Tuesday, December 12, 2017

Apandi, Sumpah Bohong dan hipokrasi Orang Islam



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

KALAU ada angka tunjuk kemunafikan (hypocrisy index), Malaysia tentu mendapat kedudukan yang tinggi. Walaupun Islam mencegah hipokrasi, orang Malaysia, termasuk yang mengaku beragama Islam, terkenal dengan amalan cakap lain buat lain.

Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib
Sebab itulah dalam indeks keislaman (Islamicity Index), Malaysia dan negara-negara Islam lain mendapat markah rendah.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Indeks ini mengukur amalan ciri-ciri Islam dalam pelbagai aspek kehidupan harian. Ia diilhamkan oleh dua orang cendekiawan Islam Amerika, Hossein Askari dan Hossein Mohammadkhan.

Bagi indeks terbaru, iaitu tahun 2016, Malaysia menduduki tempat ke-41, naik daripada anak tangga ke-43 tahun sebelumnya. Semua negara yang mendahului kita adalah negara bukan Islam. Negara nombor satu tahun 2016 ialah New Zealand dan 2015, Belanda.

Bagi kedua-dua tahun itu, Indeks Keislaman Singapura lebih tinggi. Di anak tangga ke-22 pada tahun lalu dan 17 pada tahun 2015. Antara ciri yang diambil kira adalah kekuatan ekonomi, keadilan sosial, keselamatan dan bebas rasuah.

Nampaknya orang kafir lebih peduli kepada apa yang betul dan apa yang salah. Mereka sanggup mengambil risiko untuk menegakkan kebenaran.

Contoh klasik adalah penyiasatan dan tindakan undang-undang bersabit skandal penipuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd oleh negara-negara bukan Islam.

Hari ini semua yang telah bertindak ke atas skandal itu adalah negara-negara bukan Islam seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland. Indek Keislaman Amerika tahun lalu nombor 17 dan Switzerland, 5.

Hipokrit Malaysia

Sebab itulah jika pembangkang ditakdirkan menang dalam pilihan raya umum (PRU) tahun hadapan, mereka wajib mengambil tindakan paling tegas dan keras terhadap mereka yang terlibat berbohong bagi melindungi skandal ini.

Selain kepala-kepala politik Barisan Nasional, tindakan wajib diambil ke atas pegawai-pegawai utama seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Audit Negara.

Setidak-tidaknya pun mereka wajib disiasat bersabit peranan mereka menyembunyikan atau memanipulasi kebenaran. Dalam konteks ini, mungkin Ketua Audit Negara yang bersara, (Tan Sri Ambrin Buang) telah menjalankan tugas dengan telus.

Laporan Ambrin diOSAkan.
Saya katakan begitu kerana laporan penyiasatan beliau ke atas 1MDB yang diserahkan kepada Parlimen telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Maksudnya ada perkara buruk yang hendak disembunyikan oleh kerajaan daripada rakyat jelata sehingga Ahli Parlimen pun tidak dibenar membincangkannya. Siapa yang mendedahkannya akan dihukum.

Bagi SPRM pula, sesetengah pegawainya yang terdahulu telah dipindahkan secara tergesa-gesa atau ditekan agar bersara awal. Ini bermakna mereka telah menemui sesuatu yang buruk mengenai 1MDB dan SRC.

Kemudian pembunuhan amat kejam ke atas pendakwa raya kanan, Datuk Anthony Kevin Morais pada bulan September 2015. Morais disebut sebagai pakar dalam bidang pendakwaan rasuah dan dikatakan dalam proses merangka draf pertuduhan yang membabitkan penyelewengan RM42 juta duit SRC.

Enam orang yang terdiri daripada Kol Dr R Kunaseegaran, 54; R Dinishwaran, 25; A K Thinesh Kumar, 24; M Vishwanath, 27; S Nimalan, 24 dan S Ravi Chandaran, 46 – telah dituduh melakukan pembunuhan itu. Mereka telah pun diperintah supaya membela diri.

Peranan Peguam Negara

Dalam apa juga usaha dan tindakan merungkai skandal 1MDB dan SRC ini,  peranan Peguam Negara yang ada sekarang, Mohamed Apandi Ali adalah kemuncak (pivotal).

Beliau lah yang “membebaskan” Perdana Menteri, (I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak daripada segala tuduhan berkaitan skandal penipuan 1MDB dan SRC.

Dalam berbuat demikian, Apandi telah bertindak sebagai pendakwa raya, peguam bela dan hakim bagi menyelamatkan Najib.
 
Kita tentu masih ingat bagaimana beliau tergesa-gesa dilantik menggantikan (Tan Sri) Abdul Gani Patail, yang tempoh perkhidmatannya ditamatkan lebih awal atas alasan dia sakit.

Alhamdulillah, Allah Taala telah memperlihatkan pembohongan mereka. Abdul Gani bukan sahaja tidak sakit malah cukup sihat untuk membuka firma guamannya sendiri selepas dipecat.

Berbalik kepada Apandi, genap enam bulan dilantik Peguam Negara dia mengadakan sidang akhbar membebaskan Najib daripada segala kesalahan berkaitan duit RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya dan RM42 juta duit SRC yang diselewengkan.

Tidak dapat tidak kita terpaksa menamakan Apandi sebagai saksi utama dalam sebarang penyiasatan boda fide mengenai kegagalan mengambil tindakan ke atas penyelewengan 1MDB dan SRC.

Bukan sahaja dia telah menutup kes-kes di Malaysia malah dia juga enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa luar, khususnya Pejabat Peguam Negara Switzerland, yang sedang menyiasat pengalihan duit haram (money laundering) yang berpunca daripada 1MDB.

Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, dilaporkan berkata pejabatnya telah dua kali meminta bantuan MLA (Mutual Legal Assistance) daripada Malaysia, tetapi ditolak atas alasan kerjasama tidak boleh diberikan di bawah rangka kerjasama MLA.

Di sinilah terletak ironi atau keanehannya. Negara kafir peduli terhadap penipuan 1MDB dan mahu membantu mendapatkan balik duit curi itu supaya boleh dibagi balik kepada rakyat jelata Malaysia.

Singapura telah membekukan duit curi itu dan menghukum - termasuk penjara - pegawai-pegawai bank yang terlibat dengan pengalihan duit haram tersebut.

Amerika sedang menggunakan KARI, iaitu inisiatif mendapatkan balik harta negara yang digelapkan oleh kerajaan pencuri (Kleptocracy Asset Recovery Initiative).

Pada 5 Disember, Peguam Negara Amerika yang baru, Jeff Sessions, berkata separuh daripada AS$3.5 bilion (kira-kira RM15 bilion) aset curi yang dirampas oleh pihak berkusa Amerika adalah harta yang berkaitan dengan 1MDB.

Jeff Sessions: 1MDB kleptokrasi terburuk di dunia
Beliau memberitahu satu persidangan antarabangsa mengenai harta curi bahawa pencurian wang 1MDB adalah kes kleptokrasi (kerajaan pencuri) terburuk di dunia.

Pendek kata, kalau Apandi ada hati kecil (conscience) dia wajar bertanya kepada hati kecilnya itu adakah apa yang dia telah dan sedang lakukan itu benar dan betul.

Kalau seorang penyiasat Biro Penyiasatan Pusat Amerika (FBI) sanggup bersumpah mengenai 1MDB dan menghadapi risiko dihukum penjara lima tahun sekiranya berbohong, adakah Apandi boleh dibiarkan dengan penafiannya?

Agen FBI yang menyiasat harta yang dibeli dengan duit curi 1MDB itu boleh dihukum penjara lima tahun di bawah undang-undang sumpah bohong (perjury) kalau maklumat yang diberikannya tidak tepat.

Nampaknya sebuah negara bukan Islam lebih serius dalam usaha membantu kita mendapatkan balik harta negara yang dicuri oleh para pembesar kita sendiri.

Tetapi di Malaysia ada lagi manusia yang mempertahankan jenayah global itu dan marah apabila gelaran “lanun Bugis” digunakan.

Apakah orang ini tidak berasa malu dan berasa bersalah mengaku Islam, menadah tangan ke langit berdoa dan mengelilingi diri mereka dengan tuan guru, tok haji dan tok lebai tetapi melakukan jenayah besar yang satu dunia sudah tahu?

Boleh jadi kerana sifat munafik ramai para pembesar kita dan sikap tidak ambil peduli sebahagian rakyat jelata maka hari ini Malaysia dipersendakan dan dijadikan hamba oleh negara-negara yang berkepentingan.

Wallahuaklam.

26 comments:

rakyat marhain said...


KALAU ada angka tunjuk kemunafikan (hypocrisy index), Malaysia tentu mendapat kedudukan yang tinggi. Walaupun Islam mencegah hipokrasi, orang Malaysia, termasuk yang mengaku beragama Islam, terkenal dengan amalan cakap lain buat lain.

Salam Dato,

Tahniah Dato...Satu kenyataan yang sangat tepat. Ahli ahli politik di Malaysia sekarang ini sangat tinggi sifat kemunafikan mereka tidak kira samada yang bersongkok, berkopiah, malah yang berjubah dan berserban sekalipun.

Ayat ayat Quran dan Hadith ditafsirkan mengikut kehendak nafsu kepentingan politik, ada kala mereka merujuk kitab "hijau" adakala mereka merujuk kitab "biru" mengikut kesesuaian kehendak nafsu mereka. Rakyat dikampung dan didesa yang tidak mendalami ilmu agama diperbodohkan dengan istilah istilah arab, ie wala', taawun, tahalluf dan lain lain yang ditafsirkan mengikut kehendak nafsu politik yang sering diubah ubah mengikut kehendak nafsu mereka yang berkuasa.

Ini lah bala' dan penyakit yang sedang menimpa umat melayu/islam dalam negara kita sekarang ini.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari bala' yang sedang melanda negara kami yang tercinta ini.

Waghih said...

AsSalam Datuk ...

Kalau bonar ado hypocricy index dah tontu AS duduk paling ateh . Buek baik dongan negaro islam lopeh tu lagokan . Oghang buto nampak .

Kleptocrisy indek lak dah tontulah dipogang olih Turn M.
Forex BNM RCI baru ni nunjuk camno Turn M uruskan negaro bersamo kroni2 dio . Mojo pemerintahan Turn M ni iolah " Tak Tau " dan " Tak Ingat ".
Sumo duit yang hilang tu sebanyak Rm 31 billion tu dipogang olih proxi dan kroni dio . Barry Wain khobar jumlah ehh sebanyak Rm 100 billion .
Duit tu sumo dipogang olih panglimo2 proxi dio sehinggo bersaro . Lopeh bersaro melotup anak2 ehh jadi billionaire .

DOJ Session ni lak samo level baghal dongan Lapisi . Tak tau cerito dopan belakang ....
1MDB takdo report hilang duit.
LCA dah memihak pado 1MDB.
VI authority dah sahkan anak syarikat IPIC VI adolah sah kepunyaan IPIC. Makno ehh apo2 pembayaran hutang 1MDB adolah sohih pado IPIC .

So .. Session ni poning kepalo sekarang. Duit n asset siapo DOJ rampas .
Pado siapo nak dipulangkan duit n asset tu .

Melayu Khai dan Cino Cheng ghupo eh dah nampak bondo ni ...
DOJ kono pulangkan duit dan asset yang dirampas pado pengadu .
Dalam kes ni yang dapek iola Melayu Khai dan Cino Cheng .
Briliant strategy of Turn M ...Kleptocrisy at its best ..

