Tuesday, February 27, 2018

PENGUMUMAN: Blog Baru Other Thots



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

DENGAN sukacita dan rendah diri saya ingin memaklumkan bahawa mulai hari ini saya telah membuka sebuah blog baru dalam bahasa Inggeris bernama Other Thots.




Sambil meneruskan blog kita ini yang akan saya tulis dalam bahasa Melayu, saya berharap blog baru ini memberikan kita saluran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Nama blog ini adalah mengambil sempena kolum saya dalam akhbar New Sunday Times (NSuT) yang saya mulakan pada 19 January 1992 dan berterusan selama 23 tahun dalam NSuT dan majalan Malaysian Business.

Blog baru ini boleh dimasuki di http://otherthotsblog.blogspot.my/

Sudilah kiranya melawat dan memberi ulasan dalam bahasa Inggeris atau Melayu.

Terima kasih.

Monday, February 26, 2018

Kerana Peter Sondakh, Felda Tersandar



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AKIBAT ketaasuban seseorang terhadap tauke Cina Indonesia (Tan Sri Kehormat) Peter Sondakh, Felda dianggarkan telah mengalami kerugian atas kertas (paper loss) sebanyak kira-kira AS$300 juta atau lebih RM1.2 bilion.

Najib (kiri sekali) senyum ria bersama Peter Sondakh (kanan sekali)
Kalau pada tahun 2012 Felda diperkuda untuk menjana keuntungan modal segara (instant capital gain) bagi membiayai pilihan raya umum (PRU) 2013 melalui tawaran awam permulaan (IPO) Felda Global Ventures (FGV), kini, menjelang PRU 2018, ia diperalatkan sekali bagi membeli ladang milik Sondakh pada harga yang amat tinggi.

Walaupun pembelian ladang Sondakh di Indonesia yang bernama Eagle High itu dibantah dan dikritik oleh banyak pihak, termasuk (Datuk Seri) Mohd Nazir Abdul Razak, ia tetap diteruskan.

Ini menimbulkan persoalan apakah yang tersirat di sebalik perhubungan luar biasa antara Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak dengan Sondakh itu?

Mustahil semata-mata kerana Sondakh berasal dari Sulawesi seperti  keturunan Najib. Najib adalah keturunan bangsawan Bugis suku Gowa.

Ramai dalam dunia politik, diplomasi dan perniagaan tahu betapa akrabnya Najib dengan Sondakh.

Sondakh mula bertapak di Malaysia pada tahun 2000 dengan menjual asetnya di Indonesia kepada Khazanah Nasional Berhad dan membeli aset Khazanah di Malaysia.

Soalnya apakah ada persamaan di antara peranan Sondakh dengan Jho Low dalam cakerawala politik dan korporat Najib?

Pastinya Sondakh tidak dapat dibandingkan dengan orang kaya segera Jho Low. Sondakh mempunyai asas dan sejarah perniagaan yang lama dan tulen berbanding “wheeler dealer” penjual batu azimat Jho Low.

Namun, Sondakh mempunyai kesan yang hampir serupa dengan Jho Low dalam cakerawala korporat Malaysia – menyebabkan negara berhutang.  

Siapa goda siapa dan siapa pukau siapa dalam permainan korporat ini amat penting diselidik dan difahami kerana akibatnya kepada Felda sangat buruk.

Felda membeli hanya 37 peratus saham Eagle High tetapi sanggup (atau dipaksa) membayar harga yang sangat tinggi iaitu IDR580 seunit atau premium 95 peratus ke atas harga pasarannya. Felda dianggarkan telah membayar AS$505.4 juta (lebih RM2 bilion).

Malangnya (atau memang sudah dijangkakan), tidak lama selepas pembelian itu harga saham Eagle High jatuh merudum. Haru ini, 26 Februari, harganya hanya IDR230 seunit, menyebabkan Felda menderita kerugian atas kertas lebih RM1.2 bilion.

Harga saham Eagle High hari ini
Dengan kejatuhan lebih 50 peratus itu, pegangan Felda dalam Eagle High boleh dikatakan tidak bernilai lagi. Hendak gadai untuk bayar hutang pun tidak laku. Kalau laku pun jumlahnya amat kecil.

Dengan kerugian yang besar dan hutang yang bertimbun, Felda tidak berkemampuan membeli Eagle High apatah lagi dengan harga yang sangat mahal untuk satu blok saham yang tidak memberikannya kawalan ke atas syarikat Sondakh itu.

Tetapi mengapakah ia beli juga seolah-olah ada konspirasi untuk membawa keluar duit Felda (duit hutang) atau membantu Sondakh yang mengikut cerita sudah pun mendapat banyak bantuan dan keistimewaan dalam pelaburannya di Malaysia?

