Sunday, June 16, 2019

Lima Puluh Tahun Menulis Membina Negara Cara Saya


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Mempelopori pelancaran akhbar Business Times tahun 1976
HARI ini, 16 Jun 2019 genaplah 50 tahun saya menjadi wartawan. 

Begitu cepat masa berlalu, seolah-olah semalam saya mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa, kakak dan adik-adik saya pada petang 15 Jun 1969 untuk memulakan “kebangsatan” saya.

Dalam loghat Kedah, “membangsat” adalah sinonim dengan mengembara ke tempat asing untuk mencari makan.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

“Dia orang bangsat”, ertinya dia orang yang mengembara. Tidak ada kehinaan pada ungkapan itu sebaliknya orang seperti itu dianggap berani dan gigih.

Apatah lagi apabila orang yang membangsat selalunya lebih berjaya daripada yang menetap di satu tempat.

Berbekalkan duit kocek RM25, doa daripada ayah dan surat pengakuan watak daripada bekas Ahli Perlimen Kota Setar Selatan, Dr Mahathir Mohamad, saya menaiki bas Mara ke Alor Setar.

Dari Alor Setar menumpang bas United Transport Company (UTC) ke Butterworth bagi menaiki kereta api mel malam ke Kuala Lumpur.

Saya tidak menoleh ke belakang kerana tidak sampai hati melihat linangan air mata emak dan tangisan kakak dan adik-adik.

Untuk segala maksud dan tujuan, perjalanan petang itu adalah perjalanan yang tidak ada istilah undur. Tidak ada pilihan melainkan berjaya atau malu yang tidak terhingga.

Sampai hari ini terus terngiang di telinga pesanan ayah: “Ingat Tuhan. Kerja kuat. Jangan bagi malu keturunan. Hantar duit balik kampung.”

Bergambar ramai bersama keluarga sebalum berpisah "membangsat"
Keturunan yang ayah mahu saya pertahankan itu siapa pun tidak tahu. Keturunan yang tidak ada darjah dan darjat namun tidak ternilai harganya bagi ayah. Nama baik keluarga – biar sekecil mana – wajib dijaga.

Perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur yang mengambil masa lebih lapan jam sarat dengan emosi; bercampur-aduk di antara ketakutan dan harapan.

Walaupun saya pernah sekali-sekala berjauhan dengan keluarga ketika bersekolah, tetapi perpisahan kali ini kekal sifatnya.

Tiba di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur awal pagi 16 Jun, saya terus menaiki teksi ke ibu pejabat Bernama di Jalan Tun Abdul Razak yang ketika itu masih dikenali sebagai Circular Road atau Jalan Pekeliling.

Bermula di Bernama

Ibu pejabat Bernama sekadar sebuah banglo dua tingkat yang diperbuat daripada bata dan kapur peninggalan Inggeris dengan beberapa pohon rambutan memayunginya. Jelas ia bekas kediaman pegawai Inggeris sebelum merdeka.

Ia dikawal oleh beberapa orang belia berpakaian seragam tanpa senjata yang kemudiannya saya kenali sebagai pelatih Pusat Belia Dusun Tua di Hulu Langat.

Mereka dikerah untuk mengawal pejabat Bernama dan beberapa bangunan awam yang lain berikutan peristiwa pergaduhan kaum 13 Mei.

Ketika melalui Jalan Campbell yang kini dikenali sebagai Jalan Dang Wangi dan Kampung Baru, saya lihat banyak bangunan yang dibakar ketika pergaduhan sebulan sebelumnya.

Ketika itu Bernama baru berusia lebih sedikit setahun. Ia diasaskan pada 20 Mei 1968. Saya adalah daripada kumpulan kedua pemberita kadet yang diambil bekerja.

Kumpulan kami terdiri daripada pelbagai kaum, latar belakang dan taraf pendidikan. Turut melaporkan diri pada hari yang sama adalah Hashim Makaruddin (kini Tan Sri dan bekas Setiausaha Akhbar Tun Dr Mahathir), Mervin Nambiar (bekas Pengurus Besar AFP, Hong Kong) dan Tan Jooi Long.

Tan adalah rakan sedarjah saya di Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC), Alor Setar. Ketika di Tingkatan Enam Atas, dia menjadi pengarang bahasa Inggeris majalah sekolah dan saya pengarang bahasa Melayu.

Majoriti kami lulus Sijil Tinggi Pelajaran atau ketika itu dikenali dengan nama Inggerisnya Higher School Certificate (HSC) dan Sijil Pelajaran Seberang Laut yang nama Inggerisnya Overseas School Certificate.

Saya memohon menyertai Bernama setelah lulus HSC, tetapi gagal memasuki universiti. Ketika itu ada sebuah universiti sahaja, iaitu Universiti Malaya dan pengajian memerlukan bayaran. Yang tidak mempunyai sokongan biasiswa selalunya tidak mampu.

