A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan
disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh
guna nama samaran.]
ADA pembahas bertanya pendapat saya mengenai perbahasan Hudud yang sedang
berjalan sekarang. Sejak hal ini dibangkitkan berdekad-dekad lalu, saya telah
banyak kali mengulas mengenainya.
Isu pokoknya sama. Hudud dan Qisas adalah asas kanun jenayah Islam. Itulah kefahaman umum
mengenainya. Daripada sudut politik ia adalah antara perjuangan pokok Parti
Islam se Malaysia (PAS). PAS juga mengidamkan penubuhan negara Islam.
Namun ada beberapa perbezaan dalam pusingan terbaru perbahasan isu ini.
Antaranya:-
1. Ia adalah tindak balas langsung kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU)
2013 dan perkembangan-perkembangan yang berkaitan dengannya.
2. Semua parti politik nasional yang dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat
mengalami kejutan besar dalam PRU 5 Mei tahun lalu akibat isu-isu agama dan
kaum yang dimainkan.
3. Kepemimpinan politik hilang kawalan ke atas isu-isu berkenaan, termasuk
yang mereka sendiri ketengahkan, akibat kebanjiran media dan penyertaan cergas
badan-badan bukan kerajaan (NGO).
4. Umno terkejut besar, marah dan
kecewa apabila BN ditolak oleh pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, yang
diberikan dan dijanjikan pelbagai habuan dan peruntukan. Akhirnya orang Melayu
luar bandar yang menyelamatkan Umno dan BN daripada dihanyutkan oleh tsunami
Cina. Parti-parti Cina dan India BN ditolak oleh kaum mereka sendiri. Kalau
tidak kerana Melayu kampung dan anak negeri Sarawak dan Sabah, BN telah
kecundang.
5. PAS pula telah mula menyedari bahawa persekongkolan dengan DAP dan PKR
telah membawa padah kepadanya. Ia terpaksa menyampingkan agenda-agenda Islamnya
demi mendapatkan penerimaan DAP dan PKR, tetapi keputusan PRU 2013 tidak
memihak kepadanya. PAS muncul sebagai parti paling lemah dalam PR di segi
bilangan kerusi Parlimen.
6. Jadi PAS terpaksa memikirkan semula pendiriannya mengenai Hudud.
Pelaksanaan Hudud di Kelantan adalah agenda yang boleh menyegarkan semula parti
itu tanpa bergantung kepada DAP dan PKR. Kelantan telah pun meluluskan Rang
Undang-Undang Hudud dan sudah pun mewartakannya. Cuma ia tidak boleh
dilaksanakan kerana bercanggah – ultra vires - dengan Perlembagaan Persekutuan.
7. Sebelum ini, pendirian Umno menjadi penghalang kepada pelaksanaan enakmen
itu. Tetapi selepas PRU 2013 dan akibat apa yang dilihat sebagai cabaran
terhadap kedudukan istimewa agama Islam, khususnya tuntutan aktivis Kristian
untuk menggunakan kalimah Allah, pendirian Umno mengenai Hudud dan terhadap PAS
menjadi bertambah lembut.
![]() |
| NGO Melayu/Islam Cabar Kuasa Umno dan PAS |
9. Kita tunggu dan lihat sama ada Umno akan benar-benar menyokong pelaksanaan
Hudud di Kelantan dengan tidak menghalang cadangan Pas membentangkan rang undang-undang bukan kerajaan (private
member’s bill) di Parlimen dan seterusnya mengundi menyokong rang undang-undang
itu.
10. Perdana Menteri dan Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan
berkata Umno akan mendengar penerangan PAS tetapi Pengerusi Perhubungan Umno
Kelantan, Mustapa Mohammed, pula berkata Ahli Parlimen Umno dari Kelantan akan
menyokong rang undang-undang itu.
11. PAS perlu bersedia menjawab hujah Ahli Parlimen, khususnya yang bukan
Islam, dengan memastikan semua isu teknikal (seperti siapa akan kerat tangan si
pencuri) diatasi kerana inilah modal penentang Hudud dan Qisas.
12. Akhir sekali, isu ini menguji sama ada Umno dan PAS boleh berfikir dan
bertindak di luar kerangka politik kepartian dan sebaliknya mengutamakan
kepentingan agama dan bangsa yang mereka wakili. Wallahuaklam.













