Sunday, December 31, 2017

Songlap Tanah Felda Bukan Perkara Luar Biasa



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

KES manipulasi (atau menipu la si?) agensi kerajaan oleh pihak-pihak yang berkabel besar dan akrab dengan kepemimpinan negara nampaknya semakin menjadi-jadi.

Najib membahagikan zakat tapi siapa pembayarnya?
Yang terbaru dan sensasi adalah silap mata kehilangan hak milik tiga bidang tanah Felda di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta. Nilai setelah dibangunkan dianggar melebihi RM1 bilion.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Sebelum itu kita didedahkan kepada skandal 1MDB, penjualan tanah TRX kepada Tabung Haji, pemberian dan pembatalan kontrak/konsesi Bandar Malaysia kepada syarikat negeri China, kemerosotan RM160 bilion rizab antarabangsa Bank Negara 2013-15, kerugian besar badan pelaburan awam dalam IPO Felda Global, pembelian hotel melebihi harga pasaran oleh Felda Investment Corporation (FIC), pembelian mahal ladang Eagle High milik (Tan Sri) Peter Sondakh di Indonesia, penggunaan duit Mara untuk menaja pasukan bola Kelantan, percubaan “memeras” jemaah umrah dan memungut GST melalui sistem IMAMS, penukaran status rumah Bumiputera di Johor dan banyak lagi.

Dalam hampir semua kes ini, pelaku mempunyai kaitan dan perhubungan luar biasa dengan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.

Ambil contoh siri skandal terbaru yang melanda Felda. Boleh dikatakan semuanya dikesan berlaku ketika (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad menjadi Pengerusi Felda dan Felda Global Ventures (FGV).

Dari awal lagi ramai terkejut dan tidak setuju dengan pelantikan Isa kerana sebelum Najib naik menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri pada tahun 2009, Isa ini adalah orang buangan Umno.

Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dia didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno dan digantung selama dua penggal. Puncanya duit.

Dia didapati bersalah terlibat dengan politik wang. Tetapi apabila Najib jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri pada April 2009, Isa dipulihkan dan dimartabatkan semula.

Dalam masa lima bulan Najib jadi Perdana Menteri, Isa dipilih sebagai calon Umno/Barisan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan menang.

Pada tahun 2012 dia dilantik Pengerusi Felda dan terus menjadi penyokong tegar Najib dalam penswastaan aset Felda melalui tawaran permulaan awam (IPO) FGV. Hadiahnya adalah Isa mendapat gaji lumayan, pemilikan saham dan dipilih bertanding kerusi Parlimen Jempol dalam Pilihan Raya Umum 2013.

Isa dan isteri: pasangan "power" dalam politik Umno
Asal-usul Najib dan Isa menjadi ibarat aur dengan tebing, isi dengan kuku, adik dengan abang sudah menjadi bahan spekulasi dan andaian sejak berdekad-dekad lamanya.

Begitu akrab Najib dan Isa sehingga penangkapan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pembelian mahal dua buah hotel oleh FIC tidak menjejaskan ketaasuban Najib terhadap Isa.

Sebaik sahaja Isa “diberhentikan” daripada Felda akibat tangkapan itu, Najib melantik beliau sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD).

Seorang rakan golf Najib memberitahu saya baru-baru ini yang Isa mungkin tidak akan didakwa dalam kes pembelian dua buah hotel itu. Alasannya dia sudah cukup menderita dan malu akibat tangkapan dan tahanan reman itu, kata kawan Najib itu.

Malang Felda

Dalam kes terbaru “penyongelapan” tanah Felda itu pun, ada tanda bahawa individu atau individu-individu terbabit mempunyai pertalian dan pautan dengan Perdana Menteri.

Dalam tampalan (posting) Facebook saya pada 23 Disember lepas, saya bertanya: “Boleh sesiapa beri pencerahan mengenai kaitan berita dan gambar ini dengan skandal kehilangan hak milik tanah Felda Jalan Semarak.

“Adakah ‘construction company boss’ Abdul Rahman Soltan dalam berita ini sama dengan Abd Rahman bin Soltan, Director kepada Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd, company number 1067079?

“Kalau ia, apakah syarikat ini ada kaitan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di atas tanah Felda Jalan Semarak itu?”

“Mohon penjelasan. Kalau tersilap tanya mohon maaf.”


Pastinyalah pihak-pihak yang boleh atau mampu menjawab soalan-soalan saya itu tidak akan menjawabnya. Manakala laskar siber Umno/BN pula akan cuba mengalih perhatian daripada isu pokok.

