Wednesday, December 27, 2006

Tiada Ucapan Tahun Baru Buat Anda

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang berbau perkauman dan mengandungi unsur-unsur hasutan dan fitnah tidak akan disiarkan. Terima kasih]

TAHUN 2006 akan berlalu. Tahun baru 2007 akan tiba. Seperti kebiasaan, banyaklah orang akan mengucapkan selamat tahun baru dan mendoakan kebahagiaan.

Tidak kurang pula yang akan membuat ikrar, janji, azam, iltizam resolusi dan banyak lagi melalui pelbagai saluran termasuk akhbar, radio dan televisyen.

Seperti saya tidak menggunakan blog ini untuk mengucapkan Selamat Hari Natal yang baru berlalu dan Selamat Aidil Adha yang akan tiba atau Selamat Aidil Fitri, Selamat Deepavali dan Selamat Tahun Baru Cina sebelumnya maka saya tidak akan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2007 kepada saudara dan saudari.

Bukan saya tidak ingat atau tidak menghormati saudara dan saudari. Atau tidak mahu saudara dan saudara selamat dan bahagia pada tahun baru yang akan menjelang.

Saya mahu saudara dan saudari serta seluruh penghuni bumi Malaysia yang dicintai ini selamat dan bahagia apatah lagi dalam suasana watan kita yang semakin tidak berarah tujuan ini.

Ketika pelabur, pemodal dan peniaga meninggalkan pantai tanah pusaka dengan modal berbilion ringgit untuk melabur serta bermastautin di China, India, Vietnam dan Afrika.

Ketika penarafan bumi ibunda di dalam pelbagai bidang semakin merosot.

Ketika ancaman inflasi semakin ketara dan pemerintah yang dipilih dengan majoriti besar oleh rakyat mengizinkan kenaikan antara 20 hingga 60 peratus tol lebuh raya “kerana tidak ada jalan lain untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan dan mengurangkan defisit perbelanjaan.”

Ketika suasana semakin kacau dan nyawa kita semakin tidak selamat kerana jenayah sensasi dan tidak sensasi semakin menjadi-jadi; apabila yang dituduh melakukannya dan yang menjadi mangsanya adalah pembesar negara.

Dalam masa seminggu rumah dua menteri dimasuki pencuri; sebuah di Putrajaya, pusat pentadbiran negara yang diuar-uarkan ultra moden dan selamat, dan sebuah lagi di Sarawak.

Jadi bukan sahaja kita rakyat jelata yang tidak ada pengawal peribadi dan tiada liputan keselamatan – security cover -- yang memerlukan ucapan selamat dan doa agar terlepas daripada kecelakaan, malah pembesar-pembesar negara pun begitu juga.

Di akhir-akhir ini, bukan sahaja pembesar-pembesar negara yang ada pengawal peribadi yang menjadi mangsa jenayah malah mereka pula dikaitkan dengan jenayah yang dahsyat yang membabitkan pengawal peribadi.

Ketika bencana alam yang lain semakin teruk dan semakin kerap melanda; kini giliran Negeri Johor yang baru sahaja dijanjikan projek pembangunan raksasa SJER menderita banjir besar.

Dan ketika para pembesar negara semakin galak beristirahat di luar negara, melayari lautan samudera dan pulang seketika untuk menjenguk rakyat yang dilanda bencana.

Justeru itu, kita tidak syak lagi memerlukan ucapan selamat dan doa yang panjang.

Tetapi saya tidak akan menawarkannya kepada sesiapa pun, termasuk diri saya, melalui blog ini kerana ucapan Selamat Tahun Baru seperti banyak ucapan-ucapan lain sudah menjadi klise.

(Daripada bahasa Perancis cliche -- disebut ke-li-sey – yang bermaksud ungkapan atau frasa yang cantik dan sedap didengar tetapi menjadi kosong dan hambar apabila diulangi tanpa sebarang tindakan.)

Kosong dan hambar seperti ikrar janji seorang perokok untuk berhenti merokok atau seorang pembesar pilihan rakyat untuk kerap turun ke padang tetapi hilang sehingga pilihan raya sekali lagi menjelang.

