Saturday, July 28, 2007


Percubaan Menakut-nakutkan Blogger

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SAYA menghadiri dua majlis percambahan ilmu yang membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) minggu ini. Saya berasa bernasib baik dan mendapat galakan daripada hasil pertemuan itu.

Jemputan pertama datangnya daripada Centre for Media and Information Warfare Studies (CMIWS), UiTM pada 24 Julai untuk bercakap di seminar kebangsaan mengenai peranan blogger dan kesannya kepada perang saraf.

Yang kedua daripada Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada hari berikutnya untuk mempengerusikan kolokium mengenai peranan akhbar Melayu menyelamatkan orang Melayu daripada dipinggirkan oleh Tokoh Kewartawanan Negara dan bekas Karyawan Tamu UKM, Tan Sri Mazlan Nordin.

Saya gembira mendapati hampir semua peserta seminar UiTM yang umumnya pelajar universiti itu mesra blog. Mereka sama ada mempunyai blog sendiri atau membaca blog dan menghantar komen kepada blog.

Manakala di UKM pula dewan senat melimpah luah dengan kehadiran para mahasiswa yang bertanya pelbagai soalan mengenai kewartawanan dan hal ehwal semasa.

Seminar UiTM itu sangat berguna dan tepat pada masanya kerana berlaku di saat-saat blog dan laman berita web bebas menjadi tajuk berita yang hangat akibat laporan polis terhadap ketua laman (webmaster) Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK), oleh Pengerusi Biro Penerangan Umno Pusat, Muhd Muhammad Taib.

Tahniah dan kepada UiTM kerana berani berdepan dengan realiti dengan mengadakan persidangan kebangsaan itu.

Sebagai orang lama dunia penulisan dan kewartawanan yang memulakan kerjaya pada era teknologi komunikasi analog kepada komunikasi digital, daripada mesin taip manual kepada mesin taip elektrik, komputer mainframe kepada desktop, laptop dan Blackberry, saya berkeyakinan bahawa blog dan blogger akan kekal.

Sama ada dalam isu agama, politik, kemasyarakatan, hiburan atau sukan, blogger sebagai pelapor dan pengulas jelata – citizen journalists and commentators – akan memainkan peranan yang semakin substantif.

Tindakan mahkamah dan laporan polis terhadap blogger adalah sebahagian daripada proses pengesahan dan pengiktirafan blog sebagai sebahagian daripada institusi masyarakat yang berpengaruh.

Kalau blog dan blogger kecil bilangannya dan menulis untuk sesama sendiri seperti dihujahkan oleh Menteri Penerangan Zainuddin Maidin atau terdiri daripada wanita yang menganggur dan pembohong seperti kata Menteri Pelancongan Teuku Adnan Teuku Mansor, mengapakah para pembesar negara beria-ia benar memburuk-burukkannya?

Sebagai wartawan dan blogger, saya sejak awal lagi mengakui bahawa blogger, seperti wartawan dan pengarang media massa arus perdana, tertakluk kepada undang-undang dan peraturan negara.

Justeru itu, dari awal-awal lagi saya mengenakan syarat-syarat tertentu dan mengawal ulasan-ulasan yang dihantar kepada blog saya melalui proses “moderating”. Saya tidak menyunting atau sedikit pun menyentuh komen yang dihantar kepada saya.

Saya menyiarkan (publish) secara penuh komen yang boleh disiarkan dan menolak (reject) komen yang bertentangan dengan syarat-syarat yang saya nyatakan di permulaan setiap rencana saya.

Pada hemat saya, seperti saya nyatakan dalam komen kepada blog Rocky’s Bru milik Saudara Ahirudin Attan, laporan polis oleh Muhd Taib lebih menjurus kepada pembaca dan pengulas blog.

To my mind, Muhd Taib and his cyber pendekar may not strike fear in RPK’s heart. Experienced bloggers, especially if they are journalists, will not fall for his trick.

More than seeking legal redress, Muhd Taib was hoping to use the police report to scare off younger and less experienced bloggers and those sending their comments to them, hence the insistence that RPK revealed the identities of the authors of the alleged offensive comments.

Younger bloggers and their “posters” may fall for the trick and into the his trap. They may stop blogging and debating in the cyberspace for fear of being arrested.

But I think Muhd Taib and his cohort of cyber warriors know that they can't easily cow the journalist-bloggers and other more mature bloggers.

Muhd Taib may not be a brilliant strategist and may not even be blog-savvy. But his aides must have told him that by resorting to this kind of not-so-subtle intimidation, he may discourage people from reading and sending comments to blogs. This could reduce the effectiveness of this new information medium.

But I don't think the majority of bloggers and blog visitors will fall for the trick. All that they need to do is to be mindful of seditious remarks and comments that give people like Muhd Taib the legitimacy to lodge official complain.