Sama ada mereka pun dalam kegelapan macam saya atau mereka tahu tetapi terpaksa buat-buat tidak tahu demi menjaga periuk nasi.

Dalam pada itu seorang sahabat Facebook menarik perhatian saya kepada salinan sekeping gambar yang didakwa dari laman Instagram Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Azalina Othman yang menggunakan pengenalan “azalinaothmans”.

Tajuk tampalan Instagram “azalinaothmans” itu membawa keterangan gambar berbunyi “FGVMafia kat London waitin for Chairman FGV.”

Dalam bahasa Melayu formal “Mafia FGV di London menunggu Pengerusi FGV.”

Seperti kita ketahui, Mafia adalah kongsi gelap Itali yang membina empayar jenayah terbesar dunia di Amerika Syarikat seperti digambarkan dalam siri filem “Godfather”. Dan Pengerusi FGV yang dimaksudkan itu pastinyalah Isa.
Dalam gambar itu (lihat di bawah) ada lima orang. Yang paling terkenal adalah Azalina. Tiga daripada mereka nampak seperti menghisap cerut – termasuk Azalina.


Tiga duduk atas bangku dan dua berdiri berpeluk bahu. Rakan Facebook saya itu memperkenalkan salah seorang yang berdiri itu sebagai Abdul Rahman Soltan.

Kalau gambar itu asli – nampak asli – sebab gambar peti surat Royal Mail pun ada – maka nyatalah watak Abdul Rahman Soltan ini berlegar dalam sfera politik peringkat tinggi.

Dan tidak menghairankan juga kalau “construction company boss Abdul Rahman Soltan” yang berkejar ke Pekan pada 26 Jun 2016 untuk memberikan zakat RM100,000 untuk diagihkan oleh Najib itu adalah orang yang sama seperti dalam sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berkenaan Najib pula, kita semua tahu dia adalah mentor atau bapa angkat Felda. Kita juga tahu bahawa salah satu kepakaran Najib adalah menjual atau memindahkan hak milik tanah kerajaan.

Contoh klasik kepakaran Najib dalam kegiatan ini adalah penjualan murah tanah kerajaan di Jalan Tun Razak kepada 1MDB untuk dijadikan projek TREX (Tun Razak Exchange) dan tapak pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi, juga kepada 1MDB.

Baru-baru ini dilaporkan pula yang kerajaan telah menjual dua bidang tanah 1MDB di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang kepada syarikat negara China untuk mencari duit melangsaikan hutang AS$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

1MDB atau lebih tepat Kementerian Kewangan terpaksa bayar sejumlah AS$1.2 bilion (kira-kira RM5 bilion) kepada IPIC tanpa memperoleh apa-apa setelah bayaran asal yang sepatutnya digunakan untuk membiayai usaha sama dengan IPIC disonglap oleh Jho Low dan sekutu Arabnya.

Duit songlap inilah yang sebahagiannya - RM2.6 bilion - dipercayai masuk akaun peribadi Najib pada tahun 2012 dan yang digunakan oleh Jho Low serta anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, untuk membeli aset dan berjoli di Amerika.

Harta dan pelaburan ini kini dibekukan oleh mahkamah Amerika sebagai sebahagian daripada inisiatif mendapatkan balik harta negara yang dicuri oleh kerajaan pencuri (Kleptocracy Asset Recovery Initiative) atau ringkasnya KARI.

Adalah tidak menghairankan langsung kalau banyak lagi tanah kerajaan telah dan akan dijual oleh kerajaan kleptokrasi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ini memandangkan kemungkinan Umno/BN kalah.

Tipu Helah

Kesimpulannya, adalah tidak memeranjatkan kalau Lembaga Pengarah Felda tidak tahu menahu mengenai pemindahan tiga keping tanah di Jalan Semarak itu atau resolusi palsu untuk mengeluarkan surat kuasa wakil (power of attorney) kepada pihak luar.

Soalnya, kalau projek bandar raya tegak menikam langit ini dimajukan dan dimiliki oleh FGV, mengapakah kepentingan Felda hendak dinafikan melainkan ada niat buruk?

Katakanlah Felda tidak ada duit untuk memodali projek FGV itu, tiga keping tanah tersebut boleh ditukar menjadi saham Felda di dalamnya.

Melainkanlah matlamat tersirat penubuhan FGV adalah untuk mengambil alih secara adil dan tidak adil aset-aset Felda bagi tujuan komersial semata-mata.

