan sempadan Universiti Malaya.

Waktu itu Lebuh Raya Persekutuan dikenali sebagai Federal Highway dan mengandungi dua laluan saja. Kenderaan pun tidak banyak. Jadi tidak bahaya berjalan kaki menyeberanginya.

Lantaran itu, menjadi pengembara dengan sebuah beg pakaian atau tinggal di bilik hotel RM16 semalam bertemankan pijat dan beratur macam dalam filem P Ramlee untuk menggunakan tandas, bukan masalah besar bagi saya. Hidup di kampung lebih teruk daripada itu.

Kerana kesediaan berpindah-randah dan menerima tugasan yang orang lain keberatan menjalankannya, kemajuan kerjaya saya boleh dikira pantas. Selepas tidak sampai enam bulan, saya dipindahkan ke Biro Bernama Pulau Pinang di Lebuh Light.

Mula-mula tinggal di sebuah bilik sewa dengan rakan sekerja, Nik Mohammed Omar, di sebuah hotel usang di Jalan Datuk Keramat tidak jauh dari kedai makan Craven A, Simpang Enam dan kilang pelebur timah Datuk Keramat Tin Smelting sehinggalah dihambat pijat.

Antara jiran kami adalah sepasang suami isteri muda Cina, dua orang Punjabi yang “besar, kuat dan mesra” dan seorang ibu tunggal penari kelab malam dengan anaknya.

Akibat tidak tahan digigit pijat dan mahukan sedikit keselesaan, kami berpindah ke pangsapuri Kampung Melayu, Jalan Ayer Itam di mana kami dialu-alukan oleh kejadian histeria yang dipertanggungjawabkan ke atas seorang perempuan tua.

Dia dituduh memelihara pelesit dan akhirnya dinyahkan dari bangunan itu. Saya lebih mirip mempercayai teori bahawa ramai wanita menderita gangguan itu kerana perubahan persekitaran yang mendadak – daripada rumah robek dan jiran tetangga kepada rumah pencakar langit yang padat dan jiran yang tidak dikenali.

Tidak berapa lama di Pulau Pinang, saya ditukarkan ke Alor Setar bagi membuka pejabat Bernama Kedah/Perlis. Waktu itu, Kedah dan Perlis berkongsi banyak perkhidmatan kerana Perlis tidak mempunyai penduduk cukup ramai untuk mempunyai perkhidmatan sendiri.

Saya amat bernasib baik kerana bergurukan watak-watak besar dunia kewartawanan waktu itu seperti Almarhum Tan Sri A Samad Ismail, Tan Sri Melan Abdullah, Mendiang Tan Sri Lee Siew Yee, S.H. Tan dan Almarhum Tan Sri Mazlan Nordin serta wartawan kanan seperti Almarhum Tan Sri Zainuddin Maidin dan di Alor Setar Almarhum Mansor Tobeng dan Tan Sri Azahari Taib.

Mungkin kerana kesediaan saya berpindah-randah itu maka saya ditawarkan salah satu daripada dua Biasiswa Rancangan Colombo (Colombo Plan) kerajaan New Zealand yang diberikan kepada Bernama. Satu lagi diberikan kepada Hashim.

Maka pada tahun 1971, saya berangkat ke New Zealand untuk belajar kewartawanan di Wellington Polytechnic (kini cawangan Universiti Massey).
Itulah satu-satunya pengajian dan kelulusan formal kewartawanan yang saya ada – sekadar sijil.

Tetapi ilmu dan pengalaman yang sedikit itu memberi manfaat yang sangat besar kepada saya untuk tahun-tahun seterusnya. Benarlah ungkapan “jauh perjalanan luas pemandangan". Ia membuka minda dan menyemai keyakinan.

Belajar Ekonomi

Sekembali dari New Zealand, saya ditugaskan di Perkhidmatan Ekonomi Bernama yang baru ditubuhkan, dan bermulalah perjalanan ekonomi saya.

Bermula dengan menulis berita-berita ekonomi umum, saya mempelajari dan memanfaatkan aspek-aspek ekonomi yang lebih rumit dan khusus seperti pasaran saham dan kewangan.

