Thursday, March 18, 2010

Mi Abu Dan Nasi Bungkus Upih

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

RAMAI pembahas blog kita ini bertanya kalau saya menemui tempat makan istimewa. Jadi saya hendak berkongsi sedikit maklumat mengenai beberapa penemuan baru dan penemuan semula makanan dan lokasi menarik.

Rabu 10 Mac, saya diperkenalkan semula kepada cucur udang Pak Mat yang terkenal di Alor Setar itu selepas lebih 40 tahun.

Pengerusi syarikat saya, Bisharuddin Mohd Noor Basha (Datuk) kaki makan. Dialah yang bawa saya ke gerai Pak Mat di pasar malam PKNK di Alor Setar. Seorang lagi kaki makan adalah Ahmad A Talib (Datuk blogger Pahit Manis).

Masa saya bersekolah dan bekerja di Alor Setar antara tahun 1959 dan 1970, cucur udang Pak Mat sudah terkenal. Gerainya terletak di White Palace, bersebelahan Pekan Rabu.

Pak Mat dah lama mati dan bazar White Palace dah lama roboh. Perniagaannya diteruskan oleh anak cucunya. Mereka ada sebuah kedai di Jalan Tun Abdul Razak (Alor Setar) dan perniagaan bergerak di dua lokasi pasar malam iaitu di kawasan lapang berhampiran bangunan PKNK dan di Mergong.

Pada waktu itu, tidak jauh dari White Palace ada sebuah lagi tempat makan diberi nama Padang Pasir. Nasi mamaknya murah dan sedap. Gulai (kari) udang kertas adalah keistimewaan. Macam White Palaca, Padang Pasir sudah lama roboh.

Kami juga pergi makan mi Abu di Jalan Sultanah. Zaman saya bersekolah dulu, jalan itu dikenali sebagai Jalan Day.

Abu atau Pak Abu adalah seorang India Muslim yang kedai (lebih tepat dipanggil gerai) pertamanya di Jalan Langgar, berhadapan Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH).

Pak Abu sudah lama mati, tetapi mi rebusnya yang terkenal terus dihidangkan ala-francais di beberapa lokasi seperti di Jalan Sultanah, Jalan Telok Wan Jah dan Jalan Pegawai.

Masa saya bersekolah di Saint Michael School dan KSAH, Pak Abu jual nasi lemak, mi rebus, mi goreng dan pasembor (rojak ala-India Muslim). Karena murah dan strategik, gerai Pak Abu jadi pilihan murid St. Michael dan KSAH.

Sepinggan nasi lemah ala-India Muslim Kedah dengan separuh telur rebus dan sekeping daging atau hati, harganya 30 sen.

Masa bersekolah Melayu di Pendang pada tahun 1950an, saya jarang makan di kantin kerana kesuntukan duit. Jadi saya bawa bekal. Nasi putih, nasi lemak, pulut biasa atau pulut lemak.

Kalau nasi putih, lauknya ikan atau telur goreng. Nasi lemak sambal ikan bilis dengan telur rebus atau goreng. Selalunya telur itik sebab telur ayam untuk ditetaskan atau dijual.

Bekal dibungkus dalam kotak yang diperbuat daripada upih dan dilapik dengan daun pisang layur. Gabungan upih dan daun pisang layur membuatkan makanan segar dan harum baunya.

(Upih pinang banyak kegunaannya. Selain dijadikan mainan seperti digambarkan oleh kartunis Lat, ia boleh dibuat bahan bungkusan dan timba. Timba upih cukup sesuai untuk mencedok air dari perigi cetek pada musim kemarau. Oleh kerana ia ringan, ia tidak mengeruhkan air.)

Akibat keletihan mengayuh basikal dan berjalan kaki, bekal habis dimakan sebelum kelas bermula. Kami makan dalam kebun getah di sebelah pagar sekolah. Pada waktu rehat kami main dan bila dahaga minum air dari telaga.

Kepada yang minat nasi lemah bungkus daun pisang, saya ada dua cadangan. Pertama di kawasan R&R Bukit Gantang (kedua-dua belah lebuh raya). Nasi lemah ikan masinnya perlu dicuba.