Turut menjadi tanda tanya adalah, kalau “pemindahan haram” tanah tersebut telah disedari sejak awal tahun ini seperti dinyatakan oleh Pengerusi Felda, (Tan Sri) Shahrir Abdul Samad, mengapakah beliau menunggu sehingga Berita Harian mendedahkan skandal itu untuk bersuara?


Mustahil BH boleh terhidu atau memperoleh maklumat bagi mengesahkan penyelewengan itu jikalau tidak ada pihak atau pihak-pihak yang mengetahui membisikkannya kepada wartawan akhbar itu.

Untuk itu kita perlu mengucap syabas dan terima kasih kepada “suara garau” (deep throat) yang menjadi sumber pendedahan BH tersebut.

Saya amat yakin lebih ramai “suara garau” akan memberi maklumat mengenai penyelewengan awam dengan semakin goyangnya Umno/BN – sama ada kerana mereka hendak mencegah kemungkaran atau takut dituduh bersubahat dan bersekongkol kemudian hari.

Wallahuaklam.

Sunday, December 24, 2017

ECRL: Hutang atau Pelaburan Bayang-Bayang Mengerikan



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

TUN DAIM Zainuddin dan sesiapa pun yang peduli mengenai kepentingan negara dan rakyat  jelata berhak mendapat kepastian mengenai projek Landasan Kereta Api Pantai Tumur (ECRL).

Najib meletakkan batu asas projek hutang RM55 bilion
Projek ini silap-silap boleh membebankan lagi rakyat jelata yang sudah pun terbeban selain menjejaskan kedaulatan negara.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

(Datuk Seri) Abdul Rahman Dahlan pula, sebagai jurucakap ekonomi kerajaan merangkap bapak kepala komunikasi strategik Barisan Nasional berhak mempertahankan modus operandi projek mercu tanda Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak, itu.

Bagi saya, yang penting dan utama adalah memberi kefahaman kepada rakyat jelata dan pembayar cukai akan kesan projek itu ke atas mereka sekarang dan 30 tahun akan datang.

Daim bertanya sama ada ECRL pelaburan asing atau hutang luar negara. Kalau Daim, sebagai seorang bekas menteri kewangan, peniaga, majistret dan peguam pun keliru apatah lagi rakyat jelata.

Yang buat Daim dan rakyat jelata keliru adalah bapak-bapak kepala (bukan kepala bapak) pemerintah sendiri yang secara sengaja atau kebetulan telah mencampuradukkan pelaburan terus asing (foreign direct investment) dengan pinjaman projek (projek loan).

Maaflah kalau saya kata, jentera propaganda kerajaan sendiri nampaknya tidak faham atau keliru mengenai pembiayaan antarabangsa (international financing).

Apabila Perdana Menteri balik dari lawatan ke China pada bulan Mei lalu, peniup trompet utama beliau, Utusan Malaysia melaporkan yang Najib “meraih pelbagai peluang pelaburan dalam bidang infrastruktur untuk memajukan negara.” 

Kata kunci di sini ialah pelaburan. Utusan memetik Bernama sebagai melaporkan bahawa Najib telah menyaksikan majlis menandatangani sembilan perjanjian persefahaman antara syarikat Malaysia dan rakan niaga China yang melibatkan pelaburan dalam bidang infrastruktur kira-kira RM30 bilion.

Sebelum itu - dalam bulan April - Setiausaha Kementerian Kewangan, (Tan Sri Dr) Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata Najib akan menandatangani perjanjian untuk projek ECRL yang dijangka menelan belanja RM55 bilion serta pemberian kontrak kepada syarikat negara China untuk membina ECRL.

Jadi, sama ada kerana hendak memberi gambaran bahawa lawatan Najib ke China sangat berjaya atau cuba menyembunyikan hakikat kerajaan berhutang lagi maka garis pemisah di antara pinjaman luar negara (foreign borrowing) dengan FDI dikelabukan.

Projek ECRL ini, ikut cerita kerajaan akan menelan belanja RM55 bilion dengan 85 peratus daripadanya akan dipinjam daripada China manakala baki 15 peratus melalui pinjaman Sukuk.

Berita kerajaan berhutang lagi tentulah tidak positif kerana hutang kerajaan sudah hampir mencecah tahap maksimum (ceiling) yang kerajaan sendiri tetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Terkejut dengan pertanyaan Daim itu, Abdul Rahman sebagai bapak kepala komunikasi strategik BN terpaksa mengolah jalan cerita baru.

Abdul Rahman olah jalan cerita baru
Plot barunya ialah duit RM55 bilion untuk membiayai ECRL itu adalah hutang. Kerajaan sengaja berhutang kerana mahu melabur dalam ECRL. Kerajaan tidak mahu pelabur asing memiliki ECRL.

