A Kadir Jasin
PANTUN Melayu paling indah dan
bermakna dalam hal ilmu dan kebijaksanaan berbunyi:
Pergi memburu di padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Kalau berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Pantun nasihat itu berguna
kepada kita semua dan, dalam konteks semasa amat afdal kepada pendiayah, tukang
cerita dan tentera siber Perdana Menteri, Umno, Barisan Nasional dan kerajaan.
[PERINGATAN: Komen
guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL.
Boleh pakai nama samaran.]
Taktik hingusan menyerang
peribadi pengkritik Mohd Najib Abdul Razak dan kerajaannya tidak berkesan
sebaliknya boleh menjadi senjata makan tuan.
Apatah lagi kalau peribadi
Perdana Menteri, lebih rentan (vulnerable) dan mudah ditelanjangkan oleh para
pengkritik beliau sebagai serangan balas.
Apa halnya kalau petugas-petugas
propaganda Perdana Menteri adalah orang muda yang tohor ilmu dan tidak pun
kenal siapa sebenarnya pengkritik bos mereka?
Saya yakin ramai daripada
mereka, kerana muda usia dan tidak berada di tengah-tengah pergelutan politik,
khususnya yang membabitkan Mohd Najib, tidak pun tahu bentuk perhubungan di
antara Perdana Menteri dengan orang yang hari ini menegur beliau.
MAP Sambung Lidah PR?
Sejak beberapa bulan
kebelakangan ini, sesetengah elemen dan wartawan media arus perdana (MAP),
termasuk dalam kumpulan Media Prima, telah secara terbuka bertindak sebagai
penyambung lidah Pakatan Rakyat, khususnya dalam membelasah (Tun ) Daim
Zainuddin.
PR, terutamanya Parti Keadilan
Rakyat, mempunyai agenda tersendiri memburuk-burukkan Daim. Pemuka PR seperti (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Lim
Kit Siang tahu kehebatan saluran maklumat dan strategi Daim.
Mengapa tidak? Daim adalah
antara orang penting memainkan peranan menaik dan menurunkan Anwar dalam
politik negara.
Mereka tahu perisikan, analisis
dan strategi Daim lebih hebat daripada mana-mana pihak dalam Umno dan BN. Oleh sebab Daim tidak berminat dalam politik
maka analisis dan strategi beliau adalah lebih bebas dan berkecuali.
Tambah memeningkan PR adalah
hakikat bahawa Daim mempunyai perhubungan baik dengan sesetengah orang mereka
sendiri.
Di kalangan penyokong dan
petugas Mohd Najib pula, ramai bimbang Perdana Menteri meminta atau menerima
nasihat Daim. Mereka tidak mahu kemungkinan itu berlaku kerana nasihat Daim
mungkin merugikan mereka.
Jadi mereka berusaha melemahkan
kredibiliti Daim dan pada masa yang sama cuba melaga-lagakan Mohd Najib dengan
Daim.
Apakah para pengarang dan
wartawan MAP tidak sedar matlamat tersirat PR atau mereka diarahkan menyerang
Daim dengan apa cara juga, termasuk bersekongkol dengan PR?
Boleh jadi juga mereka tidak
mendalami atau sengaja menidakkan perhubungan antara Mohd Najib dan Daim lantas
mereka mengambil agenda PR, khususnya PKR, sebagai agenda mereka sendiri dan
menyerang Daim atas tanggapan inilah yang terbaik bagi mempertahankan Mohd
Najib.
Mungkin mereka tidak tahu dan PM
pun tidak mahu memperbesar-besarkan keakraban beliau dengan Daim. Namun, antara
yang terawal beliau hubungi selepas mendarat di Kota Bharu (dari Hawaii) ialah
Daim.
Pendiayah muda PM
yang kini dikatakan amat berkuasa dan kaya dengan sumber kewangan mungkin tidak
tahu atau tidak sedar bahawa kalau bukan kerana orang seperti (Tun) Dr
Mahathir, Daim, (Tan Sri) Sanusi Junid, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin dan
beberapa orang lagi veteran Umno, bos mereka mungkin tidak merasa menjadi PM
atau tidak menjadi PM secepat itu. Malah kalau diserahkan bulat-bulat kepada
(Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan para penerajunya, ada kemungkinan Mohd Najib
tidak menjadi PM.
Jadi elok para propagandis,
laskar siber dan penggilap epal Mohd Najib buang dulu hingus mereka dan belajar
daripada sejarah. Jangan terlalu angkuh dengan operasi gelap mereka dan dengan
wang yang mereka ada untuk mengupah dan membeli.
Cerita Peribadi Siapa Lebih
Sensasi?
Kalau mereka kata mereka ada
maklumat “juicy” (mengiurkan) mengenai Daim atau mana-mana pengkritik bos
mereka, mereka kena ingat mungkin orang ini mempunyai maklumat yang lebih
menyelerakan mengenai bos mereka.
Mungkin diayah murahan mengenai
para pengkritik Mohd Najib boleh merosakkan imej mereka, tetapi mereka bukan PM
dan mereka pun tidak berkedudukan politik.
Tetapi cerita-cerita yang
menyelerakan mengenai Mohd Najib, kalau ada, boleh menjatuhkan beliau. Setidak-tidaknya pun beliau tidak
nyenyak tidur malam yang lebih teruk daripada gangguan bunyi motosikal pelumba
haram seperti yang isterinya, Rosmah Mansor, ceritakan baru-baru ini.
