Showing posts sorted by relevance for query “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak”. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak”. Sort by date Show all posts

Tuesday, February 28, 2006

Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak

A Kadir Jasin

KENAIKAN harga minyak hari ini tentunya akan membebankan lagi rakyat jelata. Mula-mula sekali, kos pengangkutan akan naik. Lepas itu harga barang-barang pengguna akan naik. Bersama-sama dengan itu, naik jugalah kadar inflasi.

Pengguna kenderaan bermotor akan membayar harga yang lebih mahal dan ini bermakna kos setiap kilometer perjalanan akan meningkat.

Satu cara mengehadkan kesan kenaikan kos perjalanan ini adalah dengan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor, berkongsi kenderaan (car pooling) atau menaiki pengangkutan awam.

Tetapi tambang pengangkutan awam pun akan turut naik kerana harga diesel naik.

Kenaikan harga kali ini lebih berupa pelaksanaan dasar Kerajaan untuk mengurangkan subsidi petroleum daripada disebabkan kenaikan harga minyak mentah.

Harga minyak mentah telah reda akhir-akhir ini. Harga pembukaan di Pasaran Minyak New York pada hari Isnin (27 Feb.) jatuh daripada AS$63 setong kepada AS$61 sekarang. Kerajaan Malaysia mula menaikkan harga dengan banyak dan kerap apabila harga melepasi harga AS$70 setong tahun lalu.

Sebenarnya kalau Kerajaan melaksanakan dasar harga anjal (flexible pricing), harga minyak di pam sepatutnya boleh diturunkan. Saya telah beberapa kali menulis mengenai kaedah ini.

Tetapi nampaknya ini bukan dasar atau sebab harga dinaikkan sekali lagi. Harga dinaikkan kerana Kerajaan mahu terus menguatkuasakan pelaksanaan dasar mengurangkan subsidi minyak dan menaikkan hasil (revenue).

Bagi Kerajaan, kenaikan harga minyak memberi dua kesan positif kepada kedudukan kewangannya. Pertama, ia mengurangkan subsidi kedua ia menambah hasil cukai.

Apabila harga minyak naik, nisbah cukai ke atas penjualannya juga naik. Hasil cukai akan merosot hanya jika penjualan minyak jatuh dengan banyak akibat kenaikan harga.

Tetapi kemungkinan ini berlaku tipis. Pemilik kenderaan dan pengusaha pengangkutan awam akan terus memerlukan minyak. Samalah seperti perokok dan peminum minuman keras akan terus membeli rokok dan minuman keras walaupun harga naik melambung kerana cukai dinaikkan.

Dalam bahasa ekonomi yang paling mudah, Kerajaan memindahkan beban kewangannya kepada pengguna yakni rakyat jelata dengan menaikkan harga tanpa menurunkan cukai.

Kerugian yang dialami oleh pengguna kerana kenaikan harga minyak sukar ditampung atau diimbangi. Satu-satu caranya ialah dengan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan lebih banyak menggunakan pengangkutan awam.

Itu pun belum pasti kerana pengusaha kenderaan awam akan menaikkan tambang setiap kali harga minyak naik. Begitu juga halnya dengan pengilang.

Oleh sebab peranan minyak dalam ekonomi begitu menyeluruh, maka kesannya kepada pengguna juga menyeluruh. Ini akan menjadi lebih buruk jika ura-ura Kerajaan membenarkan Tenaga Nasional Berhad menaikkan tarif menjadi kenyataan.

Jelaslah beberapa waktu ini akan menjadi musim kenaikan harga yang akan memberi kesan negatif kepada kuasa membeli rakyat jelata. Barangan dan perkhidmatan yang mereka boleh beli dengan wang yang ada pada mereka sekarang, menjadi semakin kurang.

Dalam bahasa ekonomi yang mudah, ekonomi negara kita sedang menjurus ke arah kenaikan harga (inflasi) yang lebih pesat dan pariti kuasa membeli (purchasing power parity) Ringgit Malaysia akan terus merosot.

Mungkin kerana inilah banyak orang yang faham sedikit sebanyak mengenai ekonomi, kurang yakin bahawa kadar inflasi kita serendah 3.5 peratus seperti yang diisytiharkan.

Mereka berpendapat kadar inflasi adalah lebih tinggi daripada itu tetapi direndahkan atau diredakan dengan memanipulasi jenis barang dan perkhidmatan yang dimasukkan ke dalam “bakul” yang kemudiannya digunakan untuk mengira indeks harga pengguna (consumer price index).

