Tuesday, November 06, 2018

Batal IPP Untuk Ringankan Beban


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Empat hingga enam lesen baru IPP mungkin dibatalkan
DASAR “cash is king” kerajaan lama Barisan Nasional (BN) menular secara sistematik dan berleluasa sehingga boleh dikatakan tidak ada institusi yang tidak diperalatkan.

Penyiasatan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) dengan bantuan Majlis Penasihat Ekonomi (Council of Emiment Persons/CEP) mendapati sistem pemberian kontrak dan konsesi zaman kleptokrasi (kerajaan yang mencuri) merugikan negara dan membebankan rakyat jelata.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak mengamalkan dasar “duit adalah raja” dengan harapan mendapat taat setia dan sokongan semua lapisan masyarakat tanpa pengecualian.

Antara badan yang teruk dibebani oleh amalan ini adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini berkesudahan dengan kerajaan membatalkan beberapa lesen konsesi penjana elektrik bebas (IPP) yang dikeluarkan pada beliau.

Pemberian tidak terkawal lesen IPP ini menyebabkan TNB dibebani kos operasi tambahan apabila terpaksa (atau dipaksa) membeli elektrik yang tidak diperlukan yang dijana oleh IPP.

TNB pula akan memindahkan beban kos itu kepada pengguna dalam bentuk tarif elektrik yang lebih mahal.

Dalam bahasa yang mudah, pengguna dipaksa membayar tarif yang lebih tinggi daripada sepatutnya supaya pemegang konsesi IPP mendapat keuntungan terjamin selama sehingga 25 tahun.

Walaupun penjanaan menggunakan sistem IPP telah membantu menjamin bekalan yang stabil, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini terlalu banyak lesen IPP dikeluarkan.

Boleh dikatakan semua lesen baru ini diputuskan secara rundingan terus dan kebanyakan penerimanya adalah orang yang tidak pernah terlibat dengan penjanaan elektrik atau yang sepatutnya tidak terbabit dengan perniagaan.

Akibatnya TNB, sebagai pembeli tunggal elektrik yang dijana oleh IPP di Semenanjung, mempunyai bekalan yang tidak diperlukan yang jauh lebih tinggi daripada margin rizab (reserve margin) 30 peratus yang diperlukan.

Margin rizab ini diperlukan untuk menghadapi kemungkinan seperti permintaan yang naik secara mendadak atau apabila berlaku penutupan penjana kerana kecemasan atau untuk penyelenggaraan.

Empat Lesen Batal

Pada 25 Oktober lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengumumkan pembatalan empat lesen IPP atas alasan gagal mematuhi syarat.

Empat lesen IPP yang dibatalkan itu adalah:

1.Usaha sama Malakoff Corp Bhd-TNB di Kapar, Selangor dengan daya penjanaan 700MW menggunakan gas;

2.Aman Majestic Sdn Bhd-TNB di Paka, Terengganu dengan keupayaan 1,400MW menggunakan gas;

3.Penjana hidro usaha sama Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn Bhd - SM Hydro Energy Sdn Bhd di Sandakan, Sabah; dan

4.Penjanaan tenaga solar 400MW oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd milik China. Edra ini asalnya milik 1MDB, tetapi dijual kepada China untuk bayar balik sebahagian hutang 1MDB.

Sumber-sumber memberitahu dua buah lagi projek sedang dipertimbangkan pembatalannya, iaitu Tadamax di Pulau Indah, Selangor dengan cadangan kapasiti 1,400MW dan THB Power Sdn Bhd dengan cadangan kapasiti 1,400MW juga di Gurun, Kedah.

Tanpa penjana-penjana ini pun, bekalan elektrik yang terpaksa dibeli oleh TNB dalam jangka pendek akan melebihi rizab yang ditetapkan.

Misalnya, apabila IPP Tuah milik Edra di Melaka mula beroperasi pada tahun 2021, rizab TNB akan melambung kepada 46 peratus dan jika pembinaan IPP yang sudah dilesenkan itu diteruskan, lebihan akan meningkat kepada hampir 50 peratus pada tahun 2024.

Dalam bahasa yang mudah, pengguna dijadikan mangsa dengan kadar tarif elektrik yang lebih tinggi daripada sepatutnya semata-mata bagi memperkayakan beberapa orang kenamaan dan kapitalis.

Identiti mereka bukanlah rahsia tetapi saya tidak akan dedahkannya kerana projek mereka telah pun dibatalkan dan mungkin mencetuskan satu lagi kontroversi jika dihebahkan.