Walaupun saya gemar menulis dan cergas dalam kegiatan bahasa tetapi menjadi wartawan atau penulis bukanlah pilihan utama.

Pilihan pertama adalah menjadi pegawai tadbir kerajaan Kedah – KCS – dan kedua, guru. Waktu itu, KCS dianggap kerjaya paling terjamin manakala guru dianggap bawah sedikit daripada Penolong Pegawai Daerah (ADO) dan di atas kerani atau penghulu.

Menjadi wartawan atau penulis tidak diketahui ramai, justeru itu tidak dianggap kerjaya yang menjamin masa depan.

Memang benar. Ramai wartawan ketika itu bekerja sambilan tanpa gaji tetap. Kerja berat, skim gaji tidak menarik dan peluang kenaikan pangkat terhad.

Tetapi bagi saya, apa saja kerja adalah lebih baik daripada mengikut jejak ayah menjadi petani dan peniaga sambilan.

Dalam loghat Kedah, ayah sering berkata: “Kalu hang tak mau ikut pungkoq kerbau macam aku, hang mengaji pandai-pandai.”

Mengaji dalam loghat Kedah bermaksud belajar. Saya belajar hingga darjah lima di Sekolah Melayu Pendang, lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael dan dua tahun di SAHC, Alor Setar.

Menungkat dagu dan bersongkok di Sekolah Menengah Saint Michael
Mesti Berjaya

Saya tidak ada pilihan melainkan berjaya. Untuk berjaya, saya terpaksa bersusah-susah menumpang saudara-mara di kawasan setinggan Kampung Kerinchi dan Kampung Pandan.

Mandi air tadahan atau di anak sungai yang mengalir di antara Lebuh Raya Persekutuan dan sempadan Universiti Malaya.

Waktu itu Lebuh Raya Persekutuan dikenali sebagai Federal Highway dan mengandungi dua laluan saja. Kenderaan pun tidak banyak. Jadi tidak bahaya berjalan kaki menyeberanginya.

Lantaran itu, menjadi pengembara dengan sebuah beg pakaian atau tinggal di bilik hotel RM16 semalam bertemankan pijat dan beratur macam dalam filem P Ramlee untuk menggunakan tandas, bukan masalah besar bagi saya. Hidup di kampung lebih teruk daripada itu.

Kerana kesediaan berpindah-randah dan menerima tugasan yang orang lain keberatan menjalankannya, kemajuan kerjaya saya boleh dikira pantas. Selepas tidak sampai enam bulan, saya dipindahkan ke Biro Bernama Pulau Pinang di Lebuh Light.

Mula-mula tinggal di sebuah bilik sewa dengan rakan sekerja, Nik Mohammed Omar, di sebuah hotel usang di Jalan Datuk Keramat tidak jauh dari kedai makan Craven A, Simpang Enam dan kilang pelebur timah Datuk Keramat Tin Smelting sehinggalah dihambat pijat.

Antara jiran kami adalah sepasang suami isteri muda Cina, dua orang Punjabi yang “besar, kuat dan mesra” dan seorang ibu tunggal penari kelab malam dengan anaknya.

Akibat tidak tahan digigit pijat dan mahukan sedikit keselesaan, kami berpindah ke pangsapuri Kampung Melayu, Jalan Ayer Itam di mana kami dialu-alukan oleh kejadian histeria yang dipertanggungjawabkan ke atas seorang perempuan tua.

Dia dituduh memelihara pelesit dan akhirnya dinyahkan dari bangunan itu. Saya lebih mirip mempercayai teori bahawa ramai wanita menderita gangguan itu kerana perubahan persekitaran yang mendadak – daripada rumah robek dan jiran tetangga kepada rumah pencakar langit yang padat dan jiran yang tidak dikenali.

Tidak berapa lama di Pulau Pinang, saya ditukarkan ke Alor Setar bagi membuka pejabat Bernama Kedah/Perlis. Waktu itu, Kedah dan Perlis berkongsi banyak perkhidmatan kerana Perlis tidak mempunyai penduduk cukup ramai untuk mempunyai perkhidmatan sendiri.

Saya amat bernasib baik kerana bergurukan watak-watak besar dunia kewartawanan waktu itu seperti Almarhum Tan Sri A Samad Ismail, Tan Sri Melan Abdullah, Mendiang Tan Sri Lee Siew Yee, S.H. Tan dan Almarhum Tan Sri Mazlan Nordin serta wartawan kanan seperti Almarhum Tan Sri Zainuddin Maidin dan di Alor Setar Almarhum Mansor Tobeng dan Tan Sri Azahari Taib.

Mungkin kerana kesediaan saya berpindah-randah itu maka saya ditawarkan salah satu daripada dua Biasiswa Rancangan Colombo (Colombo Plan) kerajaan New Zealand yang diberikan kepada Bernama. Satu lagi diberikan kepada Hashim.

