A Kadir
Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam
tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya
sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang
mungkin saya pegang.
Tekatsuban kepada Umno rosakkan Utusan |
APABILA timbul cakap-cakap
bahawa penerbitan versi cetak akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo milik syarikat
Utusan Melayu Malaysia Berhad (Utusan) akan diberhentikan Ogos lalu kerana kehabisan
modal maka dikatakan berduyun-duyunlah orang Melayu menderma bagi
menyelamatkannya.
Maka parti Melayu yang memiliki
Utusan dan yang menjadi punca akhbar ikonik itu ditolak oleh pembaca, iaitu
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) pun menyuntik RM1.6 juta.
Tetapi sebagai seorang
yang pernah terlibat dengan penerbitan akhbar dan majalah, saya tahu jumlah
sebanyak itu untuk sebuah pertubuhan media yang besar seperti Utusan, ia tidak
lebih daripada tahi hidung.
Terbaru, timbul berita
mengatakan kakitangannya telah diarahkan supaya mengosongkan kerusi mereka
mulai hari ini. Khabar lain pula mengatakan pemilik sekarang mungkin mengambil
tindakan mengisytiharkannya muflis.
Secara ringkas dan
“brutal” (kejam), saya terpaksa katakan bahawa Utusan telah hilang momentum dan
dinamik perniagaan.
Maksudnya tahap kebolehpercayaan
telah jatuh dengan teruk sehingga tidak lagi menarik minat pembaca dan
penjualan yang rendah menyebabkan pengiklan menarik diri.
Apabila pembaca tidak
membeli sesebuah akhbar maka tidak adalah sebab pengkilan hendak terus
mengiklan. Tidak ada surat khabar, besar atau kecil, yang boleh hidup tanpa
iklan.
Pendapatan daripada jualan
akhbar tidak pernah mencukupi untuk menampung kos apatah lagi membuat
keuntungan. Keuntungan dibuat dengan menjual ruang akhbar kepada pengiklan.
Dari dulu lagi Utusan
tidak sekuat New Straits Times atau Star dari segi sokongan iklan. Salah satu
sebabnya adalah pembaca akhbar Melayu dianggap tidak mempunyai kuasa membeli
yang sama kuat dengan pembaca akhbar Inggeris dan Cina.
Ini tidak bermakna Utusan
tidak pernah untung. Di puncak pengedarannya pada tahun 1990-an dan awal abad
ke-21, Utusan untung tetapi itu pun kerana dibantu oleh kegiatan bukan
percetakan.
Umno membantu Utusan
dengan berbagai-bagai cara, termasuk memberi saham IPO dan lesen penyiaran yang
akhirnya habis dijual.
Penjualan akhbar di
Malaysia, termasuk dari Kumpulan Utusan, memuncak sekitar tahun peralihan
daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, iaitu 2003.
Waktu itu penjualan Utusan
Malaysia melebihi 300,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia lebih
setengah juta. Ada laporan mengatakan edaran Utusan Malaysia pernah mencecah
350,000 naskhah sehari.
Tetapi tidak lama selepas
itu, penjualan akhbar mula turun dan salah satu puncanya adalah pelantikan
muka-muka baru untuk mengetuai jabatan pengarang media berkaitan Umno dan
campur tangan kerajaan yang melampau dalam pemberitaan.
Budak Tingkat 4
Di sini, apa yang digelar
sebagai “fourth floor boys” (budak-budak tingkat empat) di Jabatan Perdana
Menteri pada zaman pemerintahan Abdullah terpaksa dipersalahkan.
Mereka inilah yang
berkuasa ke atas media massa berkaitan Umno, khasnya dan media massa arus
perdana, amnya.
Campur tangan mereka yang
berlebihan dan tidak profesional menyebabkan pembaca menghidu bahawa akhbar,
televisyen dan radio milik syarikat-syarikat berkaitan Umno tidak lagi
berkecuali dan kurang kredibiliti.
Salah satu kesilapan
paling besar mereka adalah menggunakan media massa untuk mematikan legasi Dr
Mahathir dan menonjolkan Abdullah.
Itulah permulaan kepada
kemerosotan mutu kewartawanan dan kemerosotan penjualan akhbar Kumpulan Utusan
dan NSTP.
Hal ini diburukkan lagi
oleh perkembangan pesat teknologi digital dan kegagalan sistem pendidikan
nasional mengekalkan minat membaca di kalangan pelajar.
