About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).

Thursday, May 29, 2008

Tajuddin Lwn Zaid: Lagi Manifestasi Kemelut Umno

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PADA mulanya saya terfikir untuk menggunakan ungkapan “bertemu buku dengan ruas” bagi melabelkan serangan Ahli Parlimen Barisan Nasional Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Zaid Ibrahim.

Berucap di Parlimen pada 27 Mei, Tajudin meminta Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, menimbang semula pelantikan Zaid sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tajuddin menegaskan, tindakan Zaid yang menyerang secara terbuka di luar Dewan Rakyat terhadap ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dianggapnya menentang kerajaan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN.]

Tetapi setelah memikirkan jatuh bangun politik Tajuddin dan main-mainan politik Zaid, saya berasa adalah tidak tepat saya membandingkan Tajuddin dengan Zaid.

Lebih tepat kalau saya guna ungkapan “jauh langit daripada bumi” dan tanpa prejudis mungkin tidak keterlaluan jika saya sifatkan Tajuddin sebagai veteran politik radikal Umno manakala Zaid adalah manifestasi politik ambil peluang.

Mungkin banyak dari generasi muda Melayu, dalam dan luar Umno, tidak tahu bahawa Tajuddin adalah antara aktivis Umno yang gigih dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ketika Operasi Lalang pada tahun 1987.

Zaid pula adalah contoh produk Dasar Ekonomi Baru yang berjaya dan mendapat anjakan besar apabila Pentadbiran Dr Mahathir Mohamd melaksanakan dasar penswastaan pada pertengahan tahun 1980’s bermula dengan penswastaan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Sebagai rakan kongsi sebuah firma guaman Bumiputera yang besar dan aktivis undang-undang, beliau dilantik untuk mewakili banyak syarikat dan individu Bumiputera yang terbabit dengan penswastaan dan dengan penyusunan semula harta Umno selepas krisis 1987/88.

Walaupun Zaid pernah mengepalai Persatuan Peguam Islam, beliau sebenarnya seorang liberal. Selepas gagal dalam percubaan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2004, Zaid menampilkan dirinya seorang liberal.

Sebagai seorang liberal, Zaid tentunya tidak dapat menerima apa sahaja bentuk kongkongan terhadap kebebasan sama ada dalam bentuk keagamaan, kebangsaan, perkauman, perlembagaan, perundangan atau ekonomi.

Ini jelas daripada kenyataannya sejak dilantik senator dan menteri bahawa dia tidak boleh menerima undang-undang yang “tidak adil” seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim boleh dianggap sebagai kemuncak kepada manifestasi pemikiran Zaid sebagai seorang liberal yang tidak mengakui wujudnya batas atau ciri perkauman dalam apa hal jua.

Justeru itu, jikalau hendak difikirkan perjuangan dalam Umno dan kepada orang Melayu, banyak orang pasti berasa bahawa Tajuddin lebih layak daripada Zaid untuk dilantik menteri.

Setidak-tidaknya Tajuddin dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu berbanding Zaid yang hanya dipilih oleh Addullah seorang sahaja.

Di pihak yang lain pula, apalah yang hendak dihairankan jika Zaid menyerang ahli-ahli Parlimen BN yang dianggapnya sebagai menentang kerajaan atau lebih tepat menentang Abdullah?

Zaid hanya setia dan terhutang budi kepada seorang ahli Umno dan pembesar BN sahaja iaitu Abdullah. Zaid naik bukan kerana ahli Umno atau pengundi. Dia naik kerana Abdullah melantiknya menjadi senator dan menteri. Jadi tidak menghairankan langsung jika dia menyerang sesiapa juga yang dianggapnya menentang Abdullah.

Walaupun Zaid menampilkan dirinya sebagai seorang liberal yang bebas daripada segala bentuk prejudis, dia tetap tidak terlepas daripada pengaruh Abdullah dan individu-individu di sekeliling Perdana Menteri yang berperanan memperakukan pelantikannya sebagai senator dan menteri.

Soalnya, apakah Zaid seorang liberal tulen yang tidak mengenal warna kulit atau seorang yang mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan yang sedang berlaku kepada Umno dan kerajaan sekarang?

Saya bertanya soalan ini kerana, seperti kata Tajuddin, Zaid turut menggesa BN serta UMNO mengambil tindakan terhadap penyokong-penyokong kerajaan (yang dianggap menentang kerajaan).

Kalau Tajuddin menyifatkan tindakan Zaid itu sebagai “perbuatan yang memalukan,” saya menganggapnya sebagai kekeliruan antara Zaid sebagai seorang liberal dengan Zaid sebagai seorang yang pandai mengambil kesempatan.

Kalau dia benar seorang liberal dan demokrat, dia tidak akan menghalang wakil-rakyat daripada bersuara. Sebagai wakil rakyat mereka dipilih oleh rakyat jelata dan bukan dilantik oleh Perdana Menteri. Tajuddin dipilih oleh 32,119 penyokong BN.

Masih segar di fikiran saya bagaimana Zaid yang sepatutnya bercakap bagi pihak Umno dalam perhimpunan agung ketika krisis perlembagaan 1993 tetapi “kecut perut” dan berhenti separuh jalan.

Sunday, May 25, 2008

Najib Boleh Legakan Hati Dr Mahathir

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PADA 24 Mei, Timbalan Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak dipetik oleh Utusan Online sebagai berkata bahawa dia akan menemui Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan tindakan bekas Presiden Umno itu keluar daripada parti.

Tetapi katanya pertemuan itu bukan dalam masa terdekat kerana dia belum menetapkan tarikhnya.

Inilah pengertian ironi. Kalau dulu Dr Mahathir yang mengarahkan pertemuan dan menentukan masa, kini Dr Mahathir yang memohon pertemuan dan Mohd Najib menentukan bila dan di mana.

