Thursday, August 30, 2012

Jangan Biar Politik Cemarkan Hari Kebangsaan

A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

PADA 31 Ogos ini genaplah 55 tahun negara kita merdeka. Saya ucapkan selamat memperingati Hari Kebangsaan. Buruk baik inilah negara kita.

Sejak dulu lagi, saya tidak begitu mengambil berat hal-hal berkaitan slogan atau lambang Hari Kebangsaan kerana saya ada cara tersendiri memperingati ulang tahun kemerdekaan.

Jadi kali ini pun saya tidak terpengaruh atau tersentuh dengan debat mengenai lambang, cogan kata dan grafik ulang tahun Hari Kebangsaan.

Dalam loghat utara, saya sudah mangli dengan kecenderungan sesetengah orang atau pihak yang suka tunjuk pandai, mengampu dan mencari habuan politik.

Akibatnya, peristiwa yang sepatutnya menyatupadukan rakyat jelata menjadi punca perbalahan dan polemik politik murahan.

Inilah bahana apabila ada pihak yang cuba campuradukkan upacara rasmi negara dengan politik parti dan sebagainya.

Akibatnya muncullah bermacam-macam slogan, simbol dan interpretasi ulang tahun kemerdekaan. Hina sungguh apabila hendak tunjuk kecintaan kepada negara dan patriotisme pun jadi isu dan masalah.

Dalam hal ini, saya rasa saya bernasib baik kerana diajar sejak kecil lagi menyayangi negara dan cara memperingati Hari Kebangsaan. Untuk itu, sekali lagi saya terhutang budi dan terhutang kasih kepada Allahyarham ayah saya.

Dia kata, siapa pun yang memerintah negara ini, kita tetap kena sayang dan pertahan negara. Tiap tahun sebelum sampai 31 Ogos, ayah saya akan naikkan bendera negara menggunakan batang buluh.

Bagi saya, masa menaikkan bendera itulah antara saat paling gembira dan patriotik sampailah ke hari ini.

Jadi, apa pun kecenderungan politik kita, marilah sama-sama kita memperingati ulang tahun kemerdekaan negara kita dengan rasa tanggungjawab dan penuh patriotisme.

Kenangan Peribadi Hari Kebangsaan

Bagi saya, memperingati Hari Kebangsaan adalah memperingati susur-galur hidup saya dan perjalanan negara kita.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, saya berumur 10 tahun tujuh hari dan dalam darjah tiga sekolah Melayu. Waktu itu darurat masih berkuatkuasa kerana pengganas komunis masih cuba merampas kuasa secara kekerasan.

Tentera Komanwel dari United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada yang membantu angkatan tentera dan polis kita kerap berkhemah di padang sekolah saya. Setiap hari dan malam mereka membedil dan mengebom rimba belantara yang disyaki sarang pengganas.

Bukan mudah membedil dan mengebom pengganas dalam hutan belantara, tetapi bunyi meriam dan letupan bom adalah cara berkesan meyakinkan orang ramai yang keselamatan mereka terjamin. Inilah antara kaedah perang saraf yang British gunakan bagi memenangi hati dan fikiran orang ramai supaya tidak menyokong komunis.

Tetapi hari ini, banyak orang tidak tahu atau sudah lupa sejarah hitam negara seperti darurat (1948-1960) dan pergaduhan kaum 13 Mei 1969. Malah, ramai yang sanggup bakar kelambu dan tilam kerana marahkan nyamuk dan pijat. Atau sudah ramai tidak tahu apa itu pijat? Wallahualam.

Thursday, August 23, 2012

Bo Xilai: Daripada Bintang Terang Kepada Tahi Bintang

A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

DALAM hierarki kepemimpinan Parti Komunis China (PKC/CCP), Bo Xilai adalah salah seorang daripada “putera kecil” (princeling) iaitu pewaris kepada kepemimpinan silam.

Beliau adalah anak kepada Bo Yibo, salah seorang daripada lapan “orang tua” (elders) PKC. Jadi tidak hairanlah kemaraannya dalam hierarki PKC pantas.

Menjelang penggantungannya daripada Biro Politik Pusat (Politburo) PKC, iaitu badan pembuat dasar tertinggi parti, pada 10 April lalu, beliau sudah mencapai kedudukan sebagai Setiausaha PKC Chongqing dan pernah menjadi Gabenor Wilayah serta Menteri Perdagangan.

Selain dikaitkan dengan jenayah dan rasuah, punca utama kejatuhan Bo ialah taktik beliau menggunakan kaedah yang seakan-akan Revolusi Kebudayaan yang dilancarkan oleh Mao Zedong pada tahun 1960an bagi mendapatkan sokongan.

