A Kadir
Jasin
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 |
Facebook saya 16 November lalu
|
DALAM tampalan Facebook saya pada 16 November dan
2 Disember, saya membangkitkan persoalan mengenai sama ada kita bersedia
melihat melepasi barisan pemimpin yang ada hari ini dan apakah kita mempunyai
barisan pemimpin pengganti yang berpotensi.
Persoalan-persoalan ini adalah mengenai keperluan memberi peluang
kepada barisan pewaris dan bukan mengenepikan “old guards” dengan
sewenang-wenangnya. Mereka yang baik dan tidak terpalit dengan jenayah boleh
menjadi pengasuh dan pengapit.
Tampalan 16 November Facebook saya itu berbunyi:
“Apakah kita bersedia berfikir melepasi Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Mohd
Yassin dan Anwar Ibrahim? Kalau jawapannya “ya”, siapakah yang kita harapkan?”
Perbahasan mengenainya menghasilkan 211 komen.
Pada 2 Disember pula, saya bertanya: “Adakah
di Malaysia tidak ada wajah-wajah baru seperti Sanna Marin, Justin Trudeau dan
Jacinda Arden?” Tampalan saya itu mencetuskan lebih 160 respons.
Marin, seorang wanita muda berusia 35 tahun
adalah Perdana Menteri Finland; Arden, juga seorang wanita adalah Perdana
Menteri New Zealand berusia 40 tahun dan Trudeau Perdana Menteri Kanada berusia
48 tahun.
Apakah pandangan saya sendiri mengenai isu
perwarisan ini?
Bagi persoalan (poser) pertama, jawapan saya
adalah kita wajib bersedia berfikir melepasi pemimpin-pemimpin yang saya
sebutkan itu.
Untuk soalan kedua, jawapannya bukan ada atau tidak
barisan pemimpin pewaris yang berwibawa, tetapi sama ada kita bersedia atau
tidak memberi peluang dan kepercayaan kepada mereka.
Adalah tidak masuk akal kita mengikat diri kita
kepada mana-mana satu generasi atau individu sedangkan kita tahu bahawa
kesinambungan sesebuah negara bergantung kepada perwarisan yang terancang dan
tersusun.
Kita tidak ada pilihan selain menerima kesementaraan
hidup dan berpegang kepada hukum bahawa yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan
berganti.
Saya amat yakin jika dipaksa oleh keadaan dan kita
tidak panik, kita akan memperoleh pengganti dalam apa keadaan sekali pun.
Saya mohon berkongsi pengalaman peribadi saya sebagai
pemerhati politik negara sejak saya mula mengenali dan memahami politik bertitik-tolak
daripada pembacaan saya mengenai Gamal Abdel Nasser, Mao Tse Tong (Mao Zedong),
Soekarno (Sukarno), Marshall Joseph Broz Tito, Kwane Nkrumah, Jomo Kenyatta,
Fidel Castro, Ho Chi Minh dan banyak lagi nasional pasca-Perang Dunia Kedua. Tidak
ketinggalan romantisme tentang keperwiraan Ernesto “Che” Guevara.
Saya disekolahkan mengenai pengetahuan am,
politik, sejarah dan ilmu alam (geografi) oleh Utusan Melayu (jawi), Warta
Negara (jawi), The Straits Times, The Straits Echo, Mastika, Dian dan banyak
lagi penerbitan serius dan berkualiti tahun 1950-an dan 60-an.
Pengalaman Peralihan
Saya ingat lagi nenek saya dan generasinya
menangis tersedu-sedan apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra didesak dan diasak
agar meletakkan jawatan pada tahun 1970 manakala generasi ayah saya bergembira
menerima Almarhum Tun Abdul Razak Hussein sebagai pengganti.
Seorang doktor perubatan dari Alor Star yang baru
hilang kerusi Parlimen Kota Setar Selatan (kini Pendang) dalam Pilihan Raya
Umum 1969, Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut sebagai “protagonist” yang instrumental
terhadap kejatuhan Tunku.
Ketika itu Abdul Razak berusia 48 tahun dan Dr
Mahathir 45 tahun. Bersama-sama mereka mengubah sejarah dan hala tuju negara.
