Tuesday, June 12, 2012

Pakatan Rakyat: Pakat Tetapi Tidak Terikat

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

GABUNGAN pilihan raya (election pact) DAP, PKR dan PAS telah membuktikan kemujarabannya pada pilihan raya umum 2008 dan dalam beberapa pilihan raya kecil selepas itu.

Bagaimanapun, sejak itu nampak yang tiga parti berkenaan seolah-olah hangat-hangat tahi ayam atau semakin tidak yakin yang pakatan mereka perlu atau boleh disahkan sebagai pakatan rasmi.

Petunjuk terbaru yang tiga parti itu terus tidak yakin atau kurang berani untuk diijabkabulkan secara sah ialah pengumuman yang mereka akan bertanding PRU akan datang dengan menggunakan lambang parti masing-masing.

Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang aka Tian Chua dipetik oleh Sin Chew Daily sebagai berkata parti-parti PR akan menggunakan simbol masing-masing hatta jika Pendaftar Pertubuhan memberi pengiktirafan rasmi esok.

Kenyataan Tian Chua itu senada dengan yang dibuat oleh Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, akhir tahun kalu. Katanya, pembangkang tidak pernah berhasrat menukar lambang pada pilihan raya nanti, sebaliknya PAS, PKR dan DAP akan menggunakan lambang masing-masing pada kertas undi.

Tidak kira apa pun kedudukan sebenar, alasan kesuntukan masa untuk mendaftarkan PR sebagai sebuah parti politik campuran tidak boleh diterima lagi kerana keputusan merasmikan (formalise) PR dibuat hampir empat tahun lalu, iaitu beberapa hari selepas ia menang besar dalam PRU 2008.

Bukan itu saja, pada tahun 2009, PR telah melantik bekas menteri BN, peguam Mohd Zaid Ibrahim, yang ketika itu ahli majlis tertinggi PKR, sebagai penyelaras dan pengerusi jawatan kuasa sementara (protem committee) “parti” Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) dengan tugas mendaftarkannya secara rasmi.

Sentimen Halang Pengesahan PR

Nampaknya, bukan saja parti-parti PR kurang yakin dengan kelangsungan jangka panjang pakatan mereka, tetapi aspek sentimental masih kuat mempengaruhi tindak-tanduk mereka, khasnya PAS dan DAP yang berupa parti tua politik Malaysia.

Ahli dan penyokong kedua-dua buah parti itu mungkin akan tawar hati dengan pertubuhan masing-masing kalau lambang mereka yang ikonik lesap dari kertas undi dan digantikan dengan lambang baru yang asing.

Dalam konteks ini, PAS telah berpengalaman menanggung musibah kerana mengorbankan lambangnya ketika menjadi anggota BN dan bertanding menggunakan lambang BN dalam PRU 1974.

Lagipun, selain daripada kesepakatan untuk menjatuhkan BN, parti-parti PR tidak mempunyai banyak persamaan dan kata sepakat.

Selain itu, kehadiran ramai “free operator” yang kerap cakap celopar dan merapu dalam parti-parti itu memudaratkan satu sama lain, khasnya antara PAS dan DAP yang umpama langit dengan bumi.

Malah dalam PAS sendiri ada ramai ubi rebus tidak empuk yang menyukarkan usaha parti itu mengembangkan sayapnya melepasi negeri-negeri Melayu Utara Semenanjung.

Kejadian terbaru ialah keceloparan mulut bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin, yang mempersoalkan pembidaan nombor plat WWW 1 oleh Sultan Johor.

Perbuatan pendek akal beliau itu memudarkan harapan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, dalam usahanya menggempur negeri Johor dalam PRU nanti.

Kalau benar DAP, PAS dan PKR mahu pakatan pilihan raya mereka dirasmikan sebagai pakatan formal, mereka tentulah sudah membuat bising satu Malaysia dan melemparkan berbagai tuduhan terhadap ROS kerana lambat mendaftarkan parti mereka.

Sebaliknya, selepas pengunduran Mohd Zaid daripada PKR pada tahun 2010, cakap-cakap mengenai pendaftaran PR amat jarang kedengaran. Salah satu sebabnya ialah DAP yang amat berpengaruh dalam PR, menaruh harapan terhadap Mohd Zaid sebagai orang yang berkemungkinan menggantikan Anwar Ibrahim sebagai ketua de fakto PR. Wallahualam.

Wednesday, June 06, 2012

A380: Era Baru, Cabaran Lama

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

BERAT maksimumnya ketika terbang naik (maximum takeoff weight/MTOW) adalah 560 tan metrik, iaitu bersamaan dengan berat 605 buah kereta Proton Saga baru tanpa muatan.

Ia boleh memuatkan sehingga 853 penumpang, iaitu bersamaan dengan muatan 170 buah kereta Proton Saga dan terbang sejauh 15,400 kilometer, iaitu lebih dua kali ganda jarak antara Kuala Lumpur dan Jeddah.

Itulah kapal terbang Airbus A380 yang menjadi pesawat terbaru dan terbesar Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

Semalam saya dijemput menyertai penerbangan ujian pesawat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Langkawi tanpa mendarat. Turut serta adalah bekas Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad, pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Jauhari Yahya, wakil media massa, ejen pelancongan, pelanggan istimewa dan kakitangan MAS.

(Tun Dr Mahathir melawat Kabin)

Menurut Kapten Kamarudin Kamilin, salah seorang daripada tiga pemandu yang bergilir menerbangkan pesawat itu, inilah kali pertama pesawat itu naik ke udara setelah sampai dari kilangnya di Perancis pada 29 Mei lalu.

Pesawat A380 MAS itu boleh memuat 496 penumpang dalam tiga kelas dan dijangka memulakan penerbangan antara KLIA dan Lapangan Terbang Heathrow, London 1 Julai ini.

Inilah kemajuan penerbangan sejak dua bersaudara Orville Wright dan Wilbur Wright menerbangkan pesawat Wright Flier di Kitty Hawk, North Carolina, Amerika Syarikat pada 17 Disember, 1903.

(Md Nor dengan Bruno Navet wakil EADS)

Hari ini, menjelajah dengan kapal terbang sudah menjadi perkara biasa. Bagi orang Islam Malaysia, paling-paling tidak pun untuk mengerjakan haji.

Pada waktu MAS memesan enam buah pesawat A380nya itu, harga sebuah adalah kira-kira AS$300 juta (RM950 juta) bersamaan harga 24,000 buah kereta Proton Saga FLX 1.3 atau 38,400 unit kondo rakyat Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada kadar harga tawaran. (Harga spekulasi dan lelong oleh bank sudah mencecah RM65,000).

Pengenalan pesawat raksasa termoden itu berlaku pada saat MAS sedang mengalami masalah perniagaan yang paling genting dalam 40 tahun sejarahnya. Bagi tahun 2011, MAS melaporkan kerugian RM2.52 bilion (kos pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua kira-kira RM3 bilion).

(Pemandangan Kabin Serba Canggih)

KdalaJadi, dalam MAS dan penumpang penerbangan ujian itu bergembira dan berbangga dapat terbang dengan pesawat komersial terbesar dalam sejarah, perkiraan yang lebih afdal adalah bagaimana menyelamatkan MAS.

Dalam keadaan di mana industri penerbangan menjadi semakin bersaing, harga minyak yang tinggi dan ekonomi dunia yang tidak menentu, menyelamatkan MAS menjadi semakin sukar dan mencabar.

Semua pihak yang terbabit dengannya – daripada kerajaan yang menjadi pemegang saham dan pembiaya utama MAS kepada pengurusan dan kakitangannya – perlulah realistik dan pragmatik kalau mereka mahu menjamin kelangsungan (survival) MAS.

Ingatlah, ada had dan batasan kepada kemampuan kerajaan dan pembayar cukai membantu MAS dan kesediaan pembiaya swasta terus membiayai MAS.

Ingatlah juga yang banyak syarikat penerbangan nasional dan swasta ikonik telah muflis dan hilang dari ruang udara. Pada 6 Feb lalu, syarikat penerbangan Hungary, Malev muflis dan berhenti terbang selepas beroperasi 66 tahun.

Saya sudah pun memberikan nasihat dan pandangan dua sen saya kepada kawan-kawan yang kini mengendalikan MAS yang dulunya bersama-sama saya dalam The New Straits Times Press Malaysia Berhad.