Kepemimpinan China pasca-Mao tidak mahu legasi beliau, khasnya Revolusi Kebudayaan, diagung-agungkan. Selepas kematian Mao, isteri beliau, Jiang Qing, bersama tiga orang lain yang digelar “Gang of Four” dibicarakan. Jiang Qing dan seorang lagi, Zhang Chunqiao, dijatuhi hukuman mati, tetapi kemudiannya dikurangkan menjadi penjara seumur hidup.

Wanita Di Belakang Lelaki Berjaya

Kalau Mao ada Jiang Qing, Bo ada Gu Kailai. Manakala Bo diuar-uarkan sebagai bakal pengganti kepemimpinan teratas Negeri China, Gu diraikan sebagai seorang peguam dan ahli perniagaan yang berprofil tinggi.

Kecelakaan yang menimpa Mao kerana mengikut telunjuk Jiang Qing kini menimpa Bo kerana tindak tanduk isterinya. Sebaik saja Bo digantung jawatan, Gu dibabitkan dengan pembunuhan peniaga British, Neil Heywood November lalu.

Beberapa hari lalu, pada 20 Ogos, Gu dijatuhi hukuman mati yang digantung iaitu hukuman matinya tidak akan dilaksanakan dan dikurangkan menjadi penjara seumur hidup, tetapi boleh dibebaskan selepas sembilan tahun kalau kesihatannya tidak mengizinkan. Dalam perbicaraan sehari itu, Gu memilih untuk tidak membela diri.

Ada sebuah ungkapan yang mengatakan, di belakang setiap lelaki yang berjaya, ada seorang wanita. Tetapi sejarah juga padat dengan kisah lelaki yang berjaya dan berkuasa jatuh kerana wanita.

Kisah Maharani Perancis, Marie Antoinette, adalah contoh klasik ungkapan di atas. Dia amat berpengaruh ke atas suaminya Raja Louis XVI. Kemewahan dan keborosan hidup beliau menambahkan kebencian rakyat Perancis terhadap Raja mereka.

Pada tahun 1792, rakyat Perancis memberontak dan pada 21 September tahun itu menghapuskan pemerintahan beraja. Keluarga di raja dipenjarakan. Sembilan bulan selepas Louis XVI dijatuhi hukuman pancung, Marie Antoinette dibicarakan atas tuduhan khianat, didapati bersalah dan dipancung pada 16 Oktober tahun berikutnya.

Demikianlah cerita Bo Xilai, bintang terang PKC yang tiba-tiba meledak dan akhirnya jatuh ke bumi sebagai tahi bintang. Wallahualam.

Friday, August 17, 2012

Tolak Politik Tohor Demi Perpaduan Islam

A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

DALAM kita menyambut kedatangan Aidilfitri, sangat eloklah kalau kita boleh membuat satu azam baru iaitu untuk memberi makna kepada perintah Allah bahawa orang Islam adalah bersaudara.

Saya tergerak menyebut hal ini apabila membaca berita Malaysian Insider mengenai bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, menghadapi tekanan kerana daripada parti beliau sendiri kerana berselisih faham dengan DAP dan bergesel bahu dengan pemuka Umno.

Dalam laporan itu, beliau dipetik sebagai berkata yang beliau tidak akan keluar PAS atau berhasrat menyertai Umno.

Portal berita itu berkata, tekanan ke atas Nashrudin agar keluar PAS semakin meningkat kerana beliau terus mengkritik DAP dan bergesel bahu dengan pemuka Umno.

Kalaulah laporan Malaysian Insider itu benar, maka amat malanglah bagi PAS dan penyokongnya. Malah malang bagi semua umat Islam apabila pemimpin Islam dimarahi oleh orang Islam sendiri kerana berani berdepan dengan DAP dalam isu-isu berkaitan Islam.

Nampaknya ada orang Islam di Malaysia yang sanggup sisih menyisih antara sesama sendiri kerana mahu berpakat dengan orang bukan Islam atau semata-mata kerana hendak berkuasa.

Manurut Malaysian Insider lagi, tekanan ke atas Nashrudin turut meningkat apabila beliau dilihat bersama Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, di Makkah baru-baru ini.

Kalau ini betul, jelaslah ada orang Islam Malaysia yang kerana ideologi politik sanggup menolak persaudaraan Islam dan memperkecilkan semangat ibadah haji dan umrah, iaitu perpaduan, kesatuan dan kesaksamaan.

