Friday, September 22, 2006

Etong dan Ekeau Politik Moden

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan “anonymous” tidak akan dilayan. Penting! Bagi memastikan laman ini "current" dan tidak tersangkut (hang), sila klik "refresh" dari semasa ke semasa.]

TERIMA kasih kerana menyertai perbincangan kita mengenai kecenderungan sesetengah pemimpin, khasnya dalam Umno dan Barisan Nasional, bercakap hal-hal remeh-temeh, lucu dan tidak masuk akal.

Sebelum kita bercakap lebih panjang mengenainya, saya ingin mengambil maklum jawapan balas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, terhadap fitnah dan hasutan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengenai kedudukan orang keturunan Cina di Malaysia dan Indonesia.

Buat seketika saya bimbang tiada siapa di kalangan pemimpin kita akan bertindak balas terhadap perbuatan jahat Lee Kuan Yew menuduh Malaysia dan Indonesia “meminggirkan rakyat keturunan Cina secara sistematik.”

Saya tidak akan mengucapkan terima kasih atau tahniah kepada Najib kerana mempertahankan kedaulatan dan maruah negara adalah kewajipan. Najib sekadar memenuhi syarat itu sebagai pemimpin yang kita pilih.

Kembali kepada kecenderungan sesetengah orang berkedudukan pemimpin mengeluarkan kenyataan dan hujah yang menghina minda kita, apa yang diperhatikan adalah perbuatan mereka mendapat liputan yang luas dan utama daripada akhbar, televisyen dan radio.

Malah seolah-olah sudah menjadi dasar dan amalan media massa arus perdana pada akhir-akhir ini memberi ruang yang luas dan menonjol kepada kenyataan dan tindakan yang luar biasa ini.

Ada beberapa kemungkinan mengapa berita-berita remeh-temeh, lucu dan aneh ini diutamakan. Antaranya adalah:-

1. Ia selari selera semasa yang dikatakan lebih mirip kepada berita dan bahan sensasi;

2. Media massa, dengan kepemimpinan dan pemilikan baru, semakin tertekan untuk melaksanakan fungsi perniagaan sehingga terpaksa mengorbankan fungsi asal media massa iaitu memaklum, mendidik dan menghibur. Hari ini aspek menghibur menjadi begitu utama;

3. Kepemimpinan baru media massa lebih mirip kepada unsur-unsur sensasi dan remeh-temeh kerana mereka tidak terlatih di dalam pemberitaan serius, beranalisis dan kritikal;

4. Lebih mudah dan selamat menyiarkan hal-hal remeh–temeh, lucu dan sensasi daripada berita-berita serius, beranalisis dan kritikal;

5. Pihak-pihak yang menguasai media massa sendiri lebih suka jika berita-berita remeh-temeh, lucu dan sensasi diutamakan kerana berita-berita sedemikian tidak mempunyai implikasi yang serius atau rumit untuk ditangani; dan

6. Berita, ulasan dan analisis mengenai isu-isu serius boleh mencetuskan pelbagai implikasi yang mungkin sukar untuk ditangani oleh pihak-pihak yang terbabit, khasnya pemerintah.

Seperkara lagi, adalah kebiasaan bagi wartawan memilih isu atau soalan yang sesuai untuk dikemukakan kepada pemimpin tertentu berasaskan pengalaman mereka membuat liputan aktiviti pemimpin itu.

Misalnya, mereka tidak akan bertanya soalan-soalan rumit yang memerlukan jawapan yang terperinci kepada seseorang yang diketahui tidak mampu menjawab soalan-soalan sedemikian.

Jadi, kepada sumber berita seperti itu mereka akan bertanya soalan-soalan yang mudah dan umum. Misalnya mengenai kemalangan jalan raya.

Kepada sumber sedemikian mereka tidak akan bertanya soalan-soalan yang sukar, seperti apa falsafah penyertaan tentera kita dalam Pasukan Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon – adakah untuk melindungi Lebanon daripada dicerobohi Israel atau menyekat Hisbullah daripada memperjuangkan hak rakyat Palestin?

Atau mengenai mengapa prestasi ekonomi dan Bursa Saham Malaysia mengecewakan berbanding China, India, Pakistan, Indonesia dan Negeri Thai?

(Antara 30 Disember tahun lalu hingga 6 September tahun ini, Bursa Malaysia meningkat hanya 6.3 peratus berbanding China 44 peratus, Hong Kong 16 peratus, India 27 peratus, Indonesia 26.7 peratus, Filipina 14.3 peratus dan Singapura 7.6 peratus.)

Kita tidak boleh salahkan wartawan semata-mata jika mereka bertanya dan melaporkan perkara-perkara remeh-temeh, lucu, dangkal, nakal dan tidak masuk akal.

Mereka perlu menghasilkan berita. Tiada guna mereka bertanya soalan-soalan yang cerdik, bernas dan intelektual jika orang yang ditanya tidak mampu menjawabnya.

Daripada pulang dengan tangan kosong dan dimarahi Pengarang Berita (News Editor) adalah lebih baik dan selamat pulang dengan berita remeh-temeh, lucu dan luar biasa (bizarre).

Melihat aliran atau trend pemberitaan media massa hari ini, timbul tanda tanya apakah penyiaran berita-berita remeh-temeh, lucu dan luar biasa ini disengajakan atas sebab-sebab tertentu?

Antaranya supaya tidak timbul tekanan ke atas pemimpin tertentu untuk membuat kenyataan yang serius dan bernas kerana mereka memang tidak mempunyai kemampuan intelektual untuk berbuat demikian atau kerana penasihat-penasihat muda remaja mereka tidak mahu mereka bercakap perkara-perkara yang boleh mencetus masalah atau kontroversi.

Jadi salah satu cara yang mudah dan selamat ialah dengan melaksanakan proses merendahkan tahap pemikiran dan minda supaya ketidakmampuan pemimpin-pemimpin berkenaan tidak menjadi begitu ketara.

Kesimpulan ini mungkin terlalu sinis dan menghina untuk diterima umum tetapi ia pernah berlaku sebelum ini kepada seorang bekas anggota Kabinet yang kenyataannya menjadi bahan jenaka di kalangan wartawan.

Dia gemar mengumumkan peruntukan segara “berjota-jota ringgit” yang sebenarnya tidak wujud. Bukan tujuannya berdusta, tetapi itu stail beliau apabila berucap kepada orang ramai, khasnya di luar bandar.

“Jota-jota” menjadi “trademark” beliau dan wartawan menggemarinya kerana itulah maklumat yang paling selamat yang boleh mereka harapkan daripada beliau.

Namun berita-berita remeh-temeh, lucu dan luar biasa seperti cadangan menukar simbol Umno kerana dikatakan tidak serasi, menjadikan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri pelantikan sampai mati dan menyamakan sikap seseorang yang kritikal dengan iblis, beruk dan kera tidak boleh dipandang ringan.

