Wednesday, October 26, 2011

Bazir Wang Negara Satu Pengkhianatan


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

BUKANLAH tujuan kita sepanjang masa mencari salah Kerajaan. Kita juga harus mengiktiraf perkara-perkara betul yang Kerajaan lakukan.

Tetapi kalau Kerajaan melalukan kesalahan, kita berhak mengutuknya kerana kita tidak memilih dan membiayai Kerajaan untuk melakukan kesalahan.

Atas prinsip itu, kita menyambut baik Laporan Ketua Juruaudit Negara yang memberi markah tinggi kepada kebanyakan Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan. Tetapi kita juga mengutuk kegagalan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang gagal menunjukkan prestasi baik.

Pada 24 Oktober, portal berita Malaysian Insider melaporkan yang Jawatankuasa Akaun Awam Dewan Rakyat (PAC) akan menyiasat tujuh Kementerian dan Agensi kerana pengurusan kewangan yang lemah.
Mereka adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pengangkutan, Lembaga  Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Perbadanan Stadium.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid dipetik memberitahu pemberita bahawa ini adalah tujuh yang diperakukan oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan tahunannya yang terbaru. Kata Azmi, PAC akan memutuskan minggu depan kalau bilangan yang akan disiasat akan ditambah.

Azmi yang disertai Ketua Juruaudit Negara, Ambrin Buang, berkata, pengurusan kewangan Kementerian dan Agensi Kerajaan bertambah baik dengan 43 daripadanya mendapat skor tertinggi empat bintang, 60 tiga bintang dan dua mendapat dua bintang. Tidak ada yang memperoleh penarafan bintang merah iaitu satu bintang.

Saya tidak bercadang membuat analisis laporan Ketua Juruaudit Negara itu kerana media massa arus perdana dan baru telah banyak melaporkannya.

Memadailah kalau saya katakan, kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar.

Penyalahgunaan, pembaziran dan kebocoran peruntukan kewangan negara bertentangan langsung dengan mantera 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan menggambarkan kegagalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menjadi wadah perjuangan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak.

Apatah lagi, Perdana Menteri sendiri, sebagai Menteri Kewangan, adalah ketua turus kewangan negara. Jadi, kalau ada autoriti mutakhir yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan pengurusan kewangan awam, hendak tidak hendak, orang itu adalah Perdana Menteri sendiri kerana beliau adalah Menteri Kewangan.

Sebab itulah saya dari dulu lagi, berpegang kepada prinsip bahawa Perdana Menteri tidak wajar menjadi Menteri Kewangan. Tetapi, oleh kerana Perdana Menteri memilih untuk turut menjadi Menteri Kewangan, maka  beliau perlulah menanggung padah “the buck stops here” seperti yang diungkapkan oleh Presiden Amerika, Harry S. Truman.

Dalam ingatan saya, hanya Tunku Abdul Rahman Putra tidak pernah menjadi Menteri Kewangan. Yang lain semuanya menjadi Menteri Kewangan, kalau tidak lama, sekejap. Mohd Najib menjadi Menteri Kewangan sejak beliau menerajui negara pada awal 2009.

Elok disebutkan yang dua daripada agensi yang akan disiasat oleh PAC terletak di bawah Kementerian Kewangan iaitu Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Itu belum diambil kira sembilan Kementerian dan Jabatan yang terlebih berbelanja sebanyak RM3.73 bilion. Antaranya Kementerian Pelajaran, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Secara peribadi, saya tidak membantah keras kalau kejadian terlebih berbelanja oleh Kementerian-Kementerian sosial dan ekonomi seperti Pelajaran, Kesihatan dan Pertanian bukan berpunca daripada pembaziran atau penyelewengan.

Dalam suasana ekonomi yang lembap dan inflasi yang meningkat, adalah lebih baik Kerajaan berbelanja ke atas rakyat jelata daripada untuk kesenangan beberapa kerat Menteri dan pegawai tinggi. Jadi, eloklah dijimatkan perbelanjaan mengubahsuai rumah dan pejabat Menteri, perjalanan dan keraian yang tidak perlu.

Satu lagi, saya bimbang sikap sambil lewa sesetengah pegawai awam terhadap kewangan negara bukan sahaja merugikan rakyat jelata, malah akan membawa nama buruk kepada Kerajaan.

Golongan yang paling dianakemaskan dan dijaga ibarat menatang minyak yang penuh adalah kakitangan awam. Tetapi, bukan sahaja perkhidmatan awam masih tidak cemerlang seperti yang dijanjikan di bawah GTP, malah (dengan ampun) wujud tanda-tanda ketidakpedulian dan sabotaj oleh elemen-elemen tertentu dalam perkhidmatan awam.

Akar umbi kepada kewujudan unsur-unsur negatif ini perlu didalami, difahami dan ditangani segara. Kepastian perlu dicari sama ada ia kebetulan atau disengajakan.

Antara yang sering kita dengar adalah ketidakpuasan hati kakitangan awam terhadap campur tangan pihak luar dan pihak-pihak dalam Kerajaan yang diberikan kuasa eksekutif yang mengatasi kuasa Menteri dan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi.

Wallahualam.

43 comments:

awang batuburok said...

"Antara yang sering kita dengar adalah ketidakpuasan hati kakitangan awam terhadap campur tangan pihak luar dan pihak-pihak dalam Kerajaan yang diberikan kuasa eksekutif yang mengatasi kuasa Menteri dan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi"....

Salam Dato',

Amat malang sekali apabila Menteri-Menteri dan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi-Agensi kerajaan dilantik dikalangan "ayam ponan" yg
tidak mampu mempertahankan amanah dan tanggungjawap terhadap kepentingan rakyat jelata.

Lebih malang lagi masing-masing hanya sibuk memikirkan bagaimana nak memenuhkan tembolok diri sendiri dan tembolok kroni/kaum kerabat.Ketirisan, kebocoran, pembaziran wang dan harta rakyat tidak ada dlm pemikiran sebahagian besar mereka. Inilah malapetaka yang sedang menimpa negara tercinta. Makin ramai rakyat yang terpaksa menyamun, mencuri dan merompak untuk mendapatkan sesuap nasi.

Apabila nilai-nilai ugama dan keadilan sosial terhakis dalam pemikiran penguasa dan sistem pemerintahan negara, semakin banyak bala dan malapetaka menimpa masyarakat tanpa mengira samada mereka adalah dikalangan yang melakukan perkara makruf atau perkara munkar. Apabila datangnya bala' dari Allah SWT semuanya akan terkena sebagaimana yg berlaku keatas ummat-ummat yang terdahulu.
Nauzubillah....

Tinta Hitam said...

