Saturday, June 16, 2012

Bermula 43 Tahun Yang Lalu

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

HARI ini, 16 Jun genaplah 43 tahun saya menjadi wartawan.

Pada pagi hari ini, dalam tahun 1969, saya melaporkan diri di Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sebuah banglo lama di Jalan Tun Abdul Razak.

Ketika itu, lebuh hias ikonik itu lebih dikenali sebagai Circular Road atau sekali-sekala disebut Jalan Pekeliling.

Saya datang dengan bas dan kereta api. Dengan bas dari kampung saya, Tanah Merah, Mukin Guar Kepayang, Pendang (ketika itu Kota Star) ke Butterworth. Dari situ, dengan Kereta api Tanah Melayu menggunakan waran kelas tiga yang dikeluarkan oleh Bernama.

Emak, kanak dan adik-adik menitiskan air mata. Allahyarham ayah memberi pesan sambil menadah tangan ke langit memohon keberkatan. Dia memberikan saya duit saku RM25.

Itulah yang dia mampu. Alhamdulillah, saya ada beberapa ratus ringgit dalam Post Office Savings Bank hasil lebihan biasiswa kecil Tingkatan Enam sebanyak RM50 sebulan.

Kalau hari ini ibu bapa berpesan kepada anak-anak mereka: “Buatkan kami berasa bangga” atau “Make us feel proud”, pesan mutakhir ayah kepada saya adalah “jangan bagi malu keturunan kita.” Bukan alang kepalang pesanan. Bukan sekadar jangan malukan diri atau ibu bapa, tetapi jangan aibkan keturunan.

Peristiwa 13 Mei baru sebulan berlalu dan Kuala Lumpur masih dalam ketakutan. Pergaduhan kecil dan perbuatan membakar masih berlaku di sana sini.

Di rumah mayat Hospital Besar Kuala Lumpur masih ada mayat mangsa pergaduhan yang belum dituntut. Sesetengahnya kerana tidak dapat dicamkan manakala yang lain tidak diketahui siapa warisnya.

Di situlah saya melihat iaitu, di saat-saat tragis dan duka, manusia tidak kenal bangsa. Saya melihat ibu Melayu, Cina dan India sama-sama meratap dan berpelukan apabila datang menuntut mayat anak-anak mereka yang beberapa hari sebelum itu saling berbunuhan.

Asap dan abu mengalu-alukan pelawat dan orang yang lalu-lalang di jalan dan lorong yang memisahkan Melayu dan Cina di Kampung Baru, Setapak dan Kampung Pandan.

Mula-mula saya tinggal dengan sepupu saya di rumah setinggan Kampung Pandan. Dia bekerja sebagai pengawal (jaga) syarikat perlombongan. Kita mandi dan mencuci pakaian di kolam lombong atau menggunakan air hujan yang ditakung.

Selepas itu, saya pindah ke rumah setinggan sepupu yang lain di Kampung Kerinchi. Untuk mandi, kita menyeberang jalan Kuala Lumpur-Petaling Jaya yang kemudiannya dinaikkan taraf menjadi Federal Highway. Kita mandi di anak sungai yang mengalir di sempadan Universiti Malaya.

Itulah permulaan kerjaya kewartawanan saya 43 tahun lalu. Perjalanan sudah lama dan jauh; dari pinggir Sungai Pendang yang layu ke muara Rio de la Plata di Amerika Selatan, Sungai Danube di Eropah dan Mississippi, Amerika Syarikat.

Dari era mesin taip Royal dan Olivetti kepada mesin taip elektrik IBM dan komputer riba. Dari era telefon awam kepada teleprinter telefon pintar dan komunikasi Internet. Dari era Perang Dingin yang tegang dan berideologi kepada era pasca-Perang Dingin yang anarkis dan penuh pertumpahan darah.

Di atas semua itu, saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya keselamatan, kesihatan dan kecekalan, dan berterima kasih kepada begitu ramai ahli keluarga, guru dan mentor, penyelia dan ketua, kawan dan taulan, pekerja dan majikan DAN, yang paling utama, pembaca setia. Terima kasih.

25 comments:

MURO- ZADEL said...

salam datuk;

memang bulan alang kepalang pesanan orang tua. selainnya, lain padang lain belalang, mana yang baik jadi pedoman, mana yang buruk jadi sempadan.

casper c said...

Always a pleasure getting to know you from your writing from a pass era, and touching that you recall and share with us words of wisdom from your late father.

Not one to teach an old dog new tricks but have you live up to your old man's wishes Pak Kadir ? No matter your response, may you surpass and exceed his every wishes and expectations as there is still time to right any wrong.

