Wednesday, November 16, 2011

Berkenaan Pilihan Raya, Saham dan Daging


A Kadir Jasin

[KALAU mengulasmenggunakan pengenalan “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudaripada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

BARU-baru ini, ketika memberi seminar mengenai pemberitaan ekonomi, seorang peserta bertanya adakah benar harga saham akannaik apabila pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Saya jawab, ia dan tidak. Banyak faktor mempengaruhi harga di pasaran saham. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran saham dunia banyak ditekan oleh ketidaktentuan ekonomi Amerika, Eropah dan Jepun.

Dulu, memang ada aliran ke arah itu. Apabila PRU hendak diadakan, saham beberapa buah syarikat yang diswastakan dan dikaitkan dengan parti-parti politik pemerintah akan naik.

Ada orang berkata, harga saham mereka naik kerana pelabur yakin parti pemerintah akan menang lagi. Ada pula yang berkata, harga saham ditolak naik kerana pemiliknya hendak mencari wang untuk derma pilihanraya.

Menjelang PRU 2004, apabila Barisan Nasional dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi (Tun), memang benar harga saham beberapa buah syarikat, khasnya yang ada kaitan dengan ahli keluarga atau kawan-kawan beliau, naik.

Tetapi, sukar untuk meramalkan kali ini kerana pasaran saham teruk dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi Eropah di mana beberapa buah negara menghadapi kemungkinan muflis.

GLC Susah Main Di Pasaran

Lagipun, sekarang tidak banyak lagi syarikat milik individu Bumiputera yang boleh dikaitkan dengan parti-parti pemerintah pusat. Banyak sudah dimiliknegarakan semula selepas krisis mata wang Asia 1997/98 dan diubah menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Saya rasa, sukarlah sikit bagi GLC hendak “bermain”di pasaran saham bagi mencari wang untuk derma politik. Ada tak ada pun adalah syarikat-syarikat milik agensi tertentu seperti Felda, yang mungkin boleh membuat tawaran permulaan awam – initial public offering – bagi menambah modal.

Julai lepas, Felda membuat IPO bernilai RM821 juta untuk anak syarikatnya, Malayan Sugar Maufacturing Berhad yang dibelinya daripada “Raja Gula” Robert Kuok.

Ura-Ura Mengenai Felda

Bulan lalu, muncul ramalan mengatakan Felda akan membuat IPO lagi - kali ini ke atas cabang komersialnya seperti Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Felda Holdings Bhd.

Kalau ini terjadi, memanglah akan wujud bilangan saham yang banyak di pasaran dan sesiapa pun yang mendapat tawaran langsung ala “pink form” boleh membuat keuntungan modal dengan segera. IPO MSM amat berjaya.

Felda berpotensi menjadi syarikat perladangan tersenarai yang paling besar di dunia kalau IPO yang diura-urakan itu memasukkan ladang sebagai salah satu asetnya.

Soalnya, adakah mampu Kerajaan menjustifikasikan langkah itu dan bolehkah ia dilakukan sebelum PRU yang diura-urakan awal tahun depan?

“Punters” Tetap Main Di Pasaran

Apa pun, spekulator atau “punters” akan buat apa saja yang mereka jangka boleh memberikan pulangan cepat dan besar.

Itulah yang nampaknya sedang berlaku dengan sebuah syarikat perkayuan yang tidak dikenali di Bursa Malaysia bernama Harvest Court Industries Bhd.

Menurut laporan media massa baru dan lama, harga sahamnya meningkat daripada 8 sen pada 13 Oktober kepada RM2.14 pada 14 November.

Ini memaksa Bursa mengisytiharkan saham itu sebagai 'designated securities' dan menggantung dagangannya.

Menurut laporan lagi, Harvest Court sudah beberapa tahun bergelut dengan prestasi kewangan yang lemah dan pernah diisytiharkan syarikat bawah pengawasan PN17 oleh Bursa Malaysia kerana ketidakselarian keadaan kewangannya.

Tetapi, pada 28 Oktober, pengumuman dibuat yang syarikat itu telah melantik Mohd Nazifuddin bin Mohd Najib, anak nombor dua Perdana Menteri dan rakan kongsinya, Raymond Chan sebagai ahli lembaga pengarah.

Dengan sekelip mata, Harvest Court menjadi “darling” - buah hati - pasaran saham.

Menurut laporan 8 November akhbar perdagangan The Edge Financial Daily, Mohd Nazifuddin pada 4 November telah membeli 2 juta hingga 3 juta atau 1.7 peratus saham syarikat itu manakala Chan dikatakan membeli 13.83 peratus.

Siapa pun yang membeli saham syarikat itu pada harga rendah tentu sudah membuat keuntungan modal (capital gain) yang sangat besar sekarang kalau dia menjual saham pegangannya.

Inilah kesan spekulasi. Pemain pasaran tentu meramalkan sesuatu yang positif akan berlaku kepada syarikat itu, kalau tidak masakan anak seorang kenamaan hendak membeli sahamnya dan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah.

Perkembangan ini mengingatkan saya kepada kenaikan besar harga saham ECM Libra menjelang PRU 2004, bagaimana ia bergabung dengan syarikat milik kerajaan, Anevue Capital pada tahun 2006, bagaimana Khairy Jamaluddin menjadi pemegang sahamnya, bagaimana dakwaan “insider trading” dilemparkan dan akhirnya beliau menjual semula saham miliknya (kononnya) dengan mengalami kerugian. Kontroversi itu masih dibincangkan sampai hari ini.

Itulah cerita pasaran saham dan perniagaan yang melibatkan orang kenamaan atau duit negara/duit rakyat macam National Feedlot Corporation yang membabitkan ahli keluarga Menteri Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil.

NFC adalah antara projek berimpak tinggi, yang mengikut laman web rasminya akan menjadi pemangkin menaikkan kecukupan daging negara kepada 40 peratus menjelang tahun lalu (2010). Sebaliknya ia menjadi bahan kritikan Laporan Juruaudit Negara 2010.

Wallahualam.

44 comments:

abdullahngah said...

Datuk Kata,Julai lepas, Felda membuat IPO bernilai RM821 juta untuk anak syarikatnya, Malayan Sugar Maufacturing Berhad yang dibelinya daripada “Raja Gula” Robert Kuok.

Setahu saya Felda hanya melabur sebanyak RM 2.5 bilion pada malayan sugar.sama ada benar atai sebeliknya saya tak tahu, kerana baru baru ini saya pernah keliru dengan aset sebenar felda.

Ahmad Mazlan berkata felda mempunyai aset sebanyak RM 20 bilion, manakala seorang profesor berkata felda mempunyai aset sebanyak RM 60 bilion.mana satu yang betul?