Ada yang kata inflasi lebih daripada lima peratus atau hampir kepada 10 peratus bergantung kepada lokasi dan jenis kepenggunaan. Kalau tidak, buat apa Kerajaan susah-susah bayar semula elaun cara hidup atau cola (cost of living allowance) kepada kakitangannya?

Rakyat jelata hanya boleh mengharapkan pengurangan beban mereka jika Kerajaan menggunakan wang subsidi yang dijimatkan dan hasil cukai petroleum yang lebih besar untuk projek-projek pembangunan.

Inilah yang dijanjikan oleh Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan akhbar yang mengiringi pengumuman kenaikan harga itu.

Tetapi kita semua tahu bahawa hasil Kerajaan habis dibelanjakan untuk menguruskan pentadbiran seperti membayar gaji, elaun, pencen, membayar hutang dan menyelenggarakan pejabat dan bangunan.

Untuk pembangunan – membina sekolah, hospital, jalan raya, pelabuhan dan sebagainya, Kerajaan terpaksa berhutang. Tetapi Kerajaan sekarang tidak begitu berminat berhutang kerana mahu mengimbangkan belanjawan (balancing the budget).

Kalau hasil Kerajaan hanya cukup untuk mengurus dan Kerajaan tidak begitu gemar berhutang, dari manakah ia akan mendapat wang untuk membiayai Rancangan Malaysia Kesembilan yang sepatutnya bermula tahun ini?

Selain menggunakan wang daripada Petronas, Kerajaan nampaknya tidak ada jalan lain melainkan berhutang, kalaupun tidak daripada luar negara sekurang-kurangnya dalam negara.

Tetapi kalau Kerajaan masih berpegang kepada matlamat mengimbangkan belanjawan, maka pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas dan rakyat jelata akan menderita.

Dalam suasana di mana kemasukan pelaburan terus asing (Foreign Direct Investment) tidak begitu meyakinkan dan modal jangka pendek mengalir keluar, satu-satunya cara mempertahankan pertumbuhan ekonomi ialah dengan Kerajaan sendiri berbelanja lebih besar.

Inilah yang dilakukan oleh Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad apabila negara mengalami kemelesetan ekonomi akibat krisis kewangan serantau pada tahun 1997/98.

Tapi hari ini banyak orang sudah tidak kenang budi dan lupa sejarah. Mereka tuduh Dr Mahathir boros. Itulah nasib ahli politik pencen Malaysia. Tak hairanlah kalau ramai tidak mahu pencen dan, kalau boleh, nak tongkat langit.

Lain halnya dengan Singapura yang ada tiga ketua turus – Lee Kuan Yew (Menteri Mentor), Goh Chok Tong (Menteri Kanan) dan Lee Shien Loong (Perdana Menteri).

Kita sebenarnya tidak kurang hebat daripada Singapura. Cuma kita mungkin tak sedar potensi kita dan kita tak amalkan konsep mentor yang betul.

Kita tidak kekurangan modal. Sistem perbankan kita dan Tabung Simpanan Pekerja (EPF) mempunyai simpanan yang banyak. Yang menjadi masalah ialah kurang pihak yang mampu atau layak meminjam. Sebab itulah kadar faedah simpanan amat rendah sekarang.

Inilah juga punca mengapa modal asing meninggalkan Bursa Malaysia dan semakin banyak pelabur dan pemodal Malaysia berhijrah ke luar negara.

Tetapi jika Kerajaan kembali meminjam untuk membiayai pembangunan negara, modal asing akan masuk semula dan modal tempatan akan berhenti daripada mengalir keluar.

Tanggapan bahawa tidak elok bagi Kerajaan berhutang dan belanjawan seimbang (balanced budget) akan menjadi penawar kepada segala masalah adalah tidak tepat.

Amerika Syarikat yang hebat menggesa negara-negara membangun supaya mengimbangi belanjawan mereka sebenarnya bertalam dua muka dan hipokrit kerana ia sendiri berupa negara dan Kerajaan yang paling banyak berhutang di dunia.

Tapi banyak juga cerdik pandai kita yang termakan propaganda Washington ini.

Jika Kerajaan berupaya meyakinkan pelabur di dalam dan luar negara mengenai kepakarannya menguruskan ekonomi dan memberikan petunjuk (direction) yang jelas, arah pengaliran modal akan berubah

Modal tempatan akan berhenti daripada mengalir keluar dan modal asing akan mengalir masuk. Industri mendapat faedah dan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan. Harga saham di Bursa Malaysia naik dan pelabur mendapat keuntungan.

Hari ini berjuta rakyat Malaysia bergantung kepada Bursa Malaysia untuk kebajikan mereka kerana mereka memiliki saham atau melabur dalam saham amanah (unit trust).

