Saturday, July 31, 2010

Umat Islam Malaysia Jangan Leka

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]


AMAT elok kita berbahas mengenai perpaduan umat Islam di negara kita kerana tanpa perpaduan, umat Islam tidak akan mampu bertahan.

Sekarang mungkin mudah kita mengamalkan Islam. Jika dibandingkan dengan banyak negara Islam, kita di Malaysia cukup bernasib baik.

Tetapi janganlah kita sekali-kali menganggap keselesaan itu datang bergolek dan akan kekal selama-lamanya.

Percubaan mengawal kebebasan umat Islam Malaysia dan menguji akidah mereka sudah pun berlaku cuma tidak secara terbuka atau dihebohkan.

Misalnya sudah ada masjid dan surau di kawasan bercampur yang “terpaksa” merendahkan bunyi azan. Cadangan membina masjid dan surau di kawasan seperti itu semakin dipersoalkan. Kini, penggunaan kalimah Allah di seluruh pelosok negara turut dituntut oleh Kristian Roman Katolik.

Umat Islam Malaysia Bertuah

Sebenarnya, sebagai umat Islam, kita di Malaysia amat bertuah. Hatta kedudukan negara kita di segi geografi pun membantu. Waktu solat dan berpuasa hampir tidak berubah. Kalau berganjak pun, beberapa minit sahaja.

Adakah terfikir oleh kita untuk bangun Subuh jam 3.46 pagi kerana jam 6.02 pagi habis waktu atau tunggu hingga jam 11.09 malam untuk menunaikan sembahyang isyak?

Di mana saya berada sekarang di Eropah, itulah kedudukannya. Masuk zuhur 1.33 petang dan Asar 5.37. Kini musim panas, jadi siang hari panjang. Maka sebab itulah jam 9.02 malam baru Magrib. Kalau puasa pun macam itu – dari jam 6 pagi hingga 9 malam.

Tetapi, alhamdulillah Islam tidak tercorot macam dulu lagi walaupun terus tercabar. Masa saya awal-awal menjelajah dunia menjalankan tugas bermula tahun 1970an, kesedaran mengenai Islam amat terhad.

Kalau bukan dalam kapal terbang negara Islam, tidak ada makanan halal. Hari ini naiklah kapal terbang milik siapa pun, kecuali dari tempat terpencil, kita boleh pesan “Muslim meal” (makanan Islam).

Kebetulan, kesedaran mengenai Islam di kalangan syarikat penerbangan khasnya dan negara-negara bukan Islam bermula sekitar pertengahan tahun 1970an.

Ia dicetuskan oleh sekatan pengeluaran minyak oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroliam Arab (OAPEC) pada bulan Oktober, 1973 sebagai membantah perbuatan Amerika menggantikan senjata tentera Israel yang musnah dalam perang “Yum Kippur”.

Pada mulanya tentera negara Zionis tewas dan wilayah Palestin dirampas tentera Arab. Tetapi apabila senjata mereka yang musnah diganti oleh Amerika, tentera Zionis menyerang balas dan menakluki banyak wilayah Arab.

Tindakan OAPEC menyekat bekalan hingga Mac, 1974 itu menyebabkan harga minyak naik 70 peratus dan mengancam kemelesetan ekonomi global. Dengan serta merta Amerika bertindak memerintahkan Israel berundur dari wilayah Mesir yang ditaklukinya. (Pada waktu itu, minyak mentah berharga tidak sampai AS$3 satu tong.)

Negara Islam Tidak Lagi Bersatu

Sejak itu, negara-negara Arab tidak lagi bersatu menghadapi Israel dan harapan mendapatkan balik bumi Palestin secara ketenteraan sudah tidak wujud lagi. Amerika dan sekutunya tidak akan membenarkan kemungkinan itu berlaku. Apatah lagi, banyak sekutu Amerika hari ini adalah negara-negara Arab.

Jadi, kita di Malaysia janganlah seronok sangat berpolitik dan berpolemik hingga apa yang kita kendung berciciran dan apa yang kita kejar tak dapat. Jangan lupa, tak sampai 60 peratus penduduk Malaysia adalah Islam.

Di negara tempat saya berada ini (untuk melawat cucu – tiga orang), pada bulan November tahun lalu mereka mengadakan pungutan suara dan berjaya mendapat sokongan mengharamkan pembinaan menara di masjid-masjid.

Gerakan anti orang Islam semakin menjadi-jadi di Eropah berpunca daripada kebimbangan meningkatnya bilangan penduduk Islam di benua ini. Ia adalah reaksi politik Judeo-Christian Eropah (termasuk Amerika) terhadap Islam sejak zaman berzaman.

Inilah akibatnya apabila orang Islam tidak ada kuasa dan menjadi kelompok minoriti. Walaupun mereka hidup secara aman dan menyumbang kepada negara mereka menetap, hak mereka tetap dikawal dan dihadkan.

Berbaik Tapi Ada Had

Tetapi kita di Malaysia tidak tegah penganut agama lain membina tempat ibadat hingga ada yang melampau-lampau membina tempat ibadat tanpa kebenaran dan secara haram.

Jadi ingatlah, jangan kerana gilakan kuasa, tak kira kuasa politik atau ekonomi, kita memperjudikan hak dan kedudukan kita sebagai orang Islam.