Apabila ditugaskan membuat laporan kegiatan urus niaga harian di Pasaran Saham Malaysia-Singapura saya mendapati ia tidak sesukar mana.

Bilik dagangannya terletak di Bangunan Bangkok Bank, Leboh Pasar Besar, tidak jauh daripada Pasar Besar (kini Pasar Seni).

Adalah kebiasaan bagi amah – tukang masak orang kaya dan eksekutif Inggeris – singgah di bilik niaga pasaran untuk membeli dan menjual saham. 

Ada yang kata mereka mendapat tip atau petunjuk daripada majikan mereka.
Kalau betul sudah boleh dikira “insider trading” yang hari ini berupa kesalahan besar dunia korporat yang boleh dijatuhi hukum penjara dan denda jutaan ringgit. Tetapi waktu itu piawaian pasaran masih longgar.

Pasaran saham dijadikan kasino oleh sesetengah spekulator. Ada yang menjadi kaya raya dalam sekelip mata dan ada juga yang papa hingga bunuh diri.

Bermula saat itulah saya mencuba-cuba nasib melabur atau, dalam bahasa mudah, main saham, dengan membeli dan menjual saham-saham murah (third liner) menggunakan kaedah “short selling” yang tidak memerlukan banyak modal.

Ini pada tahun 1972. Pasaran saham kecil dan kuno. Tidak banyak syarikat menyenaraikan saham mereka dan yang menyenaraikan terdiri daripada syarikat milik Inggeris dan Singapura yang bergiat di bidang perladangan, perlombongan dan pengurusan ladang.

Hanya ada beberapa syarikat pengilangan seperti Fusan Net yang membuat pukat dan Tong Ming Industries yang mengeluarkan periuk belanga aluminium.

Urusan jual-beli dicatatkan di papan hitam menggunakan kapur. Saya banyak mempelajari selok-belok pasaran daripada wartawan kanan dan “floor trader” khususnya yang mewakili Amanah Saham Mara (ASM).

Mereka adalah budak-budak Melayu yang membeli dan menjual saham bagi pihak Mara yang berupa pengendali saham amanah Bumiputera pertama di negara kita - lama sebelum Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan Amanah Saham Bumiputera pada tahun 1981.

Saya meletakkan jawatan daripada Bernama pada 1 Oktober 1976 setelah berkhidmat tujuh tahun untuk menyertai Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Saya tidak menyertai mana-mana akhbar yang sedia ada dalam kumpulan sebaliknya menjadi antara pengasas kepada akhbar perdagangan Business Times (BT).

Ia adalah usaha sama antara NSTP, Singapore Publishing House (SPH) dan Dow Jones & Company, New York.

Saya rasa di akhbar itulah saya menyedari potensi saya sebagai pengulas politik dan ekonomi hasil didikan dua orang pengarang ekspatriat – Kevin Rafferty dari Financial Times, London, dan Dilip Mukherjee dari The Times of India, New Delhi.

Saya mendapat banyak peluang membuat liputan di luar negara serta memperoleh pelbagai peluang latihan. Misalnya, pada tahun 1977 saya mendapat biasiswa Kerajaan Persekutuan Jerman (Jerman Barat) dan Senat Berlin Barat untuk mengikuti kursus kewartawanan peringkat tinggi di Institut Kewartawanan Antarabangsa Berlin atau nama Jermannya Internationales Institut fur Journalismus selama tiga bulan.

Waktu itu Perang Dingin tengah memuncak dan kursus itu secara tersirat cuba mempromosi kewartawanan yang berpaksikan demokrasi kapitalis.

Sejak mula menyertai Business Times, saya banyak membuat liputan berita dan menulis analisis mengenai proses memalaysiakan industri petroleum yang sebelum itu dikuasai oleh syarikat multinasional Inggeris, Belanda dan Amerika.

Ia dipelopori oleh Petronas yang pada ketika itu dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dengan Rastam Hadi (adik aktivis politik haluan kiri Hasnul Hadi) sebagai Pengarah Urusan.

Ketika itulah saya berjumpa buat kali pertama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak, yang menjadi murid kepada Ku Li dan bertugas di jabatan komunikasi korporat.