Jadi, mohon maaf tiada ucapan Selamat Tahun Baru buat saudara dan saudari para pelawat dan pembahas yang saya hormati.

Sebaliknya lebih bermanfaat kalau kita gunakan ruang dan kesempatan ini untuk memikirkan bagaimana kita boleh mengatasi masalah dan kemelut yang semakin rumit yang akan mendatangi kita pada tahun 2007.

Monday, December 18, 2006

Penjualan PPB: Antara Yang Tersurat dan Tersirat

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Komen yang berbau perkauman dan mengandungi unsur-unsur hasutan dan fitnah tidak akan disiarkan. Terima kasih]

SEBUAH syarikat yang berpangkalan di Singapura bernama Wilmar International Limited (WIL) pada 14 Disember telah membuat tawaran umum sukarela (voluntary general offer) untuk membeli kesemua saham syarikat Malaysia, PPB Oil Palms Berhad (PPB).

Urus niaga yang bernilai kira-kira RM15.5 bilion itu, jika diterima oleh pemegang saham minoriti dan diluluskan oleh pihak berkuasa industri sekuriti Malaysia, akan menyebabkan penyenaraian PPB di Bursa Malaysia dibatalkan dan kawalan serta pemastautinnya berpindah dari Malaysia ke Singapura.

PPB adalah antara pelaburan utama jutawan warganegara Malaysia Robert Kuok Hock Nien manakala yang menerajui WIL adalah Kuok Khoon Hong yang berupa anak saudara “Raja Gula” itu.

PPB adalah antara syarikat perladangan terbesar di negara kita. Ia memiliki kira-kira 72,500 hektar ladang kelapa sawit di Sarawak dan Sabah. Tetapi ia mempunyai ladang yang lebih luas di Indonesia kira-kira 290,000 hektar.

Khoon Hong memberi alasan bahawa urus niaga itu bertujuan menggabungkan kegiatan perladangan yang membabitkan Keluarga Kuok di Malaysia dan Indonesia bagi menjadikannya antara pemeroses dan pemasar minyak kelapa sawit terbesar di dunia.

Tetapi yang lebih kritikal ialah kesan urus niaga ini kepada Malaysia. Jika cadangan ini diluluskan oleh pemegang saham PPB dan diizinkan oleh pihak-pihak yang mengawas industri sekuriti Malaysia maka hilanglah kawalan negara ini ke atas syarikat itu.

Walaupun aset fizikalnya seperti ladang dan kilang terletak di Malaysia tetapi pemilikan (ownership), pemastautin (domicile) dan pengawalan (control) akan berpindah ke Singapura.

Dalam erti kata yang lain, jika WIL menilai PPB pada kadar RM15.5 bilion maka kawalan ke aras aset dan potensi perniagaan bernilai RM15.5 bilion akan berpindah dari negara ini ke Singapura.

Apa pun alasan yang diberikan oleh pihak-pihak yang terbabit dalam urus niaga ini, hakikat yang harus diberi keutamaan ialah sebab sebenar Roberk Kuok memindahkan kawalan PPB dari Malaysia ke Singapura.

Seperti umum sudah maklum, Robert Kuok adalah orang terkaya di Malaysia dan salah seorang yang terkaya di Asia. Majalah perdagangan Malaysian Business menilai kekayaan Robert Kuok sebanyak RM21.33 bilion tahun ini.

Tindakan Robert Kuok ini menimbulkan pelbagai pertanyaan dan persoalan. Antaranya ialah, apakah pelabur Malaysia seperti beliau telah atau mula hilang keyakinan terhadap negara ini?

Atau apakah mereka mendapati atau berandaian bahawa membawa label “usahawan Malaysia” tidak lagi menguntungkan?

Bagi pengusaha Cina Malaysia seperti Robert Kuok dan Tan Sri Lim Goh Tong yang baru sahaja mendapat lesen kasino di Singapura, Malaysia adalah bumi bertuah dan batu loncatan.

