Monday, December 10, 2012

AES: Kesinisan Saya Mungkin Serius


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

MENGULAS dalam tampalan bertajuk “Truly Asia Growingly Crime Ridden” pembahas yang menggunakan nama samaran “TOOLBOX” (kotak peralatan), menulis:

“Patek Kuat. Sangat sinikal! Sekali-sekala Datuk buat lawak bersembur nescafe yang saya minum. Syukur tak kena keyboard!”

Kalau ada orang guna nama Beta Tegap Sdn Bhd dan dapat konsesi lumayan, apa salahnya kalau saya namakan syarikat khayalan (imaginary) saya Patek Kuat. Ada sejenis jam tangan berprestij bernama “Patek Philippe” buatan Swiss.

Kita pun tidak pasti “Beta” dalam nama syarikat konsesi AES itu merujuk kepada “beta” yang digunakan oleh Raja-Raja untuk membahasakan diri atau “beta” yang berupa huruf kedua dalam abjad Greek – alpha (a), beta (b), gamma (g), delta (d).......

Atau “beta” yang merujuk kepada ukuran potensi risiko saham (pelaburan) yang diukur mengikut nisbah turun naik saham berbanding dengan pergerakan pasaran.

Atau “beta” yang merujuk kepada prototaip yang hampir siap bagi sesuatu barangan atau perisian komputer.

Nama Adalah Segala-Galanya

Apa pun maksud nama syarikat mereka, dakwaan mereka ialah sistem yang mereka bekalkan kepada pemerintah melalui Jabatan Pengangkutan Jalan adalah “better” (lebih baik) daripada segala sistem yang serupa yang ada sekarang.

Memang betul. Sistem mereka boleh buat tangkapan siang malam tanpa henti dan boleh keluarkan lebih banyak saman berbanding pegawai JPJ atau polis yang bersembunyi dalam belukar atau bawah jejambat.

Potensi hasil pun lebih bagus. Kalau JPJ atau Polis yang keluarkan saman, kita boleh merayu atau dari semasa ke semasa diisytiharkan diskaun. Saman AES, khabarnya tak boleh merayu dan kalau tak bayar, terus naik mahkamah.

Jadi, kalau mereka boleh guna nama Beta Tegap untuk syarikat mereka, apalah salahnya saya guna nama “Patek Kuat” untuk syarikat khayalan saya?

Lagipun, adalah tidak mustahil bagi orang yang berusaha keras dan sentiasa mencari peluang untuk memaksimumkan keuntungan - seperti para kapitalis yang memodali Beta Tegap - untuk memperoleh sistem yang lebih baik.

Apa yang ditawarkan oleh syarikat khayalan Patek Kuat sangat berpotensi menjana pendapatan yang lebih lumayan.

Ia bukan saja boleh mengesan pemandu yang melanggar had laju dan lampu isyarat, tapi boleh mengesan orang bawah umur memandu secara haram, memandu dengan lesen yang sudah tamat tempoh (lesen mati), memandu kereta curi, memandu ketika mabuk, tidak hormat pengiring (outrider) orang kenamaan, tidak beri laluan kepada kereta Proton Perdana bercermin hitam, bersiren dan dengan lampu strob biru dan, yang paling utama, orang yang memandu sambil membantah AES.

Sekarang kita kerap baca berita remaja bawah umur curi pandu kereta saudara mara kemudian mati langgar pokok, masuk gaung atau ditembak polis kerana tidak berhenti apabila diperintahkan.

Outrider, Outrider Di Mana-Mana

Pandu kereta curi, pandu tanpa lesen atau lesen mati dan mabuk perkara biasa. Kemudian karenah pengiring orang besar pula. Tak apalah kalau Raja-Raja, Gabenor, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dan bekas Perdana Menteri ada pengiring.

Sekarang, kata si tiung yang pandai bercerita, menteri polis, menteri askar dan Datuk Bandar pun ada pengiring bermotosikal.

(Menyebut mengenai menteri polis, saya rasa perang mulut yang membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan dengan bekas bos-bosnya perlu diberi perhatian.)

Kalau belum cukup banyak pihak yang meminta keistimewaan di jalan raya, fikirkan pula mengenai banduan atau tertuduh yang sedang dibawa ke penjara atau ke mahkamah. Mereka pun ada pengiring. Paling tidak bertimbang rasa adalah konvoi Jabatan Penjara yang guna lorong laju di lebuh raya apabila had laju kenderaan berat mereka hanya 90 kilometer sejam. Nampaknya ada juga keistimewaan jadi banduan dan tertuduh.