Maka pada tahun 1971, saya berangkat ke New Zealand untuk belajar kewartawanan di Wellington Polytechnic (kini cawangan Universiti Massey).
Itulah satu-satunya pengajian dan kelulusan formal kewartawanan yang saya ada – sekadar sijil.

Tetapi ilmu dan pengalaman yang sedikit itu memberi manfaat yang sangat besar kepada saya untuk tahun-tahun seterusnya. Benarlah ungkapan “jauh perjalanan luas pemandangan". Ia membuka minda dan menyemai keyakinan.

Belajar Ekonomi

Sekembali dari New Zealand, saya ditugaskan di Perkhidmatan Ekonomi Bernama yang baru ditubuhkan, dan bermulalah perjalanan ekonomi saya.

Bermula dengan menulis berita-berita ekonomi umum, saya mempelajari dan memanfaatkan aspek-aspek ekonomi yang lebih rumit dan khusus seperti pasaran saham dan kewangan.

Apabila ditugaskan membuat laporan kegiatan urus niaga harian di Pasaran Saham Malaysia-Singapura saya mendapati ia tidak sesukar mana.

Bilik dagangannya terletak di Bangunan Bangkok Bank, Leboh Pasar Besar, tidak jauh daripada Pasar Besar (kini Pasar Seni).

Adalah kebiasaan bagi amah – tukang masak orang kaya dan eksekutif Inggeris – singgah di bilik niaga pasaran untuk membeli dan menjual saham. 

Ada yang kata mereka mendapat tip atau petunjuk daripada majikan mereka.
Kalau betul sudah boleh dikira “insider trading” yang hari ini berupa kesalahan besar dunia korporat yang boleh dijatuhi hukum penjara dan denda jutaan ringgit. Tetapi waktu itu piawaian pasaran masih longgar.

Pasaran saham dijadikan kasino oleh sesetengah spekulator. Ada yang menjadi kaya raya dalam sekelip mata dan ada juga yang papa hingga bunuh diri.

Bermula saat itulah saya mencuba-cuba nasib melabur atau, dalam bahasa mudah, main saham, dengan membeli dan menjual saham-saham murah (third liner) menggunakan kaedah “short selling” yang tidak memerlukan banyak modal.

Ini pada tahun 1972. Pasaran saham kecil dan kuno. Tidak banyak syarikat menyenaraikan saham mereka dan yang menyenaraikan terdiri daripada syarikat milik Inggeris dan Singapura yang bergiat di bidang perladangan, perlombongan dan pengurusan ladang.

Hanya ada beberapa syarikat pengilangan seperti Fusan Net yang membuat pukat dan Tong Ming Industries yang mengeluarkan periuk belanga aluminium.

Urusan jual-beli dicatatkan di papan hitam menggunakan kapur. Saya banyak mempelajari selok-belok pasaran daripada wartawan kanan dan “floor trader” khususnya yang mewakili Amanah Saham Mara (ASM).

Mereka adalah budak-budak Melayu yang membeli dan menjual saham bagi pihak Mara yang berupa pengendali saham amanah Bumiputera pertama di negara kita - lama sebelum Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan Amanah Saham Bumiputera pada tahun 1981.

Saya meletakkan jawatan daripada Bernama pada 1 Oktober 1976 setelah berkhidmat tujuh tahun untuk menyertai Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Saya tidak menyertai mana-mana akhbar yang sedia ada dalam kumpulan sebaliknya menjadi antara pengasas kepada akhbar perdagangan Business Times (BT).

Ia adalah usaha sama antara NSTP, Singapore Publishing House (SPH) dan Dow Jones & Company, New York.

Saya rasa di akhbar itulah saya menyedari potensi saya sebagai pengulas politik dan ekonomi hasil didikan dua orang pengarang ekspatriat – Kevin Rafferty dari Financial Times, London, dan Dilip Mukherjee dari The Times of India, New Delhi.

Saya mendapat banyak peluang membuat liputan di luar negara serta memperoleh pelbagai peluang latihan. Misalnya, pada tahun 1977 saya mendapat biasiswa Kerajaan Persekutuan Jerman (Jerman Barat) dan Senat Berlin Barat untuk mengikuti kursus kewartawanan peringkat tinggi di Institut Kewartawanan Antarabangsa Berlin atau nama Jermannya Internationales Institut fur Journalismus selama tiga bulan.

Waktu itu Perang Dingin tengah memuncak dan kursus itu secara tersirat cuba mempromosi kewartawanan yang berpaksikan demokrasi kapitalis.

Sejak mula menyertai Business Times, saya banyak membuat liputan berita dan menulis analisis mengenai proses memalaysiakan industri petroleum yang sebelum itu dikuasai oleh syarikat multinasional Inggeris, Belanda dan Amerika.