Kedua, di kedai kopi mamak kegemaran saya bernama Restoran Hathija Maju di Jalan SS7/10, Kelana Jaya. Nasi lemah bungkus daun pisang buatan orang Melayu dihidangkan pada sebelah pagi dan petang lepas jam 5.30.

Dalam perjalanan balik dari Alor Setar, kami singgah di Sungai Sedim, kira-kira 30km dari pekan Kulim, untuk mencuba “Tree Top Walk” yang saya dapati cukup mengagumkan.

Jambatan yang dibina di celah-celah pokok rimba dara itu adalah sepanjang 925 meter – dekat-dekat 1 kilometer – dan pada tempat-tempatnya, ketinggian dari paras bumi melebihi 20 meter atau 60 kaki. Boleh gayat dan mencemaskan.

Kalau nak cuba capati, cadangan saya ialah kedai Punjabi bernama “Santha Sweet House” di belakang Hospital Tawakal, Jalan Pahang. Jangan keliru, yang pakai serban dan beragama Sikh tu orang yang asal usulnya dari negeri Punjab di India. Mereka bukan orang Benggali seperti kita kelirukan.

Orang Benggali seperti yang kita selalu kaitkan dengan roti Benggali berasal dari negara Bengal yang terletak Teluk Benggala. Ramai penduduk Bengal beragama Islam. Tapi jangan keliru pula, di Pakistan pun ada wilayah Punjub.

PS: Sdr OKJ dan semua yang bercuti sekolah, selamat makan angin dengan anak-anak.

33 comments:

Man Dego Kg Bendera said...

Pak Kadiak saya suka Nasi Royal dekat Pekan Rabu walaupun Panggung Wayang Royal telah lama diroboh nasi royal masih ada la ni di tempat yang sama. Saya pasti akan kena Nasi Royal bila balik ke rumah metua.Selain Mee Abu yang Pak Kadiak cerita tu Mee Syarif pun saya suka . Sebuah gerai kecil di Seberang Perak.Di Alor Setar ada banyak lagi gerai makan yang sedap sedap.

berasiam said...

Salam Datuk AKJ
Kalau di Teluk Intan, mee rebus Mastan Ghani dekat jam tinggi tu, terkenal juga.
Di Muor, mee bandung Sentral, depan SMS Muor Tanjung Agas tu.

Tinta Hitam said...

Terima kasih datuk diatas semua kenangan tu.Yg paling menarik perhatian saya adalah pasal bawak bekal makanan kesekolah.

Masa dulu pada tahun 70an dan sebelumnya membawa bekal kesekolah adalah perkara biasa.Masalah kewangan adalah salah satu puncanya.Saya adalah salah seorang yang membawa bekalan kesekolah.Majoriti budak sekolah boleh dikatakan membawa bekal..Duit belanja 10 sen yg diberi bapak adalah utk beli pensel dan lainlain perlatan sekolah.Kalau sekali sekala dapat seringgit,rasanya mcm "dunia ini aku yg punya" sebab boleh beli mcm mcm.

Kebahagiaan sebenarnya adalah enjoying the simple things in life.Good food at humble places,interesting people that we meet everyday etc.

Those happiness dont cost us much anyway.Cuma bagaimana cara kita nak menghargainya sahaja yang penting.

The Way I See It said...

Terima kasih Dato,

Saya rasa posting yg ni very light and entertaining.. :)

Saya akan cuba makanan tersebut.

Cuma kali ni orang macam saya tak ada gi cuti masa cuti sekolah sebab ekonomi teruk dan tak tau sampai bila perniagaan kecil macam saya akan boleh bertahan.

Wassalam.

Anak Johor said...

Pernah ke Dato mencuba mee siput (bentuk macam yee mee tapi kecil sikit) dan di goreng dan di cecah kuah sambal kacang. meliur air leleh.

Tak pasti di tempat lain ada ke tapi di Johor masih ada tapi agak sedikit.

Ini makanan kegemaran waktu sekolah rendah dulu.

dan kajang said...

