A Kadir Jasin
MUTAKHIR, 9 Julai – Tak payah tunggu 14 hari.
Dengan cepat Dow Jones & Co, pemilik Wall Street Journal, bagi tahu peguam
Mohd Naji yang “We stand behind our fair and accurate coverage of this
evolving story” (Kami berpegang kepada laporan kami yang wajar dan tepat mengenai
sebuah peristiwa yang berterusan). Dengan itu, Mohd Najib wajib saman kalau dia
ada bukti yang laporan WSJ itu bohong.
![]() |
| Mohd Hafarizam Harun, ketua peguam Mohd Najib |
POSTING ASAL
PEMBAHAS Zed-85 dalam komen 12.52AM menulis: “Sekadar perbandingan, dahulu Anwar berjawatan TPM disabitkan kesalahan didapati bersalah dalam rasuah walaupun tidak ada nilai satu sen pun dalam kesalahan.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Sekarang ini terdapat lebih RM2 ribu juta yang dipersoalkan dalam siasatan.
Kita mungkin boleh anggapkan ini adalah "Stress Test" untuk sistem yang sedia ada sama ada prinsip "Nobody is above the law" benar-benar berfungsi di negara (kita).”
Ramai orang mempunyai sentimen
yang serupa dengan pembahas Zed-85. Tetapi ramai terkejut dan berasa
tidak masuk akal apabila timbul cakap-cakap dan ramalan bahawa Perdana Menteri
Mohd Najib Abdul Razak mungkin menghadapi tindakan undang-undang.
Kemungkinan ini menjadi semakin jelas apabila dakwaan
akhbar Wall Street Journal (WSJ) bahawa beliau pernah mempunyai simpanan AS$681
juta (kira-kira RM2.6 bilion) tidak dinafikan, sama ada oleh beliau sendiri
atau oleh bank yang dinamakan, iaitu AmBank Berhad.
Sama ada akaun berkenaan masih cergas, tidak aktif
atau sudah ditutup bukan isunya. Persoalannya ialah Mohd Najib pernah ada RM2.6
bilion dalam akaun itu.
Dalam posting Facebooknya,
beliau sekadar berkata: “Let me be very clear: I have never taken funds for
personal gain as alleged by my political opponents – whether from 1MDB, SRC
International or other entities, as these companies have confirmed.”
(Biar saya katakan dengan jelas.
Saya tidak pernah ambil tabungan untuk kegunaan peribadi seperti yang didakwa
oleh musuh politik saya – sama ada daripada 1MDB, SRC International atau
pihak-pihak lain seperti yang telah disahkan oleh syarikat-syarikat ini.”)
Sampai hari ini beliau tidak
menafikan bahawa akaun atas nama beliau dengan simpanan AS$681 juta itu pernah
wujud, tetapi ditutup tidak lama selepas pilihan raya umum 2013.
Kalau akaun itu tidak wujud, apa
susahnya beliau sekali gus menafikannya atau AmBank menafikan yang akaun atas
nama Mohd Najib itu tidak pernah wujud. Tetapi yang lebih utama bukan kewujudan
akaun itu tetapi daripada mana datangnya dana AS$681 juta itu dan apa
kegunaannya.
Sebaliknya beliau dan
penyokong-penyokong beliau membuat laporan polis terhadap WSJ dan peguam beliau
mengutus e-mel kepada penerbit WSJ di New York “meminta akhbar itu mengesahkan
sama ada ia mempertahankan laporan itu atau tidak” dalam masa 14 hari. Ia
dilihat sebagai langkah melengah-lengahkan kerana WSJ telah pun secara terbuka
berkata ia mempertahankan dakwaan terhadap Mohd Najib itu.
Sejarah Mengajar Kita
Sesiapa yang mengetahui sejarah
atau tidak lupa sejarah tentu tahu bahawa sudah ramai orang politik dituduh di mahkamah kerana rasuah, salah guna
kuasa dan pecah amanah. Ada yang didapati bersalah dan ada yang tidak.
Jadi kemungkinan Mohd Najib
dihadapkan ke mahkamah bukanlah sesuatu yang luar biasa. Cuma belum ada Perdana
Menteri yang diseret ke mahkamah atas tuduhan jenayah sebelum ini.
Sejak zaman Almarhum Tunku Abdul
Rahman Putra lagi berlaku kes pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa
melibatkan orang kanan politik. Ada yang berakhir di mahkamah dan ada yang
tidak, tetapi umumnya ahli politik yang terbabit meletakkan jawatan. Antaranya
adalah:
1. Allahyarham Abdul Rahman
Talib, Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan dalam Kabinet Tunku pada
tahun 1964. Beliau kalah kes sivil melawan S.P. Seenivasagam yang memberi
implikasi bahawa beliau terlibat dengan rasuah. Allahyarham mengundur diri
daripada Jemaah Menteri.
