Thursday, September 27, 2007

Tunjuk Perasaan – Antara Yang Tersurat Dan Tersirat

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Seelok-eloknya gunakanlah nama sebenar atau tidak, nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat dan kucah tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

TUNJUK perasaan Pas di Kuala Terengganu pada 8 September dan perarakan aman peguam di Putrajaya pada 26 September adalah dua daripada beberapa protes awam yang berlaku pada akhir-akhir ini.

Sebelum itu, beberapa tunjuk perasaan diadakan untuk pelbagai tujuan seperti membantah kenaikan tol lebuh raya, membantah kenaikan harga barang, membantah cadangan menutup ladang ternakan babi dan membantah kenaikan kadar jenayah.

Kekerapan peristiwa sebegini berlalu dan sambutan yang semakin besar dan meluas daripada orang ramai mencetuskan tanda tanya apakah ini manifestasi kepada dasar keterbukaan (openness) Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi?

Akhbar The New Straits Times yang lazimnya mencerminkan pemikiran kerajaan dan Umno tidak lama dulu menguar-uarkan apa yang disifatkannya sebagai dasar keterbukaan dan toleransi Pentadbiran Abdullah.

Atau ini berupa manifestasi ketidakpuasan hati pelbagai pihak terhadap beraneka perkembangan semasa yang berlaku di negara ini?

Dua kemungkinan ini tidak mudah diasingkan kerana sebab musababnya mungkin saling kait-mengait. Mungkin benar Pentadbiran Abdullah lebih terbuka dan toleran, tetapi di masa yang sama banyak perkembangan semasa tidak menyenangkan rakyat jelata.

Gambar Ihsan: Rocky's Bru

Buat permulaan, tunjuk perasaan bukanlah sesuatu yang asing di negara kita. Cuma ia tidaklah sekerap atau seganas yang berlaku di negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dalam dua, tiga dekad kebelakangan ini, kita mengalami beberapa perhimpunan dan tunjuk perasaan raksasa yang mempunyai implikasi besar terhadap negara dan rakyat.

Pada tahun 1987 terjadi beberapa tunjuk perasaan dan perhimpunan besar yang berbau perkauman yang melibatkan parti-parti pembangkang dan Umno sehingga membawa kepada Operasi Lalang.

Kemudian pada akhir tahun 1998 berlaku tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berikutan pemecatannya daripada Umno dan kerajaan.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, perhimpunan ramai dan tunjuk perasaan bukan sahaja berlaku dengan lebih kerap tetapi bentuk, punca dan penyertaannya juga semakin pelbagai.

Tunjuk perasaan diadakan bagi membantah kenaikan tol lebuh raya, membantah kenaikan harga barang, membantah cadangan menutup ladang ternakan babi, membantah kenaikan kadar jenayah, membantah cadangan mengambil balik tapak rekreasi awam dan sebagainya.

Tetapi perhimpunan politik anjuran Pas di Kuala Terengganu yang berubah menjadi rusuhan dan perbarisan protes oleh 2,000 peguam serta penyokong mereka bukan sahaja antara yang terbesar tetapi menjanjikan implikasi yang lebih luas.

Pas mahu pihak berkuasa, khasnya polis, bersikap lebih terbuka terhadap permohonan parti-parti pembangkang mengadakan ceramah dan perhimpunan.

Keganasan yang berlaku di perhimpunan itu bukan sekadar membabitkan perusuh dan pihak polis malah merebak menjadi punca tuduh-menuduh di antara Pas dan Umno.

Ini pasti memberi kesan kepada kedua-dua buah parti dalam usaha mereka memikat hati pengundi, khasnya pengundi Terengganu, menjelang pilihan raya umum akan datang. Ingat lagi peristiwa berdarah Memali?

Bagi Pas, apa sahaja perkembangan yang membantu menaikkan imej dan profilnya adalah dialu-alukan kerana ia tidak akan rugi apa-apa malah berkemungkinan memperoleh keuntungan kerana Terengganu sudah terlepas daripada tangannya.

Peristiwa seperti yang berlaku di Batu Buruk itu boleh dijadikan modal untuk menghantar mesej kepada pengundi Terengganu bahawa Pas belum mati malah semakin berazam untuk memenangi semula negeri itu.