Kemudian, di akhir-akhir ini ada pula yang tak dapat pengiring polis tapi nak rasa istimewa di jalan raya. Mereka inilah yang saya maksudkan dengan kereta Proton Perdana bercermin hitam, bersiren dan dengan lampu strob biru. Mereka “cilok” kiri kanan seolah-olah jalan raya milik nenek moyang mereka. Alahai negaraku Malaysia.

Berkenaan yang pemandu yang memandu sambil membantah AES, maklumat mengenai mereka sangat penting sebab ketidaksukaan mereka kepada AES boleh membawa hingga ke peti undi.

Kalau mereka boleh dicam dan dikesan, bolehlah Perdana Menteri menghantar risalah 1Malaysia seperti yang beliau hantar kepada semua pemilih baru yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya agar mengundi Barisan Nasional. Saya tahu hal ini sebab anak saya ada menerimanya. Manalah tahu lembut hati mereka apabila menerima risalah daripada PM.

Apa Salahnya Kita Sinis?

Bersabit kesimpulan pembahas “Toolbox” yang saya sinis (cynical), apa kata saya sebenarnya serius?

Lagipun, apalah salahnya kita sinis. Sinis bukan hal remeh. Ia sebenarnya satu cabang falsafah Greek lama (ancient Greek).

Pengamal “cynic” berpegang kepada falsafah iaitu matlamat utama kehidupan mestilah sebati dan selari dengan hukum alam. Atas landasan itu, mereka menolak kehendak (nafsu) seperti kekayaan, kuasa, seks dan kemasyhuran. Mereka memilih untuk hidup tanpa sebarang bentuk pemilikan. Malah ada yang mengemis. Tapi sinis saya tidaklah macam itu.

Hari ini, istilah sinis digunakan bagi merujuk kepada ketidakpercayaan seseorang atau kumpulan terhadap sesuatu perkara. Maksud sinis hari ini lebih hampir kepada sindir. Wallahualam.

25 comments:

Saji said...

Salam Dakj,

"Hari ini, istilah sinis digunakan bagi merujuk kepada ketidakpercayaan seseorang atau kumpulan terhadap sesuatu perkara. Maksud sinis hari ini lebih hampir kepada sindir. "

Dato' guna tulisan untuk Dato' sindir Kerajaan UMNOBN pasal AES, tetapi saya guna tulang empat kerat saya untuk saya sindir baba dan emak mertua saya pasal keputusan mereka pindah ke kampung isteri selepas baba mertua pencen kerajaan (kira 20 tahun lalu) untuk buat rumah banglo dan kebun sekali di tanah persaka pertanian seluas 6 ekar di Batu 12, Jalan Kelang-Banting tetapi hingga akhir tahun lalu (2011) kebun yang mereka berdua angan-angankan tidak jadi-jadi (maksudnya keadaan semak seperti asal) dengan memberi alasan masalah pecemaran asap dari kilang kayu berdekatan, masalah serangan monyet dsb.

Pada akhir tahun lalu (2011) saya berpakat dengan isteri pindah ke ruamh mertua tersebut untuk saya jadikan kebuan yang tidak jadi-jadi itu kepada projek "eco-educational- torusiam" yang, dari sudut ilmiah, saya namakan Projek Konservasi Tanah Pertanian Di Kawasan Urban yang saya beri anggaran kepada isteri saya 1 tahun boleh siap.

Hingga hari ini, 90% litar BMX siap, 90 % 8 buah kolam ikan haruan siap, purata 70% tanaman pokok ulaman,tanaman pelbagai jenis buah-buahan dan tanaman pokok perasa, sayur kampung di zon masing2 siap, 70% lintasan parit dan alor siap dan, akhir sekali, 10% pembersihan parit sedia ada siap.

...SAJI

OKJ said...

Salam Dato’ Kadir

Terima kasih Dato’. Satu tajuk yg terhangat di pasaran sekarang. Mana taknya, dalam masa terdekat ini, setiap hari, beberapa ratus rakyat Malaysia naik ‘court’ sebab kena saman AES. Kata ketua pengarah JPJ, ini baru 14 Kamera AES dipasang. Tapi saman dah lebih 250 ribu dikeluarkan. Kata timbalan Menteri pula, dah 256899 saman dikeluarkan sehingga 26 November 2012. Gila!!!! Bayangkan kalau semua 831 kamera AES dah dipasang nanti pada penghujung tahun depan.

Bagi sayalah, kerajaan UMNO BN sebenarnya memang menempah maut menjelang PRU 13. Kalau penyokong kuat UMNO macam saya pun menyampah dgn kenyataan berlagak Ketua pengarah JPJ dan ‘Menteri Jalan’ kerajaan BN, inikan pula penyokong tegar PR. Juga pengundi-pengundi atas pagar terutamanya yg dah kena saman AES. Silap-silap tsunami PRU 2008 akan berulang kembali atau lebih teruk dari itu. Dan YAB Dato’ Seri Presiden terpaksalah menjadi ketua pembangkang pula selepas ini.