Hanya dengan merangsang dan memesatkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan produktiviti, mengurangkan pembaziran dan pemborosan dan memperbaiki pengagihan kekayaan negara barulah dapat rakyat jelata mengatasi kesan negatif daripada kenaikan harga yang berterusan.

Kalau kita mempercayai khabar-khabar angin yang bertiup dari Putrajaya dan diuar-uarkan oleh tukang-tukang canang (spin masters) media arus perdana, maka kita sangat berharap Kerajaan akan mengembalikan dasar pembangunan yang berteraskan pertumbuhan yang disertai oleh pengagihan (growth with distribution).

Dalam hal ini, media massa arus perdana haruslah faham isu-isu berkaitan ekonomi dan mengurangkan “spin” (putar belit) yang cetek yang hanya baik untuk jangka masa pendek dan untuk golongan tertentu saja.

Kita kena ingat, kestabilan politik negara kita banyak bergantung pada kestabilan ekonomi. Kestabilan ekonomi pula bergantung pada pengagihan yang adil.

Laporan akhbar sendiri sudah dengan jelas menunjukkan kadar jenayah dan pelanggaran undang-undang yang semakin meningkat.
Ini berlaku serentak dengan peningkatan pengangguran – termasuk hampir 60,000 siswazah – kenaikan harga barang dan perkhidmatan sejak akhir-akhir ini.

Untuk terus memperkasa sebuah negara Islam Hadhari yang berpaksikan tamadun dan peradaban, kita perlu menjaga kebajikan rakyat jelata dengan memperkasa ekonomi mereka.

Wednesday, June 04, 2008

Bukan Rakyat Penyebab Perpecahan

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

BANYAK juga pembahas blog ini yang merungut bahawa di saat-saat negara memerlukan perpaduan dan persepakatan minda dan perancangan untuk menangani berbagai masalah, kita sebaliknya berpecah-belah.

Mereka menyebut mengenai masalah ekonomi, khasnya kenaikan kos sara hidup, peningkatan jenayah, kedaulatan negara dan perkongsian kaum.

Saya setuju. Malah sejak tahun 2006 lagi saya telah memberi amaran mengenai kesan negatif kenaikan harga barang dan perkhidmatan apabila kerajaan menaikkan harga bahan-bahan petroleum.

Malahan rencana pertama blog ini adalah mengenai kenaikan harga minyak bertajuk “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak” yang saya siarkan pada 28 Februari, 2006.

Antara lain, saya menulis: “Kenaikan harga minyak hari ini tentunya akan membebankan lagi rakyat jelata. Mula-mula sekali, kos pengangkutan akan naik. Lepas itu harga barang-barang pengguna akan naik. Bersama-sama dengan itu, naik jugalah kadar inflasi.”

[Komen menggunakan “anonymous” TIDAK AKAN DILAYAN]

Saya menutup rencana itu dengan hujah berikut: “Untuk terus memperkasa sebuah negara Islam Hadhari yang berpaksikan tamadun dan peradaban, kita perlu menjaga kebajikan rakyat jelata dengan memperkasa ekonomi mereka.”

[UPDATE]

KITA baru sahaja bercakap mengenai kenaikan harga sebagai salah satu punca kegagalan Kerajaan Abdullah mendapat keyakinan dan sokongan rakyat jelata. Berikut berita terbaru daripada Bernama mengenai kenaikan harga minyak.

“Petrol Dan Diesel Naik Mulai Tengah Malam Ini, Umum PM

PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Berkuatkuasa tengah malam Rabu harga petrol dan diesel masing-masing akan meningkat sebanyak 78 sen dan RM1 bagi setiap liter, umum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata berikutan kenaikan itu harga baru petrol di pam adalah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.

Bercakap pada persidangan akhbar di pejabatnya di sini, Abdullah berkata bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal .

"Bagi pemilik kenderaan persendirian yang berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.

"Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai sebanyak RM150 setahun bagi setiap motosikal akan diberikan," katanya.

Perdana Menteri berkata bayaran tunai ini akan diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor iaitu cukai jalan.

Katanya bayaran ini meliputi kenderaan dengan cukai jalan yang berkuatkuasa mulai 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.”

[Sambungan Posting Asal]

Sengaja disebutkan bahawa pada waktu itu, kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi sangat kuat dan cukup popular kerana menang besar dalam pilihan raya umum 2004.

Tetapi akibat kegagalannya menangani masalah ekonomi, sosial dan keselamatan pada tahun-tahun berikutnya, suasana politik berubah menjadi tidak stabil, populariti Abdullah merosot dan kemampuan kerajaan menangani masalah menjadi semakin kabur.