Adalah dikhuatiri bahawa hujah-hujah sebegini mungkin mencerminkan kemuflisan idea dan kedangkalan pemikiran kelas pemerintah kita yang tentunya sangat berbahaya bagi negara dan rakyat jelata.

Justeru itu, marilah kita berdoa dan berusaha agar kenyataan remeh-temeh, lucu dan dangkal ini tidak lebih daripada percubaan untuk menghibur hati yang lara – comic break – akibat isu-isu yang lebih rumit yang masih belum terurai seperti ekonomi, guna tenaga (employment), inflasi, jenayah dan sebagainya.

Dalam persembahan wayang kulit di Utara Semenanjung Malaysia ketika saya kanak-kanak dulu, dua watak akan muncul untuk meleraikan suasana genting dengan cerita-cerita lucu, jenaka dan peran. Mereka adalah Etong dan Ekeau.

Mereka pasti membuatkan kita ketawa sehingga terlupa duka nestapa walaupun untuk seketika. Nampaknya, dalam dunia moden dan canggih hari ini pun, arena politik kita masih memberi tempat dan pangkat kepada Etong dan Ekeau.

27 comments:

Anonymous said...

BERDEPAN RISIKO DEMI BANGSA, AGAMA DAN NEGARA

Assalamualaikum w.r.t. dan selamat sejahtera.

Saya pohon kemaafan terlebih dahulu sekiranya ulasan yang saya berikan di bawah tidak begitu berkait dengan topik perbincangan semasa di laman web ini.

Izinkan saya memulakan ulasan ini dengan mengatakan bahawa Melayu adalah bangsa yang lemah dan mundur. Jika dilihat daripada keadaan hari ini dengan pelbagai bukti yang nyata, ini adalah suatu fakta dan realiti yang tidak dapat disangkal lagi. Walaupun telah diberi pelbagai bantuan untuk memperbaiki diri, mereka tetap memilih untuk merosakkan diri dengan menyalahgunakan bantuan yang diberi. Oleh sebab kelemahan Melayu inilah, keperluan mendapatkan pemimpin yang bijak dan kuat amatlah mendesak. Melayu tidak boleh berdiri sendiri tanpa pemimpin yang kuat untuk memandunya. Melayu bukan seperti bangsa Cina, Jepun, Jerman atau Korea yang boleh berdiri sendiri tanpa pergantungan keterlaluan kepada pemimpin mereka. Pemimpin yang bijak dan kuat sedikit sebanyak dapat merangsang dan mendorong bangsanya untuk melakukan penghijrahan minda, budaya dan sikap kepada sesuatu yang lebih positif. Sewajarnya, tidak ada ruang langsung untuk Melayu dipimpin oleh pemimpin yang lembap, jahil dan lemah pada ketika ini sekiranya Melayu tidak mahu terus ketinggalan.

Di Malaysia, pemimpin di peringkat Kerajaan adalah juga pemimpin parti politik yang memenangi pilihan raya. Setiap parti politik ini masing-masing mempunyai matlamat perjuangannya yang berbeza-beza. Pemimpin parti-parti ini seharusnya menjadikan matlamat perjuangan parti sebagai matlamat perjuangan peribadi mereka juga. Pemimpin tidak boleh sesuka hati menukar matlamat perjuangan parti dengan matlamat peribadi mereka jika matlamat parti dan peribadi berlainan. Dengan kata lain, parti yang menguasai pemimpin, bukannya pemimpin yang menguasai parti. Pemimpin yang sewajibnya tertakluk kepada perubahan matlamat peribadinya supaya seiring dengan matlamat perjuangan parti, bukannya parti yang tertakluk kepada perubahan matlamat perjuangan asalnya supaya seiring dengan matlamat peribadi pemimpin. Namun, pada hari ini, apa yang berlaku kepada parti pemerintah adalah sebaliknya. Pemimpin menguasai parti, bukannya parti menguasai pemimpin. Akibatnya, sokongan membabi buta diberikan kepada pemimpin walaupun pemimpin itu tidak lagi menjunjung matlamat asal perjuangan parti. Kebanyakan orang Melayu yang menganggotai parti pemerintah, bukan untuk mendukung matlamat asal perjuangan parti, tetapi untuk mendapat sesuatu daripada parti. Begitulah realitinya dan ini amatlah sedih sekali.

Ada yang berhujah bahawa parti politik pemerintah yang tercemar sekarang adalah sama juga dengan parti pembangkang yang hanya pandai bercakap sahaja. Dua kali lima, dakwa mereka. Jika benar kedua-duanya sama, maka layanan yang sama dan adil perlu diberi kepada mereka. Jika satu parti pernah diberi keistimewaan untuk mentadbir Negara, kenapa parti yang satu lagi tidak boleh diberi keistimewaan yang sama. Kedua-dua parti ini berakarumbikan Melayu, dan Melayu sebagai induk kepada kedua-duanya, perlulah adil. Anak yang terlalu dimanjakan boleh memijak kepala ibunya, dan untuk memperbetulkan keadaan ini, anak itu perlu ditegur, diajar malah dihukum dan ini termasuklah menarik balik keistimewaan yang diberi kepada si anak itu dan memberikannya kepada anak yang lain. Dengan cara itu, mungkin si anak yang kurang ajar ini insaf dan cuba berubah serta memperbaiki dirinya sebelum keistimewaan itu boleh diberi kembali. Namun, jika anak ini berdegil, biarlah dia menghancurkan dirinya sendiri asalkan ia tidak mengheret sama ibu dan adik-beradiknya yang lain kepada kehancuran. Kepada si anak yang satu lagi ini, si ibu bolehlah mengambil iktibar dan pengajaran daripada episod dengan anaknya yang kurang ajar tadi dengan mendidik si anak yang belum pernah dimanjakan itu supaya berhati-hati dan tidak menyalahgunakan keistimewaan yang diberi. Tiada niat saya untuk berkempen bagi mana-mana pihak. Saya cuma ingin menegaskan bahawa orang Melayu perlu berani dan sanggup menghadapi risiko di atas keputusan yang dibuat. Yang paling penting ialah apa saja keputusan yang diambil itu adalah demi kepentingan bangsa, agama dan Negara, tidak kiralah seberapa besar risiko yang perlu orang Melayu tanggung.

Sekian, terima kasih.

Selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak dan selamat berpuasa.

Unknown said...

Saya fikir terdapat satu gerakan untuk memusnahkan generasi kepimpinan UMNO yang sedia ada untuk memberi ruang kepada beberapa kerat anak muda yang sedang ghairah menyusun langkah untuk mendaki puncak kuasa.