Datuk,

Pepatah Inggeris menyebut "The fish rot in the head".Pepatah melayu juga ada menyebut " Guru kencing berdiri,anak murid kencing berlari"..Bila kepala yg memerintah korup maka mereka yg dibawah pun korup jugalah.Negara kit asedang menuju kepada kemelut yg akan menghancurkan rakay sendiri.Semuanya dibawah pimpinan UMNO.
Jika rakyat masih lagi bersikap tak apa dan tak mau sedar serta cepat menjatuhkan UMNO dari tampuk kekuasaaan.Tunggulah saat kehancuran negara ini.Masa tu nak menyesal pun dah tak guna..

Anonymous said...

kenapa perkhimatan awan tidak cemerlang walaupun ditatang bagai minyak yang penoh?
1. secara organisasi nya perkhidmatan berlapis-lapis dari Kabinet ke agensi pusat ke kementerian ke jabatan/agensi.Sekarang tambah satu lagi Pemandu.Jadi anggota perkhidmatan awan juga berlapis. Yang berfikir kabinet; yg laksana(yg membuat) jabatan/agensi.Kementerian jadi tukang sampai,tukang selaras dan tukang arah. Kalu sampai betul....betul lah jadi nya! jika tidak??? Di kementerian bukan ada hanya menteri saja tapi begitu ramai anggota dan bahagian-bahagian yang berbagai-bagai tapi masih diperingat menyelaras. Elok lah sekiranya lapis lapis ini dikaji agar lebih ramai anggota kepada yg membuat dari menyelaras! Banyak negara maju mempunyai anggota kementerian yg kecil.

2. Lebih kronik lagi di Malaysia ni, yg menyelaras dihargai dan ditatang oleh kerajaan. Jadilah anggota perkhimatan awan lain rasa tersisih!!!

ali Sedik

husin syedmohamad said...

Datuk,
Penyumbang kepada isu yang dibincang
1/ Campur tangan pihak luar.
2/ Kurang pengetahuan dan kemahiran dalam skop tugas yang dipertanggongjawabkan.
3/ Kepentingan diri. Boleh terjerumus kearah rasuah dan salah-laku
4/ Kejujuran dan keikhlasan melaksanaian tugas.
5/ Pemimpin tertinggi , legislative atau executive , tidak " walk the talk". Menujukkan teladan tidak wajar,

abdullahngah said...

Wahai Datuk Kadir Jasin,

Datuk Kata bazirkan wang negara satu pengkhianatan.

Pada saya 67 peratus rakyat negara malaysia menafikan hujah bazir wang negara satu pengkhianatan itu.

Mengapa tidak. kerana 67 peratus rakyat masih undi UMNO/BN dan dan sokong pemimpin yang mengkhianati negara.

Termasuk Datuk sendiri yang pernah buat saranan agar undilah dajal yang dikenali.

pada saya yang penting bagi rakyat dapat duit sudahlah. Soal pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin tak jadi kudis gatal.

Tahun depan dapat duit RM500 habis cerita. Bukan satakat itu saja mereka boleh ucap " saya bersyukur" kerana kerajaan prihatin.

Duit, kalau ribu ribu mata jadi kelabu. Juta juta mata boleh buta.

Hari ini bukan setakat buta mata malahan sudah buta hati yang akan menyusur kearah mati hati.

nahas.

sambakar said...

Ala biasa tegal biasa..

mato mato said...

salam Dato,

boss saya pernah berpesan, setiap helai kertas photostat itu adalah kos bagi syarikat.

penjimatan kos syarikat boleh disalurkan kepada penambahan modal syarikat, keuntungan dan juga kenaikan gaji tahunan staff.

bila wang itu bukan hasil titik peluh penat jerih kita sendiri, tiada siapa pun yang ambil kesah untuk berbelanja secara berhemat.

Rao Lanun-Bahaso said...

Tarik perhatian saya:

Itu belum diambil kira sembilan Kementerian dan Jabatan yang terlebih berbelanja sebanyak RM3.73 bilion. Antaranya Kementerian Pelajaran, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.


Najislembujantan punya Audit report! Pecat Ketua Juruaudit Negara kata saya: report tipu, dato'

mana ada sprm makan duit!

.

saji said...

Salam Dakj

1.Jika 9 Kementerian dan Jabatan yang terlebih berbelanja sebanyak RM3.73 bilion itu, antaranya, melibatkan pelaksanaan projek kelas C, BX, B dan A atau projek sederhana dan besar ke atas ia, dalam banyak kes, kesan daripada penggunaan sistem kontrak pembinaan Lump Sum dan Lump Sum + Bills of Quantities atau Separuh BQ (Bills of Quantities).

Penyelesaiannya ialah,gunakan sistem kontrak pembinaan Lump Sum untuk projek kecil atau kelas F atau RM 200,000 ke bawah sahaja, manakala siatem kontrak pembinaan Separuh BQ untuk kontrak kelas E atau RM 2 juta ke bawah.

Mengapa Kementerian2, Jabatan2 Kerajaan dan GLC2 gemar atau tidak dapat mengelak menggunakan sistem kontrak pembinaan Lump Sum dan Seperuh BQ?

Jawapannya adalah berikut:

Lump Sum dan Separuh BQ merupakan 2 bentuk sistem kontrak pembinaan Barat di bawah jenis Price-in-advance contract yang mudah digunakan oleh kakitangan teknikal Kerajaan atau juruperunding, kerana tidak perlu menyediakan dokumen BQ atau senarai kuantiti bahan/kerja dan harga yang detail, atau tidak memerlukan khidmat jurukur bahan bertuliah, atau akaun tutupnya yang mudah, atau kekurangan masa untuk menyediakan BQ mahupun lukisan2 pembinaan, atau mengelak additional VO.

Mengapa berlaku kes terlebih belanja dalam bentuk perubahan kerja2 tambahan atau additional VO membabitkan penggunaan sistem kontrak pembinaan Lump Sum dan Separuh BQ?

Jawapannya adalah berikut:

a/ Kelemahan hakiki sistem kontrak pembinaan Lump Sum dan Separuh BQ dari segi pencapaian sasaran projek dari segi kualiti, kos ( additional VO) dan tempuh siap.

b/Dokumen kerja pembinaan yang meliputi lukisan2 pembinaan yang tidak mencukupi semasa kontrak ditawarkan kepada kontraktor.

c/ Kes terlepas pandang (keperluan projek) semasa peringkat rekabentuk.



2. Terdapat juga kes melibatkan penggunaan sistem kontrak pembinaan Bills of Quantities dan Design and Build, tapi tak banyak.


...SAJI

Anonymous said...

Salam Datuk Kj,

Izinkan saya memaparkan pandangan.

Masalah pembaziran ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya barangkali;

1. Sistem birokrasi kerajaan.

2. Pegawai/kakitangan yang dipertanggungjawabkan kurang cekap dan amanah.

Adakala arahan daripada pegawai atasan yang lebih bersifat pentingkan diri menyebabkan perbelanjaan melebihi daripada yang sepatutnya.