Setelah menang besar pada tahun 2004, Abdullah mula membatalkan projek-projek era Dr Mahathir dan memperkenalkan program-programnya sendiri melalui Rancangan Malaysia Kesembilan.

Apabila RMK9 terlewat dilaksanakan dan gagal menunjukkan kesan-kesan yang ketara, Abdullah dan penasihat-penasihatnya tergesa-gesa melancarkan koridor pembangunan ekonomi di seluruh negara beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Malangnya, walaupun diuar-uarkan dengan begitu hebat oleh media massa arus perdana, pelancaran koridor pembangunan itu gagal meyakinkan rakyat jelata malah mendapat kecaman pula.

Dasar dan tindak-tanduk Pentadbiran Abdullah dilihat sebagai memberi keutamaan yang melampau kepada pelabur Singapura di Wilayah Pembangunan Iskandar sehingga tercetus kebimbangan akan wujud sebuah negara de facto Singapura di bumi Johor.

Jawapan Abdullah kepada kritikan ini adalah meminda nama projek itu kepada Iskandar Malaysia.

Pentadbiran Abdullah membatal atau menangguhkan projek-projek era Dr Mahathir atas alasan kerajaan kehabisan wang dan tidak lagi mengutamakan “mega project.”

Sebaliknya ia menguar-uarkan pelaksanaan RMK9 serta koridor pembangunan yang lebih “mega” daripada projek-projek era Dr Mahathir.

Dalam keghairahan itu, isu dan masalah harian rakyat jelata seperti kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan pengguna, peningkatan kadar jenayah dan pengangguran gagal ditangani dengan secukupnya.

Abdullah sendiri terkejut dan bertanya “apa sudah jadi?” apabila diberitahu oleh polis bahawa kadar jenayah terus meningkat.

Selepas pilihan raya umum 8 Mac Abdullah bertindak membersihkan tangan dengan menyerahkan jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang sangat penting dan kritikal itu kepada Syed Hamid Jaafar Albar.

Abdullah bebas daripada beban gagal menangani masalah jenayah dan Syed Hamid daripada bala gagal memperoleh kedaulatan ke atas Pedra Branca. (Bukan Pulau Batu Puteh lagi kerana hanya Malaysia memanggilnya dengan nama itu.)

Masalah Abdullah mudah sahaja. Dia bukan seorang perancang dan pengurus ekonomi. Selama pembabitannya dalam Kabinet Abdullah tidak pernah diberikan jawatan ekonomi atau kewangan.

Tetapi kelemahan itu boleh diatasi seandainya Abdullah bersedia mengemblengkan kepakaran ekonomi dan kewangan yang ada dalam Umno dan perkhidmatan awam.

Allahyarham Tun Hussein Onn juga tidak pakar dalam hal ekonomi dan kewangan. Tetapi beliau menggunakan kepakaran pemimpin Umno seperti Tengku Razaliegh Hamzah (Menteri Kewangan) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdagangan dan Perindustrian).

Sebaliknya Abdullah melantik atau membawa masuk “pakar-pakar” dari luar Umno dan pentadbiran awam yang tidak ada pengalaman praktikal atau yang mempunyai agenda sendiri.

Kita tentu masih ingat iaitu apabila negara mengalami krisis ekonomi pada pertengahan tahun 1980an, Dr Mahathir membawa masuk Daim Zainuddin dan meminda beberapa syarat Dasar Ekonomi Baru untuk menarik pelaburan asing.

Ekonomi negara pulih dengan pantas dan berkembang rancak sehingga krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98.

Apabila krisis 1997/98 berlaku, Dr Mahathir sekali lagi membawa masuk Daim dan menolak percubaan Anwar Ibrahim melaksanakan dasar ala Tabung Matawang Antarabangsa (IMF).

Walaupun Dr Mahathir sering dituduh bersikap diktator, namun dalam era beliaulah pelbagai mekanisme musyawarah dan perundingan seperti Majlis Perdagangan Malaysia (Malaysian Business Council) dan Majlis Perundingan Ekonomi Negara dan Majlis Kebangasaan Teknologi Maklumat (NCIT) ditubuhkan.

Saya tidak pasti lagi mengenai apa yang terjadi dengan sistem musyawarah dan perundingan ekonomi era Dr Mahathir itu. Yang kita tahu ialah wujudnya berpuluh-puluh Jawatankuasa Kabinet, Jawatankuasa Pemandu dan bermacam-macam lagi jawatankuasa.