Jika benar felda membeli malayan sugar berapakah harganya dan berapa peratuskan yang di miliki raja Gula dan berapa partus pula bagi felda.

Saya sangat keliru.

saji said...

Dakj

Mungkin KJ yang bijak pandai itu tak tahu beli saham untuk tujuan spekulasi diharamkan dalam Islam.

Anonymous said...

Dato'

sesungguhnya saya sebagai rakyat marhean yg kais pagi makan pagi berasa amat kecewa sekali tentang NFC yg ditimbulkan dua tiga menjak ini.

Berita yang disensasikan oleh pembangkang ini sejurus dari AG report memang menyakikan hati & perasaan benci membuak-buak pada pihak kerajaan. Dalam kes ini tidak ada salahnya mereka (media massa pro pembangkang) mengetengahkan isu ini yang mana saya rasa kerajaan telah mencabuli prinsip 'kronisme & nepotisme' secara terang-terangan. persoalannya mengapa kontrak itu deberikan pada mereka?

250juta 'soft loan' begitu lembut bagai sutera pada awalnya sesiapa pun tidak tahu. namun akhirnya terbongkar dan menjadi perbualan hangat. Shahrizat baru-baru ini mengambil langkah denial dengan mengatakan bahawa kontrak itu tidak terlibat secara langsung dengannya, namun hanya melibatkan suami & keluarga. Kami rakyat Malaysia hanya persoalkan kenapa kontrak ini diserahkan pada ahli politik & kroninya. Tidak lebih dari itu.

Dalam keadaan ekonomi sekarang ini, 250juta bukannya sikit.

Ahli politik semuannya bermata duitan. Isu Melayu, Islam, ekonomi hanya mainan politik ibrat menanam tebu di bibir. Secara jujurnya saya rasa mereka sedikit pun tidak ihklas & jujur pada rakyat & negara, apatah lagi agama. Yang mereka nampak hanyalah harta dan kekayaan.

Saya berani kerat jari, satu masa kelak pabila Malaysia ditimpa bencana/kesusahan (nauzubillah) merekalah yang akan cabut dulu, bersama-sama cina & india yang kaya-raya. Maka tinggallah kami ini yang serba serbi dalam kerugian.

Kami marah dan geram.

-karnine-

Sakit hati said...

Inilah yang dikatakan peribahasa-"Harap pagar,pagar makan padi".
Duit negara di salahgunakan dan ada pulak seorang budak dari U. Oxford yang mempertahankan mereka.

Anonymous said...

salam dato',
sakalipun masih lagi bergiat sikit-sikit dalam acara2 menyokong umno/bn, perkara-perkara yg dato' ulas ni menjadi pelemah semangat. ibarat lampu pelita ayan yang semakin lama semakin kehabisan minyak tanah..kes khairi dulu memang menghilangkan kepercayaan, namun pemimpin2 kita tak pernah mengambil pelajaran.
Bila ditanya akan pegangan saya mengapa masih lagi menyokong umno-saya menjawab umno memng banyak tak elok, tetapi apa lagi vehicle yang kita ada untuk bantu bumi sikit-sikit.
nak harapkan pas atau pkr jauh sekali.
kesimpulannya pru akan datang atau yg seterusnya pun hanyalah pertandingan memilih yang baik sikit dari kalangan yang buruk. sekalipun perlu memangkah dengan sebelah mata ditutup, dengan titisan air mata umno dipangkah jua.

kucalana71@yahoo.com

Unknown said...

Datuk Kadir,

1. Topik NFC dan daging lembu secara langsong
melibatkan rakyat dan negara.

2. Menteri Asas Tani telah menjelaskan hubungan NFC dengan Kerajaan.

3. Antara lain beliau menjelaskan bukanlah tanggongjawab Kerajaan untuk memantau kedudukan kewangan NFC setelah Kerajaan meluluskan tuntutan NFC sebanyak RM250J.

4. Kerajaan juga tidak ambil tahu bagaimana NFC
boleh membelanjakan wang itu dengan membeli
sebuah kondo.

5. Saya berfikir kalau Kerajaan yang mengeluarkan Dana untuk projek ini kenapa Kerajaan tidak ada hak memantau kedudukan kewangan NFC?

6. Siapa punya NFC ini?

7. Adakah ini salah satu lagi permainan wayang kulit orang-orang VVIP seperti yang berlaku diantara AA-MAS?

raja2u said...

Assalamualaikum,

YBhg Dato' dan Pembahas yang saya hormati.

Bersyukur kita kepada Allah kerana semuanya terdedah sekarang. Alhamdulillah melalui Dasar Pelajaran Negara orang kita ,terutamanya yang muda sudah mula berfikir dan bertanya dan tidak hanya menurut sahaja. Terpulanglah kepada diri masing-masing membuat andaian samada kita berada dilandasan yang betul atau tidak dan meluahkannya pada PRU 13 akan datang.

Kita semua diberitahu bahawa FELDA melalui kelapa sawit telah berjasa menyelamatkan negara semasa kemelesetan ekonomi dahulu. Ianya ibarat angsa yang mengeluarkan telor emas. Apakah logiknya ianya hendak disenaraikan.Yang saya tahu apabila ianya disenaraikan berjuta -juta akan masuk poket juruperunding ,pihak bank tertentu ,30% saham bernilai berjuta-juta akan masuk tangan apa yang dikatakan bumiputera yang diberi 'pink form'. Yang buruknya setelah proses penyenaraian siap akan berlakulah apa yang dikatakan urusan mengambil untung dengan mereka yang mempunyai kedudukan istimewa menjual saham mereka dan dan dengan itu mendapat untung buta.

Saya minta maaf jika apa yang saya nyatakan salah.Kepada peneroka FELDA saya syurkan bersembahyang Istiharah dan Hajat minta Allah tunjukkan jika ini adalah yang terbaik untuk peneroka dan Negara teruskanlah. Jika sebaliknya akan berlaku maka mintalah perlindungan Allah. Allah Maha Mengetahui dan Mengasihani.

Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain,
Pencetus Strategic Vision,
Petaling Jaya.

Rao Lanun-Bahaso said...

Dato Kadir
Salam Hormat

Dire Straits - Telegraph Road & Industrial Disease
(katak masuk rumah)

Terima Kasih dari manira yang buta ekonomi moderen apatah lagi dalam bab pengurusan syarikat berhad besar bermodal berjutaan ringgit.