Bagi saya, dalam keadaan di mana MAS berada sekarang, penerbangan seronok-seronok (joyride) bukanlah istilah yang tepat. Lebih molek kalau disebut penerbangan ujian laluan (route proving), penerbangan penghargaan atau penerbangan apresiasi - beri penghargaan kepada yang menolong dan mengapresiasi kehebatan pesawat baru itu. Wallahualam.

Thursday, May 31, 2012

IPO FGV: Najib Harap Lebih Baik Daripada Facebook

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

FELDA Global Venturea Holdings Berhad (FGV) bukan Facebook Inc dan Mohd Najib Abdul Razak bukan Mark Zuckerberg.

FGV adalah syarikat Malaysia milik bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan peneroka serta kakitangan Felda.

Facebook, laman sosial siber terbesar adalah milik “computer geek” Zuckerberg. Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP menterjemahkan computer geek sebagai gek komputar.

Computer geek adalah orang yang sangat pintar dalam hal komputer tetapi agak kekok dalam pergaulan sosial. Lebih kurang macam ulat buku atau book worm.

Zuckerberg adalah antara gek komputer terkemuka di dunia, tetapi dia nyata tidak kekok dalam perhubungan dengan khalayaknya. Bukan saja Facebook berjaya, tetapi sahamnya diberikan penarafan yang sangat tinggi sebelum disenaraikan di Pasaran Saham Nasdaq, New York.

Bagaimanapun, sejak saham-saham Tawaran Awam Permulaan (Initial Public Offering/IPO) Facebook itu diniagakan pada 25 Mei lalu, Zuckerberg yang didewa-dewakan itu bertukar menjadi “orang buruan”.

Pelabur Derita Zuckerberg Tetap Kaya

Dalam masa 10 hari sejak diniagakan, nilai saham Facebook telah merosot 25 peratus. Pembeli yang membeli dengan harga tawaran AS$38 (kira-kira RM121.60) telah kerugian AS$9.90 (RM30.40).

Nilai saham milik Zuckerberg pun merosot juga. Kekayaan beliau hasil IPO Facebook itu dianggarkan bernilai AS$15 bilion (RM48 bilion) berbanding AS$19 bilion (RM60.8 bilion) apabila IPO diumumkan.

Tidak hairanlah kalau beliau masih boleh berbulan madu dengan isterinya, Priscilla Chan, yang dikahwininya seminggu selepas IPO. Zuckerberg masih kaya raya dan bergembira dengan isterinya, tetapi ramai pelabur kecil dan besar sedang keluh-kesah kerana spekulasi mereka meleset.

Itulah realiti IPO. Sama ada ia dilakukan oleh Facebook, Freescale (yang ada kilang di Kelana Jaya), Spirit Airlines dan Lone Pine Resources di Amerika (yang semuanya jatuh apabila mula diniagakan) atau FGVHB di Malaysia, risiko tetap ada.

Dalam mengharapkan durian runtuh kerana percaya kepada apa yang diuar-uarkan dalam prospektus, pelabur hendaklah juga bersedia menghadapi ancaman dan risiko yang ada dalam semua bentuk pelaburan dan perniagaan.

FGV Jangan Jadi Macam Facebook

Hari ini, FGV mengumumkan prospektus IPOnya. Kalau Zuckerberg menjadi wajah dan jurucakap Facebook, Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak menjadi wajah dan ketua jurucakap FGV.

Beliaulah yang melancarkan prospektus FGV di ibu negara hari ini.

Namun saya menaruh harapan yang IPO FGV akan menjanjikan prestasi jangka pendek dan panjang yang lebih positif daripada IPO Facebook demi kebajikan pelabur, peneroka dan kakitangan Felda serta kita semua.

Saya juga berharap yang harapan Mohd Najib agar IPO FGV mencapai prestasi lebih baik daripada Facebook akan menjadi kenyataan.

Mohd Najib tentulah tidak memandang remeh prestasi pasaran FGV. Zuckerberg boleh pergi berbulan madu di Eropah kerana itu duit dia, tetapi Mohd Najib terpaksa berdepan dengan pengundi dan pembayar cukai yang mempunyai hak ke atas FGV.

Penyenaraian FGV adalah antara projek pra-pilihan raya Kerajaan Barisan Nasional.

Menurut Mohd Najib, FGV akan menjadi syarikat berasaskan kepala sawit ketiga terbesar di dunia dengan modal pasaran RM16.6 bilion.

Melalui IPO itu, FGV akan menawarkan 2.188 bilion saham atau 63 peratus daripada modalnya yang diperbesarkan pada harga tanda runcit RM4.55 sesaham.

Saham-saham itu ditawarkan kepada kepada institusi pelaburan tempatan dan asing, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

200.6 Juta Saham Khas Kepada Peneroka dan Kakitangan

Tawaran kepada pelabur runcit berjumlah 273.61 juta saham pada kadar RM4.55 atau dua peratus lebih rendah daripada harga tawaran institusi. Daripada jumlah itu, sebanyak 200.6 juta saham dikhaskan kepada peneroka dan kakitangan Felda.

Ini bermakna pelabur runcit diperuntukkan 73.61 juta saham sahaja.

Pembeli institusi boleh menjadi proksi kepada pihak-pihak tertentu dengan bertindak sebagai pemegang amanah.

Jadi “public spread” IPO FGV tidaklah besar dan pelabur runcit terpaksa bersaing untuk mendapatkan jumlah yang terhad itu.

Mungkin inilah cara pemegang saham utama FGV mencuba mengekalkan penguasaan mereka ke atas syarikat itu sambil menjamin tidak berlaku pengambilan keuntungan yang berlebihan.

Mereka tentu mahu mengelakkan harga saham mereka daripada jatuh di bawah paras harga terbitan apabila mula diniagakan di Bursa Malaysia pada 28 Jun ini.

Mereka tentulah tidak mahu nasib malang yang menimpa Facebook berlaku kepada mereka kerana risiko perniagaan dan politik IPO FGV sangat tinggi bagi Mohd Najib dan kerajaan Barisan Nasional yang beliau pimpin.

Sama ada IPO FGV menjanjikan durian runtuh atau bertukar menjadi pohon durian tumbang, bergantung kepada kecekapan, inovasi dan sifat amanah lembaga pengarah dan pengurusan kanannya.

Dan sama ada saham FGV akan mendapat penarafan positif atau negatif bergantung kepada keyakinan pelabur terhadap pengurusannya dan terhadap masa depan ekonomi Malaysia dan dunia. Wallahualam.

Monday, May 28, 2012

Politik Bebas Perkauman Lwn Telur Kemurok

A Kadir Jasin

[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]

BARU-Baru ini, saya dan beberapa orang blogger dijemput berbincang dengan Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar.

Saya tertarik dengan pandangan pemblog Syed Akhbar Ali yang mengatakan bahawa Pakatan Rakyat menawarkan politik bebas perkauman.

Saya antara setuju dan tidak. Setuju yang kepemimpinan PR terdiri daripada pelbagai kaum, mewakili parti yang pada dasarnya pelbagai kaum dan nampaknya memperjuangkan agenda kepelbagaian kaum.

Tidak setuju kerana unsur dan ciri perkauman masih tebal dalam parti-parti terbabit. PAS masih berupa parti Islam-Melayu dan DAP parti majoriti Cina. Benarlah PKR lebih berbilang kaum, tetapi ia parti “cult” yang berlegar di sekitar Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim.

(Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP menterjemahkan “cult” sebagai pendewaan atau kegilaan. Dalam konteks ini, Anwar hanya boleh berharap kepada penyokong yang mirip kepada pendewaan dan kepada generasi muda yang kenal beliau hanya dari jauh).

PAS sudah beberapa kali mengisytiharkan yang ia bersedia menerima seorang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri dengan syarat dia seorang Islam.

Buat masa ini, tidak nampak ada seorang Islam bukan Melayu dalam PR yang boleh mengubah konvensyen di mana Perdana Menteri adalah seorang Melayu.

Penarikan diri oleh Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim daripada DAP baru-baru ini menunjukkan parti itu masih jauh daripada matlamat mengembalikan orang Melayu ke dalam perjuangannya.

Walaupun DAP diasaskan pada tahun 1967 sebagai parti berbilang kaum dan pernah mempunyai beberapa orang Melayu dalam kepemimpinannya, namun sejak peristiwa pergaduhan kaum 13 Mei, 1969, DAP gagal membawa balik sokongan orang Melayu.

Lagipun, motivasi pokok PR bukanlah politik bebas perkauman tetapi strategi pilihan raya yang berupaya mencabar hegemoni Barisan Nasional ke atas politik Malaysia.

