Thursday, June 15, 2017

Isu Qatar: Quran Cerita Tentang Perpecahan Arab



A Kadir Jasin


BANYAK juga orang tanya saya berkenaan perkembangan di Asia Barat dan perhubungan Putrajaya dengan negeri-negeri berautonomi di Borneo.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Minta maaf saya kurang menulis bulan puasa ini. Ada tua, tiga masalah kecil yang besar kesannya.

Pertama tabiat saya menulis di kedai kopi. Oleh sebab Ramadhan, tak berapa elok saya duduk menulis di kedai kopi pada siang hari. Kedua, tahap kesihatan pun jatuh sikit kerana susah makan ubat dan ketiga kegiatan biasa berkaitan bulan puasa.

Berkenaan pemutusan hubungan diplomatik oleh beberapa buah negara Islam, khususnya Arab, dengan Qatar, saya sebenarnya tidak berapa berminat mengulas.

Maaf cakaplah kalau saya kata, pendapat (opinion) saya mengenai bangsa Arab tidak begitu positif.

Walaupun orang Arab yang kita jumpa di masjid di negara kita atau berkenalan secara sambil lewa (casual) di Mekkah adalah baik tetapi sebagai entiti politik mereka bukanlah contoh yang mengagumkan.

Mungkin kita terpaksa melihat bangsa Arab dan politiknya, termasuk cara mereka memonopoli Islam, dengan berbalik kepada sejarah silam.

Al-Quran menceritakan betapa tidak eloknya akhlak orang Arab. Mereka berpecah-belah, berkelompok, bermusuh-musuhan dan tidak bertamadun.

Kalau tidak kerana Nabi Muhammad Rasulullah (SAW) dan al-Quran boleh jadi bangsa Arab sudah lama pupus.

Betapa tidaknya. Mereka menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka. Bila tidak ada wanita, macam mana nak membiak. Bila tidak membiak, jawabnya pupuslah.

Tak tahulah apa pandangan ulama, tok guru, tuan guru dan tok lebai. Tapi itulah pandangan rambang saya apabila mendengar cerita berkenaan akhlak orang Arab zaman jahiliah.

Kalau kita tengok sejarah, kita akan berasa dukacita bahawa zaman kegemilangan Islam di bawah kepemimpinan Arab sangat singkat dan terhad.

Tidak lama selepas kewafatan Rasulullah, umat Islam Arab mula berpecah kerana berebut kuasa. Yang lebih malang bagi Islam ialah perebutan kuasa itu berlaku kerana interpretasi yang berbeza mengenai al-Quran dan Hadis.

Islam menyerlah dan menjadi pencipta ilmu hanyalah apabila ia berkembang keluar daripada Semenanjung Arab ke Afrika Utara, Sepanyol dan Baghdad.

Kepemimpinan moden bangsa Arab menyerlah sedikit selepas Perang Dunia Kedua tetapi bukan atas nama Islam tetapi kerana nasionalisme yang dipimpin oleh nasionalis Arab seperti Gamal Abdel Nasser (Mesir), Ahmed Ben Bella (Algeria) dan Habib Bourguiba (Tunisia).

Mereka adalah antara pemimpin pasca-Perang Dunia Kedua yang menyemarakkan api nasionalisme di jiwa saya sebagai remaja pada tahun 1960’an. Yang lain adalah Sukarno, Fidel Castro dan Ernesto Che Guevara.

Cerita keperwiraan mereka saya baca dalam Utusan Melayu (tulisan jawi) dan Warta Negara serta majalah seperti Mastika dan Dian.

Tetapi era kegemilangan itu pun tidak kekal lama. Kuasa-kuasa besar Perang Dingin (Amerika, Kesatuan Soviet, China dan negara-negara Eropah) berasa terancam dengan nasionalisme Arab dan serentak itu mengidamkan kekayaan minyak bumi Arab.

Mereka mencipta senjata mutakhir bagi memusnahkan bangsa Arab dan sekali gus menghuru-harakan Islam secara total.

Dengan menyalahgunakan mandat Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka mewujudkan Israel di atas bumi yang selama ini dikenali sebagai Palestin. Dalangnya British dan Perancis.

Hari ini, tidak dapat tidak apa saja krisis, peperangan dan penaklukan yang berlaku di dunia Arab adalah kerana dua faktor ini – Israel dan minyak.

Yang lain – raja lawan presiden, syeikh lawan raja, raja lawan sultan – adalah cetusan kegiatan geopolitik yang dimainkan oleh Amerika, Israel dan Rusia dengan Iran dan China sebagai agitator tambahan.