Ketika mengerjakan haji dan umrah tidak ada politik. Tidak ada merah, biru atau hijau. Yang ada ialah ihram yang putih yang menjadi simbol kesatuan dan kesaksamaan umat Islam.

Apabila Parti Atasi Agama

Malangnya inilah yang sudah terjadi kepada umat Islam Malaysia, khasnya orang Melayu, yang sanggup tolak persaudaraan Islam demi parti, ideologi dan kuasa. Mereka sudah menjadi begitu partisan sehingga hilang akal dan pegangan.

Mereka mungkin tidak sedar atau tidak mahu mengaku. Tetapi realitinya ialah perpecahan umat Islam Malaysia, khasnya di kalangan orang Melayu, sedang diraikan oleh pihak-pihak yang tidak senang hati dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam dalam Perlembagaan dan dalam kehidupan harian.

Mereka tidak perlu lagi bekerja kuat melemahkan orang Islam dan orang Melayu kerana politik kepartian yang melampau telah pun memecah-belah dan melemahkan orang Islam dan orang Melayu.

Sikap saya dalam hal ini mudah saja. Pedulikan cakap-cakap tohor dan hambar kelompok fanatik politik ini. Saya telah dan sedang melalui pengalaman yang sama. Misalnya, apabila gambar saya hadir majlis perkahwinan anak timbalan presiden Pas, Mohamad Sabu, terbit dalam akhbar PAS, Harakah, ada yang membuat kesimpulan yang saya telah menyertai PAS.

Begitu juga apabila rencana-rencana saya dalam blog ini dipetik atau disiarkan langsung oleh Harakah. Hatta adik-adik saya sendiri berbisik-bisik bertanya adakah benar saya telah menyertai PAS.

Jawabnya mudah saja. Haji Mohamad Sabu dan, sebelum itu, Salahuddin Ayub, naib presiden PAS, menjemput saya ke majlis kenduri kahwin anak mereka. Oleh sebab tidak ada aral melintang, saya hadir.

Ramai juga pemuka pembangkang yang saya kenal dan mereka pula menunjukkan muhibah kepada saya walaupun mereka tahu pendirian saya.

Saya pun berasa berguna menyimpan nombor telefon mereka kerana boleh kata setiap kali saya menghantar SMS, mereka akan membalasnya dan apabila mereka tahu saya dalam keadaan pilu mereka mengucapkan takziah. Itu saja. Tetapi itu jugalah inti pati persaudaraan kita sesama Islam.

Fahaman Politik Bukan Penghalang

Saya pun tidak bermusuh secara peribadi dengan Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng dengan mana-mana pemuka pembangkang. Saya memilih untuk bersikap sivil dan saya harap itulah juga sikap mereka terhadap saya.

Malah pada akhir-akhir ini, lebih ramai pemuka pembangkang yang mahu berkawan dan meminta pandangan saya, dan saya akan memberikan pandangan saya kepada sesiapa saja yang berjuang untuk Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia. Itu saja.

Satu lagi mengenai persahabatan. Saya mungkin telah lama berpisah jalan dengan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim. Tetapi saya tidak akan menafikan yang selama 16 tahun (1982-1998) kita berpakat dalam banyak hal demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air. Tetapi di mana saya tidak bersetuju, saya kata saya tidak setuju.

Baru-baru ini beliau menyambut hari lahirnya yang ke-65 dan saya menghantar SMS mengucapkan selamat kepada beliau. Beliau membalasnya. Saya mudah ingat tarikh lahir beliau kerana kami berbeza usia hanya 13 hari.

Jadi, janganlah kerana pemuka politik Islam/Melayu bermain politik di atas, orang Melayu dan Islam di bawah bercakaran sesama sendiri. Tak payahlah rampas-merampas pengurusan masjid dan surau atau maki-hamun dalam blog kerana perbezaan ideologi.

Orang Islam di Malaysia bukan ramai sangat – hanya 60 peratus daripada keseluruhan penduduk. Pecah dua jadi 30 peratus. Pecah tiga jadi 20 peratus. Lagipun, di segi ekonomi dan pendidikan, orang Melayu/Islam masih jauh ketinggalan. Silap-silap main politik, menang bersabung kampung tergadai, ayam jaguh jadi milik orang lain. Wallahualam.

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Sunday, August 12, 2012

Maladi Emak Dan Rahsia Ciptaan Tuhan

A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

DENGAN izin dan permohonan maaf, ini adalah cerita peribadi. Cerita emak yang berusia 86 tahun masuk hospital buat pertama kali pada 2 Ogos lalu.