Sampai hari ini pun PR masih berupa pakatan pilihan raya kerana belum didaftarkan secara rasmi sebagai pakatan sah. Buat masa ini, tidak nampak tanda-tanda DAP, PAS dan PKR akan bertandingan pilihan raya umum akan datang menggunakan simbol bersama (common symbol).

Dilema Haiwan Purba

Dalam perbincangan Yayasan 1Malaysia itu, saya perkenalkan diri saya sebagai “haiwan purba” dan makhluk dua alam kerana sayalah yang paling tua di kalangan yang hadir dan menulis dalam media tradisional dan media baru.

Kerana saya haiwan purba yang masih tidak pupus, saya telah melihat banyak peristiwa dan perkembangan yang membuatkan saya berhati-hati menerima tesis seperti yang dikemukakan oleh Syed Akhbar Ali itu.

Malah saya bimbang yang keadaan sebenar tidaklah seideal atau setenang yang digambarkan oleh kelompok demokrat dan aktivis muda yang sedang mewarnai politik negara sekarang dengan perang siber dan protes jalanan mereka.

Pelanggaran perintah, kekerasan dan keganasan ketika tunjuk perasaan Bersih 3.0 28 April lalu serta perkembangan selepas itu memberi gambaran bahawa tindakan dan perlakuan di luar undang-undang dan kesopanan boleh berlaku. Yang diperlukan hanyalah hasutan.

Saya sering dituduh cuba menakut-nakutkan orang ramai setiap kali saya menulis mengenai pergaduhan kaum 13 Mei 1969.

Itu tidak menjadi masalah kepada saya. Saya berasa adalah tanggungjawab saya menolong memaklumkan kepada generasi muda mengenai sejarah kontemporari negara, termasuklah mengenai pergaduhan kaum.

Hari ini, ramai menyangka peristiwa 13 Mei adalah pergaduhan kaum paling buruk di negara kita. Ramai tidak tahu bahawa pergaduhan kuam yang meragut paling banyak nyawa berlaku pada tahun 1942 di Johor apabila tentera Bintang Tiga (pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya) bertempur dengan orang Melayu yang dipimpin oleh Kiai Mohd Salleh. Lebih 800 mati dalam pergaduhan itu.

Perang Siber Lwn Telur Busuk

Walaupun kita menguar-uarkan kehebatan alam siber sehingga Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, berkata majoriti calon BN dalam PRU nanti adalah daripada kalangan yang celik IT dan pengguna Twitter seperti beliau, namun tabiat dan amalan lama susah hendak disekat.

Justeru, masih ada yang berasa lebih mudah dan berkesan menggunakan telur busuk – telur kemurok kata orang Utara – terhadap lawan.

Pada tahun 1960-an, kena baling telur kemurok yang sangat dahsyat baunya adalah perkara biasa bagi yang berkempen pilihan raya. Yang datang mendengar pun silap-silap kena juga.

Dulu, ibu ayam mengeram sendiri telurnya. Itulah cara tradisional membiakkan ayam. Telur yang rosak dan tidak menetas itulah yang dipanggil telur kemurok. Masa pilihan raya, telur kemurok ada harga sebab menjadi bahan pengeboman yang sangat berkesan.

Jadi, dalam kita menguar-uarkan politik bebas perkauman, kecanggihan ruang siber dan kematangan berpolitik, kita janganlah terlalu lega, menyangka bahawa yang telah berlalu tidak akan berulang semula. Kita perlu beringat dan sentiasa berjaga-jaga kerana ramai sudah lupa, pura-pura lupa atau tidak tahu apa-apa. Wallahualam.


Thursday, May 24, 2012

Mari Jadi Orang Berani

A Kadir Jasin

SELARAS, selari dan seia dengan dakwaan yang kerap dibuat oleh pembahas blog ini iaitu rakyat Malaysia sudah cerdik, sudah dewasa dan sudah matang, maka saya membuat kesimpulan bahawa mereka juga sudah bersih, sudah berani dan sudah telus.

Selaras, selari dan seia dengan sifat bersih, berani dan telus mereka itu, maka saya membuat kesimpulan seterusnya bahawa pembahas blog ini tidak takut lagi untuk telus dan berterus terang.

Atas kesedaran itu, saya membuat keputusan tidak akan melayan lagi komen yang menggunakan label “anonymous” walaupun pembahas memberikan nama di awal dan penghujung ulasan mereka.

Kalau para pembahas lihat di bawah kotak ulasan, para pembahas akan nampak ada empat pilihan di situ – (1) Google Account (2) OpenID (3) Name/URL dan (4) Anonymous.

Mulai tampalan ini, pembahas diminta memilih antara 1,2 dan 3 saja. Anonymous, sama ada bernama atau tanpa nama, tidak akan dilayan lagi. Lagipun, blog kita ini pun sudah enam tahun. Mengikut usia blog, enam tahun sudah cukup dewasa. Jadi saya andaikan yang para pembahas kita pun sudah dewasa dan oleh kerana itu sudah cukup berani dan telus.

Apa yang hendak kita takutkan sangat sehingga menggunakan nama samaran pun tak berani. Lagipun, kalau kita guna Google Account, OpenID dan Name/URL, komen kita lebih selamat kerana orang lain susah sikit hendak curi identiti kita. Yang jahat dan suka baling batu sembunyi tangan, dia akan cuba juga.

Misalnya, dalam kaedah sekarang di mana ramai pembahas menggunakan label “anonymous”, pencurian identiti boleh berlaku atau timbul syak sangka mengenai identiti pembahas tertentu.

Contohnya, ramai mendakwa pembahas Anonymous/Din klang dan Anonymous/OrangBaruLahir” adalah pengulas yang sama atau identiti Din klang dicuri oleh beberapa orang lain.

Daripada pendakwa Kepada Pembela

MENGENAI isu pula, saya hendak sebut sikit berkenaan bekas Peguam Cara Kanan II Mohd Yusof Zainal Abiden yang gagal dalam pendakwaan sodomi 2 Anwar Ibrahim menyertai pasukan yang akan membela beliau dalam kes langgar perintah mahkamah berkaitan demonstrasi Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Ketua Pembangkang Parlimen itu menyifatkan penyertaan Mohd Yusof dalam pasukan pembelaan beliau sebagai kemenangan simbolik.

Adalah sangat menarik melihat seorang bekas pegawai undang-undang berjawatan tinggi dalam kerajaan yang terbabit mendakwa Anwar tiba-tiba bertukar haluan menjadi pembela beliau pula selepas tidak berapa lama bersara.

Mungkin itulah keistimewaan perbicaraan kes sodomi 2 Anwar di mana Mohd Yusof jadi pendakwa yang berkesudahan dengan pendakwa kalah dan Anwar menang.

Peristiwa ini juga membuktikan kefleksibelan kerjaya guaman. Ada masa dakwa yang dituduh dan lepas itu bela dia pula. Soalnya, kalau Mohd Yusof gagal dalam pendakwaan terhadap Anwar adakah dia akan berjaya dalam pembelaan Anwar?

Siapakah yang lebih baik untuk menilai peguam kalau bukan peguam yang lain. Maka berkatalah peguam Amerika, Melvin “Bellicose” Belli: “ There is never a deed so foul that something couldn't be said for the guy; that's why there are lawyers.’

Diterjemahkan ke bahasa Melayu, ia berbunyi lebih kurang: “Tidak pernah ada perbuatan yang begitu jahat sehingga tidak ada sesuatu yang boleh dikatakan (bagi membela) orang yang melakukannya; sebab itulah ada orang (yang bergelar) peguam.”

Dan penulis terkenal Amerika, Ambrose Bierce pula berkata: “Lawyers are one skilled in the circumvention of the law.” Dalam bahasa Melayu, peguam adalah seorang yang pandai mencari jalan untuk memintasi undang-undang. Wallahualam.

Tuesday, May 15, 2012

Orang Baik Terpedaya Dengan Politik

A Kadir Jasin

RAMAI orang baik buat kebaikan. Tetapi ada orang baik yang buat kebaikan menyangka mereka boleh buat lebih banyak kebaikan jikalau mereka menyertai politik.

Jadi mereka pun terjun ke gelanggang politik. Yang berani, masuk politik parti manakala yang kurang berani tetapi hendak berpolitik juga masuk badan-badan bukan kerajaan yang partisan.

