About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).

Thursday, June 29, 2006

Adakah Najib Mampu Tenangkan Suasana?

A Kadir Jasin

[Update, 2 Julai]

Pendamai Sudah Temui Tun M

Pendamai yang dikatakan "dihormati" Perdana Menteri dan "disayangi" mantan Perdana Menteri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, telah membuat langkah pertama.

Semalam (Sabtu), Yang Dipertua Negeri Melaka itu menemui Tun Dr Mahathir Mohamad di rumahnya di Mines Resort, Sungai Besi, selama sejam setengah mulai jam 6 petang.

Sumber-sumber mengatakan Dr Mahathir mengulangi pendiriannya mengenai pelbagai perkara yang beliau bangkitkan selama ini dan menegaskan yang beliau tidak bercadang untuk mengubah pendiriannya.

Kata sumber-sumber itu, Dr Mahathir memberitahu Tun Khalil jika isu-isu yang dibangkitkannya itu tidak tepat, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, berhak menjawab dan menyanggahnya.

Selagi Perdana Menteri tidak menjawab, beliau akan terus berpegang kepada pendiriannya.

Secara peribadi, saya yakin bahawa Tun Khalil memahami penjelasan dan sentimen bekas ketuanya itu dan akan menyampaikannya secara terperinci kepada Perdana Menteri.

Sumber-sumber itu berkata, Tun Khalil memberi jaminan kepada Dr Mahathir yang beliau akan menyampaikan semua pandangan dan sentimen Dr Mahathir kepada Perdana Menteri.

Perdana Menteri berlepas ke Australia Rabu lalu untuk bercuti dan menjalami rawatan resedung (sinus) sementara Tun Mahathir bertolak tengah hari tadi untuk bercuti di turki.

Idea orang tengah ini dicetuskan oleh Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin. Beliau menemui Dr Mahathir seminggu lalu untuk mengemukakan ideanya itu dan dipersetujui Dr Mahathir.

[Posting Asal]

SAYA berasa cukup gembira dengan jaminan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, bahawa kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjejaskan imej dan kemampuan negara menarik pelabur asing.

Katanya, Kerajaan dan parti yang memerintah adalah teguh justeru itu mampu mengekalkan kestabilan politik.

Itulah sentimen Najib seperti yang dilaporkan oleh akhbar New Straits Times hari Rabu, 28 Jun. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas andaian bahawa kritikan Dr Mahathir terhadap Pentadbiran Abdullah akan menakutkan pelabur.

Sumber:NST, 28 Jun.

Ironisnya, antara pihak yang menyuarakan kebimbangan itu adalah akhbar New Straits Times sendiri seperti terkandung dalam rencana yang ditulis oleh timbalan pengerusi Lembaga Pengarah merangkap penasihat jabatan pengarangnya, Datuk Kalimullah Hassan, pada 27 Jun.

Dalam rencana dua muka surat mengkritik mantan Perdana Menteri itu, penulis, antara lain, berhujah: “The longer it continues, the more it runs the risk of becoming a self-fulfilling doomsday prophecy for the country.”

Dalam bahasa Melayu yang mudah, mantan Ketua Pengarang New Straits Times Press (Malaysia) Berhad itu berkata, lagi lama keadaan ini berterusan, lagi besarlah kemungkinan ia memporak-perandakan negara. Dia menyamakannya dengan ramalan mengenai hari kiamat yang akan menjadi kenyataan.

Jawapan Najib, yang kini boleh dianggap sebagai jurucakap nombor satu pemerintah, membuktikan beberapa perkara. Pertama, kestabilan politik penting. Kedua, pelaburan asing akan terus masuk dan ketiga, Dr Mahathir atau sesiapa sahaja boleh terus mengkritik kerajaan tanpa menjejaskan kestabilan politik.

Bergantung kepada perspektif mana kita mengukur kestabilan politik, keyakinan pelabur dan hak rakyat mengkritik kerajaan, kita boleh menerima atau menolak mana-mana satu daripada dua prognosis yang dikemukakan itu.

Politik Malaysia adalah yang paling stabil di Asia Tenggara jika ditolak Singapura yang berupa sebuah negara kecil yang amat terkawal politiknya dan dilandaskan di atas “fear factor”.

Rekod kestabilan inilah yang saya rasa meyakinkan Najib bahawa kritikan Dr Mahathir tidak akan menjejaskan imej negara dan justeru itu Malaysia akan terus mampu menarik pelaburan asing.

Malah, seandainya pelabur asing, penganalisis ekonomi dan penasihat pelaburan bercakap benar dan komited kepada demokrasi dan keterbukaan, mereka sepatutnya merayakan (celebrate) suasana sekarang.

Dan apakah yang lebih mutakhir untuk membuktikan bahawa Malaysia di bawah kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih terbuka, bebas dan demokratik selain daripada kritikan terbuka mantan Perdana Menteri?

Apatah lagi mantan Perdana Menteri itu pernah dan terus dituduh sebagai pemimpin yang diktatorial, autoritarian dan autokratik. Kritikan beliau terhadap pemerintahan sekarang membuktikan tanpa syak wasangka lagi bahawa Pentadbiran Abdullah adalah liberal dan terbuka.

Kestabilan politik, keselamatan negara dan keyakinan pelabur akan hanya terjejas jika Dr Mahathir mengambil keputusan radikal turun ke padang mengepalai protes jalanan yang ganas.

Tetapi jika mantan Perdana Menteri itu sekadar hadir di dewan-dewan kecil yang memuatkan 500 orang dan ucapannya tidak dilaporkan oleh media massa arus perdana, kestabilan politik, keselamatan negara dan keyakinan pelabur tidak akan terjejas.

