Sunday, December 31, 2017

Songlap Tanah Felda Bukan Perkara Luar Biasa



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

KES manipulasi (atau menipu la si?) agensi kerajaan oleh pihak-pihak yang berkabel besar dan akrab dengan kepemimpinan negara nampaknya semakin menjadi-jadi.

Najib membahagikan zakat tapi siapa pembayarnya?
Yang terbaru dan sensasi adalah silap mata kehilangan hak milik tiga bidang tanah Felda di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta. Nilai setelah dibangunkan dianggar melebihi RM1 bilion.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Sebelum itu kita didedahkan kepada skandal 1MDB, penjualan tanah TRX kepada Tabung Haji, pemberian dan pembatalan kontrak/konsesi Bandar Malaysia kepada syarikat negeri China, kemerosotan RM160 bilion rizab antarabangsa Bank Negara 2013-15, kerugian besar badan pelaburan awam dalam IPO Felda Global, pembelian hotel melebihi harga pasaran oleh Felda Investment Corporation (FIC), pembelian mahal ladang Eagle High milik (Tan Sri) Peter Sondakh di Indonesia, penggunaan duit Mara untuk menaja pasukan bola Kelantan, percubaan “memeras” jemaah umrah dan memungut GST melalui sistem IMAMS, penukaran status rumah Bumiputera di Johor dan banyak lagi.

Dalam hampir semua kes ini, pelaku mempunyai kaitan dan perhubungan luar biasa dengan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.

Ambil contoh siri skandal terbaru yang melanda Felda. Boleh dikatakan semuanya dikesan berlaku ketika (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad menjadi Pengerusi Felda dan Felda Global Ventures (FGV).

Dari awal lagi ramai terkejut dan tidak setuju dengan pelantikan Isa kerana sebelum Najib naik menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri pada tahun 2009, Isa ini adalah orang buangan Umno.

Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dia didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno dan digantung selama dua penggal. Puncanya duit.

Dia didapati bersalah terlibat dengan politik wang. Tetapi apabila Najib jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri pada April 2009, Isa dipulihkan dan dimartabatkan semula.

Dalam masa lima bulan Najib jadi Perdana Menteri, Isa dipilih sebagai calon Umno/Barisan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan menang.

Pada tahun 2012 dia dilantik Pengerusi Felda dan terus menjadi penyokong tegar Najib dalam penswastaan aset Felda melalui tawaran permulaan awam (IPO) FGV. Hadiahnya adalah Isa mendapat gaji lumayan, pemilikan saham dan dipilih bertanding kerusi Parlimen Jempol dalam Pilihan Raya Umum 2013.

Isa dan isteri: pasangan "power" dalam politik Umno
Asal-usul Najib dan Isa menjadi ibarat aur dengan tebing, isi dengan kuku, adik dengan abang sudah menjadi bahan spekulasi dan andaian sejak berdekad-dekad lamanya.

Begitu akrab Najib dan Isa sehingga penangkapan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pembelian mahal dua buah hotel oleh FIC tidak menjejaskan ketaasuban Najib terhadap Isa.

Sebaik sahaja Isa “diberhentikan” daripada Felda akibat tangkapan itu, Najib melantik beliau sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD).

Seorang rakan golf Najib memberitahu saya baru-baru ini yang Isa mungkin tidak akan didakwa dalam kes pembelian dua buah hotel itu. Alasannya dia sudah cukup menderita dan malu akibat tangkapan dan tahanan reman itu, kata kawan Najib itu.

Malang Felda

Dalam kes terbaru “penyongelapan” tanah Felda itu pun, ada tanda bahawa individu atau individu-individu terbabit mempunyai pertalian dan pautan dengan Perdana Menteri.

Dalam tampalan (posting) Facebook saya pada 23 Disember lepas, saya bertanya: “Boleh sesiapa beri pencerahan mengenai kaitan berita dan gambar ini dengan skandal kehilangan hak milik tanah Felda Jalan Semarak.

“Adakah ‘construction company boss’ Abdul Rahman Soltan dalam berita ini sama dengan Abd Rahman bin Soltan, Director kepada Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd, company number 1067079?