As the saying goes, there are many ways of skinning a cat, even a big fat one like Muhd Taib. I have been in journalism for nearly 40 years now and I've seen situation like this happening many times before. I've also seen countless pembesar like Muhd Taib came and gone.

Just a thought, a disturbing thought...is it not possible that some mainstream editors might have a hand in Muhd Taib’s police report?

Muhd Taib is the chairman of Umno's Central Information Bureau and almost all newspaper editors and TV news controllers who are Malays are ex-officio members of the bureau.

Could they have advised Muhd Taib to resort to this line of action?
I hope not. But I won’t dismiss it either.

Kesimpulannya, manakala Muhd Taib mungkin berasa sangat seronok dengan laporan polisnya dan RPK mempunyai alasan tambahan untuk terus menyelak kain bekas Menteri Besar Selangor itu, blog dan blogger akan kekal dan menjadi sebahagian daripada saluran maklumat, ilmu dan hiburan massa.

Wednesday, July 25, 2007


Perihal Malam Wartawan, PM dan Ingatan Kepada Blogger

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

[TERKINI, 28 JULAI

Perdana Menteri nampaknya sudah kembali berada di tanahair. Sebentar tadi beliau berucap di Balik Pulau, Pulau Pinang. Laporan Bernama berkata Abdullah mahu usahawan wanita komited dalam perniagaan. Sila rujuj kepada Bernama.com. Terima kasih.]
POSTING ASAL
TAHNIAH kepada Institut Akhbar Malaysia (MPI) ‘baru’ kerana sekali lagi berjaya menganjurkan Malam Anugerah Kewartawanan Malaysia yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak.
Saya sengaja menggunakan istilah ‘baru’ kerana beberapa pembaharuan dilakukan pada malam anugerah itu. Baguslah, sekali sekala kita memerlukan pembaharuan.

Pertama, kad jemputan majlis itu dengan jelas mengatakan bahawa kod pakaian bagi lelaki adalah lounge suit berwarna gelap, menggantikan batik yang sejak sekian lama menjadi pakaian ‘rasmi’ majlis.

Saya juga begitu terpegun melihat kesegakan ahli-ahli Majlis Pentadbiran MPI yang mengenakan tali leher dan sapu tangan kocek atas yang seragam. Tapi mintalah, tahun depan jangan suruh pakai tuksido (tuxedo) pula. Batik pun dah lebih daripada ok.

Saya perhatikan kategori hadiah pun bertambah, tabung kewangan bertambah dan penyampaian anugerah pula dibahagikan kepada dua seksyen. Anugerah utama disampaikan oleh Najib manakala anugerah selebihnya disampaikan oleh Pengerusi Yayasan MPI, Azman Ujang.

Saya juga berasa gembira kerana Najib turut menyebut mengenai blogger dan peranan yang boleh mereka laksanakan bagi menyokong aspirasi kerajaan, selain sumbangan besar oleh media massa arus perdana.

Rujukan Naib kepada blogger itu saya anggap penting kerana pada hari yang sama akhbar-akhbar arus perdana memetik beliau sebagai berkata bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengawal kebebasan blog, selain menasihatkan mereka supaya lebih bertanggungjawab.

Tetapi seperti umum maklum, pada hari itu juga tersiar berita mengenai laporan polis ke atas akhbar Internet Malaysia Today oleh pengerusi Biro Penerangan Umno Pusat, Muhammad Muhammad Taib atas dakwaan menghina Raja dan Islam.

Saya tidak ada masalah dengan saranan Timbalan Perdana Menteri itu kerana saya sendiri berpendapat pengendali blog, khasnya blog-blog berbentuk politik, sosial dan ekonomi, harus lebih peka terhadap tulisan mereka dan ulasan pembaca yang mereka siarkan.

Sayogia diulangi bahawa blog saya dari awal lagi mengamalkan kaedah mengawal selia ulasan pembaca di mana ia tidak disiarkan terus tetapi melalui proses moderating oleh saya. Hanya ulasan-ulasan yang bebas daripada unsur lucah, fitnah dan hasutan sahaja disiarkan. Namum apa jua ulasan yang disiarkan adalah disiarkan tanpa sebarang bentuk penyuntingan (editing). Saya juga mengelak daripada menyiarkan ulasan-ulasan yang mengandungi serangan peribadi keterlaluan.

Tidak kurang menarik pada Malam Anugerah Kewartawanan itu ialah penjelasan pemangku pengerusi institut, Chamil Wariya mengenai tetamu kehormat majlis. Katanya, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya menjadi tetamu kehormat seperti yang tertera di dalam kad jemputan.

Kata Chamil lagi, Abdullah sendiri yang memilih tarikh majlis malam itu. Bagaimanapun, di saat-saat akhir dimaklumkan yang beliau tidak akan hadir kerana “sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.”

Saya tidak pasti jika hadirin dan penaja maklum lebih awal bahawa Perdana Menteri tidak akan hadir. Namun Chamil berkata, beliau bersyukur dan bergembira kerana Najib dapat menggantikan bosnya.