Kalau pelabur dalam dan luar negara tidak yakin juga dengan kerajaan, sebabnya bukanlah teguran atau kritikan Dr Mahathir. Ia mungkin disebabkan faktor-faktor lain yang lebih berkait rapat dengan pengurusan ekonomi.

Sebenarnya, khalayak terbesar tidak pun tahu bahawa mantan Perdana Menteri memberi ucapan dan berdialog dengan ahli-ahli parti politik, termasuk Umno, dan wakil-wakil NGO di Taman Melawati pada 24 Jun lalu.

“Rahsia” ini terbongkar apabila seorang demi seorang pemimpin Umno, termasuk Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, tiba-tiba mengecam dan mengutuk Dr Mahathir kerana kononnya bersekongkol dengan pembangkang.

Media massa arus perdana, kecuali The Sun, tidak menyiarkan laporan peristiwa itu apabila ia berlaku, dipercayai atas arahan. Tiba-tiba tiga atau empat hari kemudian berita dan gambar “perbuatan khianat” mantan Perdana Menteri itu menjadi berita prima.

Kalau hendak dikatakan aneh pun boleh jadi sebab pada era komunikasi spontan (instantaneous) dan maya (virtual) ini, media massa arus perdana mengambil masa yang cukup lama untuk menerima khabar dari perbatasan, di suatu tempat yang jauh bernama Taman Melawati.

Mantan Perdana Menteri, yang berupa pengasas ICT negara, memanfaatkan dasar terbuka pemerintah (openness mengikut mantera akhbar New Straits Times) untuk mengemukakan pertanyaan, pendapat dan bangkangan mengenai pelbagai isu semasa.

Tindakan beliau merayakan suasana baru yang terbuka dan telus ini akan berkemungkinan menjadi ancaman kepada kestabilan politik, keselamatan negara dan keyakinan pelabur hanya jika pemerintah gagal menanganinya dengan cara yang rasional dan meyakinkan.

Jika hari ini mantan Perdana Menteri nampak seperti mempunyai pengikut dan peminat – following – ia adalah kerana tindak balas pemerintah terhadap isu-isu yang beliau bangkitkan belum sampai ke tahap yang meyakinkan dan memuaskan semua pihak.

Ini berlaku walaupun beberapa percubaan telah dibuat di peringkat tertinggi untuk menyekat penyiaran berita yang membabitkan mantan Perdana Menteri itu.

Ini disusuli pula oleh kempen sesetengah media massa arus perdana untuk membusukkan (discredit) nama beliau dan sesiapa juga yang dituduh bersekongkol (conspiring) dengan beliau.

Kalau pemerintah belum berjaya meyakinkan khalayak bahawa tindakannya betul dan terperinci, masalahnya bukan tindak-tanduk Dr Mahathir tetapi kegagalan instrumen pemerintah yang dipertanggungjawabkan untuk menjawab dan mematahkan hujah beliau.

Najib mempunyai peluang terbaik untuk melandaskan semula pendekatan pemerintah terhadap kritikan Dr Mahathir berasaskan keputusan terakhir Kabinet pada 28 Jun, mengarahkan kementerian-kementerian berkenaan menjawab hujah-hujah mantan Perdana Menteri.

Secara kebetulan, Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri akan bercuti di luar negara buat beberapa ketika. Perdana Menteri sudah berlepas ke Australia untuk bercuti dengan keluarga selama dua minggu dan mantan Perdana Menteri akan bercuti di Lautan Mediterranean antara 2 hingga 20 Julai.

Najib boleh memanfaatkan masa keemasan ini untuk mengemaskinikan jentera pentadbiran dan jentera saraf pemerintah untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh mantan Perdana Menteri.

Dan jika beliau berani dan “bersemangat Melayu Bugis” beliau boleh menjadi orang tengah yang menyelesaikan masalah antara kedua-dua pemimpin negara itu.
The past, present and future...

Ini tidak sedikit pun mustahil kerana Najib dikatakan cukup diyakini oleh Perdana Menteri dan terus “disayangi” mantan Perdana Menteri.

( PS: Tiada deskripsi yang tepat dalam bahasa Melayu untuk menyimpulkan kelakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Tetapi, dengan izin, it’s akin to the behaviour of an over-enthusiastic over-grown pup. It’s a bit too old to be a pup but loves to bite the tail of grown-up dogs. Its bite does not hurt but is annoying.)

(Perhatian: Komen yang menggunakan pengenalan "Anonymous" tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran (pseudonym) yang sesuai. Laporan daripada akhbar, laman web dan blog lain akan dilayan hanya jika perlu. Terima kasih).

Friday, June 23, 2006

Siapa “Pihak Ketiga” Itu?

A Kadir Jasin

[Update, 25 Jun]

SEORANG Menteri Kabinet yang dilantik di zaman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu seorang pemimpin veteran Umno dari sebuah negeri di utara Semenanjung bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad “is finished.”

Dalam bahasa Melayu yang mudah, Dr Mahathir dah habis, dah tak laku, dah tak ada guna.

Sentimen sedemikian, yang datangnya daripada seorang menteri yang sedemikian tidaklah memeranjatkan.

Kalau dia melayan kemungkinan bahawa Dr Mahathir “is not yet finished” – masih belum habis, masih laku dan masih berguna – menteri itu akan menghadapi keadaan serba salah, dilema yang tidak berkesudahan.