Ia dipelopori oleh Petronas yang pada ketika itu dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dengan Rastam Hadi (adik aktivis politik haluan kiri Hasnul Hadi) sebagai Pengarah Urusan.

Ketika itulah saya berjumpa buat kali pertama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak, yang menjadi murid kepada Ku Li dan bertugas di jabatan komunikasi korporat.

Dia masih bujang tetapi sudah pun menjadi Ahli Parlimen Pekan setelah menang tanpa bertanding berikutan kematian bapanya, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, pada bulan Januari, 1976, di London.

Pada tahun berikutnya – 1977 – saya membuat temu bual eksklusif dengannya di rumah keluarganya di Jalan Eaton, Kuala Lumpur, sempena ulang tahun pertama beliau sebagai Ahli Parlimen.

Pada tahun 1984, ketika memegang jawatan Pengarang Bersekutu Business Times, saya dipindahkan ke Berita Harian sebagai Timbalan Pengarang Kumpulan – mungkin kerana kedwibahasaan saya.

Sejak menyertai Bernama pada tahun 1969, saya menulis dalam dua bahasa – Melayu dan Inggeris - secara berterusan.

Pada tahun 1986 saya dinaikkan pangkat menjadi Pengarang Kumpulan Berita Harian dan pada tahun 1988, berikutan Operasi Lalang, saya dilantik menjadi Pengarang Kumpulan New Straits Times.

Saya memegang jawatan itu selama 11 tahun sebelum dilantik bagi mengisi semula jawatan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP yang dihapuskan apabila jabatan pengarang akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris dipisahkan.

Pewujudan semula jawatan Ketua Pengarang Kumpulan itu ada kaitannya dengan krisis politik 1997-98 yang berkesudahan dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan Umno.

Saya sedar pelantikan ke jawatan tertinggi Jabatan Pengarang itu membawa bersamanya risiko yang tinggi. Selepas daripada itu tidak ada destinasi lain kecuali kejatuhan dan itulah yang berlaku akibat pendirian saya mengenai cara menangani isu Anwar sebelum dan ketika Pilihan Raya Umum 1999.

Menemuramah Dr Mahathir pada tahun 1998 menganai capital control
Walaupun Barisan Nasional (BN) mengekalkan suara dua pertiga di Parlimen tetapi undi popularnya jatuh dan ia kehilangan Terengganu.

Pendirian saya ialah Anwar sudah masuk penjara maka tidak perlulah dia dihebohkan lagi. Sebaliknya BN, khususnya Umno, perlu terus ke hadapan dengan yakin bahawa tanpa Anwar ia masih kuat dan diyakini.

Tetapi ada pendapat dalam kepimpinan yang berasa legasi Anwar selama 16 tahun dalam Umno -1982-1998 - wajib dipadamkan dan sesiapa saja yang disyaki sebagai penyokong dan simpatisan beliau dalam Kumpulan NSTP dikenakan tindakan.

Ini diburukkan lagi oleh wujudnya beberapa orang dan pihak yang bercita-cita mengambil alih dan menguasai aset media milik Umno.

Saya tidak bersetuju dan tidak dapat melakukannya kerana sebarang tindakan ke atas penyokong dan simpatisan Anwar samalah dengan bertindak menyingkirkan diri saya sendiri kerana sayalah yang melantik mereka dan merestui sokongan mereka kepada Anwar atas dasar bahawa Anwar adalah bakal pengganti Dr Mahathir.

Maka pada pertengahan tahun 2000 saya berhenti daripada NSTP selepas berkhidmat selama lebih kurang 24 tahun dengannya.

Saya terus menulis dalam akhbar-akhbar NSTP sehinggalah diberhentikan satu persatu kerana pendirian dan pendekatan kewartawanan saya tidak secocok dengan pengarang atau sedikit sebanyak mencabar kewibawaan mereka sebagai pengganti saya.

Akhirnya, apabila saluran tradisional semakin kering dan saluran baru atas talian (Internet) semakin meluas, maka pada awal tahun 2006 saya memulakan blog ini.

Insya Allah, selagi ada kesihatan dan kemampuan minda, saya akan terus menulis untuk berkongsi maklumat dan pendapat dengan masyarakat tanpa mengiri yang menyokong atau menentang idea saya.

Akhir kalam, terima kasih tidak terhingga kerana membaca tulisan saya dan berkongsi pandangan dengan saya.

Lima puluh tahun tidaklah lama apabila kita gembira mengisinya.

Wallahuaklam.

54 comments:

Unknown said...

Semuga Allah memelihara kesihatan Datok untuk menulis yang haq untuk mengalahkan yang bathil.

Melati Muar said...

Alhamdulillah Dato' Kadir...such a long journey and well earned experiences. Semoga berterusan menfaati Malaysia dan penghuninya.