Namun begitu, Mohd Najib nampaknya terus menjadi “pilihan pertama” Dr Mahathir walaupun dia “membuat kesilapan” (meminjam ungkapan mantan Perdana Menteri itu sendiri) dengan memberi laluan kepada Abdullah Ahmad Badawi “kerana dia lebih tua”.

Sejak zaman Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri (1993-1998) lagi, Dr Mahathir telah memutuskan bahawa Mohd Najib akan menjadi orang yang menyusuli Anwar.

Tetapi banyak juga orang dalam Umno yang tahu bahawa Mohd Najib bukanlah “favourite” Anwar. Malah komponen media massa yang menyokong Anwar pernah “diarahkan” agar tidak memberikan keutamaan kepada Mohd Najib.

Walaupun Dr Mahathir telah mengkritik Mohd Najib dengan keras sehingga memanggilnya pengecut, namun rasa sayang Dr Mahathir terhadap Mohd Najib masih mendalam.

Selain hakikat bahawa Dr Mahathir berasa terhutang budi kepada bapa Mohd Najib, dia juga menganggap Mohd Najib sebagai berkebolehan di segi pentadbiran dan pengurusan berbanding Abdullah.

Jadi, kalau ada orang yang boleh mempengaruhi Dr Mahathir agar memikirkan semula tindakannya keluar dari Umno, orang itu adalah Mohd Najib. Cuma Mohd Najib mahu atau tidak, berani atau tidak untuk memainkan peranan itu.

Namun adalah terlalu awal mengharapkan Dr Mahathir pulang semula ke pangkuan Umno. “Syarat” tunggal beliau masih serupa iaitu pengunduran Abdullah daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Justeru itu, adalah baik bagi Mohd Najib terus mendekati Dr Mahathir walaupun dikritik dan diherdik. Mohd Najib tentunya setuju bahawa adalah lebih baik diherdik dan ditegur oleh orang cerdik daripada dipuji dan disanjung oleh orang tidak cerdik.

Siapa tahu, sejarah akan memberi pengiktirafan kepadanya sebagai pemimpin Umno yang berjaya membawa balik bekas Presiden Umno ke dalam parti.

Dalam nada yang sama, sengaja disebutkan bahawa kecuali Tun Abdul Razak Hussin yang mati dalam jawatan, semua bekas Presiden Umno yang lain keluar parti, bermula dengan Datuk Onn Jaafar.

Datuk Onn keluar Umno pada tahun 1951 setelah gagasannya membuka keahlian Umno kepada kaum pendatang ditolak oleh orang Melayu.

Malah dia menubuhkan parti baru bernama Independence of Malaya Party (IMP) untuk melawan Umno. Apabila IMP ditolak oleh pengundi, dia menubuhkan pula Parti Negera tetapi sekali lagi gagal menyaingi Umno.

Tun Hussein Onn keluar Umno dua kali. Pertama pada tahun 1951 bagi mengikut jejak bapanya. Dia hanya kembali semula ke pangkuan Umno pada tahun 1968 atas pujukan Abdul Razak yang berupa birasnya.

Tun Hussein keluar Umno sekali lagi pada tahun 1988 apabila Umno diharamkan dan Dr Mahathir menubuhkan Umno Baru. Turut keluar adalah seorang lagi bekas Presiden Umno iaitu Tunku Abdul Rahman Putra.

Sejak awal lagi Tunku dan Tun Hussein tidak menyukai gaya pentadbiran Dr Mahathir dan dasar-dasar yang diperkenalkannya. Mereka menyatakannya secara terbuka kritikan mereka. Tunku melakukannya secara bertulis dalam kolumnya “As I See It” dalam akhbar The Star.

Tetapi tidak seperti Tun Hussein dan Tunku yang keluar Umno dan menyokong parti lawan (Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah), Dr Mahathir tidak menyertai atau menyokong mana-mana parti lawan.

Malah beliau secara tarang-terang menyatakan yang beliau akan kembali menjadi ahli Umno sebaik sahaja Abdullah mengundurkan diri.

Nampak-nampaknyalah Dr Mahathir masih percaya bahawa Mohd Najib adalah pengganti terbaik walaupun pada akhir-akhir ini beliau turut mengiktiraf keberanian Tengku Razaleigh dan Muhyiddin Yassin mempertahankan hak ahli.

Yang menjadi tanda tanya hanyalah keberanian Mohd Najib dan kemampuannya menangkis segala tuduhan dan dakwaan terhadapnya.

Kalau dia berani dan berjaya meyakinkan ahli Umno, dia masih berupa pengganti terbaik kepada Abdullah.

Tetapi jika dia mengambil masa terlalu lama untuk mengatur langkah, dia mungkin tenggelam bersama karamnya bahtera Umno.

Saya teringat kepada kenyataan Mohd Najib yang dibuatnya di New Delhi pada tahun 2006 bagi mempertahankan Abdullah daripada kritikan Dr Mahathir, berbunyi:

I believe that when Tun Dr Mahathir was the prime minister, he did what was best for the nation. Similarly, now that Pak Lah is the Prime Minister, he will do his best for the country.”

(Saya yakin ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, dia melakukan yang terbaik untuk negara. Begitu jugalah dengan Pak Lah sekarang yang akan melakukan yang terbaik untuk negara.)

Malangnya, keyakinan Mohd Najib bahawa Abdullah “akan melakukan yang terbaik untuk negara” tidak dikongsi oleh banyak rakyat Malaysia seperti dimanifestasikan oleh tindakan mereka menolak Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Kesimpulannya, jikalau Mohd Najib mahu berguru semula dengan Dr Mahathir dan memperkukuhkan harapannya menjadi Perdana Menteri, dia perlulah memutuskannya segara dan membiarkan ahli Umno akar umbi tahu kerana masa tidak menunggu sesiapa.