Bagi Umno pula, sebarang peristiwa dan perkembangan negatif perlu ditakuti kerana jika pengundi Terengganu boleh menerimanya kembali pada pilihan raya umum 2004, mereka boleh menolaknya pada pilihan raya akan datang.

Yang perlu diperhatikan dan difahami adalah motif dan implikasi tunjuk-tunjuk perasaan ini.
Adakah ia sekadar melepas geram dan mengambil kesempatan daripada suasana yang dikatakan lebih terbuka atau ia berpunca daripada permasalahan yang lebih mendalam dan fundamental?

Mungkin ia diadakan untuk melepas geram tetapi petunjuk semasa memberi gambaran bahawa wujud permasalahan fundamental seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, kenaikan harga barang dan perkhidmatan, peningkatan kadar jenayah, masalah pendatang haram dan pengangguran.

Dalam hal ini, tindak balas segera dan jangka panjang oleh pemerintah dan pihak-pihak yang bersangkutan dengannya, akan menentukan kesudahan “demokrasi jalanan” ini. Kemungkinan ia mekar menjadi gerakan massa tidak boleh diketepikan.

Manakala perhimpunan awam dan tunjuk perasaan adalah hak asasi rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan, ketidakmampuan atau kesilapan pihak berkuasa, khasnya polis, menangani peristiwa seperti ini boleh mencetuskan konfrontasi yang lebih besar.

Seperti kata pepatah, kalau tidak ada-ada masakan tempua bersarang rendah.

Tuesday, September 25, 2007

Tun Terus Bersama Kita

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Seelok-eloknya gunakanlah nama sebenar atau tidak, nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat dan kucah tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SELEPAS berbuka puasa tadi, seorang pensyarah muda Universiti Malaya membuat panggilan telefon kepada saya. Suaranya cemas dan tersekat-sekat. Dia kesebakan.

Antara berani dan takut, dia meminta pengesahan tentang khabar angin yang kencang bertiup mengenai mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dia tidak keseorangan termakan khabar buruk yang dibawa angin itu. Saya juga menerima panggilan daripada wartawan TV3, akhbar The Star dan beberapa orang rakan blogger.

Khabar angin itu tidak benar. Alhamdulillah, Tun terus bersama kita dan mencatatkan kemajuan di dalam parameter rawatannya setelah menjalani pembedahan kedua dua malam lalu.

Saya baru pulang dari Institut Jantung Negara di mana beliau dirawat. Dari mulut anak lelakinya, Datuk Mokhzani dan Datuk Mukhriz, Tun dalam keadaan stabil dan sedarkan diri. Kalau dia tidak sedarkan diri, itu disengajakan untuk memudahkan rawatan.

Ketika saya di sana, turut mengunjungi keluarga Tun adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Jamaluddin Jarjis, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zul Hasnan Rafique, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Johan Jaaffar dan bekas Pengarang Kumpulan NST, blogger Datuk Ahmad A Talib aka Pahit Manis.

Kita terus berdoa agar orang tua kita bernama Mahathir bin Mohamad pulih dan sihat seperti sedia kala. Itulah harapan dan doa kita.

Friday, September 21, 2007

Kekangan Bahasa Punca Prasangka

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Seelok-eloknya gunakanlah nama sebenar atau tidak, nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat dan kucah tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

TIMBALAN Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, berkata masalah kecil sering menjadi besar kerana ahli politik menggembar-gemburkannya.

Ia menjadi semakin buruk apabila masalah itu diperbesarkan lagi oleh kaum masing-masing yang hidup dalam kelompok sendiri.

Katanya tugas memerintah Malaysia sebagai negara pelbagai kaum adalah unik kerana ia memerlukan perimbangan.

Justeru itu, beliau menasihatkan para pembesar politik (kalau dalam bahasa khutbah dikatakan termasuk diri saya sendiri) agar berhati-hati menjaga perasaan semua kaum.

Mereka tidak harus mengambil pendirian bahawa mereka hanya mengkhususkan diri kepada ahli parti atau kaum mereka sahaja.

Najib berkata demikian dalam temu ramah dengan akhbar Cina Sin Chew Daily yang diterjemahkan dan disiarkan oleh akhbar bahasa Inggeris The Sun.