Dua orang baik yang saya kenal secara peribadi dan banyak buat kebaikan tetapi berasa mereka boleh buat lebih banyak kebaikan dengan menyertai politik ialah Dr Chandra Muzaffar dan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

[PERINGATAN. Kalau mengulas guna “anonymous,” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tanpa nama tidak akan disiarkan.]

Dr Chandra, seorang cendekiawan kelas dunia dari Bidong, Kedah, begitu teruja dengan teriakan reformasi lantas menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Ketika Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menjadi putera mahkota Umno dan bakal pengganti Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Dr Chandra kritikal terhadap beliau. Tetapi apabila Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan, Dr Chandra mula teruja dengan beliau dan reformasinya.

Orang sebaik Dr Chandra pun masuk PKR dan kerana PKR dahagakan orang baik maka dalam sekelip mata Dr Chandra naik menjadi timbalan presiden. Tetapi Dr Chandra segera dapati yang idealisme, kecendekiawanan dan kemanusiaan tidak ada tempat lagi dalam politik kontemporari Malaysia.

Kerana teruja dan beranggapan bahawa orang politik lain juga baik dan idealistik seperti beliau, Dr Chandra menderita pemusnahan imej yang teruk. Pihak-pihak yang menyanjung beliau sebagai wira ketika menyertai PKR, memaki hamun dan menghina beliau apabila beliau keluar PKR. Dr Chandra orang cerdik, tetapi tidak pandai selok-belok politik.

Begitu jugalah dengan Tunku Abdul Aziz, pengasas Transparency International Malaysia. Beliau pun berasa boleh membuat lebih banyak kebaikan dengan menyertai politik. Lantas beliau menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan sebagai wakil Melayu paling kanan beliau dengan cepat dinaikkan pangkat menjadi timbalan pengerusi.

Tetapi beliau juga mendapati bahawa idealisme demokrasi damai dan bertamadun yang ingin beliau perjuangkan melalui DAP tidak bertempat dalam sebuah parti yang cenderung kepada pencetusan gelora.

Batang jerami yang mematahkan belakang kerbau (padanan kepada ungkapan Inggeris the straw that breaks the camel’s back) bagi Tunku Abdul Aziz adalah perlanggaran Dataran Merdeka oleh penunjuk perasaan Bersih 3.0 pada 28 April lalu yang turut didokong oleh DAP. Beliau keluar DAP kerana “perbezaan yang tidak boleh diatasi lagi.”

Politik adalah mengenai kuasa. Kuasa, kata pembesar Inggeris kurun ke-19, John Emerich Edward Dalberg-Acton, boleh membawa kerosakan dan kuasa mutlak membawa kerosakan mutlak (power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely).

Apabila Anwar menyertai politik kepartian pada bulan Mac 1982 dengan menganggotai Umno, ramai berharap dan menyangka beliau akan membawa bersamanya idealisme dan perjuangan yang menjadikan beliau unggul sebagai pemimpin pelajar dan pejuang gerakan massa.

Tetapi orang yang oportunis segera mengelilingi dan memagari beliau. Sama ada daripada kelompok politik, korporat atau media massa, mereka “mengkorupkan” beliau dengan kesenangan, suit Brioni dari New York, kasut tempahan khas dari Milan dan segala bentuk kemewahan dan “decadence” sehingga hilanglah idealisme.

Saya tidak tahu lagi kalau pemuka politik kita hari ini, tidak kira daripada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat masih mempunyai idealisme dan melandaskan kerjaya mereka di atas perjuangan. Atau mereka masuk politik kerana mata benda dan glamor. Wallahualam.

PS.

1. Saya sokong Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat atas gesaan beliau agar Mufti Perak, Harussani Zakaria, tidak mencampuri urusan politik jika mengambil pendekatan serong terhadap pendirian dan matlamat perjuangan PAS. Saya sokong sebab Nik Abdul Aziz orang politik dan Harussani bukan. Betullah seperti yang saya selalu katakan, Nik Abdul Aziz adalah, yang pertama dan terulung, seorang ahli politik. Secara kebetulan latar belakang beliau adalah agama.

2. Lagi cerita orang Cina dari Negeri China di Singapura. Seorang Cina dari Negeri China yang tinggal dan menjadi kaya raya di Singapura membeli sebuah kereta Ferrari merah. Dengan kereta mewah itu dia melanggar mati dua orang di tengah-tengah Bandaraya Singapura. Dia pun mati juga. Menurut laporan syarikat berita Perancis AFP, peristiwa itu menyemarakkan lagi sentimen anti pendatang di kalangan warganegara republik itu yang majoritinya keturunan Cina.

Monday, May 14, 2012

Setiap Hari Adalah Hari Ibu

A Kadir Jasin

PERAYAAN Hari Ibu baru berlalu. Emak saya, Hajah Che’ Ah binti Said, tidak tahu hari itu. Saya pun tidak pernah mengucapkan kepadanya selamat hari ibu. Kalau emak tidak tahu, maka saya pula berasa tidak perlu.

Bukan kerana tidak sayang atau tidak pedulikan ibu, tetapi kerana tidak ada ucapan dan tidak ada hari khas yang boleh menggambarkan betapa istimewa dan agungnya ibu.

Bagi generasi emak saya, menjadi ibu adalah penghormatan tertinggi. Membela dan membelai anak-anak tugas suci. Tidak diuar-uarkan sebagai pengorbanan atau mengharapkan sanjungan. Waktu itu, wanita dilahirkan untuk menjadi ibu.

[PERINGATAN. Kalau mengulas guna “anonymous,” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tanpa nama tidak akan disiarkan.]

Generasi saya dididik menyayangi dan menghormati ibu bukan dengan hadiah dan ucapan. Bukan juga dengan hari keraian, cenderahati dan jamuan. Kita diajar menyayangi ibu dengan membantunya di rumah, taat perintahnya dan sentiasa mendengar nasihatnya.

Tanpa ibu dan arwah ayah saya yang mendidik saya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab, saya tidak akan berada di mana saya kini berada. Saya sangat bertuah.

Pesan dan motivasi ayah mudah saja (dengan izin). “Kalau hang tak mau ikut pungkur kerbau macam aku, hang kena mengaji pandai-pandai.”

Bukan saya tidak sukakan kerbau. Jauh sekali. Sebaliknya saya amat gemarkan haiwan ternakan dan haiwan kesayangan.

Saya menolong ayah memelihara kerbau, lembu dan kambing. Menolong emak memelihara ayam dan itik. Dan saya mempunyai banyak haiwan kesayangan (pets) – kucing, burung kiau (atau burung gembala kerbau), kura-kura dan ular air.

Seperti pernah saya ceritakan, ayah “mengaji” pondok empat tahun dan sekolah jawi (sekolah Melayu) empat tahun juga. Ikut standard orang kampung waktu itu, ayah dikira orang berpelajaran.

Emak sangat cerdik dan pandai walaupun buta huruf. Waktu itu, bersekolah tidak dianggap perlu bagi kanak-kanak perempuan dan emak terlalu sibuk membesarkan kami untuk menyertai Kelas Dewasa ala Pendekar Bujang Lapuk.

Dia melahirkan sembilan orang anak. Kecuali seorang yang meninggal ketika lahir yang lain membesar dan hidup sampai hari ini. Semua dilahirkan di rumah dengan bantuan bidan kampung sebelum ada bidan kerajaan.

Dari kecil lagi kami diajar tanggungjawab. Yang besar jaga yang kecil. Waktu itu, kain lampin diperbuat daripada kain lama atau kain buruk. Antara tugas saya adalah membersihkan kain lampin di pangkalan pinggir Sungai Pendang dengan bantuan ikan seluang dan temekong yang berebut-rebut makan najis.

Emak berdiang selama 44 hari. Kita membina tempat berdiang (macam fireplace di rumah orang putih) dan menyalakan api sepanjang malam. Siang hari emak bertungku.

Oleh kerana emak mandi di atas rumah, kawasan di bawah rumah bertakung air. Bagi mengelakkan ayam, itik dan budak-budak pengotor mengotorkan lagi persekitaran, kita mencampakkan pokok mengkuang ke dalamnya.

Kita diberitahu, mengkuang itu adalah untuk memerangkap hantu langsuir yang cuba masuk rumah untuk menghisap darah orang baru bersalin dan bayinya. Sebenarnya, ada muslihat lain. Kaki mengendap dan budak-budak nakal ada mana-mana!