Ironinya, lembaga pengarah dan pengurusan kanan TNB yang membuat keputusan merugikan itu masih belum diganti walaupun ada khabar mengatakan mereka akan ditukar tidak lama lagi.

Mereka ini wajib mengambil tanggungjawab atas keputusan yang mereka buat tidak kiralah sama ada mereka melakukannya secara bebas atau kerana wahyu daripada kerajaan lama.

Kesimpulannya, kalau BN terus berkuasa dan penjanaan elektrik yang berlebihan ini diteruskan maka TNB akan dibebani bekalan berlebihan dan pengguna dipaksa membayar kadar tarif yang lebih tinggi.

Tekanan harga elektrik tetap ada kerana kos penjanaan akan naik jika harga gas dan arang batu naik. Tetapi setidak-tidaknya buat masa ini tekanan harga kerana bekalan yang berlebihan sedang dikurangkan dengan pembatalan empat hingga enam IPP berkenaan.

Sementara itu, dalam Belanjawan 2019, kerajaan telah mengumumkan penambahan subsidi elektrik kepada pengguna kecil daripada RM20 sebulan kepada RM40.

Nota kaki: Blog ini mengamalkan dasar hak menjawab (right of reply). Pembaca yang tidak puas hati boleh menjawab dalam ruang komen. Saya hanya bertanggungjawab ke atas blog ini saja. Saya tidak ada kawalan dan tidak bertanggungjawab terhadap petikan daripada blog ini oleh pihak-pihak lain.

Wallahuaklam.

Sunday, November 04, 2018

Fikiran Terlalu Kacau Untuk Hayati Belanjawan


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

LGE bentang Belanjawan: lakukan yang baik, cegah yang buruk
DALAM pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengajak kita melakukan kebaikan dan menolak keburukan.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Menteri berketurunan Cina yang bukan beragama Islam itu menyebut ungkapan itu dalam bahasa asalnya - “amar ma’aruf nahi mungkar” (الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر).

Semua agama dan tamadun tinggi di dunia menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan.

Tetapi biasalah bagi ahli sebuah parti yang telah mengabaikan agama, tamadun dan kesopanan kerana “cash is king” mempersendakan Belanjawan 2019 sebagai tidak ada apa-apa yang baru.

Bagi ketua-ketua Umno/BN tidak ada apa yang baru dalam Belanjawan 2019 kerana mereka tidak mendapat habuan dan peluang untuk terus mengisi tembolok mereka dan anak, bini serta suku sakat mereka.

Bukan itu saja. Fikiran mereka pun tidak berada dalam keadaan tenang untuk menghayati sesuatu yang baik dan terpuji.

Fikiran mereka kacau kerana bekas ketua nombor satu mereka, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak sedang menghadapi berpuluh-puluh tuduhan jenayah di mahkamah.

Tambahan pula isteri beliau yang begitu berkuasa dan ditakuti, (Datin Paduka Seri Puti Reno) Rosmah Mansor turut menjadi OKT (orang kena tuduh).

Kalau Najib dan Rosmah pun berkemungkinan menjadi banduan apalah sangat mereka.

Ada antara mereka yang telah pun dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menunggu masa untuk bertemu hakim.

Tidak syak lagi banyak antara mereka akan mengikuti jejak Najib, Rosmah, bekas Pengerusi Tabung Haji, (Datuk Seri Panglima) Abdul Azeez Abdul Rahim dan “penari demam malam Sabtu” (Saturday Night Fever), (Tan Sri) Irwan Serigar Abdullah, ke mahkamah.

Hatta makhluk suci bernama Jho Low yang dikatakan bersih 1MDB oleh SPRM, Peguam Negara dan PDRM zaman Najib itu pun sudah didakwa dengan jenayah 1MDB di Amerika Syarikat.

Turut didakwa dan sudah mengaku bersalah di Amerika adalah bekas eksekutif kanan Goldman Sachs, Tim Leissner. Dia ini digambarkan sebagai sangat akrab dengan Najib dan Rosmah. Seorang lagi eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng, ditahan di Malaysia.

Dengan perkembangan terbaru itu, konco-konco Najib dan Rosmah yang lain pun tidak selamat lagi. Misalnya SPRM telah mengeluarkan notis orang dikehendaki terhadap warganegara British dan pemastautin tetap Malaysia bernama Paul Stadlen.

Paul Stadlan: Perunding komunikasi Najib
Dia ini adalah seorang perunding media Najib yang digambarkan sebagai sangat berpengaruh dan digeruni oleh pengarang media arus perdana tempatan zaman Najib. Seorang lagi adalah ahli perniagaan bernama Habibul Rahman.

