Thursday, December 03, 2020

Kepemimpinan: Melihat Melepasi Yang Ada

A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

 

Facebook saya 16 November lalu

 

DALAM tampalan Facebook saya pada 16 November dan 2 Disember, saya membangkitkan persoalan mengenai sama ada kita bersedia melihat melepasi barisan pemimpin yang ada hari ini dan apakah kita mempunyai barisan pemimpin pengganti yang berpotensi.

 

Persoalan-persoalan ini adalah mengenai keperluan memberi peluang kepada barisan pewaris dan bukan mengenepikan “old guards” dengan sewenang-wenangnya. Mereka yang baik dan tidak terpalit dengan jenayah boleh menjadi pengasuh dan pengapit.

 

Tampalan 16 November Facebook saya itu berbunyi: “Apakah kita bersedia berfikir melepasi Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Mohd Yassin dan Anwar Ibrahim? Kalau jawapannya “ya”, siapakah yang kita harapkan?” Perbahasan mengenainya menghasilkan 211 komen.

 

Pada 2 Disember pula, saya bertanya: “Adakah di Malaysia tidak ada wajah-wajah baru seperti Sanna Marin, Justin Trudeau dan Jacinda Arden?” Tampalan saya itu mencetuskan lebih 160 respons.

 

Marin, seorang wanita muda berusia 35 tahun adalah Perdana Menteri Finland; Arden, juga seorang wanita adalah Perdana Menteri New Zealand berusia 40 tahun dan Trudeau Perdana Menteri Kanada berusia 48 tahun.

 

Apakah pandangan saya sendiri mengenai isu perwarisan ini?

 

Bagi persoalan (poser) pertama, jawapan saya adalah kita wajib bersedia berfikir melepasi pemimpin-pemimpin yang saya sebutkan itu.

 

Untuk soalan kedua, jawapannya bukan ada atau tidak barisan pemimpin pewaris yang berwibawa, tetapi sama ada kita bersedia atau tidak memberi peluang dan kepercayaan kepada mereka.

 

Adalah tidak masuk akal kita mengikat diri kita kepada mana-mana satu generasi atau individu sedangkan kita tahu bahawa kesinambungan sesebuah negara bergantung kepada perwarisan yang terancang dan tersusun.

 

Kita tidak ada pilihan selain menerima kesementaraan hidup dan berpegang kepada hukum bahawa yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti.

 

Saya amat yakin jika dipaksa oleh keadaan dan kita tidak panik, kita akan memperoleh pengganti dalam apa keadaan sekali pun.

 

Saya mohon berkongsi pengalaman peribadi saya sebagai pemerhati politik negara sejak saya mula mengenali dan memahami politik bertitik-tolak daripada pembacaan saya mengenai Gamal Abdel Nasser, Mao Tse Tong (Mao Zedong), Soekarno (Sukarno), Marshall Joseph Broz Tito, Kwane Nkrumah, Jomo Kenyatta, Fidel Castro, Ho Chi Minh dan banyak lagi nasional pasca-Perang Dunia Kedua. Tidak ketinggalan romantisme tentang keperwiraan Ernesto “Che” Guevara.

 

Saya disekolahkan mengenai pengetahuan am, politik, sejarah dan ilmu alam (geografi) oleh Utusan Melayu (jawi), Warta Negara (jawi), The Straits Times, The Straits Echo, Mastika, Dian dan banyak lagi penerbitan serius dan berkualiti tahun 1950-an dan 60-an.

 

Pengalaman Peralihan

 

Saya ingat lagi nenek saya dan generasinya menangis tersedu-sedan apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra didesak dan diasak agar meletakkan jawatan pada tahun 1970 manakala generasi ayah saya bergembira menerima Almarhum Tun Abdul Razak Hussein sebagai pengganti.

 

Seorang doktor perubatan dari Alor Star yang baru hilang kerusi Parlimen Kota Setar Selatan (kini Pendang) dalam Pilihan Raya Umum 1969, Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut sebagai “protagonist” yang instrumental terhadap kejatuhan Tunku.

 

Ketika itu Abdul Razak berusia 48 tahun dan Dr Mahathir 45 tahun. Bersama-sama mereka mengubah sejarah dan hala tuju negara. Tidak kedengaran pula bantahan atau cemuhan mengatakan mereka terlalu muda.

 

Tunku mengambil alih Umno daripada Almarhum Datuk Onn Jaafar pada tahun 1951 ketika berusia 48 tahun dan menjadi Perdana Menteri Malaya Merdeka pada usia 54 tahun. Pun tidak kedengaran bantahan atau cemuhan mengatakan beliau terlalu muda.

 

Almarhum Tun Hussein Onn pun menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Dr Mahathir 56 (pusingan pertama), Tun Abdullah Ahmad Badawi 64 tahun dan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak 56.

 

Hari ini, ramai pemimpin yang menanti sama adalah dalam lingkungan usia 60-an atau 70-an seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (73 tahun). Realitinya kepemimpinan peringkat tertinggi kita semakin hari semakin tua sedangkan demografi kita semakin hari semakin muda. Mulai PRU ke-15 ini, warganegara semuda 18 tahun sudah boleh mengundi.