Orang baru bersalin sangat pantang makan. Rahsia di sebaliknya adalah pada waktu itu makanan dan persekitaran tidak begitu bersih dan selamat. Ibu baru bersalin yang lemah daya tahannya mudah dijangkiti penyakit.

Jadi emak hanya makan ikan talang dan haruan kering yang dibakar, sambal lada hitam, ulam temu lawak, pegaga dan pucuk mengkudu rebus. Ubat-ubatan moden tidak ada. Jadi emak amalkan ubat-ubatan kampung. Kalau bayi kembung perut, dia akan dituam dengan daun sirih yang dilayur guna pelita minyak tanah.

Selain bertungku, emak juga berbengkung untuk menjaga kecantikan badan. Alhamdulillah, berkat amalan kesihatan dan pemakanan yang seimbang dan sederhana, emak tetap sihat walaupun sudah lebih 80 tahun.

Bagi seorang ibu, tiada yang lebih menggembirakan daripada mempunyai anak-anak yang berjaya, mengenang budi dan mengambil peduli. Bagi seorang ibu, anaknya tidak pernah tua. Dialah anak yang dibuai dan dibelai ketika masih merah berdarah.

Sampai hari ini pun, emak saya masih mengusap rambut saya dan mencium saya. Begitulah istimewanya kasih seorang ibu. Tepat sekali kata seniman agung Allahyarham P Ramlee, “ibu, engkaulah ratu hatiku”. Marilah sama-sama kita abadikan sebuah lagu, sebuah puisi atau sebuah prosa buat ibu kita. Insya-Allah.

Friday, May 11, 2012

MPs Flip-Flop On Improved Polling

A Kadir Jasin

IT appears that flip-flopping is becoming commonplace in our country.

The most recent case being by Members of Dewan Rakyat. These are people we elected to represent our interest.

Soon after the government “flipped-flopped” on the nine-month old MAS-AirAsia share swap by terminating it on May 5, our PMs from the government and opposition flipped-flopped on the Election Offences Amendment Bill.

They passed the bill last month and withdrew it a few days ago.

[Reminder: If you are commenting “anonymously”, please state your name/pseudonym at the beginning and end of your comment. Anonymous comments will not be entertained. Thank you.]

Minister in the Prime Minister's Department Mohamed Nazri Aziz told the Press that the bill was withdrawn following resistance from lawmakers on both sides of the Dewan.

"There were three amendments to the Bill when put to the Dewan Rakyat for debate and two more when presented at the Dewan Negara.

"Since there was a lot of resistance, the Government decided to abort the Bill after consultation with the Opposition and Election Commission," he was quoted as saying.

The Star newspaper quoted Ipoh Timur MP Lim Kit Siang, who spoke on behalf of Pakatan Rakyat, as saying that the decision was agreed upon by all parties concerned.

However, he noted that the EC should hold public engagement and consultations with relevant parties before proposing amendments to the Government to avoid a similar situation.

Coming so soon after the Bersih 3.0 demonstration demanding clean elections, the action by the MPs is puzzling because the amendments they passed and later withdrew “were proposed to streamline and further improve the polling process.”

According to media report, one amendment was the removal of the mandatory requirement for the appointment of a polling or counting agent by a candidate's election agent.

Another amendment was not to allow any political party office less than 100m from the polling centre, compared to the present 50m ruling.

Does this mean the MPs from both the BN and PR do not want improvements to the polling process as demanded by Bersih in its 8-point demand or they did not read the bill properly before approving it?

If the PR members of Dewan Rakyat are not in favour of improving the polling process why did they showed up the Bersih 3.0 demonstration? Were they there to gain political mileage?

I could be wrong, but aside of Mohamed Nazri and Lim Kit Siang, other Yang Berhormats are silence on the flip-flop.

Incidentally, both the traditional and new media did not give much attention to the about turn by the MPs. Could this be due to their partisanism or they did not realise the implications of the flip-flop?

Tuesday, May 08, 2012

Malaysia Semakin Hari Semakin Kotor

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

SEORANG gadis Melayu yang menumpang di rumah saya berkata, Malaysia kotor. Saya kata, Malaysia lebih kotor sekarang daripada beberapa tahun lalu.

Antara puncanya adalah beberapa kerajaan negeri di perintah oleh pembangkang dan kerajaan pusat oleh Barisan Nasional dan sikap rakyat Malaysia yang semakin cabul.

Pokok pangkalnya duit, kecekapan pemerintah dan kakitangan awam serta sikap orang ramai. Semakin masa berlalu, kesemuanya semakin menurun.

Kabinet dan Exco kerajaan negeri – tak kira BN atau Pakatan Rakyat - cakap bukan main hebat. Janji itu dan ini. Tapi, macam ayam jantan yang nyaring berkukuh, ekor disalut tahi. Datuk-Datuk Bandar pun sama. Banyak cakap dan gila glamor. Tapi bila hujan lebat, berlaku banjir kilat sebab parit dan longkang tersumbat. Tutup longkang, tutuplah mata.

Sekarang saya tidak ambil kisah sangat dengan persekitaran yang penuh dengan sampah sarap, tikus berkeliaran di Damansara Uptown dan jalan berlopak di sana sini.

Saya pasrah dan, setakat terdaya, saya cari penyelesaian sendiri. Saya pasang perangkap tikus di rumah. Bila memandu, saya berhati-berhati kerana ada lubang kalau jatuh pecah tayar kereta dan silap-silap patah spring.

Mungkin saya akan jadikan masalah sampah sarap, tikus, anjing liar dan jalan berlopak sebagai salah satu perkara dalam manifesto pilihan raya saya.

Kalau parti politik boleh buat manifesto pilihan raya janji itu dan ini, pengundi pun boleh buat manifesto tuntut itu dan ini.

Dan kenapa gadis itu hairan dengan Malaysia yang kotor? Sebab pada usia lapan tahun dia dibawa oleh ibu bapanya menetap dan belajar di New Zealand di mana rakyat jelata dan pemerintahnya amat mengambil berat mengenai kebersihan dan disiplin.

Berbanding New Zealand kita kotor. Tapi kalau banding dengan India, Negeri Thai, Indonesia dan Burma, kita kira ok. Kita bolehlah kata kita antara negara terbersih di Asia.

Di Malaysia, kita cakap saja mengenai kebersihan. Yang Islam ambil wuduk lima kali sehari bersihkan diri, tapi ramai tidak peduli kebersihan persekitaran. Tandas sesetengah masjid, alahai malunya. Bangsa lain pula buka kilang tepi sungai atau tasik dan buang sisa industri ke dalamnya.

Mungkin tepat lirik lagu pelancongan “Malaysia truly Asia”, tapi dalam aspek yang negatif iaitu kita kotor macam kebanyakan negara Asia yang lain. Wallahualam.

Thursday, May 03, 2012

Setting The Record Straight

A Kadir Jasin

(If you are commenting “anonymously”, please state your name/pseudonym at the beginning and end of your comment otherwise it will not be entertained. Thank you.)

ON Sunday, April 29, a day after the violent Bersih 3.0 demonstration for “clean election”, a woman reporter from The Malay Mail newspaper asked me to comment on various aspects of the event.

A portion of it was published in the paper on May 1 under the headline “Risks come with job but violence uncalled for”.

The following is the fuller version of what I told her in the telephone interview.

1. Journalists, media photographers and cameramen must accept that their occupations carry a certain degree of risk. If they cannot accept that they should not be journalists, photographers and cameramen.

2. It is easy for a “peaceful” demonstration to turn violent and for media personnel to be mistaken for protestors in the melee, especially now when every other Dick, Tom and Harry carries a camera and, in many instances, claims or pretend to be members of the Press and some members of the Press were attired like protestors. (That is why, despite my ugly face being fairly widely known, I still carry the press accreditation card issued by the Information Department because some young police personnel and state officials may not recognize me.)

3. I hold the Bersih 3.0 organisers responsible for their flock breaking the agreed and publicised rules and breaching the barriers because they claimed that the demonstration would be a peaceful and apolitical one.

4. I hold the police force responsible if its members provoked or acted unreasonably against the Press and the protestors.

5. When the reporter asked about protests in the early days, I told her that in those days, protesters (including Anwar Ibrahim) seemed to know and accept what they were getting into. They were willing to be arrested or had their legs beaten with rotan by the riot police (FRU).

6. In fact, they took pride in being “caned” and considered the cane marks as battle wounds and proofs of commitment to what they stood for. I told her that too many people who took part in the protest were clueless and were made up of “ponens”, “pondans” and “darai” who cried foul at the slightest mishandling or injury.