Thursday, May 22, 2008

Hari Penentu Pulau Batu Puteh

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous sahaja tidak akan dilayan. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[TERKINI/LATEST, 23 Mei] --KHIDMAT SMS akhbar The Star melaporkan "International Court of Justice decides 12 to 4 that Pulau Batu Puteh belong to Singapore and 15 to 1 that Middle Rocks belongs to Malaysia."

(Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan 12 lawan 4 yang Pulau Batu Puteh milik Singapura dan 15 lawan 1 yang Middle Rocks milik Malaysia.)

Pandangan dan kesimpulan awal saya adalah, dalam bahasa paling mudah -- bahasa yang disebut-sebut oleh rakyat jelata kita -- kita sebenarnya KALAH.

Rakyat jelata kita tahu pertikaian ini atas nama PULAU BATU PUTEH. Kerajaan kita pun berhujah atas nama yang sama.

Sekarang Pulau Batu Puteh sah milik Singapura. Yang kita dapat adalah Middle Rocks -- BATU bukan PULAU -- yang hampir-hampir tidak pernah disebut dalam kenyataan kerajaan.

Maka dari aspek psikologi dan propaganda, kita kalah kerana minda kita mahu menang Pulau Batu Puteh tetapi sebaliknya kita diberikan Middle Rocks.

Kita tunggu dan lihat bagaimana pakar-pakar "spin" media massa arus perdana akan mengolah berita ini untuk menyedapkan hati kita.

Dengan terlerainya kebuntuan ini, apakah pemerintah kita akan terus berdiam diri mengenai isu-isu tergantung yang lain seperti Jambatan Bengkok, perjualan air kepada Singapura, tanah KTM di Singapura dan wang rakyat Malaysia dalam Tabung Simpanan Pusat (CPF) Singapura?

[Posting asal] -- AKHBAR New Straits Times hari ini bertanya: Will Pulau Batu Puteh be adjudged ours? (Adakah Pulau Batu Puteh akan diputuskan sebagai milik kita?”)

Soalan yang serupa pasti bermain di fikiran banyak rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu, yang sangat mengambil berat dan cukup emosional mengenai isu wilayah dan kedaulatan.

Mengakui hakikat ini dan dengan hasrat agar mereka melihat dan mendengar sendiri berita yang mendebarkan itu, stesen televisyen milik negara, RTM1 akan menyiarkan secara langsung penghakiman oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mulai pukul 4 petang esok (Jumaat).

Bernama memetik Menteri Penerangan Ahmad Shabery Cheek sebagai berkata siaran langsung dari The Hague, Belanda itu akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengikuti prosiding kes berkenaan melalui kaca mata Malaysia.

Dalam posting bertajuk “Pulau Batu Puteh: Siapa Lebih Bersedia?” dalam blog ini pada 23 November tahun lalu, saya, antara lain, mengulas:

“Sekiranya Malaysia menang perbicaraan di Mahkamah Pengadilan Antarabangsa di bandar raya The Hague, Belanda, bagi mendapatkan Pulau Batu Puteh, puji-pujian yang melimpah luah pastinyalah akan diberikan kepada perwakilan negara.

"Tetapi seandainya Malaysia gagal, pasti ada orang dan pihak yang akan berkata ia adalah kehendak takdir maka kita terima sahajalah. Menyalahkan takdir sudah menjadi amalan ramai pembesar di Malaysia. Tanah runtuh, salahkan takdir, bangunan runtuh, salahkan takdir, mayat bergelimpangan di jalan raya, salahkan takdir.”

Ahmad Shabery mengaku bahawa banyak rakyat Johor begitu memandang berat peristiwa ini sehingga ada yang mengadakan doa selamat dan sembahyang hajat agar keputusan kes itu memihak kepada Malaysia.

Bagaimanapun, kata beliau, Malaysia dan Singapura telah berjanji akan akur kepada keputusan ICJ dan pihak yang menang tidak akan mengadakan sebarang sambutan kemenangan.
Abdul Kadir Mohamad, Penasihat Hal Ehwal Luar Negara kepada Perdana Menteri, yang hadir di majlis taklimat itu berkata Malaysia ingin mempamerkan kepada dunia bahawa ia sebuah negara yang patuh kepada undang-undang dan akan menerima sebarang keputusan ICJ sebagai suatu keputusan muktamad.

Katanya bagi Malaysia, kes Pulau Batu Puteh lebih merupakan "isu rakyat", tetapi bagi Singapura, ia lebih merupakan "isu kerajaan".

Saya harap kenyataan Abdul Kadir itu tidak membawa maksud bahawa Kerajaan Malaysia tidak seserius Kerajaan Singapura menangani masalah ini atau rakyat Malaysia lebih serius daripada Kerajaan Malaysia.

Pada pandangan saya, Kerajaan Malaysia perlu lebih peka kepada sentimen dan reaksi rakyat jelata kita daripada Kerajaan Singapura kerana rakyat Malaysia lebih proaktif, lebih tinggi kesedaran politiknya dan lebih bebas membuat pilihan.

Sebaliknya, walaupun rakyat Singapura terkenal dengan sifat “kiasu” (takut kalah dalam dialek Hokkian) namun mereka tidak begitu terbuka dalam menyatakan pendapat dan memperlihatkan emosi.

Lagipun, manakala Kerajaan Malaysia baru sahaja diberikan tamparan hebat oleh pengundi pada pilihan raya 8 Mac lalu, Kerajaan Singapura boleh “goyang kaki” kerana pembangkang sangat lemah di republik pulau itu.

Dalam posting 23 November itu juga, saya membuat pemerhatian berikut:

“Kalau Malaysia menang dan kemenangan itu disebabkan pencapaian perwakilannya, maka pastilah ada orang akan mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan minda yang hebat dan superior.

Mengapa saya berkata begitu? Kerana dari sudut perwakilan, Singapura jelas mengemukakan sebuah pasukan peringkat tinggi yang cukup hebat.