Bagi anggota kabinet lantikan Abdullah, yang kebetulan tidak besar bilangannya, sokongan mereka terhadap beliau mungkin boleh dikategorikan sebagai “sokongan yang tidak berkualiti” kerana mirip kepada sentimen dan emosi.

Pada 24 Jun, dalam dialog umum di dewan Century Paradise, Taman Melawati, anjuran 26 badan bukan kerajaan dan akhbar Internet Malaysia Today.net, bekas Perdana Menteri menyifatkan sokongan anggota kabinet dan pemimpin Umno kepada Abdullah sebagai “tidak berkualiti” kerana tidak diasaskan di atas landasan yang kukuh.

Lantaran itu, beliau, secara berseloroh, berkata sokongan anggota kabinet dan pemimpin Umno kepada beliau ketika memimpin negara juga tidak berkualiti.

Ini, unjur D Mahathir, terbukti apabila satu demi satu dasar dan rancangan yang mendapat sokongan kabinet pada zaman beliau kini dipinda atau digugurkan langsung sedangkan kebanyakan anggota kabinet Abdullah adalah juga anggota kabinet beliau.

Antara kesimpulan ucapan beliau dan dialog selama dua jam itu adalah pengaruh “pihak ketiga” ke atas Perdana Menteri, Umno dan kerajaan. Malah Dr Mahathir mendedahkan siapa mereka.

Kesimpulan yang beliau buat itu secara kebetulan selari dengan prognosis Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin seperti yang dihuraikan di dalam posting asal di bawah, iaitu Dr Mahathir tidak bermusuh dengan Abdullah tetapi mensyaki ada pihak ketiga yang cuba menguasai kerajaan.

(Laporan lanjut ucapan dan dialog Dr Mahathir boleh dibaca, antara lain, di Malaysia Today.net, Malaysiakini.com, Agendadaily.com dan KMU.net. Tiada sebuah pun akhbar arus perdana menyiarkan berita ucapan beliau kerana mendapat arahan daripada seorang pegawai pejabat nombor satu Putrajaya yang dicam dengan singkatan KK).

(Posting Asal)

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, sahabat akrab Perdana Menteri dan bekas orang kanan bekas Perdana Menteri membuat kejutan.

Dia berkata di Bangi pada 20 Jun dan dilaporkan oleh Berita Harian pada 21 Jun bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bermusuhan denganPerdana Menteri walaupun melemparkan kritikan terhadap kerajaan.

Sebaliknya, Abdul Aziz yang pernah menjadi Setiausaha Politik kanan dan orang kepercayaan Dr Mahathir mendakwa, masalah itu berlaku kerana ada pihak ketiga cuba mengawal kerajaan sekarang.

In simple English, the problem between Abdullah and Dr Mahathir arises “because there is a third party which tries to control the present government.”

Sehubungan itu, Abdul Aziz memuji Perdana Menteri kerana tidak mudah terpengaruh dengan pihak ketiga itu, tetapi terus menjalankan tugas diamanahkan.

Tetapi jika benar seperti kata Abdul Aziz iaitu Abdullah “tidak mudah terpengaruh dengan pihak ketiga” itu, mengapa masalah berlaku juga antara Dr Mahathir dan Abdullah?

Kalau niat Dr Mahathir baik seperti yang Abdul Aziz katakan dan pihak ketiga itu tidak berpengaruh ke atas Abdullah, mengapa kerajaan berdolak-dalik menjawab pertanyaan dan kemusykilan bekas Perdana Menteri itu dan mengapa beliau dibelasah begitu teruk oleh media massa milik Umno?

Dimudahkan cakap, dipendekkan cerita, kita minta Abdul Aziz, sebagai salah seorang operator politik veteran yang paling akrab dengan Abdullah dan Dr Mahathir, menyatakan siapa pihak ketiga itu.

Jika misteri “pihak ketiga” itu tidak dihuraikan, pelbagai spekulasi negatif dan merugikan akan tercetus, yang mungkin tidak adil kepada personaliti dan pihak yang disyaki.

Jadi eloklah identiti “pihak ketiga” itu dimaklumkan kepada umum supaya gerak-geri mereka boleh diawasi atau tindakan yang berkesan boleh diambil agar mereka tidak terus menjadi duri dalam daging.

Saturday, June 17, 2006

Tersingkir Sekali Lagikah Dr Mahathir?

A Kadir Jasin

[Perhatian, komen yang menggunakan pengenalan "Anonymous" tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran (pseudonym) yang sesuai. Laporan daripada akhbar, laman web dan blog lain akan dilayan hanya jika perlu. Terima kasih).

[Update, 19 Jun -- Tun Dr Mahathir Mohamad kekal ahli Umno. Majlis Tertinggi khabarnya tidak membincangkan kritikan beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan Kerajaan.

MT sebaliknya "memberikan sokongan sebulat suara kepada Abdullah." Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak membaca kenyataan berbunyi;

"I want to emphasise that this stance is made by Umno leaders, regardless (of whether they are at) the national, state or divisional level. (There is) no Umno leader who is not supportive of Abdullah. There is no faction within the party." (Malaysiakini).

("Saya ingin menekankan yang pendirian ini dibuat oleh semua pemimpin Umno, tidak kira di peringkat pusat, negeri atau bahagian. Tidak ada pemimpin Umno yang tidak menyokong Abdullah. Tidak ada puak-puak dalam parti.")

[Posting Asal]

TUN Dr Mahathir Mohamad akan dipecat daripada Umno. Demikianlah khabar sensasi yang dibawa angin kencang sejak dua tiga hari kebelakangan ini.