Tuduhan bahawa Qatar melindungi dan membantu Hamas serta menyokong gerakan ekstremis adalah rai·son d'ê·tre atau alasan bagi menghalalkan tindakan saja.

Qatar terlalu kecil (warganegara 313,000 orang dan pendatang asing 2.3 juta) untuk menjadi ancaman. Yang mungkin menjadi ancaman kepada negara-negara yang memusuhinya ialah tahap kemajuannya.

Pendapatan per kapita nominal Qatar sebanyak AS$68,940 (kira-kira RM310,230) adalah yang keempat tertinggi di dunia. Kalau ikut ukuran pariti kuasa membeli (PPP), Qatar nombor satu di dunia. Kemajuan Qatar boleh menyebabkan negara-negara jiran berasa cemburu dan malu.

NOTA KAKI: Berkenaan pertelingkahan cukai pelancongan di antara Putrajaya dan Sarawak yang dicetuskan oleh “menteri celupar” Nazri Aziz, saya tak perlu komen banyak. Memadailah kalau saya kata ia adalah cerminan tentang betapa kacau-bilau dan tidak berdayanya kepemimpinan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak. Dia hilang kawalan ke atas kabinetnya sendiri sehingga watak seperti Nazri boleh bermaharajalela.

Wallahuaklam.

Sunday, June 11, 2017

Insentif Peneroka Felda Daripada Titik Peluh Sendiri



A Kadir Jasin


ALHAMDULILLAH, peneroka Felda dapat balik hasil penat lelah, peluh dan air mata mereka apabila Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak umum Insentif Raya RM500 satu keluarga semalam.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Selain itu, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang sedang dilanda krisis kepemimpinan akan beri “dividen” RM280 kepada setiap peneroka.

Pembayaran insentif babitkan peruntukan RM47.28 juta manakala “dividen” berjumlah RM26.4 juta. Seramai 94,555 orang peneroka akan dapat dua bayaran itu.

Insentif Raya menjelang pilihan raya
Pemberian lain daripada penat lelah peneroka Felda dan duit pembayar cukai yang Najib umumkan adalah:

# Pemberian sagu hati, RM500 kepada imam, RM400 kepada pengerusi masjid, RM300 kepada bilal dan RM200 kepada siak yang jumlah besarnya RM674,400 manakala bagi “surau utama” imam akan dapat sagu hati RM500 dan bilal RM300.

#Insentif khas di antara 10 hingga 30 peratus daripada gaji pokok kepada 3,625 kakitangan Felda bulan ini.

# Insentif tambahan sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok kepada petugas barisan hadapan iaitu kakitangan rancangan.

#Empat rancangan Felda dalam kawasan Parlimen Tenggara iaitu Bukit Ramon dibagi peruntukan RM1.35 juta, Pasir Raja (RM700,00), Sungai Sayong (RM2.2 juta) dan Bukit Besar (RM2.2 juta) untuk bina jalan 13.7 kilometer.

Berucap di majlis Sambutan Ihya' Rahmat Ramadan Felda peringkat kebangsaan di Felda Sungai Sayong, Kulai, Johor Najib berkata: "Bayaran insentif Hari Raya ini, saya mahu jelaskan, kita akan bayar kepada semua yang berurusan dengan Felda sahaja...yang tidak berurusan, hendak saman Felda, minta maaflah...tidak termasuk."

Maksudnya ada peneroka dan anak pinak mereka yang tak dapat, iaitu mereka yang tidak berurusan (dengan Felda) dan yang hendak saman Felda.

Hakikatnya, insentif yang Najib umumkan itu ditanggung sendiri oleh peneroka dan oleh pembayar cukai. Namun ia akan meringankan sikit beban peneroka yang rata-rata berhutang besar dengan Felda.

Beban hutang luar biasa peneroka
Ada yang sampai RM100,000 atau lebih sedangkan usia mereka sudah lanjut dan hasil ladang tidak banyak mana. Peneroka berhutang hampir RM5 bilion kepada Felda setakat bulan Disember 2015.

Ini termasuklah pinjaman membeli saham FGV yang jatuh merudum, dana pembukaan tanah, tanam semula, pendidikan tinggi, beli komputer, insentif usahawan dan ubah suai rumah.

Ditambat Dengan Hutang

Ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan Felda.