Waghih.

awang kualaberang said...


Tahniah Dato.

Satu artikel yang sangat tepat!!!

PutraKraken said...

Salam Datuk

Hipokrasi (Melayunya dari perkataan Hypocrite dalam bahasa Inggeris)

Mengikut Kamus Webster
Definition of hypocrite for English Language Learners. : a person who claims or pretends to have certain beliefs about what is right but who behaves in a way that disagrees with those beliefs.

Mengikut Dictionary.com - Hypocrite is
a person who pretends to have virtues, moral or religious beliefs, principles, etc., that he or she does not actually possess, especially a person whose actions belie stated beliefs. ... a person who feigns some desirable or publicly approved attitude, especially one whose private ...

Kekadang orang kita tahu menyebut perkataan tapi tak tahu asal usul dan makna sebenar perkataan tersebut.

Tetapi orang melayu kita, kalau perkataan Inggeris, mereka munkin kurang paham dan tak mahu memahami...tapi kalau perkataan arab mereka cepat menerima dan dengan mudah meminggirkan perkataan melayu yang sedia ada. Berbuka puasa menjadi Iftar!...dan banyak lagi. Perkara ini (peng "arab" an) begitu meluas hingga sistem perbankan "Islam" yang inti patinya masih berlandaskan sistem conventional berdasarkan "interest". Pengislaman sistem bank ini hanya pada nama dan jenama sahaja...atau lebih tepat di"arab"kan. Segala transaksi masih di selitkan dengan "Peratusan (%)"

Berbalik kepada "Hipokrasi"
Saya kira melayu akan lebih terkesan kalau kita gunakan perkataan "munafik"...ianya memberi makna yang sama dengan hipokrit....
Tapi siapa peduli dengan golongan munafik...kita juga termasuk dalam golongan ini secara sedar atau tidak.

Munafik sengaja atau tidak sengaja?...atau kita hanya tahu melabel orang lain sebagai munafik?
Pemimpin yang terang terangan munafik masih kita sokong dan agong agongkan.

Bohong itu maknanya berkata yang tidak benar.
Tapi orang melayu kata bohong ada yang bohong sunah!...bohong yang macam mana yang dikatakan bohong sunah ini? Kalau bohong sunah, dapat pahala ke? Judi Haram?...ada judi halal ke?

Datuk,

Pada pandangan saya, kelemahan kita adalah dari sudut kefahaman dan pengisian jati diri kita sendiri. Melayu dilahirkan "Islam". Adalah menjadi kesalahan jika sesaorang melayu itu bukan "Islam". Hanya di Malaysia sahaja ada undang undang sebegini. Di Indonesia atau nusantara, begitu ramai melayu yang tidak dilahirkan "Islam" tetapi mereka adalah Penganut Ajaran Islam....bahkan diseluruh dunia begitu ramai yang tidak dilahirkan "Islam".

Hanya dilahirkan "Islam" tidak semestinya kita menjadi Islam. Pengisian dan penghayatan kita menentukan sama ada kita Islam atau setakat munafik...hipokrit.

Rasuah, menipu, menindas, merompak, mecuri...bukankah itu menjadi lumrah dalam masyarakat kita? Kita terima segalanya dengan hati terbuka dan kita sokong hingga bertegang urat pun kita sanggup. Keghairahan kita dalam perkara ini tiada penghujungnya. Ia adalah asam garam tamadun manusia sejak zaman Nabi Adam lagi. Kita lupa apa yang harus di isi dalam dada...apatah lagi menghayatinya.

Hipokrit?...apa itu hipokrit....hippo aku tahulah...badak air.
Munafik?...yang itu ostaz adak sebut...dia bagi tahu orang munafik ni dilaknat Allah.

Aduuh!...kenapa kepala aku pusing?

Firebrand said...

Waghih,

Tun M, bab putar belit & kelentong memang brilliant... see the leg laa, asal keturunan dari mano.

Santiang bana, bak kato urang awak.

Tetapi den terpakso angkek tabek spring kek Tun M sobab dio pulangkan anugerah yg dio terimo dari kesultanan Selangor kerano tak boleh terimo tindakan Sultan. Ini yang den katokan sobagai gentleman.

Tando tanyo timbul, bilo lagi Datuk2 kek sini yg against the establishment nak pulangkan pingat.
Sayang kehilangan pangkat Datuk kot?
Jadi moralnya di sini, jangan perkecil atau persenda pangkat/darjah seseorang walau dari mana pun datangnya atau lucu mana bunyi nya.

Wallahua'lam.

kampong lad said...

Indeks keislaman tu binatang apa? Habaq mai sat.

Aku said...

Kadiag, السلام عليكم (assalaa /mu /'alaikum),
Pojok hang pasai "...sumpah bohong dan hipokrasi orang Islam" insya'Allah bulih cetuihkan polemik
dan pemeriksaan semula yg mendalam tentang identiti
atau soalan samada wajag dak disamakan Islam dgn melayu macam dlm perlembagaan Malaya.
Aku laa ni 'siak' separoh masa atau 'part time' di sebuah masjid, (mintak maghap no bukan nak tunjok baik tapi ni
bekenaan sapa melayu sapa Islam) hanyasanya nak habag mai, kerja ni memang uji kesobaran.
Aku ingat aku besa singgong keh ni, pasai orang yg mai masjid ada yg pengotog. Lepaih berwudhu' kaki depa
masih kotog masa naik ke masjid. Pijak karpet. Lama kelamaan aku nampak ramai jugak yg tak berapa reti solat pon,
tak merapatkan sof, ma'mun baca kuat, berjudi, mencuri dan macam2 lagi, dan lama kelamaan aku pon mulai sedag
yg dok mai masjid, munkin bukan semuanya Islam tapi hanya Melayu.