Saya tidak pasti jika akhbar-akhbar lain, khasnya yang berbahasa Malaysia, memetik temu ramah berkenaan.

Jika tidak, apa yang Najib bimbangkan itu dengan serta merta menjadi kenyataan dalam erti kata mesej beliau hanya sampai kepada pembaca yang fasih bahasa Cina dan Inggeris sahaja.

Secara kebetulan, saya terbaca laporan terbaru indeks media (media index) yang diterbitkan oleh syarikat penyelidik media AC Nielsen bagi tempoh Julai 2006-Jun 2007.

Indeks itu secara langsung mengesahkan kebimbangan Najib iaitu sama ada disengajakan atau secara kebetulan, masyarakat berbilang kaum Malaysia terus berkelompok.

Indeks itu sekali lagi menggambarkan bahawa peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa komunikasi masih belum menyeluruh.

Pembacaan akhbar dengan jelas menunjukkan bahawa setiap kaum terus terikat dengan akhbar dalam bahasa masing-masing -- orang Melayu membaca akhbar Melayu, orang Cina akhbar Cina dan orang India akhbar Tamil.

Hanya pembaca akhbar-akhbar Inggeris mempamerkan kepelbagaian kaum.

Akhbar-akhbar bahasa Cina dibaca eksklusif oleh kaum Cina dan Tamil oleh orang keturunan India. Pembacaan akhbar-akhbar bahasa Malaysia di kalangan kaum Cina dan India masih rendah.

Bagi akhbar bahasa Malaysia terbesar iaitu Harian Metro yang dianggarkan mempunyai pembaca seramai 1.98 juta, hanya 14,000 adalah Cina dan 70,000 India.

Orang India lebih mirip menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa maklumat dan komunikasi. Justeru itu, mesej Melayu yang menjadi wadah akhbar-akhbar Melayu lebih mudah sampai kepada masyarakat India.

Bagi Berita Harian, daripada anggaran 1.27 juta pembaca, hanya 14,000 Cina dan 33,000 India manakala Utusan Malaysia dengan 1.09 juta pembaca, seramai 13,000 adalah Cina dan 34,000 India.

Kepelbagaian kaum lebih ketara di kalangan pembaca akhbar-akhbar bahasa Inggeris. Akhbar bahasa Inggeris terbesar The Star dengan anggaran pembaca seramai 1.12 juta mempunyai 549,000 pembaca Cina, 311,000 India dan 262,000 Melayu.

New Straits Times dianggarkan mempunyai seramai 330,000 pembaca yang terdiri daripada 139,000 Melayu, 98,000 Cina dan 94,000 India.

Akhbar percuma The Sun dengan anggaran pembaca seramai 218,000 naskhah mempunyai 93,000 pembaca Cina, 81,000 Melayu dan 44,000 India.

Kesimpulannya, walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar pendidikan serta pentadbiran, pembacaan akhbar-akhbar Melayu masih tertumpu kepada orang Melayu. Nisbah pembaca Cina dan India masih rendah berbanding bilangan mereka.

Sebaliknya, bahasa Inggeris nampaknya terus menjadi “bahasa pelbagai kaum” dengan akhbar-akhbar bahasa Inggeris dibaca oleh semua kaum di negara ini.

Ciri pembacaan akhbar yang berbentuk perkauman begini sudah semestinyalah memberi kesan yang besar dan mendalam kepada penyebaran maklumat rasmi dan tidak rasmi, khasnya yang berbau perkauman.

Justeru itu, peringatan Najib kepada pembesar politik agar berhati-hati membuat kenyataan adalah wajar kerana mesejnya mudah disalahtafsirkan sehingga mencetus ketegangan.

Friday, September 14, 2007

When Budget Figures Don't Tally

A Kadir Jasin

[Anonymous comments will not be posted. Please use your real name or a suitable pseudonym. Please avoid seditious, defamatory and libellous statements. And, if possible, don’t call anybody bodoh (stupid).]

LATEST UPDATE, Sept. 17

UPON closer scrutiny, the Finance Ministry’s press statement as quoted by The Star raised some very disturbing posers.