Manakala kita hanya menghantar perwakilan peringkat pegawai.Pasukan Singapura, mengikut laporan media, diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional dan Menteri Undang-Undang, Prof. S. Jayakumar dan dibantu oleh Ketua Hakim Negara Chan Sek Keong, Peguam Negara Chao Hick Tin dan Duta Bebas (Ambassador-at-Large) Prof. Tommy Koh.Mereka disokong pula oleh panel peguam antarabangsa yang terdiri daripada Ian Brownlie Q.C, Prof. Alain Pellet, Rodman Bundyn dan Loretta Malintoppi.

Manakala pasukan Malaysia dikepalai oleh Duta Bebas merangkap penasihat hal ehwal antarabangsa kepada Perdana Menteri, Abdul Kadir Mohamad yang juga berupa kepala delegasi Malaysia bagi rundingan Jambatan Bengkok dengan Singapura.

Umum tentu tahu apa yang terjadi kepada rundingan berkenaan – projek di wilayah Malaysia sendiri terpaksa dibatalkan kerana kononnya ditentang dan diancam oleh Singapura!

Abdul Kadir dibantu oleh Duta Malaysia ke Belanda Noor Farida Ariffin dan Peguan Negara Abdul Ghani Patail dan disokong oleh panel perundangan antarabangsa terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya profesor undang-undang antarabangsa Universiti Cambridge, Nicolaas Jan Schrijver, profesor undang-undang awam dan antarabangsa Universiti Lieden, Belanda, Marcelo G. Kohen, profesor undang-undang antarabangsa, Institut Pengajian Antarabangsa, Geneva, Switzerland, dan Penelope Nevill, Downing College, Universiti Cambridge.”

Apa pun kesudahannya, kita tidak perlu menunggu lama lagi. Hanya sehari lagi kita akan tahu sama ada Pulau Batu Puteh akan kembali menjadi hak milik kita “selagi ada bulan dan matahari” atau ia akan kekal dalam pendudukan Singapura.

Monday, May 19, 2008

Tun Dr M Keluar Umno

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous sahaja tidak akan dilayan. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[Versi Yang Dirombak dan Disemasakan]

BEKAS Perdana Menteri dan Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengumumkan penarikan diri dari Umno.

Katanya beliau akan kembali menganggotai parti itu semula hanya apabila Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Umno.

Berikut petikan daripada portal berita bebas Malaysiakini:

"Former Umno president Dr Mahathir Mohamad today announced that he was quitting Umno with immediate effect and urged other members to emulate him.

"He said he was quitting the party, which he led for almost 22 years until handing over the reins to Abdullah Ahmad Badawi in 2003, as a sign of no confidence in his successor's leadership.

""I will only come back to the party when there is a change in leadership," the ex-premier told a crowd at a forum in his home state of Kedah this morning.

"He also called on all Umno ministers, deputy ministers and all levels of party leaders to join him in leaving the party.

"However he asked these members not to join any other party.

""Wait till Abdullah to quit as the prime minister and party president and then we can return to Umno," he said."

Portal berita The Star Online pula melaporkan:

"Former Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad announced Monday at 12.35pm that he is quitting Umno."

Dr Mahathir membuat kejutan itu ketika berucap kepada ahli dan pemimpin Umno dan orang ramai di Alor Star pagi ini.

Soalnya apakah ini langkah yang wajar atau beliau mengetahui sesuatu yang membuatkan beliau mengambil tindakan yang sangat radikal itu.

Ini adalah kali kedua Dr Mahathir "keluar Umno." Pada tahun 1969 beliau dipacat daripada parti itu kerana mengkritik Almarhum Tunku Abdul Rahman yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Pandangan saya:-

1. Adalah hak mutlak Dr Mahathir menarik diri daripada menjadi ahli Umno;

2. Seperti saya menghormati keputusan beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003, saya menghormati keputusan beliau keluar daripada Umno;

3. Dr Mahathir tidak mahu lagi tercemar dengan Umno yang pada pandangannya sudah tidak demokratik dan tidak ada keberanian lagi;

4. Pasti akan ada ahli yang mengikut jejak beliau dengan keluar parti atau sekurang-kurangnya dengan tidak lagi bergiat cergas;

5. Saya tidak terkejut kalau pembesar Umno yang berjawatan dalam parti dan/atau kerajaan tidak akan mengikut jejak Dr Mahathir;

6. Saya pasti ada di kalangan mereka akan kekal dalam parti dan kerajaan untuk memperjuangkan perubahan, termasuk mengubah kepemimpinan parti dan kerajaan, dari dalam. Saya hormati iltizam mereka;

7. Kalau mereka keluar Umno, parti itu akan menjadi lebih parah dan Kerajaan Barisan Nasional akan tergugat atau tumbang terus;

8. Kalau Dr Mahathir menarik diri daripada Umno kerana kecewa, tidak mustahil banyak lagi ahli Umno yang berperasaan serupa. Justeru itu, jika kekecewaan ini tidak ditangani, lebih banyak akan keluar Umno atau tidak bergerak cergas lagi;

9. Tidak mustahil ada sesuatu yang beliau ketahui yang menyebabkan beliau mengambil tindakan yang sangat radikal ini; dan

10. Saya tidak menjangka Dr Mahathir akan berhenti bersuara atau pendapat beliau tidak lagi diminta. Bezanya mulai sekarang beliau bebas daripada beban dan tekanan Umno apabila menyatakan pendapatnya.

[UPDATE, May 20]

(Malaysiakini) -- Abdullah Ahmad Badawi held an emergency 35-minute meeting today with Umno MPs in Parliament to discuss the latest crisis that hit the party - the shock resignation of former premier (sic) Dr Mahathir Mohamad.

The Umno president did not speak to reporters after the meeting but Pontian member of Parliament Ahmad Mazlan said that Abdullah had discussed about Mahathir's sudden resignation from the party for the first five minutes only.