Assalmualikum Dato',

1. Bila Dato' buka cerita makan, telioq pula tekak saya. Teringat pula tempat2 makan yang Dato' sebut di Kedah. Di kedai Abu depan KSAH Dato' lupa nak mention minuman "Ais Canada" ciptaan Busu. Ais Canada ini ialah campuran air batu, orange squash, ditambah susu dan jagung. Rasanya sungguh "ump". (tapi saya tak pasti samada ia berhasiat dari segi tenaga batin). Saya rasa Stall Ais Busu tidak ada lagi.

2. Satu lagi makanan best Alor Star yang Dato' lupa nak sebut ialah "Popiah Jamal" (dulu terletak di sebelah Mahkamah Alor Star). Rasanya memang best. Setakat ini saya rasa belum ada lagi popiah yang sesedap (boleh teng) Popiah Jamal di seluruh Malaya. Pak Jamal ini ialah India Muslim dan ia juga telah meninggal dunia. Kini bisnes popiahnya dengan rasa yang dimaintain, diambil alih oleh anaknya.

3. Anaknya juga adalah seorang Pelukis. Saya pernah kenal beliau kerana beliau pernah memenangi suatu Pertanding Melukis Poster Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan yang pernah saya anjur semasa berkhidmat dengan PEREKSO dalam tahun 80an. Popiah Jamal (Mahkamah) ini kini terletak di Jalan Putra dan satu lagi cawangan di Restoran Zefee,di Lebuh Raya Sultan Badlishah (dulu Jalan Pegawai).Dato' kena cuba Popiah Jamal ini dan bagi komen Dato'.

Rockerrrrrrboyyyy said...

Dato,

Ni betul ke ni --> "Orang Asli bukan dikategorikan sebagai Bumiputera, hanya “Malays and the Natives of Sabah and Sarawak” dianggap sebagai Bumiputera."

Kalu tak caya baca kat sini.

Bey said...

Salam Dato',

Saya ada satu lagi suggestion kalau kedai capati di pekan lama Alor Star. Gerai mamak capati dia sedap jugak. Ayam goreng dan capati dia sedap ramai orang pergi makan dekat sana, sejak duduk di KL ni dah banyak tahun dah saya tak pergi makan kat sana, saya tidak pasti sama ada Dato' pernah makan kat sana atau tidak.

saji said...

Salam Dato'

Boleh sesiapa bagi resipi nasi lemak Kedah (macam nasi minyak)yang saya pernah makan di warong bawah pokok besar kat Kuah, Langkawi pada 1980?

kluangman said...

cucur Udang Pakmat dan Mi Abu memang saya selalu pekena bila balik Aloq Setaq. Cuma rasanya sudah berbeza samada disebabkan Pengasanya yang sudah tiada lagi atau selera sudah tidak terasa 'kicknya' sebab zaman mewah sekarang dah banyak telan banyak menu masakan.

Dulu, kita kekurangan makanan dan menu, jadi yang di depan mata tu lah 'yang paling sedap di dunia'.

Jangan lupa Dato' harus pekena Nasi Royal Anak Bukit atau Nasi Lemak Pak Ali simpang Empat bila kembali semula ke Aloq Setaq.

Kalau mai Kluang, jangan lupa kopi railway station.. setakat nak belanja, saya sedia menanti.,

ORANGUTAN PENANG said...

Tok Kadiaq

Memang tekeluaq ayaq lioq bab makan ni.macam nak book tiket balik penang terus.

Kalu lalu kot Pendang masa kecik paling syok dadeh kedai sebelah gerai jual daging.

Mungkin pasai dia guna wine glass.teringin kot masa tu nak jadi mcm orang putih dlm tv.kat rumah pakai kole tin saja. keh keh

said said...