Dengan kata lain, untuk menunjukkan anak-anak muda ini bijak dan pandai, maka media masa terutama yang dikuasai Presiden UMNO akan membesarkan perkara-perkara remeh yang mungkin jenaka atau sindiran warung kopi. Ia dijadikan berita utama dengan tujuan menunjukkan :

"kalau tiada akar rotan pun berguna. Kalau tiada kuda, kaldai pun boleh berkhidmat."

Dengan menunjukkan barisan kepimpinan UMNO (tidak termasuk Pak lah) sebagai lebih bodoh dari kaldai, maka anak-anak muda yang menguasai tingkat 4 merupakan kaldai yang berguna.

Anonymous said...

Dear Dato' AKJ;

Are you saying that this process of dumbing-down of the population by the mass media is intentionally done by the smart journalists/editors or unintentionally done by dumb journalists/editors to hide the dumbness of the current leaders? Thats pretty smart of you Dato'.

If i were Paklah, Kalimullah n Hishamuddin, Shahidan, Adnan,half of the cabinet with Nazri at the forefront,and half of MPs led by Ben Yusof , i would feel hurt, insulted and offended and would claim that i didnt eat the chilli but still feel the hotness in general...

Now, lets see what can be said about Pak Lah in that context as the buck stop there, so to speak. He has said that he wasnt the brightest spark; that his intention was unquestionably noble; that he has his own style that required more of our patience; that his son's wealth was due to son's business acumen with no help from him; that his son-in-law's political prowess was due to his oxford education; and RMK9 was end-all economics woes of the people. Or something like that. Thus, i forgive him until the next election.

I mean, what else can you say when someone who has been in the cabinet for about 30 years, the only one that got 15 months advance notice to prepare for highest office, and yet after more than half term occupying that office still think that he is in warming-up mode.

At the same time, im not really sure that watching the fantasy wedding or fiance-fiancee spate live on tv, convoy of non-racing mat rempit; or front paging remarks of some intellectual-challenged leaders;or becoming choir-voice to TM and putting him as the champion of free speech, hero of anti corruption- cronysm-nepotism, and ultimate fighter for democracy and civil society should be considered as dumbing-down process or comic relief or maybe something else.

Anonymous said...

Malays Would Rather Have Pleasure Than Pressure?

Di mana boleh cari ramai Melayu
Bukan saja di Kelantan dan Trengganu
Mereka ramai di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Juara Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini dipenjara Pudu
Juga di jalanraya, lumba haram tak pasang lampu
Bila ada selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu
Itu hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Atau filem Hindustan dan telugu
Orang lain jogging berpusu-pusu
Tapi melayu tidok sampai pukul satu
Kalau nak berlagak melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu
Payah nak jumpa orang melayu di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Tapi bila jadi ketua..
Tak pandai pun mengaku semua tahu!
Yang jadi menteri pun macam tak cukup ilmu

Dan suka sangat dengan budaya mengampu

Yang promosikan jom heboh dan juara lagu..
Mereka pun melayu!
Sampai bila kita nak tunggu
Entah bila melayu akan benar-benar maju
Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Dan tak takut, bila salah terus mengaku
Kata nabi ikutlah al Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dulu
tapi apakah yang kita tahu, cuma baca nak halau hantu!

Anonymous said...

Rasanya tidak perlu kita buat analisa yang terlalu jauh mengenai sikap media yang gemar memaparkan berita-berita ringan. Betul laha agaknya tanggapan mereka yang orang suka membaca berita seperti itu, tetapi ini tidak bermakna ia tepat. Ada ruangan televisyen yang serius tetapi orang suka menontonnya seperti discovery channel, tidak semestinya berita mengenai Mawi-Ina, Siti-Dato' K. Sebenarnya Dato', editor-editor yang memilih berita seperti ini adalah editor half past six. Mungkin editor-editor mengharapkan setiap hari ada artis bercerai, artis kena khalwat, bercakaran dan menarik rambut, bergigit-gitan dan sebagainya. Sekarang editor pun sama naik glamour dengan artis. Editor bermain bola, futsal dengan artis. Artis dibawa ke majlis yang dianjurkan oleh media untuk menarik pengunjung melancarkan kempen anti dadah, umpamanyalah. Editor hari ini dianggap sebagai perosak generasi bangsa Melayu jika mereka editor akhbar Melayu. Merekalah yang mendorong anak-anak meminati berita-berita hiburan. Walaupun ada buat berita lain seperti pelajaran dan lain-lain, ia bukanlah sesuatu yang dominan yang cuba ditonjolkan oleh media hari ini. Mereka tahu ruangan pelajaran tidak boleh menarik pembeli. Dalam fikiran mereka, berita hiburan lah yang membantu mereka menaikkan jualan. Kalau wartawan gagal mendapatkan sesuatu berita penting, tidak mengapa dan tidak akan didenda, tetapi jangan gagal mendapatkan berita hiburan sensasi yang diperolehi oleh saingan...silap-silap haribulan kena buang kerja. Begitulah pentingnya berita hiburan pada pandangan editor-editor media hari ini. Alamat rosaklah bangsa kita.

Anonymous said...

Dato AKJ,

Saya bersetuju dengan tuan apabila tuan menyeru agar pembahas pelawat tidak menggunakan kata nista dan cacimaki di laman ini. Namun apabila tuan menyarankan agar para pembahas tidak menyarankan si anu dan si anu untuk meletak jawatan atau meminta yang sudah bersara untuk kembali bekerja, pendapat kita berdua nyata sekali bercanggah.

Mengapa tidak boleh disarankan si anu itu atau si anu ini untuk meletak jawatan? Atau mecadangkan untuk yang bersara kembali bekerja? Pak Lah kata mahu telus makanya sebagai seorang rakyat yang sedang 'menangis' ketika ini melihat masa depan negaranya yang bagai ditekan butang 'freeze' maka saya berhak untuk melaksanakan ketelusan yang dilaung-laungkan oleh Pak Lah. Pak Lah kata bekerja bersama saya dan bukannya untuk saya makanya wajar sekali Pak Lah menganggap segala kritikan, pandangan sebagai ubat-ubat pahis yang manis kerana ia memberi Pak Lah 'panduan' bagaimana mentadbir negara ini sebagai Perdana Menteri dan bukannya 'saya Perdana Menteri.'

Baik Pak Lah berjaga-jaga, jangan terpukau dek mainan kata dan gambar media-media perdana. Dr. Mahathir negarawan berjasa sedang melaluinya...Pak Lah juga tidak mungkin akan terselamat dari permainan wayang kulit media ini.

Kudus dari saya, saya sayangkan Malaysia lebih dari saya sayangkan Pak Lah. Mengertilah...

xyy said...

MEDIA, BERBEDAKAH ANTARA MAHATHIR DAN ABDULLAH?