Abdullah, who is also prime minister, dedicated the rest of the meeting to other matters involving the party and the revival of the Umno Parliamentarians Group.

Ahmad, also the Barisan Backbenchers Club information chief, said that there were no calls made by the parliamentarians for Abdullah to step down. He added that the MPs had expressed their support for Abdullah.

Meanwhile, The Star Online reports -- KUALA LUMPUR: Umno Youth executive council member Datuk Mukhriz Mahathir said he is not resigning from Umno, but reiterated his call for Datuk Seri Abdullah Badawi to step down as prime minister and party president.

The Jerlun MP, who is expected to contest for the post of Umno Youth chief in December, had previously called for Abdullah to step down after the March 8 polls that saw the Barisan Nasional coalition losing its two-thirds majority in Parliament.

Friday, May 16, 2008

Mantan PM Akan Disiasat

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous sahaja tidak akan dilayan. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

(VERSI YANG DISEMASAKAN)

[TERBARU] -- TUN Dr Mahathir Mohamad berkata di Johor Baru hari ini yang beliau bersedia disiasat. Tetapi kalau siasat sahaja tidak ada apa-apa guna, katanya.

Mantan Perdana Menteri mahu beliau dihadapkan ke mahkamah supaya dia boleh membela diri sambil menceritakan segala-galanya, termasuk mengenai hakim-hakim.

[POSTING ASAL] -- MANTAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata dia bersedia disiasat apabila atau jika ketua de facto Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim, “menjadi Perdana Menteri.”

Anwar belum pasti menjadi Perdana Menteri, tetapi kesediaan Dr Mahathir untuk disiasat nampaknya semakin hampir kepada kenyataan.

Menurut laporan terkini laman berita bebas Malaysiakini yang memetik menteri yang menjaga undang-undang Senator Zaid bin Ibrahim (tiada kaitan persaudaraan dengan Anwar), Suruhanjaya di-Raja yang menyiasat kes video VK Lingam “memperakukan agar bekas Perdana Menteri itu disiasat mengikut pelbagai undang-undang atas peranannya di dalam pelantikan hakim-hakim.”

Pembesar lain yang juga menghadapi tindakan yang sama adalah bekas Ketua-Ketua Hakim Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Eusoff Chin, peguam kanan VK Lingam, bekas Menteri Kabinet Tengku Adnan Tengku Mansor dan ahli perniagaan Vincent Tan.

Zaid mendedahkan demikian di Putrajaya hari setelah Kabinet “memutuskan yang tindakan sewajarnya diambil ke atas individu-individu berkenaan.”

Laporan Suruhanjaya itu memperakukan agar mereka disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Kesiksaan, Akta Pencegah Rasuah dan Akta Profesion Guaman.

Zaid, yang dilihat sebagai “brain” (pemikir) di belakang beberapa tindakan berkaitan kehakiman dan undang-undang oleh Pentadbiran Abdullah selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu berkata:
“Peguam Negara akan siasat. Laporan ini berbentuk nasihat (advisory) jadi Peguam Negara akan menyiasat mereka kemudian.”

Kabinet memutuskan laporan itu dihebahkan kepada umum.

Addendum

Saya melihat perkembangan ini seperti berikut:-

1. Penerusan kepada gaya pemerintahan jawatankuasa (committee rule) oleh Pentatbiran Abdullah Ahmad Badawi seperti dimanifestasikan oleh pelbagai suruhanjaya dan jawatankuasa kabinet. Antaranya Suruhanjaya Polis, Suruhanjaya ketuk ketampi dan Suruhanjaya video VK Lingam;

2. Kegemaran Pentadbiran Abdullah terhadap agenda, program dan slogan liberal dan populist seperti ketelusan, kebertanggungjawaban, keterbukaan, “bekerja dengan saya bukan untuk saya” dan “beritahu saya apa yang saya perlu dengar dan bukan apa yang saya suka dengar.”

3. Perkahwinan antara agenda liberal-populist yang dipacu oleh anasir-anasir liberal dalam Pentadbiran Abdullah dengan tuntutan-tuntutan yang serupa oleh parti-parti lawan Umno;

4. Kecenderungan melakukan tindak balas (react) kepada asakan parti-parti lawan daripada menjadi penentu dan pemacu kepada agenda;

5. Peletakan batu asas yang akan memungkinkan cabaran ke atas apa saja yang dilihat oleh parti-parti lawan dan golongan liberal Melayu sebagai menyekat kebebasan mereka;

6. Manakala Zaid sendiri menentang “undang-undang yang tidak adil” seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Peguam Negara “akan” menggunakan beberapa akta yang juga dianggap tidak adil seperti Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi;

7. Dalam bentuknya yang paling kasar (crude) dan dengan hasratnya yang tersirat, ia berupa satu lagi percubaan untuk mengaib dan menakutkan mantan Perdana Menteri dengan harapan beliau akan kecut perut dan berhenti mengkritik pemerintah; dan

8. Selepas ini, setiap mantan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Menteri-Menteri besar serta rakan-rakan dan suku-sakat mereka boleh, secara automatik, disiasat atas apa sahaja dakwaan dan tuduhan.
.

Monday, May 12, 2008

PM: Krisis Makanan Boleh Tumbangkan Kerajaan

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous sahaja tidak akan dilayan. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

UPDATE, [May 15]

THE STAR
newspaper on May 14 reported that Malaysia bought 200,000 tonnes of rice from Thailand and would arrive by end of June.

This would ensure supply for six months and increase the national stockpile.

What was not reported by The Star was the fact that we had to pay a 10-per cent premium.

I read in the Bangkok Post that we had to pay 10 per cent more than we had offered “in a failed tender (bid) on Monday.” This was according to Reuters.

Reuters reported that Malaysia is in talkd to buy another 300,000 tonnes.

The Thai newspapers, in the meantime, reported that Thai farmers are demanding higher prices for the their crop.

