A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan
yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis
dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan
apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
![]() |
| Irwan Serigar berkempen di Langkawi melawan Dr Mahathir |
BAHAYA kerajaan baru
Pakatan Harapan (PH) disabotaj tidak dapat ditolak begitu sahaja dan terdapat dua
sumber utama kepada ancaman ini.
Pertama, pemimpin PH – termasuk anggota kabinet – mensabotaj kerajaan mereka sendiri kerana
kejahilan, tamak kuasa dan ketiadaan fokus.
[Komen
"Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Saya telah menyentuh hal
ini secara tidak langsung dalam tulisan yang lepas mengenai lima menteri belum
setahun jagung menerima bintang kebesaran daripada negeri Melaka. Ini adalah
petanda keamatoran pemikiran mereka.
Untuk mengelak hal ini
berulang, PH boleh mengenakan syarat menghalang menteri pusat, menteri negeri
dan ahli exconya daripada menerima bintang kebesaran ketika dalam perkhidmatan.
Lagi baik kalau semua Ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) serta Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) dimasukkan di dalam senarai larangan ini.
Kedua, sabotaj oleh
kakitangan awam dan eksekutif GLC/GLIC kerana ketidakcekapan, pengaruh ideologi dan
korupsi.
Ketiga-tiga ciri ini wujud walaupun saya tidak menafikan bahawa ada banyak kakitangan awam dan eksekutif GLC/GLIC yang
cemerlang dan berkelas dunia, tetapi lebih banyak yang tidak.
Kerana lebih 60 tahun di
bawah kerajaan yang sama, pemikiran mereka dipengaruhi oleh ideologi parti
pemerintah dan parti pemerintah menjadi begitu feudalistik dan korup sejak
beberapa dekad kebelakangan ini.
Walaupun kerajaan PH
telah tidak menyambung atau memendekkan tempoh perkhidmatan beberapa orang
pegawai atasan dan melantik orang baru menggantikan mereka namun “DNA”, “inprint”,
acuan dan “template” Umno/BN masih kuat. Hal yang sama berlaku dalam GLC dan
GLIC.
![]() |
| Sekolahkan dan kembalikan profesionalisme perkhidmatan awam |
Adalah penting mereka
ini disekolahkan semula secara sistematik agar kembali menjadi penjawat awam
dan pengurus GLC/GLIC yang profesional, berkecuali dan bebas rasuah.
Teruja
Akibat tidak ada
pengalaman, ada menteri yang jelas telah berjaya dipukau oleh Ketua Setiausaha
Kementerian masing-masing sehingga mereka menjadi “protective” terhadap KSU dan
pegawai-pegawai kanan mereka.
Saya dimaklumkan ada
menteri yang tidak suka atau tidak lagi mahu mendengar maklum balas parti dan
orang ramai mengenai KSU mereka.
Kalau betul – tidak kira
kalau sedikit sekali pun – hal ini amat berbahaya bagi kerajaan PH dan rakyat
jelata yang bergantung kepadanya. Kerajaan PH terdedah kepada pemesongan dan
sabotaj oleh saki-baki tali barut kerajaan lama.
Hal yang sama saya
dengar berlaku di sesetengah GLC dan GLIC walaupun kepemimpinan atasan mereka
sudah ditukar.
Hal ini tentulah lebih
teruk di GLC dan GLIC yang masih diuruskan oleh pengurusan era BN.
Kecenderungan
menyembunyikan maklumat masih berleluasa malah ada yang mempamerkan sikap
angkuh kerana berasa kerajaan baru tidak tahu apa-apa dan kepakaran mereka
tidak dapat diganti. Atau lebih tepat “kerajaan PH tidak mampu untuk
menyingkirkan saya.”
Sebuah cerita klasik
yang saya dengar adalah bagaimana ketua eksekutif sebuah GLC apabila ditanya
berapa gajinya menjawab: “I can’t remember.” (Saya tidak ingat).
Setalah diselidik,
didapati dia memperoleh pendapatan lebih RM7 juta setahun sedangkan syarikat
kerajaan yang diuruskannya itu bolehlah dikira sebagai monopoli.
Saya juga mendapat
maklum balas berkenaan adanya pengurusan GLC/GLIC yang mengintip kakitangan
mereka sendiri agar tidak memberi maklumat yang diminta oleh kerajaan.
Jangan Tunggu Lama-lama
Saya cadangkan supaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Kebangsaan Mengenai
Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) memantau pegawai kanan kerajaan dan
eksekutif GLC/GLIC yang berpotensi mensabotaj kerajaan.
Serentak itu siasatan ke
atas pegawai kanan kerajaan dan eksekutif GLC/GLIC yang bersara atau ditamatkan
perkhidmatan perlu disegerakan dan audit forensik ke atas GLC/GLIC dijadikan prosedur
tetap (SOP).
Sebelum terlambat dan
rakyat jelata hilang keyakinan kepada kerajaan PH, saya rasa elok menteri,
menteri besar, ketua menteri dan semua wakil rakyat PH disekolahkan.
Rasanya tidak memadai Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang menjadi guru dan mentor. Menanglah
hebat dan istimewa dididik oleh Perdana Menteri, tetapi masa terlalu suntuk
untuk tujuan itu.
Saya bernasib baik
menjadi salah seorang “lepasan” kem bina semangat perdana di Negara Sembilan, yang dimentorkan sendiri oleh Dr Mahathir pada awal tahun 1990-an.
Modul itu masih boleh digunakan.
Saya yakin menteri pun
akan mendapat kebaikan jika disekolahkan bagi mengubah acuan minda mereka
daripada pembangkang kepada kerajaan, daripada bercakap kepada bekerja dan daripada
omong kosong kepada mengisi kekosongan.
Ingatlah, jika pada 9
Mei rakyat jelata boleh menendang keluar kerajaan BN yang telah berkuasa selama 61
tahun, apalah sangat dengan PH yang baru setahun jagung.
Wallahuaklam.