Saya sebagai rakyat umum berpendapat, kredibiliti media sekarang tidaklah jauh berbeda dari masa pemerintah TDM. Pandangan saya bertitik tolak dari ruang lingkup yang diberi oleh media kepada pengkritik-pengkritik kerajaan.

Ketika ini,heboh diperkatakan bahawa TDM tidak diberi ruang untuk menyatakan pandangannya di ruang-ruang surat khabar. Hanya kerana kini TDM dilihat sebagai pengkritik yang keras terhadap dasar-dasar kerajaan.

Apakah kita mudah lupa, ketika TDM di kerusi Perdana Menteri adakah suara pengkritik-pengkritiknya di ruang-ruang media massa?

Sudah pastinya untuk mengalihkan tumpuan umum dari ketegangan politik yang melanda dalam negara, berita-berita sensasi seperti perkahwinan Siti-Datuk K, putus tunang Mawi-Ina dihidangkan untuk santapan umum. Ini yang kita hadapi sekarang.

Tidak lama dulu, kita dihidangkan oleh sekumpulan kecil manusia yang bercita-cita memerangi Yang DiPertuan Agong. Masih ingat?

Anonymous said...

Salam Ramadhan buat Dato dan peserta blog,

Media massa hari ini tidak lagi mendokong agenda rakyat. Mereka yang menguasai Media massa hari ini mengejar kekayaan, gelaran dan pangkat, kedudukan dan glamour. Ramai pengamal media hari ini yang suka gambar mereka keluar dalam akhbar mereka; ada juga ketua eksekutif yang sering dimuatkan dalam kaca tv, seolah-olah mereka adalah selebriti yang hebat lagi penuh glamour. Apabila mereka menumpukan lebih perhatian kepada usaha2 seperti di atas, maka hilanglah kawalan mutu mereka terhadap apa yang dihidang dalam dada akhbar masing2 dan di layar tv.

Yang paling jelas, dan yang paling menakutkan ialah - mereka sudah tidak lagi mempunyai idelogi dalam melaksanakan tugas dan tanggongjawab mereka. Jika mereka masih ada idelogi, pengarang setahun jagong seperti mereka yang bergelar Dato tidak akan merelakan diri dan intelek mereka tercemar seperti hari ini. Pemerhati media di kampus sepatutnya mengajak penuntut mass comm membuat kajian mendalam dalam hal ini. Jika seorang nakhoda pertubuhan media sudah tidak ada idelogi lagi, maka pertubuhannya akan hilang kredibiliti dan lambat laun, akan juga hilang jualan dan pengaruh.

Sebuah pertubuhan media, contohnya akhbar harian, atau majalah bulanan, ialah satu bahan intelek. Ia juga satu bahan komersil. Oleh kerana ia adalah satu bahan intelek, maka kandungannya juga mencerminkan intelek pemilik atau pengarangnya. Dalam lain perkataan, rendah dan remeh mutu kandongannya, maka serendah itulah intelek penerajunya dan seremeh itu jugalah pendekatannya!

Bagi mereka yang menganut teori konspirasi, ada juga hujah2 yang membuktikan bahawa semua ini adalah permainan pihak2 tertentu untuk memburuk dan melemahkan orang Melayu. Hanya orang Melayu yang gemarkan cerita2 karut; cerita2 anih; cerita2 buruk anak Melayu; cerita2 pesta jualan di sana sini!

Sesetengah pengamal media arus perdana hari ini berhadapan dengan satu dilema - sejauh mana mereka mahu membodek si polan bin si polan, terutama jika si polan itu orang dari keluarga berpengaruh dan boleh menentukan jatuh bangun seorang pengarang kanan, umpamanya. Ada juga pengamal media yang tidak langsung menulis rencana atau kolum, walaupun mereka bergelar pengarang kumpulan atau setaraf dengannya. Adapun yang menulis lebih gemar menulis hal-hal remeh seperti hal keluarga dan sebagainya.

Seperkara lagi yang mungkin berlaku hari ini ialah ketiadaan cukup minat di kalangan wartawan untuk benar2 menjadi juara atau suara kepada rintihan rakyat. Bayangkan betapa wartawan2 kanan tidak lagi berlumba2 mahu membuat liputan terhadap pemimpin kanan negara. Wartawan2 yang satu ketika dahulu dilihat sebagai berani menyuarakan soalan panas seperti Dato Azman Ujang dari Bernama sudah letih dan lesu, atau dapat dijinakkan dan tidak lagi turun padang dengan matapena dan lidah yang tajam. Datok Manja dari Berita Harian pun sama. Kalau dulu berani mengutarakan soalan kepada Tun M, hari ini Manja lebih gemar bergambar dengan artis dan bermain futsal. Sesiapa yang ada kenalan dalam dunia media akan dapat cukup contoh untuk membuktikan ketepatan kesimpulan yang saya buat ini. Bagi Dato Hishamudin Aun, beliau datang dari aliran kewartawanan sukan dan tidak mendapat cukup pendedahan dalam kewartawanan yang lebih sirius dan mencabar. Di Utusan Malaysia pula, Dato Khalid sudah menggantung matapenanya dan enggan menulis kolumnya yang sangat popular di satu masa dulu.

Sebenarnya, bukan tak ada bahan sirius untuk dijadikan berita. Misalnya, mengapa tidak dibuat analisa mendalam tentang kekurangan gula pasir di pasaran; mengapa harga ayam naik sebegitu tinggi hari ini; bagaimana soalan UPSR boleh bocor sedangkan hal ini bukan kali pertama berlaku; mengapa tidak didedahkan betapa pemimpin kanan kerap sampai lambat di majlis2 tertentu; mengapa ada yang tidor ketika bertugas dan sebagainya...

Saya fikir media massa arus perdana sudah membuat membuat pilihan - tulis saja yang mudah dan pergi jahanam kepada agenda rakyat, bangsa dan negara!

penganggurpaksa said...

KERAJAAN IGNORANT !

Datuk,

Selamat Berpuasa diucapkan dan juga kepada semua yang akan menunaikan ibadat puasa…

Saya 100% bersetuju dgn isu Datuk, sekarang ini dunia hiburan menjadi agenda utama kerajaan untuk melalaikan rakyat…sungguh mereka taksub dengan hiburan sampaikan ianya menjadi “muka depan” didalam akhbar arus perdana…Kalau diteliti betul-betul, setiap hari ruangan hiburan disajikan dengan berita panas, sensasi dan terkini, sedangkan berita semasa tidak begitu menarik perhatian golongan intelek….lebih baik mereka baca blog…bekerja juga minda kita…

Dulu semasa zaman TDM, Abah saya melanggan semua akhbar perdana Melayu dan Inggeris, kerana berita-berita yang disampaikan ada “own identity”. Tapi sekarang samada beli satu sahaja suratkhabar atau baca ikut Internet. Sama sahaja. Tak perlu bazir banyak2 kertas. Bukan ada isu penting pun. “There’s no spark” that’s what he said.