And Indians are angry with George W Bush for blaming food shortages anb soaring prices on rising Indian food comsumption. They said it was the obesse Americans who should be eating less for the sake of their health.


So Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi may be right. Food shortages can topple goverments and it may even cause wars.

POSTING ASAL

SETELAH sekian lama berdolak-dalik mengenai kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan utama pengguna dan mendakwa kadar inflasi yang rendah, kerajaan nampaknya mula menerima realiti.

Alangkah baiknya jika ia mengakui dan menerima hakikat ini lebih awal daripada menunggu sehingga dihukum dengan teruk oleh rakyat jelata pada pilihan raya umum 8 Mac lalu?

Selain kebencian terhadap beberapa watak dalam Pentadbiran Abdullah, kenaikan harga barang dan perkhidmatan pengguna serta peningkatan kadar jenayah adalah punca utama pengundi menolak Barisan Nasional.

Semalam ( 11 Mei) -- Hari Ibu dan hari perayaan ulang tahun ke-62 Umno – kerajaan, melalui Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, bukan sahaja mengakui bahawa krisis makanan sedang berlaku malah meramalkan Kerajaan dan Umno boleh tumbang jika krisis ini gagal diatasi.

Utusan Malaysia Online memetik Abdullah yang juga Menteri Kewangan sebagai berkata Kerajaan dan parti boleh tumbang jika krisis berkaitan makanan yang sedang berlaku sekarang gagal diatasi dengan bijak.

Setelah menyakitkan hari rakyat jelata, khasnya yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang, dengan menasihatkan mereka mengubah gaya hidup, Abdullah mengubah lirik lagunya dengan berkata isu bekalan makanan sangat sensitif bagi semua rakyat yang sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata demikian dalam amanat sempena sambutan ulang tahun ke-62 penubuhan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Amaran dan sungutan mengenai kenaikan harga dan kekurangan bekalan ini sudah pun disuarakan sejak tahun 2006 lagi apabila kerajaan membenarkan kenaikan besar harga bahan bakar – petrol, diesel dan gas memasak.

Tetapi setiap kali itu pula para pembesar kerajaan mengeluarkan pelbagai perangkaan dan hujah bagi menafikan amaran dan keluhan rakyat jelata itu.

Sekarang mungkin terlambat bagi pemerintah bagi meyakinkan pengguna bahawa kebajikan mereka sedang ditangani kerana bukan sahaja kerana kerajaan lebih lemah selepas PRU 8 Mac, tetapi juga kerana masalah itu sudah menjadi masalah global.

Masalahnya, setelah sekian lama mengabaikan pengeluaran makanan dalam negara dan terlalu menguar-uarkan pertanian eksport serta pengeluaran diesel-bio, negara kini semakin bergantung kepada makanan import.

Malangnya bagi kita dan negara-negara pengimport makanan yang lain, kita terpaksa bersaing dengan 1.3 bilion rakyat China dan 1.1 bilion rakyat India yang kini memakan lebih banyak makanan kerana mereka semakin kaya dan semakin mampu.

Mungkin kita sekarang bukan sahaja perlu mengubah gaya hidup kita -- kalau hidup kita bergaya atau ada gaya -- malah kita terpaksa mengubah selera kita. Kita tidak boleh makan banyak-banyak lagi.

Hendak pelihara ayam, itik dan ikan pun bukan mudah. Ayam, itik, ikan, kerbau, lembu dan kambing kita ada kelas kerana makan makanan import macam kita juga.

Saya pelihara ikan sebagai hobi. Banyak tu tidak la, tapi seribu dua ribu ada la. Ikan patin, jelawat, rohu, temperas, kap rumput, baung, lampam dan beberapa jenis lagi ikan air tawar. Dua bulan lalu harga sekampit makanan ikan di Jalan Ipoh RM38. Dua minggu lalu dah naik RM42 ringgit.

Sambil-sambil tu saya tanam la cili, lengkuas, kantan, daun kesum, pegaga, serai, cekur, kunyit, belimbing buluh, limau nipis, limau kasturi, ulam raja, dauk kari, pokok mengkudu dan beberapa herba kampung yang lain. Kata orang, sesak-sesak bolehlah. Itu pun sebab ada tanah sejangkang kera keliling rumah.

Dipendekkan cerita, mengenai isu makanan ini, saya setujulah dengan Perdana Menteri iaitu “Kerajaan dan Umno boleh tumbang jika krisis ini gagal diatasi.”

Khabar cerita pun, ketua de facto Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim, sudah berjaya memujuk hampir-hampir 25 orang Ahli Dewan Rakyat BN untuk belot. Kalau dia dapat 30 atau lebih sikit tumbanglah Kerajaan BN.

Kalau ini terjadi, bertukarlah Anwar daripada Perdana Menteri menanti (meminjam ungkapan Abdullah) kepada Perdana Menteri pengganti.

Wednesday, May 07, 2008

Dr M: Anwar Mungkin Berjaya

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous sahaja tidak akan dilayan. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

ISU 1

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini menyatakan kebimbangan bahawa ketua defacto Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim mungkin berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional melalui lompatan Ahli Parlimen BN.

Menjawab pertanyaan wartawan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Dr Mahathir berkata kemungkinan itu tidak dapat ditolak lagi.

Sekiranya ini berlaku ia bukan kerana kekuatan Anwar tetapi lebih disebabkan oleh kelemahan kerajaan BN yang bersikap seolah-olah tidak ada apa yang mengancam sedang berlaku dan memandang sepi protes pengundi.

Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mendakwa secara terbuka bahawa pihaknya mempunyai cukup sokongan Ahli Parlimen BN untuk membentuk kerajaan pusat selewat-lewatnya pada Hari Malaysia 16 September ini.

