Saturday, January 28, 2012

Gula Mungkin Tidak Manis Bagi Felda

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

RAMAI pembahas meminta saya mengulas mengenai cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjual saham anak syarikatnya, Felda Global Ventures Berhad (FGV), di pasaran terbuka dan menyenaraikannya di Bursa Malaysia.

Saya masih tidak bercadang membincangkannya, selain membuat kenyataan fakta berikut:

1. Felda wajib menjual sekurang-kurangnya 25 peratus saham FGV kepada umum melalui tawaran awam permulaan atau initial public offering (IPO) sebelum boleh menyenaraikannya di Bursa Malaysia;

2. Tetapi Felda boleh menjual lebih daripada peratusan itu dan menyenaraikannya di lebih daripada sebuah pasaran melalui “secondary listing”;

3. Dengan baki 75 peratus, Felda masih menguasai FGV kerana pegangan saham minimum yang diperlukan oleh Felda untuk menguasai dan menguruskan FGV adalah 33.3 peratus;

4. Dengan melakukan IPO, Felda boleh mengumpul modal baru. Modal itu boleh digunakan sendiri oleh Felda atau “dipinjamkan” kepada FGV untuk dilaburkan dalam projek-projek baru;

5. Dalam proses IPO, banyak pihak berpeluang mendapat pendapatan/keuntungan dalam bentuk keuntungan modal (capital gain), komisen dan yuran perundingan; dan

6. Sesiapa yang berkedudukan baik atau bernasib baik dan dapat borang merah jambu (pink form), walaupun tidak ada modal, masih boleh “gadai” dan dapat habuan up-front.

Pembelian MSM Daripada Kuok

Yang membimbangkan ialah kemungkinan dasar, strategi dan pelaksanaan kegiatan komersial Felda melalui FGV tidaklah secekap yang didakwa dan diharapkan.

Saya telah mengulas di sini dan di ruangan-ruangan lain mengenai pembelian perniagaan gula Robert Kuok di Malaysia oleh FGV pada tahun 2009 dengan harga RM1.5 bilion, pada saat-saat perjanjian pembelian gula mentah pada harga murah daripada Australia akan berakhir. Malaysia mengimport 90 peratus keperluan gulanya dan Australia adalah antara pembekal utama.

FGV membeli Malayan Sugar Manufacturing (MSM) dan ladang gula Chuping di Perlis daripada Kuok. Tahun lalu, FGV menjual sebahagian sahamnya dalam MSM melalui IPO dan menyenaraikan semula MSM di Bursa Malaysia. Besar kemungkinan FGV telah membuat keuntungan modal daripada penjualan itu.

Dua tahun kemudian, pada tahun 2011, Kuok, melalui syarikat perladangannya, Wilmar yang berpangkalan di Singapura, membeli syarikat pengeluar gula mentah terbesar Australia, CSR, dengan harga A$1.75 bilion (kira-kira RM5.25 bilion).

Kalau dulu Kuok memonopoli perniagaan gula di Malaysia, kini beliau mengusai salah satu punca bekalan gula terbesar di dunia. Beliau kini dianggarkan menguasai 10 peratus perdagangan gula dunia.

Kalau MSM terus membeli gula dari Australia, kemungkinan besar ia membelinya daripada Kuok. Begitulah liciknya “Raja Gula” kelahiran Malaysia, tetapi berpangkalan di Hong Kong itu.

Kekhuatiran mengenai pembelian MSM oleh FGV terbukti apabila harga gula mula naik dan Kerajaan terpaksa memikirkan semula dasarnya untuk mengurangkan subsidi.

Beberapa hari lalu, CIMB Research, cawangan penyelidikan CIMB Bank, meramalkan kesan negatif kenaikan harga gula terhadap MSM, walaupun Kerajaan bersetuju menaikkan kadar subsidi.

Ia mengulas yang kenaikan kadar subsidi (sebanyak 20 sen sekilo kepada 54 sen mulai awal bulan ini) tidak dapat menampung kenaikan harga yang ditanggung oleh MSM.

Ini adalah beban berganda. Walaupun Kerajaan menaikkan kadar subsidi bagi mengekalkan harga pengguna, namun kesannya kepada MSM masih negatif.

Keadaan adalah rumit. Kalau kadar subsidi tidak ditambah, harga runcit gula akan naik dan nama Felda akan busuk. Kalau nama Felda busuk, nama Perdana Menteri pun busuk juga kerana beliau adalah “mentor’ Felda.

Walaupun perniagaan gula adalah monopoli, tetapi sejak awal lagi saya berasa pembelian SMS oleh FGV kurang strategik kerana masalah bekalan gula dunia semakin meruncing dan pengguna tempatan pula sangat sensitif terhadap kenaikan harga.

