A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan
disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh
guna nama samaran.]
BERJUMPA pembahas msh
dalam perjalanan ke Masjid Damansara Utama untuk solat Jumaat semalam. Terima kasih
kerana memperkenalkan diri.
Saya faham sentimen saudara
terhadap Dyana Sofya, calon DAP yang tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Teluk Intan seminggu lalu.
Tetapi saudara perlu juga
mendalami mengapa pemuda- pemudi Melayu kini menyertai DAP dan bergerak cergas
tanpa selindung.
Adakah mereka menyertai DAP
kerana mereka tertarik dengan apa yang DAP perjuangkan atau mereka menolak Umno
kerana muak dengan apa yang berlaku kepada mereka dan di sekeliling mereka.
Cuba selidik berapa ramai lulusan IPT sekarang menganggur?
Faktor tarik (pull) dan tolak
(push) adalah asas kepada cara seseorang membuat pilihan dan keputusan. Saudara
mengaku menyokong Umno, tetapi kecewa dengan kepemimpinannya.
Kelohan Tok Him Perkasa
SMS Ibrahim Ali aka Tok Him dari
UK: “Salam. Alhamdulillah, majlis Peresmian Perkasa UK&Europe pd 31bh
Mei mendapat sambutan luar biasa. Hampir 200 org hadzir termasuk dari France,
Belgium, Germany dan Holland. Yang mengejutkan Presiden Club MCA UK Zeon Cheong Sze Keat dan
Presiden Club MIC UK R.Depan TURUT HADZIR. Yg TAK HADZIR Presiden Club UMNO
London (wakil pun tak ada) dan komen2 negatif dari Duta Msia sendiri. Inilah
sifat Melayu dlm UmNo dan krajaan. Apa boleh buat. Saya gembira melihat senarai
AJK Perkasa UK&EUROPE terdiri dari pelbagai latarbelakang dan ramai post
graduate students. The way forward. Perkasa bukan setakat pressure group lagi
tapi King Maker mcm UKip Party di UK yang sebelum ini dituduh rasis seperti
Perkasa. Begitu juga dilain2 negarA Eropah.ianya kembali pd sejarah asal. The
3rd force menentukan kuasa kerana trend nya adalah hang govt...HIDUP PERKASA.
Tok Him. Cardif. UK.”
SMS Tok Him bukan SMS, tapi
macam kenyataan akhbar. Tok Him, saya rasa ada rahmat yang tersembunyi apabila Kelab
Umno London tidak hadir dan Suruhanjaya Tinggi buat kenyataan negatif.
Saya lebih suka dan sokong
Perkasa kalau ia tidak bersekongkol dengan mana-mana parti politik. Hakikat
ramai menyertai dan menyokong Perkasa adalah kerana ia bukan parti politik. Ia
suara bebas orang Melayu.
Persidangan "Engaged Learning" di Unisel
Pada 3 Jun saya menghadiri
sebuah seminar dan bengkel antarabangsa mengenai “engaged learning and ICT in
university curriculum” yang dihadiri oleh peserta dari 23 negara di Universiti
Selangor di Shah Alam. Ia melibatkan Kerajaan Selangor, Universiti Selangor,
Universiti Cornell, Amerika Syarikat, UN/APCICT/ESCAP dan Asian Institute for
Development Communication (Aidcom). Saya Pengerusi Aidcom.
Ia dibuka oleh Exco Pendidikan,
Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali (PAS). Beliau adalah seorang doktor
perubatan lulusan Australia.
Selepas ucapan beliau (dalam
bahasa Inggeris), seorang bekas ketua pengarang sebuah organisasi media arus
perdana yang turut hadir menghantar SMS berikut kepada saya: “She makes more
sense than some of our ministers.”
Kuliah di IPTA
Pada 5 Jun pula saya memberi
“kuliah” di sebuah universiti awam yang membincangkan bagaimana Perdana
Menteri-Perdana Menteri Malaysia menangani krisis dan peranan media massa di
dalamnya.