Zain said...

Terima kasih

Mona said...

Congratulations Sir! I love your elegant writing style. No need to be vulgar (like some writers) just to get your message across. May you have many more years to share your thoughts with us.

Unknown said...

assalammualaikum pak kadir..
slmt hr ry maaf zahir batin, semoga usia pak kadir sentiasa di penuhi dgn tulisan2 yg seronok utk di baca dan di hayati.

berasiam said...

Salam DAKJ
Tahniah berjaya membangsat hingga menjadi orang besar. Semoga terus diberi keupayaan membangun negara. Moga segala sumbangan 50 tahun dan seterusnya menjadi amalan saleh sebagai bekalan di alam yang kekal abadi.

Nic said...

Alhamdulillahhh.... Keep on writing

Unknown said...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
Disatu pagi yang nyaman ketika dimusim bunga, terdengar sapaan dari luar sebuah cafe; "kamu orang Melayu ka ? ��."
Selamat hari raya maaf zahir dan batin dari kami sekeluarga.

f_mie said...

Salam Dato'

Tahniah diatas ulang tahun....teruskan menulis....tulisan Dato' senantiasa saya ikuti khususnya di Blog Dato'....

Johan said...

Teruskan Datuk. Tulisan Datuk cerminan senario terkini. Menjana pemikiran pembaca. Terima kasih Datuk

Utuh Paloi AlBanjari said...

Terima kasih tuan atas perkongsian pengalaman yang boleh dijadikan contoh oleh bakal wartawan dan wartawan muda. Semoga tuan terus dikurniakan kesihatan berpanjangan.

Unknown said...

👍👍👍

Roslee Abdul Wahab said...

Suka membaca pengalaman tuan dan menjadi contoh dlm pembinaan modal insan anak2.dluar bandar...berani..tabah...cekal.. berdisiplin..paling penting sentiasa ingat ALLAH SWT..mudah2xan Allah swt merahmati tuan sekeluarga

KT said...

Wonderful read, sir.

Sendiri mau ingat la said...

Berkata la yg benar walau pun pahit..
Jangan di sebab kan tembolok..kita berpihak..kerana akhir nya jika tersilap langkah..
Umpama..harimau mati meninggal kan belang..manusia mati meningalkan nama dan apa perbuatan..yg akan di kenang

Praises and bouquets to Datuk said...

Datuk,
congratulations on your anniversary.
May I say, you look like a studious nerd in that young picture.
Look at how grown up you are now. Hahaha

budak jawa said...

Alhamdulillah, semoga dato istiqamah di atas kebenaran dan bersama-sama orang-orang yang benar kerana kaum yang zalim pasti akan menerima balasan daripada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Anonymous said...

Saya memang suka baca cerita Datuk. Pemeberita dan pengarah masakini tak tulis macam Datuk. Susun bahasa Melayu dan inggeris Datuk mudah dikunyah isi nya. Saya dah lama berhenti beli suratkabar. Salah satu sebab baca tak seronok; bahasa lintang pukang

Teruskan menulis, Datuk.
Saya dah banyak hari tunggu artikel baru blog Datuk. Hari ni dapat baca sejarah perjalanan kerjaya Datuk. Inspiring.

CandleInTheRain said...

Salam Dato,

First of all a big congratulation to your great career achievements!

Let me go off the topic a bit.

Is PH done with its never ending drama or “sandiwara” that grab the news headlines daily? With the release of “adult” videos and “controversial” appointment of MACC chief in recent weeks, Malaysians have seen enough. I believe many PH supporters who were a year ago going all-out to give PH a victory in the PRU14 are now feeling sad, disappointed and even outraged. They could not recognize the face of “Malaysia Baru” !

The hard reality is that it is always easy to be the opposition and be critical about the ruling party. It is extremely difficult to run a country if you do not have all the right people with the shared visions, commitments and responsibilities. Seriously, I won’t expect things to get any better between now till PRU15 because PH is fundamentally weak in many aspects from its organization structure, to its compositions, to its controlling hierarchy and the people entrusted to run it. Worse still PH has now lost its "we are better than BN" assertion. So it will be an uphill task for PH to win in the PRU15.

Nasir said...

DAKJ, never ever stop. Follow legasi Tun.

Unknown said...

Tahniah Datuk...bila berpaksikan kebenaran kegusaran menghindar meskipun lewat ianya akan memekar...

wansee c said...

taniah!

NamaSamaran said...

Assalamualaikum Datuk.
Tahniah Dskj.Satu lagi wartawan hebat anak Kedah selain arwah TS Zam .
well done.

Anees Khan said...

Salam DAKJ

50 tahun masa yang sangat panjang.

Alhamdulillah Dato' tidak mensia-siakan peluang yang ada menulis tentang kebenaran. Saya yakin Dato' akan meninggalkan kesan yang indah dalam dunia penulisan, terutamanya blog Dato ini.

