A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan disiarkan. Sila guna Google
Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]
BILA pegawai kerajaan belanja peruntukan yang
ditujukan kepada kanak-kanak kurang zat makanan untuk jamuan pejabat, apa lagi
yang kita boleh kata?
Apatah lagi perkara bedebah itu
dilakukan oleh pegawai-pegawai kesihatan diamanahkan menjaga peruntukan tersebut. Jangan bimbang, Menteri akan beri seribu alasan. Perkara biasa kan?
Kita tahu perkhidmatan awam Malaysia bukan kelas dunia. Tetapi kita tidaklah menjangka yang ianya seteruk itu.
Apa sudah jadi dengan
perkhidmatan awam Malaysia? Apa sudah jadi dengan pegawai kerajaan Malaysia?
Tetapi itulah antara pelbagai
musibah dan keburukan yang didedahkan oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan 2013 yang
dikeluarkan semalam.
Terima kasih kepada akhbar The
Star kerana memukadepankan penemuan itu.
Inilah yang menyebabkan rakyat jelata
makin kritikal terhadap pentadbiran negara. Betullah kata orang dulu kala, bapa
borek anak rintik.
Itu jugalah sebabnya rakyat
jelata semakin keberatan membayar cukai. Sedangkan buat sekian lama rakyat
jelata Malaysia adalah antara yang paling setia membayar cukai.
Yang liat bayar cukai adalah tauke-tauke,
pengimport dan pengeksport. Macam-macam helah dan kaedah mereka guna untuk elak
cukai, termasuk menipu dan merasuah.
Rakyat tidak bantah GST seperti
mereka tidak bantah cukai jualan dan perkhidmatan. Yang mereka bantah adalah
pembaziran, pemborosan, salah guna wang negara dan ketidakcekapan.
The Star turut memetik laporan
Ketua Juruaudit Negara mengenai kelewatan 18 bulan menyiapkan kompleks mahkamah
di Kuantan yang menyebabkan kosnya meningkat RM19 juta dan mesin roti RM1.2
juta untuk Jabatan Penjara disimpan di tempat letak kereta.
Ada Skandal Lebih Besar
Itu cerita tahi gigi kalau
dibandingkan dengan salah urus pembinaan terminal penerbangan ekonomi KLIA2
yang bukan saja terlewat dua tahun, tetapi juga menelan belanja dua kali ganda
- daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion.
Kontrak utamanya diberikan
kepada usaha sama UEM-Bina Puri Berhad. UEM adalah GLC milik Khazanah
Nasional manakala Bina Puri adalah syarikat pembinaan yang ada kaitan dengan
MCA. Pengerusinya, Wong Foon Meng adalah bekas Setiausaha Agung MCA dan Speaker
Dewan Negara.
Tidak hairanlah kalau pelanggan
utama terminal baru itu, Air Asia Berhad mempertikaikan kesediaan dan
keselamatan terminal yang dijadualkan beroperasi pada 2 Mei ini. Media massa, antara
lain melaporkan keretakan landasan dan apron serta kesediaan sistem bagasi.
Dalam suasana di mana negara
kita dilanda bala (ujian) demi bala – daripada kejadian alam (kemarau, jerebu
dan kekurangan air) kepada kehilangan kapal terbang dan penculikan pelancong –
kita wajib berhati-hati sebelum membuka KLIA2.
Ada orang kata bukan bala lagi,
tapi sudah sampai peringkat pembalasan.
Bayangkan apa akan terjadi
kepada imej kita sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini atau masalah
teknikal besar di terminal baru itu.
Kita wajib ingat, hari ini genaplah sebulan
kehilangan misteri pesawat MH370 dan kalau tidak kerana bantuan negara-negara
sahabat, kita masih ternganga dan terpinga.
Wajib Siasat Kelewatan KLIA2
Kembali kepada kontroversi
KLIA2, saya masih ingat betapa sukarnya memindahkan operasi dari Lapangan
Terbang Subang ke KLIA pada tahun 1998.
Kebetulan saya tiba dengan
penerbangan pertama Cathay Pacific dari Hong Kong di KLIA pada hari pertama
operasinya.
Kita mengalami kelewatan yang
panjang untuk keluar dari pesawat dan mengambil bagasi. Saya menulis mengenai
pengalaman saya itu dan disindir pada hari berikutnya sebagai tidak patriotik.
Dalam hal kelewatan dan
pergandaan kos KLIA2, kita wajib menuntut agar penyiasatan rapi dan bebas
dilakukan ke atas pihak-pihak yang terbabit, termasuk Kementerian Kewangan,
Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad dan kontraktor
utama.
Mesti ada pihak yang tidak
cekap, tidak teliti dan tidak telus sebaliknya korup sehingga berlaku
kelewatan, pergandaan kos dan mutu kerja yang dipertikaikan.
Kita tidak memilih kerajaan,
membayar cukai dan mematuhi undang-undang untuk diperkotak-katikkan oleh orang
yang kita beri mandat dan kepercayaan. Barang dijauhkan malapetaka dan musibah seterusnya.