Bermula dengan perniagaan di Malaysia yang banyak dibantu oleh Kerajaan mereka menjadi kaya raya dan dihormati di seluruh dunia. Dengan imej Malaysia yang tinggi itulah Robert Kuok “pulang” ke Tanah Besar China pada tahun 1970an dan menjadikan Hong Kong pangkalan operasi globalnya.

Robert Kuoh melandaskan perniagaannya yang sangat berjaya itu di atas monopoli gula yang diberikan oleh Kerajaan sejak sebelum merdeka dan masih terterusan sehingga hari ini. Beliau dianggarkan mengawal lebih 80 peratus daripada perniagaan gula negara.

Lim pula mencipta nama dan mengaut keuntungan bertimbun apabila diberikan francais judi pada tahun 1960an dan kawasan rimba yang luas di puncak gunung di negeri Pahang untuk membina kasino dan kompleks riadah.

Manakala semakin banyak peniaga dan syarikat Malaysia berkembang ke luar negara untuk memanfaatkan globalisasi serta imej negara yang sangat positif, namun pada kebelakangan ini lebih banyak meninggalkan negara kerana kekurangan peluang perniagaan.

Kebimbangannya ialah dengan Malaysia kehilangan daya saing dalam banyak bidang perniagaan, semakin ramai peniaga seperti Robert Kuok akan memindahkan aset dan kawalan korporat mereka ka negara-negara yang lebih kompetitif.

Soalnya, apakah bagi peniaga besar seperti Robert Kuok, Lim Goh Tong dan Ananda Krishnan (tauke Maxis dan Astro) jenama Malaysia tidak lagi sehebat Singapura, China, England, Hong Kong dan India?

Apakah mereka semakin hilang keyakinan kepada negara mereka sendiri dan berselindung di sebalik globalisasi untuk membawa keluar modal dari negara ini?

Friday, December 15, 2006

Different Pictures of the Same Story

A Kadir Jasin

[Anonymous comments will not be entertained. Please use real name or a suitable pseudonym for easy identification. For this particular posting, debaters are reminded to be mindful of contempt of court.]

TWO pictures published by The Star newspaper today (Dec. 15) are graphic. On its front page is the picture of Abdul Razak Abdullah Baginda who was being lovingly led by the hands by his wife and daughter.

On its page three is the picture of two policemen with their faces covered and hands cuffed and chained being escorted by a uniformed policeman.

They are two very different pictures of the same story. The caption of the page one picture reads: “Family support: Political analyst Abdul Razak Baginda, who has been charged with abetment in the murder of the Mongolian beauty Altantuya Shaariibuu whose body was blown to pieces with explosives, arriving at the Shah Alam High Court yesterday with his wife Mazlinda Makhzan and daughter Roweena. Razak had his RM1 million bail extended, but cash had to be deposited with the court.”



The caption of the second reads: “To Court: The two policemen charged with the murder of Altantuya shielding their faces at the Shah Alam High Court yesterday.”



The story is about the three men facing charges in the Shah Alam High Court in connection with the gruesome murder of the 28-year old Mongolian woman.

This is also the story of three people being charged under the provisions of the Penal Code, which, under the normal circumstances, do not allow for bail.

But as The Star pictures amply suggest, the three men, while sharing the same grim legal circumstances, are not sharing the same social circumstances.

The men in handcuffs and chains are two low-level members of the 90,000-strong police force. They are being held in jail when the court rejected their applications for bails. In any case, RM1 million is beyond the ability of any policeman to come up with.

The man who was being led so lovingly by the hands by his wife and daughter and with no policeman in sight is an adviser to the Deputy Prime Minister of the country. His application for bail was allowed on grounds of poor health.

He was released on a bail of RM1 million, which the court yesterday ordered him to deposit. The Kuala Lumpur High Court in allowing bail last month did not asked the sum to be deposited.

If the two contrasting pictures tell a thousand words, what happened in court was even more mind-boggling and was amply captured in one of The Star’s headlines on the case – “One muddle over lawyers cleared up but another arises.”