Yang menjadi riuh rendah dan menimbulkan kemarahan umum sehingga Umno dan BN dihukum dengan begitu teruk oleh pengundi pada 8 Mac lalu adalah dakwaan campur tangan “Budak-Budak Tingkat 4” dan konco-konco di sekeliling Perdana Menteri dalam hal ehwal ekonomi dan perniagaan.

Jadi adalah tidak adil dan tidak tepat menuduh atau memarahi rakyat jelata dan ahli parti sebagai menyebabkan kacau-bilau dan ketidaksepaduan.

Rakyat jelata dan ahli parti, khasnya kaum majoriti Melayu, sekadar bertindak balas terhadap apa yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh pemerintah.

Hari ini, oleh sebab kerajaan begitu lemah dan persepsi rakyat terhadapnya begitu negatif maka apa sahaja yang dilakukannya walaupun betul dan baik sekalipun akan dicurigai dan dipertikaikan.

Apatah lagi jika tindakan itu membawa keburukan kepada mereka seperti kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan pengguna.

Cadangan terbaru untuk menghapuskan subsidi minyak tidak dapat tidak akan memberi kesan langsung dan tidak langsung yang hebat kepada rakyat jelata dan pengguna.

Dalam konteks ini, aspek keselamatan dan kesejahteraan tidak boleh diabaikan. Kenaikan harga dan kekurangan bahan makanan berkait terus dengan isu keselamatan dan kesejahteraan.

Apatah lagi di akhir-akhir ini kita lihat ciri-ciri keingkaran sivil (civil disobedience) seperti tunjuk perasaan semakin menjadi-jadi.

Kalau pengundi Malaysia yang selama ini sangat jinak (docile) boleh menjadi begitu berani pada pilihan raya Mac lalu, kita tidak boleh menolak bulat-bulat bahawa kenaikan harga dan kekurangan bekalan tidak akan mencetuskan ketegangan.

Kita wajib berhati-hati dan berjaga-jaga. Apatah lagi slogan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu adalah “Sejahtera, Aman dan Makmur.”

Akhir kata, kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat jelata, khasnya orang Melayu, menjadi tidak bersatu atau nampak tidak bersatu kerana kerajaan yang mereka berikan mandat besar pada tahun 2004 gagal memenuhi aspirasi mereka.

Maka pada 8 Mac lalu mereka menunjukkan protes mereka secara besar-besaran dan terang-terangan. Lihatlah betapa banyaknya undi rosak yang dimasukkan ke dalam peti undi – 325,120 di seluruh negara.

Kalau pembesar Umno dan BN tidak faham lagi, jangan salahkan rakyat jelata kalau protes mereka lebih hebat mulai sekarang.

Kalau kerajaan tidak cekap menangani kemerosotan ekonomi global yang sedang melanda sekarang, negara bukan sahaja akan mengalami masalah yang teruk.

Apa yang sangat-sangat dikhuatiri adalah inflasi yang semakin meruncing sekarang akan bertukar menjadi stagflasi di mana harga pengguna melambung sedangkan pertumbuhan ekonomi menjadi semakin lembap.

Namun saya yakin para pembesar kanan Umno seperti Mohd Najib Abdul Razak, Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim menyedari masalah ini dan mampu menanganinya jika diberikan tanggungjawab.

Tuesday, January 07, 2014

Wajib Kritikal Kalau Mahu Ekonomi Selamat


A Kadir Jasin

[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]

MUTAKHIR - 8 Jan - Berikut adalah jawapan Sdr HishamH pemilik blog Economics Malaysia.

“Hafiz is correct, you've misrepresented what I've posted. The excerpts from my blog post come from YB Rafizi Ramli, not myself (links to his blog are provided in the post). Perhaps I wasn't as clear as I should have been, but in no way do I agree with Rafizi's analysis or conclusions.”

Jawapan penuh beliau dalam ruang komen. Saya ambil maklum dan mohon maaf kepada beliau, kepada pembahas dan pengunjung. Terima kasih.

 POSTING ASAL

ADA pembahas yang mengherdik saya kerana mengkritik Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengenai pengurusan ekonomi tetapi tidak memberi nasihat dan tunjuk ajar.

Saya rasa pembahas berkenaan tidak terbaca "nasihat" saya yang berjela-jela kepada Mohd Najib dan kerajaan melalui blog ini dan dalam tulisan saya di tempat-tempat lain berkaitan pengurusan ekonomi, mata wang, percukaian dan sebagainya.

Kadang-kadang, bila kita membincangkan isu ekonomi, banyak orang tidak peduli atau mudah bosan.  Tetapi kalau kita tidak bincang, mereka kata kita hanya pandai kritik.