2. Menteri Besar Perak, Allahyarham Ahmad Said didedahkan memiliki hampir RM1.2 juta. Daripada jumlah itu RM330,000 dirampas kerana didapati diperoleh secara rasuah. Beliau meletakkan jawatan pada Februari 1970.
3. Menteri Perumahan, mendiang
Khaw Kai Boh diarah berundur daripada menjadi anggota Kabinet pada September
1970.
4. Pada
era Allahyarham Tun Hussein Onn, seorang pemimpin politik yang sangat
berpengaruh dan dipuja umum, iaitu Allahyarham Harun Idris dihadapkan ke
mahkamah atas tuduhan rasuah, didapati bersalah dan dipenjarakan enam tahun.
Beliau mendapat pengampunan diraja apabila Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri
pada tahun 1981.
5. Kata orang putih,
“the stake became higher” pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Timbalan
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah
(salah guna kuasa) dan liwat.
6. Banyak lagi kes
di mana pembesar politik dituduh di mahkamah kerana rasuah seperti Kasitah
Gadam (dibuang kes), Tun Ling Leong Sik (buang kes) dan Mohd Khir Toyo
(didapati bersalah/tunggu keputusan rayuan).
7. Ada kes-kes
SPR/MACC yang kuat terhadap anggota Kabinet atau bekas anggota Kabinet
dibakulsampahkan kerana tujuan politik.
Merenung Bola Kristal
Berasaskan
fakta-fakta di atas maka adalah tidak mustahil kalau Mohd Najib dihadapkan ke
mahkamah.
Daripada kenyataan
Peguam Negara, Abdul Gani Patail, sejak beberapa hari kebelakangan ini,
kesimpulan rambang boleh dibuat bahawa ada bukti pembabitan Mohd Najib.
Malah kenyataan
bersama pasukan petugas pelbagai agensi mengenai pembekuan enam akaun bank
milik pihak-pihak yang dipercayai terlibat dengan kes akaun Mohd Najib pada 6
Julai memberi gambaran mereka tidak mahu berselindung lagi.
Ini bukan
calang-calang kenyataan media. Ia ditandatangani sendiri oleh Abdul
Gani, Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Abdul Khalid Abu
Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Abu Kassim
Mohamed.
Ia memperkukuhkan lagi bukti bahawa akaun yang didakwa oleh WSJ itu wujud!
Seperkara lagi,
penubuhan pasukan bertindak itu boleh mengelak agensi-agensi terbabit daripada
ditekan, dipujuk malah diperas ugut sekiranya mereka bertindak bersendirian.
Soalnya sekarang, adakah Abdul Gani
bersungguh mahu menghadapkan pihak-pihak yang terlibat, termasuk Mohd Najib, ke
muka pengadilan?
Beban Maklumat
Beban beliau sangat
berat kerana maklumat yang ada di tangan beliau, juga ada di tangan badan-badan
penyiasat seperti Polis, SPRM dan Bank
Negara.
Selain itu,
sebahagian maklumat dan dokumen berkaitan telah pun bocor dan jatuh ke tangan
pihak ketiga, termasuk media massa asing.
Kalau Mohd Najib
tidak dituduh sedangkan ada bukti yang kukuh, satu dunia akan ketawakan kita
dan sahlah kita tidak serius membanteras rasuah dan salah guna kuasa di
peringkat tertinggi.
Peguam Negara
terpaksa meyakinkan Polis, SPRM dan Bank Negara mengapa pendakwaan tidak
dilakukan. Kalau tindakan tegas tidak diambil, ia akan menyebabkan
pegawai-pegawai yang bertungkus-lumus menyiasat dan mengambil risiko, berasa
putus asa dan hilang semangat. Dan mereka mungkin bercakap kerana mereka tidak
mahu dituduh bersekongkol atau tidak cekap.
Beban yang sama beratnya
dipikul oleh orang seperti Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin
kerana beliau juga mempunyai maklumat yang sama dan berkuasa untuk melakukan
sesuatu.
Beliau perlu segera
bertindak dengan berani dan tegas kalau mahu menyelamatkan negara daripada
krisis imej dan keyakinan yang semakin meruncing yang telah merebak menjangkiti
ekonomi dan kesejahteraan rakyat jelata.
Wallahuaklam.