Membeli barangan atau perbelanjaan lain-lain, tetapi disebabkan sistem pengurusan kerajaan sedia ada, menyebabkan sesetengah harga barangan atau perbelanjaan yang ditawarkan berkali-kali ganda harganya daripada yang asal.

Pernah saya dimaklumkan harga sebilah pisau boleh mencecah sehingga ribuan ringgit hanya disebabkan pembelian menggunakan LPO! MasyaAllah...
Mengapa? Konon lambat dibayar dsb.

Ada juga pembelian alatan sehingga berharga puluhan ribu, tetapi akhirnya tidak digunakan sepenuhnya.

Rugi... memang Rugi...

Sistem pengurusan kerajaan sedia ada barangkali perlu dibaiki dan ditingkatkan. Semoga nanti, akan wujudlah istilah "Perbelanjaan Berhemah" dan akhirnya, menguntungkan kesemua rakyat jelata yang sepatutnya menerima impak daripada sistem pengurusan sedia ada.

Tahniah jua buat para "Auditor" yang memberikan input berguna. Semoga dapatan para "Auditor" akan meningkatkan lagi sistem kerajaan sedia ada, InsyaAllah.

Negara kita baru merdeka, tetapi tidak mustahil untuk kita mempelopori satu sistem pengurusan yang lebih baik daripada negara-negara yang sudah berkurun merdeka.


Abgbent

besi said...

salam..dato.

rasanya semua pihak sedar bahawa pembaziran wang negara satu pengkhianatan...

tapi rakyat juga sedar tiada apa yg boleh dilakukan untuk menghentikannya..

penyakit ini sama macam gejala rasuah(kecil-kecilan) yg mana masyarakat seolah2 menerima keadaan tersebut. ada yg berhujah kalau x bagi rasuah(kecil-kecilan) asyik kena saman saje la...dunia oh dunia...rasuah dan pembaziran dilihat seperti pemudahcara harian hidup.......minta dijauhkan

azman said...

Assalamualaikum pak Kadir

Sesungguhnya kite berase malu,pade setiap tahon laporan dari Ketua Juruodit Negare mengatekan bahawa ketidakcekapan ketua untok memantau atau mentadbir kementerian masing masing masih juge berlaku.

Ade dua keadaan yang menyebabkan perkare tersebut berlaku:-

1. Ketua tidak sedar akan berlakunya salah urus di kementerian masing masing.

2. Ketua sedar tetapi membenarkan nye berlaku.

Jika kite perhatikan setiap Kementerian, berape banyak orang Melayu? dan berape pulak orang Cine dan India?,kemudian kite perincikan pulak berape peratus kes salah tadbir ni dilakukan oleh bangse ini?.Sudah tentu peratusnya pergi kepada orang Melayu,tapi bukan bermakne orang bukan Melayu tidak melakukannya,hanye orang Melayu yang lebih terdedah kepade peluang untok melakukannya.Kalau dicampurkan keseluruhan adelah orang Melayu lebih berminat untok melakukan kesilapan.

Setelah sekian lame rakyat memerhatikan perkare tersebut masih tidak menjadi keutamaan kerajaan untok memperbetulkannya.

Mungkin telah sampai masenye untok rakyat bertindak untok memperbetulkan keadaan.

ab said...

Salam Dato,




Kenapa setiap tahun lapuran auditor general menunjukan ada pembaziran?...



Jawapanya terlalu jelas.... SENANG SAJA/MUDAH SANGAT NAK BAZIRKAN DUIT olih kementerian dan jabatan kerajaan Malaysia!.




Ada 2 orang menteri kewangan dan 2 orang timbalan menteri kewangan dan 2 orang,dua orang atau lebih setiausaha menteri kewangan dan timbalan menteri kewangan...campur semua dah lebih dari 8 orang!!... NI KATEGORI BOS BOS NI!...ada lapuran AG keatas depa ni?,audit la keputusan keputusan megenai perbelanjaan kerajaan olih mereka ni...



NI belum masuk kira ketua ketua/ bos bos di jabatan perbendaharaan malaysia lagi...



Saya katakan lagi...ISLAM ITU BERSIH. Tapi pi la tenguk jamban, bilik mandi,laman,tong sampah, longkang dihadapan dan dibelakang rumah kebanyakan orang melayu/ islam..rumah kita,jiran jiran dan saudara saudara kita... TULIS KAT SINI BERAPA yang bersih dan berapa yang kotor!....



Islam juga adalah AMANAH, ni tak nampak secara fizikal, tapi elok bilang setiap minggu berapa kes mahkamah yang dijatuhkan hukuman dimahkamah diserata tempat yang melibatkan orang melayu/islam.


SEMAK diri kita,saudara kita,jiran kita YANG DOK TELAN HARTA faraid, harta sepencarian,harta anak yatim, harta mesjid,harta surau, harta wakaf,zakat dbs ....walhal ini lah bimbingan untuk kita jadi amanah.



SEMAK pagi tadi,tengah hari ini dan malam ini banyak mana kita makan lebih dari hadnya dan buang makanan kat tong sampah dan tepi jalan..


SEBAB UTAMA MUDAH PEMBAZIRAN DILAKUKAN IALAH kita,saudara kita,jiran kita dah hari hari `terdidik/terlatih dah' untuk membazir...


NAK SALAHKAN PM seorang pun saya tak tergamak didalam hal ini!..



Abu Bakar Ab Rahman

Anonymous said...

sekarang kadir Jasin baru menulis mengenainya, dulu pun dia begitu semasa suasana menjadi pengipas kuat kepada pemimpin kesayangan. sekarang dah tak apa dah kaya jadi lembaga mana termasuk dalam posisi syarikat media..
- Jikon.

rahimlpp@yahoo.com said...

Y.Bhg Dato'@ Saya petik tulisan Dato' "kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar". Setiap tahun kita dengar ucapan saperti ini tetapi perkara yang sama berulang.

2. Saya letakan kesalahan ini sepenuhnya kepada Pegawai Pengawal setiap Kementerian yang bergelar Ketua Setiausaha yang bertanggong jawap secara terus kepada Ketua Setiausaha Negara. Mereka terdiri daripada anggota perkhidmatan awam yang berada dalam sekim tertinggi dengan gaji dan kemudahan yang sangat lumayan. Mengapa mereka tidak dikenakan tindakan tatatertib sewajarnya apabila Jabatan dan agensi dibawah kawalan mereka gagal menguruskan harta awam dengan amanah dan bertanggong jawap. Dari masa kemasa kita membaca berita mereka naik pangkat tetapi jarang sekali kita mendengar Pegawai Pengawal atau KSU yang turun pangkat kerana berlaku salahlaku saperti laporan audit.
3.Apabila Ketua Audit Negara melaporkan perkara yang luar biasa atau berlaku penyelewengan, sepatutnya diikuti dengan kenyataan dari Ketua Setiausaha Negara bahawa tindakan sewajarnya akan diambil kepada KSU atau Pegawai Pengawal yang berkaitan dengan isu yang dibangkitkan. Adalah sangat tidak diadil meletakan semua kesalahan kepada Kerajaan kerana sistem pengurusan kewangan Negara memberi perwakilan kuasa yang kemas kepada penjawat awam saperti KSU atau Ketua Pengarah Jabatan.