Macam saya kata, pertamanya, di Negara maju, mereka mempunyai alternative utk menaiki kemudahan awam terutamanya system keretapinya yg begitu cekap terutamanya bila nak pergi kerja setiap hari. Tapi kita di Malysia ni tiada alternative yg terbaik dari membawa kenderaan sendiri ke tempat kerja. Keduanya, statistic kemalangan maut yg dikeluarkan oleh Polis menunjukkan pembonceng motosikal menjuarai kemalangan maut di Negara kita. Apa pasal pula kereta yg majoritinya disaman? Juga seperti Dato’ kata, kenapa pula saman pun boleh diswastakan?

Akhir kata, saya berharap agak kerajaan tidak menzalimi rakyatnya dgn alasan hendak mendisiplinkan mereka. Sebabnya, rakyat pernah mengajar kerajaan yg sombong pada 2008, janganlah mencabar supaya rakyat mengajar kerajaan yg sombong dan menzalimi rakyatnya sendiri sekali lagi. Penyokong PR akan pangkah PR, penyokong atas pagar akan menyampah dan terus sokong pihak lawan, dan penyokong kerajaan akan buat undi protes samada tidak keluar mengundi atau buat undi rosak. Sekian TQ.

Naj said...

Saya cukup meluat entiti-entiti yang mahukan keistimewaan ni. Cukup lah sekadar Sultan-sultan saja yang ada pengiring, dan Perdana Menteri. Itupun kalau urusan rasmi. Bayangkan kalau jem teruk kemudian kena pula ketepi untuk pihak-pihak istimewa, akan menaikkan ketegangan dan mampu tingkatkan kemalangan.

Saya sokong AES, dan saya harap saham syarikat-syarikat AES diberi percuma kepada 10-20% rakyat termiskin negara.

Saya juga harap AES boleh lebih progresif; kalau kali pertama saman dalam satu perjalanan RM300. Kalau ketegaq dok lajuuuu jugak, kena 2-3 kali dah makin naik. Bayangkan kalau satu perjalanan kena saman sampai RM10,000 baru la puak-puak flash headlight yang langsung tak mau slow ni terasa sikit. Kalau setakat RM300 kadang-kadang celah gigi je bagi sesetengah pihak.

Naj

awangbatuburok said...

Sekarang, kata si tiung yang pandai bercerita, menteri polis, menteri askar dan Datuk Bandar pun ada pengiring bermotosikal.

Kalau belum cukup banyak pihak yang meminta keistimewaan di jalan raya, fikirkan pula mengenai banduan atau tertuduh yang sedang dibawa ke penjara atau ke mahkamah. Mereka pun ada pengiring. Paling tidak bertimbang rasa adalah konvoi Jabatan Penjara yang guna lorong laju di lebuh raya apabila had laju kenderaan berat mereka hanya 90 kilometer sejam. Nampaknya ada juga keistimewaan jadi banduan dan tertuduh.

Kemudian, di akhir-akhir ini ada pula yang tak dapat pengiring polis tapi nak rasa istimewa di jalan raya. Mereka inilah yang saya maksudkan dengan kereta Proton Perdana bercermin hitam, bersiren dan dengan lampu strob biru. Mereka “cilok” kiri kanan seolah-olah jalan raya milik nenek moyang mereka. Alahai negaraku Malaysia.

Salam Sejahtera Datuk AKJ,

Terima kasih Datuk kerana sudi mengutarakan isu diatas. Lebih memualkan lagi sekarang ini bukan setakat pemimpin/ketua organisasi politik "cilok" keistemewaan diatas jalanraya, malahan bini dan anak-beranak mereka pun "cilok" sama dengan berkenderaan cermin gelap dan siap letak "crown" diatas nombor plet kenderaan mereka. Ada pula yang tergila-gila dengan gelaran "first lady" negara, "first lady" negeri, "first lady" bahagian pun ada sekarang ni...alahai hidup melayu!!!

x-umno said...

Assalamualaikum Datuk. Izinkan saya.

Biasanya hanya orang yang berpengalaman luas sahaja yang mampu memahami dan berkata sinis. Jika kurang pengalaman, sinis pada mereka akan menjadi kenyataan dangkal semata-mata.

Misalnya, bila saya kata ramai rakyat yang bekerja siang dan malam pada komen artikel Datuk sebelum ini, pengulas bernama samaran SAJI dengan sinis mengatakan kenyataan saya itu "menakjubkan".

Akan tetapi, kenyataan saya itu adalah berdasarkan pemerhatian saya semasa menjadi pemimpin masyarakat setempat.