One key development was the withdrawal of the well-known criminal lawyer, Datuk Muhammad Shafee Abdullah and M. Puravalen as Razak’s counsels from defending Abdul Razak. They were replaced by Wong Kian Kheong and Low Thian Eng.

Also, lawyer Shaun Tan Kee Shaan, who had appeared for Chief Inspector Azilah Hadri and Corporal Sirul Azhar Umar on Nov 15, discharged himself yesterday.

Lawyers Zulkifli Noordin and Juanita Johari had turned up to appear for Azilah while Kamarul Hisham Kamaruddin and Ahmad Zaidi Zainal, joined by Hasnal Rezua Merican appeared for Kpl Sirul Azhar.

The tussle for representation will certainly raise eyebrows among legal and political observers as this case has all the making of a high-profiled murder trial with elements of politics and diplomacy in play.

The Star, on Dec. 14 interestingly published a report headlined: “Independent Trial Called” in its Parliament page although the news did not originate from the Malaysian Parliament.

Instead it was about Mongolian parliamentarians calling for the trial of the three persons to be conducted “free of political influence.”

It quoted Yadmaa Ariunbold, the Mongolian Foreign Ministry consular deputy director, as telling reporters: “They (the Mongolian parliamentarians) are asking for an independent trial, free from political influence and a thorough police investigation into the case.”

In today’s report, The Star quoted Yadmaa as saying that the Mongolian Government had sent letters to the Malaysian Parliament and Prime Minister asking them to ensure that the trial would not be clouded by political influence.

Has the Mongolian Government the reasons to believe that the trial will be clouded by political influence or is it merely making a normal diplomatic request?

With all the three accused being G-men and were closely identified with one of the highest offices in the country, it pays for the Mongolians to use whatever resources they have to ensure that justice is not only done but is seen to be done.

The very contrasting pictures published by The Star today could be among the subtle pointers that reminded the Mongolians that they must not let their guard down.

The victim’s father, Dr Shaariibuu had clearly understood the rule of the game when he appointed Malaysia’s best-known criminal lawyer Mr Karpal Singh to hold a watching brief for his family.

We Malaysians must uphold the same principle if we believe in the rule of law and in the much-touted independence of the judiciary. The reputation of our country is at stake.

Friday, December 08, 2006


Implikasi Penggabungan NST-Utusan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

DALAM dunia korporat tidak apa yang mustahil atau luar biasa, khasnya mengenai kegiatan penggabungan dan pengambilan alih (merger and acquisition -- M&A).

Segala bentuk urus niaga adalah “halal” asalkan ada pihak yang membuat keuntungan atau percaya bahawa keuntungan boleh dibuat. Sama ada keuntungan benar-benar dibuat atau tidak, itu perkara yang berasingan.

Malah M&A yang sebenar tidak pun perlu berlaku sebelum seseorang atau sesuatu pihak boleh membuat keuntungan. Ambil ura-ura penggabungan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai contoh.

Sebelum ura-ura penggabungan, saham NSTP diniagakan di Bursa Malaysia sekitar RM2 seunit. Malah ia pernah jatuh di bawah paras itu. Manakala saham Utusan pula berlegar di sekitar RM1. Sebaik sahaja berita penggabungan itu bersebar, harga saham NSTP naik hampir RM3 dan Utusan hampir RM2.

Sesiapa sahaja yang membeli saham dua syarikat akhbar itu sebelum ura-ura penggabungan dan menjualkan sekarang akan membuat keuntungan yang lumayan sama ada penggabungan berlaku atau tidak.

Bertitik tolak daripada hakikat itu, urusan pengambilan alih dan penggabungan yang membabitkan NSTP dan Utusan Melayu masih berkemungkinan berlaku walaupun buat waktu ini terpaksa ditangguhkan kerana bantahan oleh majoriti ahli Majlis Tertinggi Umno.

Umno adalah pemegang saham utama dan terbesar Utusan Melayu dan ahli MT dikatakan bimbang penggabungan itu akan menjejaskan kepentingan Umno dan kedudukan Utusan Malaysia sebagai akhbar berbahasa Melayu utama di negara ini.