Agaknya permanian korporat luar biasa seperti inilah menyelamatkan bekas pengerusi Felda, (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad, daripada dihadapkan ke mahkamah walaupun sudah ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melakukan rasuah.

Isa menyimpan banyak rahsia berbisa!

Sondakh antara 10 orang terkaya di Indonesia (majalah Forbes)

1.   Robert Budi Hartono & Michael Hartono – Chinese
2.   Eka Tjipta Widjaja & family – Chinese
3.   Anthoni Salim & family – Chinese
4.   Susilo Wonowidjojo & family – Chinese
5.   Chairul Tanjung – pribumi
6.   Sri Prakash Lohia – Indian
7.   Boenjamin Setiawan & family – Chinese
8.   Peter Sondakh – Chinese
9.   Mochtar Riady & family  – Chinese
10.  Sukanto Tanoto – Chinese
  
Wallahuaklam.


Saturday, February 24, 2018

Blog Kita 12 Tahun Hari Ini



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

HARI ini, 24 Februari 2018, genaplah 12 tahun blog kita ini. Alhamdulillah.

Rencana pertama blog kita
Terima kasih saya ucapkan kepada para pembahas dan pelawat di atas sokongan mereka selama ini.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Diukur daripada aspek kepantasan perubahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), blog kita ini bolehlah dikira sudah lama dan tua.

Apabila saya memulakan blog ini, dunia ICT boleh dikira masih muda dan teknologi Blogspot baru berusia lebih sikit lima tahun. Blogspot dilancarkan pada 23 Ogos 1999.

Blog kita adalah antara yang awal dilancarkan dan mungkin berupa yang terawal oleh seorang bekas wartawan media arus perdana.

Ketika melancarkan blog kita ini, saya baru lima tahun meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Hakikat bahawa kita masih kekal sampai ke hari ini adalah bukti sahih iltizam kita untuk berkongsi ilmu dan maklumat secara terbuka dan berhemah.

Atas dasar itulah semua pihak diberikan peluang untuk menyatakan pendapat dan memberikan pandangan sama ada mereka setuju atau tidak dengan pendirian saya.

Bermula dengan rencana bertajuk “Tanda tanya di sebalik mohon maaf NST..” saya telah menampalkan 1,263 rencana dalam bahasa Melayu dan Inggeris mengenai pelbagai hal, tajuk dan isu.

Blog kita bukanlah yang terbesar di Malaysia tetapi tidaklah terlalu kecil. Sejak 12 tahun lalu kita telah menerima lebih 10 juta kunjungan (10,206,299 sehingga beberapa minit lalu), muka surat yang dilihat/dibaca lebih 16 juta (16,269,378) dan pengikut tetap (followers) 1,420 orang.

Yang paling ramai membaca tentulah dari Malaysia diikuti oleh Amerika Syarikat, Norway, Singapura, Indonesia, Ukraine, Emiriah Arab Bersatu, Australia, Brazil dan Brunei.

Sekali lagi buat semua pembaca dan pembahas – sama ada yang masih bersama kita atau yang telah meninggalkan kita – saya ucap selamat dan saya ulangi rasa terhutang budi kepada mereka.

Insya-Allah selagi diberikan kekuatan fizikal dan minda, saya akan teruskan blog kita ini. Terima kasih.

Wallahuaklam.

Wednesday, February 21, 2018

Orang Langkawi Berhati-hati Dengan Janji



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

TERIMA kasih (Tun) Dr Mahathir Mohamad, syabas orang langkawi tapi maaflah orang Kedah yang lain.

Najib janji RM1.3 bilion kepada Langkawi
Semata-mata kerana ura-ura Dr Mahathir akan bertanding di Langkawi, Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak), dengan murah hati janji (saya ulang, JANJI) peruntukan RM1,300,000,000 (RM1.3 bilion).

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Begitulah “power”nya Dr Mahathir. Cakap saja kata dia nak tanding di Langkawi, terus peruntukan berbilion dijanjikan.

Kata tak takut. Kata Dr Mahathir orang tua nyanyuk. Kata dia Mahathir Kutty. Kata dia tunduk kepada DAP. Kata parti dia parti serpihan.

Tapi cakap saja dia nak bertanding di Langkawi, Najib pun melawat tak berhenti-henti dan buat macam-macam janji.

Tapi orang Langkawi baik berhati-hati. Janji Najib ni banyak jenis wal hasil balik asal itu pasal tak hasil. Jenis kulit tebal tapi isi nipis.

Kalau tak percaya, kaji baliklah janji pilihan raya umum 2013. Dia janji nak bagi itu dan ini. Nak turunkan harga kereta dan macam-macam lagi. Tapi harga tak turun. Naik ada. Yang jatuh merudum adalah taraf hidup rakyat jelata.