Sejak tahun 2006 lagi, apabila kerajaan Abdullah Ahmad Badawi membuat potongan drastik subsidi petroliam sehingga menyebabkan harga minyak dan gas naik mendadak dan dengannya harga barang dan perkhidmatan, saya menulis beberapa buah rencana mengingatkan kerajaan mengenai kesan buruk tindakan itu dan bagaimana mengurangkan beban pengguna.

Pada 28 Februari 2006 saya menyiarkan dalam blog ini rencana bertajuk “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak” (kalau berminat baca arkib ini.)

Bukan tugas saya memberi tunjuk ajar terperinci kepada kerajaan mengenai pengurusan ekonomi. Itu tugas kementerian, jabatan, agensi dan para penasihat Perdana Menteri yang sangat ramai, hebat dan tersohor.

Tugas saya adalah memberi maklum balas dan membuat kritikan. Malangnya ada pihak menganggap kritikan sebagai penentangannya. Inilah akibatnya apabila masyarakat tidak berfikiran kritis ditambah pula oleh sikap partisan yang melampau.

Saya berulang kali berkata subsidi tidak lestari (unsustainable), mengherotbenyotkan (distort) ekonomi dan menyebabkan pergantungan terhadap kerajaan.

Tetapi saya mempertikaikan cara kerajaan, khasnya pada zaman Abdullah dan Mohd Najib, menguruskan subsidi, memantau dan mengawal kenaikan harga, mengagihkan penjimatan subsidi dan mengurangkan pembaziran sumber kewangan negara.

Tidak Cekap Urus Kewangan

Saya menuduh pentadbiran Abdullah dan Mohd Najib boros dan cemerkap menguruskan kewangan negara dan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat jelata.

Ketika rakyat dilanda banjir, Abdullah sibuk ke Perth, Australia untuk merasmikan pembukaan kedai makan. Beliau pulang sebentar menjenguk mangsa banjir di Johor dan terbang semula ke luar negara.

Mohd Najib pula dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara ketika tahun baru dan kali ini, pada saat tahun baru menjanjikan khabar buruk kepada rakyat jelata akibat dasar beliau memansuhkan  dan mengurangkan subsidi secara serentak.

Apakah salah saya dan sesiapa juga menegur dan mengkritik Mohd Najib dan para penasihat beliau yang bernilai berbilion ringgit itu?

Adakah beliau raja berkuasa mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?

Atau adakah dia keramat hidup yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?

Mohd Najib dan kerajaannya wujud kerana rakyat jelata yang memilih mereka. Lagipun bukan rakyat jelata yang berjanji dan berikrar tidak menaikkan harga malah mengurangkannya. Yang berjanji tidak menaikkan harga adalah Mohd Najib dan para perancang Bilik Perang pilihan raya beliau. Sekarang siapa yang mungkir?

Ada Masalah Lain Selain Subsidi

Sebenarnya, bukan subsidi dan kenaikan harga saja yang wajar kita bahaskan. Banyak lagi isu yang bercanggah dengan dakwaan yang diuar-uarkan melalui media arus perdana.

Contohnya nilai ringgit yang terus merosot berbanding dengan dolar Amerika dan mata wang utama lain sedangkan ekonomi kita lebih kukuh daripada ekonomi Amerika.

Kenapa defisit belanjawan dan hutang negara semakin meruncing sedangkan kita dilambakkan dengan berita bahawa ekonomi kita mantap, hasil kerajaan meningkat dan pengurusan kewangan berhemah?

Tetapi adakah orang yang mengherdik saya kerana mempertikaikan pengurusan ekonomi Mohd Najib sedar bahawa ada rancangan untuk menjual aset negara bagi mengatasi masalah kewangan kerajaan?

Ini bukan cerita khayalan rekaan saya. Bukan fitnah. Ini adalah kata Bank Dunia yang kita menjadi anggotanya. Saya ambil ringkasan dari “Malaysia Economic Monitor: December 2013” ( muka surat 10) seperti berikut:

“… the government reaffirmed its headline deficit target for 2013 (4.0% of GDP vs 4.5% in 2012). This target will be achieved through additional tax revenues (Figure 13). Of the additional RM11.8 billion in revenues expected to be raised compared to budgeted estimates, RM7.4 billion originated from non-tax sources, including RM1.4 billion of proceeds from asset sales and RM4.2 billion from the securitization of government mortgages…” 

Ringkasnya Pentadbiran Mohd Najib telah, sedang atau akan menjual harta negara dan mengubah gadaian kerajaan menjadi saham untuk dijual kepada orang ramai bagi menampung defisit belanjawan. Perniagaan "derivatives" macam inilah yang membawa kepada krisis kewangan dunia pada tahun 2008 dan 2009.