As always, salam to you and all out there.

ku_seman said...

Datuk, saya kagum membaca riyawat awal Datuk ke dunia kewartawanan. Kalau Datuk diibaratkan sebuah buku, saya hanyalah halaman yang pertama. Moga riwayat Datuk menguatkan prinsip saya.

OKJ said...

Salam Dato’ A Kadir Jasin

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ kerana terus berhujah sehingga kehari ini tanpa kenal erti penat. Juga bukan calang-calang orang yg boleh terus bekarya biarpun diasak dari segenap arah. Dan juga tidak memilih bulu bila memberi ulasan dan jawapan balas termasuklah kepada diri saya yg kerdil lagi cetek ilmu dan pengalaman.

Satu perkara yg saya cukup kagum ialah, Dato’ masih lagi dapat memberikan ucapan terima kasih kepada pembaca-pembaca blog ini walaupun kadang kala komen-komen menyinggung perasaan. Saya juga mengaku sesekali sekala saya ‘menyerang’ Dato’ secara kiasan dan lembut supaya seboleh-bolehnya tidak menyakitkan hati bila membaca. Saya memohon seribu kemaafan jika ianya masih terkasar bahasa dan diharap Dato’ tidak mengambil hati dan menyimpan dendam kesumat didalam kalbu.

Terus terang saya katakan, saya seronok membaca tampalan Dato’ dan kadang-kadang tertunggu-tunggu apakah tampalan yg seterusnya. Juga membaca komen-komen para pembahas menjadikan perbahasan lebih seronok. Diakui, penghujjahan Dato’ lebih adil dan telus berbanding kebanyakan penulis lain.

Akhir kata, diharap Dato’ dapat terus menulis dan berhujjah serta bekarya. Saya seronok dan teruja bila dapat melontarkan buah pendapat saya ke dalam blog ini walaupun beberapa kali telah dibakul sampahkan. Juga bersyukur sekurang-kurangnya pengetahuan cetek saya ini dapat dikongsi bersama. Sekian TQ.

Don Klang said...

Salam Dato Kadir Jasin

Teruskan menulis demi kedaulatan bangsa, agama dan negara.

ab said...

Salam Dato,


Saya lebih `mengenali' perspektif
dato dari pelbagai isu kerana dato menulis dari `hati'.


Dulu saya minati tulisan Pak Sako, tidak pernah ketinggalan membaca tulisan beliau.


Didalam kehidupan harian saya, tulisan dato menjadi `hidangan'
sarapan dan makan malam.


Saya ucapkan selamat menulis dan terus menulis.Dato adalah satu `genre' tersendiri.


Mudah mudahan panjang umur dan
sihat walafiat.


Abu Bakar Ab Rahman

mekyam said...

terima kasih kembali, tok scribe!

saya telah memautkan masukan hari ini ke dinding fb saya kerana pada saya kata2 ini: "Kalau hari ini ibu bapa berpesan kepada anak-anak mereka: “Buatkan kami berasa bangga” atau “Make us feel proud”, pesan mutakhir ayah kepada saya adalah “jangan bagi malu keturunan kita.” Bukan alang kepalang pesanan. Bukan sekadar jangan malukan diri atau ibu bapa, tetapi jangan aibkan keturunan." sungguh sesuai dgn hari ayah...

harap tok scribe okay with it. :)

Shamsudin Puteh said...

Assalamualaikum!
Syabas Datuk kerana berjaya mengharungi pelbagai cabaran dalam tempoh yang begitu lama sebagai pengamal media.

Semoga tampalan ini menjadi detik mula penghasilan memoir Datuk dalam bidang kewartawanan untuk dikongsi dengan pembaca sekalian.

--SHAMSUDIN PUTEH

OrangBaruLahir says said...

Dengan izin Dato'

Are you calling it a day Dato, with this write up ? I am just guessing of course, one cannot begin to draw the boundaries within the mind of a writer

Looking back is always the fun part of any long journey but the best part is being in the middle of the helter skelter journey itself.

I salute you for your graciouness in providing this temporary abode for me personally to harp my differences. I am living through the passing of an era, 50years of post colonial rule, what next for Malaysia is anyone guess at the moment, as the leaders seems lost, reason being I think their bellies are full and they see no need for further struggle, their minds are clouded by the wine, women, and money that are so easy and within reach to them, they have long detached themselves from the daily struggle of the people down below.

Its just the low part of the curve as with any civilization, they have to regenerate or for sure will continue to degenerate.