Assalamualaikum
Saya syoq baca tulisan Dato' tang bungkuih nasi dengan daun pisang layoq, mee Abu depan SAHC dan gerai white palace. Ramai budak hostel SAHC bergayut di pagar tepi jalan berteriak buat 'order' (nak keluar dari pagar tak boleh sebab melanggar peraturan hostel). Prefect yang agak aktif masa tu Hasan Mashok (sekarang orang ternama di Bosnia). Selalu minta ais kacang dalam tin susu (sebab nak dapatkan sisa susu). Di kedai kelin tu juga ada dobi yang bubuh kanji sampai seluar uniform boleh berdiri.
Yang special di white palace ada sejenis mesin campur minuman bergas (saya tak tahu mana ada jual mesin tu). Ada juga satu kedai jahit di situ.
Aroma daun pisang layoq mengingatkan saya pada RINGI yang cukup lemak, manis, lembut dan sedap. Manalah nak cari bahan makanan tu masa kini. Emping yang dijual di P Rabu tu hanya sama dari segi rupa dengan emping dulu2, rasanya nak ambil 10 persen pun tak ada.
Dato' bawa bekal berlaukkan bilis dan telur goreng, saya bawa lauk ikan ruan goreng ..........
Ambillah masa untuk rehatkan minda sambil berhibur dengan dendangan 50 an ini........
http://www.youtube.com/user/mrcupan#p/u/3/cQ2jZLbemYU

Shah said...

Dear DAKJ,
Posting by Rockerrrrboyyy is referred. When I was in service , we did propose to the government to amend Article 153 of the Constitution to include Orang Asli in the relevant sentence of the clause to read ' the Malays, the Orang Asli and the Natives of Sabah and Sarawak'. The purpose was to constitutionally safeguard their interests.However nothing materialised from our proposal.

Amarneng said...

Assalamulaikum Datuk...

Cerita pasal Nasi Bungkus Upih ni datuk,aduh...!! memang mengibau diri saya semasa kecil..Bagi saya nasih bungkus upih dan ubi kayu "gedok" bungkus upih menjadi pengalaman dan kenangan yang sering saya ceritakan kepad anak-anak saya...

Di Sarawak, apabila saya kepingin makan ubi rebus, saya mengunjungi Restoran " ALL JOYS" di bangunan Wisma SABERKAS kuching.Disamping ada ubi rebus, di sana juga ada kuih muih yang enak rasanya. Dan yang paling istimewa ialah "Umai Kulit kaki Ayam".

Datuk anak-anak kita sekarang tak kenal apabila kita cakap "upih". Anak-anak saya juga sudah tak pandai bahasa Jawa walaupun saya keturunan Jawa Batu Pahat.Terkadang-kadang saya terfikir apakah keturunan Jawa saya akan terpupus atau menjadi salah saya,kerana tidak mengajak mereka bertutur dalam bahasa Jawa.

Kalau nak rasa umai kaki ayam datuk datanglah ke Sarawak...amarneng

Hanez said...

Datuk Kadiag,

nostalgia pasal makanan adalah nostalgia kita yang paling parah.. terutama bila teringat makanan yang dah tak boleh kita jumpa lagi he he... kalau nak yang rasa macam tu jugak memang tak boleh jumpa dah.

saudara saji,
masa kecik saya pun penah makan nasi lemak yang rasanya nak macam nasi minyak, dengan lauk ayam yang teramatlah sedapnya cerita pun tak guna

kepada saudara orangutanpenang,
mak saya kata dadeh kat pendang tu masa dibuat dikacau dengan sejenis kayu yang kesannya macam agar-agar kat dadeh tu. rasa hasilnya tak sama dengan dadeh yang buat ngan agar-agar la ni. tak tau la betul ka tidak

saudara dan kajang,
mungkinkah popia kuala kangsar kat stadium paroi boleh teng popia jamal anda ? Kalau sampai seremban kena cuba tau.

ab said...

Salam Dato,

Telioqqqqq....

Pecai dan mee bandung tak dak ka?

Saya mai dari Perak, kalau cendoi makan dengan roti keras(roti yang tak laku 3-4 hari post expiry date,dan dipanaskan,dijual murah) ada laa... 5 duit dua ketui kat aulong,bawah pokok ketapang...

Abu Bakar Ab Rahman

langit biru said...

Salam Dato,

Makan-makan jugak Tok, tapi saya respek la kat Tok, slim-melim tak macam mereka yang muda-muda dah dapat title PJK (perut jalan ke depan).