Berbalik kepada Utusan
Melayu (jawi) dan Utusan Malaysia (rumi), dua akhbar itu adalah roh orang
Melayu.
Bagi majoriti orang
Melayu, khususnya selepas kemerdekaan, dua akhbar itu adalah pelengkap
kehidupan seharian mereka.
Malah pada beberapa tahun
selepas Merdeka, kalau di utara Semenanjung, kita akan dengar ungkapan seperti
“jom pi kedai kopi baca Utusan” atau “hang dah baca Utusan hari ni?”
Saya membesar dengan hidangan
minda Utusan Melayu kerana itulah akhbar langganan tetap Almarhum ayah saya.
Sekali-sekala dia membeli Warta Negara (juga jawi) terbitan Pulau Pinang dan
saya membeli New Sunday Times setiap Ahad.
Utusan Melayu akhirnya
terkubur (pada tahun 2006) kerana orang Melayu generasi baru tidak lagi tahu
membaca dan menulis jawi.
Itulah antara kegagalan
besar sistem pendidikan kita. Jadi sebab itulah saya tidak berapa berselera
cakap kosong mengenai maruah Melayu atau tulisan khat. Macam kata P. Ramlee,
masuk angin keluar asap.
Kalau “budak-budak tingkat
empat” era Abdullah memulakan proses penghapusan profesionalisme kewartawanan media
berkaitan Umno, “budak-budak tingkat empat” zaman Najib lagi teruk.
Dengan bantuan “perunding”
dari dalam dan luar negara yang diwakili oleh nama-nama seperti Habibul Rahman
Kadir dan Paul Stadlen, mereka melakukan proses pugar dan bakar (slash and burn) ke atas media arus
perdana.
Kesudahannya, akhbar utama
seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times serta stesen
televisyen TV3 ditolak oleh pembaca dan penonton.
Ironinya, semua akhbar ini
dan kumpulan yang menerbitkannya “dimalaysianisasikan” (Malaysianised) pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, pelopor
pemikiran dan maruah Melayu.
Kini semuanya bernyawa
ikan akibat kebebalan anaknya, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng
Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib, bekas Perdana
Menteri.
Cabaran Pemulihan
Saya tidak nampak jalan
bagaimana Utusan boleh diselamatkan melainkan muncul pemilik baru yang komited
kepada idealisme kewartawanan era baru dan mempunyai poket yang dalam.
Usahawan Tan Sri Syed
Mokhtar Albukhary telah mengambil alih kawalan ke atas Media Prima Berhad
(pemilik New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro dan TV3) daripada
proksi Umno.
Beliau dipercayai akan
turut menyelamatkan Utusan di mana beliau sudah pun memegang saham yang banyak
untuk beberapa tahun.
Pengambilan alih oleh Syed
Mokhtar atau sesiapa saja yang mempunyai kemampuan kewangan pasti memberi nafas
baru kepada Media Prima dan Utusan, tetapi jawapan mutakhir terletak di tangan
para pengarang dan wartawan.
Kalau mereka berjaya
mengembalikan keyakinan orang ramai dengan mengamalkan kewartawan yang
profesional dan bermutu tinggi, harapan menyemarakkan semula pembacaan akhbar
adalah lebih cerah dan modal baru yang disuntik oleh pemilik baru tidak
sia-sia.
Khusus kepada sahabat lama
saya, budak Saint Michael petang (saya Saint Michael pagi) dan pengembala lembu
serta peniaga beras, Tan Sri Syed Mokhtar, saya tabik spring kepada beliau.
Saya harap orang ramai,
khususnya Melayu, kembali membaca akhbar.
Amalan membaca atas talian
atau berkongsi maklumat melalui kumpulan WhatsApp (bukan wassap atau wassup) tidak
memadai dan membaca dari media sosial tidak lengkap.
Dunia tanpa pengarang
adalah berbahaya dan memesongkan. Media sosial tidak boleh menggantikan peranan
media arus perdana yang ada pengarang, penyunting dan wartawan.
Wallahuaklam.
7 comments:
Salam DAKJ,
persoalan saya;
1. berbaloi ka untuk selamatkan Utusan, karatnya dah terlalu berkarat dan akan mengambil masa yang sangat lama untuk diperbaiki. Saya rasa ada baiknya kalau dilupuskan saja.