4. Saya yakin sistem pengurusan kewangan Negara akan lebih kemas dan transparen sekiranya KSU sebagai Pegawai Pengawal dipertanggongjawabkan sepenuhnya bagi setiap salahlaku dalam Kementerian atau agensi yang mereka terajui. Sesaorang Menteri tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya duit Kerajaan sekiranya KSU tegas dan berani memberi nasihat yang betul kerana Menteri bukan Pegawai Pengawal diperingkat Kementerian. Kalau KSU lemah maka ramai ambil kesempatan yang akhirnya timbul laporan Ketua Audit Negara yang tebal.

5.Kerajaan sudah lanjutkan lagi umor persaraan kepada 60 tahun.Tidak ada sebab lagi mengapa KSN tidak mengambil tindakan sewajarnya keatas KSU yang cuai dan lemah dalam pengurusan mereka. Jawatan Kuasa Turun Pangkat patut bersidang lebih kerap daripada Jawatan Kuasa Naik Pangkat bagi mempastikan pengurusan kewangan Negara berada ditahap yang dihormati.

Iklas,
Rahim

abdullahngah said...

saji,

Saya sangat sedih apabila membaca pandangan saji kali ini.

Masakan tidak. Alasannya ialah "kelemahan hakiki" katanya

Ramai yang berpendapat demikian, sedangkan ia suatu kejahatan yang sengaja dilakukan oleh mereka yang diberi amanah.

Jika benr itu suatu kelemahan bukan pengkhianatan mengapa dibiarkan ianya berlaku tahun ke tahun terus menerus.

Sanggup kita melihat kelemahan berlaku pengurus wang dalam keluarga kita.

Kalau mereka sanggup dan membiarkan ia terus berlaku bermakna kita sebagai ketua keluarga seorang yang bacul dan jahat.

Sanggup kita membiarkan anak isteri kita berada didalam konteks seumpama itu.

Kalau kita sanggup kita adalah seorang yang dayus.

Demikian dengan apa yang berlaku pada kerajaan yang memerintah sekarang.

Pemimpin yang melakukan kejahatan ketika mengurus ekonomi negara atas nama tranformasi itu dan ini, jika kita setuju maka kita tergolong sama macam mereka juga.

Pengkhinat negara tempatnya dalam neraka,jika tak sempat bertaubat, maka yang menyokongnya juga sama ke neraka.

Bocor situ bocor sini, tiris situ tiris sini.apakah ini?

Mohd Zairi said...

Salam Datuk,

Kadang kala orang lupa untuk bertanya,adakah dengan menukar kerajaan, prestasi kakitangan kerajaan akan lebih baik? Ataupun yang sebenarnya perlu ditukar (atau lebih tepat dipecat) kakitangan kerajaan yang bermasalah, tidak menyokong dan melaksanakan dasar kerajaan. sistem hari ini dilihat terlalu menjaga kakitangan kerajaan yang bermasalah. nak dipecat pun memakan masa bertahun-tahun. harapnya, sistem baru yang akan diperkenalkan akan mengatasi permasalahan ini.

sujini said...

Datuk Kadir,

1. Saya tidak tahu pada pentadbiran
siapa bermulanya Laporan Odit
Negara ini.

2. Saban tahun kes yang sama berlaku
kalau tak di Jabatan A di Jabatan
B.Kalau tak di Kementerian C di
Kementerian D.

3. Saya hairan apa kerja Ketua-Ketua
Bahagian/Jabatan pada setiap tahun
perakaunan?

4. Adakah mereka menjalankan tugas yang
sepatutnya atau sibuk bermain golf?

5. Adakah Menteri-Menteri sibuk
berpolitik dan terlupa kenapa dan
siapa yang telah letak mereka
ditempat dimana mereka berada?

6. Ayuh,tidak payah banyak cakap lagi.
Kita lihat saja sama ada GTP dan ETP
Najib dan Idris Jala berjaya
meningkatkan bilangan Kementerian
dan Agensi Kerajaan yang akan
mendapat 5 Bintang didalam
pengurusan kewangan mereka bila
Laporan Odit Negara untuk
tahun 2011 dikeluarkan pada tahun
2012.

Anonymous said...

perkhidmatan awam perlu ditranfomasikan!!! Lantik KSN dari kalangan bukan PTD baru perubahan sebenar boleh berlaku.

JAHA

Ahmad Ismail Pahang said...

Dato Kadir.

Saya ingin merojok kapada berita pembelian 250 kereta APV oleh Kementerian Pertahanan dengan belanja hampir 8 billion.Dalam Kontrek asal Kementerian Pertahanan dengan Syrikat Syed Mokhtar dia sepatutnya membuat kereta itu di Kelangnya di Pahang.Macam kelang Proton buat kereta Proton kita.hanya membeli Engin sahaja dari Jepun.

Apa yang terjadi dengan Syed Mokhtar dia membeli kereta APV itu dari Turky dengan harga hanya !.5 Billion ringgit.Dia jual kapada kerajaan 8 billion ringgit.Mungkin dia ada tambah sadikit local part atau pun gun system,tapi tak kan lah ia akan memakan belanja 6 billion.

Bukan kah ini satu pembaziran yang nyata.Yang jadi karton nya Kementerian Pertahanan beri jawapan di Parliment yang dia tak tahu yang Syed Mokhtar beri kereta itu di Turky.Bila pembangkang kata kontrek itu di tandatangi di hadapan Menteri Pertahanan,Zaid Hamidi,mereka senyap.

Dato,jika saya silap sila tegor.Ini yang saya baca dalam blog.

Salam.

Anonymous said...

Salam Dato'

Tandan dah buruk, pisang pun masak tak masak je lah Dato'

Drp: Zuki Ahmad

saji said...

Sdr abgbent

Satu cara untuk mengatasi MASALAH BIROKRASI yang sdr timbulkan itu ialah dengan mewujudkan semula sistem PEMBELIAN PUSAT /CENTRAL CONTRACT tahunan mengikut zone atau daerah untuk seluruh negara bagi keperluan PEMBELIAN BARANGAN ATAU PERALATANyang diperlukan oleh Kementerian dan Jabatan, di mana sesetengahnya masih dilaksanakan seperti petrol.