Para pendiayah dan laskar siber
wajib sedar, iaitu ketika mereka masih merangkak dalam dunia maklumat dan
propaganda, para pengkritik Mohd Najib sudah pun makan sekarung garam dan kenal
bos mereka dari A ke Z.
Daripada cuba membunuh pembawa
khabar (the messengers) adalah lebih baik mereka tajamkan sedikit pemikiran dan
jawab kritikan terhadap bos mereka satu persatu.
Kalau mereka kurang faham, biar
saya beri sedikit “hint” dalam bentuk soalan, khususnya berkaitan ekonomi sebab
saya yakin ramai daripada mereka tidak faham ekonomi. Antaranya:
1. Mengapakah PM tidak
mengisytiharkan darurat kerana banjir besar sedangkan kerajaan mengisytiharkan
darurat ketika berlaku wabak SARS pada tahun 2009 dan jerebu pada tahun 2013?
2. Bagaimanakah PM, sebagai Menteri
Kewangan, hendak melestarikan (sustain) Belanjawan 2015 apabila harga minyak
mentah sudah jatuh di bawah paras AS$50 setong sedangkan anggaran belanjawan
adalah antara AS$100 hingga AS$105 setong?
3. Apakah laskar siber Mohd Najib
peduli membaca berita ekonomi untuk mengetahui bahawa harga minyak mentah Brent
yang digunakan sebagai penanda aras telah jatuh kepada AS$48.90 setong Jumaat
lepas dan harga di New York jatuh kepada AS$46.85 pada hari Rabu, iaitu paras
paling rendah sejak April 2009?
4. Bolehkah GST dan punca-punca
lain pendapatan menampung kejatuhan hasil akibat kemerosotan harga minyak
mentah yang menyumbang hampir 40% kepada perolehan kerajaan?
5. Apakah implikasi kejatuhan nilai
ringgit terhadap kos import, khususnya import bahan makanan seperti beras,
gandum, jagung, gula, kacang soya, susu dan daging yang bernilai lebih RM35
bilion setahun?
6. Apakah potensi inflasi import
(imported inflation) ke atas harga barang pengguna akibat kejatuhan nilai
ringgit?
7. Sebanyak manakah kita dapat
menambah eksport negara kerana nilai ringgit jatuh dan eksport kita menjadi
lebih murah?
8. Mengapakah prestasi pasaran
saham kita buruk sehingga dikalahkan oleh Filipina, Indonesia dan Thailand dan
banyak lagi pasaran membangun?
9. Tidak percaya tanyalah peneroka
Felda atau sesiapa saja yang melabur dalam saham Felda Global Ventures Berhad.
Bukankah harga saham FGVB telah merosot daripada harga IPO RM4.55 pada tahun
2012 kepada RM2.18 pada 9 Jan, kejatuhan lebih 50 peratus?
![]() |
| Mohd Najib "Mentor" Felda |
10. Apakah sebabnya rizab
antarabangsa Bank Negara
Malaysia jatuh daripada RM441.9 bilion pada akhir 2013 kepada RM405.5 bilion – merosot RM36.4
bilion- dalam masa 12 bulan hingga akhir bulan lalu?
11. Adakah Bank Negara masuk ke
pasaran bagi mempertahankan nilai ringgit dan rugi?
12. Apakah akan terjadi kepada
sistem perbankan negara dan penarafan antarabangsa pasaran modal kita kalau
1MDB gagal memenuhi obligasi hutangnya yang berjumlah RM42 bilion itu?
13. Apakah kesan kejatuhan nilai
ringgit terhadap hutang 1MDB yang kebanyakannya dalam mata wang dolar Amerika?
![]() |
| Arul Kanda Kandasamy Presiden Baru 1MDB |
15. Apakah tepat unjuran CIMB bahawa
Maybank terdedah kepada RM5.5 bilion hutang 1MDB?
16. Apakah tepat unjuran jika Maybank
(milik PNB) membuat peruntukan (provision) hutang lapuk bagi tahun kewangan
2015 akibat pinjaman 1MDB keuntungan bersihnya akan merosot 5.6 peratus?
![]() |
| Maybank Asalnya Milik Cina Tapi Kina Aset Utama PNB |
18. Dan satu soalan yang mudah –
mengapakah kerajaan tidak memberi penjelasan terperinci dan terus terang
mengenai apa sebenarnya terjadi kepada pesawat eksekutif TUDM yang membawa PM
ke Hawaii, tetapi tidak membawa beliau balik?
Para pendiayah, laskar siber PM
dan kaki ampu perlu faham dan ada keutamaan. Yang hendak dipertahankan adalah
PM – peribadi beliau, dasar beliau, prestasi beliau dan kesesuaian beliau untuk
terus memerintah.
Peribadi, dasar, prestasi dan
kesesuaian beliau untuk terus memerintah tidak akan menjadi bertambah baik
dengan membunuh pembawa khabar ngeri.
Atau apakah pendiayah, laskar
siber dan pengampu PM mempunyai agenda sendiri yang mirip sokong bawa rebah dan
gunting dalam lipatan?
Perdana Menteri wajib
berhati-hati terhadap musuh dalam selimut yang mendakap dan menggosok belakang
beliau, tetapi di tangan keris terhunus.
Wallahuaklam.