Masuk Akal

Memang kita pun tidak mahu pelabur asing memiliki aset strategik macam kereta api apatah lagi pelabur China. Di China yang berkuasa mutlak adalah Parti Komunis China (CPC).

Malangnya hujah kerajaan tidak mahu orang asing miliki ECRL sudah tidak laku lagi kerana kerajaan sendiri telah mengkhianatinya apabila ia menjual aset strategik yang berupa Penjana Elektrik Bebas (IPP) milik Edra Global kepada China General Nuclear Power Corporation pada tahun 2015.

Arul Kanda Kandasamy nampak OK saja!
Kerajaan jual Edra Global kepada pelabur China dengan harga potongan kerana hendak menyelesaikan hutang 1MDB – beli dengan harga RM12 bilion dan jual kepada China dengan harga RM9.8 bilion. Edra Global asalnya milik 1MDB.

Ini sekali gus membuktikan yang 1MDB berhutang sangat banyak di dalam dan luar negara – melebihi RM50 bilion - yang terpaksa dibayar tidak kira hujan atau kemarau.

Maka hendak tidak hendak 1MDB terpaksa menjual hartanya dan yang ada duit dan sanggup membeli harta yang kontroversial itu adalah China.

Hutang 1MDB yang kini diambil alih oleh Kementerian Kewangan belum tentu mampu dibayar balik. Sekarang kerajaan berhutang pula RM55 bilion dari China dan sumber-sumber lain untuk membina ECRL.

ECRL Terancam

Tidak mustahil ECRL juga akan jatuh ke tangan China seperti mana Edra Global atau macam Pelabuhan Hambantota di Sri Lanka yang baru-baru ini terpaksa dipajak kepada China selama 99 tahun setelah kerajaan Sri Lanka mengalami masalah membayar balik hutang AS$8 bilion (kira-kira RM33.6 bilion) kepada China.

Dasar China adalah memberi pinjaman mudah kepada kerajaan asing dengan syarat kontrak pembinaan diberikan kepada syarikatnya, dan kalau kerajaan asing gagal bayar balik pinjaman ia akan ambil alih pemilikan projek terbabit. Itulah yang berlaku kepada Pelabuhan Hambantota.

 
Pelabuhan Hambantoto dipajak kepada China 99 tahun
Hal yang sama mungkin terjadi kepada ECRL sekiranya hutang daripada China ditakdirkan kita tidak dapat dibayar balik. ECRL mungkin terpaksa dipajak atau dijual terus kepada China.

Ironi Hutang China

Yang pelik, China juga sebenarnya tidak ada duit. China juga berhutang. Malah hutang China berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) lebih teruk daripada kita dan antara yang paling tinggi di dunia.

Cuma China ini besar. Buminya luas, rakyatnya banyak, bala tenteranya besar dan ekonominya berkembang pesat. Jadi orang percaya dan sanggup bagi hutang.

Menurut Bank for International Settlements (BIS) hutang China adalah 257 peratus daripada  KDNK tahun ini (2017) berbanding Malaysia sekitar 54 peratus. Realitinya China berhutang untuk memberi hutang.

Malah untuk projek-projek miliknya di Malaysia macam Edra Global dan beberapa buah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia ia telah dan sedang berhutang.

Julai lalu, anak syarikat Edra Global - Tadau Energy Sdn Bhd - telah berhutang dengan menjual Sukuk Hijau bernilai RM250 juta. Itu hanyalah sebahagian kecil daripada Sukuk bernilai RM5.28 bilion yang dicadangkan oleh Edra Global.

Jadi adalah tidak mustahil langsung China memberi hutang kepada kerajaan Malaysia dan memiliki projek di Malaysia melalui hutang yang mereka peroleh di Malaysia sendiri.

Maka sama ada ia pelaburan atau pinjaman, nampaknya projek-projek yang melibatkan “modal” China seperti ECRL dan Edra Global tidak mustahil menjadi projek kong kali kong – gendang kosong yang hebat bunyinya tetapi mungkin merugikan kita dan mengancam kedaulatan serta keselamatan negara.

Wallahuaklam.

Monday, December 18, 2017

IMAMS: Cara Cari Untung dan Kutip GST



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

DENGAN takdir - Insya Allah - Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum (PRU) akan datang, ia mempunyai banyak contoh yang tidak boleh diteladani daripada Barisan Nasional, iaitu cara peras dan curi duit rakyat jelata.