“Kalu tak pasai sakit, mak tak mau masuk hospital cik ooi,” kata emak. Tidak siapa boleh pertikai atau salahkan dia. Bersalin sembilan orang anak – lapan hidup - tak sekali pun masuk hospital.

Alhamdulillah, pembedahan rotator culf (kaf rotator kata Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP) selamat dilakukan. Dalam enam atau tujuh minggu lagi dia akan menjalani fisioterapi dan, insya-Allah, kalau semuanya berjalan baik, boleh memperoleh semula 60 hingga 70 fungsi tangan kanannya.

Bagi seorang tua yang tidak pernah sakit teruk, masuk hospital dan menjalani pembedahan adalah satu trauma (disebut troma bukan trauma), tetapi dia tabah dan akur dengan nasihat doktor, Alhamdulillah.

Persepsi Negatif Perubatan Awam

Pembedahan dibuat di sebuah hospital swasta taraf biasa di Alor Star. Saya dimaklumkan yang maladi (penyakit) seperti ini tidak dianggap kes kecemasan oleh hospital kerajaan kerana tidak mengancam nyawa, jadi tidak diberi keutamaan untuk pembedahan.

Lagipun, emak dan Allahyarham ayah saya mempunyai masalah untuk dirawat di hospital kerajaan. Mereka tidak mahu. Maaf cakap, mereka mempunyai persepsi yang tidak positif mengenai perubatan awam, walaupun sebenarnya ada banyak kelebihan dalam perubatan awam, khasnya di segi peralatan dan doktor pakar, selain murah.

Dalam bahasa yang mudah, masalah yang emak hadapi bolehlah digolongkan sebagai “reput tulang” - macam dipopularkan oleh seniman agung Allahyarham P Ramlee dalam lagunya yang, antara lain, berbunyi “berehat sebentar isteri dah meradang, kerja kuat takut reput tulang.”

(Demikianlah hebatnya P Ramlee. Beliau memperkenalkan pelbagai konsep yang mendahului zaman atau di luar pengetahuan audiens beliau.)

Kaf rotator adalah sekumpulan otot dan tendon (urat tebal yang menyambungkan otot dengan tulang) yang berfungsi mengikat tangan ke bahu dan memberikannya pergerakan yang fleksibel. Dalam kes emak, kaf rotatornya carik dan putus akibat kelanjutan usia. Jadi doktor terpaksa bedah dan sambungkannya semula.

Allah Berikan Kita Spare Part

Demikianlah tubuh manusia. Tetap dimakan usia dan dilanda pelbagai maladi, apatah lagi kalau kesihatan tidak diutamakan, dan demikian pulalah kemajuan sains dan teknologi dalam bidang perubatan yang boleh merawat pelbagai penyakit. Kini, tubuh manusia boleh dibedah dengan mudah dan banyak anggota badan boleh dibuang atau digantikan.

Apabila ada kawan atau kenalan yang menjalani pembedahan pintasan koronari (jantung), saya kerap ingatkan mereka mengenai rahsia keagungan ciptaan Allah.

Kalau Allah tidak mahu usia kita dipanjangkan, masakan Dia menyediakan barang ganti (spare part) dalam bentuk urat kaki yang boleh diambil untuk memintaskan urat jantung yang rosak tanpa menjejas fungsi kaki. Atau mengambil kulit dari satu anggota badan untuk menampal kulit pada anggota lain yang rosak.

Itulah antara contoh rahsia ciptaan Allah yang kita disuruh menyelidik, memahami dan memanfaatkannya. Alhamdulillah, hari ini semakin ramai ahli sains Muslim yang melaksanakan perintah Allah Taala itu. Tetapi masih ada kelompok kolot yang menantang sains, kononnya ia bercanggah dengan agama. Wallahualam.

Tuesday, August 07, 2012

Olympic: Our Solitary Medal Speaks Volumes

A Kadir Jasin

[ATTENTION, anonymous comments will not be published. Please use Google Account, OpenID or Name/URL to comment. Thank you]

LATEST, Aug. 10 - Pandelela Rinong Pamg won bronze in the 10-metre dive, making it the second medal for Malaysia and putting the country 50th in ranking with six other nations.

Original Post

MIDWAY through the London Olympic, New Zealand once again emerged as a dominant sporting nation. It is the country with the smallest population hauling the most number of medals.

By August 7, it had won three gold, one silver and four bronze medals to make the total of eight, putting it 16th in medal tally. It is a developed country with a population of just over 4.4 million.

India is the worse performer. It is a developing country with over 1.2 billion people and had so far won only one silver and two bronze to occupy the 37th position. India is rivaled only by China by way of population. China has over 1.3 billion people and is leading the medal haul with a total of 64 so far – 31 gold, 19 silver and 14 bronze.