7. Some were so ignorant that they thought the Bersih 3.0 demonstration was a festival, a fiesta, a carnival and a family outing such that they turned up with their young children.

8. I posed the question: Could the Bersih 3.0 organisers have misled the public by deliberately misrepresenting the event?

9. And despite the demonstration being billed as apolitical, opposition leaders, led by Anwar Ibrahim and his loyal aide Azmin Ali, turned up in full force.

Saturday, April 28, 2012

Libertarian Cergas Ko-opt Penyertaan Melayu

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

PAGI ini, rancangan saya “dicemarkan” oleh demonstrasi Bersih di ibu negara. Laluan saya sesak kerana beberapa batang jalan ditutup. Setelah beberapa lama tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, saya berpatah balik dan menukar haluan.

Saya ucapkan tahniah kepada kenalan saya pada ketika saya bekerja dengan Kumpulan New Straits Times (1976-2000), Abdul Samad Said aka A Samad Said kerana buat kali pertama berjaya menggagalkan saya.

Walaupun A Samad Said kanan daripada saya di NST/Berita Harian, tetapi beliau tidak pernah menjadi halangan atau ancaman apatah lagi menggagalkan saya.

Tetapi hari ini, A Samad Said berjaya menggagalkan saya. Akibat demonstrasi yang beliau dokong bersama seorang lain bernama Ambiga a/p G. Sreenevasan, saya gagal sampai ke destinasi saya. Tetapi saya tidak keseorangan. Ramai lagi yang menderita nasib yang sama.

Saya ucapkan tahniah kepada Sasterawan Negara itu kerana persekongkolan beliau dengan Ambiga dan libertarian lain berjaya memujuk, menghasut dan mempengaruhi orang dan kelompok tertentu berdemonstrasi di ibu negara.

Saya yakin kedudukan istimewa A Samad Said sebagai sasterawan Melayu yang terkenal dan perwatakan beliau yang lemah lembut telah berjaya dimanfaatkan oleh golongan libertarian untuk menarik penyertaan Melayu ikutan.

Libertarian adalah aktivis politik yang menekankan kebebasan, hak individu dan perkongsian atau pakatan sukarela. Melalui pakatan dan perkongsian sukarela inilah mereka bergerak sebagai gerakan politik.

Di negara barat, gerakan libertarian inilah yang menjadi pemangkin kepada kegiatan politik apa yang disebut sebagai LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transsexual).

Saya tidak berani mengatakan A Samad Said tidak tahu atau tidak faham falsafah politik libertarian ini. Sebagai penulis dan Sasterawan Negara, saya andaikan beliau cukup berilmu dan bermaklumat.

Jadi, beliau mungkin membabitkan diri dalam gerakan politik golongan libertarian ini kerana beliau ingin menjejaki laluan sasterawan besar seperti (antara lain) Allahyarham A Samad Ismail, Usman Awang (Tongkat Waran) dan Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) yang agung, unggul dan terkenal kerana activism politik mereka.

Dari sudut pandangan peribadi saya, A Samad Said telah sedikit sebanyak berjaya menonjolkan imej itu melalui pembabitannya sebagai Pengerusi Bersama (Co-Chairman) Bersih. Kini ramai yang mengaitkan keterampilan beliau dengan pejuang komunis Vietnam, “Uncle” Ho Chi Minh. Kelainan A Samad Said mudah dipisahkan daripada khalayak.

Malah di kalangan generasi muda, termasuk dalam media massa, mereka mula mengelirukan beliau dengan A Samad Ismail apabila mereka menggelar beliau Pak Samad. Bagi generasi saya dan mereka yang dekat dengan dunia kesusasteraan Melayu, panggilan mesra dan hormat Pak Samad adalah sinonim dengan dan eksklusif kepada A Samad Ismail. Bagi kami, wujud dikotomi yang luas antara A Samad Ismail (Pak Samad) dengan A Samad Said.

Mungkin baik bagi pengkaji sosial, politik dan sastera Melayu mendalami hal ini kerana ia berkait rapat dengan minda Melayu yang suka mengikut dan mudah teruja dengan idea-idea asing yang tidak mereka fahami.

Penjajah Inggeris dulu dan bangsa-bangsa lain di Malaysia memahami psyche orang Melayu ini dan mereka secara sengaja mengko-opt atau melantik orang Melayu ke dalam pergerakan mereka bagi mewujudkan gambaran dan imageri yang pergerakan mereka adalah pergerakan nasional.

Kita lihat bagaimana DAP sejak akhir-akhir ini begitu gigih mencari keahlian Melayu bagi menghapuskan imej yang ia adalah parti komunal orang Cina. Jadi, tidaklah menghairankan kalau gerakan libertarian dan pinggiran juga mengko-opt orang Melayu sebagai maskot dan tukang jampi mereka.

Lagipun, adalah lebih berkesan melihat orang Melayu sebagai bangsa majoriti, berguling di atas jalan raya atau berkonfrontasi dengan polis Melayu berbanding orang Cina atau India. Sebab itulah dalam banyak demonstrasi jalanan sejak kebelakangan ini, yang berada di barisan hadapan adalah Melayu.

Apabila berkonfrontasi dengan polis atau ketika berperang dengan pengganas komunis, ketuanan (leadership) orang Melayu tidak dipertikaikan. Orang Melayu menjadi “tuan” di barisan hadapan. Ketuanan Melayu menjadi busuk dan hanyir hanyalah apabila orang Melayu menuntut hak asasi mereka. Wallahualam.

Sunday, April 22, 2012

Kini Daun Pisang Palsu Pula

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]


KITA di Malaysia sangat bernasib baik. Alam sekitar kita kaya dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan (flora) dan hidup-hidupan (fauna/dibunyikan fo na, bukan fau na). Maka kita menikmati pelbagai keaslian.

Malangnya, ramai orang kita masih sukakan sesuatu yang palsu atau tiruan. Kita ada banyak bunga segar, tapi ramai yang sukakan bunga plastik. Hatta ada pejabat menteri "dihiasi" bunga plastik. Sungguh menyakitkan mata dan hati.

Lama dulu saya dijemput tinggal di sebuah hotel yang menguar-uarkan kehijauan. Memang benar. Ia terletak dalam kawasan hutan semula jadi yang sangat cantik.

"Lo and behold" atau lebih kurang dalam bahasa Melayu lama, sekonyong-konyong, hiasan dalamannya penuh dengan bunga plastik. Apabila diminta memberi "rating" (penarafan), saya kutuk bunga palsu itu habis-habisan. Alhamdulillah, pengurusan hotel itu ambil peduli dan menggantikannya dengan bunga asli.

Yang terbaru adalah daun pisang plastik yang digunakan oleh restoran daun pisang India.

Sebelum Persatuan Pengguna Pulau Pinang mempertikaikan keselamatan menggunakan daun pisang plastik itu, saya telah pun memboikot dua buah restoran kegemaran saya di Petaling Jaya kerana menggunakan daun pisang plastik.

Ada dua sebab saya berbuat demikian. Pertama, saya kurang yakin keselamatan dari segi kesihatan menggunakan daun pisang plastik dan kedua, daun pisang plastik itu nampak cukup-cukup palsu. Makan yang asli dan sah lazat pun nampak dan rasa palsu apabila dihidangkan di atas daun pisang palsu.


Sekali saya pergi ke salah sebuah restoran itu dan minta makanan saya dihidangkan dalam pinggan. Mereka akur.

Itulah kita di Malaysia, macam-macam ada. Kadang-kadang kita cerdik dan inovatif tak kena tempat. Malu saya nak bawa pengunjung asing makan nasi daun pisang yang daun pisangnya palsu.

Thursday, April 19, 2012

Pindaan Tidak Jamin Kebebasan Akan Mekar

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

MEDIA massa arus perdana (MAP) hari ini menguar-uarkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sebagai peristiwa besar.

The New Straits Times menyiarkannya sebagai berita utama dengan tajuk “media freedom boost” manakala The Star memberikan layanan yang serupa dengan tajuk “less Press-ing”.

Saya turut mengalu-alukannya dengan syarat penguatkuasaannya profesional dan telus, dan pengarang serta wartawan, terutamanya yang bekerja dengan MAP, memanfaatkan “kebebasan” yang dijanjikan itu.

Tetapi, sebagai wartawan yang bernasib baik bekerja dalam era semua Perdana Menteri, bermula dengan Tunku Abdul Rahman, saya berani berkata zaman Tun Dr Mahathir Mohamad adalah yang paling “unik”.

Walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Dr Mahathir dan era beliau, termasuk mencengkam, kejam dan “draconian”, namun dalam era beliau jugalah (dengan izin) “some of the best journalism outputs and writers were produced.”

Dalam zaman beliau, hanya satu syarat diperlukan kalau kita mahu berbahas dengan pemerintah iaitu hujah kita kenalah kuat. Sebaik-baiknya lebih kuat daripada hujah Perdana Menteri atau setidak-tidaknya sama kuat. Tetapi pada penghujungnya kita kenalah akui bahawa (dengan izin) “he was the boss.”

Bagi pengarang, zaman Dr Mahathir mencabar tetapi memuaskan. Di muka akhbar atau di belakang tabir kita boleh berbahas dengan beliau. Yang jadi penentu hanyalah kita berani atau tidak.

Sepanjang saya menulis kolum mingguan Other Thots dalam New Sunday Times saya kerap mengkritik atau tidak bersetuju dengan beliau.

Beberapa kali beliau menjawab hujah saya secara langsung dalam sidang akhbar atau melalui surat kepada pengarang. Dalam pertemuan berjadual dengan beliau yang berlaku dua atau tiga bulan sekali, para pengarang boleh mengatakan apa saja kepada beliau. Hadnya hanyalah kesopanan dan keberanian kita.

Jadi saya agak hairan apabila ramai wartawan dan pengarang hari ini berkata mereka tidak bebas atau persekitaran mengongkong. Atau mereka menguar-uarkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sebagai jawapan kepada persekitaran yang kononnya mengongkong itu.

Pada hemat saya, bukan kongkongan, kurang kebebasan atau campur tangan luar yang menyekat pengarang dan wartawan daripada membuat laporan dan analisis secara saksama dan kritikal.

Yang sebenarnya menjadi penghalang adalah kurang keberanian dan kurang komitmen kepada profesion kewartawanan di kalangan pengamal media massa.

Terlalu ramai pengarang dan wartawan mensabotaj kebebasan profesionalisme mereka dengan menjadi terlalu akrab dengan kepemimpinan kerajaan, parti, perkhidmatan awam dan korporat.

Ada pengarang yang begitu intim dengan pemimpin politik dan (dengan izin) “politically correct” sehingga dianugerahkan gelaran datuk (dato’) oleh empat atau lima buat negeri.

Yang sebenarnya menjadi masalah ialah keengganan, ketidakberanian dan ketidakpedulian pengamal media menggunakan kebebasan profesionalisme yang ada pada mereka.

Jadi saya tidak melihat pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sebagai penawar atau jawapan mutakhir kepada (dengan izin) “professional malady” yang kini dideritai oleh sesetengah pengamal media, khasnya dalam MAP.

Sekalipun Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dipinda atau dimansuhkan, kebebasan tidak akan kembang mekar kalau pengamal media cetek ilmu dan terus menunggu “wahyu” dari pihak-pihak tertentu. Wallahualam.

Monday, April 16, 2012

MCA Lacks Confidence In Penang?

A Kadir Jasin

(If you are commenting “anonymously”, please state your name/pseudonym at the beginning and end of your comment. Thank you.)

IN the April 4 posting, in which I quoted my Other Thots column in the Malaysian Business magazine, I suggested, among other things, that the MCA President, Dr Chua Soi Lek, should challenge the Penang Chief Minister, Lim Guan Eng.

I contended that Dr Chua must be brave enough to launch his own Tanjong Project to regain the state for the MCA and BN. The DAP implemented three Tanjong Projects before finally capturing Penang in 2008.

Many might have forgotten that the MCA ruled Penang with the help of Umno from 1957 until it was defeated by the Gerakan in 1969. Gerakan joined the Barisan Nasional and ruled Penang with the help of Umno, MCA and MIC for 39 years before it was defeated by the DAP with the help of PKR and Pas in 2008. So could the DAP be ruling Penang for the next 30 years or more?

It could very well be that the MCA leaders had not read my comment or, if they did, they simply dismissed it because it appeared that they were not aiming to get back the state.

The MCA-owned newspaper, The Star on April 12, published a report headlined “Barisan needs stronger voice in state assembly” in which it quoted the Bagan MCA Youth Leader, David Chua, as calling for a stronger opposition voice in the state assembly. Chua is also the BN coordinator for the Bagan parliamentary seat, which in under the DAP.

The Star quoted him as stating that the voters “should support Barisan candidates in the next general election to have a stronger Opposition.”

I am not sure how influential Chua is in the MCA but his low expectation does not jive with the Prime Minister’s mounting confidence that the non-Malays are back supporting the BN.

Or is the MCA happier playing the opposition role in the Penang State Assembly than winning it back from the Pakatan Rakyat?

It could be because the MCA may still not be chosen to play the leading role in the state. That honour may still be given to the Gerakan. Incidentally, both the Gerakan and MCA were totally routed from the Penang State Assembly in 2008.

According to The Star report, in the 40-seat State Legislative Assembly, the Pakatan Rakyat has 29 and the BN 11. All the 11 BN seats were won by Umno.

Any Chinese leader who thinks “Chinese” would see the DAP’s leadership of the state as being better for Chinese unity. Under the PR, there is only one Chinese-based party, that is the DAP. Under the BN, the Gerakan and the MCA consistently jostled for influence, allowing Umno to play the kingmaker role. Under PR, the DAP is the sole representative of the Chinese and is the alpha male of the PR state government.

It is for that reason that I have repeatedly expressed the opinion that Penang'znon-Malay voters, in particular the Chinese, would give the DAP the chance to rule the state as long as they did with the Gerakan.

Maybe Chua was unconsciously expressing that sentiment or he was being practical about the BN’s chances of recapturing Penang.

The Star quoted him as saying: “There is no MCA or MIC representation in the state assembly, but I hope the people will support both parties so there can be a check and balance.”

With the MCA still struggling to recover from a bruising leadership fight and the Gerakan yet to elect a credible leadership, it’s perhaps beneficial for them to play the underdog role.

After losing badly in 2008, the MCA, Gerakan and MIC have been relying on the goodwill of the Prime Minister for a semblance of representation in the government. However, the Prime Minister’s generosity is not necessarily shared by the Umno masses.

Wednesday, April 11, 2012

Politik Dinasti Semakin Ketara

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

PADA 1980-an, saya mengunjungi ibu pejabat Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun di Tokyo yang ketika itu memerintah Jepun. Dalam kunjungan itu, saya menemui Tsutomu Hata yang ditugaskan mereformasi LDP atau Jiminto dalam bahasa Jepun.

Hata memberitahu saya yang LDP semakin feudalistik, mata duitan dan dalam genggaman kalangan perniagaan. Beliau ditugaskan mereformasi LPD supaya lebih serasi dengan perubahan yang sedang berlaku di Jepun.

Usaha Hata itu digagalkan oleh “warlords” LPD dan apabila beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau mampu bertahan selama sembilan minggu sahaja. Pada 2009, LDP kalah pilihan raya umum selepas memerintah selama 54 tahun.

Di negara kita pun ciri-ciri yang sama semakin ketara. Parti-parti politik menjadi semakin feudalistik, amalan nepostisme berleluasa dan dinasti politik semakin mencengkam.

Saya tidak mahu mengatakan sama ada aliran ini baik atau buruk. Saya serahkan kepada pembaca dan pembahas menentukannya.

Maka atas dasar itulah, pada 16 Januari 2011 saya menyiarkan rencana bertajuk “Perdana Menteri Wanita: Kenapa Isteri PM Tak Boleh?” dalam blog ini yang antara lain merujuk kepada kemungkinan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bertanding pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri.

Saya berkata: “Kenapa tidak? Bukankah sudah wujud gandingan suami-isteri dalam landskap politik Malaysia, iaitu Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail? Malahan, gandingan bapa-emak dan anak pun sudah ada – Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah.

”Selain itu, wujud dinasti politik lain seperti gandingan Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng, Karpal Singh dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo. Malah Mohd Najib, Anwar, Hishammuddin Hussein, Mukhriz Mahathir dan ramai lagi adalah pewaris dinasti politik.”

Saya juga menyebut banyak contoh lain di mana isteri atau anak pemimpin negara seperti Evita Peron, Khalida Zia, Benazir Bhutto, Corazon Aquino, Megawati Sukarno Putri dan ramai lagi berganding bahu atau mengambil alih panji-panji suami atau bapa mereka sebagai pemimpin negara.