Dan aku andaikan yg tak mai masjid lansung untok solat waktu (yg munkin merupakan majoriti) lagi terok. (Betoi ka...?).
Ada orang kata dosa kecik kalu di ulang2 akan jadi dosa besag.
Macam mana pulak kalu dosa besag di ulang ulang atau dikekaikan, dan di buat secara terang terang ..?
Tipu kering, kepalsuan, kepora poraan...('posturing'), risyuah dah jadi lumrah...dan macam satu cara hidop.
Aku ingat banyak dah maklumat pekara ni juga belaku dikalangan orang kata kumpulan 'agamawan'.
Pada pengelaman aku, ramai jugak ustaz2 yg mungkiag janji nak bagi kuliyah, paih tu tak mai tanpa maklumkan
apa2.
Apa yang aku nak habag mai, istilah 'hipokrasi' (macam dlm tajok coretan hang kali ni)
aku rasa, tak bulih di sabitkan dgn orang Islam,
Tapi dgn setengah2 orang melayu, bulih kod,
macam kleptokrasi tak bulih benapaih, jauh lagi, dapat meharajalela dlm demokrasi.

Mintak maghap Kadiag no, dan terima kasih. Wa sallam.
Aku

Quantum Metal Consultant said...

Kewartawanan..

Saya percaa jika zam, johan jaffar dan dato' sendiri kalau masih kekal atau dilantik semula sejak awal sebagai Ketua Pegarang aau ceo media prima akan mengambil pendekatan yang sama seperti sekarang, berpihak kepada najib !!!

Rezek said...

Yang penting nanti, kita jangan kasi mereka terlepas. Tujuan utama kami menyokong pembangkang adalah atas dasar ketidakpuasan hati terhadap jenayah yang jelas, bebanan rasuah dan kleptoracy ke atas masyarakat. Saya harap manifesto pembangkang meletakkan 'penghapusan GST' dan 'penangkapan perasuah di dlm kerajaan' saya yakin kempen yg meletakkan isu ini pasti mendapat tsunami undi kepada pembangkang. Ramai semakin marah rata-rata yg kami jumpa.

Ujang said...

Ekau mabuk tolobih tolan dodak yo jang.

Unknown said...

Betul.... tujuan utama rakyat nak hapuskan perasuah2 yang kaya raya. Kalau ini menifesto utama confirm umno keparit

Waghih said...

AsSalam Datuk ...

Nak tanyo Datuk ...sobab den ni was2 sikit ...

Camno Turn M tahu yang datuk , nenek , moyang PM kito DSN dari dari keturunan Lanun bugis ...?

Kalau Turn M dapek tengok moyang2 lanun tu mako Turn M bukan munafik lah kan ..

Waghih.

RD. said...

Jangan jadi bangang Waghih.

Kalau US duduk terateh dalam Index-hypocrisy, mengapa perlu Najib terhegeh-hegeh melobi mahu berjumpa Trump di White House. Menginap pula di Hotel-Mewah milik Trump, dibayar oleh Rakyat pula. Yang peliknya, Hsein Loong, PM Singapura dan Isteri jumpa Trump, semua pembelanjaan ditanggung oleh Kerajaan US.

Satu lagi Waghih.... Satu pertanda jelas bibit-bibit Kleptocracy adalah apabila Pak Lah & Najib melantik diri-sendiri menjadi Menteri KeWANGan sebaik saja menjadi PM.
Faham-faham saja lah. Sebab itu Najib boleh terus lancar penubuhan 1MDB (asalnya TIA dan Jho Low sudah berada didalamnya) dengan berhutang, guna tanah-pusaka & asset milik Rakyat sebagai sandaran... guna pula Jho Low sebagai orang-tengah... tanpa berbincang dalam Kabinet-kayu yang majority Menterinya diwarisi dari Pak Lah.

Rakyat lega apabila Najib ambil-alih dari Pak Lah yang menjadi pencetus kepada berleluasanya Rasuah. Malangnya hari ini, Najib lebih teruk dari Pak Lah. Kalau dulu, urusan rasuah berlaku dibawah meja, sekarang sudah naik keatas meja.
Dari janji berkempen PRU, mahu beri RM5 Juta jika menang di Sibu ke hadiah kueh-muih Hari Raya dalam tupperware yang bergambar muka Najib & Rosmah, sehinggalah ke PAU baru-baru ini, dikhobarkan perwakilan terima hadiah jam tangan Tissot.

Jika perbuatan melantik diri-sendiri sebaik menjadi PM ini dilakukan di Negara Kapir, sudah tentu Rakyat mereka akan terbeliak biji mata. Malangnya, di Negara Melayu/Islam, atas laungan; Demi Bangsa, Agama & Negara, kita rasa bangga seorang Ketua Melayu 'memegang' Tabung WANG Negara.

Untuk pengetahuan Waghih, Dr.M juga pernah dua kali menjawat sementara jawatan Menteri KeWANGan. Itu pun disebabkan Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 sebelum diambil-alih oleh Daim Zainuddin. Kemudiannya, Daim pula letak jawatan dan Dr.M sekali lagi, terpaksa menjawat jawatan itu untuk kali kedua sehinggalah beliau meletakkan kesemua jawatan dalam Kerajaan pada 2003.
Hakikatnya, Dr.M hanya sebagai Menteri KeWANGan diatas kertas saja. Tidak melakukan kerja sebenar seorang Menteri KeWANGan seperti Pak Lah & Najib.

Lagi satu Waghih... Melayu sepatutnya lebih takut kepada Warga-Asing dari Tanah Besar China. Bukan kepada Cina-DAP yang sudah sekian lama menjadi Rakyat Malaysia sejati.

