[Revised Version]
Muslihat di Sebalik "I'm Sorry" Lee Kuan Yew
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan “anonymous” tidak akan dilayan. Penting! Bagi memastikan laman ini "current" dan tidak tersangkut (hang), sila klik "refresh" dari semasa ke semasa. Pilih antara Internet Explorer dan Mozilla Firefox yang mana satu lebih pantas dan “reliable”.]
MOHON maaf Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew kepada Malaysia kerana menyebabkan “keresahan” (discomfort) berikutan ulasannya mengenai bagaimana Malaysia melayan kaum minoriti Cina, cukup unik.
Membalas surat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Lee berkata dia amat berdukacita. Dalam bahasa Inggeris, Lee menggunakan istilah “sorry”.
Menurut laporan akhbar The Star, Lee berkata setelah sedekad melalui perhubungan yang tegang dengan Perdana Menteri dahulu (Tun Dr Mahathir Mohamad), berselisih faham dengan Malaysia adalah sesuatu yang tidak diingininya.
Bekas Perdana Menteri Singapura selama 25 tahun itu menambah sejak Abdullah mengambil alih sebagai Perdana Menteri, perhubungan antara kedua-dua buah negara telah menjadi semakin baik.
Lee jarang mohon maaf. Sebaliknya dia menjadikan amalan politiknya memaksa orang lain, sama ada musuh-musuh politiknya di Singapura atau media massa asing, meminta maaf kepadanya.
Jadi apabila dia memohon maaf kepada Malaysia, dia melakukannya dengan cara yang cukup luar biasa yang memberikan beliau kesempatan dan faedah tertentu. Dalam erti kata yang lain, dia memohon maaf tanpa menjatuhkan air mukanya.
Yang paling memeranjatkan ialah suratnya kepada Abdullah turut diedarkan kepada media massa Malaysia dengan hanya memaklumkan hal itu kepada Perdana Menteri kita melalui nota kaki di dalam surat berkenaan.
Ini cukup luar biasa kerana maklumat yang terkandung di dalam surat kepada Perdana Menteri kita itu menjadi pengetahuan umum hampir serentak dengan beliau menerima dan membacanya.
Jadi, apa jua reaksi balas Abdullah kepada penjelasan dan mohon maaf Lee itu tidak dapat tidak akan diteliti rapi oleh orang ramai kerana mereka juga “menerima” surat yang sama daripada Lee, serentak dengan Perdana Menteri.
Ini adalah cara Lee cuba mempengaruhi pendapat umum di Malaysia dengan berhubung terus dengan rakyat jelatanya. Dari aspek perang saraf, Lee sudah berjaya mempengaruhi pandangan rakyat Malaysia sebelum Kerajaan mereka sendiri sempat memberi reaksi.
Kalau dalam permainan catur, Lee sudah “checkmate” Kerajaan Malaysia. Kalau dalam peperangan, musuh sudah melempar kembali bom tangan yang kita lontarkan tetapi belum meletup.
Walaupun Lee, dalam suratnya berkata dia tidak bertujuan untuk campur tangan dalam politik Malaysia dan tidak berkuasa untuk mempengaruhi politik Malaysia atau menghasut orang Cina Malaysia, namun bagi saya, tindak-tanduk Lee membawa maksud sebaliknya.
Apakah tujuan dan muslihat Lee memberikan salinan suratnya itu kepada rakyat Malaysia melalui media massa Malaysia serentak dengan penghantarannya kepada Perdana Menteri Malaysia?
Apakah Lee serius dengan mohon maafnya? Ini kerana di dalam surat kepada Abdullah itu pun dia masih mempertahankan kenyataan dengan alasan bahawa ia dibuat di dalam “free-flowing” dialog dengan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Lawrence Summers di hadapan perwakilan persidangan Tabung Matawang Antarabangsa/Bank Dunia pada 15 September lalu.
Dia juga mempertahankan hujahnya dengan berkata bahawa Singapura memerlukan kerajaan yang kuat (ertinya Kerajaan PAP) untuk menjalin perhubungan yang baik dengan Indonesia dan Malaysia, dan untuk berinteraksi dengan ahli politik Malaysia yang menganggap Singapura sebagai negara kaum Cina dan mahukan Singapura sensitif dan akur kepada permintaan mereka.
Lee juga memuji Abdullah kerana memperjelaskan pendirian Kerajaan Malaysia menghormati perjanjian-perjanjian dengan Singapura selaras undang-undang antarabangsa dengan membatalkan Projek Jambatan Bengkok.
Kesimpulannya, apa jua reaksi kerajaan kita kepada mohon maaf Lee itu, beliau sebenarnya mendapat peluang keemasan untuk berinteraksi terus dengan rakyat jelata Malaysia.
Timbul juga tanda tanya apakah sopan dan menepati protokol bagi Menteri Mentor Singapura itu mengedarkan surat berkenaan kepada khalayak sedangkan surat itu ditujukan kepada seorang Perdana Menteri.
Memandangkan bahawa Lee Kuan Yew telah menghebahkan kandungan suratnya kepada rakyat Malaysia, adalah wajar Perdana Menteri mendedahkan kandungan suratnya kepada menteri Singapura itu.
Dengan yang demikian dapatlah rakyat jelata membandingkan protes beliau dengan respons Lee Kuan Yew.
POST SCRIPT [4 Okrober]
Terima Kasih Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana memperjelaskan apa yang tersurat dalam surat Lee Kuan Yew kepada Perdana Menteri kita. Yang tersurat adalah Lee Kuan Yew TIDAK MEMOHON MAAF.
Utusan Malaysia yang dalam laporannya semalam menyiarkan tajuk berita “Kuan Yew Minta Maaf”, hari ini menyiarkan tajuk berita “Surat Kuan Yew bukan permohonan maaf – Syed Hamid”. Tajuk berita akhbar Berita Harian semalam “Lee Kuan Yew Mohon Maaf.”
Syed Hamid menganggap surat penjelasan Lee Kuan Yew kepada Abdullah tidak menggambarkan permohonan maaf yang sebenar.
Beliau menegaskan, surat penjelasan tersebut lebih merupakan penerangan kepada Perdana Menteri berhubung apa yang didakwa mengenai peminggiran secara sistematik masyarakat Cina di Malaysia sebelum ini.
“Saya tidak menganggap ia surat permohonan maaf kerana beliau (Kuan Yew) hanya menjelaskan apa yang dikatakan (tuduhan peminggiran masyarakat Cina di Malaysia).
“Dalam surat itu Kuan Yew hanya menyatakan permohonan maaf kerana menyebabkan timbul ketidakselesaan kepada Perdana Menteri sahaja,” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa di Wisma Putra, di sini hari ini.
Syed Hamid berkata, permohonan maaf kerana menimbulkan rasa tidak selesa kepada Perdana Menteri berbeza dengan permohonan maaf kerana membangkitkan isu peminggiran masyarakat Cina di Malaysia oleh Menteri Mentor tersebut.
A big thank you to Syed Hamid. At least somebody understands Lee’ trickery and speaks up. That the Mainstream media should attempt to spin the story in the first place is mind-boggling.
Now we why Lee made public his letter. He had anticipated that someone would spin its contents. By making the letter public, Lee directly told theMalaysian people that he was not retracting his allegation and was not apologising to Abdullah.