Dahulu, bagi mereka yang suka membaca akhbar, ia adalah seperti nasi kepada minda. Sehinggakan keratan akhbar pun akan disimpan untuk kenangan bagi mereka yang betul-betul menghargai sesebuah penulisan itu.

Tapi sekarang, nak jadi penjamu mata dan selera untuk bungkus nasi lemak pun, mungkin nasi menangis. Sebab itu jugalah, kebanyakan penjual nasi lemak zaman AAB dah tak pakai suratkhabar bungkus nasi lemak – guna kertas/pembungkus mahal.

Melalui pemerhatian saya di kedai mamak menjual akhbar, suratkhabar yang paling cepat habis sekarang ialah The Star. Akhbar lain kurang mendapat sambutan. Kebanyakan peniaga yang ditanya pun sudah mula merungut.

Situasi ini juga mungkin boleh menaikkan kos nasi lemak. Sebab mereka terpaksa menggunakan kertas minyak atau polisterine oleh kerana kekurangan “source” untuk mendapatkan “paper lama”.

Secara tidak langsung, akhbar tidak menolong bangsa peniaga bawahan sama sekali dan tidak menolong rakyat. Jadi kalau nak ikut teori “cycle of newspapers” masa kini, dah memang kurang sambutanlah sampai dah kekurangan “source” untuk digunakan sebagai pembungkus nasi lemak. Bukan sahaja minda kita yang reject….nasi lemak pun reject!

Mungkin pemikiran mereka yang bergiat didalam industri akhbar, tidak pernah sampai ketahap pemikiran“economic cycle” saya ini. Tetapi saya pasti ada kebenarannya.

Apek bawa lori “old newspaper” pun sampai habis minyak empat lima kali pusing satu taman, nak mencari paper lama. Dapat lah jugak habuan untuk mereka menjengkal akhbar bahasa cina, majalah dan sedikit The Star. Inilah rungutan dari kelas bawahan yang mungkin kerajaan tak nampak!

Mungkin jika perkara ini berlanjutan, boleh tukar profesionlah segelintir peniaga kita!!

Jadi, didalam diam, akhbar bukan sahaja memainkan peranan penting dari segi memberikan fakta intelektual, terkini, meluas dan membina. Ia juga menjadi alat penting didalam penjanaan ekonomi bagi kelas bawahan. Jika tiada sesiapa yang hendak membeli akhbar, kos peniaga akan naik, sekaligus menaikkan “cost of living” masyarakat.

Bak sindiran parti Pas “ Satu Lagi projek Kerajaan Barisan Nasional”.

Saya cuma bersuara sebagai pemikir. Sekian.

Andin Salleh said...

Saya mengharapkan rakyat akan menolak pemimpin yang mengeluarkan pendapat yang "lucu" dan kelihatan tidak munasabah itu.

Akan tetapi, apabila media massa dipenuhi oleh berita dan rencana hiburan yang hanya akan melekakan dan menghayalkan dan tidak membina pemikiran dan sikap kritis, saya pun tidak pasti adakah rakyat akan menyedari "kebohohan" pemimnpin mereka itu?

Sekarang agaknya kita terperangkap dalam satu keadaan yang kita tidak puas hati, tapi tidak tahu jalan keluarnya.

Anonymous said...

Kebebasan bersuara itu apa maknanya? Apakah kebebasan menulis dalam blogger atau internet WWW itu bebas namanya?
Secara ikhlas, bagi saya cukup mudah. Sesiapa sahaja bersuara menongkah menentang arus kerajaan,maka kebebasan itu mestilah disempit-sempitkan. Keadaaan ini sama sahaja baik masa zaman TDM mahupun zaman AAB sekarang. Tiada banyak bezanya--mengikut acuan dan strategi yang sama!

Pada zaman TDM, kemuncak kes AI tahun 1998, suara-suara yang bukan menentang tetapi cuma tidak bersetuju dengan kerajaan hanya ada dalam www, bukannya diarus akhbar perdana. Maka padamasa itu, AI kata tiada kebebasan bersuara.

Pada zaman AAB, kemuncak kemelut AAB dengan TDM, suara-suara yang bukan menentang tetapi cuma tidak bersetuju dengan kerajaan juga hanya ada dalam www + blog, bukannya diarus akhbar perdana. Maka padamasa ini, TDM kata tiada kebebasan bersuara.

Berdasarkan senario itu, kebebasan menulis apa sahaja dalam WWW + blog sememangnya bebas tetapi amat terhad kepada satu golongan yang teramat kecil peratusannya, bukan kepada semua genap lapisan masyarakat di segenap penjuru tanahair. Peratusan yang amat kecil ini terdiri dari professional,akedemik, cendikiawan, wartawan tulen yang suka membaca dan berfikir yang mana pengetahuan mereka ini tidak dapat membantu menyebarkan maklumat tepat dan terkini kepada rakyat terutamanya mereka di kampung-kampung dan pedalaman yang merupakan pengundi tetap dan setia.

Dan Bagi AI dan TDM yang "menentang arus" itu, apabila suara mereka dibentangkan diakhbar arus perdana sama sepertinya dibentangkan ketika mereka berkuasa, itulah makna sebenar KEBEBASAN BERSUARA.

Dan sememangnya, apabila berkuasa, segala perkara yang diucapkan mahu sahaja dimuatkan dalam akhbar arus perdana, kalau ucapan itu tak bagus dimintanya editor-editor membaguskan ucapan/pendapat itu seperti pencemaran sungai, iblis, beruk, keris dan duit siling, jawatan MB/PM hingga masuk kubur dll. Kerana target group arus perdana ini adalah rakyat majoriti yang mudah ditariktolak haluannya (kerana tiada maklumat tepat) bukan kumpulan peratusan kecil diatas.

Anonymous said...

Di kalangan akhbar arus perdana Bahasa Melayu, semakin terasa betapa ruangan kolumnis khas untuk Ketua Pengarang seakan tidak menarik dan menjatuhkan martabat seorang Ketua Pengarang itu sendiri.....

Terasa betapa Ketua Pengarang sendiri sejak mutakhir ini adalah daripada golongan yang tidak kritikal, kosong idea, tidak banyak pengetahuan dan tidak pandai untuk mengaitkan pengetahuan silam, sejarah, rekod kejadian dan impak peristiwa lalu dengan keadaan semasa dan pelontaran hujah melangkaui dimensi semasa.
Kepada Ketua Pengarang akhbar berbahasa Melayu, tingkatkan tahap intelek akhbar anda dan janganlah nanti semuanya berunsurkan rencah tabliod semata mata......

Anonymous said...

Clark Gable of Pulau Duyong signing in:

Asmlkm Dato' and wishing everone selamat berpuasa.