Ketika makan tengah hari, bekas
seorang profesor kanan universiti itu bertanya saya mengenai fenomena Imelda
Marcos.
Saya kata, walaupun ada pihak
yang membenci beliau dan pelbagai siasatan dikenakan ke atasnya, Imelda berani
bertanding pilihan raya dan pada tahun 2010 dipilih sebagai Ahli Kongres
Filipina.
 |
| First Lady who loved shoes | |
Banyak harta beliau dan
suaminya, Presiden Marcos, dirampas atau dipulangkan kepada negara. Koleksi
3,000 pasang kasut Imelda kini menjadi bahan pameran di Muzium Negara Filipina
dan di sebuah muzium kasut di Marikina.
Atas prinsip itulah saya telah
beberapa kali mencadangkan dan menyokong mana-mana pasangan (spouse) ahli
politik kita yang ingin berkongsi kuasa politik dengan pasangan mereka supaya
bertanding pilihan raya. Apabila dipilih wakil rakyat, tidak timbul lagi isu
atau tuduhan campur tangan dan salah guna kedudukan.
Apa Lagi YTL Mahu?
Pewaris konglomerat YTL, Francis
Yeoh dilaporkan telah memohon maaf dan menyesali kenyataan media beliau
mengkritik kronisme.
Saya kenal beliau dan keluarga
YTL agak lama. Kalau kronisme bermakna menerima projek, kontrak, lesen,
pinjaman mudah, konsesi dan francais yang bertimbun-timbun daripada kerajaan
maka YLT adalah antara yang teratas
dalam senarai kroni kerajaan.
 |
| Mohd Najib bersama Francis Yeoh |
Ramai orang tahu bahawa lesen
penjana kuasa bebas (IPP) yang diberikan kepada YTL lah yang menjadi acuan
kepada pelesenan IPP yang didakwa sebagai punca mengapa tarif elektrik di
negara kita tinggi dan tidak anjal.
Mari kita tanya Francis Yeoh dan
tauke-tauke yang sekelas dengan beliau, apakah dasar dan amalan kepelbagaian
kaum mereka dan apa respons mereka kepada seruan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, agar mereka menjadikan etnik, jantina dan generasi muda sebagai agenda korporat mereka?
Apakah nisbah guna tenaga mereka
mengikut kaum? Tak aci lah kalau setakat ambil pegawai pencen jadi ahli lembaga
pengarah atau bekas anggota polis cawangan gerak khas untuk jadi pengawal
peribadi dan pemandu!
Johor Nak Tambah Kuasa Raja?
Banyak pihak, termasuk bekas
Perdana Menteri (Tun) Dr Mahathir Mohamad, menggesa kerajaan Johor agar tangguh
pembentangan rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah.
Rang undang-undang itu
dilaporkan akan memberi kuasa yang lebih luas kepada Sultan. Apa pun hasrat
tersurat dan tersirat, MB Johor Khaled Nordin, wajib ingat dia dipilih rakyat
dan memegang amanah mereka. Dia kena ingat negara kita adalah negara raja
berperlembagaan.
Kepada Menteri Kewangan yang
berkuasa ke atas judi pula, ingatlah Islam adalah agama persekutuan dan setiap
kali beliau mengeluarkan lesen judi yang mendapat faedah tentunya bukan Tabung
Haji, PNB dan Khazanah Nasional. Dulu zaman Daim Menteri Kewangan beliau
haramkan mesin slot atau one-armed bandit.
Tahniah kepada YB Tengku Putra
Haron Aminurrashid, Adun Kempas, Johor kerana ucapannya yang bernas mengenai
judi, kedaulatan negeri dan Menteri Besar. (Baca di sini). Wallahuaklam.
http://www.apanama.my/a-patriot-of-an-assemblyman/