The UMNO leaders are TOTALLY hopeless at realising a better future for Malaysia. They ARE FAR TOO RICH and are no longer part of the daily struggle ... their ONLY struggle is HOW TO BE RICHER ....

I bore you I think, have a good rest....

Mohd Taib Kamin said...

Assalamualaikum Dato'.

Terima kasih kerana Dato' sudi berkongsi pengalaman peribadi Dato'.Bagi orang yang mahu belajar,Pengalaman adalah sesuatu yang dapat mengajar kita tidak kiralah pengalaman itu pahit atau manis.

Sebagai diantara pengikut setia blog Dato' saya berharap Dato' sudi berkongsi pengalaman suka duka Dato' yang mungkin dapat dijadikan tauladan dan ikutan kepada pengikut setia Dato'. Tentunya dalam tempuh 43 tahun terlalu banyak yang boleh Dato' kongsikan dengan kami.

Semoga Allah memberi kesihatan, keberkatan dan nikmatNya kepada Dato' sekeluarga.

Rawa Lanun-Bahasa said...

Another 30 YEARS To You, The Scribe
(aaa-miiiiin ya rahiim)

Tidak disebut walaupun dalam kiasan
kenapa terima kerja dengan Bernama.

Upgrade to International Malaysian Other Thots, Dato' Laksamana? Malay thots on international issues.

Kuala Lumpur was beautiful, then; but Penang was paradise - 60s childhood. Royal to ACER

But the future: The Malay Settlement in Madinah?

It is the climate change and what the weather brings with it, kata si-lanunbahasa, nostalgia is a pang of sweet sorrow - betul tak Mahaguru ku?

Sekian

Ryzal72 said...

Assalamualaikum Datuk dan semua,
Kita tegar memerlukan orang seperti Datuk demi untuk memastikan generasi baru dapat cuba menyelami apa yang sebenarnya berlaku suatu ketika dahulu untuk dibuat imbangan mengenai apa yang seharusnya dilakukan sekarang dan akan datang.!

Lahuma said...

Dato,

Tahniah anak jati Pendang Kedah Darulaman.

Tahniah juga pada Pak Jasin dan isterinya kerana ada kesedaran awal dalam mendidiknya yang bernama Abdul Kadir sekarang Dato A.Kadir.

Bila hijrah bersama ilmu yang ada itulah titik permulaan untuk berubah memberi bakti pada nusa dan bangsa.

Sekarang Dato jadi orang bandaraya Kuala Lumpur dari orang Daerah Pendang kawasan pokok beras.

Ada orang bila jadi warga bandaraya malu nak mengaku kata orang Kedah.

Ramai anak Kedah jati sudah bergelar Tan Sri.Dato Seri,Dato dan lain-lain malu-malu nak mengaku asal usul dari Kedah.

Ada jadi Koporat Besar,Pegawai Tinggi dan Rendah kerajaan termasuk swasta.

Stail cakap pun sudah banyak berubah maklumlah berpuluh tahun dalam persekitaran bandaraya.

Begitulah hidup kita hikmah berhijrah banyak bawa kemajuan hidup kita.

Cuma orang politik sahaja tidak dapat lari dari mengaku anak Kedah kerana tempat hidup mati politik dia dari mana dia bertapak.Kalau dia segan malu alamatlah tamatlah riwayat agenda politiknya.

Dato amat berjaya sebagai wartawan yang berpengaruh dan ada kelas nya yg tersendiri.Dengan fikiran yang tajam dan ikhlas serta penulisan yang bernas maka terserlah imej Dato.

Apa pun Dato masa depan kita semua masih panjang dan berliku-liku sama ada ekonomi,pelajaran anak bangsa,politik Melayu/Islam,budaya dan lainnya.

Semoga pada semua yang berjaya bila jadi pemimpin orang berjaya janganlah lupa diri,keluarga,anak bangsa,agama,orang miskin dan siapa juga.

Kalau ramai pemimpin lupa diri dan tak sedar diri.Maka bergolaklah negara kita angkara pemimpin terlupa pada diri sendiri dan tanggungannya.

Tahniah Dato .

Terima kasih.

Orang Kampung said...

Maaflah Dato' komen saya pada posting Dato kali ini agak peribadi. Andai kata tidak sesuai untuk disiarkan tak mengapa jika tidak disiarkan.

Dato',

Tatkala membaca coretan Dato' kali ini agak tersentuh sikit sentimen `keturunan' dan begitu nostalgik.

Ya, meskipun kita membesar di kawasan dan persekitaran sama serta umur yang sebaya namun kita tidak akrab. Mungkin kerana Dato' belajar di sekolah Orang Putih manakala saya di sekolah Arab.