Apabila Almarhum Tun Abdul Razak Hussein wujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP/Felda), tujuannya adalah untuk hapuskan kemiskinan, keberhutangan (indebtedness) dan cengkaman tuan tanah, ceti dan orang tengah ke atas petani miskin.

Sekarang petani miskin sudah jadi peneroka. Mereka ada tanah dan terlepas daripada cengkaman kemiskinan. Tapi mereka terus berhutang. Malah hutang mereka lebih besar. Kalau dulu mereka berhutang kepada ceti, sekarang mereka berhutang kepada Felda.

Sama ada disengajakan atau kebetulan, sistem hutang dalam Felda menjadikan peneroka “hamba” kepada Felda dan  kerajaan.

Keadaan ini dieksploitasi oleh Umno/BN untuk memeras ugut peneroka supaya mengundinya.

Lingkaran ganas (vicious cycle) ini akan pecah hanyalah jika peneroka berani membebaskan diri daripada belenggu hegemoni Umno/BN.

Wallahuaklam.

Monday, June 05, 2017

Yuran Shafee: Kerajaan Bohong Kepada Parlimen?



A Kadir Jasin


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

PADA mulanya saya tidak bercadang mengulas dakwaan terbaru yang super sensasi oleh Sarawak Report (SR) bahawa peguam (Tan Sri) Muhammad Shafee Abdullah terima yuran RM9.5 juta kerana menjadi pendakwa raya sementara kes rayuan liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

 
Shafee duidakwa terima RM9.5 juta daripada Najib

SR mendakwa duit yang dipercayai dicuri daripada 1MDB itu dibayar kepada Shafee oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Tapi seorang pengulas yang memakai pengenalan “anonymous” telah menghantar komen dalam posting bertajuk “Negara Kafir Lebih Peduli Penipuan 1MDB” dan mengherdik saya agar tidak lagi menulis mengenai 1MDB.

Saya sering kebingungan. Aneh seribu kali aneh. Ramai penyokong Najib, Umno dan kerajaan yang masuk blog ini mengulas menggunakan “anonymous” yang mereka tahu saya tidak akan siar.

Saya hairan mengapa mereka takut guna nama sendiri atau nama samaran. Logiknya, bila sokong Najib, Umno dan kerajaan mereka tidak perlu berasa takut. Yang patut takut adalah pembahas anti-Najib, Umno dan kerajaan.

Mungkin penyokong Najib ini malu dengan tahap perbahasan mereka yang hambar atau mereka tidak ikhlas menyokong Najib.

Boleh jadi sesetengah daripada mereka adalah penulis dedak yang terpaksa menghantar komen setakat memenuhi kuota dedak mereka.

Pada 1 Jun, portal  berita UK itu melaporkan yang Shafee terima dua pembayaran daripada akaun peribadi Najib di AmBank nombor 2112022011906. Satu pada 11 September 2013 sebanyak RM4.3 juta dan satu lagi pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta.

Parlimen Dibohongi?

Persoalannya sekarang ialah bukan sahaja Shafee dibayar yuran yang begitu besar sebagai pendakwa raya helikopter tetapi kemungkinan kerajaan telah berbohong kepada Parlimen mengenainya.

Pada 11 Mac, 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Datuk) Nancy Shukri memberitahu Parlimen kerajaan hanya membayar RM1,000 kepada Shafee untuk mengetuai kumpulan pendakwaan kes itu.

Nancy Shukri kata kerajaan bayar RM1,000 sahaja
Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Rakyat Bakri, Er Teck Haw dari DAP.

“Jumlah yang diberikan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak antara kerajaan dan ketua pendakwa,” katanya.

Apakah Nancy berbohong atau beliau mungkin tidak tahu bahawa ada kira bicara bawah meja yang melibatkan bayaran RM9.5 juta itu?

Berani Shafee Nafi?

Banyak pihak telah mencabar Najib dan Shafee menafikan dakwaan itu dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas SR.

Kita boleh membuat kesimpulan Najib tidak akan saman. Ancam nak saman pun mungkin dia tak berani buat pasal ancaman tahun 2015 nak saman Wall Street Journal pun macam masuk angin keluar asap saja. Sampai hari ini pun tidak ada apa-apa.

Tapi adakah peguam sehebat Shafee akan berdiam diri dan membiarkan mahkamah pendapat umum (court of public opinion) membuat pengadilan bahawa laporan SR itu benar?

Maaflah kalau saya terlepas pandang, tetapi saya tidak pula terbaca atau dengar dari mana-mana sumber mengatakan Shafee akan membersihkan namanya di mahkamah undang-undang (court of law).

