A Kadir
Jasin
بِسْمِ
اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
![]() |
Penjualan "fire sale" Edra kepada China contoh kesorasakan BN |
PENDAPAT yang
mengatakan tidak ada perbezaan besar di antara kerajaan Pakatan Harapan (PH)
sekarang dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu adalah terlalu umum dan
menyeluruh.
Adakah kerajaan yang
mendedahkan skandal-skandal besar yang melumpuhkan ekonomi, kewangan dan pentadbiran
negara seperti 1MDB, Tabung Haji, Felda, LTAT dan banyak lagi, sama dengan
kerajaan yang melakukannya?
Mana-mana juga pihak yang
mengatakan tidak ada perbezaan di antara kerajaan PH sekarang dengan kerajaan
BN dahulu sama ada emosional atau sengaja membelakangkan realiti.
Adakah segala skandal dan
penyelewengan yang berlaku itu akan didedahkan dan diambil tindakan kalau PH
tidak menang dalam Pilihan Raya Umum 2018?
Boleh jadi dari segi politik
kepartian ada kelemahan dan persamaan di antara PH dan BN, tetapi dari segi
dasar, rancangan dan pelaksanaan pentadbiran, kerajaan PH amat berbeza serta lebih
baik daripada kerajaan BN.
Tidak semua hal berkenaan BN
tidak baik. BN banyak berjasa kepada negara. Banyak pemimpinnya bagus dan
banyak yang kita warisi hari ini adalah legasi BN. Itu kita tidak boleh nafi.
Tapi hakikat bahawa BN
rosak dalam masa tidak sampai satu dekad di bawah pemerintahan bekas Perdana
Menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone, Mohd
Najib Abdul Razak, juga tidak boleh kita nafi.
Dalam masa yang singkat
dia ubah Umno dan kerajaan daripada amalan demokrasi kepada kleptokrasi –
kerajaan yang mencuri.
(I Mappadulung Daeng
Mattimung Karaeng Sandrobone itu adalah gelaran tertinggi kerajaan Bugis Gowa
yang dianugerahkan kepada Mohd Najib oleh keturunan Almarhum Sultan Abdul Jalil
pada tahun 2005. Najib amat bangga dengan anugerah itu sehingga dia gelar diri dia
pendekar atau pahlawan Bugis.)
Kalau Najib teruskan dan
perbaiki legasi ayahanda dia, Almahum Tun Abdul Razak Hussein, serta legasi Perdana-perdana
Menteri sebelum dia, saya sangat yakin BN terus berkuasa hingga ke hari ini.
Kita pun tak ada alasan
atau keperluan untuk angkut dia dan konco-konco dia ke mahkamah.
Tapi di bawah pimpinan Najib, BN telah jadi parti yang bersubahat lakukan konspirasi rasuah, pecah amanah dan
penyelewengan dengan menyonglap berpuluh-puluh bilion duit negara dan rakyat
jelata.
Siapa saja yang berani tegur
atau berbeza pendapat dengan dia dan konco-konco dia akan dipecat dan dikenakan berbagai-bagai
tindakan punitif.
Tak Sama
Jadi adakah PH yang
bangkit lawan kemungkaran BN dengan sokongan rakyat jelata sama dengan BN yang
lakukan kemungkaran?
Tentulah tidak sama.
Apa yang sedang berlaku
sekarang adalah kesan kerosakan zaman pemerintahan kleptokrasi Najib begitu
teruk dan meluas sehingga kemampuan kerajaan PH untuk mengatasinya amat sukar dan ambil
masa.
Baru-baru ini seorang wartawan
kanan dari Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) tanya saya dalam satu dialog
adakah perlu kerajaan PH terus salahkan kerajaan BN?
Saya kata, perlu kerana
kalau tidak disebabkan oleh kerosakan yang dibuat oleh BN itu, kita tidak akan
alami masalah macam sekarang.
Saya bagi contoh duit RM9 bilion
yang kerajaan PH terpaksa belanja setakat ini untuk bayar faedah hutang 1MDB.
Ini baru faedah. Belum
lagi pokok. 1MDB ini hasilnya tak ada tapi hutangnya dianggar sampai RM50
bilion. Semuanya kerana rasuah, pecah amanah dan penyelewengan.
Adakah kerajaan PH yang
sedang berusaha keras dapatkan balik duit 1MDB yang dicuri, kurangkan kos
projek pembangunan yang digelembungkan dan jimatkan duit negara sama dengan
kerajaan BN yang buat najis tersebut?