Malu alah kita kerana kurang ilmu.
Pun begitu semua nakhoda yang cekap sebelum mahu berlayar harus tahu keadaan cuaca, kenal perairan malah main angin tiup arah kemana. Lebih-lebih lagi kapal kita bahtera kapallayar bertenaga solar; dan semua lanun-lanun yang hebat kenal dahulu sasaran sebelum menyerang. Kalau-kalau cuai, mahu menyerang kapal angkut haiwan, muatan lembu-kambingnya tiada hanya sarat najis khinzir belaka. Dah nak kena jadi saudagar baja organik pula. Banyak kerja, panjang cerita. Menyusahkan kita dan kelasi tetapi haruslah bersihkan diri kenalah mandi angkat najis besar. Harapnya tidaklah terpaksa menggunakan sabun cop Bersih 3.0 tanpa piawan halal JAKIM - entahlah, bukannya senang nak jadi Lanun-Bahasa nakhoda yang hebat, bukankan begitu wahai Mahaguru-ku?

Nah, sebelum dikibarkan bendera Lanun-Bahasa kita bercogankan Down With Najib! dan Bring Down Najib! haruslah kita bertanya kenapa pemilik hendak cari wang dan kemudiannya mahu derma politik? Ini kerja si-baghal baghdad atau si-lanun diraja?

Pun Lununbahasa nakhoda malaun kenalah pandai dan berhemah kerana anak-anak kapal kita semuanya kelasi djin-djin jenis afraid. Kalau terserempak lanun diraja tak mahulah kita. Maklumlah, kita lanun-bahasa mereka lanun diraja. Mana tahu mereka lengkap beralat senjata meriam berpeluru Si-For. Kita bermeriam katak berpeluru karbaid. Bak punggok dan bulanlah.

Itulah, Mahaguru-ku, pertanyaan kita, kenapa mahu cari wang kemudian diderma politik pula. Tak kah marah pemegangan saham yang lain saperti cerita Ms Litvack dalam The Telegraph yang sedang kita baca:
News Corp's political donations prompt investor protest
(F&C, the UK fund manager, plans to vote against the re-election of the chairman of News Corp's audit committee in protest at political donations the media company has made in the US)

Oh ya, wahai Mahaguru-ku - apakah dia binatang audit itu?

Sekian berserta Sejuta Maaf.

langitbiru said...

Isu mainan saham berskala maha besar oleh pemain (politikus umno) yang mengambil economist cina india sbg rakan kongsi sudah sebati bagi UMNO.

Bermula zaman mahathir,diikuti pak lah, dan kini giliran najib pula. Harta negara diberi dibahagi-bahagikan kepada anak menantu dan kroni. Nak kata apa lagi? Penyamun Tarbus? LEBIH DARI ITU!!!

AA-MAS tiada "insider trading"??? Sesiapa yang menyembunyi kebenaran,dalam liang lahad nanti tahulah dia.......

Tony untuk bantu MAS? Bagaimana pula halnya Tony tubuh satu lagi syarikat penerbangan baru? Bukankah dengan memiliki 20.5 peratus saham MAS yang ditukar dgn 10saham AA, maka tugas utama beliau adalah menjayakan MAS? Jadi apa relevan tubuh syarikat Sdn Bhd penerbangan yang baru???

Penasihat najib nampaknya sangat berani dan najib juga sangat berani meletakkan kepentingan negara dalam keadaan meragukan!

Pantai dulu tak ambil iktibar ke? Dengan mengenepikan JCorp,pilih Temasik? Itu Mokhzani anak lelaki A/L mahatir punya kerja.

Ekonomi negara akan punah ranah selagi dibawah BNUMNO!!

Mungkin tanah 5000 ekar tak cukup luas kot untuk lembu-lembu laki shahrizat,maka terpaksa beli kondo 10juta. Kalau betui beli kondo untuk main hartanah, tak payahlah bela lembu!! Bela lembu dan main hartanah tu satu kelas ke KJ??? Ohh....jawapan di oxford gitulah kot!

Isu sime darby dengan laki zarinah anwar dah selesai ke belum?

Mungkin laki shahrizat selalu main golf dengan laki zarinah lah kot.....

Anonymous said...

1.Merujuk kepada penulisan DAKJ berkenaan Harvest Court sebagai satu contoh, maka boleh disimpulkan bahawa kenaikan dalam indeks BSKL tidak menggambarkan kejayaan ekonomi negara. Sebabnya, secara am saham di Bursa Malaysia tidak dijual beli mengikut merit ekonomi.

2.Dalam kes NFC, ramai yang tertumpu kepada isu kronisme. Namun tidak ramai yang membincangkan satu lagi isu NFC yang tidak kurang pentingnya (diketengahkan oleh Audit Negara). Iaitu, sasaran 8,000 ekor, beli 11,000+++ ekor dan disembelih 8,000++ ekor lalu dikatakan sebagai capai matlamat. NFC ni projek menggemukkan lembu ke atau projek menternak lembu?

3.Sebahagian besar hasil sembelihan lembu dari syarikat suami shahrizat disalurkan ke rangkaian restorannya sendiri. Tidak kah ini bercanggah dengan tujuan NFC (NATIONAL Feedlot Centre). Namanya bukan RKSP FC (RESTORAN KELUARGA SHAHRIZAT PUNYA Feedlot Centre).

4.Saya dapati ramai penyokong UMNO segan nak bincang pasal NFC. Jangan malu sokong UMNO jika itu ideologi politik anda. Cumanya jangan lupa, timbangkan jika pemimpin UMNO anda yang sekarang ini masih mendokong ideologi yang sama. (maksud saya, merujuk kepada ideologi mengangkat agama, bangsa dan negara).

5.Apa suami dan anak-anak buat tidak ada kena-mengena dengan Shahrizat. Ini sama dengan KJ tidak reflek kepada Pak Lah. Dan Rosmah tidak reflek pada Najib. Jika ini polisi, harap Najib, Shahrizat (dan Pak Lah) masukkan dalam manifesto PRU13....

Fed Up

suhaimi said...

Salam, Dato',
Saya kasihan betul kepada kucalana71@yahoo.com dan mereka yang sealiran dengannya.
UMNO diakui banyak yang tak elok... (makna lawannya: sedikit sekali yang elok), namun tetap dipangkah jua (dengan titisan air mata). Maka UMNO pun terkinja-kinja tertawa ria, merajalela memunggah/menghimpun harta untuk diri mereka.
Kalau kita bersubahat dengan orang yang berbuat tak elok, ok ke? Dibenarkan agama ke? Kalau Tuhan tanya di Padang Mahsyar nanti, nak jawab apa?
Terima kasih.
Suhaimi

besi said...

salam dato....
harap dato boleh bagi kajian(ekonomi)tentang kewajaran felda disenaraikan dibursa malaysia nanti,dan impak kepada peneroka.

NFC rasanya semua orang dah tahu..malas nak komen..kalau tak pandai simpan lepas makan..menjawab la....Menteri berkenaan lepas ni kalau cakap pasal perjuangan atau jerit payah rakyat baik tak payah...rasanya org dah tak percaya dah...

Anonymous said...