“Kalau ia, apakah syarikat ini ada kaitan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di atas tanah Felda Jalan Semarak itu?”

“Mohon penjelasan. Kalau tersilap tanya mohon maaf.”


Pastinyalah pihak-pihak yang boleh atau mampu menjawab soalan-soalan saya itu tidak akan menjawabnya. Manakala laskar siber Umno/BN pula akan cuba mengalih perhatian daripada isu pokok.

Sama ada mereka pun dalam kegelapan macam saya atau mereka tahu tetapi terpaksa buat-buat tidak tahu demi menjaga periuk nasi.

Dalam pada itu seorang sahabat Facebook menarik perhatian saya kepada salinan sekeping gambar yang didakwa dari laman Instagram Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Azalina Othman yang menggunakan pengenalan “azalinaothmans”.

Tajuk tampalan Instagram “azalinaothmans” itu membawa keterangan gambar berbunyi “FGVMafia kat London waitin for Chairman FGV.”

Dalam bahasa Melayu formal “Mafia FGV di London menunggu Pengerusi FGV.”

Seperti kita ketahui, Mafia adalah kongsi gelap Itali yang membina empayar jenayah terbesar dunia di Amerika Syarikat seperti digambarkan dalam siri filem “Godfather”. Dan Pengerusi FGV yang dimaksudkan itu pastinyalah Isa.
Dalam gambar itu (lihat di bawah) ada lima orang. Yang paling terkenal adalah Azalina. Tiga daripada mereka nampak seperti menghisap cerut – termasuk Azalina.


Tiga duduk atas bangku dan dua berdiri berpeluk bahu. Rakan Facebook saya itu memperkenalkan salah seorang yang berdiri itu sebagai Abdul Rahman Soltan.

Kalau gambar itu asli – nampak asli – sebab gambar peti surat Royal Mail pun ada – maka nyatalah watak Abdul Rahman Soltan ini berlegar dalam sfera politik peringkat tinggi.

Dan tidak menghairankan juga kalau “construction company boss Abdul Rahman Soltan” yang berkejar ke Pekan pada 26 Jun 2016 untuk memberikan zakat RM100,000 untuk diagihkan oleh Najib itu adalah orang yang sama seperti dalam sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berkenaan Najib pula, kita semua tahu dia adalah mentor atau bapa angkat Felda. Kita juga tahu bahawa salah satu kepakaran Najib adalah menjual atau memindahkan hak milik tanah kerajaan.

Contoh klasik kepakaran Najib dalam kegiatan ini adalah penjualan murah tanah kerajaan di Jalan Tun Razak kepada 1MDB untuk dijadikan projek TREX (Tun Razak Exchange) dan tapak pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi, juga kepada 1MDB.

Baru-baru ini dilaporkan pula yang kerajaan telah menjual dua bidang tanah 1MDB di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang kepada syarikat negara China untuk mencari duit melangsaikan hutang AS$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

1MDB atau lebih tepat Kementerian Kewangan terpaksa bayar sejumlah AS$1.2 bilion (kira-kira RM5 bilion) kepada IPIC tanpa memperoleh apa-apa setelah bayaran asal yang sepatutnya digunakan untuk membiayai usaha sama dengan IPIC disonglap oleh Jho Low dan sekutu Arabnya.

Duit songlap inilah yang sebahagiannya - RM2.6 bilion - dipercayai masuk akaun peribadi Najib pada tahun 2012 dan yang digunakan oleh Jho Low serta anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, untuk membeli aset dan berjoli di Amerika.

Harta dan pelaburan ini kini dibekukan oleh mahkamah Amerika sebagai sebahagian daripada inisiatif mendapatkan balik harta negara yang dicuri oleh kerajaan pencuri (Kleptocracy Asset Recovery Initiative) atau ringkasnya KARI.

Adalah tidak menghairankan langsung kalau banyak lagi tanah kerajaan telah dan akan dijual oleh kerajaan kleptokrasi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ini memandangkan kemungkinan Umno/BN kalah.

Tipu Helah

Kesimpulannya, adalah tidak memeranjatkan kalau Lembaga Pengarah Felda tidak tahu menahu mengenai pemindahan tiga keping tanah di Jalan Semarak itu atau resolusi palsu untuk mengeluarkan surat kuasa wakil (power of attorney) kepada pihak luar.