Media massa arus perdana tidak menyiarkan berita itu tetapi akhbar-akhbar alternatif dan laman web hebat memperkatakannya. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah ditanya wartawan, tetapi beliau sekadar berkata “ini bukan tempat membincangkannya.''

Soalnya, apakah Umno mempunyai alasan yang cukup kuat dan mendesak untuk mengambil tindakan yang begitu radikal?

Kesalahan Dr Mahathir, jika boleh kita bahasakan begitu, adalah kritikan terbukanya terhadap Perdana Menteri mengenai beberapa isu termasuk kesan AP ke atas Proton, penjualan MV Agusta, penamatan kontrak jawatan Tengku Mahaleel dan pembatalan projek jambatan bengkok.

Bergantung kepada siapa yang membuat analisis ke atas khabar ini, dua kesimpulan utama muncul. Pertama, tidak masuk akal mengapa Dr Mahathir mesti dipecat dan kedua, memang patut pun beliau dipecat.

Kepada kumpulan pertama, ia tidak masuk akal kerana:

Dr Mahathir mengkritik Perdana Menteri dan bukan Umno;

Dr Mahathir menegaskan yang dia tetap setia kepada Umno; dan Kritikan beliau tercetus kerana beliau mendakwa banyak soalan yang beliau kemukakan sama ada tidak dijawab atau jawapannya tidak memuaskan.

Kepada kumpulan kedua, ia masuk akal kerana:

Beliau mengkritik Perdana Menteri secara keras dan terbuka;

Kritikan terhadap Perdana Menteri adalah kritikan terhadap Umno dan Kerajaan kerana Perdana Menteri adalah Presiden Umno dan Umno adalah parti induk Barisan Nasional; dan

Dr Mahathir sudah bersara, diam sajalah dan buat amal ibadat.

Kumpulan ini mengukuhkan hujah mereka dengan merujuk kepada penyingkiran kali pertama Dr Mahathir daripada Umno pada tahun 1969. Beliau mengkritik Perdana Menteri pada ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Sejarah Jadi Petunjuk

Apakah kesilapan akan berulang kerana manusia tidak belajar daripada sejarah?

Kita akan mengatakan mustahil Dr Mahathir akan dipecat jikalau kita berfikir secara waras dan percaya kepada mantera semasa mengenai ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban.

Tetapi kita akan mengatakan tidak mustahil beliau dipecat jikalau kita berpegang kepada hakikat bahawa politik tidak sentiasa waras dan kepentingan jangka pendek sering mengatasi pengajaran sejarah.

Pada tahun 1969 politik hilang kewarasan. Akibatnya berlaku pertumpahan darah 13 Mei dan rentetan daripada itu Dr Mahathir mengkritik Tunku dan disingkirkan daripada Umno.

Pada waktu itu, Dr Mahathir tidaklah berpengaruh dan berjasa seperti sekarang. Dia hanya seorang bekas Ahli Parlimen sepenggal yang baru kalah pilihan raya.

Namun beliau tetap ada penyokong di dalam dan luar Umno. Antara penyokong beliau adalah Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Tetapi yang berkuasa pada waktu itu adalah Tunku. Tunku sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tetap berkuasa dan berpengaruh walaupun kedudukan beliau telah menjadi begitu lemah kerana prestasi Parti Perikatan yang buruk dalam pilihan raya dan diikuti pula oleh peristiwa 13 Mei.

Penyokong-penyokong Dr Mahathir dan pihak-pihak yang bersimpati dengan beliau seperti Razak, Allahyarham Datuk Harun Idris dan Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman tidak dapat berbuat apa-apa atau sengaja tidak berbuat apa-apa. Mereka mendiamkan diri dan membiarkan Tunku memecat Dr Mahathir.

Senario yang serupa boleh berulang. Yang berbeza hanyalah keadaan. Pada tahun 1969 Dr Mahathir adalah seorang muda yang tegas dan baru kalah pilihan raya. Kini beliau adalah bekas Perdana Menteri dan negarawan veteran tetapi tetap tegas.

Kalau dengan takdir Dr Mahathir disingkirkan sekali lagi kerana amalan berdiam diri kembali menular di dalam Umno, maka beliau akan mencacat sejarah yang sangat unik.

Beliau akan menjadi ahli politik negara yang disingkirkan daripada Umno kerana mengkritik Perdana Menteri yang membawanya masuk menjadi Ahli Parlimen dan disingkir oleh Perdana Menteri yang beliau sendiri lantik sebagai pengganti.

Sejarah, jika ia tidak berbohong, akan tetap meletakkan Dr Mahathir di suatu tempat yang unik dalam annals (catatan) politik tanah air.

Phoenix Mungkin Menjelma Semula

Dan jikalau Dr Mahathir hari ini adalah Dr Mahathir yang sama -- yang bangun umpama phoenix yang menjelma daripada timbunan abu -- maka beliau pastinya mengalu-alukan pemecatan yang hangat diperkatakan sekarang.

Ibarat kata pepatah, pucuk yang dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal. Tindakan sekeras ini, seandainya terlaku, akan menguji siapa di antara yang bertelagah lebih dipercayai dan disokong, lebih mendapat simpati dan lebih berwibawa.

Pertimbangan ini tidak kritikal bagi Dr Mahathir kerana beliau tidak lagi berkuasa dan mustahil mahu kembali berkuasa. Legasi tidak pernah utama bagi Dr Mahathir. Prinsip beliau adalah melakukan apa yang beliau fikirkan terbaik untuk rakyat.