Semoga Allah SWT memberikan Dato' kekuatan untuk terus menulis lagi.

Furutistic Skills said...


50 tahun yang sarat dgn perjuangan...Tahniah Datuk.Jika Datuk masih punya 50 tahun lagi...penuhi ia juga dgn perjuangan...

Omar Md Isa said...


50 tahun yang sarat dgn perjuangan...Tahniah Datuk.Jika Datuk masih punya 50 tahun lagi...penuhi ia juga dgn perjuangan...

Nalza700 said...

Teruslah menulis dan mengupas isu-isu semasa dengan telus dan jujur DAKJ..semoga sentiasa dirahmati dan dilindungi ALLAH SWT hendakNya..

Pjm5425phh2136HAJI said...

Cuma satu Pak Kadir..rasuah dadah berleluasa di Malaysia ni..dengan umur yang tersisa elok sama sama mencari jalan mengembalikan manusia di Malaysia ini kemvalu ke fitrah yang lebih bermoral..tahniah dan bersyukur kerana Pak Kadir masih berada ditempat yang sewajarnya..semoga sentiasa didalam lindungan Allah yang maha besar..amin

malaysia dilanggar todak said...

Tahniah Datuk!Saya mengikuti blog ini sejak awal.Sudah lama tidak membaca surat khabar.Membaca tulisan seorang pejuang dapat memberi pedoman,dan pemikiran lebih tersusun.

Sy19 said...

Salam Datuk.
Moga di pelihara Allah dgn rezeki yg baik. Terima kasih atas sumbangan bina negara. Ilmu datuk yg luas, bagus di bukukan buat rujukan generasi mendatang.
Walaubagaimana pun sy masih berpandangan tuan tak perlu masuk terlalu dalam dipadang politik. Datuk akan sy kenang lebih sebagai wartawan yg sy hormati.

Salam
Sy19

Hisyam Bukhari said...

DAKJ, damaikanlah antara Tun M Dan DSAI. Penat dh kalau mereka gaduh2.

OKJ said...

Salam Dato’ Kadir Jasin

Biarlah rahsia

Saya suka membaca kisah orang-orang yg berjaya termasuklah Dato’ sendiri. Tahniah Dato’. Dari seorang budak kampung kepada orang kanan PM. Tahniah sekali lagi.

Cuma, dari pemerhatian saya, Dato’ mungkin terhutang budi yang begitu besar dengan DS Anwar Ibrahim yang tidak pernah Dato’ kongsikan di dalam blog ni sejak dari mula lagi. Seperti ada perkara tersurat dan tersirat yg Dato’ sorokkan tu. Bak kata pepatah, hutang emas boleh dibayar tetapi hutang budi dibawa mati. Walaupun diprovoke, Dato’ masih sunyi membisu.

Akhir kata, saya hormati hak Dato’ utk berahsia. Sekian TQ.

wankamarul701 said...

Tahniah DAKJ.

Saya kenal DAKJ pun (DAKJ pun tak kenal saya) masa beli buku 'PRU 2008 : Rakyat Sahut Cabaran' pada tahun 2008. Saya tercuba blog ini pun tahun 2011. Selalu baca tapi malas nak komen. Apapun selamat maju jaya DAKJ dalam arena kewartawanan dan penulisan.

Hang Jebat II said...

Dato', semoga dato terus ber"jebat" demi kebaikan kita semua serta diberkati Nya. Amiin. Terima kasih

wansee c said...

Reading your writings has become part of my daily routine since September yesteryear. Your words of wisdom have inspired me and enriched my soul a great deal. They are altogether interesting and insightful, at times, amused with your cynical as well as ticklish ways of putting in the precise words to spot on which cause a fit of pique to many. The only regret, however, is that I was a little too late to start following your blog. Knowing that I have missed out so much in the past, so I opted to go backwards for all your older posts in order to catch up with your theories and discernment. I thank you wholeheartedly.

Indeed, you, too, have helped build and now rebuild the nation, your very own typical way by telling people out there nothing but the truth and never succumb to whatever adversities that may get in the way. Syabas and kudos, Tok kadir to mark yet another great milestone in your life. What a pride to your beloved family the journey you have been through from a very very humble beginning. Wishing you all the best in every forthcoming things you may encounter. Hidup Tok!

nasir said...

Salam DAKJ.Saya sgt setuju kalam 'news is new' yg dicoretkan utk tatapan semua.Selagi ada berita yg diperbaharui tetap segar dan dinamis.
Cerita ' dunia kita' - Pendang,Tanah Merah,Tobiar dan Kubur Panjang adalah intipati kehidupan .
Loghat yg diberikan masih segar diguna sampai sekarang sebab perdu kita kuat.
Terima kasih DAKJ.

