A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
![]() |
| Osman (dua dari kiri) dan rakan bergolf di luar negara |
OSMAN Sapian meletakkan
jawatan Menteri Besar Johor semalam. Demikian disahkan oleh Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Biarlah saya terus
terang dan kalau hendak dituduh kejam (ruthless/cruel) saya terima.
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Seperti kata ungkapan
Inggeris yang dirujukkan kepada Shakespeare, “I must be cruel only to be kind.”
Untuk melakukan kebaikan
kepada majoriti, saya terpaksa “ruthless” kepada sebilangan kecil yang merosakkan.
Kekejaman yang akan saya
lakukan adalah saya tidak akan bersimpati dengan Osman jauh sekali membuat alasan bagi pihak beliau.
Saya berasa cukup yakin
bahawa tekanan Pakatan Harapan (PH), amnya dan parti beliau, Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu), khususnya supaya beliau meletakkan jawatan adalah tindakan
bertimbang rasa demi kebaikan rakyat Johor.
Orang Johor berhak
mendapat Menteri Besar yang mampu menaikkan maruah mereka. Menteri Besar yang
mewakili keseluruhan rakyat jelata Johor dan bukan kelompok tertentu.
Apa guna mereka
bermegah-megah dengan slogan dan identiti negeri kalau mereka tidak ada digniti.
Sistem demokrasi berparlimen
yang kita amalkan memberi harga diri (dignity) kepada setiap orang yang cukup
umur 21 tahun melalui hak mengundi.
Tetapi hak itu akan menjadi
tidak berguna dan akhirnya hilang apabila wakil yang mereka pilih berubah
daripada menjadi wakil rakyat kepada boneka pihak-pihak tertentu.
Justeru itu, kalau saya
kejam dalam penilaian saya terhadap Osman maka saya juga akan tidak bertolak-ansur
(forgiving) dalam harapan (expectation) saya terhadap pengganti beliau.
Kita tahu apa kesilapan
dan kegagalan Osman. Antaranya beliau dilihat sebagai tidak mengutamakan
kepentingan rakyat yang memilihnya.
Beliau tidak mentadbir
Johor berasaskan suara majoriti, tetapi terus tunduk kepada kepentingan sempit
golongan elit dan berduit.
Isu status pemilikan
tanah Pulau Kukup, pemugaran hutan bakau untuk mendirikan kawasan riadah
eksklusif golongan elit dan pengambilan tanah sesuka hati semuanya melanggar
janji pilihan raya PH dan aspirasi rakyat jelata yang memilih PH pada 9 Mei
lalu.
Saya juga tidak
bersimpati dengan Osman kerana secara bersemuka saya telah bercakap sendiri
dengan beliau ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan beliau
meyakinkan saya bahawa tuduhan ke atasnya adalah tidak benar.
Kita tidak boleh
sekali-kali menerima dan melayan cabaran daripada golongan elit terhadap
kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Panduan Sejarah
Tiba-tiba pemikiran
“kejam” saya membawa saya kembali ke masa lampau untuk melihat bagaimana
pemimpin terdahulu menangani krisis negeri, khususnya cabaran terhadap kuasa
Kerajaan Pusat.
Hal ini berlaku di
banyak negeri yang melibatkan perebutan kuasa di kalangan kelompok yang
diamanahkan untuk mentadbir.
Sebagai negara persekutuan,
Kerajaan Pusat mempunyai hak untuk campur tangan. Dalam kes ekstrem ia boleh mengisytiharkan
darurat bagi menjamin atau mengembalikan ketenteraman awam.
Inilah yang dilakukan
oleh Almarhum Tun Hussein Onn pada tahun 1977 apabila Kerajaan Pusat
mengisytiharkan darurat dan mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan.
Statut Rom
Berkenaan Statut Rom (Undang-undang
Rom) mengenai jenayah terhadap kemanusiaan seperti pembunuhan beramai-ramai,
saya menggesa kerajaan agar menimbang semula keputusan untuk tidak
menyertainya.
![]() |
| Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa |
Kalau Raja-raja bimbang yang mereka akan dilibatkan, kita boleh pinda Perlembagaan untuk tidak
membabitkan mereka dalam hal-hal yang boleh membawa kepada tindakan di bawah undang-undang
antarabangsa itu.
Dalam beratus tahun
sejarah ketamadunan kita, sudah berapa kali kah kita melakukan jenayah seperti
yang tersenarai dalam statut itu?
Yang kita tahu, jenayah
seperti itu yang terjadi di negara kita dilakukan oleh bangsa-bangsa penjajah.
Pembunuhan Batang Kali misalnya.
Tapi dengan kita tidak
menganggotai konvensyen antarabangsa seperti Statut Rom kita secara sengaja
memberi gambaran bahawa kita mencurigai kemampuan kita untuk tidak melakukan
kekejaman secara sistematik.
Kalau kita hendak
menjadi anggota masyarakat antarabangsa, kita tidak boleh tunduk kepada tekanan
minoriti atau oleh golongan berkepentingan.
Kalau ada tekanan atau
bangkangan, kita wajib mengatasinya melalui rundingan atau kita pinda
perlembagaan supaya sumber bantahan dan ketakutan itu dihapuskan.
Seandainya benar
Raja-raja kita bimbang mereka akan dipertanggungjawabkan, Parlimen boleh
meminda Perlembagaan agar bidang kuasa mereka tidak mencakupi peruntukan Statut
Rom.
Kita ada pakar
undang-undang dan perlembagaan taraf antarabangsa. Mengapa harus kita serah
ketamadunan dan kemanusiaan kita kepada empat orang pensyarah universiti yang ramai kita tidak pun kenal?
Wallahuaklam. Terima
kasih.