Comparing the various key figures in the Prime Minister’s budget speech and the Treasury Economic Reports for 2007/2008 and 2006/2007, the following facts and posers surfaced concerning the development allocation:

1. In his 2007 budget speech, the Prime Minister, who is also Finance Minister and Minister of Internal Security, gave the development expenditure as RM46.5 billion. The Treasury’s estimate was RM44.51 billion. In the 2007/2008 Treasury Report, that figure was revised downward to RM40.87 billion. (see Table 1);

Table 1: Source Treasury Economic Report 2007/08 (click to enlarge)
2. In short, the Treasury estimated the 2007 development expenditure to be RM44.51 billion. The Prime Minister raised it to RM46.5 billion in his budget presentation (see extract of PM’s 2007 budget speech). But it was finally revised to RM40.87 billion – a reduction of RM5.63 billion from what the PM had promised;

(Click to enlarge)

3. For 2008, the Treasury estimated the development expenditure to be RM40 billion – lower than in 2007. The Prime Minister promised RM48.1 billion in his budget speech – RM8.1 billion higher than the Treasury’s estimate;

4. Will this higher allocation be revised downward once again to be nearer or even lower than the Treasury’s estimate?;

5. This could happen should government want to meet the reduction in the budget deficit from 3.2 per cent in 2007 to 3.1 per cent in 2008 as outlined by the Prime Minister his budget speech;

6. The Treasury, in forecasting the 3.1 per cent deficit for 2008 was basing on the expenditure of RM40 billion;

7. Why was there such a big gap between the Treasury’s estimate, the Prime Minister’s promise and eventual expenditure for the current year?;

8. Is this a deliberate attempt at dressing up of the budget in the run-up to the general elections or is this a common budget practice?
All or some of these posers may not have been necessary should the Finance Ministry hold a press conference to clarify the matter raised in Parliament instead of merely issuing a press statement.



ORIGINAL POST

THE GOVERNMENT, according to a report in the The Star newspaper on Sept. 13, had given the assurance that the economic corridors that are being developed will not fall into the hands of foreigners.

It quoted the Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi as telling the Parliament that the government “had made sure developments were planned and monitored by a supervisory body and other agencies such as Khazanah Nasional.”

“Although the Government encourages investments to help quicken the development in each Corridor, we will not let any of it fall into foreign hands,” he said.

He was replying to Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian) who asked about the fate of the corridors now that foreigners were aggressively investing in them.

These mega development regions may not fall into foreign hands but what about the companies and assets located in them?

It is recalled that after months of assurances (and denials in the mainstream media) that no Malaysian companies had fallen into foreign hands, Abdullah, on Aug. 28, 2006 acknowledged in Kepala Batas that Pantai Holdings Berhad had fallen into Singapore’s hand.

Two weeks earlier Abdullah had denied that Pantai Holdings Berhad had fallen into foreign hands.

The deal, which caused Pantai Holdings Berhad to fall into the hands of Singapore’s Parkway Holdings, was approved by the Treasury, Bank Negara and the Securities Commission – all under the Prime Minister’s control as Finance Minister.

The fiasco forced Khazanah Nasional to spend a huge sum of money to reacquire the company.

Thus Salahuddin and other concerned Malaysians have every reason to fear that more national assets would fall into foreign hands in the Prime Minister’s enthusiasm to launch his own brand of mega projects.

And why should they not worry when two keys documents relating to the recently presented 2008 Budget gave two very different figures for the same expenditure?

While Abdullah in his budget address gave the development expenditure as RM48.12 billion, the Treasury Economic Report put the amount at RM40 billion.

Opposition Leader Lim Kit Siang told reporters at the Parliament Lobby that “the additional RM8.12 billion will affect the budget deficit.”

How this happened could only be described as mystifying as both documents originated from the Finance Ministry and bore Abdullah's signature.

We cannot take these discrepancies lightly as they affect our interest while at the same time reflecting the lack of seriousness for truth and accuracy among our leaders and their key staff.

UPDATE Sept.15

Following is The Star report dated Sept.15 on the explanation by the Finance Ministry:

Finance Ministry clarifies figures in report

PETALING JAYA: The Finance Ministry has clarified that the 2008 Development Expenditure allocation (RM48.1bil) and estimated Development Expenditure (RM40bil) shown in the Economic Report are not contradictory figures in achieving the Government’s targeted fiscal deficit of 3.1% for next year.