Kata Dr Mahathir jika Anwar mampu membuat janji dan memberi ganjaran yang cukup menarik, dia tidak terperanjat kita cukup ramai Ahli Parlimen BN, khasnya dari negeri-negeri bukan Semenanjung, yang tergerak untuk menyeberang ke pihak Pakatan Rakyat.

“Kalau mereka cukup yakin bahawa penyertaan mereka akan membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dan mereka mendapat kedudukan, mereka akan berpaling tadah,” katanya.

Dr Mahathir berkata sebelum ini usaha menarik Ahli Parlimen BN menyertai pembangkang tidak berkesan kerana pembangkang tidak kuat, tetapi sekarang mereka mempunyai bilangan yang cukup besar dan meyakinkan di Parlimen.

Mengenai pergolakan dalam Umno, Dr Mahathir berkata: "Ia tidak lagi demokratik. Saya ingin menyatakan di sini dan saya tidak tahu jika ia akan melukakan perasaan sesiapa. Saya ingin menemui Najib. Dia kata dia akan datang menemui saya.

“Tapi katanya dia perlu mendapatkan kebenaran Perdana Menteri terlebih dulu. Nampaknya dia tidak mendapat kebenaran. Sampai hari ini pun dia belum menemui saya.”

Ditanya oleh pemberita, Dr Mahathir berkata sebaik saja keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 diketahui, dia cuba mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri untuk membincangkan perkara itu.

"Saya bimbang dengan apa yang sedang berlaku kepada Umno, " tegasnya.

ISU 2:

Raja Petra Terus Buat Kejutan

[Oleh sebab isu ini membabitkan kes mahkamah, maka saya tidak akan menyiarkan sebarang ulasan yang mengandungi unsur-unsur yang boleh ditakrifkan sebagai menghina mahkamah dan subjudice.]

[UPDATE, 8 Mei]The Star Online melaporkan yang Raja Petra dijangka dibebaskan esok (Jumaat) setelah isterinya membayar ikat jamin. Sebelum itu, Raja Petra bersetuju mengikat jamin seperti yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

[Sambungan Posting Asal] -- TUDUHAN menghasut ke atas Ketua Laman Web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam akan menghidupkan kembali minat umum terhadap perbicaraan kes pembunuhan warganegara Mongolia, Antantya Shaariibuu.

Perbicaraan tertuduh Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan Abdul Razak Abdullah Baginda yang masuk hari ke-108 semalam telah tidak begitu menarik minat lagi. Akhbar-akhbar arus perdana pun sudah tidak menyiarkannya secara besar-besaran lagi.

Tetapi dengan tuduhan menghasut berasingan ke atas Raja Petra dan blogger Syed Akhbar Ali, kes Altantuya akan kembali menjadi fokus.

Raja Petra dituduh mengaitkan Mohd Najib Abdul Razak dan isterinya Rosmah Mansor dengan pembunuhan Altantuya Oktober lalu dalam rencana berjudul “Let’s send the Altantuya murderers to hell” (ayuh kita hantar pembunuh-pembunuh Altantuya ke neraka) dalam “posting” 25 April lalu.

Syed Akhbar Ali pula didakwa berasaskan ulasan yang disiarkan di dalam laman web yang sama pada 5 Jun tahun lalu. Mengapa pihak polis dan Pejabat Peguam Negara mengambil masa yang begitu lama sebelum mendakwa Syed Akhbar Ali pasti menjadi tanda tanya.

Raja Petra membuat “political statement” yang cukup hebat dan sensasi dengan enggan membayar ikat jamin RM5,000 dan menolak tawaran daripada mana-mana pihak untuk menjaminnya.

Dengan memilih untuk tinggal di penjara (Sungai Buloh) sehingga perbicaraan bermula 6 Oktober ini, beliau seolah-olah mengatakan yang beliau begitu yakin dan komited dengan dakwaannya sehingga beliau sanggup meringkuk dalam penjara.

Dalam bahasa yang lain, Raja Petra berkata “saya tidak akan ke mana-mana. Saya akan berada dalam penjara sehingga 6 Oktober apabila saya akan menggunakan kekebalan mahkamah untuk mempertahankan diri saya.”

Hari ini, beliau dilaporkan enggan menemui sesiapa pun termasuk isterinya Marina Lee Abdullah. Marina memberitahu laman berita bebas Malaysiakini bahawa dia dimaklumkan oleh pegawai penjara yang suaminya enggan menemui sesiapa manakala pihak polis pula memberitahunya yang Raja Petra nampaknya sedang mogok lapar.

"Polis memberitahu saya yang dia enggan makan,” tambah Marina.

Tuduhan ke atas Raja Petra dan Syed Akhar Ali juga akan sekali lagi menguji integriti penyiasatan polis dan pendakwaan Pejabat Peguam Negara yang sebelum ini tewas dalam beberapa kes besar dan sensasi.

Serentak itu ia juga akan memperluaskan minat dan kesedaran khalayak mengenai media baru, khasnya laman berita Internet dan blog.

Saturday, May 03, 2008

Politik Pasca PRU Ke-12 Serba Mungkin

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous sahaja tidak akan dilayan. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

DARIPADA banyak aspek, politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac lalu adalah politik “serba mungkin” – the politics of possibility – khasnya bagi pembangkang.

Setelah berjaya membuat kejutan dengan merampas lima wilayah baru (Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), mengekalkan Kelantan dan menghapuskan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Dewan Rakyat, segala-galanya adalah mungkin bagi Pakatan Rakyat.

Tetapi situasi yang sama boleh berlaku kepada BN, terutama sekali Umno, jika kita bersedia berfikir di luar lingkaran dan tidak menolak kemungkinan bahawa apa yang sebelum ini tidak masuk akal boleh diterima akal – yang mustahil menjadi “maaqul.”