Juga, sebarang masalah dengan FGV juga boleh menjejaskan kebajikan peneroka dan kakitangan Felda kerana mereka memiliki 51 saham FGV melalui Koperasi Permodalan Felda. Bagi saham FGV dimiliki oleh Felda sendiri.

Sejak dulu lagi saya berasa lebih tepat kalau perniagaan gula dikendalikan oleh sektor swasta. Setidak-tidaknya Kerajaan boleh mengalihkan beban kenaikan harga kepada mereka.

Di pihak lain, ada kebaikan kepada kenaikan harga gula kerana pengguna Malaysia berlebihan menggunakan bahan itu. Selain itu, Kerajaan wajar memikirkan semula dasar subsidi bahan itu kerana, kalau tidak silap saya, pengguna industri dan perdagangan pun menikmati subsidi gula.

Saya cadangkan, cuba minum kopi atau teh tanpa gula atau kurangkan kemanisannya. Bagi saya, rasanya lebih sedap. Saya sudah berdekad-dekad tidak makan gula dan susu pekat manis atas pilihan, bukan kerana penyakit. Di Malaysia, ramai orang berkata mereka kopi atau teh. Tetapi sebenarnya mereka minum air sirap (air gula) berperasa kopi atau teh.

Wallahualam.

Thursday, January 19, 2012

"Fed Up" Tapi Kena peduli Juga

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

PEMBAHAS “Fed Up” kata dia sudah bosan (fed up) dengan cerita politik. Dia minta saya tulis balik mengenai ekonomi yang sudah lama saya tidak tulis. Apa kata, kalau saya kata, saya “fed up” dengan isu-isu ekonomi?

Kalau Saudara “Fed Up” bosan dengan politik, saya pun berhak untuk berasa “fed up” dengan ekonomi. Ada pembahas marah dan sergah saya apabila saya kritik ekonomi kita yang kurang produktif kerana terlalu banyak cuti dan asyik naik gaji.

Ini bukan soal saya sebagai usahawan, kapitalis, majikan dan pekerja (saya pun makan gaji juga), tapi soal ekonomi dan produktiviti. Kita ambil contoh yang mudah. Bulan Januari ini ada 31 hari. Tolak cuti mingguan dan cuti umum, tinggal 19 hari saja hari kerja, tapi gaji tetap sebulan. Yang kerja lebih masa pada hari cuti umum dapat gaji dua kali hingga tiga kali ganda.

Gaji 31 hari, tapi produktiviti 19 hari saja. Bulan Februari ada 29 hari. Cuti mingguan lapan hari. Cuti umum atau ganti cuti umum yang jatuh pada cuti hujung minggu tiga hari (bagi Wilayah Persekutuan). Campur semua jadi 12 hari. Hari kerja tinggal 17 hari. Gaji 29 hari, tapi produktiviti 17 hari saja.

Cuti Jelas Produktiviti

Dengan macam-macam pihak tuntut cuti umum bagi perayaan masing-masing, tidak hairanlah kalau kita lebih banyak bercuti daripada bekerja. Saya tidak tahu macam mana kita hendak jadi negara berpendapatan tinggi kalau asyik cuti saja.

Itu belum ambil kira cuti tahunan, cuti sakit, cuti belas kasihan, cuti kecemasan, cuti bersalin, cuti isteri bersalin, cuti buat amal ibadat dan cuti memang bola sepak. Nasib baik sukan kita tak cemerlang, kalau tidak lagi banyak cuti kemenangan.

Walaupun cuti umum Malaysia hanya 14 hari, tapi negeri-negeri ada cuti mereka masing-masing. Di banyak negara, kalau cuti umum jatuh pada hujung minggu, ia tidak diganti dengan hari kerja.

Antara Ekonomi Kasar dan Bersih

Kerajaan kata ekonomi kita kukuh dan berkembang pesat, tetapi ahli ekonomi dan agensi antarabangsa kata ekonomi Asia, termasuk kita, China dan India makin lemah kerana krisis ekonomi Eropah dan Amerika.

Saya pun tidak pasti selepas ditolak pertumbuhan yang tidak produktif macam rumah, kedai dan pejabat yang tidak laku dijual atau disewa, berapa peratus sebenarnya pertumbuhan ekonomi bersih.

Itu belum diambil kira lagi gaji pekerja asing yang dihantar balik ke negara masing-masing, hasil eksport yang disimpan di luar negara dan keuntungan syarikat asing yang dihantar balik ke negara masing-masing.