2. Realitinya, hampir semua Media, termasuk media cetak sudah tenggelam dengan media elektronik. Walaupun Utusan juga ada upgrade ke media elektronik tetapi beritanya tidak mempunyai nilai-nilai berita yang berkualiti. sudah lama media-media tidak menjadi pemangkin pemikiran, lebih kepada propaganda politik yang memualkan. Biarkanlah luncai terjun dengan labu-labunya Dato.
3. Cerita Budak-Budak tingkat 4 ni dah lama tapi heran jugak tak dak sapa pun pernah kena caj. Depa ni kalau buat salah, apa depa kebalkah dari undang-undang? Atau undang-undang kita masih pilih bulu sehingga sekarang? Jika tidak ada kesalahan maka adalah lebih baik jangan diungkit-ungkit lagi isu-isu penjualan saham-saham korporat di dalam dan luar negara yang mereka usahakan.
4. Ada banyak pihak di luar sana yang mula komen bahawa sebenarnya tidak ada banyak sangat masalah dengan orang Melayu tetapi yang banyak bermasalah adalah Pemimpin Melayu yang gunakan isu Melayu untuk 'cari makan', sama macam Pemimpin Islam yang guna Islam untuk 'cari makan'. Apa pendapat Dato?
Salam DATO,
apa kata kalau digabungkan Utusan dengan Harakah atas prinsip taawun lidah assobiyyah UMNO-PAS
Pak Kadir yang sangat saya hormati,
Pada hemat saya
SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH...
dinamika zaman (perubahan masa) lambat-laun akan membentuk suatu niche menjadi fenomena; pada sisi yang lain, media arus perdana sekadar Syok Sendiri... maka hasilnya apa yang berlaku tepat 1 tengah hari tadi.
Individu tidak mampu mengawal PASARAN (market) kerana PASARAN ditentukan oleh KEHENDAK Khalayak.
Tidak dapat tidak, WE MUST HONOUR and RESPECT kuasa khalayak! Tanpa ragu-ragu.
Assslamualaikum DAKJ,
Garbage in garbage out. Menyelamatkan utusan daripada dibungkus satu perkara, memastikan kelangsungan hidupnya pada masa depan pula adalah satu perkara yang lain. Kalau berita palsu yang dihidangkan, fitnah, propaganda yang mengangkat penyangak, melemah minda dan jiwa serta tidak mempunyai nilai komersial, matilah kesudahannya. Dato telah menjelaskan dengan baik dalam tulisan di atas.
Ingat semasa saya masih di sekolah rendah , sekitar tahun 70 an, akhbar yg saya selalu baca adalah Utusan Malaysia yg dibeli oleh Atuk saya.
Malangnya, anak2 saya dari zaman sekolah sehingga peringkat universiti, jarang saya lihat mereka membaca surat khabar walaupun ada di depan mata
Handphone dan Internet telah menjadi sumber utama sbg bahan bacaan dan rujukan dewasa ini
Salam DAKJ
Alamak. Dato’ kena marah dgn YB KJ hari ni ye. Hihihi………. YB KJ kata Dato’ Kadir dan dia sama je, dua dua serupa. Dua-dua menyebabkan bilangan pembaca utusan merundum. Dato’ masa zaman Anwar dipecat dulu, dia pula masa zaman Pak lah. Betul jugak YB KJ ni cakap. DAKJ & YBKJ. Kikiki…… Dato’ kena jawab tu, jangan berlindung belakang Tun pulak. Sekian TQ.
DAKJ....firstly mohon maaf post ni Tak bertujuan menyinggung sesiapa....saya 4 beradik dibesarkan dengan hasil gaji abah bekerja di utusan ...masa tu in the 70's 80's rasa bangga sebut my dad is with utusan..
Saya sendiri rasa incomplete my hari minggu without reading mingguan malaysia....not only that ....urtv & majalah wanita pun a must read. mastika saya memang tak beli.
Berita harian pun Tak leh lawan utusan punya reporting...
column astora jabat,auntie BAM, uncle ABI,Awang Selamat,senyum kambing were my favourite.
Lepas tu Saya rasa macam article dah tak macam dulu ....takde kepuasan membaca...takde umph....that's around Budak tingkat 4 punya time la.....it got worst later...felt like a fool reading it..
I totally stopped reading & buying utusan since the last 3 years
So dakj,I agree with you....
Rasa hairan bin pelik bila ada orang sekarang kata budak tingkat 4 ada PM material....lagi hancur ada kot...
Post a Comment