Selain menyatakan Abdullah tidak dapat hadir kerana “sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan”, Chamil tidak pula menyatakan apa yang terjadi kepada beliau atau di mana berada.

Ini secara spontan memanaskan lagi spekulasi dan khabar angin mengenai apa yang terjadi kepada Perdana Menteri atau di mana beliau kini berada.

Daripada beberapa wartawan kanan (media arus perdana) yang semeja dengan saya dan yang saya temui di majlis itu, spekulasi mengenai ketiadaan Perdana Menteri berbeza-beza.

Ada yang mengatakan beliau memang tidak dapat hadir kerana “sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan” dan ada yang mengatakan beliau sebanarnya “ok” dan sedang bercuti di Australia. Ada pula yang mengatakan, selain Australia beliau akan ke Macau. Malah ada membuat spekulasi yang beliau mungkin meneruskan "bercuti" di pantai Waikiki, Hawaii.

Disebabkan ketiadaan kenyataan rasmi mengenai di mana dan apa yang terjadi kepada Perdana Menteri buat masa ini, mahu tidak mahu saya terpaksa mengambil maklum spekulasi dan khabar angin itu sebagai ‘penjelasan’ terbaik.

Manakala masih mengenai subjek blogger, saya mengucapkan tahniah kepada Centre for Media and Information Warfare Studies (CMIWS), UiTM kerana mengadakan persidangan kebangsaan mengenai media dan teknologi dengan penekanan khas kepada blogger di Shah Alam pada 24 Julai 2007.

Saya agak terperanjat mendapati begitu ramai peserta persidangan itu yang sama ada mempunyai blog sendiri atau membaca dan menghantar ulasan kepada blog.

Saya harap perjalanan dan hasil persidangan itu, khasnya rumusan mengenai tanggungjawab blogger dan percubaan memburuk-burukkan blogger, dapat dibukukan sebagai panduan (manual) kepada masyarakat blogger, khasnya golongan muda yang ingin memperbaiki mutu dan kebertanggungjawaban blog mereka.

Saturday, July 21, 2007


Pengakuan Seorang Yang Bukan Kaki Bola

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

SEKADAR mengisi masa pada hujung minggu. Anggaplah ini sebagai pengakuan – confession – seorang yang bukan peminat bola, tetapi turut menderita akibat penyakit gila bola.

Tak kira di rumah, di pejabat dan apatah lagi di kedai kopi yang dewasa ini menjadi tempat orang menonton TV, gila bola ini membabitkan semua orang, termasuk yang tidak gila bola macam saya.

Pada pertandingan akhir Piala FA England antara Manchester United dan Chelsea beberapa ketika dulu, saya spontan menjadi paria apabila saya seperti Sang Kelembai meramalkan kemenangan Chelsea dan apabila Malaysia berdepan dengan China, saya meramalkan kemenangan China.

Macam saya kata, saya bukan kaki bola. Tetapi untuk meramalkan prestasi pasukan bola sepak negara, seseorang itu tidak perlu jadi kaki bola atau pakar bola.

Kini kalau saya pergi lepak di kedai kopi Original Kayu di Aman Suria pada waktu malam, saya akan cari meja yang paling jauh dari TV layar lebar yang menjadi tumpuan pelanggan tua muda yang gila bola.

Bukan mudah mencari tempat duduk seperti. Di Original Kayu, bukan ada satu atau dua buah TV raksasa, tetapi lima atau enam. Setiap penjuru ada.

Tetapi antara bola Liga Inggeris, Itali, Jerman, Perancis, Sepanyol dan Eropah dengan Astro Ria, saya memilih untuk dibodohkan oleh saluran-saluran sukan bila-bila masa.

Apa halnya dengan bola sepak Malaysia? Aduhai sakitnya mata, sakitnya telinga dan sakitnya seluruh jiwa raga. Bukan kerana menontonnya. Seperti saya telah kata, saya bukan kaki bola.

Sakit mata melihat derita kaki-kaki bola yang bertempek sorak bagaikan nak rak dunia pada permulaan pertandingan, tapi senyap sunyi bila Skuad Nasional yang diuar-uarkan sebagai berpotensi itu “kena” 5-0 dengan Uzbekistan, 5-1 dengan China dan 2-0 dengan Iran.

Sakit telinga mendengar keluh kesah dan maki hamun mereka terhadap pemain, jurulatih, pengurus dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sakit jiwa raga kerana mutu sukan Malaysia lebih teruk daripada kelas Dunia Ketiga. Mohon maaf kepada semua negara Dunia Ketiga yang hebat prestasi sukannya. Lihatlah kecemerlangan mereka dalam pertandingan bola Piala Dunia.

Berbanding mereka, haprak dan hambar sungguh pencapaian sukan kita. Balik-balik ratu squash Nicole David dan regu badminton Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong.