Tetapi pertimbangan ini adalah kritikan bagi Abdullah dan pembantu-pembantunya kerana jatuh atau bangun mereka bergantung pada keyakinan rakyat jelata.

Kesimpulannya, berasas atau tidak berita sensasi yang ligat ditiup angin ini, Dr Mahathir masih boleh tidur lena. Seperti kata ungkapan Inggeris, “he has nothing to lose.”

Kalau ada hanya seorang rakyat Malaysia yang menyokongnya, Dr Mahathir sudah boleh berasa gembira kerana sokongan itu pasti “genuine”, pastinya ikhlas kerana beliau tidak lagi boleh menjanjikan apa-apa ganjaran kepada orang itu. Malah beliau tidak pun boleh menjanjikan perlindungan kepada orang yang itu.

Soalnya, adakah perlu politik Malaysia, khasnya politik Umno dan Melayu, menjadi seperti apa yang dihujahkan oleh Henry Adams (1838-1918) iaitu politik adalah pergerakan yang berasaskan kebencian?

Kata pendidik Amerika itu: “Politics, as a practice, whatever its profession, has always been the systematic organisations of hatreds.”

Apakah mesti politik di negara, tidak kira di dalam profesion mana ia diamalkan, harus menjadi amalan dan organisasi yang secara sistematik dilandaskan di atas kebencian?

(Nota kaki: Bukan sahaja Perdana Menteri tidak menjawab pertanyaan Dr Mahathir sebaliknya menyerahkan kepada kementerian-kementerian berkenaan, nampaknya kementerian-kementerian pun mungkin tidak menjawabnya.

Ini terbukti apabila jawapan mengenai Proton dibuat semalam bukan oleh “kementerian berkenaan” yang dalam konteks ini Kementerian Kewangan, tetapi oleh Pengerusi Proton, Datuk Mohamed Azlan Hashim.)

Tuesday, June 06, 2006



[Update, June 15]

Three Cheers for Cherie


Ah, don't you just love this country? I do and madly too. Where else would we have the wife of a Prime Minister of a foreign country came budging into the law court of another country.

Then again what do we expect of the wife of British Prime Minister, Tony Blair. He barged into Iraq with his US friend George W Bush to kill tens of thousands and bring miseries to millions other.

So what's so surprising if Cherie Blair aka Cherie Booth made a surprise appearance at the Federal Court in Putrajaya on Tuesday, June 14?

This is a free country. She's free to come and go. It's good for tourism though it might have cost some taxpayers money to ensure her safety.

But had the court allowed he application to reprent Fauziah Holdings in its dispute with Metramac Berhad, the country would lose some foreign exchange. I don't think a woman of her stature works for pitance.

Who says only in Malaysia wives take advantage of their husbands' high offices? You should love your wife, but if you are a politician you should not allow her to run your career or become your secret weapon.

We are so free, democratic and rich today that we could invite and pay any foreigner to come and challenge our judges and learned counsels. What say the Bar Council?

I think the likes of Cherie Booth would not be stomping in if we are less free than we are today. Bar Council has always been demanding and championing freedom. So why object to Mrs Blair's appointment as Fauziah Holdings' lawyer. Double-standard?

Then we have judges reversing and quashing judgments of their brother (and sister) judges. Judiciary is independent now, the winners proclaimed.

And when the Prime Minister, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, broke his "elegent silence" to announce that he had decided "to tell all " to quash once and for all Tun Dr Mahathir Mohamad's allegations, his Foreign Minister, Datuk Seri Syed Hamid Albar, said hold on.

Suddenly "national security" became so acutely important to the Johor Minister. He said at a seminar in Malacca that in preparing answers to Dr Mahathir's charges, "we should think carefully whether the answers would compromise Malaysia's security or national interest."

I hope this does not amount to attempts by some ministers to hide their failures and failures of their ministries or to shield their involvement -- private or official -- in the issues raised by Dr Mahathir, from public knowledge.

And as for Works Minister, Datuk Seri S Samy Vellu getting all worked -up over being summoned by PAC chairman, Datuk Shahrir Abdul Samad to appear before the committee, I say hooray. We can made do with the comic break.

[Update, 12 Jun]

PM Tak Akan Jawab Juga

Akbar The Star melalui perkhidmatan pesanan ringkasnya (SMS) malam ini melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan menghebahkan jawapan kepada pertanyaan Dr Mahathir mengenai pembatalan projek Jambatan (Tambak) Johor, penjualan MV Agusta, AP dan kontrak kerja Tengku Mahaleel.

Buat seketika saya terkejut tetapi lega dan kagum kerana akhirnya Perdana Menteri akan memecahkan "kebisuannya yang tampan" (terjemahan literal ungkapan Tun Musa Hitam "elegent silence" yang digunakan untuk Perdana Menteri) untuk menjawab soalan-soalan Dr Mahathir.

Tetapi apabila saya baca mesej itu seterusnya, jelaslah bahawa kita akan sekali lagi didendangkan lagu "walhasil balik asal, itu fasal tak hasil."

Perdana Menteri tidak akan menjawab soalan-soalan Dr Mahathir!

Menurut The Star, "kerajaan, melalui kementerian-kementerian yang bersangkutan, akan menjawab soalan-soalan Dr Mahathir."