Tanam tebu di tepi bibir: Aku janji, aku mungkiri

Janji Dimungkiri

Tak sampai dua tahun lepas menang tipis, Najib dengan tidak fikir panjang laksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seolah-olah nak hukum rakyat jelata yang tak bagi dia kemenangan dua pertiga.

Kita tahu GST adalah cukai yang Perdana Menteri sebelum Najib tolak tapi Najib dengan bangganya nobatkan sebagai penyelamat negara.

Sepatutnya bila menang kecil, Najib fikirlah cara ambil hati rakyat jelata supaya mereka kembali sokong Barisan Nasional. Sebaliknya dia hukum rakyat jelata, termasuk yang sokong BN, dengan bebankan GST ke atas mereka.

Tapi Najib tak peduli semua itu. Bagi dia, janji boleh dimungkiri. Macam-macam alasan boleh dibagi. Dia kata rakyat didahulukan. Tapi keluh kesah rakyat jelata tidak dipedulikan.

Yang dia dengar adalah cakap para penasihat dan perunding dalam dan luar negara yang kiblatnya kapitalisme dan syahadahnya pasaran terbuka.

Jadi apabila harga minyak mentah jatuh dan hutang negara naik mencanak, jawapan mudahnya adalah mencukai rakyat jelata.

Maka GST pun dimanterakan sebagai cukai paling adil dan paling saksama. Kali ini Najib tak bohong. GST tidak pilih mangsa. Orang kaya, orang senang, orang papa kedana, orang buta, pengemis dan orang yang dapat zakat semuanya kena GST.

Najib kata enam peratus saja. Negara lain lagi tinggi. Tapi dia tak cakap pula pasal kenaikan harga berganda kerana GST dikenakan di setiap peringkat pemprosesan dan pertukaran tangan.

Awas Orang Langkawi

Jadi rakyat Langkawi kena berhati-hati. Manalah tahu, bukan mereka yang Najib sayangi tapi Dr Mahathir yang dia benci dan takuti.

Siapa yang majukan Langkawi kalau bukan Dr Mahathir? Dan tempat manakah yang menjadi tapak berpijak terawal bagi  Dr Mahathir kalau bukan Langkawi? Dia doktor kerajaan terawal di pulau Mahsuri.

Najib hanya peduli Langkawi apabila ia sudah maju dan rakan sekutunya macam Peter Sondakh mula bertapak dengan projek raksasa berbilion ringgit.

Bagi orang Kedah yang lain, maaflah. Pertanian dan luar bandar bukan keutamaan Najib. Luar bandar dan rancangan Felda hanya berguna waktu pilihan raya.

Dalam pertemuan terakhir dengan Najib banyak tahun lalu, saya tanya apa sumbangan dia kepada orang luar bandar menggunakan duit yang dijimatkan daripada pemotongan subsidi minyak?

Saya kata, dia belanja berpuluh bilion bina MRT di Lembah Klang. Pasal apa tak belanja sikit untuk naikkan taraf projek pertanian macam Mada supaya setaraf dengan Sekinchan?

Dia kata “too expensive” (terlalu mahal). Saya tanya berapa? Dia kata RM2.3 bilion. Saya baca berita kata, MRT sudah telan belanja lebih RM32 bilion.

Itu belum kira projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) konsesi China (RM55 bilion), kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang dianggarkan berharga RM70 bilion, pelabuhan China Kuantan, pelabuhan China Melaka dan macam-macam lagi projek urbanisasi.

Jadi janji RM1.3 bilion kepada orang Langkawi ini hanyalah tahi gigi. Najib peduli apa. Yang nak bayar balik hutang negara bukan dia tapi kita dan anak cucu kita. Tahun ini bayar bunga hutang saja RM31 bilion.

Sejak dia jadi Perdana Menteri pada tahun 2009 hutang negara naik 10 peratus setiap tahun. Kalau tak disekat, pada tahun 2021 hutang negara akan cecah RM1 trilion (RM1,000,000,000,000).

Apa kesan semua ini kepada rakyat jelata? Kita dibebankan dengan GST, nilai ringgit kita merudum, harga barang pengguna naik mencanak, biasiswa dipotong, hutang pendidikan tinggi dikurangkan, kerja tak ada, lulusan universiti jual nasi  lemak dan bawa kereta sewa, hatta ubat di hospital pun dicatu.

Inilah hasil “17 Aku janji BN kepada rakyat” pada PRU 2013. Aku janji bertukar jadi janji dimungkiri. Jadi orang Langkawi dan rakyat jelata di seluruh negara berjaga-jaga dan berhati-hati.

Najib akan janji bulan, bintang dan matahari asalkan dia terselamat daripada sebuah mimpi yang amat ngeri. 

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).