Begitu juga untuk keperluan PENYELENGGARAAN kemudahan awam, bangunan, dsb., tetapi dari sudut amalan kontrak dipanggil CONTINUOUS CONTRACT dan ada yang memanggilnya TERM CONTRACT.

Tujuannya ialah mengelak proses tender atau mencari sebutharga/quotation yang mengambil masa yang panjang, di samping mengatsi masalah pegawai/kakitangan yang dipertanggungjawabkan kurang cekap dan amanah, serta memenuhi keperluan mendadak, masa-masa kecemasan atau berlaku bincana alaam.


...SAJI

Anonymous said...

selagi tiada sekumpulan orang yang berkuasa yang ada kesungguhan untuk membenteras rasuah/salah guna kuasa, selagi itulah penyakit ini akan berterusan. setakat cakap-cakap kat blog tak memberi kesan sangat. itulah hakikatnya negara kita, semakin hari semakin buruk sistem kenegaraannya. tak tahulah salah siapa.

kl-iph-kmtg

saji said...

Sdr husinsyedmohamad

"2/ Kurang pengetahuan dan kemahiran dalam skop tugas yang dipertanggongjawabkan."

Saya pernah mendapatkan kelulusan tuntutan variation order kerja binaan bumbung untuk syarikat kontraktor bos saya bernilai RM 80,000.00 kerana rekabentuk bumbung struktur besi dengan kemasan bumbung besi bergelugur yang disediakan oleh firma juruperunding jurutera sivil & struktur terkenal di KL yang tidak memenuhi kehendak rekabentuk arkitek atau architect's design intention.

Orang Kampung said...

Dato; semua ini cerita lama diputar-putar atau ditayang semula.Semua boleh ramal apa laporan Ketua Audit Negara tiap-tiap tahun sejak dulu ,kini dan selamanya.

Yang pelik dan ajaib selepas laporan tindakan tak ada yang berkesan.Bukan senang nak runtuh tembok besar ini.

Dato.Saya nak tanya apa bidang kuasa Aidit Negara.Adakah kuasa nya setakat mengaudit kemudian beri laporan baik,memuaskan dan lemah pengurusan.

Kiasan orang Melayu kata ibarat mulut yang ada gusi sahaja.Gigi dan taringnya tumpul atau pun tiada.

Terima kasih Dato kerana beri peluang berkongsi pendapat.

saji said...

Sdr Mohd Zairi


Seorang rakan pengarah kewangan disebuah badan kerajaan yang diswastakan pernah menceritakan kat saya di biliknya tidak lama dulu tentang tindak-tanduk Pengerusinya yang mencadangkan projek itu dan ini untuk kawasan Parlimennya yang tidak ada dalam bajet!

mtgbertam said...

Salam Dato'.

Syukur Alhamdulillah dato' turut mengutarakan isu ini yg juga menarik perhatian pelbagai pihak untuk membuka mata.

Pembaziran, dalam apa tujuan sekalipun tetap salah termasuk dari kacamata Islam.

Pengalaman dalam urusniaga dengan agensi kerajaan selama hampir 20 tahun, cukup bagi saya melihat pelbagai sebab dan punca. Lapuran audit hanyalah lapuran setelah kesilapan dibuat. Maknanya, setelah pembaziran berlaku. Tetapi apa usaha untuk mengawal sebelum berlaku dan supaya ianya dapat berterusan terkawal.

Kalau nak rujuk fikrah, macam2 jawapan. Tapi kalau rujuk kaedah Islam, hanya hati yang takutkan Allah saja yang mampu mengawal. Ertinya memupuk Iman kepada pelaksana dasar dan kerja.

Kalau nak senarai sebab yang selain dari Iman, jenuh senarai. Tidak dinafikan, sistem juga penting. Tetapi sistem datang setelah Iman disemai. Sistem membantu dari segi pelaksanaan. Kalau pelaksana tidak takut Allah, sistem tidak dapat membantu sebab sistem juga adalah bersifat baharu bikinan manusia. Kita buat dia, bukan dia buat kita.

Justeru, kembalilah kepada merujuk kepada Allah sebagai penyelesai masalah. Tidak kira sapa, ahli politik, menteri, atau pegawai yang menjalankan dasar. Semua kena dididik dengan takutkan Allah.

Semuanya terkandung dalam manual dari Allah iaitu Al-Quran, dan huraiannya dihuraikan oleh para2 ulama' yang amilin.

Bukan saya tak mau ber-kisah tentang kaedah dan peraturan, tetapi pelaksana kaedah dan peraturan yang perlu dipastikan takut dengan penciptanya dahulu.

Terima kasih sekali lagi dato'.

Mohammad.

saji said...

Sdr abdullahngah

1. Terima kasih kerana memberikan respon.

2. Sdr terasa sedih apabila saya mengatakan sistem kontrak pembinaan bentuk Lump Sum dan Separuh BQ yang digunakan oleh Kementerian, Jabatan Kerajaan dan GLC mempunyai KELEMAHAN HAKIKI dari segi pencapaian sasaran projek membabitkan aspek kualiti, kos ( kos tambahan/additional VO) dan tempuh siap (lewat siap).

3. Pada hari Jumaat ini, bagaimana pula jika saya katakan bahawa, sistem kontrak pembinaan Lump Sum dan separuh BQ serta lain2 bentuk kontrak pembinaan sejenis dengannya yang juga digunakan oleh Kementerian2, Jabatan2 Kerajaan dan GLC meliputi Bills of Quantities, Turnkey dan Design & Build itu merupakan jenis kontrak Barat yang dinamakan Price-in-advance contract (kontraktor utama mendahulukan modal dan kepakaran kerja pembinaan sebelum boleh membuat tuntutan bayaran progres atau kesemuanya)yang, dari sudut perundagan muamalat Islam pula, merupakan jenis sistem kontrak pembinaan Islam atau al muqawalah yang dinamakan al Istisna' atau Melayunya Tempahan yang tidak diharuskan penggunaannya (sebagai kontrak pembinaan) oleh majoriti mazhab Islam iaitu Hambali, Maliki dan mazhab kita, Shafi'e atas hujah yang dikaitkan dengan akad/kontrak/jual beli barangan yang tidak wajud ketika akad seperti berikut:

Price-in-advance/al Istisna'/Tempahan bukan atau tidak diiktiraf sebagai kontrak (pembinaan), tetapi hanya 'tanggungjawab'/ pihak2 yang berkontrak iaitu Pemberi Tempahan (Pembeli)dan Penerima Tempahan (Penjual) melunaskan tanggungjawab yang dipersetujui bersama ketika majlis akad, dengan maksud ikatan kontraknya lemah yang memungkinkan berlaku pengabaian tanggjawab pihak2 yang berkontrak yang menyebabkan pencapaian sasaran aspek kualiti, kos dan tempuh siap tersasar.



...SAJI

saji said...