Dato;

kami sangat berharap dato' boleh berkongsi pandangan untuk next posting tentang isu NFC. Kami mahu lebih detail & ingin benar tahu pendapat dato'.

terima kasih

-karnine -
(lebih rela tidak undi next pru ini)

A KADIR JASIN said...

ADA seorang pembahas yang mengaku 25 tahun dalam pasaran saham kata ulasan saya mengenai GLC tak tepat.

Tak ada masalah. Saya boleh siar. Tapi saya tak boleh siar sebab tak ada nama.

Kalau mahu saya siar, tolong hantar balik dan bagi nama. Nama samaran pun tak apa.

Terima kasih.

rahimlpp@yahoo.com said...

Y. Bhg Dato'@ Setelah difikirkan semasak-masaknya disimpulkan ada juga asas sangat munasabah mengapa pihak pembangkang menggunakan isu NFC sepenuhnya dan mereka memperolehi maklumat perakaunan yang sangat detail. Sudah tentu ada musang berbulu ayam yang membocorkan rahsia Syarikat kepada pihak luar.
2. Saya bersetuju dengan pandangan Tan Sri Mahyuddin supaya pihak Syarikat sendiri memberikan penjelasan kepada beberapa isu yang dibangkitkan supaya masyarakat umum jelas dan tidak hanya terpengaruh dengan tohmahan oleh pihak pembangkang.
3. Projek NFC adalah sabuah projek berimpak besar untuk menambah bekalan daging Negara. Sudah sewajarnya dirancang dengan teliti oleh pegawai-pegawai profesional Kementerian Pertanian.Pihak yang melaksanakan projek ini tidak kira siapa sudah tentu melalui proses tapisan yang ketat oleh kerana risiko pimjaman adalah juga tinggi walaupun pimjaman dari dana awam. Sekiranya tidak betul pelaksanaanya boleh muflis para pengarahnya oleh kerana Kerajaan tidak boleh menghapus kira pimjaman. Para pengarah boleh berpesta dengan duit yang banyak sekarang tetapi sekiranya sampai masa bayar balik tidak mampu bayar maka para pengarah boleh muflis.
4. Rakyat ingin melihat viabiliti projek ini. Sebagai sabuah Syarikat yang bagitu besar exposure kepada pimjaman ini sewajarnya boleh memberikan projection pengeluaran lembu dan jangkaan jadual balik pimjaman.
5. Isu yang dibawa oleh pembangkang akan menjadi tidak relevan sekiranya Syaraikat NFC dapat memberikan maklumat terperinci mengenai kemampuan Syarikat melaksanakan tanggong jawap saperti yang dipersetujui semasa projek ini dianugerahkan kepadanya.
6.Kita harus berdoa semoga Syarikat ini berjaya kerana keperluan untuk daging lembu sangat mendesak. Negara mengimport hampir 80 peratus keperluan daging dari luar Negara untuk keperluan tempatan.

Iklas,
Rahim

Anonymous said...

Tertunggu-tunggu jugak, nak tahu apa komen sdr kita yang katanya sudah 25 tahun main saham.

Yang pasti GLC adalah antara entiti bisnes yang rajin option berhenti kerja kepada pekerjanya.

Raja2U,

IPO secara tradisionalnya untuk dapatkan dana pelaburan baru dari orang awam - bagi bayar hutang ataupun kembangkan bisness.

Apa bisness plan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Felda Holdings Bhd, entah siapa yang tahu.

p/s Apa itu Synergy Drive? Apa business plannya masa buat IPO dulu? Apa pula yang berlaku sekarang?

Fed Up

Anonymous said...

tumpang lalu DAKJ.

1. Apa pengalaman keluarga sharizat ni dalam bidang bela lembu.... india tepi highway LATAR saya rasa lebih baguih... ...
kalau syed bukhary x pa la jugak bab dia dulu penah meniaga lembu...

2. dia tau ka penyakit kuku dan mulut..

3.Ape ke hai yg dok sewa pejabat NFC ni kat Mont Kiara.....kawasan tu mahai woi....ni nak beniaga ka nak begaya..

4. apa paedah nya pada rakyat malaysia projek ni kalau daging semua untuk restoran dia yg dikatakan terkenal ( la ni baru tau ).....harga makanan kat situ org macam saya boleh tengk jela...

geram datok geram...dulu nak minta lembu pawah bukan main lagi jabatan haiwan letak syarat....ni senang2 depa dapat 250juta...

satu lagi buat org pantai dalam......selama ni syarizat tu dok kencing hangpa la.. kadang-kadang terpikir gak nak pulang balik kain pelikat yg dia sumbangkan takut beli pakai duit NFC...

UMNO/BN....selimut hangpa dah kecik kut...semakin hangpa sorok makin luas tededah..... tapi rosmah relax ja...janji boleh shopping....x gitu FLOM


cowboy taiping

A KADIR JASIN said...

Nak kena respons Cowboy Taiping pasai apa yang dia tulis banyak sentuh sanubari saya. Kalau dia Cowboy Taiping, saya masa budak-budak dulu cowboy kampung.

Bela lembu, kerbau dan kambing tolong ayah, tok dan tok wan. Banyak kita belajar bila bela haiwan. Daripada situlah kita belajar "birds and bees" versi kampung.

Satu tahun habis satu kandang mati kena penyakit kuku dan mulut. Rugi satu hal, busuk satu hal lagi. Nasib baik masa tu ada banyak "vultures" - burung nasar. Orang Utara kata eriang, makan bangkai.

Betul Syed Mokhtar berniaga lembu dan kerbau. Dia bela di padang ragut belakang rumah saya. Dia dan ayahnya import dari Siam dan simpan di pusat kuarantina dekat stesen kereta api Alor Star.

Dia belajar di Saint Michael Independent, saya belajar di Saint Michael bantuan Kerajaan. Saya sekolah pagi, dia sekolah petang. Saya jadi wartawan dia jadi usahawan.

Sekarang bukan pertanian lagi tapi industri asas tani, jadi kenalah bergaya. Mana boleh berniaga lembu macam Syed Mokhtar lagi atau jaga lembu macam saya dulu-dulu? Sekarang mesti gaya korporat.

Pasal Taiping, saya suka Taiping atau Tepeng. Dulu, zaman darurat, Tok Wan saya bawa saya melawat Tepeng. Jauh tu dari Pendang. Tok Wan ada kereta Austin A40 yang kuat macam kereta kebal.

Sekian cerita zaman dulu kala.

Terima kasih.

Orang Kampung said...

Dato:

Alahai Malaysia punya dalam.
Bila kemalangan mati banyak dekat lebuhraya.
Kemudian kemalangan banyak juga bila hari raya.
Saat ini panas lagi bila nak pilihanraya PRU 13.

Bila dekat pilihanraya saya nak komen yg simple sahaja Dato.