Dulu orang-orang Melayu/Islam dan Institusi Istana amat takut dengan ideologi Komunis China. Maklumlah, komunis tak beragama dan mereka lah yang menghapuskan Pemerintahan Dynasty Maharaja China.
Lebih malang lagi ramai bekas-perajurit kita yang hilang nyawa dan anggota-badan demi berjuang menentang ideologi pengganas Komunis yang dibantu oleh Kerajaan Komunis Tanah Besar China.

Malangnya hari ini, Kerajaan Komunis China sudah menjalin hubungan Politik (party-to-Party) dengan MCA. Malah MCA sedang giat mempromosi OBOR dikalangan Masyarakat Cina Malaysia secara senyap-senyap.
Baru-baru ini pula, diadakan persidangan antara BN dan Party Komunis China. DBKL juga sudah ada kerjasama 'Keselamatan' dengan syarikat dari China. Tak tahu lah saya samada pihak Tentera dan Polis Malaysia, turut sama dijemput ketika pelancaran-kerjasama DBKL & Syarikat Keselamatan dari China itu.

bersambung...

RD. said...

sambungan...

Dengan siapnya ECRL & HSR nanti, lebih ramailah Warga China boleh datang ke KL, melalui Pelabuhan Kuantan dan Singapura.
Najib sendiri yang kata, semasa pelancaran HSR... 'Breakfast in Singapore. Lunch in KL and dinner back in Singapore'.

Mana ada orang Melayu mampu minum-pagi diSingapura, makan- tengahari di KL dan kembali makan-malam diSingapura. Hanya orang Cina-Singapura dan dari China saja yang mampu berbuat demikian.

Jika satu hari nanti, HSR & ECRL bersambung-terus ke Kunming, lebih mudah lah Warga China yang beli kondo secara KEKAL di Forest City (atau Bandar Malaysia, tanah bekas tapak TUDM) berulang-alik. Ketika itu... mungkin Melayu sudah lali tengok anjing dalam troli di Pasaraya dan Gegung membeli-belah.

Oleh yang demikian... lebih baik Waghih menyeru orang-orang Melayu supaya menghantar anak-anak belajar di SRJKC dan tidak lagi berasa jijik terhadap anjing & babi, sebagai persediaan TN50. Najib pun sudah berjanji mahu bina lebih banyak SRJK(C). Contohnya, di Puncak Alam yang bermajority Melayu pun Najib mahu bina SRJKC. Mungkin Najib segan nak berterus-terang dengan Melayu supaya mula menghantar anak-anak ke Sekolah Cina. Mungkin pada fikiran Najib, Melayu akan tersedar sendiri, nanti... apabila pelaburan dari Negara Komunis China semakin banyak... baru Melayu akan terima hakikat, bertapa pentingnya Bahasa Mandarin demi kelangsungan hidup.
Oleh yang demikian, tidak mustahil SRJK(C) akan menjadi 'Aliran Perdana' persekolahan menjelang TN50 atau tahun 2050 nanti.

Nota:- Saya, sejak tahun 2000 lagi, sya sudah mula hantar anak sulong saya ke SRJK(C).

Zed-85 said...

Sallam Dato’

Saya baca indeks keislaman daripada 2 tokoh Islam itu, saya rasa memang sepatutnya ada indeks sabagai tanda pengukur kepada penghayatan Islam.

Berat badan manusia pun ada indeks (BMI, body mass indeks). Kenapa penghayatan kepada Islam tidak boleh ada indeks.?

Indeks ini sebagai tanda pengukur.

Di Akhirat kelak pun, manusia itu akan diukur yang pahala dan dosanya.

Zaman sekarang penghayatan kepada Islam sudah menyimpang jauh.

ISIS umpamanya membunuh orang awam atas nama Islam.

PAS terlampau menumpukan Hudud sebagai perjuangan Islam.

Adakah Nabi Muhammad hanya memperjuangkan hudud semasa hayatnya?

Kalau kita lihat sirah Nabi Muhammad, tak ada.

Adakah Nabi berjuang untuk melaksanakan dan menubuhkan negara Islam? Tidak ada kerana Islam merentas sempadan dan untuk semua manusia.

Dengan ada indeks ini, penghayatan kepada Islam dapat dibuatkan supaya lebih menyeluruh dan bukan tertumpu kepada bahagian kecil Islam untuk kepentingan golongan tertentu seperti ahli politik dan lain-lain.

Sumber ukuran indeks Islam boleh dibahaskan. Yang diutarakan oleh 2 tokoh itu seperti rasuah, keadilan sosial dan lain-lain itu memang munasbah.

Baru-baru ini Donald Trump telah isytiharkan Jerusalem sabagai ibu negara Israel.

Banyak orang Islam bantah, tapi yang pandai sikit adalah Turki kerana mengishtiharkan Jerusalem sebagai ibu negara Palestin.

Adakah kita sudah ishtihar Jerusalem (Baitul Maqdis) sebagai ibu negara Palestin?

Zaman sekarang ini, orang Islam bukan saja perlu mengikut saja orang-orang bodoh yang pakai serban tapi orang Islam perlu pandai.

Zed-85 said...

Saudara RD,

Saya bersekolah di Sekolah SRJK(C) dari darjah satu sampai darjah enam. Sekolah menegah saya masuk sekolah melayu di JB.

Saya masukkan anak saya ke sekolah melayu kerana kebetulah sekolah cina di KL agak jauh, dan traffik jem pada waktu pagi.

Saya tak puas hati dengan keadaan sekolah yang dia pergi kerana berbanding dengan sekolah cina, kerja rumah (homework) yang ada di sekolah yang saya hantar terlampau sedikit. Boleh jadi kerana sekolah yang saya hantar, sekolah lain mungkin berbeza.

Oleh kerana itu, saya terpaksa hantar anak saya ke tuisyen.