Soalnya, kalau projek bandar raya tegak menikam langit ini dimajukan dan dimiliki oleh FGV, mengapakah kepentingan Felda hendak dinafikan melainkan ada niat buruk?

Katakanlah Felda tidak ada duit untuk memodali projek FGV itu, tiga keping tanah tersebut boleh ditukar menjadi saham Felda di dalamnya.

Melainkanlah matlamat tersirat penubuhan FGV adalah untuk mengambil alih secara adil dan tidak adil aset-aset Felda bagi tujuan komersial semata-mata.

Turut menjadi tanda tanya adalah, kalau “pemindahan haram” tanah tersebut telah disedari sejak awal tahun ini seperti dinyatakan oleh Pengerusi Felda, (Tan Sri) Shahrir Abdul Samad, mengapakah beliau menunggu sehingga Berita Harian mendedahkan skandal itu untuk bersuara?


Mustahil BH boleh terhidu atau memperoleh maklumat bagi mengesahkan penyelewengan itu jikalau tidak ada pihak atau pihak-pihak yang mengetahui membisikkannya kepada wartawan akhbar itu.

Untuk itu kita perlu mengucap syabas dan terima kasih kepada “suara garau” (deep throat) yang menjadi sumber pendedahan BH tersebut.

Saya amat yakin lebih ramai “suara garau” akan memberi maklumat mengenai penyelewengan awam dengan semakin goyangnya Umno/BN – sama ada kerana mereka hendak mencegah kemungkaran atau takut dituduh bersubahat dan bersekongkol kemudian hari.

Wallahuaklam.

24 comments:

Ismail muda said...

Datuk, selamat sambut tahun baru 2018. Gambar yg tertera ialah ketika Azlina dudok dlm board FGV Plant. Di kanan sekali ialah Pegawai Unit Kawal Selia Felda JPM. Tugas unit selia ini ialah memantau & menyelia perjalanan organisasi felda & melaporkan apa2 salah laku kpd Menteri felda iaitu Najib. Beliau dilantik oleh Najib dudok dlm board felda sejak 2009. Beliau juga adalah board FIC, FGV & Felda Aset Holdings. Peranan pegawai ini ialah memastikan kepentingan stake holders ( Kerajaan, Felda & Peneroka) terjamin & selamat. Apabila FIC membuat keputusan memberi PA secara mutlak kpd pihak luar yg tiada kaitan lansung dgn felda, beliau sepatutnya membantah atau melaporkan serta merta kpd Najib atau pun kpd KSN. Maka apabila TS Shahril Samad mendakwa board felda tidak mengetahui/lewat diberitau hal PA ini, maka Pegawai ini sebenarnya tidak amanah, bersubahat dan berbohong dgn Kerajaan. Pegawai ini sepatutnya dicekup dulu kerana segala maklumat dlm pengetahuannya. Utk rekod Isa Samad, Ehsanudin ( MP Kota T ) & KP felda turut sama dudok dlm kedua2 board Felda & FIC.
Perkara penting lain yg hendak ditekankan ialah mane2 urusniaga aset felda samada cagar, gadai, jual, lupus dsb mestilah diluluskan oleh Menteri sebagaimane peruntukan undang2 tubuh. Jika Najib menandatangi kelulusan memberi PA ini, maka dia jugak patut dipertanggongjwabkan. Dokumen pindah milik tanah ( borang Pej Tanah ) mesti ditandatangani oleh pemilik tanah iaitu felda samada KP felda atau Pengerusi & mesti diperturunkan cop mohor felda. Mengapa begitu mudah borang ini ditandatangi? Ini bukan kecuaian tetapi terjelas satu pengkhianatan kpd organisasi.
Rahman Soltan adalah jugak kontraktor bernama Atlanta Resources yg menyapu bersih kerja2 ID Menara Felda di KLCC. Cara Rahman mendapat tender ID ini penuh kontroversi sehinggakan ada Pegawai felda dipeti sejuk oleh Isa. Pegawai Kawal Selia JPM mesti arif dlm isu ini....
KL Vertical City baru tubuh & tiada track rekod pun membina bangunan taraf pencakar langit. Tetapi Sykt ini telah dilantik menguruskan pembinaan Menara Felda 68 tingkat. Skyt ini juga diberi kepercayaan membagunkan tanah HQ felda seluas 22 ekar. Sungguh malang nasib Felda di tangan Najib kerana kabarnya 17 ekar sudah berpindah milik kpd pihak lain.
TS Shahril dakwa kes pindah milik ini adalah isu terakhir felda. Tidak dipastikan samada isu akhir sebelum PRU 14 atau penutup 2017? Adalah dipercayai bahu TS Shahril berat menanggong galas isu yg ditinggalkan Isa. Mungkin beliau 'malas' mempertengahkan isu ini secara terbuka, lalu diminta media Berita Harian melaporkan kpd umum. Pelik juga beliau tidak gunakan Utusan!!
Adalah dipercayai banyak lagi isu felda yg besar2. Kes penjualan 51% saham Koperasi dlm Felda Holds, kes pembelian saham Encorp, Iris Corp...( apa benarkah overprice??? ), kes penjualan tanah Felda Melaka kpd Encorp dll...
Banyak benda & perkara yg diumumkan oleh Najib berkaitan felda. Satu ketika Najib gembira felda beli sykt U.S. & Canada. Dia bangga FGV pegi listing. Dia bangga felda beli sykt gula Kok Bros, dia gembira peneroka dpat durian runtuh & segala mcm kebanggaan. Tetapi apa kesudahnya tanah felda di depan mata sudah terlepas di tgn org?????