Blog ekonomi “Economics Malaysia” dalam rencana bertajuk “Debt, Deficits, and Government Assets” pada 26 Disember 2013, antara lain mengulas:

“Ini adalah pendedahan yang cukup mengejutkan kerana pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta-harta negara (melalui securitization of government mortgages) untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaannya.”

Pemilik blog itu menambah:

“Saya syak rancangan menjual aset negara ini telah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal. Ini bermakna, harta-harta negara ini telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara….” (Baca di sini).

Pendek kata, masalah kita sebenarnya tidak terhad kepada kesan-kesan negatif rasionalisasi subsidi sahaja. Ada banyak isu dan masalah lagi yang membimbangkan. Kita perlu terus bertanya, menegur dan mengkritik.

Tetapi kalau ada orang yang berasa itu salah kerana mereka terlalu sayangkan Perdana Menteri, saya rasa tidak perlulah kita bersusah payah mengadakan pilihan raya untuk memilih kerajaan. Kita hapuskan demokrasi dan lantik saja kerajaan yang ada sekarang  sebagai pemerintah seumur hidup. Habis cerita. Wallahuaklam.

Friday, December 24, 2010

Kisah Dua Syarikat Penerbangan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]


DULU memanglah kita boleh berbangga dengan Sistem Penerbangan Malaysia (Mas) sebagai “national carrier” atau penerbangan kebangsaan.

Walaupun pada masa itu ia tidak mempunyai pesaing, namun mutu perkhidmatannya, sama ada dari aspek layanan atau keluasan rangkaian, tidak boleh dipertikaikan.

Begitu juga dengan Sime Darby Berhad sebelum krisis kewangannya pada tahun 1999 yang melihat kemuflisan banknya, Sime Bank Berhad. Jadi, kerugian RM2 bilion yang dideritainya tahun lalu adalah ulang tayang kepada masalah pengurusan konglomerat milik Permodalan Nasional Berhad itu.

Kita tunggu dan perhatikan bagaimana saman ganti rugi Sime Darby ke atas lima bekas eksekutif kanannya serta kes rasuah ke atas seorang lagi bekas pengurusnya berkesudahan.

Buat masa ini saya tergerak menulis mengenai Mas setelah membaca dua rencana mengenai penerbangan awam – pertama berkaitan Ketua Eksekutif AirAsia, Tony Fernandez, dipilih “Businessman of the Year” oleh majalah Forbes Asia dan kedua mengenai statistik pergerakan penerbangan antarabangsa dalam majalah Flight International (FI).

Jelas daripada perangkaan FI bahawa kemunculan AirAsia di bawah pemilikan baru pada tahun 2001 telah membantu mempertahan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah daripada 22 buah negara di dunia yang mempunyai paling banyak pergerakan penerbangan antarabangsa.

Kalau kita ambil perangkaan 2008/09, kita akan dapati yang Mas menderita kejatuhan penumpang selama enam suku tahun berturut-turut antara 2008 dan suku pertama 2009 sedangkan AirAsia mencatatkan peningkatan penumpang yang berterusan pada kadar melebihi 20 peratus.

Menurut perangkaan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (International Civil Aviation Organisation/ICAO), Malaysia menduduki tempat ke-17 pada tahun 2009, tidak berganjak daripada tempoh 1974-79, dengan menguasai 1.46 peratus daripada pergerakan penerbangan awam dunia.

Mas Lwn AirAsia

SEPERTI kita maklum, Mas banyak memotong destinasi antarabangsanya sejak ia diambil balik oleh kerajaan pada tahun 2002. Dalam tempoh itu juga, banyak syarikat penerbangan antarabangsa memberhentikan perkhidmatan ke negara kita kerana krisis ekonomi dan kenaikan harga minyak.

Menurut “entry” dalam Wikipedia, sehingga Jun lalu, Mas terbang ke 57 destinasi antarabangsa setelah menutup lebih 30.

Justeru itu, adalah tidak memeranjatkan jika prestasi kewangan Mas yang diuar-uarkan sebagai semakin kukuh sebenarnya berpunca daripada penjimatan perbelanjaan dan bukan daripada peningkatan perniagaan.

Sebaliknya, AirAsia berkembang secara nyata sejak dijual kepada Tune Air Sdn. Bhd. pada tahun 2001. Misalnya, pada permulaan ia hanya mempunyai dua buah pesawat sendiri dan menyewa selebihnya. Ia beroperasi hanya dalam negara.