Begitu ramai sekali orang Melayu yang bekerja tetap di siang hari tetapi sebelah malamnya menyambung kerja sambilan mencuci cawan di kedai makan Cina, menjadi jaga, berniaga burger dan bermacam-macam lagi kerja yang boleh menambah pendapatan halal mereka disebabkan barang keperluan asas yang semakin mahal sedangkan gaji yang halal sangatlah tidak setimpal.

Tambahan pula, nasib mereka ini tidaklah sebaik nasib SAJI yang ada tanah pusaka atau tanah kurnia berekar-ekar yang bernilai tinggi atau mempunyai keturunan yang mampu membina banglo. Hendak dapatkan kelas tuisyen pun ibubapa mereka ini tidak mampu.

Menakjubkan lagi "magika" ialah SAJI katakan yang beliau menggunakan tulang empat kerat untuk Projek Konservasi Tanah Pertanian Di Kawasan Urban. InsyaAllah berjaya sebab pada nama projek ada 3 perkataan berasal dari bahasa Inggeris. Ada nilai komersil kata orang.

Harap SAJI merakam dan upload video penggunaan tulang empat kerat beliau menyiapkan projek tersebut ke Youtube untuk kita sama-sama pelajari.

Atau beliau dapat pinjaman mudah? Tanah 6 ekar percuma? Subkontrak pada pendatang tanpa izin? Guna kerjasama kroni Menteri Pertanian dari Selangor untuk dapatkan geran (aka duit rakyat secara percuma)?

Kalau benar dapat duit rakyat, harapan saya janganlah sampai jadi macam projek lembu keluarga Ketua Wanita.

Banyak pengalaman saya bersama jabatan pertanian dan perikanan. Satu buku teks pun tidak cukup kalau saya hendak senaraikan projek yang gunakan duit rakyat, siap kemudian gagal.

Syabas kalau betul-betul guna tulang empat kerat atau guna duit sendiri dan tanpa PATI. Boleh saya bawa rombongan bas ke sana. Boleh beli buku kejayaan beliau. Magika dan menakjubkan Datuk kalau seseorang boleh siapkan projek hebat dengan tulang empat kerat dalam masa setahun.

Musykil juga. Sebelum projek ini berjaya disiapkan dan mendatangkan hasil, kos keluarga si tulang empat kerat nak disajikan dengan apa? Jangan lupa rekodkan semua perbelanjaan dan bantuan kewangan untuk kajian ROI kami bersama nanti.

Aldan said...

salam..
saya agak setuju dgn pandangan okj ttg AES..cuma bagi saya, saya tiada mslh dipasang kamera seberapa byk pun andai had laju dinaikkan..bukan apa, bilamana kenderaan semakin canggih dan selesa, menghadkan kelajuan di bawah 80km/j (dan sesetengah 50km/j) sangatlah tidak masuk akal..jika betul serius kerajaan ikhlas nak kurangkan pemandu memandu laju, haramkan kemasukan atau penjualan kenderaan yang mampu pergi lebih dari 110km/j..atau tetapkan syarat kepada pengeluar kenderaan agar memasang speed limiter yang mana kenderaan yang bakal dijual dinegara kita hanya mampu memecut selaju 110km/j sahaja..juga haramkan segala penjualan alat ganti atau aksesori penambah kelajuan kenderaan termasuk minyak petrol yang boleh memberikan kenderaan prestasi seperti kereta lumba!

Lahuma said...

Dato.

AES.

Rakyat kata ini ialah projek asyuk.
Kerajaan nampak macam tak sabar nak tunjuk kuasa pada rakyat disaat hendak undi rakyat.

Sabarlah wahai para pemimpin kerajaan yg ada.Kata nak ikut kehendak rakyat.

Buat lah apa rakyat hendak.
Inilah yg dikatakan dasar pegawai kerajaan Bukan dasar kerajaan.

Rakyat tahu yg bermatian bertahan AES ini siapa dia.

Orang UMNO/BN nampak tak ada suara dan kuasa.Mana YB UMNO/BN.

Kata nak jadi suara rakyat.Isu ini amat kecil dan terpencil.

Padamlah cepat-cepat.Atau pun sudah tak upaya lagi kerana makan cengkeram awal.Pun boleh jadi juga.

Terima kasih.

A KADIR JASIN said...

Permohonan maaf

1. Memblog dalam pengembaraan.

2. Berlaku masalah komputer (komputer sudah agak tua).

3. Saya bimbang (rasa) ada komen yang terpadam.

4. Kalau ada, saya mohon putaan ampun. Kalau ingat atau ada dalam simpanan, tolong hantar semula.

Terima kasih.

A KADIR JASIN said...