Kemudian pengaliran keluar wang gelap oleh sindiket jenayah daripada penyeludup dan pengedar dadah, kepada penyeludup manusia, penganjur judi haram, pengusaha pelacuran, kegiatan rasuah dan perlindungan.

Bulan lepas, Global Financial Integrity (GFI), sebuah badan bebas yang membentuk dasar kebangsaan dan pelbagai hala dan melindungi perjanjian antarabangsa bagi menyekat pengaliran haram mata wang, telah mengeluarkan sebuah laporan mengenai pengaliran haram mata wang antara tahun 2000 dan 2009.

Dalam laporan itu, ia menganggarkan yang negara membangun kerugian AS$903 bilion (kira-kira RM1,989.9 bilion) pada tahun 2009 saja. Antara tahun 2000 dan 2009, negara-negara membangun kerugian AS$8.44 trilion (RM27.8 trilion).

Lima buah negara yang paling teruk mengalami pengaliran haram mata wang adalah China, Mexico, Rusia, Arab Saudi dan negara kita, Malaysia.

Pengaliran haram daripada negara kita adalah sebanyak AS$22.2 bilion (RM67.7 bilion) pada tahun 2000 dan melonjak kepada AS$68.2 bilion (RM208 bilion) pada tahun 2008.

Saya pun hairan apa tindakan Bank Negara, Perbendaharaan dan Bahagian Jenayah Perdagangan PDRM. Yang kita takutkan ialah ahli perniagaan, usahawan dan tauke-tauke kita menggunakan saluran haram untuk membawa keluar wang dan kekayaan mereka. Mereka perah negara kita tapi hantar keluar kekayaan mereka ke negara-negara lain.

IPO dan Pinjaman Mudah

Itu kita belum cerita lagi buruk-baik cadangan IPO cawangan komersial Felda. Yang pasti akan ada pihak yang akan membuat berjuta-juta ringgit keuntungan modal (capital gain), komisen dan pendapatan yuran (fee income) macam bila Sime Darby telan Guthrie dan Golden Hope beberapa tahun lalu.

Kerajaan boleh bagi pinjaman mudah (cheap loans) beratus-ratus juta ringgit kepada pihak-pihak istimewa, tetapi ramai usahawan kecil dan sederhana Bumiputera melarat sejak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dihapuskan.

Kesimpulannya, kalau Saudara Fed Up bosan dengan politik, saya bosan dengan cakap-cakap mengenai ekonomi. Tetapi, macam kita tidak boleh lari daripada politik, maka kita juga tidak boleh lari daripada ekonomi. Suka tidak suka, kita kena ambil tahu dan kena ambil bahagian.

Wallahualam.

Thursday, January 12, 2012

Kemungkinan Daripada Buang Kes Liwat,

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

MUTAKHIR, 20 Jan - Pendakwa Raya hari ini mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat 9 Jan lalu. Rayuan dikemukakan pada jam 4.30 petang di Pejabat Pendaftar (Jenayah) Mahkamah Tinggi. Timbalan Pendaftar, Halilah Suboh, mengesahkan hal itu kepada pemberita.

Posting Asal

DARIPADA fasa kalau – kalau Anwar bersalah, kalau Anwar tidak bersalah – kita masuk ke fasa kemungkinan kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 9 Jan lalu, tidak menyabitkan tuduhan liwat ke atas beliau.

Jelas daripada keputusan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah yang pihak Pendakwa Raya (aka Peguam Negara Abdul Gani Patail) gagal membuktikan di luar keraguan yang Anwar telah melakukan perbuatan liwat ke atas Saiful Bukhrari Azlan.

Antara kemungkinan yang terlintas di fikiran saya termasuklah:-

1. Pendakwa Raya mungkin (atau mungkin tidak) membuat rayuan terhadap kes itu;

2. “Perbicaraan” terhadap Anwar mungkin tidak berakhir dengan keputusan 9 Jan. Walaupun beliau menang perbicaraan dalam mahkamah undang-undang, beliau pasti akan terus dibicarakan di mahkamah pendapat umum (the court of public opinion);

3. Beberapa hari sebelum penghakiman 9 Jan, parti beliau sendiri, PKR, telah berusaha keras mengembleng “the court of public opinion” sebagai persediaan kalau-kalau beliau disabitkan kesalahan liwat;

4. Sebaik saja beliau dibebaskan daripada tuduhan itu, PKR dan penyokong beliau yang lain segara menggerakkan pendapat umum bagi menaikkan kewibawaan mahkamah dengan memuji kebebasan kehakiman. Dengan menaikkan kewibawaan kehakiman, mereka berharap menaikkan kewibawaan Anwar hasil keputusan itu;