Saya buat carian Internet dengan menaip “Shafee nafi terima RM9.5 juta daripada Najib” tapi tidak ada hasil mengatakan Shafee telah membuat penafian.

Justeru itu, adalah tidak menghairankan kalau banyak pihak percaya memang benar Najib bayar dia RM9.5 juta sebab itu rekod Najib. Dia suka guna duit. Bagi Najib, duit adalah raja (cash is king).

Yang akan membusukkan lagi nama Shafee ialah bayaran yang didakwa itu adalah daripada sumber 1MDB yang disonglap dan masuk akaun peribadi Najib.

Wallahuaklam.

Wednesday, May 31, 2017

Negara Kafir Lebih Peduli Penipuan 1MDB


A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

WABAK sumpahan 1MDB terus merebak di Singapura. Yang terbaru, Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) telah mengenakan hukuman ke atas dua buah bank kerana terlibat dalam urus niaga haram berkaitan 1MDB.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Wabak sumpahan 1MDB berterusan
Dua bank itu ialah Credit Suisse dari Switzerland dan United Overseas Bank (UOB) yang berpangkalan di Singapura sendiri. Credit Suisse didenda S$700,000  (kira-kira RM2.2 juta) manakala UOB didenda S$900,000 (RM2.9 juta).

Mereka didenda di bawah peraturan berkaitan dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Mencegah Pembiayaan Keganasan.

“Pemeriksaan terhadap Credit Suisse dan UOB mendedahkan beberapa perlanggaran terhadap keperluan anti-pengubahan wang haram (AML) dan kecuaian kawalan.

“Ini termasuk kelemahan meneliti pelanggan dan ketidakcukupan keselamatan terhadap kegiatan dan transaksi pelanggan-pelanggan,” kata kenyataan MAS.


MAS dedah banyak penyelewengan dan penipuan 1MDB
Tindakan terbaru Singapura itu mengukuhkan lagi bukti jenayah kewangan yang melibatkan 1MDB dan pembabitan langsung Perdana Menteri, Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat dan Pegawai Nombor Satu (MO1) 1MDB.

Najib Tak Saman Lagi

Najib masih belum membersihkan namanya daripada tuduhan menerima AS$680 juta (kira-kira RM2.6 bilion pada kadar tukaran 2013) wang yang dicuri daripada 1MDB.

Beliau masih belum mengemukakan saman ke atas akhbar Wall Street Journal seperti yang beliau ancam pada 5 Julai 2015 kerana mengaitkan beliau dengan kecurian duit 1MDB itu.

Utusan kata saman, tapi tak saman lagi
Sejak itu, kes kecurian dan pengalihan haram duit 1MDB telah disiasat dan diambil tindakan oleh beberapa buah bidang kuasa (jurisdiction). Selain Singapura, tindakan juga telah dan sedang dilakukan di Amerika Syarikat dan Switzerland.

Singapura telah pun membicarakan beberapa orang yang terbabit dan menjatuhkan hukuman penjara serta denda ke atas sekurang-kurangnya tiga daripada mereka dan menutup dua buah bank yang bersubahat mengubah duit haram 1MDB.

Di Amerika Syarikat pula, Jabatan Kehakiman (DoJ) dalam samannya tahun lalu mengenal pasti Jho Low dan anak kiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, sebagai penerima duit haram 1MDB di Amerika.

DoJ menggunakan udang-undang yang dikenali sebagai KARI. Ia membolehkan pihak berkuasa Amerika merampas harta orang asing yang dibeli dengan duit yang dicuri daripada rakyat jelata sesebuah negara.


KARI adalah singkatan kepada "Kleptocracy Asset Recovery Initiative" iaitu usaha mendapatkan balik harta yang dicuri oleh sesebuah kerajaan. Kleptokrasi bermaksud kerajaan yang mencuri.

Di Swizerland, tiga buah bank masih disiasat kerana disyaki melakukan rasuah dan mengubah wang haram bersangkutan 1MDB manakala kumpulan perbankan terbesar di Switzerland, UBS Group AG, telah diberi amaran atas penglibatannya.

Nampaknya negara asing yang selalu kita sebut sebagai negara kafir lebih mengambil berat terhadap penipuan 1MBD dan beban yang akan ditanggung oleh rakyat jelata Malaysia beberapa generasi akan datang.

Wallahuaklam.