Pembaca dan pembahas sekalian,

1. Kalau saya nak sinis, saya boleh kata angkatan tentera kita lebih baik daripada Isreal. Tapi semua orang tahu, angkatan tentera Israel adalah antara terbaik di dunia kerana ada orang Palestin dan Arab yang boleh dijadikan sasaran latihan menembak dan mengebom.

2. Berita terbaru kata, tentera udara Israel kehilangan beberapa buah enjin jet pejuang F-16, dipercayai dicuri dengan bantuan orang dalam.

3. Jet pejuang F-16 adalah tulang belakang angkatan udara Israel.

4. Kita hanya hilang sebuah enjin F-5E. Kita pun sudah lama tidak gunakan jet pejuang F-5E.

5. Kita lebih suka beli jet baru dan simpan yang lama, walaupun banyak negara, macam Turki dan Switzerland, masih guna F-5E.

6. Apabila beli jet pejuang baru, tentulah ada si Mamat yang intim dengan orang berkuasa dapat komisyen. Kadang-kadang, si Mamat ni apa pun dia tak tahu mengenai persenjaataan. Yang mereka tahu kipas, angkat, ampu dan puji.

7. Mungkin elok kalau ada IPTA atau IPTS yang buat program diploma atau ijazah dalam pengajian KAAP (kipas, angkat, ampu dan puji). Wallahualam.

Terima kasih.

ab said...

Salam Dato,



Kalau tak bagi laju sangat PASAI APA tak buat lesen enjin keenderaan paling laju 110km sejam diseluruh Malaysia,tak kira la motokar ka,motorsikal ka,bas ka, lori ka dll...


SUSAH sangat ka nak buat enjin keenderaan paling laju 110km sejam ni? Saya fikir bilangan engineer dinegara ini yang berkaitan hai ini dah bolih penuhkan satu stadium dah kut ni!


Bagi keretapi dan kapal terbang saja laju.

Bagi kereta lumba dan motosikal lumba yang berdaftar saja laju.



Para Sultan,Raja Raja, Perdana Menteri, TPM,Menteri Besar,Ketua Menteri,Ketua hakim,Ketua Angkatan Tentera malaysia bolih la dikecualikan dari enjin keenderaan perlahan ini.



Ambulan,kereta dan motorsikal ronda polis dan lori bomba kena bagi had laju sampai 200 km sejam atau laju sikit lagi..disebabkan tugas mereka.



Bab enjin keenderaan laju ni dah jadi macam rokok dan arak.Kilang buat jugak,lesen bagi jugak,impot bagi jugak, cukai ambik jugak.. mampuih pi la hampa kalau nak mampuih sapa pun tak larang, sapa pilih nak sakit lantak dia,sapa pilik nak keok pun lantak kedia ...tapi pekerjaan,perniagaan dan cukai MESTI BAYAQ tau.!
Dah tu buat tangkap/samam/denda sapa laju,sapa henti tak kena tempat,sapa tak bayaq cukai jalan dll



Kat malaysia ni susah nak beza atau teka bila kereta jadi keranda.Bilangan orang keok kat jalan dalam 6000+ orang setahun,dalam 500 orang sebulan dan 15-20 orang sehari, dan dalam 1orang dalam 90 minit...semuanya diingat dalam 1-2 hari,lepas tu jadi history...lupa nama,lupa tempat,lupa dia keok bila!!.
Orang palestin mati bergaduh dengan orang israel 10 tahun pun tak seramai itu..Askar US mati kat iraq dan afganistan pun tak seramai itu selama 10 tahun..
ORANG Malaysia lebih suka ingat nama orang mati jatuh bangunan atau mati semasa ditahanan polis dari mati kat jalanraya!!.



Saya SETUJU AES kalau JPJ buat.

Saya TAK SETUJU AES DI SWASTAKAN!.

Nanti depa SWASTAKAN pulak pengutip cukai pendapatan dan
cukai kastam...

Lepas tu SWASTAKAN pulak pendaftaran bukan warganegara...

SEMUANYA bolih naikan pendapatan kerajaan, mesti tinggi punya income bro!.dan komisen mesti kaw kaw punya,win-win always!.

Syarikat PATEK KUAT SDN berhad mesti bolih buat punya...tak gitu dato?

Abu Bakar Ab Rahman


ab said...

Salam Dato,

Post kelmarin dah hilang,repost balik.

Abu Bakar Ab Rahman=

Cetusan said...

Assalam,
Lagi satu fakulti Komisyen atas meja dan bawah meja,,
Atas meja termasuk dalam mesyuarat.

clandestine gargantuan said...