Matapelajaran terutamanya Matematik mesti, (mandatory) ada kerja rumah dan latihan. Ini tidak boleh tidak.

Kalau dapat dipusingkan jam semula, saya hantar anak saya ke sekolah cina, sekolah menengah saya hantar ke sekolah melayu.

Satu hal lagi, sekolah anak saya adalah sekolah lelaki tapi lebih 90% guru adalah perempuan. Sampai cikgu bersenam pun cikgu perempuan.

panglimo potaseh said...

Tok Kadir.

Tajuk TK.. sumpah bohong dan hipokrasi orang islam menarik perhatian saya. Perlakuan ini juga di panggil kelepet, jual minyak, kelentong.. bongngak kata Isa Pendek.

Sumpah bermakna kita berikrar dengan nama tuhan.. bohong tu tipu. Jadi sumpah bohong tu bermakna sumpah yang berlindung dibawah nama tuhan. Contohnye bila Chedet tanya Haji Najib El-Mappadulong.. adakah dia yang bunoh Altantuya. Jawab Sang Mappadulong.. dia dah pergi ke beberapa masjid untuk bersumpah yang dia "tak konal sapo dio budak seksi tu".

Lagi pelik Haji Najib ni juga kata tak kenal JhLow.. walhal pernah bergambar dengan nye. Malah bini nye Puan Hajjah Rosmah sekali bergambar bersama. Dalam gambar tu 47% drp ruang gambar di cover oleh sosok badan mereka berdua yang bidang tu. Najib badan besar juga tapi kaki kepit ..pandai dia berbohong dengan imejnye. Tu lah nak mintak tolong Waghih tanya.. Puan Hajjah First Lady kita ni kenal tak JhLow.

Makna hipokrasi ..aku rasa PutraKraken dah terangkan dgn baik. Tapi jgn lah kita kaitkan hipokrasi dengan hippo.. rhino tu binatang apo lak?

Hipokrasi Orang Islam. Eik Islam yang dianggap ugama syumul ni pon kono gak. Islam adalah Islam tapi Islam yang macam mana. Sekarang ni jenis orang yang macam mana yang menganut Islam. Senang kata orang yang menganut Islam ini hanya ..duduk nye di wilayah yg bermulahanya dari negara Moroko terus menjajar dan mengunjur ke timur sehigga ke Bangladesh .. stop .. kemudian di Kepulauan Nusantara.. itu je. Wilayah lain adalah wilayah kapir.

Islam ni orang atau kaum yang macam mana. Tengok pada wilayah yang diduduki maka mereka dari kalangan Arab Afrika, Arab Tanah Arab, Parsi, Aryan, Keling, Pakistan, Bangla dan Melayu. Maksudnye bangsa maju "dunia pertama" seperti Amerika, Eropah, Jepun, Korea adalah kapir.

Dan Sang Kapir Laknat ini lah yang menduduki 40 rangking utama Indek Keislaman. Negara Islam ianye hanyut menduduki dibahagian burit hingga ke kaki carta.

Ngapa jadi gitu ..kan ke Islam ini ugama ..usahkan ugama untuk dunia ni, malah untuk seluruh alam tujuh petala langit.

Jadi antara sebab orang Islam itu mundur, tidak berkembang ke wilayah lain dan hanya berkembang melalui keturunan, mungkin disebab amalan hipokrasi yang melampau.

Senang kata tengok je lah perlakuan orang Islam hari ini. Tengok apa yang dibuat oleh Raja mereka ..apa yang diputar oleh Menteri mereka. Rakyat Islam dah semacam zombie dah tak boleh berfikir cara rasional. Mereka melakukan dosa dan penyelewengan dgn semahunye. Para Raja dan Menteri ada Orang Agamanye sebagai pencuci dosa. Rakyat diajar betapa Raja dan Menteri mereka sangat suci dan rakyat kena bersyukur dengan apa yang ada.

Hidup didunia ni pendek dan sementara je.. jadi rakyat kena tipu pun tak lama. Sebab taat pada pemerintahan maka janji surga dan 70 bidadari tu adalah benar.. wooo 70 puloh tu.. adoi syoknye.



RD. said...

"Camno Turn M tahu yang datuk , nenek , moyang PM kito DSN dari dari keturunan Lanun bugis ...?"

Kamu ni bangang ke apa, Waghih?

Bukan hanya Dr.M, Rakyat 1Malaysia tahu kerana Najib sendiri sangat bangga dengan keturunan Bugis beliau. Kamu tak pernah tengok ke... gambar Najib & Rosmah dinobat sebagai Pahlawan Bugis di Indonesia?

Najib juga pernah berbangga... sebagai kepala-bapak lanun la kot... kalau tidak mengapa dia harus terpekik terlolong, beri semangat kepada ahli-ahli UMNO dan barisan pentadbiran beliau, sambil berkata...

"Saya ingin mengulangi, setelah layar telah dikembangkan, apabila sauh telah dilabuhkan, pantang ketua kapal dan anak-anak kapal menoleh ke belakang.” ... lebih kurang begitulah teriakan Najib, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Jack Sparrow, dalam Pirates of the Carribean pun tak pernah beri arahan bodoh sebegini kepada anak-anak kapal lanun beliau.

Cuba kamu baca posting terdahulu Dato Kadir di URL berikut:-

http://kadirjasin.blogspot.my/2015/09/gara-gara-nakhoda-pening.html

Waghih said...

Alahai RD ...

Dalam artikel sabelum ni ko khobar dalam sejarah M'sia tak ponah PM lantik diri sendiri jadi menteri kewangan ...

Den jawab n perbetulkan ko yang dalam dinasti Turn M selamo 22 tahun , Turn M lantik diri sendiri sebagai menteri kewangan sebanyak duo kali . Ioitu..
Tahun 1998 - 1999
Tahun 2001 - 2003
2 minggu sabelum Turn M bersaro dio bagi kontrak fibre optik bernilai Rm 214 mil pado Boboy .