Whats wrong with Malay? Billion dollar question,billions spent and no answers coming .
Here are some comparison of Malay groups within Nusantara.
In my lifetime,I saw Combodian Muslimrefugees came in '70s.They started doing business by selling clothes by foot.They bought bicycle to increase their capacity ,subsequently bike and van.
Recently in my District,Kemaman, I saw them doing business in Big supermarket and hiring local malay girl as their salesgirl.Not for long i believe they can upstage Chinese business people too in not too distant future.

The Acehnese in Chow Kit,they are the main traders now with chinese sidelined.

The Malay during Melaka Sultannate manage to do big business that drew people all over the world with no goverment support(the goverment then most likely leeched on them).They trade ,did business and exchange ideas with everyone that came to them.

The Malay in SriLanka,they are trader of considerable repute.All major hotels in Sri Lanka served halal food as they have to draw the people with economic strength.

The success story told has one thing in common.They are Malay and muslim.Thus Islam is not the shackle that stop us and neither were the malyness in us.

That leave us with the problem of Malay in Malaysia and at present time in particular.

A few of notable features of present Malay
1. We are feudelistic by nature.Bad leaders ,bad malay.Leaders who led with greed for self glory or wealth breed malay of equal nature.

2.Malay dare not venture alone to seek fortune or leadership.We have many Pak Turuts.The more adventurous one became leader regardless of their lack of intellectual capacity.Sometime those who can 'maki'became a leader because believing that he dare to be different,thus be a worthy leader .The handphone business totally dominated by Chinese youth because our youth dare not venture,
To be cont...Insyallah

Anonymous said...

Clark Gable ofPulau Duyong:

3. Though profess to be muslim ,the concept of Hijrah is totally alien to us.Even the literal concept, as perform by Prophet s.a.w. ,that is to move away for the betterment spiritually,financially etc is not heard of, much less understood.Thus malay clamour for the security of goverment employment although with less financial return.With the idea of hijrah ,the govermnt sent capable student oversea to learn and bring home the best of western civilization got to offer.Student went there with culture shock(this is fear to assimilate),therefore you find kg Kelantan,Kedah,Trg and Sarawak in Ohio America.They return with degrees and fellow student as wife(to reduce their culture shock they marry ),or the worse group became hippy ,wild lifestyle,drunkard and addicts.Thus billions spent yet we have no answer to our handicap that going to bring us lower and lower.

4.Maly of now lack in self believe thus inability to succeed.There is now a rampant attitude amongst malay contarctor to wait for contract from goverment(handout).With FDA with America all these would end..so goes all Malay contractors (from Class A to Z )bankrupt.All the money recieved and earned were used to buy big houses,kilos of gold for wife,big and fast cars for second,third and fourt wife and designers cloth for their kids.Money spent for R and D?,Marketing?Children good schooling? Helicopter ? Their wealth did not regenerate wealth but spent in one generation.

4. We tend to find easy way out ,a short term solution to every problem.If the contractor does not know how to do things as specified,rather than learn we prefer to subcontracted it to chinese.Excessive 'hiburan' (further 'diapikan 'by entertaiment media ),is an escapism of malay from their daily struggle.Given a choice of to sit and solve their financial problem and Academy fantasia they would rather opt for the route of escapism,hiburan.The worst is those who already secured as a worker with monthly salary(never be the boss which equate to problem!!)decided even that little pressure is too much to bear therefore need often revered 'hiburan' this include Mat Rempit culture.

This culture of merryment eg.main wau,main gasing,main burung and even lumba kura kura is so embedded in our culture that the present Akedemi Fantasi ,sure heboh is just a new version of said culture of merriment.Do we benefit from this? Ananda Krishnan made more money,Mawi idolised thus further propogating the cultures and increase the number of hopeful,Big chinese company use Mawi to sell their products to Malay and it goes on.

I ll try to talk about hantu and PHD in next posting...insyallah

Anonymous said...

Assalamualaikum Dato',

Sekadar ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kedatangan Ramadhan yang penuh berkat ini kepada Dato' sekeluarga serta pembaca yang beragama Islam.

Semoga kedatangan Ramadhan tahun ini membawa cahaya yang bersinar bagi kita semua dan negara Malaysia yang tercinta...amin.

Keredhaan Allah SWT yang dicari...

~ anak desa di kota.

Anonymous said...

assalamulaikum w.b.t. dan selamat sejahtera

ampun dan maaf lah kiranya ku harapkan dari dato' dan para blogger serta pembaca yang budiman.

seperti yang saudara/ri sedia maklumi akan rendahya mutu media arus perdana malaysia hari ini, ia boleh dinilai akan mutu para pendokong dan juak2nya yang kurang harga dirinya
bagi mereka perutlah jadi keutamaan
ilmu dan kebenaran jauh di lempar
kerana itulah sebenarnya yang telah diajar oleh kerajaan kita sejak berzaman
dari sistem persekolahan yang di tiru dari penjajah hinggalah segalanya pun turut ingin di tiru,
sedarkah kita?
mengapa kita hari ini baru becok mulut berbincang hal mahathir di sempitkan suaranya?
padahal dia pun serupa itu juga
mengapa tun semasa eranya tak pernah nak sedar diri bahawa kesan dan akibat kesilapan sesuatu itu akan dituai dalam masa yang mendatang
ternyata tun seorang yang tidak bertindak mengikut ilmu jua
maka sekarang rasalah olehmu wahai yang empunya angkara

tetapi,kami tetap akan mencanangkan kebenaran selagi terdaya selagi termampu walau di tendang ke lubang ISA kerna itulah nikm at manusia

cukuplah kita berbincang sesuatu yang tidak berguna, ajaklah anak2 kita rakan dan taulan bersama menegak kebenaran walau siapa pun dia yang akan memimpin

cukuplah kita menyokong sebuah kerajaan yang akan runtuh ini dayus sekali pemimpinnya itu

cukuplah kita mencari gemilang kalau nilai tidak terbilang jauh sekali dari cemerlang

akhir kata semoga tun akan insaf dan bersama kita semua memperjuangkan perjuangan yang tidak akan selesai ini melainkan mentari naik di sebelah barat atau seperti kata pepatah "seperti berjumpa buah si malakamo di telan mati emak di luah mati bapak" baru kita nak sedar diri!

mohd

sinbad said...

Dato,

NSTP Online memapar dengan jelas "Mahathir","rape","Siti Nurhaliza" sebagai "Graphic Presentation of the most searched news" di NSTP.

Apa motif mereka buat begini Dato?

Apakah kerana terlalu kurang ajar atau cubaan untuk melaga-lagakan orang Melayu?

Apa reaksi kerajaan?
Apa reaksi UMNO?

Jikalau sudah sampai kurang ajar macam ini pun tidak ditegur, saya khuatir berlaku perkara buruk nanti.