AES....
bagiku...ini untuk selamatkan negara...
pertama...selamat dari jumlah kemalangan yang meningkat..
kedua...aka yg paling peting...untuk selamatkan ekonomi Malaysia..
bayangkan...BRIM2...bonus...itu...ini...untuk sogokan pilihan raya.....duit cari mana oiiii nak sogok niee?????

....

bagiku..najib bijak....dia beri duit kepada rakyat....kemudian..dia ambik balik duit rakyat...memang bijak...bijak dlm meng"kelabu"kan mata rakyat...

....

dia sogok pembelian telefon 3G dgn rebat RM200....tp dia dpt balik pulangan cukai pengunaan "perkhidmatan talian" telefon....

dia bagi BRIM2....dia naikan harga rokok...

dia bagi bonus...dia sediakan AES...

bijak VS penipu

....

sekian

mkfadzli-notes said...

sgt setuju...

Eljay said...

Salam.

Kepada tuan punya syarikat tu mungkin BETA dimaksudkan Better. Mungkin tokay syarikat tu orang kedah kot..... Orang kedah sebut better bunyi beta. Betul tak Datok?

TOOLBOX said...

Datuk

Saya mohon maaf jika buat datuk tersinggung. Setelah baca tampalan tersebut saya rasa datuk mengutarakan pendapat beserta hujah secara "lawak bersahaja" yang menjadikan tulisan tersebut agak sinikal. Saya betul-betul ketawa dan memang nescafe yang saya minum bersembur bila baca fasal "patek kuat".

Pendapat saya, mengutarakan pendapat secara sinikal ok sahaja malah ianya jauh lebih bagus dan beradab berbanding sarkastik.

Ada istilah urban baru; cynicasm. Ianya lagi berat, menggabungkan cynicism dan sarcasm.

Berbalik kepada AES, saya tidak ada sumber atau data yang menyokong namun pendapat saya apa yang datuk sebut tentang patek kuat itulah sebenarnya penyebab kemalangan dan kematian di jalanraya; "orang bawah umur memandu secara haram, memandu dengan lesen yang sudah tamat tempoh (lesen mati), memandu kereta curi, memandu ketika mabuk" kecuali; "tidak hormat pengiring (outrider) orang kenamaan, tidak beri laluan kepada kereta Proton Perdana bercermin hitam, bersiren dan dengan lampu strob biru dan, yang paling utama, orang yang memandu sambil membantah AES", yang ini tajam sindiran datuk.

Saya tak pasti samada pihak berkenaan faham atau saja buat tak faham bahawa khalayak rata-ratanya bukan menolak AES tapi tak bersetuju ianya diswastakan, proses penganugerahan projek yang tak telus, dilaksanakan secara tergesa-gesa, cara pengagihan hasil kutipan yang tak diberitahu dan terbaru kita lihat syarikat berkenaan menggunakan kenderaan yang diwarnakan serta pakaian seragam yang dipakai sama seperti JPJ.

Lama dah saya tak nampak Kamjat Penang di ruangan komen datuk.

Yangretibase said...

Assalamualaikum DAKJ dan semua,

Siniskah saya kalau saya mengatakan bahawa penerbitan buku biografi isteri PM Mohd Najib, DS Rosmah Mansor itu suatu penghinaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamed?

Buku biografi DS Rosmah, seorang isteri kepada seorang PM, yang hanya senipis 164 halaman berharga setinggi RM150 senaskhah; sedangkan buku biografi Tun Dr Mahathir Mohamed, PM Malaysia keempat selama 22 tahun, setebal hampir 1,000 halaman cuma berharga serendah RM250 senaskhah.

Sekiranya buku sejarah hidup DS Rosmah itu sama tebal dengan buku sejarah hidup Tun Dr Mahathir, maka harga buku DS Rosmah itu sekitar RM900 senaskhah. Sebaliknya, jika buku Tun Dr Mahathir sama tebal dengan buku DS Rosmah, maka harga buku Tun Dr Mahathir hanya lebih kurang RM40 sahaja.

Apakah matlamat utama penerbitan buku biografi DS Rosmah itu? Kalau sekadar untuk menjawab fitnah terhadapnya, moleklah buku itu diedarkan secara percuma; tetapi apabila buku itu dijualkan dengan harga RM150 senaskhah, maka tidakkah langkah itu bersifat mengaut keuntungan? Daripada sebanyak tiga juta orang ahli UMNO, jika 100,000 orang sahaja terpaksa membeli buku tersebut, maka sebanyak RM15 juta sudah boleh dikaut oleh pihak yang berkepentingan.

Saya berpendapat, menatap kulit depan buku biografi DS Rosmah yang mempamerkan wajahnya dengan rambutnya yang menggerbang itupun sudah cukup mendosakan; lebih-lebih lagi membaca riwayat hidup seorang manusia biasa yang tidak memiliki sifat-sifat kesolihahan, maka berganda-gandalah dosanya. Tidak mustahil, buku itu mengandungi fakta yang tidak benar.