A statement released by the ministry explained that the fiscal target was based on the estimated development expenditure, which represented the Government’s best estimate of actual expenditure in 2008.

At the same time, however, the Government was also proposing an allocation of RM48.1bil for 2008, the statement added.

“Typically, there is a shortfall when comparing estimated actual expenditure against the allocation sought for development expenditure.

“Having these two different numbers is not contradictory and does not in any way imply that the deficit target of 3.1% will not be met,” it said.

It was also exemplified that in the year 2007, the estimated development expenditure was RM40.9bil, while its allocation was RM46.5bil.

The statement further read that the RM40bil estimated for 2008 was consistent with the Ninth Malaysia Plan (9MP) ceiling of RM200bil (which translated to an average of RM40bil per year for the five-year plan).

“For the 9MP, whereby to accelerate implementation, large allocations are provided to facilitate the various implementing agencies to proceed with projects and programmes planned for the coming year.

“However, the actual progress on projects may not reach the planned stretched targets, resulting in an overall shortfall of actual expenditure.

“In this event, the Government has the sufficient flexibility to make the necessary adjustments to meet its targeted fiscal deficit,” it read.

Monday, September 10, 2007

Biarlah Blogger Syok Sendiri

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Seelok-eloknya gunakanlah nama sebenar atau tidak, nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat dan kucah tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

MENTERI Penerangan Zainuddin bin Maidin terus marah-marah. Dia marah kerana akhbar arus perdana terus memetik daripada laman berita bebas dan blog.

Zam menganggap maklumat laman berita dan blog sebagai tidak “authoritative.”

Bernama melaporkan begini: “Information Minister Datuk Seri Zainuddin Maidin today asked newspapers not to quote from blog websites when writing news stories as the source of the information cannot be considered authoritative.”

Zam menganggap akhbar arus perdana kurang bertanggungjawab kerana memetik daripada laman berita dan blog justeru itu dia menasihatkan mereka agar lebih bertanggungjawab dengan memetik hanya sumber-sumber yang “authoritative” – yang berkuasa atau berwibawa.

Katanya ramai blogger bergantung kepada akhbar arus perdana untuk membina kewibawaan mereka.

Sama ada Zam membaca laman berita dan blog atau tidak nampaknya tidak menjadi persoalan kepada menteri itu kerana dia sudah membuat kesimpulan bahawa “the information are posted on the blogs by people with no authority.”

Maksudnya blog menyiarkan maklumat yang datangnya daripada orang yang tidak ada kuasa.

Betullah, berapa ramaikah blogger dan pengendali laman berita yang “berkuasa” dan “berwibawa” macam Zam?

Mereka bukan Ahli Parlimen. Mereka bukan menteri. Mereka tidak ada pegawai dan para pesuruh. Dan mereka tidak ada pertubuhan raksasa macam Kementerian Penerangan atau Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Sebagai bekas pengarang, saya turut bergembira kerana Zam kini amat berkuasa. Dulu dia “pengarang cabuk”macam saya juga.

Anehnya, sebaik saja Bernama menyiarkan “arahan” Zam agar tidak memetik dari blog, ia memetik dengan terperinci blog Marina Mahathir, RantingsbyMM mengenai pembedahan jantung bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya tidak bertujuan bergaduh dengan Zam. Tidak ada sebab dan tidak ada guna saya berbuat demikian. Saya hanya berharap para pembesar, khasnya yang menjaga maklumat dan propaganda rasmi, agar mengenali siapa mereka dan siapa blogger.

Yang nampaknya menjadi masalah kepada para pembesar bukanlah semua blogger, tetapi blogger yang menulis mengenai isu-isu politik dan sosial.

Agaknya kalau boleh, ramai pembesar mahu menguasai atau mempengaruhi blog-blog jenis ini.

Namun elok difahami bahawa sebagai Menteri Penerangan, kuasa dan pengaruh Zam tidaklah mutlak dan menyeluruh hatta di dalam kementerian itu sendiri.

Dari segi amalan atau konvensyen, Zam bukanlah supremo. Dia bergantung kepada kakitangan profesional. Kalau mengenai berita dan hal ehwal semasa, dia terpaksa beroperasi melalui ketua bahagian itu. Begitu jugalah dengan jabatan-jabatan lain.