Tetapi bila cakap mengenai sukan, kita memang hebat, memang sakan. Infrastruktur sukan kita hebat. Ada kelas. Liputan sukan kita hebat. Ada gaya. Menteri sukan kita pun hebat, bersemangat. Belum apa-apa dah dapat anugerah. Padah.

Tak cukup dengan pusat-pusat latihan kelas dunia dalam negara, mereka buka pula di luar negara. Bukan calang-calang tempat, di London.

Duit ringgit jangan risau. Jangan ambil kira. Pembayar cukai boleh terus diperah keringatnya. Biar pape asal bergaye, kate orang Melake (e dalam konteks ini adalah e yang bertanda).

Yang paling hebat dan kita mesti menang nombor satu punya adalah politik sukan. Apa tidaknya? Boleh dikatakan tidak ada sukan dan persatuan sukan yang tidak dibolot dan dipolitikkan oleh para politikus yang rakus.

Tak cukup dengan pasukan nasional, tubuh pasukan sendiri. Tak cukup dengan endorsement menteri, dapatkan endorsement Perdana Menteri. Tapi bila pasukan bola sepak negara kena belasah dalam siri Piala Asia, mereka cepat-cepat menyorok, letak jawatan dan cuci tangan.

Tiba-tiba saya dilanda nostalgia. Ingat waktu remaja. Main bola tak kira musim dan masa. Semangat dibakar pemain hebat Ghani Minhat. Semua nak jadi Pele.

Apa kata kita kembalikan suasana lama? Bebaskan sukan daripada politikus dan manusia yang cari nama. Daripada pemain dan peserta yang hanya fikirkan duit dan glamor. Kalau gaya, silap-silap kalah Beckham, Ronaldo dan Kaka. Tapi bila beraksi, pasukan Harvard Estate (Sungai Petani) lagi berpotensi.

Ahha...jangan lupa bomoh bola. Mari kita jelajah satu Malaysia, bandar dan desa, gurun dan rimba cari bomoh bola kelas dunia.

Siapa tahu, mungkin itulah jawapan azimat bagi masa depan sukan bola sepak Malaysia. Selamat panjang usia wahai bomoh bola.

Maju sukan kerana negara!

Friday, July 20, 2007


“Mahkamah Rayuan Pergi Bersuka-Suka”

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

The Court of Appeal went on a frolic of its own.”

Demikian antara “hukuman” yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Persekutuan – mahkamah tertinggi negara – pada 19 Julai bersabit kes Fawziah Holdings lawan Metramac Berhad dan rayuan Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Halim Saad.

Daim dan Halim merayu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan (expunge) lima perenggan daripada penghakiman hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram yang mereka dakwa mencemarkan nama mereka.

Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, “went on frolic of its own” bermaksud lebih kurang “pergi bersuka-suka atas kehendaknya sendiri.”

Untuk memperjelaskan lagi maksud “frolic”, izinkan saya merujuk kepada adegan yang kerap berlaku dalam filem Hindustan atau Tamil di mana pasangan kekasih berkejar-kejaran sambil menyanyi dan menari di taman bunga tanpa mempedulikan sesiapa.

Kamus bahasa Inggeris mentakrifkan “frolic” sebagai “to leap and skip about playfully” atau “to behave riotously.”

Dalam bahasa Melayu, ia bermaksud melompat dan melangkah dengan gembiranya atau berkelakuan melucukan.

Atas alasan itu dan beberapa hujah lagi, panel Mahkamah Persekutuan yang dianggotai Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed, Datuk Alauddin Mohd. Sheriff dan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman membenarkan permintaan Daim dan Halim Saad.

Daim dan Halim memohon dipadamkan (expunge) komen-komen yang terkandung dalam perenggan 13, 16, 17, 18 dan 34 penghakiman bertulis Sri Ram bertarikh 12 Januari tahun lalu yang didakwa telah mencemarkan nama baik mereka.

Abdul Hamid, ketika membaca penghakiman bertulis 18 halaman itu, antara lain, berkata:

“Dalam kes yang ada di depan kami, kenyataan yang tidak wajar dan memburuk-burukkan seseorang telah dibuat oleh hakim yang arif (Sri Ram) dalam penghakimannya sedangkan Tun Daim bukanlah pihak yang berkenaan atau seorang saksi, di mana beliau tidak mempunyai sebarang peluang bagi membuat penjelasan atau mempertahankan diri, di mana tidak terdapat bukti meyakinkan di dalam rekod bagi menyokong kenyataan berkenaan, di mana beliau tidak disebut dalam rayuan atau dalam penghakiman oleh hakim perbicaraan.”

Beliau menambah, pendekatan yang sewajarnya diambil oleh hakim perbicaraan ialah menimbang sama ada kenyataan berkenaan adalah kesat, boleh dipertikaikan, bersifat memburuk-burukkan seseorang, tidak adil dan tidak wajar.