Sdr ab

Kenapa agaknya PM,DSN atau Idris Jala yang memperkenalkansistem KPI atau Indeks Prestasi Utama itu tidak memperkenalkan sasaran KPI untuk perbelanjaan negara di semua Kementerian, Jabatan2 Kerajaan dan GLC2?

Saya kemukakan pertanyaan di atas kerana syarikat2 kontraktor yang melaksanakan sistem KPI lebih awal daripada Kerajaan ada membuat sasaran KPI untuk perbelanjaan di setiap projeknya.

...SAJI

Abgbent said...

Terima kasih sdr Saji kerana memberikan input "Central Contract"

Adakah kaedah itu telah terbukti berjaya mengelakkan perbuatan kurang berhemah atau tidak beramanah para kakitangan yang terlibat? dan sudah terbuktikah juga harga yang ditawarkan melalui sistem itu dapat menyamai harga pasaran atau perkhidmatan yang ditawarkan?

Saya kurang pasti, sebab itu ingin bertanya lanjut kepada saudaraku Saji.

Abgbent

siut21 said...

Dato'

Perumpamaan yang menyebut: "kalau kepala busuk makanya usus juga akan busuk" tidak boleh dipakai dalam semua keadaan termasuklah aspek yang Dato' bincangkan iaitu HEMAH dan HEMAT.

Ia mungkin boleh dipakai dalam konteks ikan itu sendiri tetapi tidak dalam konteks manusia. Ini kerana kepala dan usus dalam konteks ikan meskipun dua bahagian berlainan tetapi berada dalam satu jasad yang sama.

Berbeza dengan manusia, meskipun 'kepala = ketua' dan 'usus = pengikut/orang bawah' berada dalam pasukan/partai/negeri yang sama tetapi kedua-duanya dipisah dari segi fizikal, intelektual, emosi dan mental.

Dalam konteks orang atas dan bawah, hubungan antara kepala dan usus boleh diklasifikasikan seperti berikut:

1. Kepala elok, usus elok
2. Kepala elok, usus busuk
3. Kepala busuk, usus elok
4. Kepala busuk, usus elok

Dalam konteks orang bawah dan atas hubungan antara usus dan kepala boleh diklasifikasikan kepada berikut:

1. Usus elok, kepala elok
2. Usus elok, kepala busuk
3. Usus busuk, kepala elok
4. Usus busuk, kepala busuk

siut21 said...

Dato'

Dalam konteks 'kepala' dan 'usus', kepala (orang atas) mungkin elok tetapi usus (orang bawah) mungkin busuk. Kepala boleh pantau, tegur dan bertindak tetapi dalam konteks demokrasi ia akan dilihat sebagai otokrasi.

Makanya untuk mengelakkan tuding menuding antara kepala dan usus, masing-masing perlu kekal elok dan kalau ada yang busuk, pihak yang bususk harus menerima kesan dari kebusukan itu menerusi pihak ketiga (penguatkuasaan) yang tidak pilih bulu tetapi hanya pilih kesalahan.

Seperkara yang menjengkelkan dalam konteks kepala dan usus ialah apabila sering dikaitkan dengan perumpamaan 'bapa borek anak rintik'. Yakni kalau kepala busuk makanya usus akan turut busuk.

Soalnya dalam konteks demokrasi, kenapa ianya mesti berlaku? Kenapa gunakan bidalan "ketam ajar anak jalan lurus" bagi menghalalkan usus yang ikut kebusukan kepala?

Amat jelek kalau kepala busuk makanya usus mesti busuk. Kenapa usus tidak boleh kekal sihat? Kenapa usus harus ikut busuk dan dibuang ke longkang? Kalau usus kekal sihat bukankah lambat laun kepala juga akan jadi elok dan tiada pihak masuk lonkang?

Namun, tidak dinafikan bahawa kepala ada pengaruh tidak langsung terhadap usus. Ada kala dan ketikanya, kepala yang busuk akan memberikan inspirasi kepada usus untuk berbuat yang ini: "kalau kepala kencing berdiri, usus kecing berlari" iaitu akhirnya usus jadi lebih busuk dari kepala.

Anonymous said...

Pemimpin tertinggi Perkhidmatan Awam tidak serius dalam menangani masalah pembaziran wang Kerajaan. Kerana itu, kelemahan2 dalam sistem pengurusan kewangan Kementerian dan agensi berterusan saban tahun.

Sebagai contoh, pembelian berpuluh ekor kuda oleh NSI yang menelan belanja lebih dari RM 4 juta. Bukan sahaja tidak mengikut peraturan perolehan tetapi juga kuda2 itu tidak didapat digunakan secara berfaedah. Kalau saya Ketua Setiausaha Negara, saya sudah pasti telah menggantung kerja Pengarah NSI tersebut atau sekurang2nya letak beliau dalam peti sejuk. Kalau ini berlaku ketua-ketua Jabatan pasti akan lebih berhati2 kerana takut dilakukan sama.

Road runner

saji said...

Sdr Azman

Semasa bekerja dengan Kerajaan dulu saya pernah di panggil oleh BPR sebagai saksi untuk mengesahkan butiran perubahan kerja atau Variation Order yang dilakukan oleh rakan jurutera Cina membabitkan petukaran bahan tiang konkrit tetulang kepada bahan kayu tanpa pengurangan kos,di mana akhirnya rakan jurutera saya itu diberhentikan.

Saya kira banyak kes perubahan kerja seperti di atas yang dilakukan oleh kakitangan awam berkaitan yang tidak dilapurkan kepada pihak BPR atau SPRM.

ab said...

Saudara saji,



AG kena audit keputusan keputusan
yang melibatkan perbelanjaan dan peruntukan duit olih bos bos ni..


Orang bawahan ikut arahan bos bos ni, yang melingkup selalunya bos bos ini lah...


Tetapi semua problem bolih `settles' kat padang...bukan betumbuk, tapi pukul bola dengan besi lah...


Abu Bakar Ab Rahman

Anonymous said...

Saya tidak arif tentang birokrasi kerajaan.

Jadi saya nak tanya, tidakkah dalam SOP mana-mana jabatan kerajaan, sudah jelas siapa yang tandatangan, siapa yang luluskan, siapa pula yang buat specs.

Atas asas jawapan ya kepada persoalan diatas (lagipun semua aktiviti audit dibuat mengikut audit trail yang berasaskan SOP sedia ada), tidak kah tidak sukar mencari punca nanah?

Kelemahan yang diutarakan audit, bagi saya boleh dikelaskan kepada 2;

1.Kecuaian - walau berlaku tanpa niat jenayah tapi masih perlu diambil tindakan jika ketara impak dari kecuaian itu. Contohnya pembelian yang berganda lebih mahal dari harga pasaran atau tidak menepati specs perlu ada tindakan tatatertib. Setidaknya dikenakan tindakan kerana melanggar akujanji.