Kesimpulannya:

1. Perdana Menteri akan terus berdiam diri selain memecah kesunyian untuk mengarahkan kementerian-kementerian menjawab soalan-soalan Dr Mahathir;

2. Kenyataan Perdana Menteri memberi gambaran bahawa kerajaan selama ini tidak memberi jawapan yang lengkap, tepat dan memuaskan kepada pertanyaan-pertanyaan Dr Mahathir;

3. Saluran mana agaknya akan digunakan oleh kementerian-kementerian bersangkutan untuk menyebarkan jawapan mereka. Persoalan ini timbul memandangkan sesetengah komponen media massa gemar memutar-belitkan fakta melalui kegiatan "spinning" mereka sehingga menyebabkan semakin ramai orang curiga laporan mereka; dan

4. Kenyataan terbaru Perdana Menteri ini membuktikan yang kritikan dan sungutan Dr Mahathir adalah berasas, setidak-tidaknya tentang kegagalan kerjaan memberi penjelasan yang memuaskan.

Kita
tunggu dan lihat.

[Posting Asal Mengenai IPCMC]

IPCMC: Polis lwn Kerajaan


[Nota kepala: Minta jangan guna "anonymous" untuk komen. Susah nak cam. Tak akan diposkan. Terima kasih.]

A Kadir Jasin


BANYAK pihak telah membuat kesimpulan bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengancam tidak menyokong Kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang dan akan membiarkan jenayah meningkat jika Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis/Independent Police Complaint and Misconduct Commission (IPCMC) ditubuhkan.

Rata-rata kini percaya bahawa ancaman serupa itu telah dibuat dan disiarkan di laman-laman web polis sebagai senjata untuk menggagalkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk menubuhkan IPCMC.

Hakikat bahawa PDRM membantah keras cadangan itu bukan rahsia lagi. Yang mungkin masih menjadi tanda tanya ialah sejauh mana ia sanggup bertindak untuk menggagalkan cadangan itu.

Apakah PDRM benar-benar akan mengotakan ancaman seperti tidak mengundi Barisan Nasional dan membiarkan jenayah meningkat atau ia sekadar cakap-cakap untuk melepaskan geram?

(UPDATE, June 9)

ABDULLAH vs MAHATHIR

MY preliminary, tentative thoughts on the Mahathir-Abdullah issue go something like this:-

1. Tun Dr Mahathir has been stabbed many times before. He survived. He has done a bit of that himself. In politics everything is fair game. Dr Mahathir is a master at that;

2. Dr Mahathir will continue to speak up, to guide and to criticise. He has done that when he was a subordinate, when he was the chief and he's doing it now as Citizen Mahathir;

3. Datuk Seri Abdullah Bahawi will continue to keep silence or say very little. He may even stonewall. He's good at all these. He survived and even thrived in politics by keeping things close to his chest. This is the quality and characteristic that, I believed, had not escaped Dr Mahathir's attention when he brought Abdullah back from political wilderness;

4. The newly-minted Tun, Tun Musa Hitam will continue to be what he is good at -- cynical and sceptical. He is an expert on bouble-talk. Dr Mahathir has never considered him a threat. He lost to late Tun Ghafar in 1987 and Dr Mahathir created as special post for him in New York. Musa was Dr Mahathir's first "kekasih politik". Musa loves politics but he hates responsibility. He has "fanatical " disciples;

5. Tengku Razaleigh Hamzah is probably the most senior party (Umno) elder that is worth listening to. Dr Mahathir respects him as an adversary. They have civilised relationship but differ on many issues;

6. The rest of the players -- Cabinet members, MBs, CMs and an assortment of party leaders -- will openly support PM. Only God knows their heart though. If they are now foresaking Dr Mahathir, they can foresake Abdullah later. If they are now changing Mahathir era policies and programmes, they will do the same with the Abdullah's policies and programmes in future;

7. Last but not least, this Mahathir-Abdullah "thing" is not about personality and style alone. It is about issues that affect the country and the people, many of which remained unresolved and unexplained, partly due to the stonewalling approach of the PM --- issues like AP, the cancellation of the Causeway bridge, the sales of NV Agusta for one Euro by Proton and the sales of strategic/privatised assets to foreigners;

8. For the people, there are issues relating to higher fuel, electricity and water prices, rising living cost and inflation, low investment returns (EPF, shares and unit trusts), rising crime rate and talks of economic favouritism, media spin and nepotism; and

9. Everybody loses if this Mahathir-Abdullah thing turns into what the Malay broverb calls "gajah dengan gajah berperang, pelanduk mati terpihak." The people are the pelanduk. But be mindful of the fact that the trampled pelanduk are the voters and the taxpayers. They were the people who gave Abdullah the overwhelming mandate in 2004.


(Sambungan posting asal)

Isu IPCMC Perlu Diatasi Segera


Apa pun yang terjadi seterusnya, isu ini perlu diselesaikan segera dan kesilapan awal yang mencetuskan kekeruhan ini perlu diakui dan diatasi kerana tugas kepolisan terlalu penting untuk digembar-gemburkan.

Polis adalah pasukan pakaian seragam yang berteraskan disiplin dan taat setia yang, di dalam konteks Malaysia, dilakukan atas nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Cadangan yang diperakukan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia mungkin (saya tekankan “mungkin”) tidak mencetuskan kontroversi jika dilaksanakan mengikut peraturan.
Perlu ditekankan yang Suruhanjaya tidak memberikan kuasa kepada mana-mana individu, hatta Perdana Menteri, untuk menubuhkan IPCMC.

Suruhanjaya, di dalam laporannya yang diserahkan kepada Kerajaan pada bulan Mei tahun lalu, dengan jelas menyatakan bahawa kuasa menubuhkan dan mengawasi IPCMC terletak di tangan Parlimen.