1.Apa nak jadi dengan VIP UMNO bawahan yang masih rapuh dengan semangat juang.

2.Apa nak jadi dengan VIP UMNO pertengahan katanya gaduh-gaduh belum reda.Impian nak jadi calon pula jadi rebutan.

3.Apa naj jadi dengan VVIP atas UMNO.Katanya nafsu sudah melambung tinggi.
Ibarat ayam pening didalam kepok padi.
Ibarat itik dahaga dikolam.

Kenapalah jadi begini.Tak cukup kah dengan apa yang ada.Ingatlah sama pada bangsa kita yang kian tersepit dan dihimpit.

Sekian terima kasih Dato.

abdullahngah said...

berkenaan pilihanraya, saham dan daging dapat saya buat kesimpulan begini:

1. ada penipun
2. ada pembohongan
3. ada rasuah
4. ada riba
5. ada pengkhianatan
6. ada penyelewengan

maka teringat saya kalam al-quran "barangsiapa yang buat baik masuk syurga dan barangsiapa yang buat jahat masuk neraka".

Pendek kata ia suatu kejahatan yang mungkin sukar mendapat keampunan miskipun bertaubat "nasuha".

Mengapa tidak? mereka berdosa dengan rakyat (manusia). Jika rakyat tak memaafkan amatlah malang. lebih lebih lagi pada rakyat yang telah meninggal dunia.

Makan "riba" jika berhenti dan tak tak sempat bertuabat, sah kekal dalam neraka. Demikian bagi yang berhutang juga tak dapat masuk syurga.

Apa pun mereka sejak dulu hingga kini sering beramal dengan amalan ahli neraka yang putus dengan rahmat Allah.

saji said...

Sdr Rahim

"3. Projek NFC adalah sabuah projek berimpak besar untuk menambah bekalan daging Negara. Sudah sewajarnya dirancang dengan teliti oleh pegawai-pegawai profesional Kementerian Pertanian."

Di kalangan kelulusan pertanian, yang saya tahu, kelulusan Veterina/Haiwan sahaja golongan profesional. Yang lain tidak.

Kalau pegawai2 di Kementerian Pertanian yang terlibat dalam Projek NFC merupakan golongan profesional atau ahli ikhtisas, mengapa mereka tidak menjelaskan kepada Menterinya, apa itu ESCROW ACCOUNT?

Saya merujuk kepada pembahsan di Perlimen di antara YB Azmin Ali dengan Menteri Asas Tani mengenai NFC yang memalukan Kemeterian Asas Tani kerana Pak Menterinya tidak tahu apa itu ESCROW ACCOUNT!

Di samping itu, untuk maklumat sdr, bidang pertanian masih belum memiliki dokumen kontrak bagi Kerja2 Pertaniannya sendiri atau masih meminjam kontrak bagi Kerja2 Awam atau Civil Engineering Works, yang mana TS Mahyuddin Yassin ketika menjadi Menteri Asas Tani dulu menjanjikan untuk menghasilkannya.

Saya timbulkan perkara ini kerana, dalam sistem ekonomi/muamalat Islam, kontrak bagi Kerja2 Pertanian diletakkan dibawah hukum/ kontrak Jual Beli Salam, manakala kontrak bagi Civil Engineering Works yang dicipta oleh Barat yang seadanya di bawah kontrak Jual Beli al Istisna'/Tempahan atau al Ijarah/Upahan.

...SAJI

Anonymous said...

DAKJ,

Kelmarin Dr Mohamad Salleh akhirnya telah membuat kenyataan akhbar berhubung 'skandal' NFC setelah sekian lama berdiam diri dan beberapa pihak tertentu menyerangnya. Antara lain, katanya wang RM250 juta adalah pinjaman (loan) dan bukan grant.

Soalnya, kenapa dia mengambil masa yang begitu lama untuk memberi penjelasan sehingga isterinya didesak oleh Ahli Parlimen dari UMNO sendiri meletak jawatan. Dan juga selepas TPM meminta syarikat sendiri memberi penjelasan.

Apakah mungkin syarikat mempunyai muslihat atau sedang mencari helah untuk berhadapan dengan serangan-serangan tersebut ?

Pada saya 'damage is already done. It's an uphill task for Shahrizat to win the elections even though she may not be directly connected to the NFC'.

Mungkin Dato boleh komen.

ZMS

langitbiru said...

Assalamualaikum Dato,

Saya nak bertanya kepada dato' satu soalan, saya harap Dato' sudi menjawabnya.

Mengenai AA-MAS, apakah ADA/TAK ADA, "insider trading" di dalamnya?

Saya bertanya, kerana Dato adalah Pemberita Ekonomi yang sangat disegani ramai.

Saya sangat berharap, dato dapat beri sedikit jawapan untuk semua pelayar disini khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Sekian. Terimakasih.

Hamba Allah said...

Dato.

Bila meletup isu NFC ini Dato saya berasa amat kasihan bila melihat suami-suami makcik/kakak wanita UMNO.

Punyalah berjuang.

Terima kasih Dato.

Hamba Allah.

Orang Kampung said...

Dato.

Isu NFC ada hikmahnya yg tersendiri.Pertama untuk rakyat sebagai pengundi buat renungan dan penilaian .Kedua pengajaran pada DS najib dan seluruh pemimpin negara agar teliti ,cermat dan waspadalah dalam nak tentukan calon nanti.

Siapa lemah terimalah akibatnya nanti.Percaturan politik kini cukup sengit sekali.

Itulah politik namanya.

maae said...

1. Masa dulu setiap adik beradik saya ada akuan untuk setiap ekor lembu yang di ternak. Ada akuan nama merah, akuan nama tompok putih, juga bulu putih (induk).

2. Akuan saya yang nama nya hitam (memang hitam berkilat bulu nya) garang lagi sebab jantan yang mana lain-lain tak berani dekat... saya terpaksa redho sahaja, dah tu saya yang kecil. Terima saja lah.

3. Jual hitam memang tinggi harga nya. Kalau terma saham, "bullish". Dapat upah 20 ringgit( besar nilai nya)saguhati hari-hari penat menjaga. Selebih nya buat belanja kenduri kahwin kakak tersayang... Kalau di korbankan tiada pula hasil untuk belanja kenduri .. mana nak cari duit, kami orang miskin... Arwah Bapa ganti beli daging di pasar saja.

4. Untung lembu-lembu sekarang. Nama nya john,marcus,michelle duduk dalam kandang (bahasa sekarang kondo) mewah lagi. Sekilo daging RM 24.00.

5. Tak mampu beli..

p/s lupe lak...Salam Datuk...

Rao Lanun-Bahaso said...

Dato Kadir,
Salam Sejahtera

Retak Mencari Pecah
(kita sudah hilang kepercayaan)

Nak kata kita setan, katalah, Dato.