5. Kerajaan tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan akur kepada keputusan itu sambil mencari apa jua perbatuan politik yang ada dengan mengatakan bahawa kehakiman adalah bebas dan Kerajaan tidak campur tangan. Lagipun, tidak ada siapa yang boleh Kerajaan salahkan selain dirinya sendiri kerana itulah standard pendakwaan yang ada kepadanya;

6. Kalau PKR, Pakatan Rakyat dan penyokong Anwar yang lain pintar dan pantas menggunakan “the court of public opinion”, saya rasa penentang-penentang beliau juga akan menggunakan pentas yang sama untuk terus membicarakan beliau;

7. PR mungkin bertambah kuat, tetapi ada kemungkinan yang pengundi, khasnya Melayu, akan bertambah takut terhadap kemungkinan status quo agama, bangsa, bahasa, budaya dan ekonomi diubah dengan drastik jika PR menang PRU nanti;

8. Harus diakui iaitu wujud perbezaan antara simpati dengan Anwar dan percaya kepada beliau. Mungkin ramai bersimpati dengan Anwar, tetapi tidak semua percaya kepada beliau;

9. Bukan Anwar dan PR sahaja akan dibicarakan di mahkamah pendapat umum tetapi juga Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, Barisan Nasional dan Kerajaan;

10. Realiti penting. Kedudukan ekonomi, inflasi, kadar jenayah, gula-gula pilihan raya, penghapusan PPSMI, penarik-balikkan novel Interlok kerana protes orang Hindu, bandar dan kampung yang semakin kotor, kepala lembu di kuil, kepala babi di masjid, gereja dibakar, transformasi dan reformasi semuanya akan memberi kesan kepada pertimbangan pengundi; dan

11. Yang akan menjadikan PRU nanti sensasi dan kontroversi adalah isu-isu peribadi, daripada liwat kepada khalwat, nepotisme anak isteri dan dinasti, rasuah dan penyelewengan, lembu, kerbau, permata dan rumah di kayangan.

Wallahualam.

Thursday, January 05, 2012

Banyak Kalau Dalam Keputusan 9 Januari

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

MUTAKHIR, 9 Jan - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, tidak bersalah atas tuduhan melakukan liwat ke atas Mohd Saiful Bukhari.

Posting Asal

PADA 3 Jan baru lalu, media massa melaporkan yang kepemimpinan Pakatan Rakyat (PR) sebagai berkata, mereka bersedia menghadapi kemungkinan ketua de fakto mereka, Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan liwat yang akan diputuskan 9 Jan ini.

Yang memberikan jaminan itu tidak lain dan tidak bukan Anwar sendiri. Malaysian Insider memetik beliau sebagai berkata:

“Kepimpinan Pakatan Rakyat bukan sahaja saya dan (Datuk Seri Dr Wan) Azizah Wan Ismail) tetapi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang telah membincangkan perkara ini... Jika saya dipenjarakan, terlibat dalam kemalangan atau ditembak, kami bersedia, membincangkan pelbagai kemungkinan, satu, dua atau tiga senario.”

Hari ini, 5 Jan, The Star pula melaporkan yang PR telah mengenal pasti calon bakal Perdana Menteri dan pengganti Anwar. Yang membuat kenyataan itu pun Anwar juga.

Sebenarnya banyak “kalau” yang boleh diperkatakan antara sekarang hingga 9 Jan dan selepas itu.

1. Kalau Parti Keadilan Rakyat dan sekutu politiknya berjaya dengan rancangan mereka, 100,000 orang akan berdemonstrasi di Kuala Lumpur pada 9 Jan ini;

2. Kalau Anwar dibebaskan, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman memihak kepada mereka. Boleh jadi juga mereka akan memuji Kehakiman Malaysia kerana bebas dan berani;

3. Kalau Anwar disabitkan kesalahan, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman tidak memihak kepada mereka dan, mungkin juga, menuduh Kehakiman Malaysia dikongkong pemerintah;

4. Kalau Anwar memang, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak dan Barisan Nasional akan hadapi masalah besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti. Anwar akan menjadi hero dan kredibiliti Mohd Najib merudum;

5. Kalau Anwar kalah, dia akan sekali lagi dianggap mangsa penganiayaan politik dan “mati syahid” oleh penyokong tegarnya dan oleh generasi muda yang kurang faham mengenai sodomi satu dan salah guna kuasa 1999/2000;

6. Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah DUN Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang; dan

7. Kalau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999.

Itu adalah antara “kalau” yang terlintas di fikiran saya. Para pembahas dipersilakan untuk menyumbang “kalau-kalau” lain kalau ada. Wallahualam.

About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).