A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
![]() |
| Empat hingga enam lesen baru IPP mungkin dibatalkan |
DASAR “cash is king”
kerajaan lama Barisan Nasional (BN) menular secara sistematik dan berleluasa sehingga
boleh dikatakan tidak ada institusi yang tidak diperalatkan.
Penyiasatan oleh
kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) dengan bantuan Majlis Penasihat Ekonomi
(Council of Emiment Persons/CEP) mendapati sistem pemberian kontrak dan konsesi
zaman kleptokrasi (kerajaan yang mencuri) merugikan negara dan membebankan
rakyat jelata.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan.
Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Bekas Perdana Menteri,
(Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul
Jalil) Mohd Najib Abdul Razak mengamalkan dasar “duit adalah raja” dengan
harapan mendapat taat setia dan sokongan semua lapisan masyarakat tanpa
pengecualian.
Antara badan yang teruk
dibebani oleh amalan ini adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini berkesudahan
dengan kerajaan membatalkan beberapa lesen konsesi penjana elektrik bebas (IPP) yang dikeluarkan pada beliau.
Pemberian tidak terkawal
lesen IPP ini menyebabkan TNB dibebani kos operasi tambahan apabila terpaksa
(atau dipaksa) membeli elektrik yang tidak diperlukan yang dijana oleh IPP.
TNB pula akan
memindahkan beban kos itu kepada pengguna dalam bentuk tarif elektrik yang
lebih mahal.
Dalam bahasa yang mudah,
pengguna dipaksa membayar tarif yang lebih tinggi daripada sepatutnya supaya
pemegang konsesi IPP mendapat keuntungan terjamin selama sehingga 25 tahun.
Walaupun penjanaan
menggunakan sistem IPP telah membantu menjamin bekalan yang stabil, tetapi
sejak beberapa tahun kebelakangan ini terlalu banyak lesen IPP dikeluarkan.
Boleh dikatakan semua lesen
baru ini diputuskan secara rundingan terus dan kebanyakan penerimanya adalah
orang yang tidak pernah terlibat dengan penjanaan elektrik atau yang sepatutnya
tidak terbabit dengan perniagaan.
Akibatnya TNB, sebagai
pembeli tunggal elektrik yang dijana oleh IPP di Semenanjung, mempunyai bekalan
yang tidak diperlukan yang jauh lebih tinggi daripada margin rizab (reserve
margin) 30 peratus yang diperlukan.
Margin rizab ini diperlukan
untuk menghadapi kemungkinan seperti permintaan yang naik secara mendadak atau
apabila berlaku penutupan penjana kerana kecemasan atau untuk penyelenggaraan.
Empat Lesen Batal
Pada 25 Oktober lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengumumkan pembatalan empat lesen IPP atas alasan gagal mematuhi syarat.
Empat lesen IPP yang dibatalkan itu adalah:
1.Usaha sama Malakoff Corp Bhd-TNB di Kapar, Selangor dengan daya penjanaan 700MW menggunakan gas;
2.Aman Majestic Sdn Bhd-TNB di Paka, Terengganu dengan keupayaan 1,400MW menggunakan gas;
3.Penjana hidro usaha sama Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn Bhd - SM Hydro Energy Sdn Bhd di Sandakan, Sabah; dan
4.Penjanaan tenaga solar 400MW oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd milik China. Edra ini asalnya milik 1MDB, tetapi dijual kepada China untuk bayar balik sebahagian hutang 1MDB.
Sumber-sumber memberitahu dua buah lagi projek sedang dipertimbangkan pembatalannya, iaitu Tadamax di Pulau Indah, Selangor dengan cadangan kapasiti 1,400MW dan THB Power Sdn Bhd dengan cadangan kapasiti 1,400MW juga di Gurun, Kedah.
Tanpa penjana-penjana
ini pun, bekalan elektrik yang terpaksa dibeli oleh TNB dalam jangka pendek
akan melebihi rizab yang ditetapkan.
Misalnya, apabila IPP
Tuah milik Edra di Melaka mula beroperasi pada tahun 2021, rizab TNB akan
melambung kepada 46 peratus dan jika pembinaan IPP yang sudah dilesenkan itu diteruskan,
lebihan akan meningkat kepada hampir 50 peratus pada tahun 2024.
Dalam bahasa yang mudah,
pengguna dijadikan mangsa dengan kadar tarif elektrik yang lebih
tinggi daripada sepatutnya semata-mata bagi memperkayakan beberapa orang
kenamaan dan kapitalis.
Identiti
mereka bukanlah rahsia tetapi saya tidak akan dedahkannya kerana projek mereka telah pun dibatalkan
dan mungkin mencetuskan satu lagi kontroversi jika dihebahkan.
Ironinya, lembaga
pengarah dan pengurusan kanan TNB yang membuat keputusan merugikan itu masih belum
diganti walaupun ada khabar mengatakan mereka akan ditukar tidak lama lagi.
Mereka ini wajib mengambil
tanggungjawab atas keputusan yang mereka buat tidak kiralah sama ada mereka
melakukannya secara bebas atau kerana wahyu daripada kerajaan lama.
Kesimpulannya, kalau BN
terus berkuasa dan penjanaan elektrik yang berlebihan ini diteruskan maka TNB
akan dibebani bekalan berlebihan dan pengguna dipaksa membayar kadar tarif yang
lebih tinggi.
Tekanan harga elektrik
tetap ada kerana kos penjanaan akan naik jika harga gas dan arang batu naik.
Tetapi setidak-tidaknya buat masa ini tekanan harga kerana bekalan yang
berlebihan sedang dikurangkan dengan pembatalan empat hingga enam IPP berkenaan.
Sementara itu, dalam
Belanjawan 2019, kerajaan telah mengumumkan penambahan subsidi elektrik kepada
pengguna kecil daripada RM20 sebulan kepada RM40.
Nota kaki: Blog ini mengamalkan dasar hak menjawab (right of reply). Pembaca yang tidak puas hati boleh menjawab dalam ruang komen. Saya hanya bertanggungjawab ke atas blog ini saja. Saya tidak ada kawalan dan tidak bertanggungjawab terhadap petikan daripada blog ini oleh pihak-pihak lain.
Wallahuaklam.