East_ken_dar said...

Salam Dato'.

Kalau nak dibandingkan ilmu penulisan dato' dengan saya, peribahasa ibarat jauh panggang dari api, atau ibarat langit dengan bumi pun tak dapat menggambarkannya..hihihi.

Really inspiring stories from u Dato'. Budak2 sekarang celik2 mata semuanya ada. Masih wujud lagi ke anak2 muda yang sanggup membangsatkan diri mereka di zaman ini? Mak bapak sekarang pun terlalu over protected anak masing2. Sampai jadi kes anak pukul mak, anak pukul ayah, anak curi duit mak ayah beli dadah. Tak tahulah saya apa nak jadi dengan dunia sekarang. Risau pun ada bila memikirkan nasib generasi akan datang, yang bakal kita tinggalkan.

Sangat setuju dengan kata2 dato'. Sekecil mana pun keturunan kita, maruah wajib dijaga. Tetapi manusia selalu lupa. Keturunan tu menjadikan mereka riak dan lupa diri sehinggakan tindakan mereka memalukan keturunan mereka tu.

Terima kasih Dato'. Teruskan menulis. Semoga Dato' dan keluarga diberi kesihatan dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

Pemberita bujang said...

Tahniah Dato dan teruskan menulis.
Minta kongsi berkongsi ilmu bagaimana untuk menjadikan diri sebagai pemberita yang non partisan dan tidak bias.

Powerranger said...

Cuba nak memahami mengapa perlu di sebut nama mapadulung tu sekian kali. Cuma penulisan kali ini memetik nama wira bugis tersebut tanpa mencemuh atau mengurangkan darjat. Insaf barang kali.

cikminah said...

Tahniah, Dato'.Semoga sentiasa dirahmati dan diberi Hidayah untuk terus menulis. Bukan senang nak dapat idea bernas setiap minggu.

sejati said...

Salam Dato.

Allahu. Banyaknya yang orang muda seperti kami perlu belajar dari Dato. Tkasih byk2 atas semua yg dikongsi. Moga bermanfaat utk anak-anak muda belajar erti susah-payahnya membina sebuah negara waima melalui apa cara sekalipun. Benarlah kata pujangga, 'mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang'. Teruskan menulis Dato. Your writings always send insights to our souls.

Fan Tun said...

50 tahun jadi wartawan
Resah, pilu tak sunyi dirasa
Tahniah Dato, terasa rawan
Bersusah dulu, kini sentosa..

Dari kampung Dato merantau
Bertingkat naik walau perlahan
Jika bersungguh kerja dipantau
Pasti dekat dengan kejayaan..

Untuk pedoman golongan muda
Patah sayap bertupang dagu
Wang ringgit orang berada
Tanpa ilmu terpasang belenggu!

Politik bangsa usah persia
Demi agama dan negara
Silap salah kita manusia
Yang buruk,jahat singkir segera!

Orang kita tak suka ilmu
Gejala sosial remaja raikan
Budaya songsang sudah bertamu
Tak dapat beza umpan dan ikan!

Dadah, rempit dan seks songsang
Apa nak jadi bangsaku ini
Pusaka moyang akhirnya gersang
Orang lain jadi penghuni!








Stick to the point said...

Datuk,
allow me to speak of other matters.

A commentator to one of the websites explained the SRC / KWAP /Najib scandal in plain layman words:

In 2012 SRC borrows 4 Billion from Kwap. So far so good. Loan is guaranteed by "the accused" as Finance Minister.
SRC make the money disappear either through incompetence or dodgy siphoning of money to offshore secret accounts.
Less than 4 years later in 2015/16 SRC appear to have no ability to repay any Kwap loan tranches, as a consequence the MoF guarantee is called in and MoF stumps up two loans to SRC to the value of RM342 Million to pay off some of the Kwap loan as SRC have been very naughty and had their Swiss Bank Account frozen.
One does ask why does a Malaysian entity have Swiss bank account? Quite odd. So now there is 4.32 Billion outstanding and MoF were prepared to stump up another RM300 Million just in case things soured even further. Now we are pushing towards RM 5 Billion (4 Billion in Retirement funds and almost 1 Billion from the taxpayer) and not one sen of income has SRC had.
SRC goes insolvent earlier this year taking with it almost RM5 Billion. Who's name is a constant throughout this entire affair - one man, the Accused - Najib Razak. Using our money to cover for dodgy money deals hoping that one day his deceit and loose use of our money may just never come up in discussion.

Just imagine if BN/UMNO had won GE14. This gross abuse of playing with everyone's money would never had come to light. Najib and Co would have continued on this pretend making money merry go round where the only wealth creation was for themselves. Just imagine if Kwap had gone belly-up as a result? Would the blind faithful rakyat take notice then?? "

We read the daily court proceedings, sometimes the defence lawyers go into non-relevant areas and confuse the judge, witnesses, prosecutors and even themselves.
Stupid of them, just keep to the point, they are doing themselves and their client Najib no good.