Kini... ko khobar lak Turn M ado lantik diri sendiri jadi menteri kewangan .
Ini Lahanun namo ehhh

1MDB dah den cerito ateh ..baco lah ...kalu tak paham , tak dapek den nolong doh..
Jho Lo dulu penasihat TIA ...
Bilo gomen ambik alih n jadi 1MDB , Jho Lo tu dah dilontung olih MOF dan dilantik lembaga pengarah baru .
( Hj Arul Kandasamy mengosahkan perkaro ini )
Tapi kalu ko minat dongan Jho Lo ni ..ambik lah ..bueklah sesuko hati .

Mengapo lak M'sia nak takut kek negaro Cino ?
Maso Tun A.Razak berunding dongan Cho En Lai dan seterusnyo dongan Deng Xiao Peng (S/U Agong CCP ) untuk solosaikan isu PKM di M'sia , mereko luahkan simpati dan khobar ' Time will tell ...'
Diplomasi Ping Pong maso tu ..
Alhamdulillah ... pihak CCP Cino pogang pado janji dan tak salorkan senjato2 pado PKM.
Saterusnyo arahkan pemberontak PKM balik ke sempadan Thai .
The rest was history ...

Cino DAP lah dah awal lagi khobar tak nyokong institusi berajo dan tak nyokong hak keistimewaan melayu n bumiputra.
( bacolah perlembagaan mereko ).
Disebalik itu slogan mereko yang diagongkan iolah " Sokong Melayu Skrew Melayu " .

Untuk sekolah Cino lak DSN dah bagi warning pado MCA bahawo 16 % oghang cino berkelulusan sekolah cino yang tak bolih berbahaso kebangsaan sememangnyo tak bolih diterimo .
Ado Sultan diutaro yang bijaksano pun buek strong komen tontang mereko yang tak bolih berbahaso kebangsaan.
( dapatan 16% oghang cino kelulusan sekolah cino yg tak bolih berbahaso kebangsaan adolah dari akademik universiti tempatan yo ..)
So .. nak salah siapo sini .

Walau camno pun bahaso memang amek ponting . Tak kirolah ..B.inggeris , b.perancis , b.jopun , b.cino dll bahaso.

Perubahan bahaso di M'sia ...
Zaman Tunku A.Rahman..B.ingeris
Zaman Dr Mahathir ..B.Jopun
(Boboy lulusan Jopun yo ..)
Zaman DSN ..B.Cino.
(Anak lulusan Cino mandarin )

Dongan negaro cino sekarang kuasai ekonomi dunio ..memang cantik untuk pelajari Bahaso mandarin.

So ..camno ...nak dibiarkan Ultrakiasu DAP tu ko ..?
Kek P.Pinang dah dibangsatkan oghang melayu n india .

Camno pun tahniah pado RD kerano antar anak kek sekolah cino .
Berwawasan sedagho RD kito ni..

Waghih


LaM said...

Steadyaku47 blog is being monitored by Fuzi, the new IGP for his article on Sgor Sultan.

Coming back to this article, the law is clear. If the law imposes on you a statutory.duty to investigate or to arrest criminals like Najib and JLow and all the 1mdb thieves or to prosecute those offenders, failure to do so with intent to protect the criminals is itself an offence. All those public servants who defaulted on their statutory duties to protect Najib can be charged under sections 217 or 218 or 221 Penal Code. Worst the rule of law is one of the foundation of parliamentary democracy. As such, they can be alternatively accused of committing acts detrimental to parliamentary democracy..a Sosma offences.

Even Judges who have been protecting Najib are liable to be charged under section 219 Penal Code if they make judgement contrary to law. Some of their judgement like PM is not a public officer is out of this world. Even the DoJ court document referred to MO1 as a public official...but not our Judges just to protect Najib from being accountable to public money.

Pompuan said...

Salaam DAKJ
Carilah isu lain pulak. Story IMDB ni orang dah fed-up. Non-issue. Already settled. You are still sounding like a broken record. Dealt and done with.
Orang naik bosan asyk you all kitar senula fake news ni. Carilah kot rasa ada perkara lain. Rasanya takde kan. Tulah pasal Datuk masih manufacture old rubbish.Tsk.tsk.Takkanlahnak jadi Anwar wanna-be Rafizi. Kesianlah asyik orang sue dia sebab pembohong. Takde isu cari ous.

Anonymous said...

Malang sungguh bila tidak berada atas jalan kebenaran, kejujuran, kecermatan, ketelitian, kecekapan dan keberkesanan. Jom rakyat Malaysia. Learn well to move on in the right direction on the right path.

Anonymous said...

China mmg memandang Malaysia sbg satu peluang untuk menyelesaikan masalah mereka.

panglimo potaseh said...

Saudara RD.

Layar ditebar, sauh di labuhkan. Maka kapal tu tak kemana.. ia hanya berpusing macam kincir sarkis.

Nak toleh ko bolakang pon tak do guno ..nampak bondo yang samo berulang-ulang.. macam keset torbolit. Sat kemudian tenggelam lah kapal tu.

Waghih kau paham tak ni ..sobolom RD kato kau ni lurus bondo (bendul) atau bodoh alang, baik kau pahamkan.

Tak paham jugak ..meh ikut den poey pamper (funfair) ..den belanjo kau naik kincir.

Cam tu lah keadaan negaro kito sekarang, pusing-pusing ..jap laey karam. Bilo dah karam habih lah kito mati lomeh. Najib dan bini dio.. selamat dongan sampan penyelamat.

RD. said...

Pompuan kata...