Rosmah Calon "Winnable"

Memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, mungkin baik kalau kita timbangkan semula kemungkinan Rosmah “memformalisekan” kedudukannya sebagai seorang yang berpengaruh dalam pentadbiran negara dengan bertanding pilihan raya.

Apa salahnya beliau bertanding sebagai salah seorang calon “winnable” Barisan Nasional dalam PRU nanti kerana politik dinasti dan keluarga bukan asing bagi Malaysia. Wan Azizah bertukar kerusi dengan Anwar dan anak mereka, Nurul Izzah, juga Ahli Parlimen. Betty Chew, isteri Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, adalah Adun DAP bagi kerusi Kota Laksamana, Melaka. Jadi apa salahnya pasangan wakil rakyat Mohd Najib-Rosmah?

Lagipun, cakap-cakap rasmi, separuh rasmi dan kedai kopi memberikan kredit yang tinggi kepada Datin Paduka Seri Rosmah bukan sahaja kerana kepintaran dan pendidikan beliau yang tinggi, tetapi juga kerana kreativiti, ketegasan dan keberanian.

Kalau tidak pintar masakan beliau diterima masuk ke sekolah elit Tunku Kursiah, mendapat ijazah sarjana muda Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya dan sarjana Sosiologi dan Pertanian dari Louisiana State University, Amerika Syarikat.

Pengalaman kerja beliau juga luas – pernah menjadi eksekutif di Bank Pertanian (sekarang Bank Agro) dan sebagai pengurus pembangunan perniagaan syarikat hartanah Island and Peninsular Bhd.

Mungkin beliau boleh mengepalai senarai calon “winnable” Barisan Nasional yang Mohd Najib uar-uarkan itu. Kalau tidak di Negeri Sembilan, negeri kelahirannya, Rosmah boleh bertanding di kerusi selamat Putrajaya bagi menggantikan Teuku (Tengku Aceh) Adnan Mansor.

Apabila beliau dipilih sebagai wakil rakyat, maka adillah dan patutlah bagi sesiapa pun untuk memuji dan menyanjung atau mengkritik dan mengutuk beliau. Dan layaklah beliau menerima peruntukan rasmi untuk projek-projek beliau. Wallahualam.

Wednesday, April 04, 2012

Faktor Psikologi Dan Persepsi Penting Dalam PRU

A Kadir Jasin



[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]



BAHANG pilihan raya umum makin hangat. Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak menjanjikan durian runtuh kepada peneroka Felda, hidup mati tawaran am permulaan (IPO) Felda Global Ventures (FGV) akan dilakukan Mei ini dan lawatan Perdana Menteri sehari ke negara China yang dianggap penting bagi mengambil hati pengundi Cina.



Progran Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) diuar-uarkan sebagai mengatasi matlamat. Harga petrol tidak dinaikkan dan Mohd Najib berikrar subsidi akan diteruskan.



Idris Jala yang setahun lalu memberi amaran Malaysia akan muflis macam Greece kalau subsidi tidak dihapuskan, kini berkata Kerajaan mampu menanggung kos subsidi dan Malaysia tidak akan muflis macam Greece. Alhamdulillah.



Bantuan 1Malaysia dan bantuan kepada murid-murid sudah diagihkan. Macam-macam peruntukan luar jadual telah diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.



Pendek kata, kecuali Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah menjumpai ibu duit, kewangan negara akan kering dan beliau tidak boleh lagi terus memainkan peranan Father Christmas yang murah hati.



Rakyat jelata pula, ramai daripadanya mudah dan cepat lupa. Jadi, kalau PRU tidak diadakan dalam jangka masa singkat, Mohd Najib mungkin ketandusan wang untuk diagih-agihkan dan rakyat jelata pula lupa yang mereka telah sedikit sebanyak menerima habuan.



IPO FGV Ventures mungkin memberikan kesan durian runtuh sekali seumur hidup kepada peneroka dan menjana keuntungan modal (capital gain) yang lumayan kepada sesiapa saja yang terpilih untuk menerima pink form, tetapi kesannya kepada rakyat jelata lain terhad atau tidak ada langsung.



Begitu juga kemampuan Khazanah Nasional menjual aset-asetnya untuk mengisi dana negara atau keupayaan Kerajaan meminjam daripada EPF juga terhad disebabkan kesuntukan masa dan unjuran prospek ekonomi yang kurang menggalakkan bagi tahun ini.



Tidak Boleh Tunggu Lama



Jadi, kalau Perdana Menteri tidak mengadakan PRU dalam jangka masa beberapa bulan ini, segala kesan positif bantuan kewangan yang beliau berikan akan hilang begitu sahaja dan kesan negatif pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah mungkin akan mula membebankan rakyat jelata, khususnya pemilih.



Taktik melewatkan PRU dengan harapan pembangkang akan bercakaran dan menjadi lemah mungkin tidak berkesan kerana seperti dalam PRU 2008, sebilangan pemilih akan mengundi pembangkang bukan kerana mereka sukakan pembangkang, tetapi kerana mereka lebih tidak sukakan BN. Kedua-dua belah pihak tidak boleh memandang remeh faktor benci dan menyampah ini.



Dalam kolum Other Thots saya dalam majalah Malaysian Business keluaran 16-31 Mac, saya antara lain menulis (dengan izin):



1. At the level of confidence that Prime Minister Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak and his key operators like the Umno Information Chief, Datuk Ahmad Maslan, and the Selangor Barisan Nasional election co-ordinator, Datuk Mohd Zin Mohamed are exuding, the ruling coalition should already be matching words with deeds.



2. I am not talking about not renewing the senatorial term of the beleaguered Women, Family and Community Development Minister Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. That, to many observers, was what the Prime Minister should have done months ago. Instead, when the crunch came, it was Shahrizat who herself announced on March 11 that she would resign from the Cabinet when her senatorial term ends in April.



3. I am talking about the Prime Minister naming the so-called winnable candidates, especially for the Menteri Besar post in the states he hopes to wrest from the Pakatan Rakyat (PR) and in the states where his predecessor, Tun Abdullah Ahmad Badawi, had problems appointing suitable Menteris Besar because of the Rulers’ objections.



4. I am talking about the Prime Minister answering with concrete proof the various charges against him, members of his household and, most importantly, his government.



5. I am talking about making such a bold decision as naming Umno Youth Chief Khairy Jamaluddin to take on Opposition leader Datuk Seri Anwar Ibrahim in Permatang Pauh, the MCA President Datuk Seri Chua Soi Lek to challenge the Penang Chief Minister Lim Guan Eng, and MIC President Datuk Seri G Palanivel to wrest the Sungai Siput Parliamentary seat from Parti Sosialis Malaysia (PSM) (corrected). If Khairy hopes to become the ultimate young bull in the Malaysian political arena, he must challenge the ageing bull, and Soi Lek must be brave enough to launch his own Tanjung Project to reinstate MCA’s ownership in the state.



6. And the Prime Minister promising the voters that he will drop all non-performing and problematic Ministers from his Cabinet, in particular, those whose family members and staff have been caught with millions of ringgit in unexplainable wealth.



7. Also, by now, I assume the Prime Minister or his emissaries have already had an audience with all the Malay Rulers to sort out the list of possible Menteri Besar candidates. It’s foolish for the BN, in particular Umno, to pretend that the wishes and opinions of the Rulers do not carry weight in the appointment of Menteris Besar.



8. Aside from ironing out possible problems with the Rulers, the voters too have the right to share the Prime Minister’s confidence, starting with knowing early enough who his winnable candidates are, failing which, they may conclude that there weren’t such candidates and that divisional warlords still called the shots.



Jadi, walaupun media massa arus perdana setiap hari melaungkan keyakinan Perdana Menteri bahawa sokongan pengundi kepada BN semakin pulih dan beliau mahu majoriti dua pertiga dikembalikan, namun laluan ke arah itu mungkin tidak semudah yang diuar-uarkan.



Faktor psikologi, persepsi dan perang saraf mungkin memainkan peranan yang sama kuat atau mungkin juga lebih kuat daripada faktor-faktor sebenar seperti pemberian kewangan dan janji pembangunan.



Pada PRU 2008, prestasi BN merosot teruk kerana persepsi negatif terhadap Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dan faktor "benci" atau "meluat" kepada apa yang digelar budak-budak tingkat empat. Soalnya adakah Pentadbiran Mohd Najib bebas daripada kemelut yang serupa? Wallahualam.




About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).