A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
| Elok ketua-ketua GLC/GLIC era Najib berundur secara terhormat |
NAMPAKNYA hari ini orang
yang kononnya pakar propaganda pun tidak pandai lagi hendak menganjurkan tunjuk
perasaan.
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Ini membawa kembali
ingatan saya kepada protes pelajar awal tahun 1970-an yang dikepalai oleh
aktivis seperti (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais.
Waktu itu saya
bekerja dengan Bernama dan sekali dua dikerah membuat liputan tunjuk perasaan
di Universiti Malaya, ITM Jalan Othman dan Masjid Negara.
Tunjuk perasaan pun ada
hukum-hakamnya. Bila seseorang anjur tunjuk perasaan tapi tidak ramai orang datang maka
dia bukan saja gagal secara peribadi tapi juga merendahkan martabat
perjuangannya.
Misalnya, orang itu anjur
tunjuk perasaan untuk pertahankan sesuatu yang dianggapnya penting seperti permainan wau
sebab dia rasa ada usaha hendak haramkan atau pinda peraturan main wau.
Dia pun tubuh NGO dan anjur
tunjuk perasaan di pekan sehari. Daripada beribu orang yang datang beli-belah, hanya 40 atau 50 orang berhenti
dengar jerit pekik dia.
Ketiadaan sambutan itu
bukan saja memalukan dirinya sebagai penganjur – itu pun kalau dia daripada
jenis yang tahu malu – tapi turut merendahkan martabat permainan wau.
Jadi sama ada kerana dia
tidak ada pengaruh, tidak pandai atur tunjuk perasaan atau orang tahu niat sebenarnya, tak pasal-pasal nama permainan wau busuk.
Lagi teruk kalau ramai orang
sudah tidak berapa ambil kisah mengenai permainan wau.
Kalau nak buat tunjuk
perasaan untuk satu tujuan yang besar atau mulia, maka bilangan orang yang
datang kenalah besar juga.
Cuba kaji dan belajar
daripada orang yang berjaya buat tunjuk perasaan dan perhimpunan raksasa macam
Bersih, Semarak (zaman Almarhum Tok Mat Rahmat), Selamatkan Bosnia dan baru-baru
ini Selamatkan Malaysia.
Kalau setakat tumpang
orang pergi pekan sehari tak payahlah. Buat malu matlamat perjuangan saja.
Melainkan tujuan tersiratnya adalah untuk keuntungan peribadi dan si
penganjur itu pun sebenarnya tidak berapa kisah sangat mengenai permainan wau.
Berhentilah!
Kemudian cerita
penasihat taraf menteri, pengerusi GLC dan badan berkanun serta eksekutif kanan
kena berhenti sejak kerajaan Pakatan Harapan ambil alih pentadbiran negara.
Patutlah mereka berhenti.
Kalau mereka ada maruah dan faham hukum-hakam serta konvensyen, mereka letaklah
jawatan secara sukarela.
Yang lantik mereka dan jahanamkan
profesionalisme mereka adalah bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung
Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.
Dalam pilihan raya umum (PRU)
9 Mei lalu, majoriti rakyat jelata tolak bos kesayangan mereka. Natijahnya
rakyat jelata pun tidak mahu mereka lagi.
Ada yang merintih kepada
saya. Ada yang merayu hendak jumpa saya setelah bertahun-tahun tidak berhubung.
Apa yang boleh saya buat?
Anda boleh cerita kepada
saya kata anda bawa masuk pelaburan berbilion ringgit atau dapatkan projek di
sana sini untuk Malaysia. Itu tugas anda. Tapi apa yang boleh saya buat bila rakyat
jelata sudah tolak kerajaan yang lantik anda?
Kerajaan anda dan bos
anda kalah pilihan raya. Rakyat tolak dia dan secara langsung mereka tolak anda. Sesetengah daripada anda terpalit pula dengan skandal.
Dulu masa anda berkuasa,
anda tidak ingat semua ini. Ada antara anda yang muncul TV3 maki hamun, caci
dan cela kami. Orang tua yang dulu beri muka kepada anda pun anda kutuk juga.
Tapi sekarang Najib
sudah kalah. Orang tua yang anda caci cela itu dibagi mandat oleh rakyat jelata
untuk jadi Perdana Menteri kali kedua.
Jadi sekarang apabila anda
terpelanting dan berkemungkinan disiasat pasal apa pula cari saya? Pasal apa cerita
sedih kepada saya? Apa yang boleh saya buat?
Sebab itulah bila anda minta
jumpa saya, saya kata tak perlu sebab saya tahu saya tidak boleh berbudi bahasa
lagi dengan anda.
Bapak Kepala GLC/GLIC
Begitu juga dengan
eksekutif kanan GLC, GLIC dan agensi berkanun. Yang lantikan politik itu saya
fahamlah bila anda main politik, ampu Najib dan cium tangan isteri dia.
Tapi yang saya tak faham adalah eksekutif profesional yang dilantik pasal anda ada kepakaran dan
kebolehan. Pasal apa anda pun main politik, berkempen macam politikus, menari
macam orang mabuk todi, cium tangan Najib suami isteri?
Kalau itu tak cukup, anda
guna pula duit kompeni untuk kegiatan bersabit politik Umno/BN dengan berselindung
di sebalik tanggungjawab sosial korporat.
Jadi eloklah anda semua
lakukan yang betul dan bermaruah. Letak jawatan. Kalau dengan takdir khidmat anda
masih diperlukan kerana kepakaran anda kelas dunia, insya Allah anda mungkin dipanggil balik.
Bagilah peluang kepada
kerajaan PH bersihkan najis yang Najib tinggalkan yang anda bersubahat
dan bersekongkol melakukannya.
Apa yang anda semua
lakukan menyebabkan kerosakan institusi secara sistematik dan sistemik – tersusun
dan meluas.
Hatta institusi yang
tidak perlu disogok dan diberi rasuah pun disogok dan diberi rasuah dalam bentuk
perniagaan, kontrak dan peruntukan luar jangkaan.
Jadi tidak payahlah anda
buat muka sedih. Anda bukan kerja percuma. Khabarnya ada yang dibagi gaji
ala-rasuah sampai RM200,000 sebulan untuk jadi primadona.
Saya minta kepada
Lembaga Hasil Dalam Negeri tolong audit semula cukai pendapatan mereka dan, di
mana ada keraguan, mohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia siasat.
Wallahuaklam.