"Carilah isu lain pulak. Story IMDB ni orang dah fed-up. Non-issue. Already settled. You are still sounding like a broken record. Dealt and done with."

Untuk pengetahuan Pompuan... Kes kroni/orang-tengah bernama Razak Baginda yang Najib guna untuk beli kapalselam bagi-pihak Kerajaan atau Rakyat, juga sudah 'Dealt and done with'... di Malaysia. Pembunuh Altantuya pun sudah didapati bersalah oleh Mahkamah.
Malangnya setelah hampir 15 tahun, ia masih belum basi-basi lagi... hari ini dalam bentuk persoalan... siapa beri arahan untuk membunuh Altantuya?
Maklumlah, kedua pembunuh adalah anggota Polis UTK.

Masaalahnya... kepada Najib, Kerajaan BN dan penyokong/pemakan-dedak... Seorang dari pembunuh... Sirul berjaya lari ke Ostolia, apabila keputusan awal Mahkamah mendapati mereka berdua tidak bersalah dan dibebaskan. Setelah Pendakwaraya buat rayuan, Mahkamah memutuskan mereka bersalah pula dan dijatuhi hukuman-mati.
Namun Sirul sudah lari dan sekarang masih ditahan di Pusat Tahanan Immigration, Villawood kerana masuk secara haram. Dan oleh kerana system perundangan Australia tiada 'capital-punishment'... iaitu hukuman bunuh, maka Perlembagaan mereka, dengan sendirinya menghalang seseorang immigrant dihantar pulang ke Negara Asal untuk menghadapi hukuman-mati.
Bayangkan berapa banyak WANG Rakyat terpaksa dibazirkan demi 'menutup-mulut' Sirul.

Belum masuk bab orang-tengah... Deepak Carpet (dapat pinjaman tanpa-faedah, RM30Juta dari Bank Rakyat) & Jho Low (dalam scandal Money Laundering terbesar dalam sejarah dunia, sebagaimana yang didakwa DoJ.)
Jadinya, selagi UMNO/BN atau Najib masih menguasai Kerajaan, selama itu lah semuanya... dan sudah tentu 1MDB akan diperkatakan. Forex yang sudah lebih 30 tahun 'dealt and done with' pun, boleh dokorek semua, inikan pula scandal 1MDB-Jho Low yang masih dalam process Mahkamah Negara-Kapir.

Di Negara-Islam Malaysia saja, Mahkamah... ops salah... hanya Attorney General atau Peguam Negara, Apandi Ali kata tiada 'Story 1MDB' dan laporan PAC, Forensic Audit Kepala-bapak di OSA.
Tetapi, dibanyak Negara Kapir, penyiasatan/pendakwaan Mahkamah, terkait 1MDB masih berjalan. Malah, Singapura sudah menghukuman beberapa orang dan ada dua Bank Tertua dari Eropah sudah ditutup operasi mereka kerana bersubahat.

Hakikatnya, hanya UMNO-Najib dan penyokong Kerajaan BN saja yang 'fed-up' dengan isu 1MDB dan mahu ia disapu kebawah Deepak... carpet.

Bayangkan jika UMNO-Najib & BN tidak lagi menjadi Kerajaan... sudah tentu Rakyat 1Malaysia ingin tahu:-
-Siapa beri arahan bunuh Altantuya,
-Mengapa Deepak Carpet mendapat keistimewaan luar-biasa dari Bank Rakyat.
-Siapa Jho Low? Bukan-Pegawai Kerajaan atau Public Officer (pinjam kata Saudara LaM) seperti Najib ke?

Bersambung...

RD. said...

... Sambungan.

Kepada Waghih.

Saya kata; Dr.M tidak pernah melantik diri-sendiri sebagai Menteri KeWANGan, sebaik saja menjadi PM.
Dan jika PH juga berbuat seperti Pak Lah & Najib... setelah mereka menjadi Kerajaan... serta-merta saya akan tarik-balik sokongan kepada Dr.M & PH.

Dan Saya setuju dengan Pendapat Dato Kadir... "Boleh jadi kerana sifat munafik ramai para pembesar kita dan sikap tidak ambil peduli sebahagian rakyat jelata maka hari ini Malaysia dipersendakan dan dijadikan hamba oleh negara-negara yang berkepentingan."

Apa salahnya waghih, buat U-Turn bila kita dapati Najib lebih teruk dari Pak Lah. Kan saya dah kata... Dulu rasuah berlaku dibawa meja. Zaman Najib, RASUAH sudah naik atas meja.

Contoh-contoh lainnya:
-Kes Rasuah Annuar Musa dan MARA, tiada kes.
-Rasuah FGV terkait Isa Samad, senyap.
-Kes Rasuah RM110 Juta KBS, senyap.
-Kes Rasuah DBKL<>Bank Rakyat, senyap.
-Kes Rasuah di Sabah yang membabitkan rampasan ratus Juta cash, sudah diklasifikasikan sebagai pengubahan WANG-haram. Makanya, Rakyat tidak akan tahu, duit-cash itu... dari mana, siapa beri, siapa terima & untuk tujuan apa. Namun, sehingga kini... senyap.

Akhir sekali, saya setuju dengan Pendapat Dato Kadir... "Boleh jadi kerana sifat munafik ramai para pembesar kita dan sikap tidak ambil peduli sebahagian rakyat jelata maka hari ini Malaysia dipersendakan dan dijadikan hamba oleh negara-negara yang berkepentingan."

Namun, saya rasa, Dato cuba berlembut bila menulis, 'Boleh jadi...'
Kalau saya, saya akan tulis... Sudah tentu kerana sifat munafik ramai para pembesar kita dan penyokong mereka, termasuk sikap tidak ambil peduli sebahagian Rakyat jelata di Negara-Islam Malaysia, kita menjadi hamba kepada Negara-Kapir/kuasa-Besar Dunia.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).