Sekali gus, Abdul Hamid mengingatkan para hakim tentang kesan serius yang mungkin tercetus akibat kenyataan mereka dan menyarankan agar mereka mengambil iktibar daripada kes ini.

Kontroversi ini tercetus ketika Sri Ram membuat keputusan memerintahkan Metramac (yang pernah dimiliki oleh Halim) membayar RM65 juta kepada syarikat pembinaan Fawziah Holdings Sdn. Bhd. kerana tuntutan berkaitan perjanjian papan iklan dan iklan di antara mereka.

Kes itu diberi liputan meluas oleh media apabila dalam penghakiman bertulisnya Sri Ram membuat ulasan bahawa Halim dan rakan niaganya, Datuk Anuar Othman, mengambil RM32.5 juta daripada Metramac dan mereka mendapat naungan Daim.

Mahkamah Persekutuan yang sama juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan memerintah ganti rugi RM65 juta kepada Fawziah Holdings kerana ia mengandungi “unsur bahaya berat sebelah yang nyata” (elements of real danger of bias).

Malanjun berhujah: "Pada pandangan kami, andaian dan imaginasi hakim-hakim Mahkamah Rayuan menjadi keutamaan manakala bukti yang dikemukakan diabaikan.”

(“In our view, it was their (the Appeals Court judges) inferences and imagination that took the centrestage, leaving the evidence adduced on the back seat.”)

“Dengan segala hormat, kami mendapati Mahkamah Rayuan telah pergi bersuka-suka atas kehendaknya sendiri.”

("With respect, we find that the Court of Appeal went on a frolic of its own.")

Kesimpulannya, melalui dua penghakiman ini, Mahkamah Persekutuan dengan jelas menghantar mesej kepada anggota kehakiman bahawa ia tidak teragak-agak bertindak tegas demi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan integriti kehakiman.

Yang tidak kurang menarik ialah apakah implikasi penghakiman ini terhadap kedudukan dan imej Sri Ram dan, sedikit sebanyak, ke atas Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin yang turut dibabitkan dalam perbicaraan itu.

Sunday, July 15, 2007


Khairy: Kuburkan PKR Kerana Memfitnah TPM

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

BINTANG timur politik Umno, Khairy Jamaluddin, dilaporkan oleh akhbar arus perdana sebagai berkata bahawa pemimpin dan ahli Umno perlu berusaha menamatkan riwayat politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum akan datang.

Ini, kata naib ketua Pergerakan Pemuda Umno pusat merangkap menantu Perdana Menteri itu, adalah pengajaran terhadap pendekatan negatif parti itu yang sanggup memfitnah dan memburuk-burukkan pemimpin negara.

Dan apakah fitnah yang dimaksudkan oleh pembesar muda Pergerakan Pemuda Umno pusat itu?

Jawapannya ialah “menabur fitnah, mencaci pemimpin dan terbaru sanggup mengada-adakan gambar Timbalan Perdana Menteri sedang makan bersama Altantuya Shaariibuu.”

Saya tidak sedikit pun terperanjat kalau Khairy dan mana-mana juga pembesar Umno mahu menguburkan PKR atau mana-mana juga parti pembangkang. Itu adalah hakikat politik. Tiada siapa mahu pencabar mereka kuat.

Saya lebih tertarik dengan tindakan Khairy merujuk khusus kepada gambar adunan (composite picture) yang mengaitkan Mohd Najib Abdul Razak dengan Altantuya dan Abdul Razak Abdullah Baginda sebagai alasan mengapa PKR perlu dikuburkan.

Mengapakah Khairy begitu berazam mempertahankan Mohd Najib dan mengapakah peristiwa itu dijadikan ukuran mutakhir “kemungkaran” PKR?

Bukankah media massa arus perdana pernah diarahkan jangan memetik daripada laman berita web dan blog?

Malah Menteri Belia dan Sukan merangkap ahli Majlis Tertinggi Umno, Azalina Othman Said, baru-baru ini menyatakan bahawa Perdana Menteri sebagai Presiden Umno telah mengarahkan agar Umno menubuhkan sebuah pasukan petugas (task force) khas untuk “memerangi” blog menjelang pilihan raya umum nanti.

Kita semua maklum bahawa gambar komposit yang dimaksudkan oleh Khairy itu disiarkan oleh sebuah blog yang dikaitkan dengan PKR.

Jadi bukankah dengan merujuk khas kepada gambar berkenaan dia secara sengaja dan tidak sengaja, langsung dan tidak langsung memberi pengiktirafan kepada kewujudan gambar itu dan kepada blog?

Kalau sebelum ini khalayak yang tidak terdedah kepada Internet berkemungkinan tidak mengetahui kewujudan gambar komposit itu, tetapi mereka kini mengetahuinya apabila akhbar-akhbar besar seperti Utusan Malaysia dan New Straits Times menyiarkan kenyataan Khairy itu.