Jangan kita jadi macam umat Islam di banyak negara Islam yang sudah dicucuk hidungnya oleh imperialis ekonomi dan ketenteraan Barat, atau diperkotak-katikkan oleh Muslim liberal yang mengamalkan konsep kebebasan Judeo-Christian Eropah.

Wednesday, July 28, 2010

Potong Kepala Disiplinkan Budak-Budak Desa

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SUDAH banyak sangat kita bincang hal-hal berat. Maka kali ini, izinkan saya sekali lagi menyusuri kembali zaman yang telah berlalu untuk mencari, kalau-kalau ada, petunjuk bagi era yang serba mencabar ini.

Lantas teringat saya kepada salah satu muslihat ibu bapa zaman dahulu mengawal anak-anak mereka yang nakal. Mereka memberi amaran keras dengan membuat cerita ngeri mengenai “Keling potong kepala”.

Keling potong kelapa akan pengkal leher kanak-kanak yang berkeliaran jauh dari rumah dan kepala mereka akan ditanamkan di hujung jambatan yang sedang dibina atau di tapak-tapak pembinaan lain.

Waktu itu, perkataan Keling bukan luar biasa dan tidak dianggap menghina atau menghasut. Asal usul Keling dalam bahasa Melayu adalah rujukan kepada orang dari empayar kuno India bernama Kalinga yang terlatak di negeri Orissa sekarang. Diceritakan yang Empayar Kalinga sangat gagah hingga berjaya menyekat penaklukan Maharaja Asoka.

Jadi, kerana terpengaruh dengan mitos Empayar Kalinga itu, orang Melayu menyamakan orang yang datang dari benua kecil India dengan orang Kalinga. Akibatnya perkataan Keling digunakan dengan meluas.

Misalnya, salah seorang ibu saudara sepupu saya namanya Mak Cik Keling. Kemudian ada Kampung Tok Keling tidak jauh dari kampung saya di Kedah. Di Melaka ada Tanjung Keling. Sejenis gendang yang digunakan di Kedah, dipanggil gendang Keling.

Putar cepat ke belakang ke tahun 1950an dan 60an, kita akan lari bertempiaran apabila nampak orang Keling yang tidak kita kenali. Apatah lagilah bila ternampak sami Hindu berpakaian serba kuning, bersanggul, bertongkat dan membawa beg galas yang diperbuat daripada kain. Sahlah dia pemotong kepala.

Putar cepat balik ke hadapan ke abad ke-21, pembunuhan kanak-kanak kerana amalan sihir dan mistik masih berlaku di sesetengah tempat di dunia. Akhbar The Times of India, baru-baru ini melaporkan bagaimana seorang mistik bernama Abdul Gafoor, 31 dan teman wanitanya, Ramala Beevi, 28, menculik seorang budak lelaki, Khader Yusuf, berusia setahun setengah pada 1 Julai lalu dan memenggal lehernya.

Mereka meminum darah kanak-kanak itu dan menanam mayatnya di dua tempat berasingan di negeri Tamil Nadu. Abdul Gafoor memberitahu polis dia mendapat perintah mengorbankan seorang kanak-kanak dan meminum darahnya dalam mimpi untuk mendapat kuasa ajaib.

Mayat kanak-kanak itu dibalut kain warna merah dan ditanam bersama kalungan bunga serta potret dewi Hindu Kali.

Sekarang saya tidak pasti lagi apa muslihat yang digunakan oleh ibu bapa untuk mengawal anak-anak yang nakal. Hendak takutkan dengan Keling potong kepala tentu tidak boleh kerana perkataan Keling tidak boleh lagi digunakan sewenang-wenangnya.

Lagipun, doktor dan pakar psikologi tidak menggalakkan anak-anak diajar dan didisiplinkan melalui ancaman dan cerita karut. Bagi generasi saya, terima kasih kepada Keling potong kepala, kita tak jadi hantu dan jembalang, pelumba haram dan kutu rayau, kaki gian dan penghuni pusat pemulihan dadah.

Diputar laju ke belakang sekali lagi, minggu lalu, ketika rayau-rayau di Bandaraya Alor Setar, terjumpa kereta pertama saya, Volkswagen Beetle 1,300cc bernombor plat KA 7200. Saya beli kereta itu pada tahun 1970 ketika menjadi wakil Bernama Kedah dan Perlis.

Sedang saya membelek kereta yang sudah diubahsuai itu, seorang kawan sepermainan di kampung menegur. Saya terpinga-pinga kerana otak sudah karat dan lupa nama ramai kawan-kawan lama.

“Aku anak Keling Brahim la,” katanya apabila melihat ke”blur”an saya. Serta merta ingatan saya segar semula. Arwah “Keling” Brahim adalah peniaga tekstil dan pakaian di pekan kecil Tanah Merah, Pendang. Dia orang keturunan Pathan. Tetapi kerana dia dari benua kecil India, maka dia dipanggil Keling.

Itulah cerita “zaman dolu-dolu”.

Friday, July 23, 2010

No Case Or Lack Of Witnesses?