Apa rahsia Tok?

Apapun,makan atau perut ni lah punca segalamaknika penyakit!

Johor Mali said...

Dato'
Saya orang Johor. Pada tabun 70'an kawan saya( arwah) bawa saya makan pasembor di Kodiang. Memang best gila (ikut slanga anak saya). Boleh tahu tak sama ada restoran di Kodiang tu still exist?

pakbelalang said...

Kalau nak "breakfast" dalam perjalanan ke Selatan saya syorkan singgah ke Bandar Maharani, Muar. Makanan untuk sarapan pagi di Muar yang istemewa ialah mee rebus jawa dan satay. Saya rasa hanya di bandar Muar sahaja ada disediakan satay untuk sarapan pagi dan harganya secucuk hanya 30 sen sahaja.

Lauk asam pedas dengan berbagai jenis ikan pun juga popular di Muar terutama di gerai-gerai yang terletak di pantai kampong Parit Jawa menghala ke Batu Pahat. Ramai pengunjung dari Singapura akan singgah ke Parit Jawa menjamu selera makanan Asam Pedas dalam perjalanan pulang dari Melaka pada hari minggu. Jom jalan-jalan cari makan!!

Nasi beryani "gam" pun popular juga di Muar.

imlan adabi said...

LIDAH saya mendidih baca artikel ni... air liur melilih.. Datuk zalim terhadap kaki makan seperti saya

Anonymous said...

Datuk,

Semasa sekolah St Michael dahulu saya makan nasi lemak yang dijual oleh rakan sekelas saya. Nasi lemak Melayu asli berlaukkan sambal ikan bilis atau udang. Dikampung-kampung kita makan nasi lemak dengan sambal kelapa.
Sekarang agak sukar mendapatkan nasi lemak Melayu di Alor Star.Rata-rata semuanya menjual nasi lemak mamak.Seperti nasi minyak.Malah gerai Melayu yang di pasar Bukhari pun jual nasi lemak mamak.


PakChak

Anonymous said...

Salam Dato',

Memang dulu begitulah cara kebanyakan daripada kita, bawa bekal makanan ke sekolah. Bekal duit 10 sen pun jarang2 dapat. Masa sekolah rendah pertengahan 60an dulu, saya dan adik saya kongsi bekal nasi dalam upih. Nasi panas dibungkus bersama cili tumbuk dan ikan gelama kering. Kesan kukusan nasi memasak ikan gelama dan cili tumbuk tadi dan wapnya yang terperangkap menjadikan aroma yg membolehkan santapan asas tu berselera untuk dimakan waktu rehat. Kadang2 ada rakan sekelas adik saya dari kalangan anak "orang senang" (sarjan polis) tukar bekal dengan kami, dapatlah rasa kelazatan ikan basah atau ayam. Anak orang senang tu pernah menjadi selebriti tanahair. Dah 45 tahun kami tak bersua, tapi saya rasa he is doing fine..a nice man.

Sedang terimbau2 nostalgia masa lalu, tetiba Rockerrrrrrboyyyy main lagu "Orang Asli". Dato' Zaid Ibrahim pun tumpang sekaki sambil tembak kat UMNO/BN. Orang Asli (OA) bukan Bumiputera..so what? Saya rasa Perlembagaan Malaysia dan Kerajaan hari ini telah berusaha melindungi OA. Memanglah ada masalah penyampaian/masalah struktur disana sini. Bukankah mereka ada artikel sendiri..artikel 134 (yg sedang dalam proses pindaan)? Bukankah JHEOA tu ada untuk membantu mereka (dan Timb. Ketua Pengarahnya sekarang keturunan Semai/Melayu)? Tak kan lah kita pun nak terikut2 rentak Kirk Endicott dan Robert Dentan yang di iakan oleh PM Dr Juli Edo (anak didik Dentan kot) yg menuduh Kerajaan Malaysia melakukan etnocide ke atas OA?