Tetapi sehingga 1 November lalu ia mempunyai 100 pesawat sendiri dan sewa dari jenis Airbus A320, A330, A340 dan Boeing 737. Ia terbang ke lebih 400 destinasi di 25 buah negara dan wilayah.

Selain Malaysia, AirAsia juga mempunyai anak syarikat yang beroperasi di Negeri Thai, Indonesia, Vietman dan Filipina serta memiliki operasi antarabangsa jarak jauh di bawah panji-panji AirAsia X.

Bagi Mas pula, sejak diambil balik oleh kerajaan, ia tidak lagi mempunyai pesawat sendiri. Semua pesawatnya diambil alih oleh Penerbangan Nasional Berhad pada tahun 2002. Untuk menjalankan operasi, Mas “menyewa” pesawat daripada Penerbangan Nasional. Penerbangan Nasional adalah syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad.

Dalam bahasa yang mudah, Mas beroperasi seperti seorang drebar teksi yang tidak ada teksi sendiri, tetapi menyewa teksi dari pihak ketiga.

Fleet Mas Semakin Tua

MAJORITI kapal terbang yang digunakan oleh Mas adalah fleet lama yang berasal dari zaman ia diswastakan, kecuali beberapa buah pesawat baru jenis Boeing 737-800.

Fleet Boeing 737-400 Mas adalah antara yang tertua di dunia. Ada yang masih menggunakan tandas pam sedangkan pesawat moden menggunakan tandas sedut (suction toilet).

Tetapi kita perlu akui bahawa fleet B737-400 Mas mempunyai rekod keselamatan dan penyelenggaraan yang cukup baik hasil kecekapan dan dedikasi para jurutera dan mekaniknya. Fleet AirAsia pula adalah antara yang termuda di dunia.

Inilah perbezaan antara Mas yang dimiliki kerajaan dan ditadbir oleh pengurus makan gaji dengan AirAsia yang dimiliki dan diurus oleh usahawan bebas.

Ini membawa kita kepada satu soal yang pahit yang kita terpaksa tanya: Adakah bermanfaat dan tepat kita terus memberi taraf “national carrier” (penerbangan kebangsaan) kepada Mas jika ia tidak lagi mampu mengibarkan panji-panji negara dengan cemerlang di luar negara?

Di bawah pemilikan swasta dulu, Mas terbang ke empat penjuru dunia – ke tempat-tempat seperti Newark (Amerika Syarikat), Mexico City, Zurich, Khaherah, Vancouver, Honolulu, Kuwait, Bahrain, Chengdu, Zagreb dan banyak lagi. Tetapi hari ini tidak lagi terbang ke destinasi-destinasi ini.

Jadi, perlukan kerajaan terus menanggung beban menyokong operasi Mas di saat-saat kerajaan sendiri sedang memikirkan penjualan sesetengah asetnya yang kini dipegang oleh Khazanah Nasional?

NOTA kaki: Pada tahun 1994, dalam percubaan menyelesaikan kedudukan kewangan Mas yang lemah dan mengatasi masalah kenaikan kos buruh dan faedah pinjaman serta keengganan peminjam terus memberi hutang, pemilik terbesar Mas iaitu Bank Negara menjual 32 peratus sahamnya Mas yang dimilikinya kepada Malaysia Helicopter Services Berhad yang dimiliki usahawan Tajudin Ramli.

Tajudin membeli saham-saham Mas pada harga yang lebih tinggi daripada yang diniagakan di Bursa Malaysia bagi mengelakkan Bank Negara daripada menanggung kerugian. Kerajaan terus “mengawal” Mas melalui seunit Saham Emas (golden share) yang dipegangnya. Saham itu memberikannya kuasa veto ke atas keputusan Lembaga Pengarah Mas.

Penswastaan Mas berlaku serentak dengan globalisasi ekonomi Malaysia dan peningkatan kegiatan diplomasi Malaysia yang memerlukan Mas membeli lebih banyak pesawat baru untuk terbang ke lebih banyak destinasi antarabangsa.

Ini berlainan sekali dengan keadaan selepas Mas diambil balik oleh kerajaan dan ditadbir oleh pengurus makan gaji di mana ia memotong banyak destinasi antarabangsa dan menjual pesawat-pesawatnya kepada Khazanah Nasional Berhad.

Saya tidak akan membuat kesimpulan mutakhir mengenai Mas. Saya serahkan kepada para pembahas dan pembaca untuk berbincang dan memberi pendapat.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).