Dari sudut politik, pendirian MT itu bercanggah dengan pandangan Presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menyokong cadangan itu.

Menurut sebuah laporan Bernama, kebimbangan mengenai identiti dan kebebasan jabatan pengarang Utusan Melayu mungkin dapat diatasi di bawah struktur baru yang sedang diusahakan.

Di bawah struktur terbaru itu, pengarah eksekutif Utusan Melayu, Nasir Ali, mungkin dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan bagi entiti baru yang akan mengambil alih NSTP dan Utusan Melayu.

Memetik sumber-sumber yang arif mengenai urusan penggabungan dan pengambilan alih korporat, Bernama berkata di bawah rangka kerja itu, sebuah syarikat baru (newco) akan mengambil operasi NSTP dan Utusan Melayu. Pemegang saham Utusan Melayu (iaitu Umno) akan menjadi pemegang saham utama dalam syarikat baru itu.

Di bawah rangka kerja asal (yang ditolak oleh MT), Media Prima Bhd iaitu syarikat induk NSTP akan menjadi syarikat induk kepada entiti yang digabungkan itu. Media Prima adalah juga pemilik TV3, NTV7, Channel 8 dan Channel 9.

Jika struktur baru ini diterima oleh pemenang saham syarikat-syarikat yang terbabit dan diluluskan oleh badan-badan kawalan seperti Suruhanjaya Sekuriti, Utusan Melayu akan melakukan pengambilan alih songsang (reversed takeover) terhadap NSTP yang lebih besar daripadanya.

Apa pun bentuk atau struktur M&A yang akhirnya dilaksanakan, faktor, ciri dan pertimbangan berikut pasti telah dan sedang difikirkan oleh pihak-pihak yang terbabit, khasnya pemegang saham dan pengurusan syarikat-syarikat yang terbabit:-

1. Siapakah akhirnya menjadi pemegang saham utama (controlling shareholder) syarikat baru ini?

Buat masa ini, pemegang saham utama Utusan Melayu adalah Umno. Umno dan pihak-pihak yang bersekutu dengannya dianggarkan memegang kira-kira 50 peratus saham Utusan Melayu Berhad.

NSTP pula dikuasai oleh Media Prima Berhad yang pemilik mutakhirnya adalah Realmild Sendirian Berhad. Umno tidak diketahui mempunyai pegangan saham di dalam Realmild.

Sejak diasaskan pada awal tahun 1990-an sebagai jentera (vehicle) pembelian oleh pengurusan (management buy-out -- MBO) yang membabitkan empat eksekutif kanan NSTP, Realmild “dikaitkan” dengan Presiden Umno.

[Pengambilan alih itu membabitkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), NSTP dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3). Pasukan MBO itu mula mengundurkan diri pada akhir tahun 1998 dan kesemua mereka telah keluar dari Realmild menjelang tahun 2000.]

2. Manakala penggabungan itu mungkin tidak akan menjejaskan struktur dan “kebebasan” jabatan pengarang NSTP dan Utusan Melayu Berhad, namun persepsi pembaca dan pengiklan mungkin berubah.

Mereka mungkin menolak atau menyusun semula keutamaan mereka apabila menimbangkan perbelanjaan mereka di dua kumpulan akhbar ini.

Kita telah melihat bagaimana pembaca Cina memprotes dengan “menolak” akhbar Nanyang Siang Pau apabila pemilikannya diambil alih oleh MCA melalui syarikat pelaburannya Huaren Holdings Sdn Berhad pada tahun 2001.

Mengakui bahawa pemilikannya membebankan Nanyang dan menyebabkan perpecahan di dalam parti, MCA baru-baru ini mengambil keputusan menjual saham Nanyang Press Holdings Berhad yang dimilikinya kepada syarikat milik pengusaha balak Sarawak Tan Sri Tiong Hiew King.

Masyarakat Cina yang dulunya memprotes pengambilan alih Nanyang Press oleh MCA dengan menolak akhbar Nanyang kini memprotes pembelian oleh oleh Tiong kerana dia sudah pun mengawal akhbar terbesar di negara ini iaitu Sin Chew Daily.