PutraKraken said...

Salam Datuk

Selamat tahun baru 2018....begitu hambar ucapan tersebut saya rasakan....kerana bagi saya tiada lagi yang selamat. Apatah lagi nak ucap Happy New Year....tiada happynya langsung.

Saya pasti skandal tanah Felda ini hanya "tip of the iceberg". Selain Felda...apakah penyakit yang sama tidak menimpa lain lain Agensi/GLC?

Kebobrokan kerajaan kleptokrasi MO1 tiada kesudahannya. Bangkai pembunuhan dana/agensi awam kian hari kian membusuk dan tak dapat disorok lagi.

KETULAHAN...itu kata orang Sarawak....atau termakan sumpah laknat rakyat kalau memgikut bahasa kasarnya.

2018 adalah tahun perhitungan buat rakyat Malaysia...GE14 pasti berlaku.
Disinilah kita menentukan sama ada kita terus menyokong kerajaan kleptokrasi atau menghentikan segala kebobrokan dan memulihkan integriti negara dan rakyatnya.

Alangkah malangnya kalau kita masih tidak melihat kebobrokan di sekeliling kita.
1MDB, Felda, TH, MARA, SRC, ECRL....jangan kita lupa semua itu....kerana mereka tidak melupakan kita untuk menanggung beban hutang mereka. Satu sen pun kita tak merasa...kot kot kita kena bayar hutang.

Saya berharap agar Najib panjang umur untuk menghadapi keadilan di dunia kerana saya tak pasti sama ada kita punya kuasa untuk membawa pertuduhan di akhirat seperti kata seorang menteri Najib.

Donplaypuks® said...

Jangan lupa kerugian Felda RM1.64 billion terhadap pelaburan dalam 37% saham Eagle High Plantations Plc, Indonesia. Pada bulan April, Pengerusi Felda, Shahrir Ahmad telak sokong pelaburan fiasco ini yang dipaksa oleh Najib beli dari kroni Peter Sondakh, walaupun, FGVH telak menolaknya. Merosotan ini berlaku dalam tempoh masa 8 bulan sahaja!!! Rujuk http://donplaypuks.blogspot.com/2017/12/felda-loses-rm16-billion-in-eagle-high.html

pulut said...

UMNO Lillahi Ta'ala!

rakyat marhain said...


Selamat Tahun Baru 2018 Dato AKJ,

Malang seribu kali malang,
Politik matang tunggang langgang,
Halal haram dah jadi lintang pukang,
SiJahil menipu mencuri SiAlim tumpang cari makang.

Ricesaffron@gmail.com said...