Berita dari gunung said...

KEBEBASAN. sebagaimana?

Dato,

Baru-baru ini YB Nazri Aziz, ketika mengumpan YB Karpal Singh menyebut tentang "mentor", dan menyatakan dewasa ini ada sedikit kebebasan bersuara, dan dulu ada sedikit "dictatorship".

Kemana pernyataan ini akan membawa kita?. Pengamatan saya menampakkan beberapa perkara yang kurang enak.

1. Dalam apa yang disebut bebas itu, teserlah kedangkalan setengah pemimpin ketika bersuara dan mengupas dan memberi pandangan.

2. Seakan mahu mengakui kurangnya, malahan hampir tiada langsung kawalan terhadap penterjemahan kebebasan itu, lalu menwujudkan keadaan yang sedikit berkecamuk.

Orang biasa semacam saya mahu juga bertanya, kerana di rumah pun macam sebuah negara kecil juga. Memang semua boleh bersuara, tapi tertib mahu ada dan dalam pada itu ada beberapa perkara tak boleh sentuh, dan tak boleh tanya. Peraturan tak bertulis!

Saya boleh memahami glamournya disebalik usaha mengumpul 50,000 mat "rempit". Glamour memang jelas!Kesan positif tak tau la. Entah la. Barangkali orang yang lebih dewasa dah lalui banyak perkara, tenguk macam-macam keadaan, kemalangan, keadaan huru hara, keadaan kelam kabut.

Sekadar melebarkan jangkaan, mungkin selepas ini kita berpeluang melihat:-

Perhimpunan 50,000 penagih dadah. Meminjam kata-kata chief PUTERA, mereka juga perlu didekati,

perhimpunan 50,000 polis
perhimpunan 50,000 askar
perhimpunan 50,000 petani
perhimpunan 50,000 nelayan
perhimpunan 50,000 peniaga
perhimpunan 50,000 pemandu
perhimpunan 50,000 guru
perhimpunan 50,000 penganggur
perhimpunan 50,000 pelajar.

Jika boleh saya ingin menyertai perhimpunan 50,000 penganggur untuk mendengar rintihan mereka secara direct.

Memanjangkan sedikit imaginasi, saya ingin menghimpun bukan 50,000 tetapi beberapa kerat pemimpin, dan membacakan dua perenggan dari kitab "Kenegaraan: Tanggungjawab dan Amanah"

Terima kasih. Selamat Berpuasa.

Anonymous said...

Y.Bhg Datuk

Selamat berpuasa.

Saya berpendapat lebih banyak berita berita sensasi serta yang remeh temeh, gosip, sukan dan hiburan itu disiarkan sebab ianya memenuhi selera kebanyakkan pembaca. Ramai yang pergi ke berita sukan terlebih dahulu.

Rata-rata pembaca terutamanya di kalangan orang Melayu kurang berminat dan tidak begitu ambil kisah tentang berita berita politik, ekonomi, agama dan lain-lain "hard stuff.". Tetapi kalau ada skandal-skandal yang melibatkan ahli politik atau pun orang kenamaan berebut-rebut hendak membacanya.

Yang berminat dengan berita-berita politik dan ekonomi pula lebih percaya kepada khabar-khabar angin dan mempersoalkan kesahihan liputan media massa arus perdana yang dianggap sebagai mata, telinga dan lidah kerajaan.

Akhirnya, ada masalah pokok. Rakyat Malaysia rata-rata kurang minat membaca (reading habit).

Anonymous said...

Yang Berbahagia Datuk,

Salam Ramadhan dan moga Datuk sentiasa diberkati ILahi dan sentiasa dimantapkan idea dan pemikiran untuk menjana pemikiran khalayak umum yang lain.....

Di Malaysia ini, penulisan A Kadir Jasin adalah penulisan yang PALING saya nantikan sejak saya dizaman sekolah dulu..... KOLUMNIS OTHER THOTS di NST suatu ketika dulu adalah antara penyebab saya minat untuk mendalami bahasa Inggeris dan membaca akhbar Inggeris.

Masuk di alam Universiti, saya mula membeli Malaysian Business dan ruangan Datuk Lah yang pertama sekalis aya baca dan telusuri.....

Selain A Kadir Jasin, hanya dua saja Melayu yang saya bagi KELAS PERTAMA (1st class mentality as a CHIEF EDITOR) iaitu Tan Sri Abdulah Kok Lanas, Datuk Johan Jaafar dan Datuk Zainuddin Maidin...

Minta maaf kata, saya begitu kecewa dengan mentaliti Ketua Pengarang NSTP yang mutakhir ini mahupun Ketua Pengarang Utusan.......... Kenapa ruangan mingguan mereka seolah olah taraf penulisan seorang wartawan bawahan sahaja?????????

A KADIR JASIN said...

Saudara/Saudari Human Book,

Terima kasih di atas komen sdra/sdri yang panjang lebar. Saya mengambil maklum hujah sdra/sdri.

Saya mohon maaf kerana tidak dapat menyiarkannya, setidak-tidaknya buat waktu ini, kerana saya khuatir ada fakta yang salah atau kurang tepat.

Misalnya hujah nombor satu sdra/sdri yang berbunyi: "Out of all the 5 major banks, only one bank is multi-racial, the rest are controlled by Malays".

I am very sure that there are more multi-racial banks. And it's certainly not correct to say that "the rest are controlled by Malays".

Public Bank Berhad and Hong Leong Bank Berhad are controlled by Tan Sri Teh Hong Piaw and Tan Sri Quek Leng Chan respectively.

Malayan Banking and Bumiputra-Commerce are controlled by PNB and Khazanah respectively. PNB and Khazanah belong to all Malaysians.

RHB is controlled by EPF and Tabung Wang Pencen. Again they are national entities and not Malay enteties.
Only AmBank and Eon Bank may be owned by Bumiputeras.

Thank you.

Anonymous said...

Dato'
Saya cadangkan kepada Dato' supaya menulis surat/nasihat ikhlas/kritikan membina secara baik dan berhemah tinggi kepada rakan-rakan penulis/wartawan Dato' khususnya ketua-ketua editor supaya lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam menjanakan kecemerlangan minda para pembaca. Mereka semua itu adalah rakan-rakan Dato' yang pernah berjuang bersama-sama suatu masa dulu. Jadi, saya yakin mereka boleh terima dengan hati terbuka (Dato' lebih mengetahui dan sedia maklum) Berbezanya sekarang adalah "berlainan kapal". Perbezaan pendapat itu adalah satu lumrah hidup bahkan merupakan suatu sifat istimewa bagi mereka yang bernama manusia.

