A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan “anonymous” tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.)
[Update 28 Julai: Sama ada diserang gas pemedih mata atau tidak sengaja terkena gas pemedih mata, Tun Dr Mahathir Mohamad selamat dan tidak berganjak daripada misinya.
Beliau meneruskan temu janji dengan rakyat Kelantan yang ingin mendengar penjelasannya walaupun dinasihatkan agar membatalkan programnya.
Ingatan saya kembali kepada pilihan raya umum tahun 1969 di Kota Star Selatan (kini Pendang) apabila beliau dicaci cela dan dibaling telur busuk. Dia tidak berganjak. Dr Mahathir dulu dan sekarang tidak berubah. Yang berubah hanya usia.]
[Posting Asal] --- TUN Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa Yang Dipertua Nedanggeri Melaka, Tun Mohamad Khalil Yaakob adalah “orang tengah” yang cuba menyelesaikan “masalah” antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam. Khalil menemui Dr Mahathir di rumahnya di Sungai Besi pada 1 Julai lalu (lihat blog 2 Julai).
Masalahnya ialah sama ada usaha baik Khalil itu ada gunanya atau tidak kerana Abdullah berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Dr Mahathir.
Dr Mahathir pula berkata beliau akan meneruskan kegiatannya memberi penerangan mengenai isu-isu yang dibangkitkannya dengan menggunakan pelantar Umno.
Itu sebelum Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam tadi membuat keputusan meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada Umno bahagian jika program yang membabitkan Dr Mahathir “menjejas kepentingan parti”.
Demikian menurut laporan akhbar yang memetik Presiden Umno itu. Dalam bahasa yang mudah, Abdullah berkata Umno bahagian bebas membuat keputusan sama ada mahu mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir atau sebaliknya, tetapi kalau apa-apa berlaku, merekalah yang bertanggungjawab.

Utusan Malaysia (26 Julai) melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata: “Umno bahagian bebas membuat sebarang keputusan sekiranya ia bertujuan menjaga kepentingan bahagian itu serta perhubungan antara ahlinya.”
Peringatan Presiden parti itu ada logiknya. Bukan semua ahli Umno berpuas hati mendengar penjelasan Kerajaan dan pemimpin parti sahaja. Banyak juga yang mahu mendengar versi Dr Mahathir.
Sebaliknya ada juga ahli yang berpuas hati hanya mendengar penjelasan Kerajaan dan pemimpin parti. Dan terdapat juga kumpulan ketiga yang hanya mahu mendengar cerita Dr Mahathir.
Namun pada pandangan saya, pendirian “berkecuali” MT mengenai kebebasan Umno bahagian menjemput atau tidak menjemput Dr Mahathir, meneruskan atau tidak meneruskan pertemuan dengan beliau, tidak menghalang individu dan kelompok tertentu dalam parti itu daripada menganjurkan program serupa itu.
Misalnya di Kelantan, sebuah kokus yang menggabungkan bekas-bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bekas-bekas ketua bahagian Umno telah ditubuhkan untuk mengambil alih penganjuran majlis penerangan Dr Mahathir esok (Jumaat, 28 Julai).
Kokus ini ditubuhkan setelah penganjur asal majlis itu, sebuah pertubuhan sampingan Umno yang menggabungkan bekas-bekas Ahli Parlimen Umno dari negeri Kelantan menarik diri.
Banyak pihak bimbang perkembangan sekarang akan memecahbelahkan Umno seperti yang berlaku ketika krisis kepemimpinan 1987/88 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Saya berasa peristiwa itu tidak akan berulang. Sebaliknya, perkembangan sekarang menguji kesungguhan dan keikhlasan kepemimpinan Abdullah mengotakan kata-kata mereka mengenai ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan.
Ini terbukti dengan adanya elemen-elemen bebas dalam Umno seperti yang dimanifestasikan oleh Ketua Bahagian Padang Besar (Perlis), Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang berani mewujudkan platform bagi membolehkan Dr Mahathir membentangkan “his side of the story”.

Zahidi, dilaporkan oleh The Star (26 Julai) sebagai berkata bahawa adalah lebih baik bagi Umno menyediakan pelantar bagi Dr Mahathir mengemukakan hujahnya daripada membenarkan parti-parti pembangkang mengambil kesempatan.
Kembali kepada Khalil, khabar terakhir mengenai usaha damai beliau ialah beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri. [Terbaru. Surat berkenaan dihantarkan melalui Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.]
Antara perkembangan lain yang perlu diperhatikan:
1. Perdana Menteri memberi pengiktirafan secara tidak langsung kepada “bloggers” dengan menasihatkan media massa arus perdana agar tidak bersaing dengan laman berita Internet dan blogger (seperti laman kita ini) untuk terus menjadi saluran maklumat yang popular;
2. Kontrak jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) Datuk Azlan Zainol mungkin tidak dilanjutkan. Kalau ini terjadi, perhatikan siapa pengganti beliau. KWSP, dengan aset sebanyak RM240.3 bilion (tahun 2004), adalah “lombong permata” bagi pengantara kewangan (financial intermediaries); dan
3. Kontrak atau surat persetujuan mungkin telah diberikan kepada pihak tertentu untuk membina kompleks kecemerlangan sukan yang bernilai RM490 juta di UK. Kalau tidak, mengapakah ada Menteri yang beria-ia mempertahankan projek itu dan begitu pasti dengan kosnya? Siapa kontraktor itu?