Utusan Malaysia, antara lain, melaporkan: “Dengan taktik menabur fitnah, mencaci pemimpin dan terbaru sanggup mengada-adakan gambar Timbalan Perdana Menteri sedang makan bersama Altantuya Shaariibuu, adalah jelas Keadilan perlu dikuburkan sahaja.”

Kesannya ialah dalam usaha beliau mendalangi gerakan menguburkan PKR dan mempertahankan maruah Timbalan Perdana Menteri, Khairy secara efektif mencanangkan kepada umum sesuatu yang majoriti daripada mereka tidak tahu sebelum ini yakni gambar komposit Mohd Najib, Abdul Razak dan Altantuya.

Dalam politik, garis pemisah antara yang tersurat dan tersirat dan antara sokong yang menegakkan dengan sokong yang membawa rebah kerap kali kabur dan memesongkan.

Contoh klasik kepada permainan politik ini berlaku pada pemilihan Umno tahun 1987 apabila di permukaan para penyokong Musa Hitam bertempik rosak menyokong Tengku Razaleigh tetapi di belakang tabir mereka berkempen menyokong Dr Mahathir.

Kenapa ini terjadi tidaklah sukar untuk difahami. Musuh sebenar Musa bukan Dr Mahathir tetapi Tengku Razaleigh. Kalau Tengku Razaleigh menang dan menjadi Perdana Menteri, Musa terpaksa menjadi orang nombor dua kepada musuh ketatnya.

Tetapi komplot dan konspirasi itu bertukar menjadi senjata makan tuan apabila Musa gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden (kalah kepada Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba) dan Tengku Razaleigh gagal menjatuhkan Dr Mahathir.

Namun dalam politik sejarah hitam kerap berulang oleh sebab orang politik mudah lupa kerana mereka berasa damai dan abadi dibuai kuasa dan belaian mimpi.

Wednesday, July 11, 2007


Melayu Paling Banyak Berhijrah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

UPDATE, 20 Julai
(Dipetik daripada The Star)
Only 1,720 Malays have migrated

MUAR: Only 1,720 Malays have surrendered their citizenship to migrate to other countries between 1996 and April this year, Home Affairs Minister Datuk Mohd Radzi Sheikh Ahmad said.

He said the total number of Malaysians who had left the country since Independence was 106,003, of which 10,411 were Malays, 86,078 Chinese, 8,667 Indians and other races 847.
“I want to clarify the figures given by my deputy (Datuk Tan Chai Ho) who said recently that more than 79,000 Malays have surrendered their citizenship to live abroad,” he said.
Mohd Radzi said that between 1996 and April this year, 28,527 Malaysians had surrendered their citizenship.
POSTING ASAL
SEKADAR menokok tambah perbincangan yang sedia ada mengenai perihal rakyat Malaysia membatalkan kewarganegaraan mereka dan berhijrah ke luar negara.

Jadi tidak tepatlah tanggapan dan cakap-cakap selama ini bahawa orang bukan Melayu sahaja berhijrah ke luar negara kerana tidak puas hati dengan untung nasib mereka di negara ini?

Kalau perangkaan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Tan Chai Ho baru-baru ini boleh dipercayai, maka jelaslah bahawa lebih banyak orang Melayu meninggalkan negara ini daripada kaum-kaum lain.

Bukan sahaja di segi jumlah sebenar malahan di segi peratusan juga lebih banyak orang Melayu berhijrah.

Antara tahun 1996 dan April tahun ini (2007) sebanyak 106,000 rakyat Malaysia membatalkan kewarganegaraan mereka.

Daripada bilangan itu, 79,199 atau 70 peratus adalah Melayu, 25,107 Cina, 1,347 India dan 350 kaum-kaum lain.

Walaupun bilangan orang Melayu kurang daripada 60 peratus tetapi bilangan yang membatalkan kewarganegaraan dan berhijrah ke luar negara lebih tinggi iaitu 70 peratus.

Sebab mengapa mereka berhijrah ke luar negara penting. Tetapi lebih penting ialah hakikat bahawa mereka tidak berasa perlu lagi memegang kewarganegaraan Malaysia. Mereka berkerat rotan berpatah arang.

Takdirnya mereka menolak kewarganegaraan Malaysia kerana mereka tidak lagi mencintai negara ini atau kerana tidak lagi boleh bergantung kepadanya, maka jelaslah bahawa bukan orang Cina dan India sahaja yang berperasaan demikian, malah orang Melayu juga sudah menyertai aliran itu.

Kalau Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mahu kita mendalami dan mengetahui mengapa orang Islam meninggalkan agama mereka, mungkin kita juga perlu bertanya mengapakah semakin banyak orang Melayu meninggalkan negara mereka?

Apatah lagi apabila Abdullah sendiri berkata “the government will not reinstate the citizenship of Malaysians who have given up their citizenry (sic) of this country,” -- (Bernama).

Kerajaan tidak akan mengembalikan kewarganegaraan mereka!