Dalam kegelapan, felda kehilangan lagi duit RM1(satu ringgit sahaja),
Akan ada seseorang dari felda dan UMNO yg akan datang untuk membakar wang yg bernilai RM100(satu ratus ringgit)
Agar cahaya yg datang dari nilai note RM100 yg di bakar dapat menerangi kegelapan felda dan akhirnya felda akan dapat melihat atau terjumpa
Semula note nilai seringgit yang kehilangan,,
Maka akan riuh rendah lah Felda di seluruh negara kerana dengan kecekapan kerajaan sedia ada, Felda telah berjaya menemui atau memperolehi semula note nilai satu ringgit Malaysia yg telah hilang
Akan muncul lah seorang HERO yg mana telah membakar wang seratus untuk menemui wang satu ringgit,,
Satu Malaysian akan di tipu lagi termasuk parti pembangkan yg kurang cerdik,,,
Persoalan yg mungkin akan di sembunyikan Duit ringgit Malaysia satu ratus siapa yg telah di bakar bagi menyelamat kan satu ringgit duit Felda yg hilang,, fikir fikir kan,,,,

Aku said...

Kadiag, السلام عليكم (assalaa /mu /'alaikum),
Jenuh aihh 'coretan' hang kali ni pasai "Songlapan tanah Felda..." siap dgn pemegang satu watak baru katanya anak pd sorang benama Soltan....tambah pada nama2 lama macam Peter Sondakh, anak tiri MOI sendiri, 'wakil'2 rakyat Kota Belud, dan Port Dickson (Bagan Pinang), 'mafia' FGV dan ramai lagi...meriah sakan.
Alhamdulillah nama2 ni di angkat untuk kita kenai sikit2 sapa 'enabler'(pemudah/pembela) MOI selain raja2 bugih malaya, kepala2 jabatan hukum, mata2 dan kepala2 aruih media 'perdana', termasok 'menteri' yg kata 'not beholden to anybody' (behutang jasa/budi)
bila ditanya mana mai duit yg bilion2 bayag kad IPIC. (yagni lepaih bayag pada IPIC tiruan sebelum ni) :
" PUTRAJAYA: Malaysia is not beholden to anybody with regard to 1Malaysia Development Bhd’s (1MDB) debt settlement, says Second Finance Minister, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. “We are not beholden to anybody,” he told reporters when asked whether Chinese firms had helped in the repayment of 1MDB’s debt to Abu Dhabi’s International Petroleum Investment Company (IPIC)."
dari http://www.mystock118.com/tag/singapore/.
Tak 'beholden' kenun... bukan duit rakyat ka, duit penoreh, duit nelayan yg dok sabong nyawa tengah laut, duit apek2 yg dok bayag
cukai, anak2 yatim yg dok bayag GST.... Macamana pulak 'beholden' pada si Pencipta adanya... atau amanah ?
Sebenagnya Kadiag, aku tecari cari mana mai selingkohan gedembai ni... mana puncanya...
Sikit2 reda jugak aku bila baca ayat 77, suràh Ya Siin ( yg orang nusantara selalu baca malam Juma'at
atau bila pi ziarah orang mati)
أَوَلَمْ يَرَ الْإِنْسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِنْ نُطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ
Yang maksudnya, lebih korang :
"Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahwa Kami menciptakannya dari setitik air (mani),
maka tiba-tiba ia menjadi penantang yang nyata!" dari 'tafsirq.com'.
Munkin bagi para 'enablers' pulak, ayat 74 dan ayat 75, lebih 'mengena' :
وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لَعَلَّهُمْ يُنْصَرُونَ
Yg maksud dia, lebih korang ~
"dan mereka mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar mereka mendapat pertolongan."
لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَهُمْ وَهُمْ لَهُمْ جُنْدٌ مُحْضَرُونَ
Yg bermaksud secara kasag ~
"Berhala-berhala itu tidak dapat menolong mereka; (sebaliknya) merekalah yg menjadi tentera
yg disediakan untuk menjaga berhala2 itu."
Sayyid Qutb menerangkan lagi bahawa inilah kemuncak kebodohan cara berfikir.
Orang2 yg menyembah (atau ta'at setia) pada pemerintah yg dzolim dan sewenang wenang pada hari ini jugak
tidak begitu jauh sifatnya, dari penyembah berhala2.
Mereka merupakan bala tentera kepada pemerintah2 yg dzolim itu.
Merekalah yg mempertahankan pemerintah2 itu dan diwaktu yg sama pada pemerintah2 itu tunduk menyembah.
Agama menyembah berhala itu tetap menyembah berhala di dalam berbagai bentuknya.
Sambung Sayyid Qutb lagi, apabila 'aqidah tauhid bergoyang, maka tibalah 'amalan syirik
dan tibalah amalan jahiliyah.