Hanya Parlimen berhak memutuskan sama ada IPCMC ditubuhkan atau tidak. Laporan Suruhanjaya (bermula muka surat 204 edisi bahasa Melayu) menyatakan:

“IPCMC hendaklah menjadi badan babas yang ditubuhkan menurut Akta Parlimen.”

Ada MP Tidak Baca Laporan

Malangnya, terdapat bukti bahawa ada Ahli Parlimen yang tidak menyedari peruntukan ini sehingga mereka menuduh Suruhanjaya cuba “merampas kuasa Parlimen, tidak menghargai tugas dan jasa polis dan tidak profesional”. Jelas mereka tidak membaca laporan itu.

Hal ini terdedah apabila beberapa orang bekas ahli Suruhanjaya (termasuk penulis) dijemput untuk berdialog dengan anggota Kaukus Hak Asasi Manusia Parlimen tidak berapa lama dulu.

Suruhanjaya dengan jelas menyatakan bidang kuasa IPCMC dan kepada siapa ia bertanggungjawab. Laporan Suruhanjaya, antara lain, menyatakan:

1. IPCMC hendaklah mengemukakan laporan tahunan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya dibentangkan di Parlimen. Satu salinan laporan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Perdana Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen;
2. Pindaan hendaklah juga dibuat terhadap seksyen yang berkaitan dalam Akta Polis 1967 untuk memperuntukkan fungsi IPCMC;
3. IPCMC tidak akan mengambil alih atau mengatasi (fungsi) organisasi sedia ada seperti BPR (Badan Pencegah Rasuah) atau Suhakam, sebaliknya saling melengkapi organisasi tersebut;
4. Ia akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pasukan Polis dan Bahagian Tatatertib PDRM; dan
5. IPCMC hendaklah terdiri daripada tujuh pesuruhjaya yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tempoh perkhidmatan mereka terhad kepada tiga tahun sahaja. Ahli tidak boleh terdiri daripada pegawai polis yang sudah bersara atau yang sedang berkhidmat.

Puncanya Kesilapan Teknikal

Daripada laporan akhbar, terdapat tanda-tanda bahawa beberapa kesilapan teknikal telah berlaku. Laporan akhbar New Straits Times pada 25 Januari, 2006, antara lain, menyebut:”Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi today announced the formation of an independent body to monitor and receive complaints of police misconduct.”

(Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan penubuhan sebuah badan bebas bagi memantau dan menerima aduan mengenai salah laku polis.)


Apa yang sepatutnya berlaku ialah pengumuman bahawa Kerajaan akan menyerahkan cadangan penubuhan suruhanjaya bebas itu kepada Parlimen. Adalah menjadi tugas Parlimen membincangkannya dan membuat keputusan.

Bagi memudahkan tugas Parlimen, Suruhanjaya mencadangkan Akta Suruhanjaya Bebas itu sebagai panduan. Kalau Kerajaan tidak bersetuju dengan draf itu, ia boleh menyerahkannya kepada Kamar Peguam Negara untuk kajian dan pembaikan.

Dengan cara itu, bukan sahaja hak polis terlindung malah hak orang ramai juga terjamin kerana Parlimen adalah badan pembuat undang-undang tertinggi di negara ini yang dipilih sendiri oleh rakyat jelata.

Sebaliknya, dengan tidak membentangkan cadangan itu kepada Parlimen atau melengah-lengahkannya akan hanya memburukkan lagi kekeliruan orang ramai dan menyemarakkan kemarahan polis.

Lebih elok dan produktif jika Ahli Parlimen diberi kesempatan dan keistimewaan membahaskan cadangan itu di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada di kedai-kedai kopi, majlis-majlis dialog dan di muka akhbar.

Debat jalanan yang sedang berlaku sekarang bukan sahaja tidak produktif malah merugikan. Implikasinya cukup negatif. Jika sebuah pasukan berpakaian seragam yang berlandaskan disiplin dan taat setia seperti PDRM dibenarkan mengingkari cadangan Perdana Menteri, bayangkan reaksi rakyat terbanyak.

Jika polis boleh membantah cadangan Perdana Menteri , tiada apa pun yang boleh menghalang pihak-pihak lain, termasuk komponen lain perkhidmatan awam, daripada mengingkari perintah beliau.

Implikasi Polis Ancam Kerajaan

Dan jika benar polis mengancam untuk tidak menyokong BN pada pilihan raya, maka satu aspek suci pilihan raya iaitu “undi itu rahsia” telah dinodai.

Kesimpulannya, BN selama ini mendapat undi padu anggota polis. Ini tentulah bercanggah dengan prinsip kebebasan memilih dan dakwaan bahawa undi itu rahsia.

Pendirian polis mengenai IPCMC boleh memberikan kesan melaga-lagakan anggota Kerajaan dengan anggota Kerajaan dan antara Kerajaan dengan pembangkang.

IPCMC hanyalah salah satu daripada 125 cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya yang bertujuan mempertingkatkan profesionalisme dan imej polis, menambah kemudahan kepolisan, memperbaik kebajikan anggota polis dan keluarga mereka serta memberi peluang kepada orang ramai mengemukakan aduan secara bebas dan berani.

Pepatah Melayu berkata, jikalau sesat jalan kembalilah ke pangkalnya.






Sunday, June 04, 2006

Kenduri Bermacam Kenduri

[Nota kepala: Minta jangan guna "anonymous" untuk komen. Susah nak cam. Tak akan diposkan. Terima kasih.]