Tidak kedengaran pula bantahan atau cemuhan mengatakan mereka terlalu muda.
Tunku mengambil alih Umno daripada Almarhum Datuk
Onn Jaafar pada tahun 1951 ketika berusia 48 tahun dan menjadi Perdana Menteri
Malaya Merdeka pada usia 54 tahun. Pun tidak kedengaran bantahan atau cemuhan
mengatakan beliau terlalu muda.
Almarhum Tun Hussein Onn pun menjadi Perdana
Menteri pada usia 54 tahun, Dr Mahathir 56 (pusingan pertama), Tun Abdullah
Ahmad Badawi 64 tahun dan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak 56.
Hari ini, ramai pemimpin yang menanti sama adalah
dalam lingkungan usia 60-an atau 70-an seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (73 tahun). Realitinya
kepemimpinan peringkat tertinggi kita semakin hari semakin tua sedangkan
demografi kita semakin hari semakin muda. Mulai PRU ke-15 ini, warganegara
semuda 18 tahun sudah boleh mengundi.
 |
Facebook saya 2 Disember
|
Kalau dulu sistem pewarisan politik kita boleh memberi
peluang kepada pemimpin muda seperti yang berlaku kepada Tunku, Abdul Razak,
Hussein, Dr Mahathir dan Mohd Najib, tentunya peluang yang sama boleh diberi kepada
pemimpin muda hari ini!
Apakah di kalangan generasi muda hari ini tidak
ada yang cemerlang seperti Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi Pengerusi
pengasas Petronas pada usia 37 tahun dan Menteri Kewangan pada usia 39 tahun atau yang berani seperti Anwar yang
menggoncangkan “establishment” dengan protes-protes jalanannya ketika bersusia
27 tahun?
Atau macam Tun Daim Zainuddin yang
menggabungkan kepintaran dalam bidang undang-undang, ekonomi, perniagaan dan
politik untuk menjadi strategis dan pelaksanana kelas dunia
Apakah nama-nama dalam dunia politik dan bukan
politik yang disebutkan oleh pembahas, seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,
Nurul Izzah Anwar, Khairy Jamaluddin, Dr Muhammed Abdul Khalid, Darell Leiking,
Razifi Ramli, Hannah Yeoh, Fahmi Fadzil, Liew Chin Tong, Dr Mazlee Malik, Ebit
Irawan Lew, Yeo Bee Yin, Adly Zahari, Mukhriz Mahathir dan banyak lagi, pada
usia mereka sekarang, “inferior” kepada pemimpin barisan hadapan masa kini
ketika mereka muda dulu?
Kita mempunyai bilangan pemimpin dalam
lingkungan usia 40-an, 50-an dan 60-an yang cukup besar untuk ditapis dan
dipilih. Mereka sudah cukup lama bergiat dalam politik, dipilih menjadi Ahli
Parlimen atau Ahli Dewan Undang Negeri dan dilantik menjadi Menteri, Menteri
Besar dan Ketua Menteri. Jadi, soal tidak ada calon tidak timbul.
Atau adakah kita sudah menjadi mangsa pukau dan rasuah
politik ala “the scheme of things” dan “cash is king” sehingga tidak boleh lagi
melihat ke hadapan, melepasi barisan pemimpin kanan yang ada hari ini?
Adakah kita hendak membiarkan politik kita
terus berpecah-belah, beracun dan berundur semata-mata atas dasar suka dan benci,
nostalgia dan emosi sehingga negara kita semakin hari semakin hilang arah
tujuan.
Pilihan terbaik adalah menggabungkan
kebijaksanaan dan pengalaman pemimpin veteran dengan idealisme dan kecergasan pemimpin
muda seperti yang dieksperimen oleh Pakatan Harapan (PH) ketika
pemerintahannya.
Bahaya menunggu terlalu lama adalah
kepemimpinan yang ada sekarang akan terus bercakaran sehingga tidak ada apa-apa
lagi yang hendak diwariskan kepada barisan pengganti.
Maka jadilah politik Malaysia padang jarak,
padang tekukur; kalah jadi abu, menang jadi arang. Dan kita akan dikutuk oleh
anak cucu kita sebagai manusia tamak dan gila kuasa yang menjahanamkan negara.
Wallahuaklam. Terima kasih.