A Kadir Jasin
ADA pandangan dangkal
daripada golongan otak udang mengatakan tindakan menggeledah kediaman-kediaman
bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng
Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, dalam bulan Ramadan
tidak baik.
![]() |
| Mengangkut bahan bukti dari kediaman Najib |
Kepada Mamat-Mamat ini saya
bertanya: Adakah perbuatan salah yang mencetuskan skandal bilion ringgit
1Malaysia Development Berhad selama satu dekad itu berhenti pada bulan Ramadan?
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Adakah orang curi ayam, larikan
peri duit masjid dan mengendap perempuan mandi ketika Ramadan tidak
boleh diambil tindakan?
Pakatan Harapan (PH) telah
menjanjikan ruang bahas dan hak bersuara yang lebih luas. Tolonglah jangan
gunakan ruang yang lebih besar ini untuk membuat kenyataan dangkal dengan berselindung
di sebalik agama dan kemanusiaan.
Daripada apa yang dilaporkan
oleh media massa, khususnya media massa milik Umno, mengenai penemuan di
kediaman-kediaman Najib itu, jelaslah yang dia tidak sedikit pun takut kepada
undang-undang.
Mustahil bagi sesiapa
pun mempercayai bahawa wang tunai, jongkong emas, permata berlian, jam tangan
mewah dan bek tangan mahal yang ditemui itu adalah kekayaan turun temurun Najib
dan isterinya, Rosmah Mansor.
Kalau dia takutkan
undang-undang dan pembalasan, dia tentulah tidak menyimpan begitu banyak kekayaan
peribadinya di tempat-tempat yang boleh dijumpai. Tetapi itulah yang berlaku.
Ditipu Konco-konco
Ini menimbulkan
persoalan adakah Najib percaya bulat-bulat kepada konco-konconya yang dengan
angkuh mengatakan Barisan Nasional akan memang besar dalam pilihan raya umum
(PRU) 9 Mei maka dia tidak membuat persediaan untuk menyelamatkan dirinya?
Noh Omar berjanji akan
merampas balik Selangor. Mahdzir Khalid kata BN akan kekalkan Kedah. Bekas Ketua
Setiausaha Kementerian Kewangan, (Tan Sri) Irwan Serigar Abdullah, begitu yakin Dr Mahathir akan kalah di Langkawi sehingga dia naik pentas menari macam
burung cenderawasih jantan ketika berkempen di pulau itu.
Daripada pemantauan kita
ketika PRU dan dari sesi penyiasatan oleh Majlis Penasihat Council of Elders,
kita ketahui dan mengenal pasti ketua-ketua jabatan kerajaan, ketua-ketua
eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan eksekutif perbadanan awam yang
berkempen bagi pihak BN.
Mereka inilah yang
memesong dan meyakinkan Najib yang dia tidak perlu berbuat apa-apa kerana BN akan memang besar.
Kita ucapkan terima
kasih kepada mereka kerana atas maklumat palsu mereka itulah Najib terus
menyimpan harta karun yang luar biasa banyaknya itu di dalam negara.
Apa yang
akan terjadi kepada Najib seterusnya sudah boleh diagak.
Kecuali dia lari
kerana kecuaian kita atau dijadikan “invisible man” oleh pawang buaya dan bomoh Sri Lanka, dia terpaksa
ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) di Putrajaya Selasa ini.
![]() |
| Mohd Shukri Abdull kembali sebagai Ketua Persuruhjaya SPRM |
Kemungkinan besar ketika
itu – macam kawan baiknya, bekas Pengerusi Felda (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad
– dia akan ditahan, dibawa ke mahkamah untuk dikenakan reman dan dipakaikan kemeja-T
oren SPRM.
Itu permulaan saja. Jemputan
ke Ibu Pejabat SPRM bukan berkaitan 1MDB tetapi berkaitan SRC International Sdn
Bhd. Berbanding 1MDB, skandal RSC kecil.
Syarikat milik
Kementerian Kewangan ini pinjam RM4.4 bilion duit pencen kakitangan awam daripada
KWAP kononnya untuk melombong arang batu di Mongolia, negeri Antantuya Shaariibuu.
Kemungkinannya Najib
akan didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima atau menggunakan duit SRC untuk
tujuan peribadi. Jumlah duit RSC yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib
dianggarkan antara RM40 juta hingga RM70 juta.
Soalnya sekarang ialah,
kalau Najib mempunyai begitu banyak duit, jongkong emas dan intan permata di
dalam negara, bayangkan banyak mana pula yang sudah pun dibawa keluar atau yang
dibeli dan disimpan di luar negara.
Sebab itu amat penting
kerajaan baru memulakan proses membawa balik harta curi 1MDB dengan meminta
bantuan negara-negara yang sudah pun menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak-pihak
yang terbabit menyamun duit 1MDB dan membersihkannya di luar negara.
Harap-harap dengan tindakan
pantas PDRM dan SPRM itu, saga SRC dan 1MDB dapat ditamatkan, yang bersalah dihukum
dan harta yang dicuri itu diperoleh semula.
Siapa yang menabur angin dialah yang akan menuai badai.
Wallahuaklam.