Keputusan PRU ke-12 telah menyebabkan garis pemisah antara parti pemerintah dengan pembangkang menjadi pudar dan kelabu. Ia tidak lagi hitam dan putih. Situasi ini tidak langsung memeranjatkan kerana banyak orang Umno mengundi pembangkang dan pemimpin pembangkang lebih peka kepada orang Umno daripada pembesar Umno sendiri.

Maka dalam suasana yang serba mungkin ini adalah tidak mustahil Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri September ini seperti yang didakwanya atau Abdullah Ahmad Badawi kekal menerajui Umno dan negara sehingga akhir hayatnya.

Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan pada usia 83 tahun dan selepas dua pembedahan jantung dia masih “remaja” justeru itu pada 1 Mei dia memulakan blognya – http://www.chedet.com/. Dengan sekelip mata, dia meninggalkan blogger macam saya dalam kepulan debu.

Bertitik-tolak daripada premis “serba mungkin” ini, saya tergerak untuk mengemukakan beberapa soalan dan persoalan berkaitan senario (scenario) politik tanah air kita dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Senario Pertama: Pakatan Abdullah Ahmad Badawi-Anwar Ibrahim. Nampak tidak masuk akal tetapi tidak pula mustahil.

Kalau Tengku Razaleigh Hamzah rela membubarkan Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1996 dan Dr Mahathir rela menerima beliau kembali ke dalam Umno mengapa tidak Anwar membubarkan Parti Keadilan Rakyat dan Abdullah menerimanya kembali ke dalam Umno?

Tidakkah Abdullah bercita-cita meninggalkan belang (legacy) yang setanding dengan Dr Mahathir dengan membawa masuk bekas ahli Umno yang kini menganggotai PKR? Bukankah pembebasan dan kebangkitan semula Anwar berlaku pada zaman pemerintahan Abdullah?

Apakah kita sudah lupa episod Khairy Jamaluddin (kini YB) bergegas berjumpa Anwar untuk menyerahkan pasport antarabangsanya agar Anwar boleh segera menjalani rawatan di luar negara sebaik sahaja dia dibebaskan pada tahun 2004?

(Alhamdulillah, berkat doa kita semua dan kehebatan doktor-doktor Jerman, hari ini Anwar nampaknya jauh lebih sihat daripada sebelum dipenjarakan. Ada hikmah dalam setiap kejadian Allah.)

Apakah tidak mungkin Anwar membubarkan PKR dan Abdullah menerimanya kembali ke dalam pelukan Umno, dan seterusnya menamakan beliau sebagai pengganti Perdana Menteri?

Jangan lupa faktor KJ dalam senario ini.

Dan bukankah Abdullah sendiri baru-baru ini melabelkan Anwar sebagai Perdana Menteri menanti (Prime Minister in wating)?

Senario Kedua: Pakatan Tengku Razaleigh Hamzah-Anwar? Mengapa tidak? Bukankah Ku Li berupa peneraju Umno yang instrumental kepada kemasukan Anwar ke dalam Umno pada tahun 1982?

Ku Li dan Anwar sama-sama berpengalaman “tersingkir” daripada Umno dan sama-sama berpengalaman menubuhkan parti serpihan untuk meneruskan perjuangan dan kerjaya politik mereka.

Yang mungkin kurang meyakinkan mengenai senario ini adalah kerana Ku Li bukan Presiden Umno dan bukan Perdana Menteri. Tetapi tidak mustahil beliau menjadi Presiden selepas pemilihan Umno Disember ini.

Senario Ketiga: Pakatan Ku Li-Najib. Bukankah Ku Li menjadi mentor kanan Mohd Najib Abdul Razak pada tahun-tahun awal pembabitan Mohd Najib dalam politik? Ku Li adalah antara orang kepercayaan Tun Abdul Razak.

Meminjam ungkapan kontemporari para remaja, saya yakin mereka masih mempunyai “feeling” terhadap satu sama lain. Tetapi kemungkinan senario ini menjadi kenyataan tipis kerana Mohd Najib telah bersumpah setia kepada Abdullah. Selain daripada itu, umum tidak tahu apa sebenarnya pendirian Mohd Najib.

Senario Kelima: Ku Li-Muhyiddin Yassin. Sepanjang pengetahuan saya, tiada kaitan rapat antara Ku Li dan Muhyiddin. Tetapi buat masa ini, mereka adalah dua peneraju kanan Umno yang berani bersuara dan justeru itu dilihat sebagai calon-calon yang berpotensi menerajui Umno pasca PRU ke-12. Muhyiddin adalah naib presiden Umno paling kanan dan berpengalaman.

Senario Kelima: Kekal status quo di mana Abdullah terus memimpin Umno dan Kerajaan, Umno semakin kucar-kacir, Barisan Nasional hidup segan mati tak mahu dan pemerintahan negara terumbang-ambing (moribund) – menjurus ke arah nazak.

Senario terakhir: Akibat senario kelima itu, Pakatan Rakyat, secara tidak disengajakan (by default), menjadi bertambah kuat dan Anwar berjaya “merampas kuasa” dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Masuk akal? Taaqul – boleh dibahaskan.

Dan adakah masuk akal harga beras di negeri jelapang padi (Kedah), mengikut laporan Utusan Malaysia, naik antara 15 hingga 40 peratus walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan harga beras super tempatan dikawal dan tidak boleh dinaikkan?

Akhbar itu pada 2 Mei memetik menteri berkenaan, Shahrir Abdul Samad sebagai berkata bahawa harga beras super tempatan ditetapkan antara RM16.50 dan RM17.50 bagi sekampit 10 kilogram.

Namun, kata Utusan Malaysia, tinjauannya pada 1 Mei mendapati negeri Kedah tidak terkecuali daripada mengalami kenaikan harga beras. Di sekitar bandar raya Alor Star harga hampir kesemua jenis beras naik mendadak antara 15 hingga 40 peratus.

Jadi siapa yang hendak kita percaya – bapa menteri atau akhbar Utusan Malaysia?