Dalam hal NFC, saya sudah tak percaya kata-kata yang tidak ada kesalahan jenayah tidak berlaku. Yang saya YAKIN kerajaan mahu tutup kesalahan Sharizat melalui siasatan polis yang akan kata tiada kesalahan jenayah telah dilakukan oleh pengurusan NFC.

Angin gawat sudah bertiup. Rasa-rasanya angin Arab Spring akan sampai tak lama lagi - tak siang, petang. Api sudah menyala, , lagi ditiup lagi menjadi. Tak tiup pun akan membesar cepat atau lambat, api yang sudah tidak boleh dipadamkan.

Serupalah sapertinya pertanyaan Sdr Langitbiru; apa sahaja Dato turunkan saya tak percaya langsung.
Yang saya yakin ada 'insider trading' walaupun Dato kata tiada. Dah kata orang, 'Aku dah menyampah!' Maaf, mahaguru ku.

PRU13, tak kisahlah BN menang kecil kah, menang besar - Ramai yang yakin PRU13 pilihanraya telah nodai.

Nak kata kita setan, katalah, Dato.

Maaf. Sudah saya katakan ada orang pembawaannya tak baik; dan sekiranya ada mereka pandai itu dan ini, kata saya ada juga mereka yang serupa hebat sekira tidak lebih hebat.

Tapi jangan hirau kata-kata saya yang dungu ini, bahkan nak kata kita setan, katalah.

Nak siakan comment ini, siarkan; nak bakulsampahkan, buatlah. Wajib bahasa.

Sekian dan maaf, Mahaguru-ku.

saji said...

Sdr Fed Up

"IPO secara tradisionalnya untuk dapatkan dana pelaburan baru dari orang awam - bagi bayar hutang ataupun kembangkan bisness.

Bagaimana kalau saya kata nak bagi kat kroni orng2 Najib khasnya dan nak bayar hutang EPF RM 6,000,000,000.00.

langitbiru said...

Assalamualaikum Dato’

Apabila Dato’ cerita pasal insider trading ECM Libra-Avenue Capital, pada pandangan saya, majoriti orang yang berkuasa menggunakan pengaruh kuasanya secara ‘ghaib’ melakukan insider trading ke atas syarikat-syarikat besar, kemudian menggunakan wang negara atau syarikat diserap jadi hak milik negara bagi menampung kerugian juta-billion ringgit. CUKUP MUDAH bagi orang yang berkuasa mengaut keuntungan sekelip mata.

Apa beza ECM Libra-Avenue, berbanding Harvest Court???

Januari 2006, KJ beli share ECM pada harga 71 sen, selepas 3 minggu harga naik RM1.06 per share. (KJ beli 13 juta saham)

Harvest Court 13 Oktober harga saham 8 sen, naik RM2.14 sebulan kemudian, 14 November. (Mohd Nazifuddin Anak lelaki Najib beli 3 juta saham)


Saya fikir, tak perlu belajar ilmu ekonomi tinggi-tinggi sangat nak faham simple matematik tersebut.
Kalau tak ada KUASA di belakangnya, macammana harga saham melonjak naik sekelip mata?

Jadi, mereka yang berkuasa ni guna kuasa jadi Penyamun Tarbus berlesen!!! Semua halal. Rugi, minta kerajaan serap, jadi GLC, tutup segala lubang-lubang penipuan.

Di kampung-kampung, berkempenlah mereka, kamilah pembela Melayu, pembela Islam, KONONNYA!

Saya berdoa, agar UMNO ni berkubur dalam PRU13 nanti, Ameen.

saji said...

Sdr Cananga

"1. Topik NFC dan daging lembu secara langsong
melibatkan rakyat dan negara.

2. Menteri Asas Tani telah menjelaskan hubungan NFC dengan Kerajaan.

3. Antara lain beliau menjelaskan bukanlah tanggongjawab Kerajaan untuk memantau kedudukan kewangan NFC setelah Kerajaan meluluskan tuntutan NFC sebanyak RM250J.

4. Kerajaan juga tidak ambil tahu bagaimana NFC
boleh membelanjakan wang itu dengan membeli
sebuah kondo.

5. Saya berfikir kalau Kerajaan yang mengeluarkan Dana untuk projek ini kenapa Kerajaan tidak ada hak memantau kedudukan kewangan NFC?

6. Siapa punya NFC ini?"

Komen:

Antara Bagaimana TDM Merancang, Membangun dan Memajukan Projek Pusat Pentadbiran Putrajaya (PPP) dengan TAB atau KJ bersama TSM Merancang, Membangun dan Memajukan Projek Pusat Fidlot Kebangsaan atau NFC, Dari Segi Memantau Wang Rakyat yang Dipinjamkan:

Projek PPP dirancang, dibangun dan dimajukan menggunakan wang pinjaman daripada PETRONAS dengan persetujuan Perbadanan Putrajaya sebagai pemaju dan pemilik projek melantik anak syarikat PETRONAS - KLCC sebagai Perunding Pengurusan Projek atau PMC.

Projek NFC dirancang, dibangun dan dimajukan menggunakan wang pinjaman daripada Kerajaan Pusat dengan persetujuan NFC sebagai pemaju dan pemilik projek meletakkan wang pinjaman dalam Tabung Amanah Khas yang dijaga oleh sebuah jawatan kuasa yang diketuai oleh Jabatan Veterina di bawah Kementerian Asas Tani.

...SAJI

Anonymous said...

ZMS,

Apa beza loan dan geran? Loan kena bayar balik, geran belum tentu.

Sebaliknya, loan dan geran datang dari kerajaan dan ini juga bermakna duit itu datang dari dana rakyat.

Baiklah, for the sake of argument, kita anggapkan duit itu duit loan.

1.Apa syaratnya nak buat pinjaman dengan kerajaan - saya pun tengah berkira-kira nak pinjam dua/tiga ratus juta ni; untuk tujuan pertanian...

2.Adakah dengan memberi loan dan bukan geran maka kerajaan boleh melupuskan haknya untuk memantau penggunaan wang yang telah diberi?

3.Jika NFC dirancang dengan beberapa fasa hingga melangkau beberapa tahun, kenapa pinjaman RM250 juta diberi semuanya sekaligus? Sila semak bagaimana pelajar IPT hendak dihadkan pinjaman PTTN kepada yuran sahaja (menunjukkan salah satu komitmen kerajaan).

4.Bolehkah kerajaan beri pinjaman PTPTN sekaligus untuk keseluruhan 4 tahun kursus sarjana muda supaya pelajar boleh melabur (atau membuka perniagaan kecil-kecilan) sebahagian wang yang belum perlu digunakan lagi?

Persoalan lebih utama, adakah NFC (walaupun namanya Feedlot) satu projek menggemukkan lembu atau menternak lembu?

