A Kadir Jasin
SIAPAKAH orang Melayu kalau
bukan bangsa yang “moderate” (sederhana), “tolerant” (tahan uji), bertolak
ansur dan pemurah?
[NOTA Badan: Minta sangat-sangat ambil perhatian yang komen “Anonymous” tidak akan
disiarkan. Dalam blog kita ini, pembahas WAJIB ada nama. Nama samaran dan nama
pena pun tak apa. Angka pun boleh. Guna nama sendiri macam saya lagilah bagus.]
Orang Melayu begitu pemurah dan
mengalu-alukan tetamu sehingga sanggup mengikat perut, meminjam dan berhutang.
Orang Melayu itulah yang
menerima perantau Cina, India dan segala rupa pelarian perang dan pelarian
ekonomi. Hasilnya, perantau yang kebuluran dan dianiaya di bumi sendiri menemui
kesenangan di bumi Melayu (Malaysia, Indonesia dan Brunei).
Orang Melayu menerima mereka
sebagai jiran. Menerima babi dan anjing, tokong dan kuil mereka.
Orang Melayu itu jugalah yang
kerana percaya kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj menyetujui
pemberian kewarganegaraan kepada sejuta lebih perantau Cina dan India pada 31
Ogos 1957.
Orang Melayu itu jugalah yang
rela hati memberikan kebebasan ekonomi, pendidikan, bahasa, budaya dan agama
kepada warganegara perantau itu.
Kerana Melayu percaya kepada
Tunku, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr
Mahathir Mohamad mereka kekal “moderate” (sederhana), toleransi, bertolak ansur
dan pemurah terhadap warganegara keturunan perantau selama hampir lima dekad.
Walaupun mereka ketinggalan
dalam banyak bidang, namun mereka yakin hak dan kepentingan mereka seperti
termaktub dalam Perlembagaan selamat di tangan Tunku, Abdul Razak, Hussein dan
Mahathir.
Tetapi, selepas era empat
gergasi Malaysia itu, kepemimpinan Melayu melakukan satu demi satu kesilapan
sehingga Melayu kini menjadi bahan caci, fitnah dan benci orang Cina dan India.
Segelintir Melayu yang masih
berani bersuara mempertahankan hak mereka dilabelkan “racist” (perkauman)
manakala yang mempertahankan Islam dicap “extremist” (pelampau).
Tetapi apabila orang Cina dan
India, orang Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh bersuara mempertahankan bangsa,
agama, bahasa dan budaya mereka, mereka digambarkan sebagai orang terpinggir
yang dianaktirikan dan bakal pupus. Mereka dikatakan memperjuangkan hak asasi.
Alhamdulillah, kini semakin
ramai orang Melayu dan orang Islam mula sedar bahawa mereka tidak lagi boleh
bergantung semata-mata dan bulat-bulat kepada parti-parti politik Melayu/Islam.
Mereka mula bersuara di luar
kerangka politik parti. Mereka tidak lagi yakin sepenuhnya terhadap komitmen
kepemimpinan Melayu/Islam - sama ada di sebelah pihak Barisan Nasional atau
Pakatan Rakyat – untuk mempertahankan Melayu dan Islam.
Orang Melayu dan Islam Malaysia
hari ini tetap sederhana, tahan uji, bertolak ansur dan pemurah seperti orang
Melayu dan orang Islam Malaysia pada tahun 1957.
Orang Cina dan India pula
“menerima” orang Melayu/Islam kerana kuasa politiknya dan mereka berlindung di
bawah kuasa politik Melayu/Islam yang toleransi untuk hidup lebih senang
daripada di bumi asal mereka.
Gagasan Panca-Mahathir Kelirukan
Melayu
Kini banyak orang Melayu/Islam
keliru dan curiga dengan pelbagai gagasan, dasar, slogan dan rancangan yang
dikemukakan oleh kepemimpinan Melayu kontemporari – daripada Islam Hadhari dan
keterbukaan pada era Abdullah kepada 1Malaysia, keterangkuman, kesederhanaan,
transformasi dan wasatiah pada era Mohd Najib.
Pada masa yang sama, mereka mula
didedahkan oleh media baru/siber kepada fakta dan angka yang menunjukkan bahawa
mereka sebenarnya makin tertinggal dan terkebelakang berbanding orang keturunan
perantau. Mereka tidak menelan bulat-bulat lagi propaganda dan percubaan tutup
buruk (whitewash) media arus perdana.
Mereka juga sudah boleh dengar
dan baca dari media siber apa yang orang Cina dan India kata mengenai mereka,
bangsa mereka dan agama mereka.
Parti-parti politik Melayu/Islam
boleh terus mengutuk dan mempersendakan Ibrahim Ali, Perkasa, Majlis
Perundingan Melayu dan NGO-NGO Melayu/Islam lain.
![]() |
| Suara alternatif orang Melayu |
Ramai pemimpin Melayu/Islam
generasi ini tidak pun faham asas kuasa Melayu. Asas kuasa Melayu bukan
ekonomi. Asas kuasa Melayu adalah politik.
Dengan kuasa politik itulah
orang Melayu merundingkan kemerdekaan, membuat undang-undang serta menubuhkan
perkhidmatan awam, polis dan tentera.
Tetapi selepas era Mahathir, hal itu mula diketepikan
oleh kepemimpinan yang mahu dipuji dan dipuja. Mereka mematikan legasi dan
menggantikannya dengan dasar liberal dan terbuka tanpa batas.
Mereka dipuji dan dipuja di
persada dunia tetapi dihukum teruk pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Akibatnya, orang Melayu/Islam hilang kuasa politik yang dibina melalui darah
dan air mata oleh pemimpin Melayu/Islam lampau.
Tertelan Diayah Liberal Berat
Bermula pada era Abdullah dan
berterusan ke dalam era Mohd Najib, bukan sahaja kuasa politik Melayu semakin
luntur malah undang-undang yang dibuat oleh orang Melayu ketika mereka kuat
mula disia-siakan.
Atas nama transformasi politik, Mohd Najib
memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat yang dibuat
oleh orang Melayu ketika mereka kuat. Sekarang golongan liberal yang kemaruk
puji-pujian Barat ini bercadang memansuhkan Akta Hasutan pula.
Maaf cakap, bagi saya semua ini
adalah hasil ketohoran pemikiran dan kebutaan sejarah di kalangan elit politik
Melayu/Islam masa kini. Mereka mudah termakan dan menelan “hook, line and
sinker” segala bentuk diayah golongan liberal Barat.
Golongan ini dari dulu lagi
tidak senang dan mendapati aneh bagaimana sebuah negara yang dipelopori orang
Melayu/Islam boleh maju, aman dan selamat.
Mereka mahu Malaysia jahanam
seperti negara-negara Islam lain. Bagi mereka, pucuk dicita ulam mendatang
apabila ada pemimpin Melayu/Islam yang gembira bersekongkol dan bersekedudukan
dengan mereka.
Upahnya murah saja – puji dan
puja, gambar besar di layar raksasa di Dataran Masa. Dataran Masa adalah
terjemahan langsung/literal Times Square di New York.
![]() |
| Wajah Mohd Najib di Layar Elektronik "Dataran Masa" (Penjelasan Pejabat Media PM: Iklan ini tidak dibayar oleh kerajaan) |
Kita lihat Umno yang mana akan
menonjol pada Perhimpunan Agung 25-29 November ini. Adakah ia perhimpunan yang
menandakan permulaan kepada pengakhiran Umno atau perhimpunan yang menandakan
permulaan kepada pemulihannya.
Wallahuaklam.