Bilangan OA ketika ini mungkin sekitar 160,000 orang tinggal dalam 869 perkampungan tradisi atau rancangan penempatan semula mereka. Demostrasi yang baru lalu ini dihadiri 2000 OA yang dijuarai oleh JOAS. Nampak macam ada kelibat juara OA Dr. Colin Nicholas (COAC). Tak nampak pula kelibat Majid Suhut (POASM). Kalau tak nampak kelibat PM Dr Juli Edo (Uni Malaya) itu saya faham. Kalau ikut teori Clayton Robarchek OA ni jenis pemalu dan etnik yg bencikan konfrontasi. Sekarang dah pandai nak berarak ramai2 ke Parlimen...Ok fine.

POASM menuntut tanah tempat tinggal mereka digazetkan sebagai Rezab OA. Fine... soalnya, mana sempadannya? Apa yg menjamin tidak ada petualang tanah yg kawin dgn gadis OA lalu membuka ladang seluas bukit untuk tujuan komersial spt yg berlaku sekarang ni? Sebagai contoh, pergilah ke bukit berdekatan Felda Lakum di Bentong Pahang, siapa kawin dengan OA buka ladang disitu? Sayangnya, baik Colin Nicholas atau Dentan & Endicott tak pernah tulis dan highlightkan pencerobohan tanah ikut pintu belakang ni dalam laporan mnereka. Pembela OA ni masing-masing ada agenda sendiri....

Pak Hj JB

affendi hussain said...

Salam Dato'

Bangla tu spisis Benggali gak ke?

Pejam celik dah nak abih cuti sekolah..
Teringat dulu masa saya sekolah rendah tahun 80an bawak duit 20sen sehari pun dah cukup..mak bapak tak kaya, pi sekolah awal pagi buta mak buatkan bekal..bihun/mee/nasi lemak biasa baru 20sen sepinggan..kalau nak sedap sikit simpan duit 2-3 hari makan nasik lauk ayam 50sen..gula2 dulu 20sen dpt 6 bijik..skrg dpt 4 bijik (inflasi 33.33%), saiz pun makin kecik..

kat sekolah dulu kalau siapa yg bapak dia bagi duit lebih dari 50sen sehari tu kira org kaya la..sekolah rendah saya belakang KSAH tu (SRK Iskandar). Saya belajar kt KSAH kejap je Form 1 pastu masuk SBP.

Itu cerita ekonomi dulu lah..sekarang jangan mimpi..duit banyak pun tak rasa cukup..sebab Purchasing Power Parity dah merudum..Lojik ka inflasi skrg dlm kadar 4% saja? Org makan gaji yg serba serbi pakai duit semakin miskin, yg dok kat kampung juga tetap 'maintain & sustain'..

(",)

alunbm said...

Dato' pernah dengar dak tentang "kueh kalakatar".Kueh ni amat sinonim dengan orang Banjar terutama diPerak utara.

Yang istimewa kueh ini sebahagian dari bahannya adalah air dan isi kelapa muda.

kueh ini tidak diketemu atau boleh dibeli pada hari2 biasa macam kueh yang lain.

Kalau Dato' pulang keUtara pada bulan Ramadhan cubalah singgah dipasar ramadhan Batu 5 jalan baru Parit Buntar.Tapi disebabkan pembuatannya masih cara tradisional adalah disyorkan menempah dulu kalau tidak hanya tinggal"bekas" nanti.
p/s:Rencana tentang "kueh kelakatar" pernah disiarkan dlm Majalah3 pada masa lalu.

Pedang Bertuah said...

Assalamualaikum Datuk,

Totally agree with you. Cucur udang Pak Mat, taste dia memang tak berubah sejak saya kecik2 dulu sampai sekarang, sama saja, even yang berniaga sekarang anak cucu dia saja.

Mee Abu lak memang laku dan famous, tapi hairan gak dulu dia duk tumpang lot kedai cina kat depan Menara Zakat tu saja, tak bukak kedai sendiri.

Anyway, favorite arwah bapak saya dan saya jugak (selalu bawak masa kecik2 dulu) is Nasi Kandar Bunga Tanjung dekat market lama. Memang best. Tapi, dah lama tutup.

el-Barokhas said...