Terjemah aku ni secara kasag saja, yg lebih sohih munkin ada dlm kitab2 tafsir besag seperti
Fi Zilalil Qur an, Tafsir Azhar, Pimpinan arRahman dll. Wallahua'lam.

Tahniah jugak Kadiag pasai bejaya dlm himpunan di Shah 'Alam tu.
Semuga hang dan geng sihat2 dan teruihkan perjuangan. Aamiiin.
Maghap banyak2 no.
Aku.

Sentoloyo said...

Lepas pelingkup harta-harta milik kerajaan, harta-harta milik peneroka Felda pula diratah dengan rakus. Siapakah gerangan yang pelingkup harta-harta ni semua? Cina Dap? Cina MCA? Cina Singapore? Melayu parti Bersatu?

Lagi 5 tahun perintah Malaysia harta siapa pula yang akan terlingkup. Tabung Haji? LTAT? PNB? KWSP?

Ya Allah,kau selamatkanlah tanah air ku ini dari tangan-tangan DAJAL perosak...

Mersyoff said...

Saya sanjungi usaha-usaha DrM untuk membetulkan keadaan.

Ismail Muda said...

Pada tahun 1997, Tun M meminta Kerajaan Negeri memberi milik tanah kpd felda dgn penetapan kadar premium RM500/ekar utk dijadikan ladang komersial sebagai sumber income utama Felda. Dgn keputusan ini Kerajaan tidak lagi beri apa2 geran kpd felda utk kos operasinya & felda jadi self financing. Tahun 2000, felda melunaskan semua hutang dgn World Bank 14 tahun lebih awal & dgn itu felda tidak punya apa2 liabiliti hutang. Aset & pelaburan felda bertambah dari tahun ke tahun termasuk saham2 dlm Maybank, MISC, Amanah Raya dll. Bajet tahunan felda begitu besar menyamai 5 negeri & surplus. Anak2 sykt felda yg berpayong di bawah felda holdings untung dgn turn over lebih RM15 bil setahun. Saban tahun untung ini dipulangkan kpd peneroka dlm bentuk dividen dlm Koperasi Permodalan Felda ( KPF ).
Najib jaga felda April 2004. Sedikit demi sedikit dia menabur dedak. Diperkenalkan mcm2 insentif kpd peneroka...duit raya, bonus, pelepasan caruman itu ini & mcm2. Dikerahnya Isa Samad supaya sykt felda pegi listing. Najib mahu cipta Nama & rekod supaya FGV become 2nd biggest IPO in the world... Pelik, felda byak modal & dana serta tunai, Najib mahu jugak masuk bursa. Hasil ke bursa, felda dpat RM 5.2 bil, selebihnya RM4 bil plus FGV. Ini menjadikan felda mempunyai tunai yg banyak melebihi rm13 bil termasuk pinjaman KWSP RM6 bil, saham2 & pelaburan dlm institusi.
Benar lah kata pepatah ibarat kera merentas dusun, ibarat musang jaga reban, lombong emas satu bukit pun habis ditarahnya...Isa Samad mengawal segalanya...!!! Aliran tunai felda makin lemah, liabiliti pinjaman makin bertambah, bajet tahunan felda defesit 4 tahun berturut2, projek rumah 2nd byak terbengkalai, bantuan itu ini mula dikurangkan. Komen Audit Negara terhadap operasi felda sgt ketara. Laporan kewangan felda lewat siap tidak spt sebelumnya mengikut jadual.
Tidak ade ape lagi yg tinggal di felda di tangan Najib. Legasi & imej bapanya sudah tercemar teruk. Felda skrg menghadapi situasi getir & sukar dgn aset yg lemah & pelaburan2 pasif yg belum pasti pulangannya. Dulu felda mengurus kejayaan membantu org miskin, skrg Najib sebenarnya mengurus kegagalan...