A Kadir Jasin
[Please take note, ANONYMOUS comments with not be entertained. When commenting, your real identity is preferred. But a suitable pseudonym is accepted. If you have to use anonymous, please print your name or pen name at the bottom of your message. Please avoid seditious, defamatory and libelous statements. Unrelated comments will not be given priority.]

[UPDATE] -- PUTRAJAYA, July 29 – Dr Ling Liong Sik was charged in court here today for his role in the scandal hit Port Klang Free Zone (PKFZ) project.


The prosecution of Dr Ling comes as a huge shock and is expected to have repercussions for MCA as he is still considered a kingmaker in the party.

The prosecution team is led by the Attorney General Abdul Ghani Pattail, Deputy Public Prosector Tun Majid Tun Hamzah and DPP Manoj Kurup.

Ling will be represented by Datuk R R Sethu.

[Original Post]


THREE high-profile politicians were yesterday cleared by the Malaysian Anti-Corruption Commission of graft allegations, the New Straits Times reported today.

The paper quoted the MACC Operations Review Panel (PPO) as saying that it had closed the files on Health Minister Liow Tiong Lai, former transport minister Ong Tee Keat and the Selangor Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim.

PPO head Hadenan Abdul Jalil said the commission found no evidence of any wrongdoing by the three politicians. But in the following paragraph, the paper quoted Hadenan as saying as the lack of witnesses one of the reasons why the investigations against the three were closed.

I know Hadenan (Tan Sri) for a long time. He’s a fine civil servant. I have no bone to pick with him.

But I am puzzled because, on the one hand he said, “the commission found no evidence of any wrongdoing by the three politicians” while on the other he said, “the lack of witnesses one of the reasons why the investigations against the three were closed.”

So, which is which – the investigations against them were closed because the commission found no evidence of any wrongdoing or because the commission could not find sufficient witnesses to make cases against them?

Hadenan was further quoted as admitting, “there is still the perception among the public that the MACC is slow in investigating high-profile cases.”

“This is a misunderstanding as it takes time to probe and there are also other factors to consider,” he said at the panel’s second quarterly review at the MACC Academy in Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Can we blame the public for forming such perception?

It bothers me, when government and opposition leaders were simultaneously investigated, and months later investigations against them were simultaneously discontinued, purportedly for the lack of evidence.

Ong was alleged to have accepted an RM10-million donation from a government contractor who is also the leader of Barisan Nasional's backbenchers in Parliament, Tiong King Sing. Tiong was the CEO of Kuala Dimensi Sdn Bhd, a key contractor of the problematic Port Klang Free Zone project.

Liow was alleged to have received a motor vehicle worth RM574,884 as a birthday gift from a Heath Ministry contractor.

Abdul Khalid was alleged to have used state funds to donate 46 heads of cattle for the Qurban in 2008.

Ong, Tiong and Abdul Khalid are not the only important politicians to get out of the hook. In recent months, investigations against many big names of both the BN and PR had come to naught. Even those who were taken to court had the cases against them unceremoniously thrown out for poor prosecution.

As I have stated in the posting of June 20 under the headline “Acquittals Of Corruption Cases Bad For MACC”, unless the MACC and the AG’s Chamber are able to get a higher conviction rate, the public should not be blamed if they once against lose confidence in the two key agencies that are in the forefront in the fight against corruption.

We can only demand that Hadenan and the MACC make good the threat to charge the witnesses with perjury if they retracted their statements.

The NST quoted Hadenan as saying: “As such, lack of evidence and hostile witnesses have jeopardised investigations. Despite numerous warnings to witnesses not to turn hostile or perjure themselves, it is still a problem in many cases.

“Either stick to your original statement or be charged with perjury.”

To borrow the phrase made famous during the era of Abdullah Ahmad Badawi, please “walk the talk.”

Friday, July 16, 2010

Dinamisme Politik, Kepenggunaan dan Pilihan Raya

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

IDRIS Jala berkata, Perdana Menteri mengota. Tidak lama selepas menteri bukan politikus di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan cadangan kerajaan melakukan rasionalisasi subsidi, Mohd Najib Abdul Razak, semalam mengumumkan pemotongan subsidi ke atas gula, petrol, diesel dan gas cecair petroliam (LPG).

Mulai hari ini harga gula pasir naik 25 sen kepada RM1.90 sekilogram. Petrol (RON 95) naik 5 sen kepada RM1.85 seliter. Diesel naik 5 sen juga kepada RM1.75 seliter manakala LPG naik 10 sen sekilogram kepada RM1.85.

Petrol gred tinggi (RON 97) tidak akan diberikan subsidi lagi. Harga akan ditentukan setiap bulan berdasarkan mekanisme penghargaan automatik (APC). Harga barunya adalah RM2.10 seliter.

Kita kena faham. Yang utama dalam tindakan ini bukanlah kebajikan pengguna, tetapi melaksanakan apa yang disebut oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan sebagai “tanggungjawab fiskal” (fiscal responsibility).

Katanya, perubahan “kecil” ini akan membantu Malaysia mencapai tahap kebertanggungjawaban fiskal (percukaian) dan meletakkan negara di atas landasan ke arah mengurangkan defisit belanjawan.

Rasionalisasi subsidi kali ini, kata Mohd Najib, akan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM750 juta dan mengurangkan subsidi minyak dan gula kepada RM7.82 bilion tahun ini. Maksudnya, harga minyak dan gula akan naik lebih banyak lagi sebelum subsidi dihapuskan sepenuhnya.