Orang Cina khuatir pemusatan pemilikan akhbar berbahasa Cina di dalam tangan seorang individu akan memberi kesan negatif kepada masa depan media massa berbahasa Cina, khasnya keupayaan memperjuangkan kepentingan kaum Cina di Malaysia.

Masyarakat Cina Malaysia sentiasa menganggap kepelbagaian suara sebagai cara terbaik mempertahankan kepentingan mereka. Serentak itu, akhbar-akhbar Cina adalah yang paling “bebas” dan sensasi di negara ini.

[Huaren juga adalah pemegang saham terbesar Star Publications Berhad, penerbit akhbar berbahasa Inggeris terbesar The Star manakala Nanyang Press turut menerbitkan akhbar China Press.]

3. Bagi pelabur, sesuatu penggabungan tidak dianggap menarik jika tidak menjanjikan penyusunan semula dan rasionalisasi perniagaan yang membabitkan produk, guna tenaga dan yang penting sekali penjimatan kos. Bagi pelabur yang mutakhir adalah keuntungan bukan kebajikan.

Seperti kita maklum NSTP dan Utusan Melayu menerbitkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang hampir-hampir serupa dan bersaing antara satu sama lain.

Utusan Melayu menerbitkan Utusan Malaysia yang bersaing terus dengan Berita Harian terbitan NSTP. NSTP menerbitkan akhbar tabloid berbahasa Melayu Harian Metro dan Utusan Melayu melancarkan tabloid Kosmo untuk melawannya.

Jadi apakah bentuk penyusunan semula korporat dan rasionalisasi perniagaan yang boleh dilakukan oleh Nasir Ali dan pasukannya tanpa menjelaskan kedudukan akhbar-akhbar ini dan kakitangan mereka yang melebihi 3,000 orang?

4. Tidak kurang pentingnya ialah “timing” penggabungan ini. Apakah ini masa yang unggul untuk melakukannya?

Industri penerbitan kini mengalami tekanan kepada kedua-dua sumber utama pendapatannya iaitu iklan dan penjualan akhbar dan majalah. Walaupun perangkaan kasar menunjukkan perbelanjaan iklan (adex) terus meningkat, tetapi hasil sebenar (yield) adalah rendah kerana penerbit memberikan diskaun yang tinggi kepada pengiklan.

Mungkin inilah aspek perniagaan yang hendak dirasionalisasikan oleh pihak-pihak yang mencadangkan penggabungan ini. Mereka mahu memberhentikan persaingan yang merugikan.

Tetapi yang lebih mencabar dan sukar diatasi adalah penjualan dan pembacaan akhbar yang semakin menurun, khasnya akhbar-akhbar Melayu, akibat persaingan daripada televisyen dan radio dan keadaan ekonomi pengguna yang tidak merangsangkan.

Sumber:The Star, 7 Disember 2006

Perangkaan terbaru pembaca (Oktober 2005-September 2006) yang dikeluarkan oleh firma pemantauan media massa Nielsen Media Research, menunjukkan jumlah pembaca Utusan Malaysia merosot 13 peratus kepada 1.2 juta dan Berita Harian 21 peratus kepada 1.15 juta. Tabloid sensasi Harian Metro meningkat 24 peratus kepada 1.8 juta.

Bagi akhbar-akhbar berbahasa Inggeris pula, pembaca The Star bertambah sembilan peratus kepada 1.14 juta dan New Straits Times 0.3 peratus kepada 319,000 manakala The Sun jatuh 12 peratus kepada 171,000 dan The Malay Mail yang dilancarkan semula merosot 36 peratus kepada 78,000.

Biro Audit Pengedaran (Audit Bureau of Circulation) dijangka mengumumkan perangkaan terbaru penjualan akhbar dan majalah yang mempamerkan trend yang serupa.

Dari sudut kepenggunaan, akhbar dan majalah tidak disenaraikan sebagai barangan perlu. Antara sekotak rokok dengan senaskhah akhbar, pengguna memilih rokok daripada akhbar.