Bagi saya, dengan RM150, saya boleh membeli beberapa buah kitab atau buku agama yang menunjukkan jalan mudah ke syurga.

Wassalam. Tolong maafi saya.

A KADIR JASIN said...

1. Sdr TOOLBOX, maaf kalau saudara hampir tersembur membaca tulisan saya berkenaan Patek Kuat. Saudara tentu maklum sekarang ada komputer yang papan kekuncinya (keyboard) adalah tahan simbah (spill-resistant). Itulah jenis yang saya guna sebab saya banyak menulis di kedai kopi sambil minum teh si kosong.

2. Untuk maklumat semua, kawan saya, seorang pakar psikologi beri tahu, ada orang yang hitamkan kaca kereta mereka hingga tak nampak batang hidung atas alasan perubatan. Mereka menderita sejenis fobia yang dipanggil "phengophobia" iaitu mereka takutkan siang hari, sinar dan cahaya matahari. Lebih kurang macam Dracula.

3. Kawan saya dalam polis pula kata, ada yang mohon diberi kebenaran menggelapkan kaca kereta mereka kerana mereka pernah terima ancaman ke atas nyawa mereka. Mungkin mereka ada kena mengena dengan "underworld" yang cukup cergas di Malaysia.

4. Saya tak tahulah kalau ada orang politik, termasuk Menteri, yang menderita phengophobia, diancam underworld atau menderita penyakit kulit yang disebabkan oleh sinar ultralembayung (ultraviolet).

5. Cuma yang saya tengok di negara kita, kereta kecil dan besar, bas dan lori pun berkaca gelap. Agaknya ramai orang kita menderita phengophobia, diancam samseng atau menderita penyakit kulit. Wallahualam.

Saji said...

Sdr x-umno

1/ Terima kasih kerana memberikan respon dan semua komen sdr saya ambil maklum.

2/"Menakjubkan lagi "magika" ialah SAJI katakan yang beliau menggunakan tulang empat kerat untuk Projek Konservasi Tanah Pertanian Di Kawasan Urban."

Sdr mungkin tidak tahu maksud istilah konservasi/conservation atau pemuliharaan yang saya pinjam daripada ilmu konservasi bangunan bersejarah untuk saya guna bagi menamakan projek saya itu seperti berikut:

Intervansi (usaha memulih dan memelihara mengikut darjah2 yang sesuai serta dibenarkan) yang dilakukan oleh ahli konservasi (bangunan bersejarah ) terhadap harta warisan silam iaitu bangunan bersejarah berdasarkan nilai/value yang dipegangnya (antara nilai emosi, budaya dan ekonomi).


3/Kalau sdr tahu maksud konservasi serperti di atas dan sdr tahu bagaimana cara/budaya orang Melayu kita zaman dahulu ( zaman bank saudagar pun belum wujud, umno pun belum wujud dsb)yang memiliki tanah kurang 10 ekar buat kebun masing2, sdr tidak akan rasa takjub jika saya kata saya buat projek saya itu menggunakan tulang empat kerat saya.

Maksud saya, tidakkah orang Melayu kita zaman dulu buat kebun menggunakan tulang empat keratnya?

Bahkan sdr tidak akan timbulkan persoalan berikut:

"Beliau dapat pinjaman mudah? Tanah 6 ekar percuma? Subkontrak pada pendatang tanpa izin? Guna kerjasama kroni Menteri Pertanian dari Selangor untuk dapatkan geran (aka duit rakyat secara percuma)?"

...SAJI

OKJ said...

Salam Dato’ A Kadir Jasin

Pertamanya, saya ingin meminta maaf kepada Dato’ kerana saya bersikap terlalu sarcastic terhadap Dato’ sebelum ini apabila Dato’ menghentam kerajaan. Kini baru saya sedar apa yg Dato’ kata adalah benar. Kita tidak sepatutnya memuji sangat kerajaan kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Tapi kita kena tegur bila mereka buat salah. Barulah pemimpin ada hormat terhadap rakyat dan rakyat lebih menghormati pemimpin.

Begitulah juga kita tidak perlukan kerajaan yg menang 2/3 majority. Lebih elok kiranya kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang sama kuat. Yg berdebarnya adalah pemimpin, tetapi yg mendapat faedahnya adalah rakyat. Ini kerana kerajaan yg perasan kuat akan menzalimi rakyat sehinggalah dihukum oleh rakyat sendiri. Lihat bagaimana isu PPMSI menumbangkan UMNO BN pada 2008 di 5 buah negeri. Mungkin kali ini, isu kamera AES akan menghukum kerajaan UMNO BN sekali lagi di peringkat persekututan pula. Bila Menteri dan Ketua Pengarahnya bersikap sombong dan berlagak, rakyat tahu apa yg akan dilakukan. Alasan-alasan yg menipu utk menghalalkan cara sudah tidak laku lagi pada masa ini.