Banggol Besi dan Tanah Merah sememangnya tidak jauh.

Namun yang paling tidak jauh dengan saya ialah Tok Wan Mat Hasan (saya panggilnya tok cai)

Dua lagi adik beradiknya iaitu Tok cai Jusoh dan Tok Cai Sulaiman (cacat penglihatan- amat rapat dgn saya).

Mereka adalah se`keturunan ' dengan saya. Malah tok cai Jusohlah (yang duduk di Pekan Pendang) menjadi wali nikah kepada kakak saya pada tahun 1954. Kerana arwah bapa saya meninggal pada tahun 1949.

Atas sebab tersebutlah berserta dengan usia yang semakin jauh kembaranya ini agaknya semakin mudah tersentuh dengan isu-isu sebegini - kekeluargaan dan keterunan.

Terima kasih , wassalam.

imlan adabi said...

Datuk, saya rindukan suasana bilik wartawan yang bunyi ketukan mesin taip, asap rokok dan jerit pekik di meja berita/ suasana sekarang dah lain. serius... tegang tapi media merosot jualannya

Orang_Muda said...

Tok terima kasih kerana masih bersemangat untuk berkongsi ilmu dan pendapat dengan kami, setiap post tok sangat berguna untuk direnungkan. saya sebagai orang muda merasakan tok adalah seorang idola dalam mencapai kejayaan dlm hidup. Bagaimana kalau tok menghasilkan buku biografi a.kadir jasin?

Jaja said...

Salam hormat DAKJ,

“jangan bagi malu keturunan kita.”

Ini boleh mengekalkan peradaban kita.
Satu pesanan yang saya kira yang paling mustajab untuk anak-anak Malaysia khususnya, tak kira apa bangsa sekali pun.
Dengan doa dipanjangkan umur. Tk.

maae said...

Salam Datuk,

1.Selamat Hari Bapa. Mungkin Datuk sudah sempurnakan tanggungjawab sebagai 'bapa' yang di hormati. Mungkin Datuk juga sudah memberi contoh baik kepada wartawan-wartawan baru,pertengahan dan yang akhir sebagai 'bapa' yang amat tahu dengan menggunakan ilmu nya. Saya tetap seorang bapa sederhana kepada anak-anak yang sederhana, mencari keredhaan Allah SWT, dunia dan akhirat ada nya jua, seperti nya Datuk, tetapi berbeza kerjaya , insya Allah.

2.Semoga Datuk dan seluruh keluarga di lindungi Allah Subhanawataala jua...Begitu jua kepada sesiapa jua yang ada gelaran 'Bapa' dan 'BAPA' yang dalam rahmat NYA.

3.Kita kenal dan berkenalan dalam alam maya - ide dan penulisan. Kita bersaudara kerana 'hati kita saling mengenali dalam roh alam maya' pancaran syiar dalam keindahan Islam. Ini lah Roh Islam...

4.Sayang nya sebahagian nya teruja bermusuhan dan ingin berbeza kerana sanubari (nur Allah) semakin kelam ... kata nya, demi kehidupan dan cita-cita manusia. Lantas mereka menjadi sombong penuh lara di alam keduniaaan ; menggangap diri begitu hebat dan 'terpilih' berada dalam golongan maha bijak pandai, bijak mencari kuasa dan harta , sehingga di anggap Islam itu KEMUNDURAN - PEGANGAN GAYA HIDUP ; memundurkan Diri, Bangsa dan Negara dan hanya perlu di praktik kan secara bersendirian... Ini lah kebanggaan keagungan dunia moden nya dengan mengagungkan berbagai-bagai idealisme ciptaan sendiri dan manusia lain nya, di OLAH tidak lain hanya demi memuaskan NAFSU semata-mata! Celaka lah golongan ini !!! Sesat lagi menyesatkan.....

Kepada semua, Sambutan Isra' Mikraj dan hayati roh nya.

Ikhlas dari maae.

MUMMY ROKIAH said...

Pendang bagi saya cukup sinonim dengan Tok Guru Hj Razak atau Hj Yazid.
Tidak kurang juga jaguh-jaguh politik akar umbi seperti Pak Ya Kapak.
Di mana mereka ini memainkan peranan yang penting setiap kali pilihanraya.

Ramai juga bekas-bekas YB seringkali merujuk To Aji Daq untuk tahu tarikh pilihanraya dan memohon Tok Aji Daq supaya mendoakan mereka dilantik oleh Che Det menjadi calun wakil rakyat.