Saya tidak menjangka rasionalisasi subsidi ini akan berakhir di sini dan dengan minyak dan gula sahaja. Kalau kita percaya cakap Idris Jala, banyak lagi subsidi sedang dikaji dan akan dilakukan rasionalisasi.

Itu di pihak kerajaan. Di pihak kita sebagai rakyat jelata, pengguna, pengundi dan pembayar cukai, harus ada tindak balas yang bijak dan rasional.

Oleh sebab kerajaan tidak boleh atau tidak berdaya lagi menolong kita melalui subsidi seperti dahulu kala, maka kita kenalah tolong diri sendiri.

Cuba-cubalah kurangkan gula. Banyak sangat makan gula pun tidak bagus. Mungkin ada yang kata, mudahlah saya berkata begitu sebab saya tidak makan gula.

Bukan macam itu. Saya dulu pun kuat makan gula. Maklumlah di kampung pada tahun 1950an dan 1960an dulu, gula adalah simbol status. Masa itu tak ramai yang mampu makan gula atau susu tin.

Maka, lagi senang sesebuah keluarga, lagi manis kopi, teh dan kuih muih yang dihidangkan kepada tetamu. Yang tak mampu, sanggup pinjam gula daripada jiran bila ada tetamu.

Apabila saya ke Kelantan pada tahun 1977 untuk membuat liputan krisis politik negeri itu, saya tak boleh makan fasal banyak masakan ada gula. Hatta gulai dan ayam percik pun ada gula.

Teh pula lebih tepat dipanggil sirap berperasa teh sebab lebih banyak rasa gula (sirap) daripada teh. Baru-baru ini saya ke Kota Baru. Nasi dagang sedap, tapi gulai ikan tongkolnya manis. Mati selera saya.

Dah berpuluh tahun saya minum teh tanpa gula. Saya minum teh si kosong nipis (teh tanpa gula dengan susu cair tak manis dan nipis). Sekali sekala minum Milo O kosong. Itu pun dah cukup manis.

Setiap kali balik kampung ada saja cerita kawan-kawan sesekolah, sekampung dan sepermainan – termasuk yang jauh lebih muda daripada saya – yang mati kencing manis atau dipotong kaki kerana penyakit gula itu.

Subsidi gula ni pun ada karutnya. Kalau tak salah saya, gula yang digunakan untuk industri dan pengilangan pun dapat subsidi juga. Kalau betul, elok dipotong terus dan dengan segera subsidi pukal ini.

Mengenai petroliam pula, saya tahu, apabila Kerajaan Abdullah Ahmad Badawi menaikkan harga minyak pada awal tahun 2006, ramai yang kurang mampu bertukar daripada memandu kereta kepada menunggang motosikal.

Jadi bukan semua yang tunggang motosikal kapcai adalah Mat Rempit. Ramai guru, kerani, pekerja pengeluaran, jururawat, polis, askar dan ahli bomba naik motorsikal sekarang.

Ada Baiknya Berdikari

Elok juga kita berdikari. Bila kita tak bergantung sangat kepada kerajaan dan kerajaan pun tak bagi banyak sangat bantuan, kita lebih bebas buat keputusan bila sampai masa mengundi.

Inilah antara sebab mengapa orang Cina lebih mirip sokong pembangkang daripada sokong kerajaan. Sebagai taiko, peniaga dan pekerja profesional, orang Cina lebih berdikari, jadi mereka tidak berasa terhutang budi kepada kerajaan. Justeru itu, mereka tidak berasa bersalah tidak mengundi parti kerajaan.

Saya rasa orang Melayu pun kena lebih berdikari. Susah memang susah. Tapi kalau tak mula dan tak cuba, kita tak tahu keupayaan kita.

Saya dah 10 tahun berniaga sendiri. Jadi dah tahulah pahit maungnya, terutama sekali lepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) ditutup oleh Mohd Najib. Inilah kementerian semangat dan talian hayat bagi ramai peniaga Melayu.

Namun saya gembira tengok semakin ramai orang Melayu mula cergas dan menyokong badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak dan kebajikan orang Melayu.

Orang Cina mereka dari awal sokong dan disokong oleh NGO kaum mereka seperti dewan perniagaan, dewan perhimpunan dan persatuan keturunan (clan associations).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak NGO Melayu ditubuhkan manakala NGO yang dulunya tidak cergas sudah mula aktif semula.

Dinamisme Perkongsian Kuasa

Inilah contoh perkongsian dan perimbangan kuasa dalam sistem demokrasi. Apabila suatu kelompok kuasa menjadi lemah, kekosongan yang tercetus akan diisi oleh kelompok kuasa yang lain.

Maka dalam konteks inilah saya melihat kemunculan NGO Melayu seperti Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu, dan kecergasan semula Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Hatta, kemunculan Raja-Raja Melayu membincangkan isu-isu urus tadbir (governance), hak Melayu dan pembangunan, adalah reaksi kepada perubahan struktur politik kepartian, khasnya yang menyentuh hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah.

Dinamisme ini akan menjadi lebih penting dengan kemasukan generasi baru ke dalam arena politik dan gunatenaga.