Waghih said...

AsSalam Datuk ...

Den terujo dgn keterbukaan pentadbiran DSN .
Montori bebas bersuaro dan takdo laiee dlm ketakutan mcm dulu .
Pihak penguatkuaso pun dah bersuaro dan bolih tunjuk taring .
Kemelut Felda ni tak sepatut berlaku tapi berlaku jugo disobabkan olih kepimpinan dan pengurusan yg tak telus dan tak punyai keupayaan .

Oghang Nismilan kona boto Datuk Isa ni.
Oghang kampung golar Isa pendek .
Bukanyo dio ni pendek ...tapi akal pun pendek . Pengurusan dio hancusss .
Dio bergantung pado advisor2 yg takdo pengetahuan dan pengalaman langsung.
Lunyai Nismilan dikojo olih sipendek ni bersamo kroni2 dio maso zaman dio.

Camno pun .. Nismilan bertuah sobab MB diambik alih olih Tok Mat .
Penggal pertamo poning jugo lah Tok Mat nak perbetulkan Nismilan ni .
Tapi alhamdulillah start penggal keduo dah nampak banyak perubahan yg terbaik berlaku dlm Nismilan .
Bolih dikatokan mulo bersaing dgn Selangor lah ...
Dongan strategi MVV yg diilhamkan olih Tok Mat ..Nismilan bolih overtake Selangor dlm 5 yrs time ..Insyallah.

For sipendek dan kroni2 dio ...memang patut dihobing . Oghang kampong harap sesangat SPR dapek lunyaikan dio dgn kroni2 sekali .
Memalukan oghang Nismilan .

Siapo agak ehh sifu sipendek ni ..?

Waggih.

Gen Tun said...

Ingat semua,

SATU undi untuk Pakatan Harapan, SATU undi untuk MASA DEPAN generasi yang akan datang.

SATU undi untuk Barisan, SATU undi untuk TIADA PELUANG PEKERJAAN.

abdulhalim mustafa. said...

SOLTAN...ejaan pun power.

Anti 1mdb said...

Datuk

Jika diteliti, penggunaan nama Tun Razak. Dari Tun Razak Exchange, Tun Razak Mansion. Adakah Malaysia akan menjadi Malaysia Darul Tun Razak.

bulan said...

Hebat betul pemimpin kita ini.Yang patah nak digluekan. Yang bengkuk nak diluruskan. Yang salah nak dibenarkan. Tetapi dengan apa? Dengan kuasa?, dengan dedak? Sampai bila?. . . ALLAH maha mengetauhi. Dilalaikan kekuasaan kamu dengan masa. Manusia akan kembali berfikir waras maka terseksalah kamu nanti.

Dulu Melayu itu UMNO. UMNO itu Tun Dr Mahathir. Kini, Najib itu UMNO. UMNO itu Najib. Mengangahlah Melayu “Harapkan pagar. Pagar makan padi”

Ingat! Nasi pun telah menjadi bubur dan Jangan biarkan sampai menjadi basi. Sekalipun bubur masih boleh dimakan tetapi hanya sedap pada orang yang bermasaalah. Yang bernafsu. Yang mudah lupa kata Ayahda Tun Dr Mhathir yang dikasihi. Terimalah, telanlah jangan sampai tercekek kerana kalian masih hidup dalam ilusi HangTuah “Takan melayu hilang didunia”.

Hidup Tun Dr Mahathir.

Nenekghuffran said...

Salam DAKJ...

Waghih ooi....siapo lak yang melantik Isa pendek yg ekau nak hobing tu? Siapo lai..si Najib aka Lanun Bugis aka Mat Klepet pujaan hati kau...yang ekau terujo sangat..ptui!!..Kau dengan pujaan hati kau tu same yo bingai!!

Ujang said...

Waghih,

Dah tahu dia tak boleh pakai, apasal la si bijan ambik jadi chairman felda, lopeh tu hantaq pulak kat Spad.
Membongak betul si bijan ni.