Dalam blog ini juga ramai pendebat mengutuk hebat AAB. Sesungguhnya, Dato' jauh lebih mengenali AAB berbanding dengan pendebat-pendebat disini. Mungkin ada baiknya kalau Dato' mengimbas kembali akan kebaikan,keistimewaan,kekuatan dan apa saja yang baik tentang AAB. Apakah semua nilai-nilai tersebut sudah hitam berkarat di hati AAB sekarang?

Sophie said...

very insightful although i dont quite understand everything because my bahasa malaysia aint tt good.

Anonymous said...

salam Ramadhan untuk semua, dan khususnya untuk Dato' yang saya sangat hormati.

melayu memang berhemah, bila berbincang lembut lidah tak bertulang.
melayu penuh santun, pasal mengata orang...siap bersajak dan berpantun.
saya pun melayu.
sebab itulah saya rasa sedikit terharu melihat ramainya melayu yang masih berani berpencak silat....
sebenarnya kita masih kuat.
panas dan bersemangant.
tapi, kita berani di kampung sendiri...
berani mengata sesama sendiri...
lebih cerdik pandai kah kita kerana kita tahu mengulas kritik para memanda.

yang saya kagumi ialah melayu yang berani berada di barisan hadapan dan
sanggup berkorban atas nama ugama, bangsa dan negara.

hehehehe.....saya sendiri yang terketawa. sbb bunyi tulisan sendiri macam jenaka.

maaf.

Apai said...

Assalamualaikum
Dato' dan rakan2 blogger yg lain.

Dua perkara yang saya rasa ada perkaitannya dengan apa yang dibincangkan oleh blogger di sini.

Pertama - mengenai pak menteri yang hanya tahu bercakap sahaja tapi jauh sekali melaksanakannya. kisah kurang gula dan harga barangan yang semakin naik dimusim perayaan. walaupun berkali-kali amaran dikeluarkan namun gula masih juga sukar untuk diperolehi. apakah amaran hanya tinggal amaran sahaja? berkali-kali pak menteri ni memberi amaran kepada peniaga-peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan... tapi harga barangan tetap naik jugak. setiap pagi (buletin 7.30) dan setiap malam (buletin utama) tak habis-habis menyiarkan keluhan orang ramai pasal harga barangan yang semakin naik dan tak terkawal. macamana ini boleh berlaku? dimana pemantauan yang dibuat? kalau betul dikawal kenapa masih ada lagi orang yg mengeluh? takkan segala amaran dan teguran yang dikeluarkan oleh pak-pak menteri ni melalui media hanya untuk menaikkan 'rating' beliau sahaja. seolah-olah sengaja nak menunjukkan kepada orang ramai betapa bertanggungjawabnya dan prihatinnya menteri tersebut. hakikatnya hanya cakap kosong...

Kedua - betapa lekehnya pihak media dalam membantu menangani isu-isu tersebut. pihak media akan menyiarkan apa jua isu yang dibangkitkan oleh pak-pak menteri tadi dengan semangat "...at least dapat jugak aku story ni". priority adalah nak dapatkan story tersebut... baru sensasi. tapi adakah mereka sama-sama membantu memperjuangkan suara rakyat yang mahukan pemantauan dan perlaksanaan yang lebih dalam menangani isu-isu tersebut. itu yang menyebabkan orang ramai dah mula rasa bosan nak baca suratkhabar. mereka tak kisah pun pak-pak menteri ni pantau ke tidak... yang penting kalau esok pak menteri ni buat press conference lagi diorang akan pergi buat coverage lagi... "...dapat jugak aku story ni... selesai dah assignment aku hari ni".

entahlah...

BaitiBadarudin said...

Assalamualaikum dan Ramadan Mubarak,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada 'Scribe' kerana masih giat meneruskan perjuangan melalui 'pena'. Izinkan saya memberikan pendapat tentang pemilihan pemimpin di Malaysia sejak sebelum Merdeka hingga kini.
Gejala pemimpin 'lembab, jahil dan lemah' menerajui negara bukan khusus di Malaysia sahaja, tetapi juga di AS kini dan juga negara-negara Arab dan Asia Tenggara di mana para 'komprador elit' yang bersekongkol dengan penjajah dan golongan imperialis Barat ditampilkan dan ditaja sebagai pemimpin sedangkan ramai yang berwibawa dipinggirkan dan dicap sebagai radikal, 'militan' dan kurang waras.
Sdr 'a critical lad', begitu juga keadaannya di tanah air kita, di mana pemilihan pemimpin tidak hanya terhad kepada UMNO dan Perikatan menjelang Merdeka, terdapat pejuang Nasionalis Alternatif daripada golongan intelektual yang dipinggirkan oleh penjajah British.
Begitu juga keadaannya kini, pilihan tidak seharusnya terhad kepada para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional atau Barisan Alternatif sekalipun. Mungkin keadaan yang mendesak akan melahirkan pembentukan barisan pemimpin yang berlainan sama sekali atau enjakan daripada konsep demokrasi berdasarkan perwakilan (representation, i.e. wakil rakyat/MB), yakni demokrasi penyertaan aktif warganegara (participatory democracy). Wallahua A'lam Bisawab.
Tentang persoalan bangsa Melayu sebagai 'lemah dan mundur' serta 'ketinggalan' dalam arus pemodenan, izinkan saya menjemput sdr melawat 'blog' saya tentang tanggapan tersebut serta makna sebenar 'pembangunan'.
Semoga kita sama-sama saling mengingati satu sama lain. Wassalam.

Anonymous said...

MONDAY, SEPTEMBER 25, 2006
You re not so clever
Two things stood out for me last one week. One was Dr M's retort to his old nemesis MM Lee, ticking him off for making comments on Malaysian Chinese being marginalised and compliant across the Causeway. Here's what Dr M told Lee - among other things: "You should just guard your own rice bowl. You are not that clever. In a small group, perhaps you seem clever. But when he goes to China, the Chinese there don't want to listen to him. The Chinese in China don't think much of him and it is a fact that he is marginalised by Chinese in the world.''
Copy & Paste from Cakapayam.blogspot.com

Hebat! Itulah kehebatan dan kelebihan TDM. Itulah sebabnya saya berasa selamat di bawah TDM dlm mempertahankan diri/negara dari diperkotak-katikkan oleh orang lain. Sebagaimana ditanya menara tertinggi di dunia jatuh kpd Taiwan 101, TDM dengan selamba menjawab, "Tapi kita ada 2 (menara kembar)"

Saya berpendapat, hanya TDM mampu berhadapan dengan LKY,Bush,Blair dan Sharon dan lain-lain talibarut barat. Tapi sayangnya, kehebatan dan kelebihan TDM dipersia-siakan oleh kepimpinan sekarang. Kalau lah saya jadi salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, orang semacam TDM ini patut dilantik sebagai penasihat parti dan negara. Bukannya "dilantik" sebagai pariah parti.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).