Dia masih bujang tetapi sudah pun menjadi Ahli Parlimen Pekan setelah menang tanpa bertanding berikutan kematian bapanya, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, pada bulan Januari, 1976, di London.

Pada tahun berikutnya – 1977 – saya membuat temu bual eksklusif dengannya di rumah keluarganya di Jalan Eaton, Kuala Lumpur, sempena ulang tahun pertama beliau sebagai Ahli Parlimen.

Pada tahun 1984, ketika memegang jawatan Pengarang Bersekutu Business Times, saya dipindahkan ke Berita Harian sebagai Timbalan Pengarang Kumpulan – mungkin kerana kedwibahasaan saya.

Sejak menyertai Bernama pada tahun 1969, saya menulis dalam dua bahasa – Melayu dan Inggeris - secara berterusan.

Pada tahun 1986 saya dinaikkan pangkat menjadi Pengarang Kumpulan Berita Harian dan pada tahun 1988, berikutan Operasi Lalang, saya dilantik menjadi Pengarang Kumpulan New Straits Times.

Saya memegang jawatan itu selama 11 tahun sebelum dilantik bagi mengisi semula jawatan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP yang dihapuskan apabila jabatan pengarang akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris dipisahkan.

Pewujudan semula jawatan Ketua Pengarang Kumpulan itu ada kaitannya dengan krisis politik 1997-98 yang berkesudahan dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan Umno.

Saya sedar pelantikan ke jawatan tertinggi Jabatan Pengarang itu membawa bersamanya risiko yang tinggi. Selepas daripada itu tidak ada destinasi lain kecuali kejatuhan dan itulah yang berlaku akibat pendirian saya mengenai cara menangani isu Anwar sebelum dan ketika Pilihan Raya Umum 1999.

Menemuramah Dr Mahathir pada tahun 1998 menganai capital control
Walaupun Barisan Nasional (BN) mengekalkan suara dua pertiga di Parlimen tetapi undi popularnya jatuh dan ia kehilangan Terengganu.

Pendirian saya ialah Anwar sudah masuk penjara maka tidak perlulah dia dihebohkan lagi. Sebaliknya BN, khususnya Umno, perlu terus ke hadapan dengan yakin bahawa tanpa Anwar ia masih kuat dan diyakini.

Tetapi ada pendapat dalam kepimpinan yang berasa legasi Anwar selama 16 tahun dalam Umno -1982-1998 - wajib dipadamkan dan sesiapa saja yang disyaki sebagai penyokong dan simpatisan beliau dalam Kumpulan NSTP dikenakan tindakan.

Ini diburukkan lagi oleh wujudnya beberapa orang dan pihak yang bercita-cita mengambil alih dan menguasai aset media milik Umno.

Saya tidak bersetuju dan tidak dapat melakukannya kerana sebarang tindakan ke atas penyokong dan simpatisan Anwar samalah dengan bertindak menyingkirkan diri saya sendiri kerana sayalah yang melantik mereka dan merestui sokongan mereka kepada Anwar atas dasar bahawa Anwar adalah bakal pengganti Dr Mahathir.

Maka pada pertengahan tahun 2000 saya berhenti daripada NSTP selepas berkhidmat selama lebih kurang 24 tahun dengannya.

Saya terus menulis dalam akhbar-akhbar NSTP sehinggalah diberhentikan satu persatu kerana pendirian dan pendekatan kewartawanan saya tidak secocok dengan pengarang atau sedikit sebanyak mencabar kewibawaan mereka sebagai pengganti saya.

Akhirnya, apabila saluran tradisional semakin kering dan saluran baru atas talian (Internet) semakin meluas, maka pada awal tahun 2006 saya memulakan blog ini.

Insya Allah, selagi ada kesihatan dan kemampuan minda, saya akan terus menulis untuk berkongsi maklumat dan pendapat dengan masyarakat tanpa mengiri yang menyokong atau menentang idea saya.

Akhir kalam, terima kasih tidak terhingga kerana membaca tulisan saya dan berkongsi pandangan dengan saya.

Lima puluh tahun tidaklah lama apabila kita gembira mengisinya.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).