Kalau Stadlen pun dikehendaki maka lojiklah konco-konco dan tali barut Najib yang lain akan dipanggil “berbual” oleh SPRM dan agensi-agensi penguat kuasa lain.

Tali Barut

Setelah sekian lama menjadi tali barut Najib dan memakan duit haram daripada pelbagai sumber, khususnya 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, mereka tentulah menjangka yang pada bila-bila masa saja serkap akan menyerkup mereka.

Dalam suasana minda yang kacau dan penuh ketakutan itu mereka tentulah tidak dapat menghayati dan mengakui bahawa belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan tersebut adalah untuk menyelamatkan negara dan rakyat jelata daripada bom jangka yang ditinggalkan oleh pemerintahan kleptokrasi Najib.

Banyak duit negara yang dicuri. Hutang kerajaan melambung melepasi RM1 trilion. Jumlah sebenar adalah RM1,065,000,000,000 atau RM33,281.25 bagi setiap penduduk Malaysia. Kerja Najib adalah gali lubang timbus lubang kerana baginya duit adalah raja.

Belanjawan sulung kerajaan PH ini bolehlah ibaratkan sebagai merawat orang sakit.

Mula-mula sekali pesakit tidak mengaku dia sakit. Sehingga beberapa bulan lalu, dia bukan saja tidak mengaku dia sakit malah dia bagi tahu satu dunia yang dia cukup sihat.

Leissner (kiri sekali) dengan isterinya, Kimora Lee, bersama Najib
Tetapi banyak orang tahu dia bukan saja tidak sihat malah mengalami banyak penyakit kronik, penyakit aneh dan sakit jiwa.

Apabila pesakit pengsan, dikejarkan ke hospital dengan ambulans dan diperiksa barulah diketahui bahawa dia sudah pun dalam kategori tenat yang memerlukan penjagaan sepanjang masa di unit rawatan rapi oleh doktor-doktor pakar.

Apa tidaknya. Kencing manis ada. Sakit jantung ada. Darah tinggi ada. Kolesterol tinggi. Paru-paru rosak sebab banyak merokok. Badan obes kerana makan tak pantang dan langsung tak peduli senaman.

Sekarang kerajaan PH sudah tahu penyakit kronik yang dideritai negara dan mulai dengan Belanjawan 2019 melakukan rawatan rapi.

Kaki yang sudah kelemayuh (gangrene) sama ada dibersihkan atau dipotong. Pesakit akan cacat seumur hidup tetapi nyawanya selamat.

Jantung dibedah dan saluran yang tersumbat diganti dengan urat dari kaki. Kalau tidak teruk sangat, digali saja untuk buang lemak yang menyumbat saluran darah.

Kesimpulannya kita tidaklah boleh mengharapkan ketua-ketua Umno/BN yang sedang menderita tekanan jiwa berfikir dengan waras dan wajar. Yang mereka nampak bukanlah kebajikan rakyat jelata tetapi pintu penjara.

Wallahuaklam.

Tuesday, October 30, 2018

Selamat Bertakhta Al Aminul Karim


A Kadir Jasin


MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang. Kerana subjek ini mungkin sensitif, tolong berhati-hati ketika mengulas.

Sumpah jawatan raja yang dipercayai bersifat mulia


MUTAKHIR, 1 Nov – Pada mulanya saya tidak mahu memanjangkan lagi bahas isu ini sehinggalah seorang kawan baik yang juga kawan baik kepada Sungai Petani (bahasa Dewan Rakyat) menghantar pesanan WhatsApp dari London berbunyi:

“My point is, kenapa sama kawan-kawan nak gaduh. Sampai nak lapor polis. Jika tak betul tegur dengan baik.”

Terima kasih saudara. Saya jawab kepadanya: “Itu hak dia.”

Untuk pastikan yang saya tidak “mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah” seperti didakwa oleh Sungai Petani itu, saya baca balik tulisan saya.

Merujuk kepada lirik lagu rasmi negeri Kedah, saya berkata: “Lagu rasmi itu dengan jelas menyatakan tempat raja adalah di atas takhta dan tanggungjawab raja adalah memelihara Islam “agama Nabi kita”.

Ia tidak kata, “berpanjangan usia di bilik lembaga” dan “pelihara konglomerat niaga baginda.”

Saya tidak menyebut apatah lagi menuduh Sultan Kedah duduk dalam bilik lembaga (board room) dan menjaga konglomerat niaga baginda.

Macam itu jugalah rujukan kepada lirik Negaraku:

“Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja kita
Selamat bertakhta.”