Ini adalah tanggapan saya berpandukan amalan dan konvensyen. Tidak tahulah kalau kuasa eksekutif ketua-ketua jabatan di RTM, Bernama dan jabatan-jabatan lain sudah di-ambil alih atau diresapi oleh YB Menteri.

Kuasa dan peranan Zam sebagai menteri tidak sama dengan kuasa dan peranan beliau ketika menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan. Sebagai Ketua Pengarang kuasa dan peranan beliau dalam hal ehwal pemberitaan adalah sahih dan mutlak.

Di luar daripada Kementerian Penerangan, kuasa dan pengaruh Zam, kalau pun ada, hanyalah dalam bentuk kuasa moral dan intelektual (moral and intellectual authority). Itu pun boleh dibahaskan (debatable).

Bernama misalnya adalah pertubuhan berita kebangsaan yang ditubuhkan dengan “charter” khas yang menjamin kebebasannya daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Media cetak pula terletak di bawah kawalan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan stesen radio dan televisyen di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Manakala blog, sebagai fenomena baru, mempunyai keunikan yang tersendiri. Ini adalah kerana blog lebih berupa ciptaan dan cetusan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) di mana pengguna dan penggunaannya adalah pelbagai.

Hanya segelintir kecil sahaja blogger yang berlatarbelakangkan kewartawanan. Yang lain adalah orang biasa dan golongan profesional daripada pelbagai aliran seperti pelajar, guru dan pensyarah, ahli politik, doktor perubatan, akauntan dan penggiat badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Jadi eloklah para pembesar negara cuba memahami hal-hal yang berkaitan laman berita Internet, blog dan ICT agar mereka tidak takutkan bayang-bayang sendiri atau membuat kenyataan yang tidak masuk akal.

Manalah tahu Zam atau Perdana Menteri sendiri satu masa nanti tergerak untuk memulakan blog atau laman web peribadi untuk berinteraksi dengan rakyat jelata.

Lagipun, kalaulah benar blog terhad liputannya dan blogger tidak berwibawa seperti selalu Zam katakan, tidak payahlah dia peningkan kepala.

Berilah peluang kepada blogger goblok yang "menganggur" macam saya untuk syok sendiri.

Monday, September 03, 2007

Doa Buat Seorang Bapa

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Seelok-eloknya gunakanlah nama sebenar atau tidak, nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat dan kucah tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

USIAMU serupa usia bapaku
Engkau dan dia pernah sekutu
Berjuang atas nama ibunda
Demi agama, bangsa dan negara
Tapi di situ persamaan terhenti
Kerana engkau Mantan Perdana Menteri
Yang memacu negara ke mercu tinggi
Sedang bapaku kekal seorang petani.

Kini engkau dan dia sama-sama tua
Sudah uzur dimakan usia
Namun jiwamu dan jiwanya
Tetap seperti dahulu juga
Padat sarat dengan perjuangan
Jitu padu dengan kesedaran
Bahawa padanya tiada sisa
Selagi jasad dan nyawa bersama.

Mindamu dan mindanya
Sentiasa segar terus muda
Tidak reput dimakan usia
Tidak patah diuji pancaroba
Tidak tawar dicaci nista
Hatta oleh anak-anak didikmu sendiri
Yang gila kuasa dan lupa diri
Yang tiada lagi budi dan pekerti.

Maka wahai bapa-bapaku
Ketika engkau terlantar
Hati kecilmu gementar
Dengarkanlah ikrar kami
Anak menyambung generasi.

Bahawa legasimu tidak akan mati
Kami tidak akan biarkan itu terjadi
Kerana antara kami
Anak-anak generasi pengganti
Masih ada yang belum diracun korupsi
Yang belum lupa erti jasa dan budi
Yang jiwa merdekanya terus membara
Atas nama agama, bangsa dan negara.

Wahai bapa-bapa pejuang merdeka
Doa kami buatmu semua
Tuhan jaga kamu dalam dakapannya
Dipanjangkan usia
Segar jasad dan minda
Kerana engkaulah pelita
Pujangga dan pendeta
Pemimpin sepanjang usia.

About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).