Apolah la rahsia power si Isa ni.

Taosuo said...

DKJ,
I've been following the contributions made by readers of your well respected blog and it seemed that one responder going by
the name of Ismail Muda has been quite well informed on the goings on at FELDA. To him many thanks indeed.
Way I see it however, the grouting of FELDA's solid achievement started soon after Raja Alias vacated the chairmanship.
Although the man has some drawbacks, what he accomplished was quietly tremendous in the face of the soon to come
criminalisation of FELDA when UMNO political appointees, one after another helmed the organisation.
The billions in fixed deposits when Raja Alias left, was quickly depleted and FELDA began borrowing like there is going
to be no tomorrow, as if to prove the old adage " a fool and his money are soon parted ".
When ex teacher and 'celebrated' pork barrel politician Isa Samad took over from Yusof Noor, the grouting became even
more frantic. The three recent 'China syndrome' of FELDA perhaps are the initial public offerings (IPO) for Felda Global Ventures (FGV) and the granting of the power of attorney over the land occupied by its main offices, in Kuala Lumpur, which according to its
present chairman was given 'for free', the becoming of a majority shareholder in an Indonesia's Eagle High plantations
reportedly at a high premium but with no executive powers.
Can we be surprised perhaps that " Bukit Aman CCID director Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh said ... that as of now, the investigation (is) only focused on the issue of transfer of ownership of the Felda land." (NST, 6.1.2018).
May we ask why the police is not looking at the issue as a systemic haemorrhage on a global scale not unlike the IMDB snake pit for which I understand, investigations are not yet complete. Or are we in for a replay?

fadzi dam said...

Bravo waghih,baru nampak penambahan % peratusan rasional kamu. Kita ni benornye ada akal, kena berfikir, jangan nak asyik kata yang tak betul tu benar aje. Tak perlu nak sokong apa yang orang lain cakap.Tapi kalau yang ada salah tu, kita kena akui la. Ayat provokasi tu memang adat bertelingkah, cuma bior la nampak cerdik,bukannya 'tai chi' sepanjang masa. Sebab kita bukan je kena bersoaljawap di sini je,takut kat time 'di alam satu lagi tu'kita kena berjawap (sebab masa tu peluang untuk kita buat soalan dan taichi tak da). (P/s.. peringatan utk ku jua)

Hakimi Abdul Jabar said...

FOR THE PEOPLE! CIVIL LIBERTIES AND FUNDAMENTAL FREEDOMS

The right to receive information, i.e. the Right To Information has already been ruled to be an equally guaranteed right by the Federal Court in its decision in Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia & Anor. (2010) 3 CLJ 507 at 519 para 13.

The right to be derived from the express protection is the right to receive information, which is equally guaranteed.

In short, the right to information, the right to be derived from the
express protection is the right to receive information, which is
equally guaranteed, are the rights guaranteed by Part II which are enforceable in the courts form part of the basic structure of the Federal Constitution.

http://www.loyarburok.com/wp-content/uploads/2013/02/Sivarasa-Rasiah-v-Badan-Peguam-Malaysia-Anor-2010-3-CLJ-507.pdf

DANCE TO THE RIOT!
https://itunes.apple.com/us/album/heat-of-the-riot-feat-loshes-241m-zaim-nepos-single/1325102788

sirimuda said...

Hari-hari cerita Mat Kelepet bila mau habis Do Re Me pun ada penamat

sukasamasuka said...

Datuk,

Tahniah Tun sebagai calon PM jika Pakatan Harapan tubuh kerajaan persekutuan selepas PRU 14 dan Wan Azizah sebagai calon Timbalan.

Moga2an Tun sentiasa sehat dan perjuangannya di berkati Allah Taala.

Nenekghuffran said...

Alhamdulilah...saudara Sukasamasuka telah kembali di blog ini...

Ronin said...

Najib berperinsip "cash is king". Cash=Ringgit Malaysia (RM)
RM= Rosmah Mansor
Cash=Rosmah Mansor
Cash=King
Rosmah Mansor is King
Najib cuma PM
King keluar perintah maka pm kena la laksakan perintah king

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).