Sunday, July 01, 2007


Kuan Yew: Ada Usaha Menjatuhkan Abdullah

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.]

APABILA Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengatakan bahawa firma Singapura yang bercadang melabur di Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) tidak boleh mengharapkan layanan istimewa daripada Malaysia seperti layanan istimewa yang diberikan oleh China kepada pelabur Hong Kong, dia menyatakan hakikat.

China memberi layanan istimewa kepada pelabur Hong Kong di wilayah Shenzhen kerana Hong Kong adalah sebahagian daripada negeri China. Singapura bukan sebahagian daripada Malaysia atau sebaliknya. Malah Singapura berpisah daripada Malaysia (pada tahun 1965).

Itu nasihat atau kata dua LKY kepada pelabur negaranya. Kita menghormatinya.

Tetapi apabila beliau mendakwa bahawa "ada percubaan oleh Umno, khasnya Umno Johor, untuk menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi" kita terperanjat.

Di dalam temu ramahnya dengan akhbar Berita Harian (Singapura)
LKY, antara lain berkata:

“Adalah satu perkara bagi parti PAS cuba menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi apabila pemimpin Umno, terutama dari Johor, turut bertindak serupa, pelabur dari Singapura mesti bertanya secara serius bila sikap itu akan berubah, dan sama ada mereka mengalu-alukan pelaburan kami di IDR."

(“It is one thing when Pas tries to topple the prime minister but when Umno leaders, particularly from Johor, are also acting in the same manner, Singaporean investors must seriously ask themselves when this attitude will change and whether they welcome us in IDR.")

Satu dakwaan adan kesimpulan yang cukup teruk. Pemimpin Umno, khasnya dari Johor, cuba menjatuhkan Abdullah?

Itu berita mutakhir bagi saya dan mungkin juga bagi banyak rakyat Malaysia, termasuk ahli dan pembesar Umno. Ini bercanggah dengan gambaran di mana Abdullah menikmati sokongan dan taat setia yang tidak berbelah bagi daripada para pembesar Umno.

Maharaja politik Singapura itu memberita Berita Harian (Singapura) bahawa politik dalaman Malaysia dan bantahan terhadap penyertaan Singapura adalah bertujuan mengeksploitasi isu-isu itu dan menjejas sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerja sama yang saling menguntungkan itu antara Malaysia dan Singapura.

Bernama menterjemahkan kenyataan LKY isu sebagai: Internal politics and protests to Singaporeans investing in IDR are to exploit the issues and to erode support to Abdullah's leadership and the co-operation in the development region.

Di masa yang sama, LKY bimbang mengenai saingan daripada IDR. Katanya: “If Singapore loses many industries to IDR, we will face serious unemployment problem as not all factory workers can find jobs in the service sector,"

Bagaimanapun, katanya Singapura akan terus menyokong IDR kerana kedua-dua negara akan mendapat faedah daripadanya.

Kata LKY: "From a wider perspective, we believe it is good for the two countries, with Malaysia savouring the spin-offs from Singapore's economic growth, and similarly Singapore."

Masalah dengan LKY ialah dia mengukur, menilai dan menghukum semua pihak dan semua negara melalui kaca mata beliau sebagai “maharaja” Singapura di mana Singapura adalah bersamaan dengan PAP dan PAP bersamaan dengan LKY.

Jadi dia tidak boleh menerima hakikat atau faham apabila di Malaysia sesetengah pembesar Umno – mereka yang ada ciri kepemimpinan dan keberanian -- tidak bersetuju dengan Presiden parti dan Perdana Menteri.

Apakah kenyataan sensasi LKY ini manifestasi sokongan ikhlas beliau kepada Abdullah dan IDR atau ia cara LKY menakut-nakutkan pelabur Singapura daripada melabur di Malaysia?

The problem with LKY is he thinks every country, big or small, must be like Singapore. Every political party must be like the PAP. And every head of government must be like him. But Singapore is a municipality with a nation status. The PAP is the sole thriving political party. And LKY clings on to power when his Asian contemporaries had all retired.

We are a democratic country. So we have to live like one. If people want to support Pas, what can we do about it? Least of all, what can LKY do about it? We elect the people who we want to lead us. If they don’t lead or lead badly, we have every right to remind them or even vote them out.

This is exactly the problem with LKY. It’s all about Singapore -- Singapore this and Singapore that. Nobody is forcing Singaporean investors to sink their money in IDR.

Is IDR meant for Singaporeans only? I don’t think so. Or at least that’s what I think it is. It should be for Singaporeans and everybody else – Malaysians, Chinese (the citizens of China), Arabs, Indians (the citizens of India), Taiwanese, Japanese, Indonesians, French, Germans, Swiss, British and may be Mongolians too.

I hope Umno will not fall into LKY’s trap. By his statement he is creating suspicion among Unmo leaders. He appears to be pitting the Johor Umno against the president.