2.Pecah amanah - sengaja dilakukan untuk manfaat peribadi, perlu diserah kepada SPRM untuk didakwa dan dipenjara (sekaligus terlucut jawatannya dari perkhidmatan awam.

Saya nak juga tahu, kementerian yang sudah diperbaiki itu, apa tindakannya itu?

Soal perut dan usus. Jika baru berlaku maka soal perut dan soal usus boleh diasingkan.

Namun masalah penemuan audit yang "pelik-pelik" ini telah pun berterusan buat sekelian lama (bukan saya kata tapi TDM yang kata).

Jika difikirkan secara logik, mana ada perut busuk yang nak naikkan usus yang baik; mesti rekemen usus yang sama bususk untuk naik pangkat.

Jadi dalam konteks sekarang, tentunya persepsi awam adalah perut dan usus yang sama-sama busuk.

Seperti yang saya ketengahkan awal-awal tadi, yang terlibat dengan proses perolehan ini hanya beberapa orang sahaja dalam sesuatu jabatan.

Jika rakyat cuai dengan cukai, jika ditangkap maka berat hukumannya.

Hatta cuai bayar cukai pintu boleh menyebabkan rumah kena sita.

Nak putihkan nama dari black-list dek identity theft sekalipun kena pergi mahkamah, mungkin cecah berbulan lamannya.

Rakyat diseru ubah gaya hidup, kerajaan bila lagi?

Rakyat diseru memantau harga sebelum membeli, apa cerita pula dengan pembelian kuda?

Mungkin Saji pernah tengok,suatu ketika dulu, tindakan diambil terhadap rakan kerjanya kerana cuai dalam tugas. Itupun kerana anda kerja dalam kerajaan masa tu.

Setelah bertahun-tahun membaca laporan audit negara yang "pelik" seperti ini, tidakkah sudah sampai masa tindakan yang diambil terhadap pesalah hatta dalam kategori cuai sekalipun, dipaparkan kepada umum.

Jangan jadi macam stadium Terengganu, sampai sekarang pesalahnya belum dihukum.

Fed Up

blackmar said...

sejahtera ke atas kamu dato`.

bila saya membaca artikel dato` ni, otak saya menafsirkan sesuatu yg negatif. akibat dari itu hati saya mnjadi tidak begitu tenteram. kesannya pula jari jemari saya ingin saja utk menekan ayat2 berbentuk sarcastic utk dato`. isyarat itu smua dihantar oleh otak yg brtindak sbg pengolah.

dipendekkan cerita...

1.kenapa dato` tidak mengulas tentang kejayaan penang berjaya membyr hutang peninggalan BN sbyk rm635juta.

2. kenapa dato` tidak mengulas tentang kejayaan selangor di bwh Mb khalid menguruskan kewangan nya dgn baik. terbaik dlm tempoh 28 tahun.

3 kenapa dato` tidak berminat mengulas tentang kewangan kerajaan kedah yg terbaik dlm tempoh 5 tahun.

membincangkan tentang kejayaan itu boleh menyihatkan otak.
bercerita tentang `lebihan` brjumlah lbh rm3b` otak akan memberi isyarat sakit pd hati.

jbtn audit ni duduk di bwh krajaan BN. klu audit ni bebas saya percaya smakin sakitlah hati kita bila membaca tentang hasil laporan audit negara.

saji said...

SdrAbgbent

"Adakah kaedah itu (Central Contract)telah terbukti berjaya mengelakkan perbuatan kurang berhemah atau tidak beramanah para kakitangan yang terlibat? dan sudah terbuktikah juga harga yang ditawarkan melalui sistem itu dapat menyamai harga pasaran atau perkhidmatan yang ditawarkan?

Saya kurang pasti, sebab itu ingin bertanya lanjut kepada saudaraku Saji."


1. Saya mula berkerja dengan Kerajaan pada 1977dan melanjukan pelajaran pada 1984. Apabila kembali bertugas pada 1991 pembelian barang atau peralatan untuk keperluan pejabat Kementerian dan Jabatan Kerajaan melalui Central Contract sudah tidak ada lagi. Maknanya ia diberhentikan pada zaman mantan PM, TDM.

2.Harga yang ditawarkan oleh Kontraktor Pembekal lebih kurang harga pasaran atau kompititif Malah sesetengahnya lebih rendah kerana harga yang ditetapkan oleh Kontraktor Pembekal adalah melalui tender terbuka yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.

3. Kementerian dan Jabatan Kerajaan hanya perlu mengelur dan tandatangan dokumen pesanan yang dipanggil Local Order (warna kuning) bagi keprerluan pesanan barang atau peralatan daripada Kontraktor Pembekal, dan apabila barang atau peralatan sudah diserahkan oleh Kontraktor Pembekal dan disahkan penerimaannya oleh Kementerian dan Jabatan Kerajaan,maka dokumen pengesahan penerimaan yang dipanggil Good Receive Note (warna pink)dikeluar dan ditandatangan.


4. Berdasarkan pengalaman,Central Contract dapat mengatasi masalah kurang berhemah atau tidak beramanah di kalangan kakitanagan di Kementerian2 dan Jabatan2 Kerajaan kerana meraka terhalang atau tidak berpeluang langsung untuk melakukan sendiri tender atau mencari sebutharga.

Ab Razak Hj Ahmad said...

Every year report yang sama. Dah berapa ramai yang kena buang kerja atau dakwa...???

Bila kerajaan isytihar bonus semua kakitangan awam dapat tidak kira yang prestasi cemerlang atau hancus.... Sepatutnya beri bonus ikut rating...

Saya pernah kena sound dengan CEO sebab print report tak guna kertas recycle or print depan belakang... Kami tahu menilai setiap sen harta syarikat....

Saya dah hampir 10 tahun dalam dunia Contracts & Procurement rasa pelik bin ajaib... macam mana depa dok buat kerja mark-up harga ni...????

Ooohhhhh Malaysia tanah air ku...!!!

Sufian Idrus said...

Datuk,

Dari sebuah akhbar di Australia Barat baru-baru ini;

"Gathering for the Commonwealth summit has been an opportunity for a shopping spree and sightseeing around Perth for many delegates and visitors.

A few city retailers reaped the rewards, with one first lady known to have bought $150,000 worth of WA pearls, while Malaysian Prime Minister Najib Razak's daughter is believed to have spent $60,000 in David Jones."

Kenapa terlalu banyak berita-berita kontroversi yang tidak pasti kesahihannya dari pelbagai akhbar di serata dunia mengenai PM kita? Sepertimana berita di atas yang mengkhabarkan perbelanjaan AUS$150,000 oleh DS Rosmah dan AUS$60,000 oleh anaknya, berlaku juga berita-berita aneh seperi pembelian sebentuk cincin bernilai RM24 juta, pengagihan perbelanjaan melebihi RM100 juta setahun kepada projek yang diketuai oleh DS Rosmah dan sebagainya.