Saya kata, lirik itu tidak menyebut bahawa raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara.

Saya tak sikit pun sebut apatah lagi menuduh mana-mana raja berada dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara.

Untuk maklumat, saya hanya bertanggungjawab ke atas apa yang saya tulis dan siarkan di dalam blog ini saja.

Saya tidak bertanggungjawab ke atas petikan blog saya yang disiarkan oleh akhbar atau portal berita lain. Tapi rasanya ada orang yang marah dan mahu saya disiasat tidak baca tulisan asal saya.

Namun begitu, saya tidak ada masalah untuk memohon maaf walaupun tidak bersalah seandainya permohonan maaf saya itu boleh membantu menjernihkan yang keruh.

Saya juga ambil maklum kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bahawa upacara pertabalan itu tidak membebankan kewangan kerajaan negeri. 

Terima kasih.
 


MUTAKHIR, 1 Nov - Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (Pakatan Harapan-PKR) hari ini menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat saya di bawah Akta Hasutan kerana menyiarkan rencana ini. Dia mendakwa rencara ini secara tidak langsung boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah (baca di sini). Itu hak dialah. Bukankah ini Malaysia baru yang bebas dan tolaren?


POSTING ASAL
 


SULTAN Kedah, Tuanku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang ditabalkan pada 22 Oktober lalu mengambil gelaran “Al Aminul Karim.”

Seorang pegawai Pejabat Sultan di Alor Star memberitahu, terjemahan bahasa Melayu yang diperkenankan bagi gelaran itu adalah “raja dipercayai yang bersifat mulia.”

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Alhamdulillah. Sebagai negeri majoriti Melayu-Islam yang kaya pun tidak dan miskin sangat pun tidak, Kedah memerlukan seorang raja yang dipercayai rakyat jelata dan bersifat mulia.

Seorang menteri orang Kedah yang hadir upacara penuh adat istiadat Melayu itu memberitahu saya, empat ekor gajah dibawa khas dari Pahang untuk tujuan tersebut.

Saya rasa ini adalah gajah daripada Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah. Di situ ada dua jenis gagah. Gajah denak yang jinak dan gajah liar yang ditangkap. Gajah liar itu akan dipindahkan ke tempat lain agar tidak bertembung dengan manusia.

Menteri itu turut memaklumkan kepada saya berapa belanja membawa haiwan itu pergi balik. Boleh kira mahallah. Tapi saya kata kepada beliau, kalau raja bijaksana dan sentiasa di atas takhta, saya relalah dengan perbelanjaan itu.

Lagipun bukan hari-hari raja ditabalkan. Pertabalan terakhir berlaku di Kedah lebih 60 tahun lalu apabila Almarhum Sultan Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah ditabalkan.

Menteri itu kata lagi, bukan sahaja majlis tersebut penuh adat istiadat Melayu tetapi lebih daripada itu ia bersandarkan Islam dan Al-Quran.

Katanya, sumpah jawatan yang paling tinggi adalah apabila Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang, membacakan doa yang terkandung di dalamnya Ayat ke-26 Surah Al-Imran.

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ
قَدِير

["Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”]

Walaupun terlewat, saya turut menadah tangan mengaminkan doa beliau sambil berharap lirik lagu rasmi negeri Kedah akan menjadi panduan.

“Allah Selamat Sultan Mahkota
Berpanjangan Usia Di Atas Takhta
Memelihara Agama Nabi Kita
Negeri Kedah Serata-rata.”

Lagu rasmi itu dengan jelas menyatakan tempat raja adalah di atas takhta dan tanggungjawab raja adalah memelihara Islam “agama Nabi kita”.

Ia tidak kata, “berpanjangan usia di bilik lembaga” dan “pelihara konglomerat niaga baginda.”

Rangkap penyudah lagu kebangsaan negara kita pun mengingatkan hal yang sama.

“Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja kita
Selamat bertakhta.”

Ia tidak kata, raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara.

[Untuk bacaan tambahan TEKAN DI SINI].

Perlembagaan negara kita meletakkan raja-raja di atas takhta (di dalam istana) dengan peruntukan kewangan dan kemudahan yang tidak termimpikan oleh manusia biasa.

Mungkin dalam era Malaysia baru ini, Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri boleh maklumkan kepada rakyat jelata berapa banyak perbelanjaan yang mereka peruntukan kepada raja-raja mereka.

Nota kaki: Blog ini mengamalkan etika tunjang kewartawanan iaitu hak menjawab (right of reply). Sesiapa saja berhak menjawab dan membalas apa juga yang disiarkan di sini.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).