Menggemukkan lembu maknanya beli anak lembu, besarkan dan kemudian sembelih.

Menternak lembu maknanya membiakkan lembu dan hanya menyembelih lembu yang matang dan bukan baka.

Yang ini, kerajaan dan suami Shahrizat tak cakap manakala pembangkang pun tak tanya.

Fed Up

Rawa Lanunbahasa said...

(Pembetulan)

Dato Kadir
Tuhan merahmati kamu!

Hangus Menanti Rentung: BERSIH 3.0
(buy gold, buy silver)

Terima Kasih kerana banner di kepala blog
menyuruh kita bertindak menghapuskan
semua sarang nyamuk - semuanya!

i. Nyamuk-Nyamuk Mengamuk

Ades dan denggi satu hal
sapu bagi bersih semuanya
bersih1 bersih2 bersih3

down with najib! bring down najib!
down with najib! bring down najib!

Nyamuk biasa mahupun nyamuk manusia
tetapi di mana mereka, sarang mereka
nyamuk-nyamuk manusia lagi celaka
bolehkah dihapuskan terasap semuanya

down with najib! bring down najib!
down with najib! bring down najib!

Nasib tak baik malang sekali
marahkan nyamuk kelambu dibakar
bersama isi kelambu anak isteri
bini yang lain cabut lari bak pencuri

down with najib! bring down najib!
down with najib! bring down najib!


ii. Terajang Melayu Terjemahan PPSMI

Hishammuddin thinks he is bigman
getting to feel wearing the POWER
he's da man! at the top of the tower
where grow the tree and the flower

While many wanting to convert for the hour
gold or silver kept in safe vaults and boxes
on an island a familiar haven
till away fly the hungry raven
along with the chill of an evil wind

down with najib! bring down najib!
down with najib! bring down najib!
down with najib! bring down najib!
down with najib! bring down najib!


iii. The Sufi And His Dinar

Alhamdulillah masya-allah subhanallah
all in all the sufis grow rich
buy buy buy
the dinars and the dirhams
gold and silver bullions and coins
buy buy buy
- 'salamu'alaikum!
- malaysia good bye!
and off they go with a smile

Sekian dan Terima Kasih

Competente said...

Datuk,

Bagaimana sebuah projek yang bermatlamatkan untuk meningkatkan pengeluaran hasil daging tempatan boleh melaburkan wang dalam pembelian kondominium pula, dengan alasan pembelian kondominium itu boleh membuahkan hasil yang lebih tinggi?

Jika rasa perniagaan hartanah lebih menguntungkan dan yakin bahawa lebih baik memasuki pasaran hartanah dari membela lembu, kenapa pula membela lembu pula? Projek tersebut boleh diberi kepada mereka yang betul-betul berminat dan berkebolehan dalam membela lembu.

Samada mereka-mereka ini lebih 'lembu' dari yang betul-betul lembu atau cuba untuk me'lembu'kan rakyat Malaysia. Ibarat kata orang putih, 'tahi lembu' atau 'bull shit'

Unknown said...

Dato',

Lama dahulu kebanyakkan tanah di Negeri Sembilan dimiliki oleh Orang Asal (sebelum ini disebut Orang Asli)Negeri Sembilan.

Apabila pendatang Minangkabau datang, kebanyakkan tanah-tanah tersebut bertukar milik (dijual atau lain-lain cara)kepada pendatang Minangkabau.

Malah, Ketua Orang Asal (Tok Batin)juga sanggup menyerahkan anak-anak perempuan mereka (dikahwinkan) kepada pembesar Minangkabau.

Kisah ini menunjukkan seolah-olah pendatang Minangkabau yang lebih bertamadun dan cerdik 'mendapat semua.'

Bagaimanapun, keadaan sebenar tidaklah sedemikian. Sebaliknya, Orang Minangkabau yang mempunyai kuasa dan lebih cerdik telah mewujudkan kaedah agihan 'menang-menang.' yang amat klasik.

Buktinya, sehingga ke hari ini keturunan anak perempuan Orang Asal yang berkahwin dengan pembesar Minangkabau itu sahaja yang layak menjawat jawatan Undang Luak dan jawatan-jawatan penting yang lain dalam Sistem Adat Perpatih.Keturunan itu juga diberi keistimewaan membayar cukai tanah yang lebih rendah.

Alangkah harmoninya hidup ini jika penguasa berlaku adil dan tidak mengambil kesempatan ke atas peluang yang ada.

Anonymous said...

food for thought....
based on the pmo website (http://www.pmo.gov.my/?menu=cabinet&page=1797)
there are 31 ministers in malaysia

lets recount the scandals involving questionable spendings with our all capable mininster

1. Transport, PKA
2. Women, NFC
3. Tourism, million RM facebook
4. Defence, jet engine hilang, submarine, copper
5. MOF, various various bailout
6. Youth & sports, bloated Sea games officials, wana built something sport centre in UK as covered by the sun
7. So on so fort
8. seems to be..most of our leader dipped a hand into our reserve, and have no shame doing that
9. This is federal level only, what about state level, how much have these pple taken?
10. What scares me
a) how long have they taken
b) how much have then taken
c) how much more to go, before our reserve go empty
d) how long can this go on?

Regards

Concern man

Anonymous said...

Harun Misai

Ybhg Datuk Kadir,

Dalam keadaan sekarang ini marilah kita ambil iktibar dari senario Greece dan Italy. Kita tidak perlu buat pilihan raya. Kita lantik saja Perdana Menteri dari kalangan ilmuan untuk pimpin negara sehinggalah ombak dan gelombang perpecahan di negara kita reda. Dalam keadaan sekarang yang mana kedua pihak kerajaan dan pembangkang. Sama Gagah ( ada nama tempat nama begini di Kedah kan?) Akan menjadi pertarungan sangat sengit dan medan akan menjadi padang jarak padang terkukur. Yang menjadi mangsanya adalah belalang.

Mengapa PM Greece dan PM Italy senang-senang saja pindah kuasa. Mengapa pula ketua pembangkang senang-senang tidak tuntut kuasa.

Harun Misai

saji said...

Sdr Rao Lanun -Bhhaso

"Dalam hal NFC, saya sudah tak percaya kata-kata yang tidak ada kesalahan jenayah tidak berlaku. Yang saya YAKIN kerajaan mahu tutup kesalahan Sharizat melalui siasatan polis yang akan kata tiada kesalahan jenayah telah dilakukan oleh pengurusan NFC."

Kalau tiada kesalahan di bawah undang2 JENAYAH mahupun undang2 KONTRAK, pasti ada kesalahan di bawah undang2 TORT-kesalahan kerana negligence/ cuai menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Takkan pegawai2 polis yang ada kelulusan undang2 dan pegawai undang2 di Pejabat Peguam Negara tak belajar undang2 TORT?