Gobind and TM said...

Datuk,
Telekom Malaysia (TM) has been asked to submit a report on resolving the Streamyx service issues to Communications and Multimedia Minister Gobind Singh Deo within a month.

Gobind in a statement today said he believed that TM’s new management led by its group managing director and chief executive officer Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin could find solutions to the problems.

Hang on there, Gobind Singh and TM.
What about us senior citizens or those having sight problems?
We subscribed to Unifi 100mbps at RM129 monthly and suddenly found that we could only view selected HyppTV movies only on mobile. Isn't this crazy, does TM expect us to glue ourselves to the mobile screen and cause us to go blind?
Last year the hypptv set-up-box was given free of charge, and this year, TM took it away.
We were told (here it comes, the cruncher) if we want to view the HyppTV movies on our TV sets, we have to top up another RM20 or RM30 monthly.
And does our Minister Gobind still want to say that broadband unifi services are cheaper?

For those who subscribed to the RM129 /100mbps package, give us back the set-up-box free of charge. I await further feedback from Gobind and TM on this.

mek yunie said...

tahniah dato. setiap perkataan saya baca dan ada part saya tergelak. macam dua tiga kali ulang bekas perdana menteri itu. tentunya melalui bidang penulisan, banyak input yang kita dapat. saya percaya dato dan sebati dengannya. terima kasih dato untuk penulisan ini.

Nuansa Ajam said...

Saya sendiri dah 13 tahun menjadi pembaca tulisan Datuk. Bermula dari majalah Malaysian Business, saya terus kagum dengan cara penulisan Datuk yang mudaj saya fahami walaupun sarat dengan fakta.

Terima kasih datuk kerana telah banyak juga berkongsi ilmu.

Nuansa Ajam said...

Saya sendiri dah 13 tahun menjadi pembaca tulisan Datuk. Bermula dari majalah Malaysian Business, saya terus kagum dengan cara penulisan Datuk yang mudaj saya fahami walaupun sarat dengan fakta.

Terima kasih datuk kerana telah banyak juga berkongsi ilmu.

Congratulations said...

Datuk,
before you write on another subject, here are your own words:

"Lima puluh tahun tidaklah lama apabila kita gembira mengisinya."

Very true, time, years, months, days, hours, minutes and seconds flash by in an instant.
We can never recover them, but when we look back we can say, Datuk we enjoyed reading your articles, your pen never stops putting words to paper.
So Datuk, please continue writing, and we will continue to enjoy reading.

Congratulations on your anniversary !!!

nass said...

Pengalaman yang menarik

OKJ said...

Salam Dato’ Kadir

Kisah Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim suatu ketika dahulu telah memecahkan berhala-berhala kaumnya dan meletakkan kapak tersebut ke atas berhala yang paling besar. Bila ditanya, baginda menjawab yg mungkin berhala yang besar tersebut memecahkan berhala-berhala yg lebih kecil. Ini adalah salah satu helah yang dibolehkan untuk kebaikan umat manusia.

Berbalik kpd cerita politik, semasa interview Tun Mahathir tentang penyerahan kuasa, Tun mengakui akan serah kuasa ke Anwar Ibrahinm sbb dah janji. Beliau diam membisu bila ditanyakan apakah percaya ke Anwar atau tidak. Bukan sekali tetapi beberapa kali. Nampaknya, Tun memang keberatan utk bagi kuasa kepada Anwar sebenarnya tapi apakan daya sudah berjanji.

Jadi, eloklah Tun menyingkap semula sirah di atas untuk kebaikan Malaysia. Macam Tun kata, orang buat haji pakai duit 1MDB selagi tidak tahu duit curi, dimaafkan. TETAPI jika dah tahu duit curi, tak bolehlah. Inikan pula nak pilih pemimpin negara. Diharap Tun Mahathir masih ingat kata-katanya sendiri dan jangan buat-buat lupa ye. Banyak sangat Tun buat-buat lupa sekarang. Sekian TQ.

Sayangmalaysia said...

Congratulations Datuk Kadir. Keep on writing!

Jojo said...

Datuk Kadir,

Semoga diberkatiNya dalam perjuangan dan terus menulis.

Zamk said...

Teruskan Datuk...

Jojo said...

Datuk Kadir,

There're a few blogs that I like to read. Yours of course and also outsyedthebox. But, lately I find that he's a bid "biadap" towards Tun M with his choice of words.

I believe it's because some of his suggestions are not being "followed" by the government. That includes sending Zakir Naik back to India.

Well, I'd like to suggest if you could organise a meet up between Syed Akhbar Ali and Zakir Naik ? That'd be wonderful.

Note: you may choose not to publish this.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).