Cakap Pasal GST Tapi Cukai Sendiri
Tak Bayar
1. Mohd Najib Abdul Razak kata, hasil
(revenue) kerajaan pusat akan naik dengan banyak jika GST dilaksanakan semula.
2. Kata dia lagi, dengan hasil yang
lebih banyak itu, hidup rakyat jelata akan lebih senang apabila kerajaan
membelanjakan duit itu.
3. Setuju. Tapi daripada manakah
datang hasil GST yang lebih banyak itu? Daripada mana lagi kalau bukan daripada
pengguna yang membeli barang-barang dan perkhidmatan.
4. Siapakah mereka? Mereka
termasuklah berpuluh-puluh juta rakyat jelata B40 di bandar, kampung dan
Rancangan Felda. Ertinya mereka mendapat faedah daripada duit mereka sendiri.
Mereka bayar GST tetapi bukan semua duit itu akan balik kepada mereka. Kalau
dapat balik sebahagian kecil pun sudah boleh dikira bertuah.
5. Duit GST itu akan jadi sebahagian
daripada Akaun Disatukan (Consolidated Account) yang digunakan untuk bayar
gaji, elaun, pencen dan macam-macam lagi imbuhan kepada 1.6 kakitangan awam
- bermula dengan Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri,
Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan Menteri. Selebihnya digunakan untuk
penyelenggaraan dan bayar balik hutang.
6. Yang Najib tidak bagi tahu adalah
untuk pembangunan, macam bina sekolah dan hospital, kerajaan terpaksa
berhutang. Dalam zaman dia sendiri, banyak duit yang dipinjam kononnya untuk
pembangunan telah disonglap melalui rasuah dan pecah amanah. Paling besar
adalah pencurian duit 1MDB.
7. Betul kadar GST tidak banyak
berbeza daripada SST tapi liputan GST adalah lebih luas dan menyeluruh jadi
beban ke atas pengguna dan rakyat jelata lebih berat.
8. Lagi pun siapa Najib hendak
bercakap tentang cukai sedangkan cukai sendiri dia dan anak-anak dia tak bayar.
Bukan seribu dua tapi RM1.7 bilion.
Sekian.