A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous dan
kesat tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL
untuk mengulas. Nama samaran dibenarkan.]
DALAM beberapa posting terbaru, kita berbincang dan berbahas isu-isu serius. Kali ini marilah kita bercerita
mengenai sesuatu yang lebih ringan dan mungkin menghiburkan. Orang putih kata, comic
relief.
Tapi sebelum itu, tolonglah ambil perhatian yang
komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Dalam blog kita ini, pembahas WAJIB ada
nama. Nama samaran dan nama pena pun tak apa. Angka pun boleh. Guna nama
sendiri macam saya lagilah bagus.
Kita mulakan dengan menonton
klip filem berikut oleh Allahyarham Seniman Negara, (Tan Sri) P Ramlee dari Youtube.
Daripada klip di atas, kita
memperoleh ilmu dan panduan untuk mencari persamaan, teladan dan kesimpulan.
Antaranya:-
1. Betapa asli (original)
dan dalamnya pemikiran P Ramlee. Filem beliau dapat dengan kiasan dan sindiran
membina. Dalam adegan di atas beliau menggantikan permaidani terbang dengan
tikar mengkuang terbang.
2. Naik tikar dan permaidani ajaib lebih
pantas daripada menunggang unta. Tetapi tikar dan permaidani ajaib hanya ada dan relevan
dalam cerita P Ramlee dan hikayat Seribu Satu Malam saja. Dalam realiti, kita kena naik kapal
terbang untuk perjalanan jauh dan pantas.
3. Arab berkhayal dan bersengketa.
Barat mencipta dan membolot kuasa. Dunia Arab porak-peranda. Malang seribu kali
malang, banyak orang kita sangat taasub kepada Arab sampai sanggup jadi
pengebom bunuh diri dan berbunuh-bunuhan sesama Muslim.
4. Ada seorang bekas profesor
memberitahu saya, dalam sebuah kitab agama lama Johor disebutkan, iaitu kalau
masih dalam keraguan setelah membaca kitab itu, pergilah bertanya kepada Arab
yang terdekat.
5. Selain untuk tujuan menghias, permaidani ada
banyak kegunaan luar jangkaan. Dalam hikayat Seribu Satu Malam (The Arabian
Nights), permaidani ajaib boleh terbang.
6. Bila ada permaidani, ada pulalah
pengguna, pengeluar, pengedar dan peniaga permaidani (carpet traders). Carpet
traders pula ada pelbagai jenis. Ada yang membekalkan permaidani kepada
masjid dan surau. Cukup makan, jarang kaya dan sana sini buat pahala. Lazimnya
Melayulah. Ada carpet traders kelas eksklusif. Mereka bekalkan
permaidani kepada istana dan rumah orang ternama. Mereka berjaya dan kaya. Bank
bagi pinjaman mudah puluhan juta. Kalau pintar atau putar-belit mereka turut mendapat
pengaruh dan kuasa. Jadilah mereka carpet traders with power.
7. Selain menjadi hiasan dan simbol status kepada
pemiliknya, permaidani juga boleh dijadikan tempat menyembunyikan sampah dan
debu seperti dalam pepatah Inggeris “sweeping under the carpet”.
8. Menggulung manusia dalam
permaidani pun boleh seperti dalam legenda Cleopatra. Dia telah disembunyikan dalam gulungan permaidani untuk dibawa bertemu kekasihnya, Julius Caesar.
Cleopatra berbuat begitu demi mengelak daripada dikesan dan dibunuh oleh musuh
ketatnya, iaitu abangnya Ptolemy.
9. Apabila Caesar pulang ke Rom dan
dinobatkan sebagai maharaja (emperor), Cleopatra mengikutinya. Tetapi apabila
Caeser dibunuh oleh Brutus
and Cassius, Cleopatra cepat-cepat lari dari Rom dan kembali ke Mesir. Natijahnya, dalam politik dua beradik pun boleh jadi musuh
ketat dan dalam cinta berahi, macam-macam tipu helah digunakan. Pastinya orang
yang menolong menyeludup Cleopatra dalam gulungan permaidani dianugerahkan duit
dan pangkat.
![]() |
| Elizabeth Taylor Sebagai Cleopatra |
10. Kemudian cerita mengenai
kematian Khalifah Baghdad, al-Musta’sim pada tahun 1258. Apabila panglima
tentera Mongol, Hulagu Khan menawan Baghdad, dia dikisahkan telah membalut
al-Musta’sim dalam permaidani dan mengarahkan kuda memijaknya sampai mati.
Diriwayatkan yang Hulagu percaya kepada nujum. Nujum memberitahu beliau
memancung al-Musta’sim boleh mencetuskan malapetaka seperti gempa bumi.
![]() |
| Lukisan Mongol Mengepung Baghdad 1258M |
11. Al-Musta’sim pula digambarkan
sebagai seorang pemerintah yang lemah, berbolak-balik (vicillating), malas, suka minum serbat dan dikelilingi pemuzik serta badut.
12. Akhir kalam, panduan berbomoh
daripada seorang bekas setiausaha bahagian Umno dari Pantai Timur. Katanya,
banyak orang politik suka berbomoh. Ingat lagi cerita Mona Fandey-Mazlan Idris?
Mazlan adalah ADUN BN Pahang.
13. Pesan beliau, sebelum meminta
bomoh “mengunci” seseorang, pastikan bomoh itu tahu membukanya. Katanya, pernah
berlaku si mangsa terkunci mati kerana si bomoh hanya belajar mengunci tetapi
terlupa belajar membuka kunci.
Nota kaki: Blog ini tidak
menggalakkan perbomohan dan sebarang kerja yang menyekutukan Allah.
Wallahuaklam.