 

Facebook saya 2 Disember

 

Kalau dulu sistem pewarisan politik kita boleh memberi peluang kepada pemimpin muda seperti yang berlaku kepada Tunku, Abdul Razak, Hussein, Dr Mahathir dan Mohd Najib, tentunya peluang yang sama boleh diberi kepada pemimpin muda hari ini!

 

Apakah di kalangan generasi muda hari ini tidak ada yang cemerlang seperti Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi Pengerusi pengasas Petronas pada usia 37 tahun dan Menteri Kewangan pada usia 39 tahun atau yang berani seperti Anwar yang menggoncangkan “establishment” dengan protes-protes jalanannya ketika bersusia 27 tahun?

 

Atau macam Tun Daim Zainuddin yang menggabungkan kepintaran dalam bidang undang-undang, ekonomi, perniagaan dan politik untuk menjadi strategis dan pelaksanana kelas dunia

 

Apakah nama-nama dalam dunia politik dan bukan politik yang disebutkan oleh pembahas, seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Nurul Izzah Anwar, Khairy Jamaluddin, Dr Muhammed Abdul Khalid, Darell Leiking, Razifi Ramli, Hannah Yeoh, Fahmi Fadzil, Liew Chin Tong, Dr Mazlee Malik, Ebit Irawan Lew, Yeo Bee Yin, Adly Zahari, Mukhriz Mahathir dan banyak lagi, pada usia mereka sekarang, “inferior” kepada pemimpin barisan hadapan masa kini ketika mereka muda dulu?

 

Kita mempunyai bilangan pemimpin dalam lingkungan usia 40-an, 50-an dan 60-an yang cukup besar untuk ditapis dan dipilih. Mereka sudah cukup lama bergiat dalam politik, dipilih menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undang Negeri dan dilantik menjadi Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri. Jadi, soal tidak ada calon tidak timbul.

 

Atau adakah kita sudah menjadi mangsa pukau dan rasuah politik ala “the scheme of things” dan “cash is king” sehingga tidak boleh lagi melihat ke hadapan, melepasi barisan pemimpin kanan yang ada hari ini?

 

Adakah kita hendak membiarkan politik kita terus berpecah-belah, beracun dan berundur semata-mata atas dasar suka dan benci, nostalgia dan emosi sehingga negara kita semakin hari semakin hilang arah tujuan.

 

Pilihan terbaik adalah menggabungkan kebijaksanaan dan pengalaman pemimpin veteran dengan idealisme dan kecergasan pemimpin muda seperti yang dieksperimen oleh Pakatan Harapan (PH) ketika pemerintahannya.

 

Bahaya menunggu terlalu lama adalah kepemimpinan yang ada sekarang akan terus bercakaran sehingga tidak ada apa-apa lagi yang hendak diwariskan kepada barisan pengganti.

 

Maka jadilah politik Malaysia padang jarak, padang tekukur; kalah jadi abu, menang jadi arang. Dan kita akan dikutuk oleh anak cucu kita sebagai manusia tamak dan gila kuasa yang menjahanamkan negara.

 

Wallahuaklam. Terima kasih.

 

7 comments:

Rozaini said...

Datuk,

Dunia zaman ini sudah berubah.. Membandingkan umur-umur pemimpin pada zaman kemerdekaaan boleh menggambarkan yang orang awam boleh menerima mereka untuk memimpin. Orang Awam pada masa itu tidak mempunyai pilihan kerana pemimpin masa tersebut adalah pemimpin yang terpilih dan terpelajar kerana tergolong dalam kalangan Diraja atau Bangawan.

Ketidakadaan pemimpin muda pada masa ini adalah kerana pemimpin tua takut kehilangan jawatan, pengaruh and keselesaan yang datang bersama samada dalam parti atau kerajaan. Melihat kenaikan pemimpin muda dalam parti akan membuatkan mereka melihat ini sebagai threat kepada kelangsungan mereka dan aksi pancung memancung akan bermula kecuali pemimpin muda tow the line and mengikut kehendak mereka.

Ini adalah salah satu sebab anak muda tidak menyertai parti parti politik kerana mereka melihat yang usaha mereka itu akan sia-sia kerana bukan kualiti kepimpinan yang dilihat daripada pemimpin muda tetapi kepatuhan..

Menjerit untuk Bangsa ,Ugama dan Negara tetapi semuanya untuk kelangsungan hidup sendiri..

Dan lagi satu Datuk, kebanyakan pemimpin muda menjauhi mereka ini adalah kerana ada dikalangan mereka are 'not very bright' melihat kelakuan and jawapan mereka di parlimen..

BR

OKJ said...

Salam Dato Kadir Jasin yg dihormati

Lama betul Dato’ tak post article dalam blog Dato’.