Beberapa buah akhbar arus perdana beberapa hari lalu melaporkan bagaimana Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah mengatasi parti-parti lain, termasuk Umno, dalam usaha mendaftarkan pengundi baru. Ini didedahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sendiri.

Serentak itu, cadangan muzakarah Umno-Pas timbul semula walaupun matlamatnya berbeza atau bercanggah antara seorang pembesar dengan pembesar lain. Ada pembesar Umno yang bercakap atas dasar perpaduan Melayu dan ada pula yang bercakap mengatakan partinya tidak lemah sehingga memerlukan Pas.

Apa pun, marilah kita terus berbahas. Sekalipun para pembesar politik dan pemerintah tidak mempedulikan atau tidak mengambil endah “chatting” kita. Sebagai rakyat jelata, pengguna, pembayar cukai dan pengundi, kita sebenarnya mempunyai kuasa dan tanggungjawab yang sangat besar, mutlak dan mutakhir.

Tuesday, July 13, 2010

Mengingati Mangsa Pembunuhan Srebrenica

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]


SEMPENA ulang tahun ke-15 pembunuhan Srebrenica pada 11 Julai, 1995, izinkan saya menyiarkan semula puisi yang saya tulis untuk buku “Mencari Dugalia Huso” (Berita Publishing, 2006).

Pada bulan November, 1995, ketika hemisfera utara dibalut salji dan empat hari selepas Perjanjian Dayton (Dayton Agreement) dicapai antara pihak-pihak yang berperang di Bosnia-Herzogovina dalam rundingan tajaan Presiden Bill Clinton di Pangkatan Udara Wright-Patterson, Dayton, Ohio, Amerika Syarikat, saya melawat bumi berdarah itu.

Saya ke sana dengan sekumpulan wartawan negara-negara Islam atas jemputan Kerajaan Inggeris. Kami ke sana dengan pasukan Tentera British yang menjadi anggota pasukan pengaman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Puisi yang saya tulis selepas lawatan lima hari itu berbunyi:

KEMBALI ingatan saya
kepada ratapan wanita di Tuzla
yang saya ingat namanya Munira
(Nama penuhnya Munira Hadzic, berusia 46 tahun)
penjaga pusat pemulihan wanita
mangsa nafsu tentera dan militia Serbia
tidak tahu di mana suami dan anak lelakinya.
Deretan keranda orang Islam mangsa pembunuhan kaum Serb.
Inilah perkuburan Islam Bosnia yang menjadi bukti kekajaman kaum  Serb.

Munira merayu,
meminta dunia mendengar ratapan
wanita-wanita ternoda
yang hilang maruah dan harga diri
hidupnya ketandusan erti
bertanya, “ Mengapa aku tidak mati?”

Munira berkata lagi:
“Tuan, tolonglah beritahu dunia
ratapan kami wanita Bosnia-Herzegovina
suami dan anak lelaki kami entah di mana
tolonglah cari mereka
kami takut mereka menjadi mangsa
kekejaman tentera Serbia.


“Kami dulu dari Srebrenica
kononnya “safe area”
tetapi akhirnya menjadi neraka.

“Kami dan anak-anak gadis kami dinodai
Suami dan anak lelaki kami dibawa pergi
pada malam gelap geleta
meredah ladang dan hutan bersalji
sehingga laungan ‘selamat tinggal’ mereka
tidak kedengaran lagi.”

Buat seketika saya berasa
ratapan Munira sekadar histeria
seorang wanita
yang kehilangan punca dan bicara.

Saya bertanya diri sendiri:
“Apakah manusia sekejam ini,
membunuh kerana nafsu
lebih kejam daripada haiwan pemburu?”
Tangisan ibu yang kehilangan anaknya.
Tangisan anak yang kehilangan ayah dan ibunya.

Pertanyaan dan rayuan Munira akhirnya terurai
tetapi terlewat untuk mengubati hati berkecai
dan harapan hancur lebur
apabila kubur demi kubur ditemui
di dalamnya rangka manusia
dengan liang peluru di kepala
mangsa kebinatangan kaum Serbia
yang dalam khazanah bahasa dan tamadunnya
tiada istilah kemanusiaan
mahu pun belas kasihan.

Teringat lagi luahan harapan
jurutera wanita bernama Amra
(nama penuhnya Amra Mesic)
yang amat dahagakan keamanan
buat dua anaknya.

Dan Dugalia Huso
orang kerdil dari pinggir Sarajevo
empat tahun meringkuk dalam penjara Serbia
semata-mata kerana dilahirkan tidak sempurna.

Kata Dugalia, dia mahu segera pulang ke kampungnya
walaupun kurang pasti
kalau sekolah tempat dia berbakti
masih ada lagi.

Maka hari ini saya bertanya,
seperti anda juga mungkin bertanya
apakah kubur raksasa dengan timbunan rangka
khemah dipenuhi wanita ternoda
dan batu nisan tanpa nama
akan menjadi mercu tanda
kekejaman kaum Serbia di Pristina
Klina, Djakovica dan Mitrovica
kerana dunia tidak peduli
hujah dan khutbah hanya hipokrasi
ratapan hanya dalam puisi?
Wajah-wajah wanita Bosnia hari ini- sumber NST

Atau kita bangkit sekali lagi
dengan azam sekeras besi
dan kemanusiaan sejati
seperti di Bosnia-Herzegovina
di mana nama Malaysia gah
dan kemanusiaan kita terserlah!