Adakah ini sekadar penipuan pihak pembangkang atau pembaziran wang negara?

Wallahualam...

Abgbent said...

Buat tatapan Saudaraku Saji, mohon izin juga daripada Datuk KJ,

Sistem Central Conract itu dah mansuh? lalu kenapa dimansuh kalau ianya berupaya mengatasi sistem sedia ada?

Kementerian Kewangan yang menguruskan sistem itu? Lerrr... lagilah parah barangkali. Bukankah Kementerian itu juga antara yang dilaporkan Auditor?

Saudaraku Saji, saya berkeyakinan bahawa sistem itu mempunyai lagi hebat kelemahannya. Kalau tidak, takkanlah dengan mudah ianya dimansuhkan...

Lagipun, bayangkanlah berapa lama masa yang diperlukan untuk menyelesaikan pembelian daripada pelbagai Jabatan yang diuruskan secara "Central Conract" itu. Belum cerita birokrasi yang sedia ada dipelbagai peringkat di dalam sistem itu.

Inilah akibatnya bila sentiasa dibuai mimpi mengatakan diri lebih hebat, walhal sebenarnya orang lain dari sisi yang lain, sudah berkali-kali ganda lebih hebat daripadanya. --> Merujuk pada Kementerian Kewangan.

Terima kasihlah saudaraku Saji kerana memberikan input itu.

Namun realitinya, saya mempunyai keyakinan bahawa sistem itu lebih parah daripada sistem yang sedia ada.


Abgbent.

Anonymous said...

bazir wang tu satu..ni yg kategori tipu wang negara..contoh kes NFC..
Sekarang ni bukan projek infrastruktur je yg kena songlap....projek lembu pun jadi.....boleh dato simpulkan .....syarizat and famili ke yg tipu atau noh and the gang yg suruh tipu.... dua2 nampak cam cover satu sama lain...


cowboy taiping

Anonymous said...

Salam Datuk, Kakitangan awam adalah mereka yang makan gaji, dan bila dapat gaji akan digunakan untuk bayar bil dan sebagainya, termasuklah bil bulanan celcom broadband untuk menulis komen ini. Hal ini tidak berlaku kepada individu yang bernama Pengarah, Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha dan Menteri.
Justeru, wujud rasa tidak puas hati kakitangan awam terhadap puak yaang berkenaan. Bukan suatu yang baharu di Malaysia, individu yang tiba-tiba menjadi YB, malah Ketua Cawangan sekalipun, akan berubah juga tanda kemewahan mereka. Daripada seorang individu yang biasa menunggang motor, boleh berubah ada pemandu dengan Mec berwarna hitam, lengkap dengan logo Ahli Parlimen dsb.
Dalam konteks kakitangan awam pula, puak Jusa atau P&P 52 ke atas, sebahagiannya mungkin hidup seperti kakitangan awam lain juga, hanya mengharapkan gaji bulanan. Tetapi, memang ada yang mewah seadanya, lantaran serba serbi disediakan oleh jabatan, hatta celcom broadband dan laptop! Walhal mereka boleh membelinya dengan menggunakan wang gaji bulanan yang diterimanya.
Rata-rata semua puak diatas akan menggunakan kemudahan tersebut sebab mereka beranggapan mereka perlu menggunakannya. Pada masa yang sama, mereka tidak pernah menaip sendiri pada laptop, hanya mengarah pembantu dsb. Inilah realiti.
Belum lagi bila disentuh puak-puak berkenaan juga dilantik untuk menjadi pengerusi itu dan ini yang umum mengetahui ada elaun dan gajinya. Puak ini juga hadir ke mesyuarat pun dibayar elaun. Justeru, jika dikatakan kakitangan awam masih belum seperti yang diharapkan tidaklah tepat, sebab kepimpinan tiada untuk ditelani.
Bukan suatu yang luar biasa jika puak-puak itu turun ke padang, maka akan ada pesanan agar makanan perlu ada lauk itu dan ini. Itu belum lagi dengan hajat-hajat untuk membeli ini dan membeli itu. Maka berebut-rebutlah para pengampu menunaikan hasrat puak berkenaan, dengan niat agar mudah untuk naik pangkat jika ada temu duga kelak, sebab puak-puak berkenaan yang akan menjadi panel penentunya.
Bila ada kekosongan jawatan, dan wujud proses temu duga, maka yang banyak mengampu, yang pandai bercakap tapi tak reti kerja, dan yang sanggup jilat punggung puak yang berkenaan akan dipilih untuk mengisi jawatan tinggi. Hal ini berlaku dan terus berlaku secara pusingan, sehinggalah sampai ketahap sekarang kakitangan awam muak dengan kerja mereka sebab seolah dipermainkan.
Pekerja yang seharusnya dinaikan pangkat, dinafikan kerana tidak mahu mengampu. Lantaran itu, bagi pemerhati politik dalam pejabat akan membuat kesimpulan dan satu fatwa, bahawa untuk mendapat kenaikan pangkat, syarat wajibnya ialah mengampu, dan mesti YES BOSS dalam serba serbinya, walaupun benda yang tidak betul.
Lama-kelamaan secara pusingan, maka terhasillah pegawai atasan yang terdidik begitu. Pada masa yang sama, maklumat brhubung ketirisan pegawai atasan termasuk bapak dan ibu menteri bukan suatu yang baharu di malaysia sekarang.
Rasuah, pemilikan tanah dengan saiz yang tidak munasabah, dan banyak lagi yang hanya memenatkan jari saya untuk menaipkannya, secara tidak langsung telah menganggu pemikiran kakitan awam "kenapa mereka boleh aku tidak?" Walhal, gaji kakitangan awam memang tidak mencukupi bandingkan gaji puak berkenaan yang tidak akan terusik langsung!
Fenomena ini tidak berlaku (mungkin) dalam kalangan pengamal media, sebab kreativiti menulis dan kemahiran menganalisis menampakan akan kebolehan dan kehebatan seseorang wartawan itu. Hal ini tidak berlaku kepada kakitangan awam. Yang kerap berlaku, bila suatu projek berjaya, hanya ketua pengarah yang akan mendapat nama. Itulah yang kerap berlaku.
Walhal dalam bola sepak, kita diajarkan, kerja berkumpulan, dan kemenangan adalah hasil usaha bersama. Dengan bergandanya sikap mengampu untuk terus hidup pada masa sekarang, maka hal ini akan terus berlaku dan berlaku.
Kakitangan awam tidak salah. Yang bersalah adalah kepala yang membimbing kakitangan awam menjalar, seperti mana ular sawa menyusur laluanny. Harap datuk dapat bayangkan fenomena ini.
PTD BERSARA

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).