بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ
الرَّحِيمِ
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger.
![]() |
| Gambar hiasan: Burung hering (vultures) menunggu lembu mati |
CERITANYA mudah saja. Pemimpin yang mengepalai
gerakan tidak demoktratik menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat jelata,
tidak akan mampu bersikap demokratik terhadap parti mereka sendiri.
Itulalah yang telah, sedang dan akan dilakukan
oleh sebahagian besar kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang
memihak kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Mereka telah merancang kejatuhan kerajaan yang
dipilih oleh rakyat jelata dengan menarik Bersatu keluar daripada Pakatan
Harapan (PH) pada 23 Februari lalu.
Untuk mempertahankan rampasan kuasa mereka itu,
mereka terpaksa bersikap tegas dan keras ke atas pemimpin Bersatu yang tidak
sebulu dengan mereka.
Yang telah, sedang dan akan mereka hukum dengan
sewenang-wenangnya adalah ahli Bersatu. Manakala yang ditimang dan ditatang
adalah ahli Umno dan Pas.
Umno dan Pas diutamakan kerana menyertai mereka
dalam kerajaan pintu belakang atau, mengikut takrifan Presiden Pas Abdul Hadi
Awang, kerajaan tebuk atap.
Justeru itu, tidak hairanlah kalau Pengerusi
Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat orang lagi pemimpin kanan Bersatu
telah disingkirkan pada 28 Mei lalu hanya menerusi surat yang ditandatangani
oleh Kapt. (B) Muhammad Suhaimi Yahya.
Bagi menghalalkan tindakan tidak berpekerti
itu, sidang Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah dipanggil semalam untuk mengesahkan
pemecatan Dr Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah.
Turut dikenakan tindakan ialah Datuk Marzuki
Yahaya yang dipecat daripada jawatan Ketua Badan Perhubungan Pulau Pinang dan
Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi yang digugurkan daripada MPT. Tetapi Akhramsyah berkata, tindakan itu ditarik balik semalam.
Adalah tidak mustahil ramai lagi akan dikenakan
tindakan kerana menentang hegemoni Muhyiddin dan feksyennya dalam Bersatu.
Muhyiddin juga boleh menggunakan kuasa
eksekutif beliau bagi mempengaruhi Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memberikan
“cop getah” kepada apa saja tindakan Bersatu.
Apatah lagi Menteri yang bertanggungjawab ke
atas ROS, Datuk Hamzah Zainuddin, adalah penyokong kuat Muhyiddin dan antara arkitek
utama Perikatan Nasional.
Kuasa Eksekutif
Tetapi kuasa eksekutif sahaja tidak akan
membantu menyelesaikan kekusutan yang sedang berlaku di dalam Bersatu.
Rasanya majoriti ahli dan penyokong asal Bersatu
tidak menyetujui pemecatan Dr Mahathir. Sebaliknya mereka terus mengiktiraf
beliau sebagai Pengerusi parti.
Di sini patut diulang sebut bahawa Dr Mahathir telah
pun dipilih semula sebagai Pengerusi tanpa dicabar sementara di pihak lain
pula, Muhyiddin yang mengaku memangku jawatan Pengerusi sedang dicabar oleh
Mukhriz untuk jawatan Presiden.
Cabaran oleh Mukhriz ini adalah antara sebab
Muhyiddin dan konco-konconya dalam MPT mahu feksyen yang menyokong Dr Mahathir ditendang
keluar.
Jadi, adalah tidak mengejutkan kalau umum
berkata bahawa buat masa ini Bersatu berpecah dua. Yang satu menyokong Dr Mahathir
dan satu lagi bersama Muhyiddin.
Tetapi saya rasa kita jangan lupa kemungkinan
wujud dua “sub-faction” yang tidak semestinya menyokong salah seorang daripada
dua watak ini.
Besar kemungkinan Hamzah dan konco-konconya yang
melompat masuk Bersatu daripada Umno selepas PRU ke-14 lalu dan Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali dengan geng PKRnya sedang bermain “watching game” – tunggu
dan tengok.
Untuk mereka terus relevan dalam Bersatu,
mereka wajib bersama “the winning side” – pihak yang menang – dan buat masa ini
tidak semestinya feksyen Muhyiddin.
Burung Hering
Permainan ini sedang diperhatikan oleh Umno
seperti burung hering bercangkung di atas pokok kelapa menunggu lembu nazak
mati.
Rasa saya inilah faktor yang menjadi pemangkin
kepada deklarasi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada 3 Jun lalu bahawa
“kami sudah siapa siaga untuk PRU15”.
Beliau berkata demikian selepas menerima
kunjungan bossnya, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, di rumah beliau pada hari
tersebut.
Umno mempunyai kepentingan langsung dalam apa
yang sedang berlaku dengan Bersatu. Ia akan menyokong Bersatu selagi Bersatu
boleh memberikannya kebaikan – termasuk jawatan Menteri dan lantikan GLC.
Kita kena ingat, Muhyiddin telah memberikan
Umno (dan Pas) talian hayat setelah kalah PRU 9 Mei 2018. Daripada pembangkang,
Umno balik menjadi kerajaan.
Bagi ahli dan penyokong Umno ini adalah rahmat.
Mereka tidak peduli tentang prinsip, maruah dan perjuangan. Bangsa, agama dan negara hanyalah tebu di pinggir bibir. Yang mereka
fikirkan adalah habuan. Jadi dengan ihsan Muhyiddin, Umno kembali relevan.
Najib dan Ahmad Zahid memerlukan pihak yang
berkuasa memandangkan nasib mereka umpama telur dihujung tanduk dalam
kes-kes mahkamah yang sedang mereka hadapi. Buat masa ini, Muhyiddin adalah
pilihan lebih baik bagi mereka berdua.
Tetapi seandainya mereka nampak bahawa sampan
Muhyiddin akan tersadai di tengah sungai atau karam terus, mereka akan terjun
menyelamatkan diri.
Jika mereka terjun dan sebuah kerajaan baru
tidak dapat dibentuk maka besar kemungkinan Dewan Rakyat terpaksa dibubarkan
dan PRU diadakan seperti yang diuar-uarkan oleh Ahmad Zahid.
Akhir kalam, izinkan saya menyatakan tanpa
keraguan bahawa dalam semua ini, saya adalah di sebelah MPT Bersatu yang,
pada mesyuarat 23 Februari lalu, tidak menyokong penarikan diri daripada PH.
Saya berpegang kepada rayuan Dr Mahathir agar
beliau tidak dipaksa mengorbankan prinsip dan janji beliau kepada PH dan
persetujuan MPT memberi masa kepada beliau untuk berfikir dan bertindak. Itu
prinsip saya.
Wallahuaklam. Terima kasih.