Nota kaki: 8,000 orang lelaki dan kanak-kanak lelaki Islam Bosnia dibunuh beramai-ramai oleh penjenayah Serb dalam operasi ethnic cleansing mereka.

Alfatihah.

Saturday, July 10, 2010

Final Piala Dunia: Paul Lwn Mani

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[MUTAKHIR, 12 Julai -- Sepanyol Juara Piala Dunia 2010. Sepanyol 1 Belanda 0]

UNTUK kita renung dan fikirkan bersama. Dalam kehidupan ini, cara paling selamat untuk selesa adalah dengan tidak berbuat apa-apa kerana setiap keputusan atau tindakan, biar sekecil mana sekali pun, pasti ada tindak balas.

Orang yang berpeluk tubuh, tidak melakukan apa-apa adalah lebih selamat daripada orang yang melakukan sesuatu. Tetapi itu hanyalah dalam jangka pendek.

Lihatlah apa yang terjadi kepada tukang tilik Paul, si sotong kurita di akuarium Oberhausen, Jerman.

Kerana meramalkan dengan tetap kekalahan pasukan Jerman kepada Sepanyol dalam pertandingan bola sepak Piala Dunia, ada tuntutan supaya ia dibakar hidup-hidup dan dimakan.

Yang terakhir, Paul meramalkan kemenangan Sepanyol dalam pertandingan akhir melawan Belanda.

Tentu ada penyokong Sepanyol yang percaya kepada Paul gembira dan ada penyokong Belanda yang berang. Maklumlah ramalan negatif Paul itu boleh menjejaskan semangat – kalaupun tidak semangat pasukan Belanda, tetapi semangat penyokongnya.

Moral cerita, hatta seekor sotong akuarium pun mengalami bahaya sekiranya membuat pendirian yang menyentuhi kepentingan sesuatu pihak.

Jadi tidak hairanlah kalau dalam masyarakat manusia ramai yang berpeluk tubuh, berdian diri, main selamat atau berbisik-bisik di belakang tabir.

Menyatakan pendapat atau pendirian boleh membawa bahaya dan bencana. Memuji memuja dan mengiakan kata-kata orang yang berkuasa, boleh menghasilkan pangkat dan harta.

Bagi saya, walaupun si sotong kurita Paul meramalkan kemenangan Sepanyol, saya akan memihak kepada Belanda kerana saya lihat pasukan Oranje itu lebih bersemangat dan konsisten.

Dalam tiga setengah dekad, Belanda telah masuk pertandingan akhir dua kali iaitu pada tahun 1974 dan 1978. Kali ini adalah kali ketiga.

Dalam dua pertandingan lalu, Belanda kalah kepada tuan rumah – Jerman dan Argentina. Kali ini, Belanda tidak bermain dengan negara tuan rumah, tetapi dengan Sepanyol.

Siapa tahu, mungkin kerana terlalu yakin dan taasub dengan status selebriti globalnya, Paul membuat kesilapan. Itulah pun pendapat Mani, burung serindit milik seorang penilik di Singapura.

Mani memilih kad ramalan yang tersembunyi di bawahnya bendera Belanda.

Satu lagi, jangan lupa mungkin Paul menderita dilema identiti dan taat setia. Menurut Wikipedia, Paul ditetaskan di Sea Life Centre, Weymouth, England. Pada tahun 2006 ia dipindahkan ke Oberhausen, Jerman.

Apa pun, marilah kita bersuka hati menonton perlawanan akhir Belanda-Sepanyol itu nanti. Tapi minta satu saja -- tolong jangan ganggu harimau Malaysia daripada tidurnya nan nyenyak, penuh mimpi.

Tuesday, July 06, 2010

Merindui Welfare Officer Zaman Dulu Kala

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SAMBIL kita terus menonton, berhibur dan berbincang mengenai Piala Dunia, janganlah kita lupa bahawa di luar sana banyak cerita sedih dan duka seperti cerita keluarga Yusuf Wahab yang tinggal di rumah yang diubahsuai daripada reban ayam.

Apa yang kerap terjadi ialalah, apabila media massa menyiarkan berita kemiskinan, kemelaratan dan kekejaman, saya akan bertanya diri sendiri, tidakkah pegawai, jabatan, menteri dan kementerian sedar wujudnya kepapaan harta benda dan moral yang memalukan ini?

Kenapa pegawai, jabatan, menteri dan kementerian heboh atau nampak heboh hanya bila kemiskinan, kemelaratan dan kekejaman dihebahkan oleh media massa?

Di manakah pegawai kebajikan daerah apabila keluarga lima orang di Kampung Pauh Dal, Pengkalan Chepa, Kelantan tinggal dalam rumah robek yang asalnya reban ayam selama tiga tahun dengan pendapatan RM350 sebulan.

Akhbar New Straits Times semalam ini melaporkan Yusuf Wahab, 35, seorang pemandu lori yang memperoleh RM350 sebulan tinggal bersama isterinya Fatimah Jalin, 36 dan tiga orang anak Nur Atikah, 6, Mohd Haikal, 5, and Mohd Aiman, 3 dalam keadaan yang amat memilukan.

