A Kadir Jasin
BANYAK juga orang tanya saya
berkenaan perkembangan di Asia Barat dan perhubungan Putrajaya dengan negeri-negeri
berautonomi di Borneo.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan.
Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Minta maaf saya kurang
menulis bulan puasa ini. Ada tua, tiga masalah kecil yang besar kesannya.
Pertama tabiat saya
menulis di kedai kopi. Oleh sebab Ramadhan, tak berapa elok saya duduk menulis
di kedai kopi pada siang hari. Kedua, tahap kesihatan pun jatuh sikit kerana
susah makan ubat dan ketiga kegiatan biasa berkaitan bulan puasa.
Berkenaan pemutusan
hubungan diplomatik oleh beberapa buah negara Islam, khususnya Arab, dengan Qatar,
saya sebenarnya tidak berapa berminat mengulas.
Maaf cakaplah kalau saya
kata, pendapat (opinion) saya mengenai bangsa Arab tidak begitu positif.
Walaupun orang Arab yang
kita jumpa di masjid di negara kita atau berkenalan secara sambil lewa (casual)
di Mekkah adalah baik tetapi sebagai entiti politik mereka bukanlah contoh yang
mengagumkan.
Mungkin kita terpaksa
melihat bangsa Arab dan politiknya, termasuk cara mereka memonopoli Islam, dengan
berbalik kepada sejarah silam.
Al-Quran menceritakan betapa
tidak eloknya akhlak orang Arab. Mereka berpecah-belah, berkelompok, bermusuh-musuhan
dan tidak bertamadun.
Kalau tidak kerana Nabi
Muhammad Rasulullah (SAW) dan al-Quran boleh jadi bangsa Arab sudah lama pupus.
Betapa tidaknya. Mereka menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka.
Bila tidak ada wanita, macam mana nak membiak. Bila tidak membiak, jawabnya
pupuslah.
Tak tahulah apa
pandangan ulama, tok guru, tuan guru dan tok lebai. Tapi itulah pandangan
rambang saya apabila mendengar cerita berkenaan akhlak orang Arab zaman jahiliah.
Kalau kita tengok
sejarah, kita akan berasa dukacita bahawa zaman kegemilangan Islam di bawah
kepemimpinan Arab sangat singkat dan terhad.
Tidak lama selepas kewafatan
Rasulullah, umat Islam Arab mula berpecah kerana berebut kuasa. Yang lebih malang
bagi Islam ialah perebutan kuasa itu berlaku kerana interpretasi yang berbeza
mengenai al-Quran dan Hadis.
Islam menyerlah dan menjadi pencipta ilmu hanyalah apabila ia berkembang keluar daripada Semenanjung
Arab ke Afrika Utara, Sepanyol dan Baghdad.
Kepemimpinan moden bangsa
Arab menyerlah sedikit selepas Perang Dunia Kedua tetapi bukan atas nama Islam
tetapi kerana nasionalisme yang dipimpin oleh nasionalis Arab seperti Gamal
Abdel Nasser (Mesir), Ahmed Ben Bella (Algeria) dan Habib Bourguiba (Tunisia).
Mereka adalah antara
pemimpin pasca-Perang Dunia Kedua yang menyemarakkan api nasionalisme di jiwa
saya sebagai remaja pada tahun 1960’an. Yang lain adalah Sukarno, Fidel Castro
dan Ernesto Che Guevara.
Cerita keperwiraan mereka saya baca dalam Utusan Melayu
(tulisan jawi) dan Warta Negara serta majalah seperti Mastika dan Dian.
Tetapi era kegemilangan
itu pun tidak kekal lama. Kuasa-kuasa besar Perang Dingin (Amerika, Kesatuan
Soviet, China dan negara-negara Eropah) berasa terancam dengan nasionalisme Arab
dan serentak itu mengidamkan kekayaan minyak bumi Arab.
Mereka mencipta senjata
mutakhir bagi memusnahkan bangsa Arab dan sekali gus menghuru-harakan Islam
secara total.
Dengan menyalahgunakan mandat Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka mewujudkan
Israel di atas bumi yang selama ini dikenali sebagai Palestin. Dalangnya British dan Perancis.
Hari ini, tidak dapat
tidak apa saja krisis, peperangan dan penaklukan yang berlaku di dunia Arab
adalah kerana dua faktor ini – Israel dan minyak.
Yang lain – raja lawan
presiden, syeikh lawan raja, raja lawan sultan – adalah cetusan kegiatan geopolitik
yang dimainkan oleh Amerika, Israel dan Rusia dengan Iran dan China sebagai agitator
tambahan.
Tuduhan bahawa Qatar melindungi
dan membantu Hamas serta menyokong gerakan ekstremis adalah rai·son d'ê·tre atau alasan bagi menghalalkan tindakan saja.
Qatar terlalu kecil (warganegara
313,000 orang dan pendatang asing 2.3 juta) untuk menjadi ancaman. Yang mungkin
menjadi ancaman kepada negara-negara yang memusuhinya ialah tahap kemajuannya.
Pendapatan per kapita
nominal Qatar sebanyak AS$68,940 (kira-kira RM310,230) adalah yang keempat
tertinggi di dunia. Kalau ikut ukuran pariti kuasa membeli (PPP), Qatar nombor
satu di dunia. Kemajuan Qatar boleh menyebabkan negara-negara jiran berasa cemburu
dan malu.
NOTA KAKI: Berkenaan
pertelingkahan cukai pelancongan di antara Putrajaya dan Sarawak yang
dicetuskan oleh “menteri celupar” Nazri Aziz, saya tak perlu komen banyak.
Memadailah kalau saya kata ia adalah cerminan tentang betapa kacau-bilau dan
tidak berdayanya kepemimpinan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng
Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak. Dia hilang
kawalan ke atas kabinetnya sendiri sehingga watak seperti Nazri boleh
bermaharajalela.
Wallahuaklam.