Maaf cakaplah kalau saya
kata, hanya orang bodoh atau yang makan dedak sahaja akan nafi kerosakan yang
dibuat oleh BN dan pemulihan yang sedang diusahakan oleh PH.
Kalau kerajaan BN tak
tipu, pasal apa gergasi kewangan dunia Goldman Sachs yang atur hutang 1MDB sedia
timbang tuntutan ganti rugi oleh kerajaan PH?
Laporan media massa kata, bank
pelaburan antarabangsa itu bersedia pulangkan sebahagian komisen yang 1MDB
bayar kepadanya.
Tapi berasaskan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,
kerajaan akan teruskan saman ke atas Goldman Sachs.
Dalam temu ramah dengan
agensi berita Reuter beberapa hari lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad, kata Malaysia akan tuntut AS$7.5 bilion (kira-kira RM30 bilion)
daripada Goldman Sachs.
Ini adalah jumlah hutang
1MDB yang Goldman Sachs atur di mana bank yang beribu pejabat di New York,
Amerika Syarikat itu dibayar komisen AS$600 juta (RM2.4 bilion).
Najis di TH dan Felda
Jadi adakah kerajaan PH
yang telah peruntukkan RM17.8 bilion bagi selamatkan Tabung Haji dan RM6.3 bilion bagi
selamatkan Felda sama dengan kerajaan BN yang buat najis di TH dan Felda?
Saya difahamkan yang usaha
sedang dibuat untuk selesaikan masalah Felda dengan FGV Holdings Berhad (FGV)
supaya Felda dapat balik ladang dan kilang yang digadai atau dijual kepada FGV
pada tahun 2012.
Selain itu, kerajaan PH juga
sedang berusaha selesaikan masalah Felda yang dipaksa beli 37 peratus saham ladang
Eagle High milik (Tan Sri) Peter Sondakh di Indonesia dengan harga berlipat ganda
daripada harga pasaran. (Bacaan tambahan DI SINI).
Sondakh adalah sahabat
akrab Najib yang mempunyai banyak harta di Malaysia dan berhutang besar dengan industri
perbankan Malaysia, khususnya Bank Pembangunan.
Saya bagi tahu wartawan
NSTP itu, kalau bukan kerana penyelewengan kerajaan BN, kerajaan PH ada
RM9 bilion untuk dibelanjakan demi kebaikan rakyat jelata.
Kesialan Edra
Baru-baru ini, dalam
perjalanan melawat anak, menantu dan cucu di Zurich, saya disapa oleh seorang jurutera
Melayu yang bekerja dengan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) Malaysia yang
dimilik pelabur negara China.
Dia mengeluh. Saya nasihatkan
dia agar bersabar kerana setidak-tidaknya pun dia ada kerja.
Dulu dia bekerja dengan
Edra Global Energy milik 1MDB. Sekarang dia bekerja dengan syarikat yang sama
tapi milik China General Nuclear Power Corporation (CGN).
Boleh jadilah wartawan
NSTP yang bertanyakan soalan kepada saya itu tidak mendalami konspirasi 1MDB atau tak faham kerana ia terlalu kompleks
dan tidak telus.
Saya telah banyak kali tulis
tentang macam mana 1MDB beli tiga buah syarikat IPP tempatan dengan harga RM12
bilion dan tidak lama lepas itu jual kepada CGN pada harga RM9.8 bilion.
Cerita di atas hanya
sebahagian kecil saja daripada contoh yang membezakan kerosakan zaman kleptokrasi
Najib-BN dengan pemulihan yang sedang dilakukan dalam era PH yang belum pun
berusia dua tahun.
Jadi tak betullah dakwaan bahawa
kerajaan BN dan PH sama saja.
Tentang perangai dan
prestasi sesetengah pemimpin PH yang seakan-akan sama dengan perangai dan
prestasi pemimpin BN, itu cerita lain. Itu cerita manusia dan politik.
Yang ini saya tak susah
hati sangat. Kita bagi nasihat. Kita tegur. Kita kritrik. Kita belasah. Kalau
mereka tak ambil hal juga, bila sampai masa kita nyahkan mereka. Itu hak
demokrasi kita.
Tapi kita tak boleh tolak-ansur
dengan sistem pentadbiran dan tadbir urus negara.
Yang ini kita wajib
perbaiki dan reformasikan supaya siapa pun yang perintah, penyakit rasuah,
pecah amanah dan penyelewengan tak akan berulang. Tidak akan ada lagi seorang Perdana Menteri macam Najib.
Wallahuaklam.