Perdana Menteri Tak Setuju Keputusan Kerajaan
Jelaslah sekarang bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah tidak lebih daripada cara mengumpul hasil untuk kerajaan dan bukan untuk kebajikan rakyat jelata.

(Pakatan Harapan (PH) telah berjanji menggantikan GST dengan cukai lain yang tidak terlalu membebankan rakyat jelata dan pengguna.)

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Pentadbiran (I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak telah membuktikan sekali lagi kepada kita bahawa GST bukan sekadar alat fiskal (fiscal tool), tetapi adalah mesin untuk menjana keuntungan.

Maka tidak hairanlah kalau seorang pengarang kanan sebuah akhbar milik Umno begitu kecewa dengan Integrated Manasik Monitoring System (Imams) yang melibatkan GST sehingga menggelarnya “daylight robbery” (rompakan siang hari) dalam tampalan Facebook beliau.

Rompakan siang hari, kata pengarang MAP
Jelas bahawa Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak lagi peduli kepada penderitaan rakyat jelata. Keutamaan beliau adalah memungut sebanyak mungkin hasil (revenue) melalui GST.

Sejak dikuatkuasakan pada April 2015, beliau dianggarkan telah mengutip lebih RM100 bilion.

Pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu Umrah (Imams) itu dibatalkan hampir serta-merta setelah mendapat protes besar-besaran daripada warga media sosial.

Di sebalik alasan memantau dan mengelakkan penyelewengan urusan Umrah oleh penganjur swasta, sistem itu adalah untuk membuat keuntungan dan mengutip GST.

Secara langsung ia menyerlahkan dua unsur (element) penting yang mempengaruhi dasar kewangan Najib, iaitu keuntungan untuk swasta dan cukai untuk kerajaan.

Jelas bahawa Najib dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (Datuk Seri) Mohamed Nazri Abdul Aziz, mengakui ada unsur mencurigakan (sinister) dalam pelaksanaan Imams yang tidak dapat dipertahankan dalam perbahasan media sosial.

Jadi cara terbaik adalah membatalkannya sementara seperti yang dilakukan ke atas Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) lalu lintas. Apabila rakyat jelata leka ia dilaksanakan semula. Sementara itu pencadang sistem akan diberi pampasan kerana di belakang tabir mungkin sudah ada kira bicara.

Oleh sebab mereka beranggapan rakyat jelata boleh dibohongi maka mereka pun berbohonglah. Najib kata pembatalan Imams tepat. Nazri kata pegawai salah faham arahan dia. Timbalan Menteri, (Datuk Wira) Mas Ermieyati binti Samsudin, kata dia tak tahu apa-apa.

Mangsa Politik

Yang nampaknya terpaksa jadi pak sanggup dan kambing korban adalah pegawai kerajaan. Mereka sudah pun dituduh tidak faham arahan menteri.

Yang diperbodohkan pula adalah orang penting dalam sistem propaganda kerajaan, iaitu laskar siber dan media arus perdana (MAP) Umno/BN.

Laskar siber dan wartawan MAP yang bermati-matian mempertahankan sistem itu kemudiannya terpaksa menelan ludah mereka sendiri apabila ia dibatalkan.

Kecelakaan yang menimpa laskar siber Umno dan MAP dalam kes Imams ini adalah jawapan mutakhir kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi, mengapa penggiat media sosial pro-PH dan anti-BN lebih berkesan dan diyakini daripada laskar siber Umno/BN.

Penggiat media sosial pro-PH dan anti-BN lebih diyakini bukan kerana mereka mendapat latihan luar negara seperti Zahid dakwa tetapi kerana laskar siber Umno/BN serta MAP ditembak kakinya oleh bapak-bapak kepala Umno dan BN sendiri.

Mereka tembak “messenger” mereka sendiri.

Macam mana laskar siber dan wartawan MAP hendak diyakini kalau sebelah pagi macam ayam jantan baru baligh sokong Imams tetapi sebelah petang macam ayam mabuk ubi gadung sokong pembatalannya?

Seperkara lagi yang membezakan laskar siber Umno/BN daripada penggiat media sosial pembangkang adalah majoriti laskar siber Umno/BN diupah manakala majoriti penggiat media sosial pembangkang adalah sukarelawan.

Tambah parah bagi Umno/BN adalah hakikat bahawa sebahagian laskar sibernya terus berperang satu sama lain walaupun sudah diherdik “bangang” oleh Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2014.

Siakap senohong gelama ikan duri.
Cakap bohong lama-lama jadi kleptokrasi.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).