Kalau ke Alor Setar saya mesti cari mee Abu, Apom lenggang (apam di KL tak sedap pasal tak bubuh telor), laksa Telok Kechai dan mee udang Sungai Dua. Nasi lemak bungkus di R&R Gunung Semanggol pun pecah kepala juga!

Kalau ke Kuching tak cukup syarat kalau tak kunjung gerai-gerai di belakang panggung wayang Rex. Cucur udang, sate dan mee rebus di situ best punya!

721 Jalan Pegawai said...

As'kum Dato'. Syok juga bila Dato' cerita balik tentang tempat-tempat yang jual makanan yang sedap-sedap di Alor Setar. Teringat balik masa dulu-dulu. Bukan saja sedap tapi harga pun amat murah. Mana boleh dapat mee rebus 30 ( 3 kupang)sen sepinggan !

Ada kawan-kawan cerita di sini tempat-tempat yang Dato' lupa nak sebut. Saya pun nak cerita tentang satu lagi makanan ala 'dessert' yang kami di jalan Pegawai, Akar Peluru dan Seberang Perak dok tunggu hampir setiap malam. Ingat dadih Pak Din ?

Malam-malam (selalunya selepas jam 10) Pak Din kayuh 'gereknya' (basikal la !)menjual dadih. Dadidnya special, diperbuat dengan mengguna susu kerbau. Bukan macam dadih la ni, tak ada rasa susu langsung ! Cara Pak Din berniaga mudah aje. Orang membeli dadih sekali dengan mangkuknya. Esok malam Pak Din mai nak ambil mangkuknya ; maka ditinggal pula dadih dalam mangkuk yang lain pula. Begitulah seterusnya, pertukaran mangkuk melariskan jualan dadihnya. Simple ! Multi-level marketing pun dak , jauh sekali ala franchise !

La ni jangan dok cari macam dadih Pak Din. Lebih gula dan agar-agar daripada susu ! Tapi katanya ada sebuah kedai di Kepala Batas ( Seberang Perai) yang menjual dadih yang hampir sama dengan Pak Din. Jadi, kaki dadih Pak Din, pi cari di sini. Bezanua, Pak Din menjual naik gerek pada waktu tengah malam ; kedai ni menjual waktu siang. Lampu gerek Pak Din pun bukan pakai dynamo di roda; hanya lampu sangkut saja.

Kawan-kawan lama macam Daim (Tun), Halim Rejab (Dato), Baharom Abd Rahman , Mansor dan adiknya Mat Dayak, Satar Ismail , Bakar Karan ? dan ramai lagi, nama dah lupa.... ni semua kaki dadih di Alor Setar, kira-kira 60 tahun dahulu ! "Those were the days my friend" !

A KADIR JASIN said...

Kepada semua, terima kasih atas maklumat mengenai makan-makan jalanan ala- Malaysia.

Memang betul, kalau cakap pasal makan, di Malaysia macam-macam ada.

Orang Putih yang adventurous bila mai Malaysia dia naik gila dan gian.

Menantu saya bangsa Swiss semua dia cuba dan semua dia suka. Bau durian dia hilang akal. Ulam dan cabai jangan kira lagi.

Di negeri dia, dia masak sambal jawa dan bawa bekal ke pejabat. Satu pejabat bau dan satu pejabat tumpang sekaki.

Mudah saja nak buat. Ikan bilis, bawang besar, cili hijau dan belacan dirogeng berasingan kemudian ditumbuk kasar. Makan dengan nasi panas, telur goreng atau ikan masin..nyam nyam!

Alhamdulillah kalau di Alor Star banyak lagi menakanan asli masih ada sebab diwarisi anak cucu.

Tapi di sekitar Muar dan Batu Pahat, nasi lemak daun pisang yang dijual di tepi jalan atau lorong-lorong dalam pekan tak ada lagi.

Kampung Satey di Batu Pahat dulu ramai penjual satey, nasi lemak bungkus dan lontong. Sekarang yang tinggal hanya satey. Bila tukang masaknya mati, maka terkuburlah resipinya.

Saya tahu banyak lagi makanan istimewa Utara yang tak tulis macam Mi Bandung Pak Ishak di Jalan Langgar. Dat lama tutup. Laksa dan cucur udang Kuala Perlis, Mi Sup Omar Bom pun dah tutup.