Berbalik kpd isu semasa Dato’ ni, maaf cakaplah tapi saya rasa orang-orang dulu dah ketinggalan zaman. Dato’ masih nak mengharapkan hero ala ala The Avengers utk selamatkan Malaysia macam Tun M lah, Tun Daim lah, Tg Razaleigh lah, Tun Razak lah dan sebaginya. Sekarang zaman IT la Dato’, mana ada hero lagi dah. Dan tak payahlah Dato’ asyik asyik nak harapkan orang macam Nurul Izzah, Syed Saddiq, Mukhrizlah, Dr Mazlee Malik dan sebagainya. Semuanya dah jatuh gedebuk dan jadi pembangkang dah. Hehehe………. Nak mempertahankan kerajaan sendiri pun tak boleh, ini Dato nak suruh mereka jadi hero. Hero Hisdustan bolehlah kot.

Sebenarnya saya ada idea macam mana nak mengatasi masalah di atas. Tapi tak apalah, cadangan orang macam sayani akan dibuang dalam tong sampah je.

Cuma saya cukup kesal dengan pemerintahan TSMY sekarang. Maaf cakaplah, TSMY dikelilingi oleh orang-orang yg tidak cekap. Menteri dan Timb Menteri sampai 70 orang tapi buat habiskan beras je. Saya juga cukup bersetuju dgn Tun yg pemerintahan TSMY ni tiada hala tuju dan tiada idea macam mana nak membantu para peniaga yg terjejas teruk di musim Covid ni. Yg dia tahu ialah tabur duit duit duit dan monitorium je. Macam mana nak jana duit dan tolong orang berniaga pulak, dia tak reti.

Saya dengar dari CNA news, Malaysia dah kerugian hampir 315 Billion semasa PKP pertama dari bulan Mac hingga June. Kemudian TSMY cuba nak buat darurat tapi tak dapat sbb Agong tak setuju. Dia pun buat PKPB kedua dari bulan Oct sampai sekarang, dah 2 bulan. Sedangkan 40% dari ekonomi Malayisa dijana di lembah klang. Kadar pengangguran naik sampai dekat 750,000 dan professional yg tak bekerja katanya sampai 100000 orang. Berapa pulak Malaysia rugi utk PKPB kali ni? GILA !!!!!!

Case fatality rate (CFR)

Buat pengetahuna semua, CFR adalah petanda nak nak tunjukkkan samada sesuatu penyakit tu bahaya ke tak. Kalau CFR > 10% (eg macam SARS 2003 - CFR 10.6%), penyakit tu amat bahaya. Kalau 3%, dan ke bawah, penyakit macam sakit biasa jelah. Masa mula-mula COVID dulu , Yelah masa tu kita tak tahu lagi dan kita ingatkan case fatality rate sama macam SARS yg bahaya dulu. Tapi sekarang, study dah tunjukkkan case fatality rate cuma 1 hingga 3% bergantung pada negara.Dan mengikut kajian di Malaysia, case fatality rate di Malayisia cuma 1.2% sahaja. Itupun hanya tinggi pada golongan berisiko spt orang tua dan ada penyakit darah tinggi dan kencing manis. Dan CDC Amerika pun kata quarantine 7 hari pun dah mencukupi jika Covid PCR pada hari kelima tu negative.

Malagnya, ini satu lagi keputusan MKN langsung tak ikut evidence based. Macam Tun kata, kerajaan kita dah quarantine orang- orang sihat dah berbulan bulan dah (sbb PKP dan PKPB) dan lebih lama dari orang yg sakit. Tak tahulah saya nak cakap apa. Bengong betul !!!!!! Inilah bila dasar negara dibuat oleh org yg tak berkelayakan.

Maaf Dato, Panjang sangat pulak. Sekian TQ.

Unknown said...

Tua atau muda tidak menjadi isu yg mendesak, utamakan pada pembentukan dasar yg betul dan tepat dalam membangunkan negara dan rakyatnya...

Unknown said...

terima kasih atas ulasan

sirahak said...

maaf Dato', saya baru jumpa Datok di kedai Roti Canai di PJ dan bertanya lama Datuk tak menulis diblog ini...! sesetengah (ramai mungkin) Pemimpin politik menjadikan medan politik ni tempat mencari makan seumur hidup..(untuk sendiri dan suku sakat) ,bukan sangat nak mencari jalan dan idea bagaimana rakyat dapat meningkat sahsiah dan ekonomi mereka..Pandangan saya tak semesti yang muda tu lebih progresiv, bergantung juga kepada jatidiri dan ilmu yang ada..tapi mungkin janganlah sampai menungkat langit baru nak beri peluang pemimpin pelapis lain..

safiai saad said...

My honest opinion, how else can we be rich without involving in politics.
how can we make our children inherit political position, does it happening in other countries
can you create wealth on your own, create Microsoft, Facebook, WhatsApp
corruption is ok. I take some ,you take some, the rest we give to the poor,noble intention
obviously something is rotten in the house of Denmark and mid valley
our culture do not encourage excellent but pure emotion and mediocrity
our new leader will have gone already. We are left only with graduate from middle east.

Abitpusher said...

Kita perlukan dasar ekonomi yang baru selain daripada pemimpin yang muda. Tak guna ada banyak parti2 baru tapi dasar masih tak berubah.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).