...SAJI

DinSup said...

Assalamualaikum,

Saya rakyat jelata yang hanya nak berkata-kata;

1. Kat Jepun kalau nak bagi daging lembu lembut, sedap dan enak di makan, tuannya akan membelai, menyikat bulu, mandi, mendengarkan muzik dan masaj secara berjadual.
2. Betulkan saya kalau saya salah, projek NFC, penasihatnya belajar dari Jepun kot. Itu pasal depa beli kondo, 2 unit. Satu untuk kelaurga tuan lembu dan 1 untuk lembu-lembu (kena bergilir2, 8,000 ekor, banyak tu). Kalau diikutkan fasaliti kat kondo, memang lengkap untuk mencapai objektif mengahasilkan daging lembu yang berkualiti. Untung lembu NFC NI, boleh hidup dalam persekitaran kondo yang kondusif, bersih, hawa dingin dan penuh dgn belaian manja. Berak kat tandas duduk, berkubang kat kolam renang, minum jus dll2.
3. Kalau betul anggapan saya ni, saya memang 'sokong' penuh projek NFC ni, matlamatnya berada selangkah di hadapan Wawasan 2020. Tun Mahathir pun tak terfikir bab ni, agaknya laa.
4. Kalau buat sup, bihun sup utara pulak, letak gearbox dgn straw, sambal merah, potong asam limau meletup kedai sup saya. Ramai boleh jadi usahawan berjaya dgn guna daging NFC. Mau tak tidoq malam semua peniaga sup..dok angan2 nak beli kondo besar juta2 (duit untung niaga).
5. Kalau beginilah visi pemimpin yang bagi loan pada usahawan tulin NFC, saya pangkah terus PRU13 dan PRU14, sebab tak mau depa jatuh, nanti untung pun tak terjamin.
6. Boleh pakai ka, idea saya ni Dato'? Itu lah kebaikan yang saya nampak hasil dari ilham pemimpin UMNO yang cerdik pandai.
7. Saya panjangkan doa ke hadrat Ilahi TANPA WAS-WAS DAN RAGU-RAGU, semoga pemikir, pemberi pinjaman, pemilik NFC, keluarganya dan kroni projek ini mendapat balasan kebaikan yang berganda-ganda dari Allah s.w.t.

Rao Lanun-Bahaso said...

Dato Kadir
Salam Hormat

Dengan Izin

Sdr Saji,

Saya berkata:

saya YAKIN kerajaan mahu tutup kesalahan Sharizat melalui siasatan polis yang akan kata tiada kesalahan jenayah telah dilakukan oleh pengurusan NFC

Saya kurang arif mengenai prinsip Escrow Account. Saya juga kurang arif mengenai TORT sama ada ia semacam civil suit di Amerika Syarikat.

Yang saya terdengar IGP mengatakan mereka perlu minit mesyuarat Menteri mengenai NFC yang tertakluk kepada OSA.

Pada saya, saya mahu tahu bagaimana Escrow Account itu di'activated' dan apa syarat-syaratnya khusus pada NFC.

Mungkin Sdr Lawgiver dapat memberi penjelasan yang lebih baik dan tepat. Marilah kita tunggu Sdr lawgiver atau mereka yang arif mengenai Escrow Account dan Pecah Amanah (CBT)

PDRM dikatakan menyesat sekiranya ada pecah amanah; dan pada hemat saya minit-minit mesyuarat menteri itu sangat penting. Saya amat menghormati IGP dan sanjung kecekapan, kebersihan dan amanahnya PDRM; cuma IGP menjawab kepada Kerajaan(Menteri Dalam Negeri yang menjawab kepada PM)

Maaf.

Anonymous said...

assalamualaikum wbt.....

1. puak2 macam ni la kita sebut sebagai penyangak

2. puak2 macam ni la yg mengKHIANATI dan meMALUkan melayu dan ISLAM

3. hanya kerana mereka ada kuasa, tak bermaksud negara ni KELUARGA mereka yg punya

4. AA-MAS, ECM-LIBRA, SIMEDARBY, tak cukup lagi ka?

5. memang majoriti takyat tak paham dan tak tahu apa berlaku, tapi jangan ingat takdak sapa2 tau..anomali macam ni bukan senang nak tutup...

6. NFS niat dan matlamatnya bagus dan amat penting utk negara, tapi yg diamanahkan dan diberi peluang tak ubah macam puaka..sama la macam DEB..

7. rm250juta bukan sikit..untuk apa beli apartment berjuta2, katanya utk pelaburan..kenapa tak boleh fokus pada pelaburan skarang (lembu2)

8. pecayalah, projek ni akan lingkup macam mana MAS lingkup..bagi bisnes kapal terbang kat orang yang tak paham, bagi bisnes lembu kat org yg x paham..last2, salah guna la..apalagi

9. Shahrizat sebaiknya berundur, yg setuju bagi pinjaman patut berundur, kerana mereka ni lah, UMNO yg tok nenek kita mati2 pertahan dapat nama buruk...

10. memalukan....

wassalam

-IDIOPATHIC IDIOT-

Anonymous said...

Cerita pasal ECM-Libra....ape pangdangan DAKJ pasal Media Prima ngan NSTP sebab datuk pernah menjadi 'orang besar' di NSTP ..


cowboy taiping

Rao Lanun-Bahaso said...

Dato Kadir
Salam Hormat,

Dengan Izin

Banci PRU13
(tolong-tolong kawan)

Sdr IDI-Idiot, mengetahui apa yang sdr tahu tentang urusan syarikat GLC, siapakah anda akan undi pada PRU13?

Sekiranya anda menyokong UMNO, saya berterima kasih sahajalah.

Saya mahu turunkan najib anak Tun Razak dari jawatan PM. Adakah turunnya najib dari jadi PM ke6 akan memberi kesan yang baik kepada pengurusan GLC?

Salam Bahagia

zul kepong said...

dato cerita org lain punya penglibatan saham,anak najib,menantu pak lah..tapi datuk tak cerita pun psl mokhzani,misc jual kpd petronas..ye la,idola datuk kan...mana ada kontreversi

Anonymous said...

Saya mahu mengomel kepada tuhan pemberi rezeki!

Dunia penuh dengan ketidak-adilan dan kesamarataan rezeki tuhan.

Anak Pak Lah, apa ada lagi dalam Scomi, sebuah konglomerat yang berjaya dan adakah tindakan setakat beli saham untuk 'spekulasi' semata-mata dan bukan pembelian strategik?

Bagaimana prestasi nazir dengan Simenya? nazir kapitalis unta!

Dunia penuh dengan ketidak-adilan!
Mari kita adakan 'OWS' kita, Sdra Zul Kepong!

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).