A Kadir Jasin
بِسْمِ اللهِ
الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
BANYAK pihak telah
mengulas pengakuan U-turn Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung
Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak) bahawa 1MDB
gagal dan berlaku kesilapan urus tadbir.
Najib mengaku 1MDB gagal, urus tadbir songsang |
Jadi tidak perlulah saya
mengulanginya kecuali memberi kata dua bahawa “pengakuan” Najib itu janganlah
ditelan bulat-bulat sebab mungkin ada lebih banyak racun daripada penawar.
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Sebaliknya saya hendak
mengulas tentang betapa sepinya (muted) reaksi media massa arus perdana (MAP)
dan laskar siber upahan kerajaan, Umno dan Barisan Nasional (BN).
Dalam loghat Utara,
mereka telah “terbotoi” (kemaluan) kerana selama ini mereka bermati-matian
menafikan yang 1MDB gagal dan urus tadbirnya bermasalah.
Kalau dulu mereka
mensabotaj kerajaan, Umno dan BN dengan membuat laporan dangkal yang tidak
dipercayai umum sehingga jualan akhbar mereka jatuh merudum, kini giliran
mereka pula disabotaj.
Bukan alang kepalang punya
sabotaj, tetapi sabotaj oleh bos nombor satu mereka sendiri.
Kesepian mereka
memekakkan. Apa guna yuran perundingan yang khabarnya mencecah jutaan ringgit
bagi yang bertaraf komander dan dedak bagi prebet kalau sekadar membuat
tampalan (posting) mengenai senaman pagi, sarapan, menjelir lidah seksi, rawatan
perubatan canggih, gambar pemandangan matahari naik dan turun, awan gelap dan hujan
lebat.
Bagi saya, posting
sebegini oleh komander dan jeneral siber kerajaan, Umno dan BN adalah manifestasi
kekacauan minda dan ketidakberanian mereka menghadapi realiti. Ia adalah
“escapism”.
Sumber Upah
Dari dulu lagi saya mengesyaki
ada bekas pengarang dan wartawan kanan MAP yang dilantik penasihat media dan
dibayar yuran perundingan yang luar biasa besarnya.
Tetapi majoriti laskar
siber hanya mendapat sagu hati dan duit poket sahaja atau dedak dalam bahasa
jalanan. Laskar adalah daripada istilah Parsi lashkar (لشکر )
yang bererti askar.
Saya juga tahu
sebahagian daripada mereka ditaja oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC),
tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan individu yang berkaitan dengan
Umno dan pentadbiran Najib.
Tetapi baru-baru ini
saya terperanjat juga apabila mendapat tahu bahawa dua buah portal prokerajaan
ditaja oleh sebuah GLIC Bumiputera yang sangat besar dan penting.
Sebuah daripada portal itu
dimiliki seorang bekas pengarang MAP dan sebuah lagi oleh pengulas politik berkelulusan
pengajian media yang tidak pernah menjadi wartawan.
Pada mulanya saya hanya
syak kerana dua portal itu amat gigih dan pantas membela GLIC berkenan apabila
saya menulis sesuatu yang tidak baik mengenainya.
Tetapi apabila kenyataan
balas oleh salah sebuah portal itu terhadap kritikan saya menyerupai kenyataan
media yang dikeluarkan selepas itu oleh GLIC berkenaan, jelaslah apa yang saya
syak itu adalah benar.
Menurut maklumat terbaru
yang saya peroleh, bos GLIC itu sendiri memberi imlak (dictation) kepada ketua
portal tersebut bagi menjawab hujah saya. Terima kasihlah kerana memandang
serius kritikan saya.
Bagi memenuhi etika
kewartawanan, saya menghantar pesanan WhatsApp kepada pegawai GLIC berkenaan.
Pegawai inilah yang berhubung dengan saya apabila ada isu antara saya dengan
majikannya.
Saya menulis:
“Assalamualaikum. Sekadar maklumat. Saya dimaklumkan yang - - - (nama GLIC)
menaja --- (nama portal) dan --- (nama portal). Saya dimaklumkan juga yang
---(nama pengerusi GLIC) menghantar WhatsApp terus kepada ---- (nama ketua
portal) untuk menjawab tulisan saya tempoh hari. Wallahuaklam. Terima kasih.”
Seandainya maklumat yang
saya peroleh itu tepat, persoalannya adalah apakah tajaan oleh GLC dan GLIC ini
mengikut tata cara pengurusan dan selari dengan etika korporat mereka?
Apa pun, pengakuan
Perdana Menteri bahawa 1MDB gagal dan ada masalah urus tadbir di dalamnya telah
membuatkan taring MAP dan laskar siber kerajaan dan BN semakin tumpul kalau pun
tidak rongak terus.
Namun saya tidak
menjangka wayang kulit 1MDB ini akan berakhir dengan pengakuan Najib itu. Pengakuan
beliau tidak lebih daripada “comic relief” ala Etong dan Ekheng menjelang
pilihan raya umum (PRU).
Wallahuaklam.