A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
SEMALAM, Parlimen Malaysia mencipta sejarah apabila ia memulakan
mesyuarat pertamanya selepas pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.
Inilah kali pertama
dalam masa 60 tahun sejak merdeka pada tahun 1957 dan setelah melalui 14 PRU,
Dewan Rakyat dikuasai oleh parti lain daripada Perikatan/Barisan Nasional.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan.
Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Jadi tidak hairanlah antara ahli pembangkang yang bertindak keluar dewan kerana membantah “point
of order” pelantikan Speaker adalah daripada BN. Ahli-ahli BN itu mengikut apa
yang dilakukan oleh perwakilan PAS.
Patut sangatlah. Sebagai
parti yang baru menjadi pembangkang, BN kenalah belajar daripada parti pembangkang veteran macam PAS. Tapi janganlah pula sampai ponteng dewan seperti yang sudah
menjadi amalan salah seorang ahli Yang Berhormat parti tersebut.
Ahli pembangkang yang riuh-rendah
keluar dewan itu akhirnya terpaksa jilat ludah sendiri apabila masuk semula untuk
mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan yang mereka bangkang - Datuk
Mohamad Ariff Md Yusof. Mohamad Ariff adalah bekas hakim mahkamah rayuan.
Ahli Yang Berhormat BN dan PAS itu angkat sumpah juga sebab kalau tak angkat sumpah tak sah jadi anggota dewan. Bila tak sah jadi anggota dewan, taklah dapat elaun. Jadi terpaksalah juga tanggung aib dan angkat sumpah.
Bukan mudah bagi BN –
atau lebih tepat Umno – menukar peranan daripada kerajaan kepada pembangkang.
Mengikut kiraan sehingga
24 Jun, terdapat 116 wakil Pakatan Harapan (PH) dalam dewan. Mereka disertai dan disokong
oleh lapan wakil Warisan dan seorang UPKO sebagai ahli “confidence &
supply”.
Kalau kiraan kepala itu tepat, PH dan rakan-rakan sekutunya kini menguasai
126 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Ini bermakna ada 96
orang ahli pembangkang yang terdiri daripada 54 BN (51 Umno, 2 MIC dan 1 MCA),
19 Parti Gabungan Sarawak (GPS), 18 PAS, dua United Alliance (PBS dan STAR), 1 PBRS
dan 3 bebas.
![]() |
| Khairy Jamaluddin dan Anifah Aman tidak sertai protes BN-PAS |
Angka ini mungkin tidak tepat 100 peratus kerana klasifikasi masih boleh
berubah disebabkan ahli keluar atau bertukar parti.
Misalnya, portal rasmi
Parlimen Malaysia telah mentakrifkan wakil BN Masjid Tanah, Melaka, (Datuk
Wira) Mas Ermieyati Samsudin, sebagai ahli bebas. Beliau isytihar keluar Umno 1
Julai lalu.
Perbahasan dan
pengundian pun mungkin mengalami perubahan dan kejutan. Ini adalah kerana sudah
ada kalangan ahli pembangkang dan bebas - seperti GPS – yang membayangkan bahawa
mereka mesra PH.
GPS bertanding PRU 9 Mei
lalu sebagai BN Sarawak tetapi keluar BN pada 12 Jun. Ia terdiri daripada PBB
dengan 13 kerusi, PRS 3, PDP 2 dan SUPP 1.
Dengan ini, PH dan sekutunya
dijangka tidak akan mengalami masalah besar untuk meluluskan rang undang-undang
biasa yang tidak memerlukan suara dua pertiga.
Parlimen kita dibentuk
berasaskan sistem Westminster Inggeris. Ia mengandungi dua dewan - Dewan Rakyat
dengan seramai 222 ahli yang dipilih dan Dewan Negara dengan 70 ahli yang dilantik.
PH mungkin menghadapi masalah
di Dewan Negara kerana ia dikuasai oleh Umno/BN serta parti-parti yang
dulunya bergabung atau bersimpati dengan BN.
Sehingga 12 Jun lalu, 30
daripada 70 ahli Dewan Negara adalah wakil BN (22 Umno, 5 MCA dan 3 MIC). GPS
ada 3, bebas 3, Gerakan 2, PAS 2 manakala PLF, United Alliance, PBS dan LDP
seorang ahli setiap satu.
Ada 24 kekosongan yang
perlu diisi. Semalam enam calon senator yang pro-PH diumumkan dan akan
mengangkat sumpah hari ini.
Parlimen Bukan Sarkas
Setelah membuat
perubahan pada 9 Mei lalu, pengundi khasnya dan rakyat jelata amnya tentulah mahu
melihat pembaikan dalam perbahasan di Parlimen.
Sekali-sekala berlawak
jenaka, ketawa dan menepuk meja bolehlah. Tapi kita tidak mahu sarkas dan bahas
ala Raja Lawak seperti berlaku semalam diteruskan. Kita mahu perbahasan
yang berkualiti, bernas, berhemah dan bijaksana.
![]() |
| Bahaya jika abai ikrar dan janji kepada pengundi |
Wakil-wakil PH wajib berani
bertanya dan menegur kerajaan mereka sendiri dan wakil-wakil pembangkang
menyokong kerajaan dalam hal-hal kepentingan negara.
Wajib ada dikotomi atau
pemisahan di antara parti dan kerajaan di kalangan ahli PH. Yang tidak menjadi
menteri atau timbalan menteri wajib berani menegakkan pendirian parti dan
mengkritik kerajaan jika ia menyimpang daripada ikrar dan janji.
Di pihak yang lain pula,
kita mahu melihat Parlimen menjadi lebih bipartisan dalam isu-isu pokok
seperti reformasi institusi, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Proses reformasi telah pun bermula dengan Parlimen diberikan kuasa yang lebih besar di mana sembilan institusi utama negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Audit Negara telah diletakkan di bawah kawalannya.
Badan-badan lain yang bertanggungjawab terus kepada Parlimen adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
Saya cadangkan agar hal-hal berkaitan Raja-raja Melayu juga dipertanggungjawabkan kepada Parlimen supaya kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada raja serta negara, seperti termaktub dalam Rukun Negara, boleh kita jadikan amalan harian. Ini boleh dimulakan dengan peruntukan diraja dibentang dan dibahaskan secara terbuka di Parlimen.
Selamat bersidang.
Wallahuaklam.