A Kadir Jasin
Sekadar renungan hujung minggu, mengingatkan tentang betapa jauhnya perjalanan bangsa Melayu dan bangsa Malaysia. Penulis menghadiri beberapa jemputan kenduri kahwin dalam masa seminggu ini. Maklumlah cuti sekolah. Maka banyaklah kenduri kahwin diadakan.

Penulis hendak berkongsi pengalaman mengenai tiga daripada majlis itu -- dua membabitkan ahli politik kerajaan dan satu seorang profesional sektor swasta. Daripada dua orang politik itu, seorang berpangkat menteri dan seorang lagi ahli parlimen biasa.

Kenduri menteri tidak di hotel 5 bintang tetapi di dewan biasa milik Felda. Jarang sekali para Menteri mengadakan majlis perkahwinan anak-anak mereka di dewan sebegini. Menteri ini nyata sederhana dan tidak kaya.

Selalunya, paling-paling tidak pun para mamanda menteri mengadakan majlis seperti itu di hotel 4 atau 3 bintang. Pilihan utama tentunya dalam kelas Mandarin Oriental dan Shangri la.

Antara yang hadir di majlis kenduri menteri dua Yang Dipertu Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, beberapa Menteri Kabinet dan bekas Perdana Menteri.

Majlisnya sederhana, berunsur Melayu dan Islam. Makanan boleh tahan. Majlis lancar dan hiburan sesuai dengan selara umum. Hanya ucapan tuan rumah agak panjang dan mencecah pinggiran emosi. Boleh dimaafkan.

Saya selalu berasa kurang selesa bila pada majlis begini diceritakan asal usul pengantin dan cinta lara mereka yang dirakam-videokan dan ditayangkan kepada hadirin. Saya rasa aspek peribadi begini lebih elok tidak dijadikan bahan cerita. Lebih bermakna jika dirahsiakan sebagai lambang kasih sayang yang tidak terucap.

Mungkin saya sudah jadi sinis dan skeptis kerana terlalu banyak majlis hebat dengan doa dan restunya berakhir dengan percerain yang "acrimonious" dan penuh sensasi. Berita-berita perceraian dengan kisah perebutan harta dan saman-menyaman, termasuk yang membabitkan menteri kabinet dan selebriti, tidak membantu meyakinkan saya mengenai kesucian dan kewarasan berumah tangga.

Majlis kedua yang diadakan oleh bapak Ahli Parlimen cukup unik. Pakaian wajib "black tie". Diadakan di dewan konvensyen 5 bintang. Saya dan pacal Johan Jaaffar pakai batik saja. Kami tak ada black tie suit. Terlalu tinggi dan terlalu asing bagi budaya kami yang kekampungan.
Nampak janggal dan tiada kelas tapi diberanikan juga kerana kawan.

Selawat Nabi hebat. Sudah jadi semacam perlumbaan untuk mempersembahkan selawat yang paling hebat. Tiada salahnya. Kita digalakkan untuk sentiasa berselawat kepada Baginda.

Hadirin ramai dari kalangan "beautiful people" yang jelas amat sophisticated dan dari kelas atasan. Seimbas pandang tidak macam di Kuala Lumpur apatah lagi kenduri kahwin orang Melayu. Busuk-busuk pun umpama Singapura atau Manila. Tidak salah kalau saya katakan setaraf dengan New York dan London. Siapa kata Melayu tidak sophisticated, tidak canggih?
Tuan rumah adalah produk Dasar Ekonomi Baru.

Namun yang cukup unik dan mengagumkan ialah apabila yang membaca doa juga berpakaian black tie dan nenda kepada pengantin lelaki. Siapa kata solat dan doa harus dikepalai oleh lebai dan ustaz berkopiah dan berserban?

Sajian? Pastinya bukan gulai daging atau rendang tok. Tidak juga nasi biriyani. Pembuka seleranya adalah udang yang dipulas (twisted prawn) dan sayur-sayuran hijau. Hidangan utamanya ikan salmon (diMalaysiakan jadi salman) dan pembasuh mulutnya saya pun dah lupa. Yang pasti bukan kek lapis atau kueh muih Malaysia.

Majlis diiringi jazz dan lagu-lagu klasik. Pengantin diirining masuk oleh pari-pari. Tiada majlis merinjis. Gantinya blessing ceremony -- upacara merestui. Seorang Menteri dan beberapa orang kenamaan politik dan korporat naik ke pelamin berjabat salam dan bergambar dengan pengantin.

Tapi khabarnya pasangan yang sama mengadakan majlis kenduri tradisional dengan bersanding dan merenjis di tempat lahir bapa pengantin lelaki iaitu Kota Baru di Kelantan. Kenduri kesyukuran diadakan di 13 buah masjid di sekitar bandar itu dengan menyembelih 20 ekor kerbau/lembu.

Baguslah kalau Melayu yang berjaya dan canggih masih tidak melupakan asal usulnya yang "humble". Ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Penulis buat kenduri kahwin anak-anak di rumah.

Dan saya juga ke beberapa kunduri rakyat biasa yang diadakan di atas jalan raya di kawasan sederhana yang makanannya disediakan sendiri dan dihidangkan secara buffet (diMalaysiakan menjadi bufet). Tiada pari-pari dan orkestra mengiringinya.

Di salah satu majlis itu, yang menjemputnya adalah pengantin sendiri. Nama ibu hanya tersenarai sebagai penjawab telefon. Mungkin ada cerita di sebaliknya. Tetapi ayah dan ibu pengantin ada. Ah, inilah Malaysia. Kepelbagaiannya mempesona dan kadang kala memeningkan kepala.

Terima kasih. Thank you. Selamat beristirahat. Have a good weekend.