La ni bak ku teh (sup tulang babi) jalal pun ada.Diperbuat guna tulang lembu atau kerbau. Rempahnya ada dijual di Pasar Chourasta Jalan Penang, Pulau Pinang.

Terima kasih.

Anonymous said...

Datuk Kadir,
Bila balik kedah jangan lupa mee rebus pak hassan guar cempedak. Kedai Pak hassan buka lepas pukul 4 petang. Bila nak pi pancing dekat dulang besar, cuba nasi lemak mak lang (nasi lemak lauk ikan temenung sambal, ikan bilis dan telor rebus), mingu lepas balik alor setar, kena nasi lemak sultan dan nasi royal di jalan teluk wan jah, best punya. mee abu, dadeh tandup, pulut sambai udang kuala kedah dan laksa teluk kecai dah jadi satu kepastian. lima hari di alor setar, tak makan di rumah langsung. Pi makan kenduri di baling, kena pula gulai batang pisang dengan cicah perut rebus. tak boleh nak cerita punya pulung.
singgah pendang, beli ikan haruan kering,sepat ronggeng dan ikan pekasam. on the way back stopped at kuala kangsar, tepi sungai kena ikan bakar pula dengan cendol pulut. Itulah kerja saya bila balik bercuti ke kedah.

anak kedah jati

Anonymous said...

Fish and chips with curry gravy dekat haymarket leicester city pun sodap gak dato'. Ikan Cod dia ranggup sungguh sehingga menjiat jari.


YeopSidi

Raison D'etre said...

Salam DAKJ,
Lama tak melayari blog Datuk sebab cuak ngan politics etc.

Yang ni okay sebab saya bila balik Alor Star tak berapa ada tempat nak pi makan sebab Nenek dah meninggal.

Datuk pernah cuba roti planta (roti cream) penjara? Mungkin dah tak ada la ni tapi dulu masa saya sekolah rendah (circa 1977 - 1982), roti ni jadi kegemaran kami satu family.

Freshly baked, lazat berkrim. :)

Faisal Abd Rahman Alyunussi said...

Salam Datuk;
Bila balik ke Tanah Merah tu, singgah lah pekan Simpang Empat. Sebelah balai polis ada kedai Ais Kacang Din. Tak kan Datuk tak pernah dengar kot?
Abang Din apply fizik dan chemistry dalam bisnes dia. Ais kacang di situ unik sekali - halus sagatan @ shaving nya tak macam ais sagat lain. Dia kata kena guna teori sains untuk capai kehebatan itu. Abang Din pun sudah arwah tapi legasi "ais Din" masih ada. Singgahlah pekan Simpang Empat: komuniti yang melahirkan warga disebalik asas BIMB, Celcom, Bank Rakyat dan juga beehun sup. Hashim bihun sup telah melahirkan industri bihun sup seperti Bihun Sup Sinar Taman PKNK, dan juga dibelakang kedai Ais Din.
En.Hashim sudah tak meniaga bihun sup lagi. Dia kini adalah Setiausaha Kerja Umno Kedah.Dan dia juga adalah "Dean of Bihun Sup".
Jom balik Simpang Empat.

akulaji said...

Salam Datuk,
Mohon izin untuk mencelah.... Diwaktu itu (tahun 70 an), "Nasi Tat Baghdad" yang terletak distesyen teksi belakang Kolej Mahsuri, Jalan Langgar juga terkenal dengan menu sotongnya, hampir setiap hari Jumaat akan pi pekena kerana bas free (pas bulanan) ketika bersekolah di SMDSO, Jalan Day. Bihun Sup Daging belakang Pekan Rabu lama juga tidak kurang hebatnya. Nasi Lemak Abu, Seb. Perak dan banyak lagi yang masih terasa keenakkannya.
Datuk,
Apakan daya saya, semuanya tak akan kembali dan entah bila saya akan dapat kembali menikmati udara di Tanah Tumpahnya Darahku, Kedah. Kini saya masih berkelana di negeri orang.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).