Sumber: New Straits Times, 5hb Julai 2010
Kalau pegawai kebajikan daerah, wakil rakyat dan parti-parti politik buat kerja, tentu tragedi seperti yang ditanggung oleh keluarga Yusuf Wahab ini tidak berlaku.

Baru-baru ini saya dijemput menyertai bengkel Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) mengenai ketelusan dan dasar afirmatif yang mesra perniagaan. Dalam bengkel itu, wakil Kementerian Kebajikan (lebih baik Kementerian Kebajikan daripada nama glamor macam pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat) memberitahu ramai orang miskin dan orang cacat yang hidup dengan pendapatan RM250 sebulan atau paling banyak RM450 hasil bantuan jabatan itu.

Kalau benar cerita derita mereka dan pegawai kebajikan daerah, wakil rakyat serta parti-parti politik buat kerja, keluarga ini layak dipertimbangkan untuk bantuan di bawah skim bantuan kanak-kanak (BKK) kerana pendapatan bulanan keluarga kurang daripada RM750 sebulan. Atau boleh diberi geran perniagaan (GP) kerana si isteri membuat kuih untuk dijual.

Mohon maaf kalau saya sekali lagi nostalgik. Nostalgia ada baiknya kalau kita mengambil iktibar. Zaman saya kanak-kanak dan semaja dulu, kemiskinan dan kemelaratan adalah kebiasaan.

Ada yang miskin sepanjang masa dan ada yang miskin berwaktu. Ada yang miskin hingga tidak ada beras untuk makan hatta sekali sehari. Bila kemarau berlarutan atau harga getah merudum, kemiskinan berleluasa di kalangan petani dan penoreh harga getah kerana mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Hatta ubi gadung yang berpotensi membunuh itu pun diproses sehingga boleh dimakan. Sekarang berapa ramai yang tahu mengenai ubi gadung atau pernah makan ubi gadung. Pada waktu itu, kalau makan ubi gadung, menang miskin yang menghampiri kebuluran.

Dalam suasana sebegitulah, sedekah, peri kemanusiaan dan kejiranan menjadi penyambung hidup. Secupak atau sekepol (kepoi, kata orang Kedah) memisahkan antara kelaparan dengan perut yang terisi.

Pada waktu sedemikianlah, welfare officer menjadi manifestasi terunggul sikap ambil peduli pemerintah terhadap rakyat jelata. Welfare officerlah yang diingat dan dicari apabila musibah menimpa.

Dan welfare officerlah yang paling kerap turun padang dan masuk kampung bertanya khabar dan mencari orang susah, diikuti pegawai pengembangan Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan dan pegawai tanam semula (kini Risda).

Sekarang, macam pegawai-pegawai lain dalam birokrasi raksasa yang setiap hari minta naik gaji, mereka lebih selesa menghadiri seminar dan bengkel, beristirahat dalam bilik hawa dingin atau menyambut pegawai kanan dan menteri. Turun padang tidak lebih daripada klise.

Kesedihan dan ratapan pun tidak lama dan umumnya untuk pameran saja. Masih segar di ingatan saya Menteri Kebajikan sekarang begitu terkejut dan tersentuh dengan kemiskinan yang berleluasa di daerah kelahiran saya, Pendang, ketika dia berkempen pilihan raya kecil Parlimen pada tahun 2002.

Maaf cakap, inilah sifat dan sikap pemimpin elit dan kelas atasan yang tidak pernah merasa kemiskinan apatah lagi menderita kelaparan. Mereka melihat, tetapi tidak merasa. Justeru itu, simpati mereka tidak kekal lama. Lapar puasa tak aci, sebab bila berbuka, hidangan melimpah meja.

Realitinya, kalau ramai yang miskin dan melarat di Pendang pada tahun 2002, apakah keadaan mereka lebih baik sekarang sedangnya ekonomi dipukul teruk oleh krisis ekonomi dunia sejak tiga tahun lalu?

Sebaliknya, sejak krisis kewangan Asia 1997/98, pertumbuhan ekonomi kita jauh lebih lembap daripada sebelumnya.

Yang menjadi tanda tanya, adakah cukup bagi para mamanda menteri dan pegawai tinggi bertindak balas dengan mengatakan mereka terkejut?

Itulah reaksi spontan Menteri Kebajikan, Shahrizat Abdul Jalil, kepada pendedahan NST dan macam itu jugalah reaksi seorang menteri keturunan aristokrat ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini.

[Yesterday, Women, Family and Community Development Minister Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil visited the family and donated some food supplies.

The Wanita Umno head said she was shocked with their condition and promised that they would be moved to a proper home with the help of the Welfare Department. – NST.]

Sampai bila para mamanda menteri dan pegawai tinggi pemerintah hendak memberi reaksi terkejut, tidak sangka, tidak dimaklumkan, akan disiasat atau belum muktamad?

Semua ini sudah menjadi klise yang tidak bermakna lagi, malah mula menyakitkan hati.

Di saat-saat pemerintah menguar-uarkan 1Malaysia; rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, bolehkah kita bersatu dan berpadu kalau yang kaya hidup ibarat maharaja manakala yang miskin hidup ibarat hamba abdi di zaman purba?