Setiap kali harga rokok naik kerana kenaikan cukai, penjualan akhbar, khasnya akhbar Melayu, jatuh kerana pengguna mengutamakan menghisap rokok daripada membaca akhbar. Lagipun orang jarang berkongsi rokok tetapi mereka berkongsi akhbar.

Kebimbangannya ialah pembeli dan pembaca yang kini membeli dan membaca Utusan Malaysia dan Berita Harian mungkin menggugurkan salah satu daripada akhbar itu kerana kedua-duanya diterbitkan oleh pemilik yang sama. Begitu juga dengan yang kini membeli Harian Metro dan Kosmo.

Walaupun pembelian dan pembacaan bertindih ini tidak besar, namun dalam suasana sekarang kedua-dua buah syarikat itu memerlukan setiap sen pendapatan yang boleh mereka peroleh.

Yang lebih mengancam ialah pembaca mungkin menolak akhbar-akhbar terbitan syarikat yang digabungkan itu dan berpindah kepada akhbar-akhbar bebas atau kepada laman berita Internet dan blog.

Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan kerana yang akan membuat penilaian kritikal ke atas implikasi penggabungan ini adalah mereka yang membaca lebih daripada sebuah akhbar dan mempunyai akses kepada media baru seperti laman berita Internet dan blog.

Kesimpulannya, penggabungan mega ini mungkin berlaku dalam masa terdekat, Majlis Tertinggi Umno boleh “dipujuk” untuk mengubah fikiran atau bantahannya dipatahkan dengan mengemukakan cadangan baru, ada pihak akan membuat keuntungan modal yang lumayan, penyusunan semula struktur korporat dan rasionalisasi operasi mungkin menjelaskan produk dan guna tenaga, persaingan yang merugikan mungkin boleh dihadkan dan sentimen pengguna akan menentukan untung rugi penggabungan ini.

Akhir sekali (dan mungkin yang terpenting) ialah hakikat bahawa sesiapa juga yang muncul sebagai “pemilik mutakhir” (ultimate owner) syarikat baru ini akan menjadi maharaja (emperor) dunia media massa Malaysia. Kuasa politik dan korporatnya “menakutkan”.

Sunday, December 03, 2006

Ke Mana Mukhriz Selepas Ini?

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

MAAFKAN kami
Maafkan kami
Maafkan kami

Wahai cik adik jangan merajuk
Maafkan kami si Bujang Lapuk
Jikalau salah tolonglah tunjuk
Kamilah rela hai kena ketuk
Nandung-nandung dayang senandung
Wahai saudari maafkan kami
.

Maka apakah mohon maaf Ahli Majlis Kerja (Exco) Pemuda Umno Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir, baru-baru ini kerana didakwa “memperlekehkan” ucapan presiden parti bulan lalu sesuatu yang pokok atau sekadar “mohon maaf Bujang Lapuk” seperti dalam lirik lagu seniman agung Allahyarham P Ramlee itu?

[Saya sengaja melabelkan P Ramlee seniman agung dan bukan bekas seniman agung kerana walaupun dia sudah lama meninggal dunia, namun seni dan karyanya tetap subur dan agung. Tiada pengganti kepadanya. Legasinya segar dan tidak tercabar.]

Mengikut istilah yang digunakan oleh media massa arus perdana berbahasa Melayu, Mukhriz telah “memperlekehkan” ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada persidangan tahunan parti di Kuala Lumpur bulan lalu.

Secara ringkas, apa yang nampaknya dimaksudkan oleh Mukhriz dalam kenyataan yang dilaporkan (hanya) oleh akhbar berbahasa Inggeris The Star ialah tiada apa-apa yang baru balan ucapan pembesar nombor satu Umno itu.

Saya tiada berhak bertanya soalan di atas kerana saya tiada berkemampuan menilai sama ada Mukhriz ikhlas atau tidak dengan mohon maafnya itu.

Yang pasti adalah Mukhriz telah dibelasah secukupnya oleh para penyokong Perdana Menteri dan berita itu telah pun menguar-uarkannya ke seluruh pelosok negara oleh media massa arus perdana.