LKY may not like Pas but he does not love Umno either. LKY cannot forget and forgive the fact that Tunku Abdul Rahman, with Umno’s backing, kicked him out of Malaysia. But he tolerates a strong Umno only if it benefits Singapore.

Kenyataan LKY itu, sama ada kebetulan atau dirancang membawa erti bahawa ada gerakan di dalam Umno untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Ini adalah satu tuduhan dan campur tangan yang serius di dalam hal ehwal Malaysia.

Atau apakah LKY mempunyai maklumat perisikan yang kita sendiri tidak miliki? Kita perlu ingat siapa yang melatih dan bersekongkol dengan organ pertahanan dan keselamatan Singapura.

Jadi dakwaan LKY bahawa ada usaha untuk menjatuhkan Abdullah oleh sesetengah pembesar Umno, khasnya dari Johor, adalah sesuatu yang sangat serius yang boleh memecahbelahkan Umno jika ada pihak yang termakan madu beracun maharaja moden Singapura itu.

Berikut petikan penuh Berita Harian Singapura, 30 Jun dari laman webnya.

WAWANCARA KHAS DENGAN MENTERI PEMBIMBING

'IDR BERI TEKANAN PADA S'PURA'

OlehAzahar Mohd

WILAYAH Pembangunan Iskandar (IDR) boleh memberi tekanan kepada ekonomi Singapura termasuk menyebabkan masalah pengangguran, namun begitu Singapura tetap memberi sokongan kepada projek tersebut kerana ia saling menguntungkan kedua-dua negara, kata Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew.

Bagaimanapun, syarikat dan pelabur Singapura yang berminat menyertai projek berkenaan tidak boleh menjangkakan layanan istimewa daripada Malaysia, sebagaimana layanan murah hati yang diberikan China kepada Hongkong dalam projek pembangunan wilayahnya di Shenzhen, kata beliau.

Menyatakan demikian dalam satu wawancara khas, Encik Lee melahirkan keyakinan terhadap potensi kerjasama dalam IDR itu kerana Singapura melihat projek tersebut dari perspektif lebih luas.

'Projek IDR akan memberi tekanan ke atas Singapura, seperti juga Shenzhen ke atas Hongkong, dengan menarik industri-industri dari Hongkong ke Shenzhen dan bandar-ban dar berdekatan.

'Ini menyebabkan Hongkong mempunyai hanya sedikit sahaja pusat pengilangan dan kadar pengangguran yang tinggi. Ekonomi Hongkong kini bergantung kepada sektor perkhidmatan.

'Jika Singapura hilang banyak industri kepada IDR, kita akan menghadapi masalah pengangguran yang teruk kerana tidak semua pekerja kilang boleh mencari pekerjaan dalam sektor perkhidmatan,' kata Encik Lee dalam wawancara sempena sambutan ulang tahun ke-50 Berita Harian esok.

Beliau turut memberikan pandangan mengenai peranan media Melayu dan peranan Berita Harian dalam pembangunan Singapura, yang akan disiarkan dalam keluaran khas Berita Harian esok.

Sementara itu, semasa merujuk kepada konsep kerjasama China-Hongkong, Encik Lee berkata selepas syarikat-syarikat Hongkong berpindah ke Shenzhen, Beijing menyelamatkan ekonomi Hongkong dengan membenarkan berjuta-juta pelancong China melawat Hongkong.

Beijing memberi layanan istimewa kepada syarikat Hongkong dengan melanjutkan waktu operasi mereka berdasarkan syarat-syarat murah hati.

'Singapura tidak boleh menjangkakan layanan serupa dari Malaysia. Tetapi kita percaya dari perspektif lebih luas adalah lebih baik bagi kedua-dua negara, dengan Malaysia menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Singapura, dan begitu juga Singapura,' ujarnya.

Mengenai bantahan sesetengah pihak terhadap penyertaan Singapura dalam IDR, terutama ahli politik Malaysia, seperti PAS dan Umno, Encik Lee berkata:

'Adalah satu perkara bagi parti PAS cuba menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi apabila pemimpin Umno, terutama dari Johor, turut bertindak serupa, pelabur dari Singapura mesti bertanya secara serius bila sikap itu akan berubah, dan sama ada mereka mengalu-alukan pelaburan kami di IDR,' ujarnya.

Menurutnya, politik dalaman dan bantahan itu bertujuan untuk mengeksploitkan isu-isu itu dan menjejas sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerja sama yang saling menguntungkan itu.

Selain bercakap tentang hubungan Singapura-Malaysia, Encik Lee juga memberi pandangannya tentang hubungan Singapura-Indonesia.
Menurutnya, hubungan-hubungan itu ada pasang surut.

Bahkan, katanya, Singapura juga sering didakwa tidak peka pada jirannya apabila ia tidak mahu menerima perubahan yang mereka inginkan pada perjanjian yang telah dipersetujui.

Isu homoseksual dan perlunya Singapura menarik bakat asing turut disentuh MM Lee”.

About Me

My Photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).