Running second is the world’s most powerful nation - the USA. To date it is trailing China by one medal. It had so far won 29 gold, 15 silver and 19 bronze.

China, US, Russia, Great Britain, Japan, France, South Korea, Germany, Australia and Italy made the top 10. Except for China, they are all industrialised nations.

If my old method calculation is correct, there is one Olympic medal for every 21million (corrected) Chinese as opposed to one for every 554,000 New Zealanders.

But do not forget small and poor nations that also do well. Topping the chart is Cuba in number 21 with seven medals, Jamaica aka the country of Usain Bolt, number 29 with four and Dominican Republic number 40 with two medal – a gold and a silver.

The high performance of some countries and the poor performance of others are the combined product of political systems, cultures and sense of patriotism of the people.

As for us, all these is summed up by one solitary silver medal in badminton with the courtesy of Lim Chong Wei.

Perhaps our sports officials, starting with the Sports Minister right down to sportsmen and women should pause and consider whether “janji ditepati” – promised fulfilled. I guess not.

Thursday, August 02, 2012

Kes Rafizi dan Perbatuan Politik

A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]

MASA beredar tetapi keadaan tidak semestinya berubah. Kalau berubah pun hanyalah cara.

Ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuatkuasa, penahanan di bawah akta itu dianggap sebagai “seal of approval” atau tanda pengiktirafan bahawa seseorang itu pejuang tulen.

Malah, dalam DAP pada satu ketika pemimpinnya yang tidak ditahan di bawah ISA dianggap sebagai orang penakut dan tidak layak dianggap pejuang.

Sekarang, dengan ihsan Perdana Menteri dan transformasi, ISA susah dibakulsampahkan. Maka hilanglah tanda niaga yang berharga bagi pembangkang dan penentang kerajaan.

Kini terpaksalah mereka menaikkan taraf undang-undang biasa seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang komersial ke taraf ISA supaya mereka terus dianggap sebagai wira dan mangsa apabila ditangkap dan diheret ke mahkamah.

Jadi, tidaklah menghairankan kalau penangkapan dan penuduhan pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli, pada 1 Ogos di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) berkaitan pendedahan kes National Feedlot Corporation (NFCorp) akan menjadi satu lagi “fodder” atau bahan perbahasan.

Rafizi dituduh bersama dengan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad, membocorkan rahsia bank. Mereka mengaku tidak bersalah.

Sekalipun tindakan mengheret Rafizi ke mahkamah adalah keputusan Bank Negara yang bertanggungjawab ke atas BAFIA, namun ia akan dijadikan senjata bagi menuduh kerajaan melakukan penindasan politik.

Namun begitu, daripada perspektif yang lebih luas, kita harus mengambil kira bahawa ada dua pihak lain yang telah dihadapkan ke mahkamah pendedahan kes NFCorp.

Pada 12 Mac lalu, pengerusi NFCorp., Mohamad Salleh Ismail, suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, telah dituduh melakukan pecah amanah melibatkan hampir RM50 juta.

Dalam satu kes lain, perunding Shamsubahrin Ismail dituduh menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.76 juta dalam bentuk yuran perundingan.

Penuduhan di bawah BAFIA ke atas Rafizi mempunyai implikasi yang luas. Bank Negara berhak dan wajar bertindak tegas ke atas kakitangan bank yang membocorkan rahsia pelanggan.

Kalau kakitangan bank dibiarkan membocorkan rahsia pelanggan sesuka hati, maka hilanglah kewibawaan perbankan di Malaysia dan tidak ada pelanggan akan berasa selamat. Perbuatan seperti itu wajib dibanteras dan pelakunya wajib dihukum.

Saya yakin Rafizi, sebagai seorang politikus yang pintar, tahu mengenai wujudnya BAFIA dan kesalahan membocorkan rahsia pelanggan bank.

Jadi, sama ada beliau melakukannya kerana mahukan pertabatuan politik – political milage – atau kerana mengambil berat kebajikan umum – altruism – undang-undang tetap undang-undang.

Beliau haruslah bersedia berpegang kepada ungkapan berani buat beranilah tanggung dan hadapi akibat tindak-tanduknya. Tetapi, kalau penyiasatan dan pendakwaan kes beliau hambar seperti dalam beberapa kes sensasi sebelum ini, harapan beliau dibebaskan adalah cerah.

Apa pun, Rafizi sudah boleh mendabik dada mengatakan perjuangannya tidak sia-sia dan pihak-pihak yang beliau wakili telah mendapat “political milage” yang besar. Wallahualam.

About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).