Exco Pergerakan Pemuda dalam mesyuaratnya pada 30 November telah menerima permohonan maaf dan penjelasan Mukhriz Mahathir.

Menurut laporan Utusan Malaysia, mesyuarat itu juga dimaklumkan bahawa Mukhriz akan bertemu Perdana Menteri bagi memberikan penjelasan berhubung kenyataannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, berkata tiada tindakan dikenakan ke atas Mukhriz selain memberi amaran keras kepadanya supaya tidak membelakangkan prinsip pergerakan itu ketika membuat sebarang kenyataan.

Saya juga tidak akan mencari jawapan kepada soalan apakah Mukhriz tidak dikenakan sebarang tindakan selain diberikan amaran keras kerana dia aak Tun Dr Mahathir Mohamad atau kerana hujahnya mengenai ucapan Abdullah masuk akal atau kerana bimbang tindak balas sekiranya dia dikenakan tindakan.

Sengaja disebutkan bahawa tidak seperti Hishammuddin dan timbalannya Khairy Jamaluddin (yang menang tanpa bertanding), Mukhriz mendapat sokongan besar dalam pemilihan pucuk pimpinan pergerakan itu dua tahun lalu.

Yang saya rasa banyak orang ingin tahu adalah apa akan terjadi kepada masa depan politik Mukhriz akibat daripada peristiwa ini?

Apakah ia akan menjadi ciri baru kepada persaingan antara tiga pembesar muda Umno ini? Atau ia menandakan permulaan kepada akhiran politik Mukhriz?

Apa pun kesudahannya, faktor keluarga dan pertalian memainkan peranan di dalam kehidupan politik tiga watak Pemuda Umno ini. Hishammuddin adalah anak Allahyarham Tun Hussein Onn. Khairy Jamaluddin adalah menantu Abdullah Badawi. Mukhriz adalah anak Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir ada dua orang anak yang cergas di arena politik -- Mukhriz dan abangnya Mokhzani. Tetapi jelas dalam pergolakan sekarang Mukhriz adalah anak Dr Mahathir yang sanggup mempertaruhkan masa depannya untuk mempertahankan bapanya secara terbuka.

Ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan kerana tentu banyak pihak menuduhnya memihak kepada bapanya kerana pertalian darah dan bukan kerana perjuangan.

Tetapi inilah risiko yang perlu dipikulnya dan yang sekali gus menjadi beban dan penawar kepada perjuangan politiknya. Kalau dia selamat, dia akan menjadi pemimpin yang berprinsip dan teruji.

Buat seketika saya berasa bahawa tindak-tanduk Mukhriz di akhir-akhir ini, khasnya mohon maaf beliau, adalah mirip pembesar-pembesar Umno dewasa ini yang hanya tahu mencari jalan selamat.

Tetapi apabila saya menerima SMS daripada seorang bekas wartawan politik, saya berasa mungkin ada baiknya Mukhriz mengambil tindakan berkenaan iaitu meminta maaf walaupun apa yang dihujahkannya itu tidak semestinya silap.

Rakan wartawan itu menulis: “Elok juga macam itu (memohon maaf). Kalau tidak nyawa singkat. Cara (untuk) membuktikan pembesar-pembesar dan konco-konco mereka tidak hadhari.”

Namun, laluan di hadapan tidak mudah bagi Mukhriz. Hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri adalah kritikal. Jika dia dilihat sebagai telah menyerah kepada tekanan dan mengabaikan perjuangan, dia akan hilang sokongan di kalangan penyokongnya.

Jika dia dilihat sebagai penentang, dia akan diserang habis-habisan oleh jentera parti dan media massa arus perdana.

Dia boleh memilih menjadi seperti pembesar-pembesar politik arus perdana yang lain dengan mengamalkan prinsip “if you can’t beat them join them” -- masuk kandang kambing membebek, masuk kandang kerbau menguak.

Atau dia boleh terjun ke kandar harimau dan mencuba menjiwai pepatah Melayu “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.”

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).