Akhir kata, saya mengaku lebih putih rambut dikepala, menjadikan seseorang itu lebih matang dalam membuat keputusan. Pengalaman Dato’ dari tahun 1971 sehingga kini memang tidak ternilai bagi org-org muda seperti saya. Maafkan saya kerana tersilap menyokong secara membuta tuli sebelum ini. Sekian TQ.

Lahuma said...

Dato.

Cerita AES.

Mula-mula Menteri Jalan Raya pacak kepala pertahan.Takut hilang undi dia pun senyap sementara.

Pacak kepala ini diambil alih Ketua Pengarah kerana menurut perintah.

Kemudian Pengarah-Pengarah pula menjadi enjit-enjit semut.

Masa mana mereka jumpa rakyat berdailog dgn isu ini.Cerita surat khabar saja.

Mereka jumpa siapa pun tak tahu.
Mereka tak jumpa rakyat pun.

Pemikir politik UMNO/BN amat tidak bijak dan peka isu semasa.Kadang-kadang gelojoh.

Banyak membuat acuan rakyat dibilik mesyuarat bukan di bawah.

UMNO/BN bukan tambat hati rakyat.
Mereka banyak tambat kaki rakyat.

Pembangkang dia peduli apa bujur lalu melintang patah.

Demekianlah adanya.

Terima kasih.

mtgbertam said...

Salam dato',

Satu lagi projek kerajaan BN yang membebankan rakyat (warga pendidik) ialah sistem yg memerlukan mereka memasukkan data pencapaian murid. Dibebani dengan tugas hakiki yang tidak pernah mudah, kini terbeban pula dengan projek TPM.

Tanya semua warga pendidik, jawapan mereka sama. Luahkan rasa pada peti undi.

Hanezam said...

Salam Datuk,
(tak sah kalau tak cari pasal)

Betulkah itu OKJ yang menulis dua komen di atas ?

Saya rasa berdebar-debar..

He he he..

Tinta Hitam said...

Datuk,

AES adalah cara mudah UMNO utk memerah wang rakyat.Mereka menggunakan proksi proksi melayu dan china sebagai forntliner didlam sykt sykt AES berkenaan..

Frontliners dpt duit dan UMNO/MCA pun dpt duit juga.Satu yg lucu ialah bila saya tanya pendapat penyokong penyokong UMNO kat kampung kampung,mereka rata rata secara membuta tuli berpendapat AES ni takda masalah.Kerajaan dpt jimat duit sbb tak payah nak byr overtime dan duit petrol utk buat sekatan jalanraya.Saya tak pelik mereka berpendapat begitu sbb mereka mmg dididik supaya tidak menggunakan otak mereka..Bkn tak pandai tetapi itulah cara pemimpin pemimpin UMNO mengekalkan kuasa mereka dgn mendungukan pengikut pengikut mereka..

Pendapat saya pasal AES ini ialah cara bagi golongan yg malas berusaha untuk kaya cepat dgn memgambil konsesi konsesi yg "sure untung" dan seterusnya akan emnggubal kontrak ala konsesi PLUS yg "pedang bermata dua"utk berterusan untung dan bertambah untung tahun demi tahun/LIbas kekiri pun untung,Libas kekanan pun untung.

Insyaallah jika UMNO /BN masih kekal berkuasa selepas PRU13 nanti lagi byk lah rompakan "cara halal" UMNO/BN terhadap rakyat.

A KADIR JASIN said...

Buat makluman pembahas dan pelawat. Petikan Malaysian Insider 18 Dis.

KUALA LUMPUR, Dec 18 — Putrajaya is considering holding back the implementation of the controversial Automated Enforcement System (AES) to avoid duplicating the police summons system that can double the hardship to motorists, sources say.

The privatised RM700 million project began in September with a pilot phase of 14 cameras but the Road Transport Department (RTD) has pledged to roll out a total of 831 cameras by end-2013 to catch speeding motorists and prevent more road deaths.

The police, who enforce the speeding laws, have said they will continue enforcement and put up mobile speed traps near the AES cameras, raising the prospect of dual fines for errant motorists.

“The government is considering putting on hold the implementation of the AES due to the duplication of the summons system. That will cause hardship,” a source told The Malaysian Insider.

He also noted that several lawmakers from the ruling Barisan Nasional (BN) have also asked the government to stop the implementation until all views are considered.

Terima kasih.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).