Secara kebetulan mereka dilantik menjadi calun dan mereka menyusul lagi ke rumah Tok Aji Daq, kali ini memohon penyeri muka pula supaya pengundi apabila melihat seri wajah mereka pengundi akan mengundi mereka.

Apabila mereka menang mereka mula sibuk dan akan kembali semula jumpa Tok Aji Daq supaya mendoakan dipilih lagi menjadi wakil rakyat.

Kenangan.

mtgbertam said...

Lama tu dato'. Banyak la soalan kena jawab di padang mahsyar nanti. Elok la mula muhasabah sementara sisa umoq ada lagi. Rukun negara Allah tak tanya.

A KADIR JASIN said...

Terima kasih kepada semua pembahas (dan pembaca) kerena penghargaan dan pengiktirafan.

OKJ dan pembahas lain tidak perlu risau atau bimbang apabila mengkritik dan mengherdik saya asalkan berpatutan dan sopan.

Itulah tujuan blog kita - memberi ruang kepada semua pihak untuk bersetuju dan tidak berwsetuju. Itulah inti-pati tradisi kecendekiawanan.

Insya-Allah saya akan terus menulis, sama ada pembahas dan pembaca setuju atau tidak. Kadang-kadang, hal yang kita tidak setuju itu yang menggerakkan minda kita.

Sdra Orang Kampung, rupa-rupanya kita bersaudara kerana perkahwinan. Tok Wan Haji Mat Hasan adalah atok tiri saya. Dia berkahwin dengan tok saya, Hajah Putih. Mereka sama-sama bersawah dan sama-sama ke Makkah dengan kapal laut.

Tok Wanlah yang ajar saya tembak, lastik (terbe), jerat, tahan getah dan tebah burung. Dialah yang ajar saya bela kerbau dan perah susu kerbau.

Dia seorang tukang masak kenduri (gedohok) yang hebat. Kopi susunya "world class". Bila saya keluar dari kampung, saya berhenti minum kopi sebab tak ada yang boleh lawan kopi susu Tok Wan Hasan

Tok cai Jusoh, kalau tak silap saya, pernah buka kedai makan di Pendang. Salah seorang anaknya nama Baharon (Allahyarham). Tok Cai Sulaiman yang cacat penglihatan pun saya kenal baik. Salah seorang anaknya bernama Hashim. Tapi saya sah lama tak jumpa mereka. Mana-mana yang kenal, tolong kirim salam.

Terima kasih kepada Orang Kampung kerana berkongsi nostalgia dengan saya dan para pembaca blog ini.

Terima kasih.

Pak Engku said...

Salam Datuk dan semua
Nostalgia lama memang indah dan sangat mengujakan. Banyak pengajaran dan panduan yang boleh dikutip dan diteladani. Umpamanya kesabaran dan ketekunan dalam menjalankan kerja dan tanggungjawab hanya menngunakan "typewriter". Itulah sumbangan orang lama yang perlu dipertahankan dan diperhalusi oleh generasi terkini.

fattah yusoff said...

Tahniah.
Hebat pesanan Allahyarham Tok Njang Jasin. Mesti dijadikan panduan.
Antara tok menakan yang saya tahu di mana letak kuburnya kerana letaknya berhampiran kubur Allahyarham Ayah saya. Bila balik kampung dan pergi menziarahi kubur,dan kalau terjumpa Tok Su Me', dia akan bagitau letaknya kubur saudara-mara.
Alfatihah buat mereka.

Jaja said...

Salam hormat DAKJ,

MUMMY ROKIAH,
Agaknya masa lampau memang macam itu. Tetapi kini orang ramai ingin mengenali calon mereka dengan lebih terperinci. Malah zaman siber ini mereka dapat mengenali latar dan diri setiap calon dengan berblog, bertwitter dan berfacebook. Maklumlah tempat kerja pun jauh dari kampung.
Walaupun tandas bakal calon pun mereka tahu bersih atau pun kotor.

A KADIR JASIN said...

Terima kasih anak bauh Fattah Yusoff kerana ziarah kubur Pak Njang Jasin. Pak Su Mee dia jaga kubur secara sukarela.

Pak Ungku, dulu ada kelas menaip dan kelas trengkas. Kemahiran itu penting kalau nak minta kerja dengan kerajaan atau nak jadi petition writer.

Jaja, pada zaman awal, orang berebut tolak tak mahu jadi calon sebab rasa tak layak atau tak sanggup pikul amanah.

Hari ini berlumba nak jadi calon walaupun dada penuh pekung sebab bila ada kuasa, ada duit dan duit boleh ubati pekung dan tutup mata orang ramai mengenai almari yang penuh tengkorak.

Terima kasih

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).