Saya ulangi hujah saya yang lalu: "Ttidak ada negara boleh dianggap bertamadun dan sejagat jika bangsa dan kaum majoriti tertindas dan terpinggir. Keamanan dan toleransi tidak wujud dengan sendirinya." Yang ramai miskin adalah Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah.

Friday, July 02, 2010

Piala Dunia: Kecil Besar Bukan Penentu

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[MUTAKHIR, 8 Jun -- Sepanyol 1 Jerman 0]

[MUTAKHIR, 7 Jun -- Belanda (Netherlands) 3 Uruguay 2]


[MUTAKHIR, 4 Jun – Sepanyol 1 Paraguay 0. 3 Jun - Jerman 4 Argentina 0]

[MUTAKHIR, Belanda 2 Brazil 1
Uruguay 4 Ghana 2 (penalty shootout)]

[Posting Asal]

PERTANDINGAN bola sepak Piala Dunia masuk peringkat suku akhir. Saya mengikutinya, tetapi tidaklah sampai jadi gila atau hilang akal.

Saya lebih mirip kepada geografi dan perangkaan. Jadi dari awal lagi saya bahagikan pilihan saya lebih kurang begini.

Apabila negara maju lawan negara membangun, saya sokong negara membangun. Bila negara besar lawan negara kecil, saya memihak kepada negara kecil dan bila negara Eropah/Amerika Syarikat lawan Asia, Afrika atau Amerika Selatan, saya memihak kepada Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

Kalau ada sedikit emosi pun bila New Zealand, Jerman atau Switzerland terbabit sebab New Zealand dan Jerman pernah bagi saya biasiswa belajar di negara mereka. Walaupun tidak lama, saya tetap berterima kasih. Switzerland pula kerana tiga orang cucu saya adalah warganegaranya dan mereka pun tinggal di sana.

Tetapi setakat ini New Zealand dan Switzerland sudah terkeluar, tinggal hanya Jerman. Jadi, bila Jerman lawan Argentina, saya akan berkecuali.

Kedua-dua pasukan istimewa -- Jerman taktikal dan disiplin manakala Argentina, seperti jurulatihnya, Diego Maradona, penuh aksi dan emonsi – mirip drama cinta dan kuasa Evita dan Juan Peron yang dipopularkan oleh lagu “Don’t Cry For Me Argentina”. Saya meramalkan kemenangan Jerman.

Jerman negara besar dan kaya. Penduduknya 82 juta dan pendapatan per kapitanya AS$34,212. Argentina ada 40 juta penduduk dengan pendapatan per kapita AS$14,560.

Bila Uruguay lawan Ghana, saya dalam dilema. Uruguay negara Amerika Selatan dan Ghana negara Afrika. Rasa-rasanya saya akan memihak kepada Uruguay kerana beberapa sebab. Pertama permainannya hebat dan konsisten dan kedua ia negara kecil. Penduduknya hanya 3.5 juta dan pendapatan per kapita mengikut pariti kuasa membeli (PPP) AS$9,425.

Tetapi saya juga mahu Ghana mara kerana ia satu-satunya negara Afrika yang tinggal. Walaupun Ghana lebih besar daripada Uruguay, tetapi ia miskin. Penduduk Ghana 23.8 juta dan pendapatan per kapita mereka hanya AS$1,591.

Dalam perlawanan Brazil-Belanda, saya mirip kepada Brazil kerana tanpa negara besar Amerika Latin itu, Piala Dunia bukan Piala Dunia. Tetapi saya turut kagum dengan Belanda. Walaupun ia antara negara terkecil di benua Eropah, namun tradisi bolanya hebat.

Brazil atau Brasil mempunyai 196 juta penduduk manakala Belanda 16.6 juta. Namun Belanda jauh lebih kaya daripada Brazil. Per kapita Belanda AS$39,938 berbanding Brazil AS$9,700. Jangkaan saya, Brazil menang.

Dalam perlawanan Sepanyol-Paraguay, sentimen saya memihak kepada Paraguay. Ini cerita gagah lawan pelanduk. Paraguay adalah David dan Sepanyol Golliath.

Sepanyol besar dan kaya. Penduduknya 46 juta dan pendapatan per kapitanya AS$29,689 manakala Paraguay kecil dan miskin dengan 6.8 juta penduduk dan per kapita AS$4,500.

Tetapi kalau Paraguay boleh seri 1-1 dengan Itali, johan bertahan, pada pusingan awal adalah tidak mustahil ia boleh “memalukan” Sepanyol. Siapa yang jaring dulu, besar kemungkinan menang.

Nampaknya, besar atau kecil, kaya atau miskin tidak menjadi persoalan lagi. Kita melihat bagaimana banyak negara kecil dan miskin berjaya ke pertandingan akhir di Afrika Selatan, manakala negara besar dan kaya kecundang.

Oleh sebab kita sedang menikmati bola sepak kelas dunia, saya tidak mahu sakitkan hati para pembaca dan pembahas dengan membabitkan pasukan boleh sepak negara.

Cuma saya keliru, pasukan Harimau kita itu menyerupai harimau yang mana – harimau liar di hutan belantara, harimau zoo, harimau sarkas atau harimau kertas? Itu saja yang nak tanya.

About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).