Thursday, May 25, 2017

Proton Bukan Projek Nasional Lagi


A Kadir Jasin


TIDAK hairan kalau ada penggiat media sosial yang memprotes atau berjenaka mengenai penjualan kawalan Proton kepada syarikat China, memberi nama baru kepada projek kereta nasional itu.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Mereka memanggilnya “Ploton” iaitu sebutan yang lazim di kalangan sesetengah penutur bahasa Cina. Dengan penjualan kawalannya kepada Zhejiang Geely Holding Group, berakhirlah status Proton sebagai projek nasional atau kebangsaan.

Proton bukan lagi projek pendayaan ekonomi tetapi hanyalah sebuah perniagaan biasa. Jadi adalah wajar status nasionalnya ditarik balik. Apatah lagi majoriti sahamnya kini milik orang asing.

Semalam, DRB-HICOM, pemilik utama Proton, mencapai persetujuan untuk menjual 49.9 peratus saham Proton kepada syarikat negara China itu. Sebagai tambahan, Geely juga akan membeli 51 peratus saham pengeluar kereta sports British, Lotus.

Menteri Kewangan II Johari Ghani bertepuk Proton jual kepada China
Zhejiang Geely Holding Group kini memiliki Geely Automobile Hong Kong dan Volvo Car Group, Sweden.

Kalau kita masih ingat dan peduli, projek kereta nasional ini dilancarkan pada tahun 1983 dan mengeluarkan kereta pertamanya – Proton Saga – pada tahun 1985.

Sebagai projek pendayaan ekonomi, ia telah mencetuskan beratus ribu peluang pekerjaan dan melatih pekerja mahir dalam industri automotif.

Pada suatu ketika ia menjadi kereta paling laris di Malaysia sebelum kerajaan membuka pasaran tempatan kepada kereta import murah.

Adalah tidak mustahil selepas penjualan kepada Geely, Proton akan melalui proses rasionalisasi yang mungkin melibatkan pemberhentian pekerja seperti yang berlaku dengan banyak syarikat yang bertukar tangan.

Banyak penganalisis dan pemerhati pasaran berpendapat yang menjadi buruan syarikat China itu bukanlah jenama Proton tetapi Lotus.

Setelah membeli jenama berprestij Volvo adalah logik bagi Geely mengidamkan kereta sports seperti Lotus. Tidak menghairankan kalau selepas ini kereta Proton rekaan tempatan akan diganti dengan model dari negeri China.

1985: Proton Saga Cetus Patriotisme ekonomi
Dengan pembelian Proton itu, pemodal China kini mengusai dua syarikat tempatan dalam industri bersangkutan pemotoran. Disember lalu, syarikat penapisan minyak China, Shandong Hengyuan Petrochemical Co, membeli 51 peratus saham kilang penapis Shell di Port Dickson dengan harga ASS$66.3 juta (kira-kira RM300 juta).

Kedua-kedua pembelian ini adalah sebahagian kecil sahaja daripada senarai membeli-belah China di Malaysia yang termasuk pembinaan pelabuhan, hartanah, landasan kereta api dan pemberian hutang.

Penjualan harta negara secara besar-besaran kepada China tidak langsung menghairankan kalau kita faham dasar dan kedudukan ekonomi Malaysia di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Pertama, di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) rekaan (Datuk Seri) Idris Jala, kerajaan komited kepada pembebasan ekonomi dan pasaran bebas. Ertinya siapa yang ada duit bebas menguasai ekonomi negara.

Kedua, kerajaan sendiri tidak ada duit. Walaupun Najib memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menaikkan kadar pelbagai cukai, yuran dan tol serta memotong peruntukan pembangunan, kedudukan kewangan kerajaan dan negara masih lemah.

Disebabkan kekurangan wang dan kejatuhan keuntungan, banyak syarikat dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) terpaksa menjual harta mereka di dalam dan luar negara.

Jadi adalah tidak menghairankan kalau syarikat luar yang banyak duit, khususnya dari negara China, berlumba-lumba membeli harta di negara kita.

Secara tersirat ekonomi kita, walaupun berkembang pada kadar yang agak tinggi, sedang mengalami masalah sistemik (wabak) yang semakin teruk – kadar tukaran ringgit lemah, harga barang dan perkhidmatan naik, kadar inflasi makin tinggi, hutang kerajaan dan isi rumah melambung, pengangguran meningkat dan gaji membeku.

Jadi apalah sangat kerajaan membenarkan Proton dijual kepada China kalau masalah ekonomi negara dan kewangan kerajaan lebih buruk daripada itu?

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).